27 September 2012

Kasih Nasuha, Zurinah Ismail

Judul Buku: Kasih Nasuha
Pengarang: Zurinah Ismail
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Tahun Terbit: 2010
Tarikh Bacaan: 25 September 2012
Harga: RM15.00
_______________________________________


Kasih Nasuha yang ditulis Zurinah Ismail memberi saya kekuatan baru. Temanya mungkin biasa, tetapi kelancaran bahasa dan ceritanya menjadikan saya memegang Kasih Nasuha dan mengusungnya selama sehari. Walau hanya setebal 165 muka, tidak semudah itu saya dapat menghabiskan bacaan genre novel remaja sekarang. Secara peribadi, aliran cerita yang lancar dan terasa dekat di hati sering 'menang' dalam pembacaan saya. Lihat sahaja deretan buku-buku yang belum dibaca, Kasih Nasuha menjadi pilihan hati untuk saya hadam dan mulakan satu misi baru membaca deretan novel tarbiah remaja yang dibeli.

Ayuh, kita lihat 'blurb' yang tertulis di kulit belakang Kasih Nasuha.

"kesempitan hidup keluarga bukan masalah besar bagi gadis kecil setabah Nasuha. Namun dia keliru, kenapa ayahnya membeza-bezakan dia dan kakaknya Noriah. Ada sesuatu yang tersimpan kemas dalam memori lipatan ibunya.

Dengan sokongan ibunya, Nasuha mahu bangkit untuk membuktikan sesuatu. Namun konflik dengan Mohd Faiz, anak pengetua sekolah, membuatkan dia tertekan dan terhina. Apakah keanggotaannya dalam kumpulah High Six dapat memberi apa-apa makna?

Berkawan dengan kate mengundang parah. Gara-gara gadis bermasalah itu, Nasuha hilang kepercayaan ibunya. Lalu, kepada siapa lagi dia mahu mengadu dan menagih kasih?

Nasuha ingin kuat, seteguh kain belacu. Dia juga harus lembut, selembut sutera. Di hujung ikhtiar manusia, berlakulah takdir yang Esa. Nasuha pasrah."

Blurb ini sudah mewakili sinopsisnya. Pada saya, ceritanya bergerak lancar hingga tidak memaksa saya membaca satu demi satu ayat namun terus mengikut baris demi baris kisahnya tanpa paksaan. Dialog-dialog yang ada menghidupkan watak-watak dalam kisah ini.

Permulaan babnya, saya suka. Saya tampalkan di bawah contohnya. Ada kata-kata yang boleh menambah perbendaharaan pelajar dan memberi ruang kreativiti pelajar membina ayat-ayat yang menarik. Kisahnya juga banyak dilampirkan peribahasa yang tentunya membolehkan pelajar menggunakan dalam karangan mereka kelak.

"Hatinya seteguh belacu, namun juga selembut sutera." Itulah Nasuha yang tidak mementingkan diri demi keluarga. Benarlah Allah memberi kadar usaha. Allah melihat usaha bukan kejayaan yang kita tempuh. Setiap jalan ada ganjaran. Setiap ujian ada bayarannya.

Kasih Nasuha berjaya mengikat saya membacanya hingga usai. Tahniah, puan Zurinah Ismail. Semoga puan terus menulis dalam genre tarbiah yang baik dibaca anak-anak. 

Sebelum menutup bicara saya teringat kata-kata Encik Amir, editor di Galeri Ilmu. "Menulis sudah menjadi fardu kifayah sebab jika kita tidak menulis yang baik-baik, nanti semua akan berdosa."

Juga kata-kata ustaz Saad ad-Din dalam kelas Ulum Hadis, "setiap semester perlu ada kumpulan-kumpulan yang belajar ilmu Hadis, jika tidak seluruh UIAM berdosa."

Ila Husna.

No comments: