30 November 2012

Tarikh Itu

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


18 Muharam,
benarkan aku catatkan sesuatu pada tarikh istimewa ini
bergandanya setahun usia
berkurangnya setahun perjalanan di dunia.

18 Muharam
kadang aku ingat
banyaknya aku lupa
lebih mengenang 20 Ogos

Kata yang pernah aku dengar
tidak perlu menyambut hari lahir
kata aku
benarkan aku mengingat seseorang yang melahirkan aku.

Al-fatihah buat ibu yang melahirkan aku.
 hampir sembilan tahun bersama
tidak banyak yang kukenal tentangmu
namun
aku pasti dia ibu terbaik!
ke mana ibu pergi, aku ekori.
majlis mana ibu hadiri, aku bersama
tidak semua, tidak sampai sedekad kami bersama
Allah sayangkan dia.

Ayah,
tanpa dia bagaimana aku membesar
ayah yang baik
ayah yang sangat baik!
ayah terbaik buat aku.

Kakak-kakak
yang setia melayan adik bongsunya
Semoga Allah jaga kalian.

Insan istimewa yang adir dalam diri aku
terima kasih.

angka 24,
akankah punya 'anak' ketiga?
Insya -Allah.

:)


# buat diri bernama Jamilah Mohd Norddin, hidup teramat singkat. Terlalu pendek.
# banyak berjanji, bilakan ditunai?
# angka!
#minta maaf
#cinta dan kecintaan
#impian dan harapan
 #ah, merapu!

22 November 2012

...

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Allah Maha Mendengar dan memberikan yang terbaik.
Tentang semalam.

SATU
Maghrib. Saya teringatkan teman bernama Nur Suhada. Gadis manis yang sedang belajar di ASWARA. Hati tergerak mahu menghantar mesej, tetapi saya tangguhkan. Dalam hati berkata, mungkin dia sibuk dengan tugasan dan saya enggan mengganggu.

Pagi, setelah terjaga daripada lena panjang. Buka fb, ada mesej. Subhanallah. Nur Suhada titipkan pantun.

DUA
Pagi awal benar. Saya melihat senarai 'friend' di fb yang 'online' awal pagi. Ada nama teman sekolah yang sudah lama 'friend' di fb tetapi belum pernah saya tegur. Hati tergerak mahu hantarkan mesej, tetapi tidak jadi.

Beberapa minit kemudian,

"Assalamualaikum. Jamilah sihat. Lama tak dengar khabar."

Seorang teman sekolah hantarkan mesej.

Subhanallah. Siapa yang gerakkan hari mereka jika tidak Allah.

Allah.
Nikmat apakah lagi yang mahu aku dustakan?

Cerita ustaz perihal anaknya yang mengambil keputusan UPSR.

"Anak saya dapat 4A 1B. Itu doa dia 5A atau 4A. Bila ibunya tanya, dia jawab: Dapat 5A pun boleh boleh tolong Wan di Akhirat." Allah.

STATUS FB [SATU]

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


"Adik, dapat duit buku jangan lupa berikan pada ayah. Biar ayah juga rasa duit buku tu."

"Orang nak beli almari buku barulah dapat duit nanti."

"Hm, tak apalah. Tapi jangan lupa beri pada ayah juga."

*Ayah, yang ada seorang itulah. Ayah yang jaga aku sejak aku kecil sampai sekarang. Ayah yang tetap menghulur wang setiap kali aku pulang. Ayah yang  menghantar aku ke stesen bas Kulim setiap kali aku akan pulang ke Kuala Lumpur hingga aku tidak perlu lagi menaiki bas 56 yang makin uzur. Ayah yang dulu setia menghantar aku menaiki motosikal dari Mahang ke Baling walaupun ada ketika aku tersengguk di belakang sebab lamanya perjalanan. Ayah yang aku ada seorang itulah. Sudah banyak kali dapat 'honoranium' belum sekali ayah merasa.
*Allah, jagalah ayah saya dalam kesihatan yang baik dan rahmat-Mu.

19 November 2012

Cerita Pagi Isnin Pertama Setelah Pulang Dari Kampung

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


[cerita pagi Isnin: "prakk." Bunyi itu terdengar setelah beberapa saat dia duduk di atas katil. "Bunyi apakah?" Melihat apa yang menjadi mangsa, rupa-rupanya cermin mata bingkai hijau miliknya. Cermin mata lama miliknya selamat dihantar pulang ke kampung. Semoga sakitnya cermin mata itu dapat dibaiki. Hanya perlu sambungkan tali yang putus. Terasa sedikit aneh setelah lama kaca mata tidak dia tinggalkan, apabila yang dilihat hanya nampak objek kabur.

Dan kejadian ini berlaku beberapa minit selesai baca ayat ini dalam Diari Mat Despatch Naluri Ayah : "...Begitu juga sekiranya kita bergaji RM100, tetapi kita bekerja seperti orang yang bergaji RM30. Walaupun kita dapat RM100 itu, tetapi mungkin ia akan ditolak melalui duit hilang, motosikal rosak, anak sakit ...  (m/s23)"

*** Alhamdulillah. Nikmat apakah mahu kamu dustakan? KAta ayah, "duit yang ada dalam tangan kita pun bukan semuanya milik kita."

18 November 2012

Aku Pulang

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Pertama.
“esok nak balik rumah, ambil barang dalam laptop kak Ina.”

“okey.”

Petang Khamis, bersamaan 1 Muharam aku langkahkah kaki ke Stesen Puduraya, mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung. Lama juga menanti. Tiba di Pudu Sentral jam 12 tengahari, naik bas jam 4.30 petang. Aku tidak berani menaiki bas selain Plusliner yang terus membawa aku ke stesen bas Kulim.

Tepat jam 9 malam aku tiba di Stesen Kulim dijemput ayah.

Kedua.
Pulang ke rumah tanpa membawa walau sebuah buku pelajaran. Semuanya aku tinggalkan di UIA.

“Studylah.” Kata kakak.

“Orang tak bawa balik buku la.” Aku memberi alasan.

Jika bawa pulang buku pun aku tidak sentuh, kali ini aku hanya bawa pulang buku-buku yang tidak mahu aku gunakan lagi. Semakkan bilik di mahalah sahaja tinggalkan buku di UIA. Wah, almari sudah hampir penuh, siapa mahu hadiahkan almari buku baharu? Almari yang ada dibeli kakak aku, yang dipenuhi sebahagiannya buku yang aku kumpul. Jika dilihat majoritinya tentu sahaja buu cerita.

Ketiga.
“Jom, ikut ayah makan kenduri.”

Aku jarang mengikut ayah ke mana-mana. Tidak seperti kakakku yang keempat ini. Dia gemar mengikut walaupun ayah ke pasar. Sudah berkahwin sekalipun, bukan alasan dia tidak mengikut ayah. Dia sedang bercuti di rumah.

“Ini kawan ke?” Seorang mak cik mengunjuk aku. Ah, memang aku terlalu jarang ada di rumah, apatah lagi mengikut ayah ke mana –mana. Saudara mara memang banyak yang aku tidak kenal melainkan yang dekat-dekat.

"adik." kakakku membalas.

“Hm, anak sekarang bukan kenal. Nak harapkan kita, kita dah tua.” Mak cik itu menambah.

“Salah siapa? Salah mak bapak la tak bawak anak.” Gulp! Telan air liur aku di situ. Bukan salah ibu bapa kalau anak-anak yang tidak mengikut mak ayah.

Aku dengan kakak-kakak sering ditanya. Ini siapa? Wajah aku mungkin kurang iras mak, lebih mengikut ayah.

Empat.
Pulang rumah kali ini, dihabiskan untuk makan. Di rumah, tidak perlu makanan lazat untuk menambah nasi dua kali. Cukup satu hidangan yang ada petai, gulai dan ikan goreng. Boleh menambat selera. Berkat makan beramai-ramai. Sedang bila di UIA, makan terasa tidak kenyang, tambah dengan makanan tidak berkhasiat pula.

Lima.
Selamat datang minggu-minggu akhir di UIA. Selamat graduasi buat teman yang akan tamatkan pengajian.

“Bila grad nanti mahu kerja apa? Mengajar?” Tunduk. Insya-Allah, sekiranya dapat mengelak daripada mengajar itulah yang aku mahu. Kerja mengajar tidak mudah. Aku sangat takut dapat anak murid seperti aku. \(^_^)/

Sekian, catatan budak balik kampung.
17.11.2012.
0752pm/mahang



15 November 2012

Resensi Friends Forever : Rinzuas

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


Terima kasih rinzuas, menulis resensi di Goodreads. 
Rinzuas, pemilik blog bernama sidratul muntaha sudah menerbitkan buku sulungnya dengan JS Adiwarna bertajuk Simpan untuk Yang Halal. 



12 November 2012

TiVi

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Kredit

 adik suka tonton tivi
macam -macam cerita
daripada kisah cinta sampai berita.

minggu itu, adik ada kerja perlu dihabisi,
seminggu berkejar sana-sini
adik tidak sempat menonton tivi,
adik rasa ada tenang masuk dalam diri.

adik tidak sibuk mengikut siri drama,
adik tidak asyik kutuk sini-sana,
adik hanya dengar berita dengan telinga dan baca.
adik rasa lain.

ada bezanya malam-malam adik.
adik boleh habiskan kerja sekolah,
adik boleh tidur lebih awal,
adik boleh ke majlis ilmu.
adik senang bangun pagi.

malam itu,
adik menonton tivi,
dan esoknya,
adik susah bangun pagi!
tidak seperti semalam tanpa tivi.

TiVi,
impaknya besar sekali,
semoga adik dapat larikan diri,
daripada tivi.

kurang tivi, mata banyak melihat buku.
kurang tivi, telinga lebih mendengar
kurang tivi, terjaga hati.


adik sedang cuba ubah cara diri,
kurangkan tivi, untuk kebaikan diri.


11 November 2012

Cinta i dan cinta ii

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Mahu pasangan yang baik, bukan hanya mendoakan yang terbaik, tetapi berusaha mengubah diri menjadi lebih baik. Jodoh adalah rahsia yang sangat rahsia. Mendengar kisah sahabatku semalam, perihal temannya tentang pertemuan dengan bakal suami, saya terdiam walau bibir menguntum senyum. Allah janji, perempuan baik, untuk lelaki baik. Kata Prof Muhaya dalam episod Islam itu Indah, kita yang kena jadi magnet. Magnet yang kuat akan menarik benda yang berat. Kata beliau, sejak usia 15 tahun, beliau berdoa diberikan jodoh terbaik. Itu pesan ayahnya.

Cinta yang satu ini, Allah izinkan jadi nyata. Usik teman, yang buatkan saya terdiam. Tak ada anak *buku* tak boleh kahwin. Tulis untuk saham mati. Tulis sebab cinta. Aku tidak petah di pentas bicara, biarkanlah jemariku bersuara. Setiap orang lahir dengan kelebihan masing-masing.


***

cinta teragung
cinta Allah.
cintalah pemilik cinta
kamu akan miliki cinta.

****


10 November 2012

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 13] : Disapa Rindu


Baitullah. Semakin hari semakin kerap bayangannya mendatangi diri. Terasa rindunya pada satu tempat yang menjadi tempat pertemuan seluruh umat Islam kala musim haji. Baitullah yang Allah jaga sejak dibina Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Tempat ibadah. Sebelum Islam datang, masyarakat Quraisy menjadikan Kaabah tempat berhala mereka dan melakukan haji cara mereka saban tahun. Islam datang membersihkan kerosakan.

“Hantarkan aku ke rumah-Mu, ya Allah.” Sejak perasaan itu datang dalam diri, doa tidak lepas dalam diriku. Hadirkan aku ke sana ya Allah. Izinkan aku menatap Kaabah yang menjadi kiblat setiap solat dengan mataku sendiri. Tidak mampu menunaikan haji, cukuplah aku dapat ke sana untuk menunaikan umrah. Sebelum 30 tahun, insya Allah, sekiranya matinya selepas usia itu, sampaikanlah aku ke rumah-Mu ya Allah. Angin rindu melambai.

Setiap hari teringatkan Baitullah. Aku mahu menziarahi rumah-Mu yang mulia itu.

Persiapkanlah diri dengan bekalan andai benar mahu ke sana. Kumpulkan wang, giatkan usaha untuk ke sana. Bersihkan dirimu, cucilah hatimu biar kembali putih. Bersihkan jasad dan rohanimu. Allah hanya menerima orang yang dijemput ke sana.

Allah, jadikan aku sebahagian mereka yang dijemput menjadi tetamu agung-Mu. Cukuplah mulanya aku dapat menunaikan umrah ke sana. Rindu itu mengasak diri.

Kaabah! Alangkah manisnya menatap dengan wajah sendiri bangunan yang sangat Allah jaga itu. Saat tentera Abrahah mahu merosakkannya , Allah datangkan kumpulan Ababil yang melontar mereka dengan batu berapi. Allah, Yang Maha Menjaga!

Setiap tempat di sana yang mustajab doa. Allah, sampaikan aku ke sana. Justeru, mulalah menyimpan andai benar hati kuat ke sana!

Teman, doakan aku! Doakan aku sampai ke Makkah sebelum maut menjemput! Allah, semoga diri ini dalam kalangan hamba yang dijemput ke rumah-Mu.

Petang 8 November 2012, usai hujan perasaan itu makin merasuk diri. Sampaikan aku ke sana, Allah. Terasa mahu mengalir air mata teringatkan impian itu. Allah, teguhkan tekad di hati ini dan murahkan rezekiku untuk menjejak Makkah dan Madinah. Harus bekerja kuat dan banyak menulis untuk mengumpul wang. Allah, perasaan itu benar-benar berbekas dalam diri ini. Aku mahu ke Makkah sebelum aku mati! Mati rahsia terbesar yang mungkin terjadi bila-bila.

[koleksi Monolog Durrah boleh dibaca di sini]

08 November 2012

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 12] : 10 Nota

-->
SEPULUH CATATAN DURRAH NUR AQILAH
SATU
Dalam keramaian aku mengenal erti persahabatan. Mengisi relung hati nan kosong.

DUA
Mewarna luka dengan pelangi
Secarik bahagia yang aku cari,
Hilang setelah aku lari!!! 

TIGA
Ya Allah, bantulah aku dalam mencari cinta-Mu. Benarkanlah aku menghirup cangkir kasih-Mu sebelum cinta lain aku kejar. Aku mahu menjadi soerang yang hidup dan mati untuk-Mu.

EMPAT
Bila kita hilang, baharu kita ingat

LIMA
“Sahabat yang baik itu, apabila kita lihat wajahnya, ingat Allah”

ENAM
“Saya akan terbang bebas. Bebas seperti burung di angkasa capai apa yang saya mahu.”  -22 November 2011

TUJUH
“Ya Allah Engkau tahu apa dalam hatiku. Engkau lebih tahu apa yang ada dalam hatinya. Engkau menjaga hatinya. Engkau memelihara dia. Berikan dia yang terbaik.”

LAPAN.
“Dari jauh ku bisik kata ... Terima kasih atas segalanya. Allah selamatkan kamu, Insya Allah”

SEMBILAN
Simpang siur perjalanan mengajar diri berpijak pada satu jalan. Jalan yang telah dipilih. Tetapkan hati, teruskan berdoa.

SEPULUH
Setiap peristiwa ada cerita dan sesuatu yang mengajar. Jangan berhenti belajar.

Yang menulis,
Durrah Nur Aqilah.

07 November 2012

Serumpun 2 : entri dua


SERUMPUN 2 MENGGUGAH SEMANGAT.

Serumpun 2011 melabuhkan tirai tahun lepas. Alhamdulillah, Allah izinkan saya hadir SERUMPUN 2 , 2012 bersama Friends Forever, novel sulung saya dan anak angkat, Tiket Haji Menuju Tuhan yang diterjemah daripada bahasa Indonesia ke dalam bahasa Melayu terbitan PTS Islamika Sdn Bhd.

Masih saya ingat kata-kata Asma Nadia yang melekat dalam ingatan. SATU BUKU SEBELUM MATI!

Serumpun 2 saya hadir bersama teman-teman. Wafa Awla yang menemani sejak Khamis dan Amalina dan Ina Nailofar yang hadir Sabtu dan Ahad ke UIAM. Alhamdulillah, kami berkampung di Safiyyah G4.1. Malam 3 November saya dan Ina lalui bersama dengan berbaring di ruang tamu dengan mata yang sukar terlelap. Entah apa cerita yang kami sembangkan. Ina, semoga Allah permudahkan urusan kita.

Pagi 4 November kami nanti dengan perasaan teruja. Menunggu jam sembilan dengan perasaan tidak sabar. Akhirnnya mendapat tahu acara bermula jam 11.30 pagi. Berjanggut menunggu namun berbaloi melihat Ketua Pengarah DBP turun padang. Penantian satu pagi berakhir dengan penyampaian daripada para pembicara pada sebelah petangnya.

“Eh, macam kenal. Betulkah KP DBP?” Saya yang tidak tahu tentatif program menyoal diri. Setelah dimaklumlan pengacara majlis, baharulah kepastian ada.

SERUMPUN 2011 yang penyertaannya sangat memuaskan disebabkan penulis yang dipanggil sebagai pembicara tersohor seantero Nusantara. Tahun ini tidak kurang hebat pembicaranya, hanya kehadiran tahun ini tidak terlalu ramai. Bagi saya, SERUMPUN 2 tetap manis dan sangat beruntung terpilih bersama-sama komuniti Nusantara di UIAM. Jarang sekali berprogram sastera secara serius di UIAM. Boleh dikatakan SERUMPUN satu-satunya acara sastera Melayu di UIAM.

Acara sesi pagi adalah perasmian SERUMPUN 2 dan pelancaran buku ustaz Syed Alwi al-Attas dan sebuah antologi cerpen yang saya lupa pengarangnya. Kedua-dua mereka orang Indonesia, dan sebenarnya kebanyakan yang menyertai SERUMPUN adalah warga Indonesia. Ternyata mereka punya semangat luar biasa dalam penulisan berbanding orang Malaysia di UIAM. 

Usai Zohor, baharulah acara kemuncak dimulakan.

SERUMPUN 2 2012 menampilkan Pak Suratman Markasan, Puan Ummu Hani Abu Hassan, Dr Zabrina Abu Bakar, dan A. Salim Fillah.
Pak Suratman Markasan tinggal di Singapura tetapi susur galurnya masih orang Indonesia. Akh Salim A. Fillah, pemuda kelahiran 1984 ini punya banyak buku yang diterbitkan PRO-U Media, Indonesia dan ada bukunya yang diterjemah dalam bahasa Melayu oleh PTS. Beliau kelihatan sempoi dan santai, tetapi kata-katanya menusuk! Kak Ummu Hani Abu Hassan, penulis Malaysia yang banyak menghasilkan cerpen dan novel. Beliau sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Akhirnya, Dr Zabrina Abu Bakar seorang yang punya pendidikan dalam perniagaan dan perakaunan tetapi menulis cerita-cerita motivasi. Story teller, kata pengacara semasa sesi perbincangan.

Saya tangguhkan pengisian para pembentang dalam entri seterusnya. Terasa panjang pula jika menulis semuanya sekali dan masa saya dicemburui sekarang. Entri ini sekadar berbicara suasana 4 November 2012.

Acara berehat untuk solat Asar dan bersambung dengan sesi soal jawab. Acara menjadi panas dengan pengacara majlis yang sangat aktif. Semua terhibur dengan aksinya. Alright! Itu kata-kata yang selalu dia sebutkan. Saya masih ingat dia jugalah yang menjadi pengacara SERUMPUN 2011.

Selesai sesi soal jawab, semua peserta diminta menulis cerpen pendek (satu perenggan) menggunakan empat perkataan yang diberi. Bulan – Minyak – Ikan- Lidah. Wafa, teman saya cepat mengangkat tangan untuk membaca cerpennya dan mendapat sebuah novel sebagai cenderahati. Tahniah, Wafa!

Sebelum acara berakhir adalah penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan menulis cerpen SERUMPUN 2012. Dua orang pelajar Indonesia dan seorang Junior kuliah bahasa Arab memenangi acara ini. Zahra, seorang yang punya bakat besar dalam penulisan mendapat tempat pertama. Tahniah buat kamu. Semoga projekmu dipermudah!

Terlalu cepat sehari SERUMPUN melabuhkan tirai. Semoga ada acara lain rentetan SERUMPUN sebagaimana tahun lepas ada kelas menulis yang saya hadir sekali sahaja. Masanya untuk berpisah dengan tiga teman yang sudi singgah di bilik saya. Terima kasih, kalian. Jangan serik datang ke UIAM. Semoga SERUMPUN diteruskan untuk tahun-tahun mendatang dengan acara yang lebih menarik!




Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 11] Catatan Buat Teman


Pasangan pertemuan adalah perpisahan. Atas sebab kematian, kesibukan, perpindahan tempat, tamat belajar atau apa sahaja sebab akhirnya perpisahan akan terjadi. Hanya diri harus menerima kata perpisahan itu daripada sudut positif. Belajar positif dalam semua keadaan adalah mengajar diri redha atas apa yang Allah takdirkan buat diri kita. Buang negatif, masukkan positif! Kita tidak menyerah, tetapi melihat ibrah. Teruskan menyalur doa supaya hati-hati masih bersatu walaupun jarak memisahkan kita.

Demikian kita, Sabrina. Aku di sini, dan kamu di sana. Jarak menyekat pertemuan kita yang sebelum ini senang berlangsung. Saat kita merancang pertemuan itu, ada sahaja halangan yang mungkin Dia belum izinkan pertemuan antara kita terjadi. Bukan kalimah sabar yang cuba aku ajarkan dalam diri, tetapi perkataan DOA yang kadang tertinggal daripada diri.

Peranan doa yang sangat besar dapat menghubung ikatan dua hati. Teringatkan aku, titipkanlah doa sebagaimana yang terkandung dalam doa rabitah:
(doa rabitah)

Satu doa yang dilantun setiap hari menjadi zikir penyatu hati kita. Hati aku dan kamu. Biarlah jarak jauh mana sekalipun, semoga doa-doa dalam hati kita mendekatkan, menjadikan kita lebih kuat melalui hari-hari depan yang sentiasa dirahsia warnanya.

Kehidupan yang ada pasang surut, sebenarnya dibancuh warnanya oleh diri kita sendiri. Masih ingatkah kamu, Sabrina, saat pertemuan kita suatu masa dahulu, di kedai maka tepi jalan sambil melihat orang lalu lalang kamu bicara padaku:

“Durrah, kamu lihat orang di sekeling kita.Serabut saya melihat warna kota yang sibuk dengan kerjaya seharian. Berjalan ke sana sini, mencari rezeki. Melalui kesibukan jalan raya setiap hari. Mengulang perbuatan sama, adakah mereka tidak bosan melakukannya?”

Demikian katamu suatu hari. Aku hanya tersenyum tanpa jawapan. Kamu yang suka bertanya walau dalam diri kamu ada jawapannya. Aku diam tanna jawapan sambil terus menyuap mee goreng ke dalam mulut sendiri. Lalu aku biarkan kamu yang menjawabnya.

“Selagi kita lakukan atas nama Allah, tiada kalimah BOSAN.” Jawapan ringkas kamu pada soalan sendiri.

Terpatung aku. Ternyata jawapanmu bukan apa yang ada dalam hati aku. Lalu terus merenung dalam diri aku sendiri. Perasaan bosan sering bersarang dalam diri menjadikan aku meninggalkan rutin dan beralih kepada yang aku suka. Akhirnya hari itu kamu telah menampar wajahku dengan katamu yang sebaris.

Sabrina, ajarkan aku untuk ikhlas. Teringat aku kata seorang ustaz. Lakukanlah walau kamu tidak ikhlas. Buatlah walau terpaksa, kerana ia adalah jalan-jalan yang membawa kepada ikhlas itu sendiri. Bagaimana kamu boleh merasa jika semuanya kamu tidak mahu mencuba? Setelah langkah pertama dimulakan, langkah-langkah lain mengikut jejak. Bukan hanya perhati daripada sudut tanpa berani melangkah ke dalam suasana itu. BERANI!

Maka, aku harus terus mencuba. Mendaki puncak cita-cita yang banyak sudah Allah lorongkan jalan. Sabrina, terus pimpin tanganku menuju puncak cita teragungku –redha Allah- Tiada lain yang aku mahukan dalam kehidupan ini selain itu. Ketenangan abadi apabila diri berjaya menunaikan semua yang Allah perintah, meninggalkan apa yang Allah larang, dan menjadi manusia berguna.

Ajarkanlah aku ikhlas atas semua keadaan.

Rencam warkah aku buatmu. Sekadar meluah yang terlintas dalam akal fikirku. Setelah lama jemari tidak dibiarkan menari bebas atas papan kekunci, aku senang mengutus surat ini buatmu, Sabrina. Semoga ia tidak mengganggu kehidupan harianmu.

Maaf atas segala salah silapku selama kita bersama. Percayalah, perpisahan hanya peristiwa sedang hati yang bertaut tidak mungkin terpisah. Saya sayang kamu kerana Allah.

Durrah Nur Aqilah.

05 November 2012

SERUMPUN 2012 {entri satu)


SERUMPUN 2 , 2012 berakhir pada 4 November 2012. Perkongsian gandingan Pak Suratman Markasan, Akh Salim A. Fillah, Dr Zabrina Abu Bakar dan Kak Ummu Hani Abu Hassan.

Bermula dengan pelancaran dua buah buku, perasmian oleh atase pendidikan...
kedutaan Indonesia dan ucapan Ketua Pengarah DBP. diteruskan dengan forum dan penyampaian hadiah pertandingan menulis cerpen SERUMPUN 2. Tahniah Zahra' Fajar Nina , ini pemula yang sangat baik.

Petua Pak Suratman Markasan: 3M 1B : membaca, menelaah, berfikir dan mencipta.

Pesan Akh Salim A. Fillah ketika disoal tentang media sosial: " menulis itu 3% bakat dan 97 % jangan sibuk dengan media sosial!"

Kata Dr Zabrina Abu Bakar, "saya tidak selesa menulis apa yang saya tidak buat. Menulis daripada hati!"

Bicara kak Ummu Hani Abu Hassan, "Tulisan kita boleh menjadi 'pendakwah senyap'.( Mungkin apa yang kita tulis menyentuh hati dan menjadi asbab perubahan orang lain. )

*** SERUMPUN 2012, terima kasih dihadirkan peluang bersamamu. Kata Asma Nadia dalam SERUMPUN 2011, "satu buku sebelum mati!" ---- kata akh Salim A.Fillah: Menulis itu boleh menjadi jalan dakwah.Apa yang dimulai, kesannya bertahun, dan mungkin berpuluh tahun daripada sekarang.

** MENULIS!

### Insya Allah akan dikongsi dengan entri yang lebih panjang. Laporan penuh versi Ila Husna
### kredit gambar : fb Serumpun 2012