05 September 2012

Kucantum Perca Catatan Yang Tertinggal ...


Terketar jemari memulakan kembali
Kutinggal saat desa aku datangi
Penulisan itu dunia tidak aku ketepi.
Kini aku kembali,
Di sini.

Ramadhan meninggalkan kita tidak kembali tahun ini. Syawal berlalu kini. Usia 23 aku jejaki. Sambutan merdeka meninggalkan hari. Semester baru bermula lagi.

Sesi 2012/2013. Semoga tercapai hajatku grad pada 2014. Terlambat? Ya, sudah ramai sahabat dan temanku yang bakal graduasi tahun ini dan tahun hadapan. Tidak mengapa. Perlahan aku berjalan, semoga sampai akhir ke hujungnya.

Simple. Aku seorang manusia yang menjalani kehidupan dengan mudah. Ada ketika aku sendiri suka ambil mudah dan memudahkan perkara. Memandang enteng mungkin baik pada sesetengah perkara namun tidak elok untuk sesetengah hal.

Cuti? Nampaknya aku bercuti sendirian juga di rumah. Kakak-kakakku nan berempat semua punya sudah punya keluarga dan urusan masing-masing. Tiga minggu itu tidak lama, kan? Aku hanya sibuk melakukan rutin cutiku .. Cari barang untuk dibakar dan kurangkan kuantitinya di rumah ini, belek   buku yang belum bersentuh dalam almari buku, maraton tidur yang agak berlebihan, telinga disumbat siaran Kedah fm, memadam gambar dalam laptop yang tidak berkenaan, dan ... aduhai manuskrip keduaku ...

Kehidupan mudah seorang aku begitulah. Seperti orang tiada kehidupan. Usah disoal bagaimana kehidupanku di rumah lantaran semua orang punya kehidupan sendiri. Punya cara hidup yang mungkin hanya dia faham bagaimana dia jalani. J

Rindu memang aku rindu mahu menulis dan terus menconteng dalam diari maya yang tiada sempadan aku bicara ini. Biarlah ia wakil diriku yang enggan bicara banyak dan selalu kematian kata saat bertentang mata. Mata penaku sering lajunya melebihi lidahku sendiri.

Selamat datang semester baru. Semangat baru. Bilik G4-4 yang mahu aku namakan ia Gemilang 4-4.

Ketemu lagi, saat jemari bertemu papan kekunci.

Mahang/ 30 Ogos 2012.

****
Jejak-jejak

Catatan nan bersemadi di sini tidak lagi aku tinggalkan. Ia tanda perasaan aku pada saat ia terlontar menjadi baris kata. Mungkin akan aku perbaiki, namun isinya akan kekal di situ. Ia suara-suara dalam diri yang gagal aku bisikkan dan katakan secara lantang atau sembunyi. Tenang. Lebih rela dan senang aku gerakkan jemari nan sepuluh mengatur baris kata menjadi ayat dan perenggan hingga terbentuk sebuah catatan. Ah, mungkin lebih senang aku katakan ia hanya contengan seorang manusia yang jemarinya bergerak melebihi lidahnya sendiri.

Jemari yang perlu melukakan dengan hanya baris ayat yang diatur.
Jemari yang kata itulah lidahnya.

Terngiang pula di deria dengarku, lagu dendangan Ramli Sarip, (ya, aku senang juga mendengar alunan Ramli Sarip. Liriknya sering menerbangkan aku ke daerah tidak terjangkau dan asyik sekali.)

Lidah adalah hatiku,
Hatiku adalah lidahku
Andai terpisah keduanya
Justeru akulah yang durhaka (Lahirnya sebuah puisi, Ramli Sarip)

Senang aku terjerat pada madah dan kata. Bukan sekadar melankoliknya lagu, syahdunya muzik yang mengiringi, sering lirik yang dibawa melekatkan aku pada baris madah yang hingga di telinga.
***

Mengimbau ceritera yang singgah dalam sebuah kelas daripada kelas-kelas wajib yang aku hadiri. Kisah penyair zaman Rasululullah yang meninggalkan syair, puisi dan qasidah kerana menyibukkan diri dengan pengajian al-Quran.

