Izham melihat jam yang tertera pada telefon genggam tidak canggihnya. 04:13 p.m. Perut mula berkeroncong memandangkan belum ada makanan yang menjadi hidangan jasadnya hari ini. Dipandang sekeliling , melihat pelajar UIAM yang rajin bertandang ke Maktabah Dar-Hikmah walaupun pada hari Ahad.
Dia mendatangi maktabah bukan untuk mengulangkaji. Entah masalah apakah lagi, di mahallah, wireless tidak memainkan peranan. Tidak dapat dia bermain-main di alam maya seperti selalu. Ada sisi baik sebenarnya. Apabila tidak dapat berada atas talian, barulah buku nan berderet akan disentuh, kerja nan menimbun makin susut timbunannya.
"Izham, jom makan!" Akmal, teman sekuliah yang datang bersama-samanya mendatangi meja tempatnya.
"Aku tidak lapar. Kau pergilah!" Izham memberi alasan. Sedang dalam koceknya, tidak ada satu sen yang dapat digunakan untuk membeli makanan.
Semalam ayah sudah memasukkan wang RM100 ke dalam akaunnya. Dosa apakah yang telah dia lakukan, kad banknya tidak dapat digunakan. Sedang, kad itu baharu sahaja diperbaharui. Dia enggan meminta pada orang lain walaupun Akmal, teman baiknya.
Allah sedang mengajarnya sesuatu.
Teringat peristiwa semalam.
***
"Angah, ayah sudah masukkan RM100. Pandai-pandailah guna." Ayah menelefon pada petang itu. Dalam segan, dia menghantar mesej pada ayah, meminta ayah memasukkan wang ke dalam akaunnya. Duit PTPTN sudah lesap digunakan membeli buku dan pembayaran yuran. Terasa sama sahaja mendapat pinjaman atau tidak. Besar duit dalam tangan, banyak buku yang akan dibeli.
Izham tersenyum. "Terima kasih, ayah."
Cepat-cepat Izham ke ATM berdekatan maktabah Dar Hikmah.
"Meps not supported."
Tidak berputus asa. Izham mendatangi semua ATM sekitar universitinya. Ternyata kadnya rosak lagi. Benda baharu. Spontan, ada air jernih menuruni pipi. Air yag hadir tanpa dipinta.
"Allah."
Bersama deraian air mata yang ditahan, Izham kembali ke Mahallah Syafei.
"Akmal, petang ini tidak perlu ke bilik aku. Aku sibuk."
Petang itu sepatutnya Izham dan Akmal membincangkan kerja yang perlu dihantar Isnin depan. Perasaannya terganggu. Untuk mengelakkan Akmal melihat tangisannya, lebih baik dia mengelak.
Ayah menelefon lagi. "Sudah ambil wangnya."
"Kad rosak." Izham mematikan talian. Tidak sanggup menahan air mata yang makin laju.
"Assalamualaikum."
Salam dan ketukan bergema di pintu. Akmal. "Ah, dia kawan yang degil. Aku tidak memintanya datang, tetap muncul depan kamarku ini."
"Jom, makan." Di tangannya dua plastik berisi nasi goreng ayam, dua bungkus neslo.
Izham tersenyum. Mata yang merah dibiarkan.
Terasa malu memarahi diri sendiri dengan tangisan sebentar tadi.
Izham terkedu sendiri. Banyak kali terjadi begitu. Saat dirasa poketnya sudah kering, ada tangan menghulur padanya. Ada makanan 'datang' ke biliknya. Betapa baiknya Allah yang memudahkan semuanya.
Izham malu, dia bukan seorang yang baik, namun Allah sentiasa memberikan kebaikan padanya.
"Akmal, terima kasih."
Akmal tersenyum. "Aku tahu kau belum makan. Sudah sedekad kita berteman. Sedikit sebanyak aku menangkap perangai kau. Jangan disembunyi masalah. Menangis sendiri."
Izham tersengih tawar. Allah, Hanya Engkau memberikan yang terbaik.
-------------
Ila Husna,
30 September 2012
Maktabah IIUM.
Maktabah IIUM.
~Lama benar tidak melakar cerpen~
Comments