Rasululullah tidak melarang penyebaran puisi, asal Allah diletak sebagai tujunya. Bukan melankolia dan memuja yang bukan sepatutnya. Mengapa yang kamu hantar puisi memuja kekasih gelap?  Merindu pada bukan haknya.

Perhatikanlah, wahai yang enak mendengar puisi. Hantarkan puisi memuji Ilahi, Kekasih-Nya, alam ciptaan dan apa sahaja asal tidak dilanggar batas sempadan. Kata-kata Allah harus di depanmu. Bisikan dan kalam Allah tonjolkan ia supaya yang sampai kepada yang membaca adalah rasa cinta kepada Yang Kuasa bukan kesedihan ditinggal kekasih tidak sah dan pujimu pada yang bukan hak.

aduhai,
diri yang gemar mencatat baris kata,
perhati
rimbun madahmu pasti tersoal
pada hari tiada perlindungan
Allah.
Letakkan ia tuju hidupmu.

Mahang/1502/ 1.9.12

***
5 September 2012.

Hujan menghantarku pulang. Dinihari basah bumi Mahang setelah lebih dua minggu hanya cuaca panas menemani siang dan malam di sini. Selalu hujan menjadi teman saat kaki akan aku langkah meninggalkan tanah kelahiran ke Kampung Gombak di pinggir Kuala Lumpur. Ayah dan mak cik menghantarkan aku sehingga bas bergerak meninggalkan Stesen Bas Kulim.

Plusliner tetap menjadi pilihan sejak dahulu hingga hari ini. Bas yang langsung membawaku ke Puduraya (Pudu Sentral) tanpa banyak berhenti. Hujan menemani saat aku langkahkan kai ke dalam bas ini. Dalam perjalanan yang mana kerusi buat orang hanya sendirian aku duduk, jemari ‘gatal’ mencatat menghilang rasa mengantuk yang bertandang sejak tadi.

Berakhirlah percutian melebihi tiga minggu setelah berakhirnya semester pendek 2011/2012, Tahun pengajian baru menjengah. Sesi 2012/2013. Ada sudah teman yang menamatkan pengajian, sedag aku masih terkial-kial menyambung satu demi satu subjek. Diri, usah dibuat masalah. Cukup-cukuplah dengan pengalaman tidak manis yang sengaja kamu cipta sepanjang tiga tahun pengajian di Bumi Gombak.

Semester-semester akhir kamu di Taman Ilmu dan Budi ini, tanamkan semangat dan betulkan niat. Jaga solat. Jaga solat. Jaga solat. Sebab masalah dan segala kemurungan adalah kerana melalaikan solat. Ingatkan kamu seruan azan, marilah menuju kejayaan.

Orang yang bersolat akan berjaya. Bukan kata aku. Allah sendiri menukil dalam al-Quran  dalam surah al- Mukminun ayat satu hingga tujuh yang menerangkan ciri-ciri orang berjaya. Salah satunya orang yang menjaga solat dan khusyuk dalam solatnya.

Senang kan berkata KHUSYUK. Mendapatkan khusyuk tidak semudah menuturkannya. Hanya mereka yang menjaga hubungannya dengan Allah dan merasakan Allah melihat segala gerakannya boleh khusyuk. Indahnya tenggelam dalam kenikmatan bersolat kepada Allah.

Solat dari segi bahasa maknanya doa. Sejujur manakah doa yang telah aku lantunkan kepada Allah? Atau ia gerakan pada bibir yang tidak difahami makna dan tidak tahu apa yang diminta... Allah, Maha Kayanya Engkau yang mengetahui walau dalam bahasa apa sekalipun kamu menutur doa dalam solat.

Aduhai diri, semester baru ini, usah dikata yang lain. Hanya satu, pesanku di awal semester. Jagalah solat, kamu berjaya. Jagalah Allah, Allah menjagamu.

Sekian, catatan dalam bas ...
5.9.12/10.24 pagi.
Kulim-Kuala Lumpur, bas Plusliner.

***





"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

No comments: