30 September 2012

Cerpen: Jemput makan, kawan!

Izham melihat jam yang tertera pada telefon genggam tidak canggihnya. 04:13 p.m. Perut mula berkeroncong memandangkan belum ada makanan yang menjadi hidangan jasadnya hari ini. Dipandang sekeliling , melihat pelajar UIAM yang rajin bertandang ke Maktabah Dar-Hikmah walaupun pada hari Ahad.

Dia mendatangi maktabah bukan untuk mengulangkaji. Entah masalah apakah lagi, di mahallah, wireless tidak memainkan peranan. Tidak dapat dia bermain-main di alam maya seperti selalu. Ada sisi baik sebenarnya. Apabila tidak dapat berada atas talian, barulah buku nan berderet akan disentuh, kerja nan menimbun makin susut timbunannya.

"Izham, jom makan!" Akmal, teman sekuliah yang datang bersama-samanya mendatangi meja tempatnya. 

"Aku tidak lapar. Kau pergilah!" Izham memberi alasan. Sedang dalam koceknya, tidak ada satu sen yang dapat digunakan untuk membeli makanan.

Semalam ayah sudah memasukkan wang RM100 ke dalam akaunnya. Dosa apakah yang telah dia lakukan, kad banknya tidak dapat digunakan. Sedang, kad itu baharu sahaja diperbaharui. Dia enggan meminta pada orang lain walaupun Akmal, teman baiknya. 

Allah sedang mengajarnya sesuatu.

Teringat peristiwa semalam.

***

"Angah, ayah sudah masukkan RM100. Pandai-pandailah guna." Ayah menelefon pada petang itu. Dalam segan, dia menghantar mesej pada ayah, meminta ayah memasukkan wang ke dalam akaunnya. Duit PTPTN sudah lesap digunakan membeli buku dan pembayaran yuran. Terasa sama sahaja mendapat pinjaman atau tidak. Besar duit dalam tangan, banyak buku yang akan dibeli.

Izham tersenyum. "Terima kasih, ayah." 

Cepat-cepat Izham ke ATM berdekatan maktabah Dar Hikmah.

"Meps not supported."

Tidak berputus asa. Izham mendatangi semua ATM sekitar universitinya. Ternyata kadnya rosak lagi. Benda baharu. Spontan, ada air jernih menuruni pipi. Air yag hadir tanpa dipinta.

"Allah."

Bersama deraian air mata yang ditahan, Izham kembali ke Mahallah Syafei.

"Akmal, petang ini tidak perlu ke bilik aku. Aku sibuk."

Petang itu sepatutnya Izham dan Akmal membincangkan kerja yang perlu dihantar Isnin depan. Perasaannya terganggu. Untuk mengelakkan Akmal melihat tangisannya, lebih baik dia mengelak.

Ayah menelefon lagi. "Sudah ambil wangnya."

"Kad rosak." Izham mematikan talian. Tidak sanggup menahan air mata yang makin laju.

"Assalamualaikum."

Salam dan ketukan bergema di pintu. Akmal. "Ah, dia kawan yang degil. Aku  tidak memintanya datang, tetap muncul depan kamarku ini."

"Jom, makan." Di tangannya dua plastik berisi nasi goreng ayam, dua bungkus neslo.

Izham tersenyum. Mata yang merah dibiarkan. 

Terasa malu memarahi diri sendiri dengan tangisan sebentar tadi. 

Izham terkedu sendiri. Banyak kali terjadi begitu. Saat dirasa poketnya sudah kering, ada tangan menghulur padanya. Ada makanan 'datang' ke biliknya. Betapa baiknya Allah yang memudahkan semuanya.

Izham malu, dia bukan seorang yang baik, namun Allah sentiasa memberikan kebaikan padanya. 

"Akmal, terima kasih."

Akmal tersenyum. "Aku tahu kau belum makan. Sudah sedekad kita berteman. Sedikit sebanyak aku menangkap perangai kau. Jangan disembunyi masalah. Menangis sendiri."

Izham tersengih tawar. Allah, Hanya Engkau memberikan yang terbaik. 



-------------
Ila Husna,
30 September 2012
Maktabah IIUM.
~Lama benar tidak melakar cerpen~

28 September 2012

Aqilah, anak saudaraku.

Aku tidak ingat Majalah Asuh keluaran mana yang telah aku tunjukkan pada anak saudara sulungku yang berusia 10 tahun ini. Aku berjanji aku mengeposkan jika dia menulis karangan pendek untuk Asuh. Gembira pula memberi mereka membaca majalah ini.

Dia menulis menggunakan tangan. Bertulisan tangan. Ibu saudaranya yang penyegan ini, tidak menaipnya semula. Membiarkan karangan bertulisan tangan itu sampai kepada Editor. Bukankah aku dahulu juga begitu? Bezanya aku menghantar ke radio, dan ini Asuh. -ah, aku sendiri belum pernah menerjah majalah Asuh. Semasa sekolah rendah, aku hanya mengenal Didik, Kuntum, Kawan dan seangkatan dengannya. Yang ada majalah kakak-kakakku -ANIS, IBU, IBU BAPA, Saji dan majalah lain. Harus juga berikan mereka membaca apa yang baik buat mereka. Mahu memberi benda lain, aku sangat tidak pandai.

Setelah tiga kali ditanya anak saudaraku sudah poskah karyanya, barulah aku ke pejabat pos. Seingat aku dua bulan lepas.. Alhamdulillah, karangannya tersiar dalam majalah Asuh bulan ini. Ya, ramai lagi karya lain yang tersiar, hanya aku mahu melahirkan keterujaan tadi saat melihat namanya.  Seakan teringat kegembiraan yang aku rasa lebih satu dekad yang lalu.

Dua hari sudah, melihat majalah Asuh hanya tinggal sebuah di kios UIA. Duit dalam poket tidak mencukupi untuk membelinya, melihat sekali lagi petangnya, naskah itu tiada lagi.

Hari ini, dapat membeli Majalah Asuh keluaran Oktober 2012. Belek-belek, melihat nama Nor liyana Aqilah Ridzuan. Seperti nama yang sangat sinonim. :) Tahniah, anak saudaraku, dalam usia 10 tahun karangannya tersiar dalam Asuh. Semoga kelak dia juga menjadi penulis. Katanya berminat menjadi guru.

Lain kali, bolehlah menulis lagi. :)

Buat anak saudaraku, harus menulis lagi.

"Bila acu balik?"

"Raya haji... "

Aku tahu dia juga tidak sabar melihat karangannya itu. Terus tekal anak saudaraku ...

"Nanti acu hantar lagi."

Pandai pula mulut ini mengatur janji. Semoga anak saudara sulungku ini meminati dunia penulisan jua. Amin. (ayuh yang membaca, aminkan bersama. :) )

Suatu Hari, dia bertanya kepadaku ...

Suatu hari, kau mendatangi bersama sebuah persoalan.

“khabarkan aku tentang pernikahan semasa belajar”

Bagaimana, kawan?

Bagaimana untuk aku beritakan padamu sedang aku bukan kalangan itu. Aku sendiri masih tercari perjalanan hidup yang belum stabil. Sama-sama kita doakan yang terbaik buat kita, ya.

Kata seorang ustaz dalam satu kursus yang aku sertai, “jika sudah berkahwin semasa belajar 4 flatlah. Sudah tidak ada dosa lagi.”

Ketika ustaz mengutarakan itu, aku hanya ketawa. Akhirnya, ia membawa kepada satu renungan panjang. Benarlah kata ustaz. Bukankah pernikahan itu satu jalan yang dianjurkan bagi mengelak dosa. Dosa mengingat pada yang tidak berhak. Wanita senang masuk syurga dan senang masuk neraka.

Berkahwin semasa belajar? Setiap orang ada pendapat masing-masing. Kawan, bagi aku, ia terletak pada diri pasangan itu. Ketika mereka merasakan itu yang terbaik, teruskanlah. Ia sangat baik, sebab kita buat apa yang agama suruh. Mengelakkan maksiat.

Itu lebihnya. Kita ada teman berbual. Kita ada pemberi semangat yang halal. Kita ada kawan berkongsi segala-galanya. Kita rasa tenang dan bahagia sebab kita tidak melakukan maksiat. Sangat beza bercinta dan berkasihan dengan yang halal. Bebas berpegangan tangan, boleh berjalan sama-sama tanpa ada yang serong melihat malah didoakan kebahagiaan kita ..

Ada juga hal yang perlu difikir. Kewangan, emosi, persahabatan dengan orang sekeliling, keluarga dan banyak hal lagi. Tidak semudah duduk atas kerusi sambil makan ais krim kerja nikah-kahwin. Apatah lagi saat belajar. Pernikahan bukanlah menyatukan dua manusia yang tidak sama jantina, tetapi penyatuan dua keluarga.

Aku tidak menolak. Tetapi, bagi aku, secara peribadi, ada hal lain yang perlu aku fikirkan. Jodoh akan tiba setelah saatnya sesuai. Buatlah pilihan terbaik, kerana keputusan ini untuk seluruh hidupmu. Bukan sebab mahu bersuka-suka lagi, banyak ... banyak hal bagi aku yang perlu difikirkan sebelum tangga pernikahan dijejak. Layakkah berada dalam dunia itu?

Kawan, aku melihat kebahagiaan orang yang bernikah semasa dunia belajar, namun aku tidak pernah tahu gelora yang melanda. Kekuatan yang hadir mungkin lebih sebab kita sudah berdua, tetapi ... masih ada tetapinya bagi aku. Bukan aku menolak idea ini, sedang pernikahan yang awal itu lebih baik, hanya saat aku terfikir perihal nikah-kahwin, banyak hal lain aku merasuk akal fikirku sendiri.

Kawan, bagi aku, saat pernikahan akan tiba pada saat yang terbaik buat kita. Tidak kiralah semasa belajar atau di alam pernikahan. Aku tahun ramai wanita punya kesenangan bukan dikurnia jodoh, tetapi kita harus berdoa yang terbaik . Bukan dengan siapa kita berkahwin itu penting, tetapi bagaimana diri untuk menempuh dunia pernikahan itu. ..

Kawan, aku mungkin tidak mampu menjawab persoalanmu. Kawan, saat kamu rasa tenang dengan keputusanmu, itulah saat paling baik kamu melangkah ke dunia itu. Tidak kisahlah semasa masih belajar atau sudah bekerjaya. Jodoh sudah ada di atas sana, hanya kita harus mendoakan yang terbaik.

Kawan, Dia tahu yang kita perlu bukan yang kita mahu, kan? Itu yang sering kita ulang. Justeru, ayuh kita saling mendoakan. Maaf, andai ini tidak boleh dikatakan pencerahan, hanya berkongsi yang hadir saat ini ... Saya mendoakan yang terbaik, buatmu kawan!

Berbicaralah dengan yang sudah punya pengalaman, itu yang terbaik.

Wassalam.

27 September 2012

bintang kertas


kerinduan
bermakna 
bersama
iringan doa
tanpa putus.

Suatu hari Sarah ajarkan aku membuat bintang. Dalam semua bentuk origami yang ada ada, aku hanya tahu membuat kapal. Sejak dahulu itu yang aku belajar.

Ketika aku Sarah melihat barang-barang comel di JJ, aku tertarik pada botol kosong yang dalamnya diisi bintang dan kertas. Sangat comel. Lalu, kami capai satu botol.

Kami mahu isikannya dengan bintang warna-warni. Melihat bintang kertas, aku teringatkan si manis gadis puisi -Suhada-. 

Suatu malam dalam tujuh malam yang ada, aku mengunjungi bilik Sarah.

"Ajarkan saya buat bintang."

Aku mencuba. Entah cubaan ke berapa, belum menjadi. 

kata Sarah, "buat sampai boleh." 

Akhirnya bintang kertas yang aku buat senget. Tidak stabil.

Botol kosong yang kami beli dipenuhi bintang yang dibuat sarah, sedang aku belum satu bintang yang dapat aku hasilkan.

pesan cikgu Sarah, "berlatih buat bintang sampai boleh."

kata orang, bintang kertas paling mudah dibuat. 

Kasih Nasuha, Zurinah Ismail

Judul Buku: Kasih Nasuha
Pengarang: Zurinah Ismail
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Tahun Terbit: 2010
Tarikh Bacaan: 25 September 2012
Harga: RM15.00
_______________________________________


Kasih Nasuha yang ditulis Zurinah Ismail memberi saya kekuatan baru. Temanya mungkin biasa, tetapi kelancaran bahasa dan ceritanya menjadikan saya memegang Kasih Nasuha dan mengusungnya selama sehari. Walau hanya setebal 165 muka, tidak semudah itu saya dapat menghabiskan bacaan genre novel remaja sekarang. Secara peribadi, aliran cerita yang lancar dan terasa dekat di hati sering 'menang' dalam pembacaan saya. Lihat sahaja deretan buku-buku yang belum dibaca, Kasih Nasuha menjadi pilihan hati untuk saya hadam dan mulakan satu misi baru membaca deretan novel tarbiah remaja yang dibeli.

Ayuh, kita lihat 'blurb' yang tertulis di kulit belakang Kasih Nasuha.

"kesempitan hidup keluarga bukan masalah besar bagi gadis kecil setabah Nasuha. Namun dia keliru, kenapa ayahnya membeza-bezakan dia dan kakaknya Noriah. Ada sesuatu yang tersimpan kemas dalam memori lipatan ibunya.

Dengan sokongan ibunya, Nasuha mahu bangkit untuk membuktikan sesuatu. Namun konflik dengan Mohd Faiz, anak pengetua sekolah, membuatkan dia tertekan dan terhina. Apakah keanggotaannya dalam kumpulah High Six dapat memberi apa-apa makna?

Berkawan dengan kate mengundang parah. Gara-gara gadis bermasalah itu, Nasuha hilang kepercayaan ibunya. Lalu, kepada siapa lagi dia mahu mengadu dan menagih kasih?

Nasuha ingin kuat, seteguh kain belacu. Dia juga harus lembut, selembut sutera. Di hujung ikhtiar manusia, berlakulah takdir yang Esa. Nasuha pasrah."

Blurb ini sudah mewakili sinopsisnya. Pada saya, ceritanya bergerak lancar hingga tidak memaksa saya membaca satu demi satu ayat namun terus mengikut baris demi baris kisahnya tanpa paksaan. Dialog-dialog yang ada menghidupkan watak-watak dalam kisah ini.

Permulaan babnya, saya suka. Saya tampalkan di bawah contohnya. Ada kata-kata yang boleh menambah perbendaharaan pelajar dan memberi ruang kreativiti pelajar membina ayat-ayat yang menarik. Kisahnya juga banyak dilampirkan peribahasa yang tentunya membolehkan pelajar menggunakan dalam karangan mereka kelak.

"Hatinya seteguh belacu, namun juga selembut sutera." Itulah Nasuha yang tidak mementingkan diri demi keluarga. Benarlah Allah memberi kadar usaha. Allah melihat usaha bukan kejayaan yang kita tempuh. Setiap jalan ada ganjaran. Setiap ujian ada bayarannya.

Kasih Nasuha berjaya mengikat saya membacanya hingga usai. Tahniah, puan Zurinah Ismail. Semoga puan terus menulis dalam genre tarbiah yang baik dibaca anak-anak. 

Sebelum menutup bicara saya teringat kata-kata Encik Amir, editor di Galeri Ilmu. "Menulis sudah menjadi fardu kifayah sebab jika kita tidak menulis yang baik-baik, nanti semua akan berdosa."

Juga kata-kata ustaz Saad ad-Din dalam kelas Ulum Hadis, "setiap semester perlu ada kumpulan-kumpulan yang belajar ilmu Hadis, jika tidak seluruh UIAM berdosa."

Ila Husna.

24 September 2012

selepas separuh hari diam ...

Bersimpang siur seketika akal cuba mentafsirkan kata-kata yang saling menghambat memasuki kotak kepala. Sedang kecil mampunya memasukkan semua maklumat. Dia hanya diam. Menghadam setiap bait kata, menconteng pada buku yang sedia di depannya dan akhirnya pada hari kedua dia rebah. Niatkah yang sudah lari pada hari kedua?

Salah dia sendiri. Gagal memberi tumpuan. Benarlah syaitan sangat suka pada orang yang mahu belajar. Memang tidak duduk diam, sambil ada ketika dia menjeling telefon genggam di dalam beg.

Dua hari yang berlalu penuh keriangan. Alhamdulillah atas kesempatan yang Allah berikan untuk dia mendengar setiap kata-kata buat pedoman hari depan. Makin dekat tarikh dia akan meninggalkan taman ilmu dan budi, makin terasa banyaknya peluang yang dilepasi. Sengaja melepaskan demi kepentingan diri sendiri.


Dia melihat wajah ceria orang lain dengan wajah selambanya. Semoga segala yang baik, dia jadikan ingatan yang buruk minta dijauhkan.

Persediaan yang dilakukan tidak menjami realiti kehidupan kelak. Berdoalah agar hanya yang baik buat dia ... Sekurangnya sudah dapat sedikit pendedahan. :)

******

Genggamlah tangan aku jangan biar terlepas lagi
berkali-kali aku lemas dan dilemaskan perasaan sendiri
sungguh ianya amat menyakitkan
lepaskanlah semua ikatan yang mengikat diri
aku mahu persis burung yang terbang bebas
tanpa ketakutan.


bicarakanlah pada yang berhak.
simpankan pada yang hak.
kongsikan hak

23 September 2012

lagi-lagi kata dalam diam


diam - diamlah mengatur terus langkah demi langkah tuju sebuah cita.  pada perkara yang telah banyak kamu canangkan dan perikan pada khalayak, pasti ada sisi yang mahu kamu simpan rapi dalam diri. Percayalah, bagaimana terus terangnya seseorang, ada perkara yang tidak dikongsi dengan orang lain. Pendiam mana seseorang, ada ada hal yang diberitahu kepada orang lain.

melawan gergasi dalam diri sendiri. Perlukan kekuatan dan dipinjam semangat nan teguh. Semua orang mahu yang terbaik dan inginkan yang terbaik. Hanya, berubah diri menjadi lebih baik?

 menangis memang boleh menjadi terapi buat diri sendiri. (lama tidak menangis)

 kamu pernah rasa, suatu hari kamu mahu hentikan perkara - perkara yang kamu suka, da kamu hanya duduk menjadi pemerhati daripada jauh. Kamu mengenali orang sedang orang tidak mengenali kamu. Kamu bebas! Tidak terikat apa-apa.

Ada persamaan pada teman-teman penulisan saya: tidak hanya suka menulis, adalah mereka menggemari seni fotografi. Suka berjalan-jalan dan kembara. :)

semakin besar perkara yang kamu dapat, semakin besar pengorbanan yang perlu kamu lakukan. Tidak ada hanya kemanisan mewarnai hidup.

sudah. semakin ke laut andai jemari terus mengetik pada papan kekunci. 

22 September 2012

terlebih.




apabila terasa terlalu berlebihan, aku perlu undur beberapa tapak ke belakang, lihat apa yang telah aku lakukan.

semakin terasa di awangan, jasad tidak berpijak di bumi nyata, sedang kaki masih di rumput nyata. 

selamat malam.
kepada yang terbaca blog ini, terima kasih saya ucapkan.
maaf kesalahan setiap tulisan.

semoga Allah panjangkan usia kita dalam keberkatan.

Menjejak ITBM

Jam sudah melewati angka dua belas tengah malam. Saya sudah lama di alam mimpi. Entah apakah yang merasuk diri malam itu sehingga awal benar katil saya datangi. Apabila teman menelefon malam itu, nyata benar suara saya seprti orang 'mamai' yang belum sepenuhnya jaga.

Kotak mesej telefon 'canggih' saya didatangi pesanan ringkas daripada Umairah. Dia bertanya adakah saya sertai lawatan ke Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang diadakan pada 21 September 2012. Saya yang masih separa sedar menjawab mesej, dan Allah izinkan kaki saya menjejak ITBM.

Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Sudah lama saya ingin menjejak ke sana. Alhamdulillah, ini rezeki. Cerita ini benar-benar tentang takdir terindah yang Allah aturkan buat saya minggu ini.

ITBM ini letaknya hampir dengan rumah ibu saudara. :)

Tiba kami di sana, saya disapa satu rasa yang seakan mahu membeli setiap satu judul buku yang ada. Wah, saya sudah tahu bagaimana mahu mendapatkannya. Terima kasih, kakak yang baik. Suatu hari akan saya hubungimu.

ITBM punya enam tingkat dan masih dalam pembaikan. Dimulakan dengan penerangan serba ringkas dan pengenalan tentang terjemahan yang dijalankan ITBM dan jabatan buku. Ah, ITBM dan UIAM memang dekat. Adik beradik. :)

Saya teringat kata-kata encik Anuar Manshor, (graduan UIAM) yang memberi penerangan tadi,

"kena ada target mahu jadi apa apabila keluar nanti. Jika mahu guru J-Qaf, boleh. Kalau mahu jadi pensuarah, dapatkan skor tinggi, sambung sarjana. Macam saya, mak ayah mahu saya jadi ustaz. Saya tak jadi ustaz pun. Saya mula menulis dan akhbar dan majalah semasa belajar. Sebulan boleh dapat RM300. Tak perlu minta pada mak ayah lagi."

Target. Apakah kerja yang mahu saya jadi?

Tentang terjemahan pula. Encik Sakhri banyak menceritakan yang manis-manis. Teringat saya pengalaman yang suka Dr Akmal Khuzairy ceritakan dalam kelas semasa mengambil "introduction to translation" perihal pengalaman beliau ... dalam manis tentunya banyak yang pahit.

Pengumuman paling teruja. "Sesiapa yang mahu sertai bengkel penulisan 5,6,7 ini, boleh beri nama." Terus saya teringat dua nama. Apabila selesai bengkel nanti bolehlah saya ceritakan kisahnya. Buat pemilik dua nama ini, semoga jodoh kita kuat. :) sayang kalian.

Kemudian, kami dibawa melawat tingkat empat yang menempatkan jabatan terjemahan. Ada kumpulan pelajar yang sedang mengikuti kursus terjemahan am. RM1,200 untuk kursus sepuluh hari. Pelaburan berbaloi bagi yang benar-benar berminat. Saya, sentiasa tiada akal mahu bertanya soalan. Dalam kepala, hadir satu nama. Saya bisik-bisikkan pada Umairah di sebelah. Segan mahu bersapa sebenarnya...

Di tingkat tiga, jabatan buku. Dari kejauhan, saya sudah nampak satu sosok yang saya mahu jumpa. Masih segan alah mahu bertegur sapa. Saya memandang dari jauh. Umairah sedang mendengar penerangan di sudut lain, dan saya di sudut lain. Apabila dia menghampiri, Umairah bertanya, adakah kak Ainunl Muaiyanah?

Saya tunjukkan padanya. "Itu."

Saya kuatkan hati, sedang badan sudah mula bergetar. Reaksi biasa bertemu orang. Kami berdua menghampiri Kak Ainunl dan ....

terasa tidak mahu pulang.

Saya setuju perihal menulis puisi bukan perkara yang boleh diakar-ajar. Kita hanya boleh berkongsi sedang puisi itu hadir daripada hati. Ia mengalir secara semulajadi. Mungkin subjek biasa, ia menjadi luar biasa.

Saya mengenalkan Umairah pada Kak Ainunl. Ah, Umairah. Semoga akad hadir kumpulan puisimu. Rugi puisi manis itu tidak dikongsi ke pelosok dunia. Biar ia jadi harta kita, bekalan pewaris kelak. :)

Maaflah adik-adik BARB andai terlihat kakak nan seorang ini kelihatan 'teruja' dengan pertemuan itu. Dalam sesi lain, pasif, tiba-tiba bertemu editor ini, lain jadinya. :) Sisi lain Jamilah, mungkin. Betul tak, Umairah? Manusia punya banyak sisi, kan?

Soalan popular yang tidak boleh lari apabila "penulis" bertemu. "Bila mahu hantar manuskrip." Tiiiiiiiiiiiiiiitttttttttttttt .....

Insya Allah. Perlu bekerja lebih kuat. Kepada Tetamu Istimewa, pemilik nama Mohd Helmi Ahmad, saya cadangkan kamu menghantar manuskrip kumpulan cerpen ke sini. Kumpulan puisi pun baik juga. :)

kepada umairah, selepas mengkaji puisi nanti, bolehlah bukukan puisi hatimu. Lagi cepat lagi baik. Apabila anak sulung lahir, tentu lahir pula anak kedua.

Kepada Fatin Zuaini, pemilik blog Sidratul Muntaha, semoga pertemuan bersama akan hadir. Tahniah kelahiran buku sulung. Terbaiklah!

*mulanya mahu bercerita tentang lawatan, sudah jadi entri rojak pula. Tidak mengapalah!

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

19 September 2012

Ina, Zahra', Umairah, Su ..

Sampaikan salam rinduku buat mereka ini ,,,
Jam pada angka 2:17 pagi.

Hati disapa rindu dan mata terasa panas secara tidak sengaja. Entah mengapa. Ada suara halus mahukan aku menulis tentang mereka yang hadir dalam ingatan aku malam ini. Lalu, biarkanlah seketika jemari ini mengalun bicara pada nama-nama yang tertera di atas.

Lantas, aku gerakkan jemari, bermain dengan papan kekunci...

Ina.

Pertemuan pertama kita adalah tulisan-tulisan kita. Minggu Penulis Remaja memberi memori yang mengekalkan ikatan itu sehingga hari ini. Maha Baiknya Allah. Hubungan yang terbina kekal sampai hari ini. Ina, kita saling menguatkan, ya. Mengejar tarikh akhir sahaja akak sering lelah. Mengurus waktu akak selalu rebah. Dari jauh, hembuskan pada deru angin doa buat akak, ya. Semoga akak terus kuat demi hari esok dan melupakan kisah semalam.

Adikku, teruskan menulis walau dalam apa medium. Ina punya bakat yang orang lain tiada. Ina pernah buktikan yang Ina mampu menembus majalah suatu masa dahulu. Akak juga. Terfikir juga, ke manakah hilangnya semangat suatu masa dahulu? Sudah menyorokkah keberanian itu? (kata untuk diri akak juga)

Akak gembira dapat berkongsi dengan Ina. Tentang itu ini. Dunia luar akak diam, tulisan akak tidak juga membisu. Maafkan akak kadang mesej selalu menjengah. Teringatkan Ina, terasa gembira dapat berkongsi gembira.

semoga Allah pelihara persahabatan kita, Ina. Projek kita juga semoga Allah permudahkan.

Ina, adikku. Semoga terus kuat menongkah perjalanan seorang mahasiswa. Kamu hebat!

Zahra'.

Aku kenal adik ini dalam kelas nahu semester pendek yang lalu. Kami sekelas dan bersama-sama dalam satu kumpulan. Alkisahnya aku terlihat pada komputer ribanya tertulis ayat yang dipetik daripada kata-kata Asma Nadia dalam SERUMPUN 2011. Terus kemudiannya kami bicara tentang dunia tulis baca.

Aku mengajaknya bertemu editor. Hendak aku yang bercerita, tidak banyak yang aku tahu. Allah perkenankan pertemuan enam mata itu.

Semoga Allah berikan ilham mencurah buat Zahra' menulis dan menyudahkan penulisan. Katanya, dia lebih suka buku motivasi. Namun dalam apa genre sekalipun, terus menulis ya.

Zahra', adik manis pencinta buku. Semoga Allah lindungi kamu. Satu buku sebelum graduasi, ya.Insya Allah.

Umairah.

Dalam empat orang yang aku ceritakan, dia teman sebayaku. Perkenalan kami juga melalui tulisan. Ada kisah-kisah penulisan bersama. Dia punya fikrah dan penulis yang baik. Mengikuti blognya sejak dahulu hingga hari ini, aku melihat perkembangan tulisannya. Makin matang. Tidak seperti aku yang suka bercerita seputar kisah yang sama.

Maafkan saya Umairah andai sering mengganggu kotak mesej. Senang sekali apabila usai aku hantarkan mesej kepadamu. Semoga suatu hari, kita punya ruang bertemu editor. Aku tahu kamu sudah punya rancangan perjalanan hari-harimu. Semoga Allah meredhai dan memberikan yang terbaik.

Umairah, kamu seorang yan istimewa!

Suhada.

Dia gadis matang. Pencinta bintang. Su, akak mahu belajar mencintai bintang. :) Masih belum selesai berguru membuat bintang.

Su, semoga Allah melindungi Su. Su sudah berada atas jalan yang cinta, lorongkan ia menuju Daerah Kecintaan Allah. Dalam ramai-ramai orang, Allah pilih Su menjadi pelajar jurusan penulisan. Cantiknya takdir menemukan kita...

Su si gadis puisi yang mencintai bintang juga ....

banyaknya batu menanti ukiran jemarimu
nan gemalai menulis,
menjadikan tulisan itu kekal.

Su, harus datang ke UIA suatu masa kelak. :)


***
Kisah empat manusia yang Allah hadirkan dalam hidup aku. Mula mengenali mereka melalui tulisan hingga akhirnya menjadi teman. Ada ramai lagi mereka yang Allah hadirkan supaya aku belajar. Daripada perbuatan mereka, kebaikan mereka, apa-apa yang ada pada mereka.

Sahabat bukankah cermin buat setiap kita?

Sekian, jemari aku hentikan daripada terus mengetik. Sampai bertemu lagi. Buat semua yang hadir dalam hidup aku, kalian adalah pemberian Allah paling indah! (^_____^)



"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

18 September 2012

kamu tidak boleh mengubah semalam, tetapi tidak akan terlewat mencipta pengakhiran baru.

Gambar sekadar hiasan
minggu kedua semester baru.
ustaz-ustaz yang segar.
pembelajaran yang walau ada yang diulang, memberi erti lain.
Hikmah gagal adalah dia dapat mengulang supaya mendapat lebih ilmu.
:)
Senyumlah! Tidak harus aku mengeluh pada hari semalam yang berlaku.
positif!

Awal Oktober ada bengkel penulisan. Sudah mendaftar, teringat pula SERUMPUN 2. Manakah yang harus aku korbankan?

***

Suatu hari, ketika singgah di blog PG (post graduate) menjengah bilik kakak dan berbual-bual, dia menyerahkan sekeping poskad bertulis:

"You cannot go back and make a brand new start, but you can start from now and make new ending!"

betul-betul kena dengan diri sendiri. Terima kasih Allah menghantarkan ustazah Nadwah yang menasihatkan supaya aku tidak menukar kepada jurusan lain. Terasa ada perubahannya. Aku hanya lebih bersabar dan mencari diri sendiri. Bukankah aku sendiri yang memilih berada atas jalan ini? Walau sepahit mana, pasti hujungnya manis, walaupun tidak semanis orang lain.

Lupakanlah segala kegilaan dan perangai tidak-tidak. Mulakan langkah baru dan terus melangkah. Belajar dengan adik-adik yang pastinya memberi banyak pelajaran baru. Seperti kelas semester pendek yang lepas. Aku tidak menyesal terlewat, kerana aku tahu pelajarannya sangat besar. :)

Ayah, adik terlewat menghabiskan, tetapi adik akan menyudahkan!

kata kakak keempatku; "kita sudah tidak ada siapa-siapa. Hanya satu peluang ini. Belajarlah selagi boleh belajar. Semua orang mengharapkan kejayaan adik."

Ya, aku anak bongsu. Anak terakhir dalam keluarga. Cukuplah menghadirkan duka pada sekeping hati milik ayah. Masanya membuat ayah senyum.

kata ayah, ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping melawat ibu saudaraku: "tak tahulah. depa belajar, konvo ke, macam tak ada jalan nak pegi sana. Masa masuk dulu hantarlah sampai sana."

Ya. Akulah anak yang ayah, mak cik dan kakak-kakak hantarkan sampai ke CFS Petaling Jaya lima tahun lalu. Mereka sanggup bersama-sama datang ke sini menghantarkan anak bongsu ini...

kata kakakku lagi, "ayah tak datang konvo orang lain, ayah tunggu hang konvo."

Hm, maka harapan apakah lagi yang mahu aku hampakan. Sentiasa ingat pesanan ustaza Nadwah, kalau SPM kamu boleh, mengapa sekarang tidak?


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

17 September 2012

semalu.


"menjadi semalu"

Aku mungkin tinggal dalam hutan. Tumbuhku tidak diminta. Aku tidak secantik dan seharum mawar. Tidak dijaga rapi seperti orkid. Aku hanya semalu.

semalu berprinsip. Menutup diriku bila didekat. Tidak boleh disentuh sesuka hati.

Walau aku hanya semalu, aku ada tugas! Akan aku jaga diriku daripada disakiti,

:)

16 September 2012

Setelah Dibeli Buku Itu ...

Beli mudah, mahu baca?
Senangnya hati terpaut pada kulit-kulit buku yang menarik, penulis yang saya kagumi penulisan mereka, isi buku yang saya rasakan menarik, buku yang saya teringin beli, sesuatu yang saya ingin belajar namun mungkin saya tidak berpeluang begitu. Tanggungjawab sesudah membeli buku adalah menghadamnya dan mengambil 'sesuatu' daripada bacaan untuk kehidupan.

Ada duit dalam poket, senang sahaja tangan mencapai buku.

Mungkin ia 'kerja tidak masuk akal' yang saya lakukan semester ini.

kisah pertama, RMC IIUM

"Andalus? Kamu belajar tentang andalus?" lelaki itu yang juga banyak membeli buku di Research Management Center IIUM mengunjuk satu judul yang saya beli. Kami sama-sama di kaunter pembayaran. Dia melihat-lihat judul buku yang saya beli.

"Alamak, apa nak jawab?" Tergaru kepala saya seketika.

Saya hanya menggeleng akhirnya. "Semua ini buku untuk diri sendiri." Hanya itu yang saya mampu jawab. Terasa kontangnya perbendaharaan kata bahasa Arab dalam kotak akal. Rasa saya mungkin beliau  seorang pelajar kedoktoran atau paling tidak sarjana melihat buku yang beliau beli dalam topik yang sama. Syair andalus.

Akhirnya, beliau diam. Saya juga tidak dapat berkata-kata. Kata bahasa Arab terlalu terbatas. Benarlah bahasa itu berguna apabila digunakan! Ah, apa jua ilmu begitu.

Kisah kedua, Darul Kutub.

Di IIUM Gombak, Darul Kutub merupakan kedai yang menjual buku teks berbahasa Inggeris, alat tulis dan buku-buku umum lain. Terjebak saya ke sana apabila kelas pensyarah belum menampakkan diri sedang jam sudah menginjak angka sembilan.

Lebih setengah jam saya di situ. Banyak buku menarik hati. Saya tarik satu persatu setelah membeleknya.

Di kaunter, gadis manis menjaga kaunter bertanya,

"semua ini untuk diri sendiri atau hadiah?"

"untuk diri sendiri. Saya suka beli, baca belum tentu." Jawapan pesimis.

"Selalunya berapa lama boleh habis. Sebulan. Setahun?"

"Tak tahu. Beli dahulu, baca kemudian." Saya menjawab ringkas.

Teringat pula di rumah juga banyak buku bukan fiksyen yang belum habis disentuh. Novel atau antologi, insya Allah terbaca juga... Apabila ia adalah artikel-artikel... Saya lekas menyudahkan apabila ia ditulis dengan laras bahasa yang membuatkan saya terhenti dan tidak sabar menyudahkan.

Perbualan itu mengingatkan saya, beli senang, baca? Itu tanggungjawab kamu pada buku yang telah kamu beli. Aplikasi dalam hidup juga satu soal!

Kisah ketiga, Galeri Ilmu kota Damansara.

kata Encik Amir, editor perolehan novel Galeri Ilmu, "salah satu petua adalah membaca buku yang diterbitkan syarikat sasar. Jika kita mahu menulis dengan syarikat PTS, baca buku PTS. Mahu menulis dengan Galeri Ilmu, baca dahulu bukunya. Supaya kita tahu gaya bahasa, penceritaan dan perkara berkaitan tentang syarikat itu." (ini edisi edit sendiri, sudah lupa ayat sebenarnya)

Akhirnya, saya capai novel awal remaja dan remaja tarbiah di tingkat satu Astana Karya. Jika ada bertanya saya jawab, ini untuk anak saudara baca. Memang anak saudara yang berusia sepuluh tahun itu baca, tetapi hanya meminjam untuk baca, bukunya akan dipulangkan untuk saya simpan.

Suatu hari, saya hulur buku VT yang ditulis Hilal Asyraf kepada Aqilah, anak saudara sulung saya. Dia lihat ketebalan buku,

"baca semua ini? Teballah, Acu."

Kanak-kanak. Mereka suka sesuatu yang mereka mudah hadam.

Suatu ketika saya hulur dua buah buku himpunan kisah yang diterbitkan Galeri Ilmu. Setelah dua hari, dia sudah pulangkan.

"Acu, sudah habis baca"

Saya berikan pula buku lain.

"Acu, buku belum sempat habis. Sibuk. Kelas, tuisyen ..."

Semalam, saya menyoal lagi.

"Acu, belum sempat habis. Sekolah."

Tidak mengapa. Asal dia mahu membaca.

Biar dia didedah dengan bacaan yang baik. Saya dahulu ada juga curi-curi baca buku cintan-lentok yang disimpan kemas dalam kotak. Ketika bersendirian, saya buku kotak dan ambil baca. Besar kesannya. Saya tulis cerpen cinta dan tulis sebuah manuskrip bertulisan tangan yang berkisar kisah orang lepas kahwin ketika tingkatan empat. Tidak bagus kesan membaca novel cinta. Orang dewasa lain, ini anak yang sedang meningkat remaja. Semua itu akan tersimpan dalam memori jangka panjang.



Karya teman penulis di Galeri Ilmu. 


Apa kamu baca membentuk kamu dalam sedar dan tidak sedar. Baca bukan hanya buku. Baca manusia, baca suasana, baca segala-galanya..

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

15 September 2012

kata buat diri sendiri.

"mustahil untuk aku tahu bilakah dan di manakah aku mati. harus jalani hidup sebaiknya. Dunia ladang menyemai bekal untuk kehidupan yang panjang bernama Akhirat."
"Biarkan aku menangis dan jatuh terperosok hari ini andai itulah harga yang perlu aku bayar untuk hari depan. Tidak terjadi sesuatu perkara tanpa sebab dan hal di sebaliknya. Hatta dalam senyum seorang itu ada ceritanya."
"Membaca mudah, memahami tidaklah sebegitu mudah. Menulis senang, mengaplikasi yang ditulis tidak begitu senang. Membaca dan berkomentar boleh, menulis yang baik adalah yang terpilih. Editor dan penulis seperti teh dan gula yang saling memerlukan. Kelatlah teh tanpa gula. Hanya manis tanpa rasalah hanya ada gula." 
"diri, jangan hanya pandai menduga-duga. Selalu begitu, akhirnya tahu tidaklah seteruk yang disangka dan buat aku ketawa sendiri."
"Seorang yang dilihat pendiam belum tentu sebenarnya dia pendiam. (^___________^)

Sekian. Mencoret kata-kata yang terlintas akal, dan bermain-main dalam diri hari ini.
 
 
 
 

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

12 September 2012

Anak Kedua

Tiket Haji Daripada Tuhan, J.Rahmat. Naskah terjemahan edisi bahasa Melayu

12 September 2012 : Dua belas tengah malam ke atas ...

Aku terjaga daripada lena dan terbatuk-batuk. Entah igauan apakah yang mendatangi lenaku ketika itu. Belum reda batuk, satu mesej masuk ke peti mesej.

Kakakku memberitahu Cik Puan Fazilah, temannya merangkap editor perolehan di PTS Milenia mahu serahkan naskah buku yang telah aku terjemah tempoh hari. Lama. Lama naskah itu tertangguh di tangan aku sebelum aku berjaya menyiapkannya. 

Edisi cetakannya tentulah lebih baik. Sangat baik berbanding edisi terjemahan aku. Naskah ini sudah disunting baik oleh penyunting berpengalaman. 


Dan petang tadi (12.9.2012), aku mendatangi kakakku dan beliau menyerahkan buku yang baru diterbitkan berjudul Tiket Haji Daripada Tuhan, J. Rahmat.

Ini bolehlah  aku katakan anak angkat pertama disebabkan aku hanya perterjemah naskah ini. Alhamdulillah, ia cubaan pertama. Menterjemah tidak semudah menulis. :)  Naskah yang telah disunting sangat baik... 

Buku ini sangat menarik! Cerita orang baik-baik. Subhanallah. Membaca pengalaman pengarang ini sendiri sangat meruntun jiwa. 

Jika kita mahu, pasti ada jalan.

Selamat membaca. :)



edisi asal: kredit



indah.


hujan, panas, mendung, terik,
Allah beri terbaik,
hujan tiga minit pelangi telarik cantik.
(28.2.12)


Perjalanan aku indah. Semuanya indah-indah sahaja. Saat tersenyum indah. Dalam juraian air mata indah. Kala merangkul kejayaan indah. Seketika dihempap kegagalan indah. Mendongak atas, indah. Tersadung kaki, indah.

Bagaimana kita melihat sesuatu, begitulah yang terlihat oleh mata. Gunakan hati buat menilai. Dalam kotak fikir, letakkan yang positif sahaja. Insya Allah, beza hasilnya. dalam diri ini sudah banyak kata negatifnya, ayuh, tukar cara berfikir.

Takdir Allah paling indah. Setiap yang terjadi, jalur hikmahnya terlalu banyak.

Malu.
Malu aku banyak salah sangku pada-Mu.
Sedang Engkau sedang mengajarkan aku supaya tahu dan mendalami.

Apa-apa yang terjadi hari ini.
Indah dikenang masa hadapan.
apa-apa sahaja! Allah berikan yang terbaik.

p/s: Terima kasih hadiah-hadiah nan comel. Kalian ini .... tersenyum saya menerima hadiah besar kalian. Sangat comel, berguna, dan manis hadiah itu. Ingat! Diri itu sudah tua. 23 tahun sudah!

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

11 September 2012

Tentang Friends Forever, Ila Husna: ain.ya.nun.alif site

Friends Forever ~ Ila Husna
ain.ya.nun.alif.site

Terima kasih buat saudari Nur Aina kerana meresensi Friends Forever. Saya amat menghargainya. beliau menulis resensi ini 21 Ogos 2012. Tepat sehari usiaku menjengah angka 23. :)

Berikut saya turunkan resensi beliau
***

Saya sungguh tertarik dengan kulit depan buku ini. Ceria. Hehe.

Saya juga tertarik dengan watak utama yang sanggup menolak tawaran kursus Perubatan di Mesir semata-mata cintanya kepada Bahasa Arab. Mahu jadi pejuang Bahasa Arab!

Zakiah, anak tunggal kepada ibu bapanya pada mulanya tidak mendapat restu bapa mengambil jurusan Bahasa Arab di UIA. Namun selepas berbincang dari hati ke hati barulah kesefahaman tercapai dan Zakiah dapat meneruskan pelajarannya di UIA Kampus Nilai.

Zakiah digambarkan seorang yang cekal, tabah, istiqamah dalam menjaga amalan sunat dan solat malam serta anak yang taat kepada ibu bapa. Tidak lupa juga dia seorang kawan yang begitu mengambil berat akan keadaan rakan-rakan dan sentiasa mendoakan mereka. Berkat kesungguhannya mempamerkan akhlak islam, seorang rakannya memeluk agama Islam.

Kehidupannya di UIA tidak seindah pelangi. Banyak dugaan yang dihadapinya. Fitnah oleh rakan sebilik, dipulaukan rakan sekelas, dituduh pencuri, dianggap menunjuk pandai sehingga jatuh sakit beberapa lama.

Tapi kebenaran akhirnya terserlah berkat kesabaran dan sokongan dari rakan baiknya.

Usai membaca buku ini, saya rasakan minat Zakiah pada Bahasa Arab itu perlu diperincikan dengan lebih lagi. Memang penulis ada menyelitkan tentang penglibatan Zakiah dalam pertandingan pidato Bahasa Arab, mengikuti usrah dan aktif dalam badan Dakwah dan Rohani tetapi tidak begitu jelas. Mengapa Zakiah begitu meminati bidang bahasa Arab? Apakah prospek kerja yang menanti? Bagaimana Zakiah dapat menyumbang kepada ummah dengan kemahiran bahasa yang diperolehnya?

Memang ada diterangkan tetapi bagi saya mungkin penulis boleh ceritakan lagi... Wallahulam.

Watak Marziah juga saya kira kurang kepentingannya. Hanya disebut sesekali di dalam cerita. Apa yang penulis mahu sampaikan ya?

Namun secara keseluruhan saya kira agak baik untuk bacaan remaja. Remaja harus didedahkan dengan persekitaran yang baik, mengikut idola yang baik dan bergaul dengan rakan yang baik. Maklumlah, usia begini mahu mencuba pelbagai perkara. Rakan sekeliling memang pengaruh utama bagi diri mereka.

08 September 2012

HLOVATE: Contengan Jalanan

Terselit Contengan Jalanan Di Celahan Judul-judul yang ada.


Biar aku ringkaskan pengalaman pembacaan kali ini dengan baris kata yang tidak berjela.

Contengan jalanan
Bukan catatan tepi jalan
Pencari kasih Tuhan dalam perjalanan
Menuju Tuhan
Muda bukan beerti tidak mati
Hidayah datang bukan hanya di negeri sendiri.
Fend dan kisahnya
Chad yang menemui Tuhan di usia Muda
K2 yang menemui jalan lewat wisatanya di Jakarta.
Semua punya cerita
Satu rasa
Mendakap cinta yang Esa.
Bacalah dengan nama Tuhanmu
Dan
Kau diresap suatu rasa.
Tuhan sentiasa ada.
Hidayah datang setelah dicari
Bukan diam meniti hari.

Demikian membaca contengan jalanan tidaklah aku temui kata jemu. Semoga aku bertemu jalan pulang sebelum maut menjelang . Wahai, Jamilah, muda tidak beerti kamu tidak mati. Bagaimana nanti menghadap Tuhan sedang kantung amalnya kosong?

“Cari purpose of life. Kena define dulu makna hidup. Baru kita boleh decide nak hidup untuk apa.” –m/s 64 (I-Fend)

“Nak memotivasikan diri buat benda baik bukan mudah sebenarnya. Dan persekitaran tu memang sangat-sangat penting nak membentuk driving force tu.” –m/s 197 (I-Fend) 

“Dan aku rindu kau jugak. Kau yang aku kenal” –m/s 154 (II – k2)

“Music is a language that belongs to no race” –m/s 204 (II – k2)

“Manusia lebih suka lihat apa yang dia mahu.” –m/s 265 (II- K2)

28 Ogos 2012/Mahang



"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

07 September 2012

ASWARA, saya datang


Adalah aku seorang yang berangan-angan menjejak ASWARA. Sebuah akademi yang turut menawarkan diploma dan Ijazah Penulisan.

Terima kasih Suhada, yang manis  dipanggil gadis puisi.

Kali kedua. Kali kedua takdir menemukan kami. Kali ini aku bawakan Humaira sebagai teman. Ada seminar Sastera Antara Kaum dan saya hanya sertai satu sesi.

Terima kasih jua atas layanan yang sangat baik. Dapat beg ASWARA. Makan percuma. Titipan buku yang menambah rasa segan di hati saya. Saudara Hazwan Ariff Hakimi menawarkan bukunya secara percuma. Rasa rugi pula tidak membawa ff bersama. :)

Su, semoga ada pertemuan selanjutnya. :) Gembira dipertemukan dengan Su.. Semoga tali persahabatan ini berterusan.

Su, teman akak bertanya, berapa usia Su? Nampak matang!

:)


***
Ada satu soalan kepada pembentang kertas kerja yang saya ingat.

Bagaimana sastera dapat menyatukan antara kaum di Malaysia?

Pembentang memulakan jawapannya dengan kata-kata, sastera tak bawa kesan apa-apa sebab hanya orang sastera yang baca karya sastera. 

Saya tersenyum.

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

05 September 2012

Kucantum Perca Catatan Yang Tertinggal ...


Terketar jemari memulakan kembali
Kutinggal saat desa aku datangi
Penulisan itu dunia tidak aku ketepi.
Kini aku kembali,
Di sini.

Ramadhan meninggalkan kita tidak kembali tahun ini. Syawal berlalu kini. Usia 23 aku jejaki. Sambutan merdeka meninggalkan hari. Semester baru bermula lagi.

Sesi 2012/2013. Semoga tercapai hajatku grad pada 2014. Terlambat? Ya, sudah ramai sahabat dan temanku yang bakal graduasi tahun ini dan tahun hadapan. Tidak mengapa. Perlahan aku berjalan, semoga sampai akhir ke hujungnya.

Simple. Aku seorang manusia yang menjalani kehidupan dengan mudah. Ada ketika aku sendiri suka ambil mudah dan memudahkan perkara. Memandang enteng mungkin baik pada sesetengah perkara namun tidak elok untuk sesetengah hal.

Cuti? Nampaknya aku bercuti sendirian juga di rumah. Kakak-kakakku nan berempat semua punya sudah punya keluarga dan urusan masing-masing. Tiga minggu itu tidak lama, kan? Aku hanya sibuk melakukan rutin cutiku .. Cari barang untuk dibakar dan kurangkan kuantitinya di rumah ini, belek   buku yang belum bersentuh dalam almari buku, maraton tidur yang agak berlebihan, telinga disumbat siaran Kedah fm, memadam gambar dalam laptop yang tidak berkenaan, dan ... aduhai manuskrip keduaku ...

Kehidupan mudah seorang aku begitulah. Seperti orang tiada kehidupan. Usah disoal bagaimana kehidupanku di rumah lantaran semua orang punya kehidupan sendiri. Punya cara hidup yang mungkin hanya dia faham bagaimana dia jalani. J

Rindu memang aku rindu mahu menulis dan terus menconteng dalam diari maya yang tiada sempadan aku bicara ini. Biarlah ia wakil diriku yang enggan bicara banyak dan selalu kematian kata saat bertentang mata. Mata penaku sering lajunya melebihi lidahku sendiri.

Selamat datang semester baru. Semangat baru. Bilik G4-4 yang mahu aku namakan ia Gemilang 4-4.

Ketemu lagi, saat jemari bertemu papan kekunci.

Mahang/ 30 Ogos 2012.

****
Jejak-jejak

Catatan nan bersemadi di sini tidak lagi aku tinggalkan. Ia tanda perasaan aku pada saat ia terlontar menjadi baris kata. Mungkin akan aku perbaiki, namun isinya akan kekal di situ. Ia suara-suara dalam diri yang gagal aku bisikkan dan katakan secara lantang atau sembunyi. Tenang. Lebih rela dan senang aku gerakkan jemari nan sepuluh mengatur baris kata menjadi ayat dan perenggan hingga terbentuk sebuah catatan. Ah, mungkin lebih senang aku katakan ia hanya contengan seorang manusia yang jemarinya bergerak melebihi lidahnya sendiri.

Jemari yang perlu melukakan dengan hanya baris ayat yang diatur.
Jemari yang kata itulah lidahnya.

Terngiang pula di deria dengarku, lagu dendangan Ramli Sarip, (ya, aku senang juga mendengar alunan Ramli Sarip. Liriknya sering menerbangkan aku ke daerah tidak terjangkau dan asyik sekali.)

Lidah adalah hatiku,
Hatiku adalah lidahku
Andai terpisah keduanya
Justeru akulah yang durhaka (Lahirnya sebuah puisi, Ramli Sarip)

Senang aku terjerat pada madah dan kata. Bukan sekadar melankoliknya lagu, syahdunya muzik yang mengiringi, sering lirik yang dibawa melekatkan aku pada baris madah yang hingga di telinga.
***

Mengimbau ceritera yang singgah dalam sebuah kelas daripada kelas-kelas wajib yang aku hadiri. Kisah penyair zaman Rasululullah yang meninggalkan syair, puisi dan qasidah kerana menyibukkan diri dengan pengajian al-Quran.

Rasululullah tidak melarang penyebaran puisi, asal Allah diletak sebagai tujunya. Bukan melankolia dan memuja yang bukan sepatutnya. Mengapa yang kamu hantar puisi memuja kekasih gelap?  Merindu pada bukan haknya.

Perhatikanlah, wahai yang enak mendengar puisi. Hantarkan puisi memuji Ilahi, Kekasih-Nya, alam ciptaan dan apa sahaja asal tidak dilanggar batas sempadan. Kata-kata Allah harus di depanmu. Bisikan dan kalam Allah tonjolkan ia supaya yang sampai kepada yang membaca adalah rasa cinta kepada Yang Kuasa bukan kesedihan ditinggal kekasih tidak sah dan pujimu pada yang bukan hak.

aduhai,
diri yang gemar mencatat baris kata,
perhati
rimbun madahmu pasti tersoal
pada hari tiada perlindungan
Allah.
Letakkan ia tuju hidupmu.

Mahang/1502/ 1.9.12

***
5 September 2012.

Hujan menghantarku pulang. Dinihari basah bumi Mahang setelah lebih dua minggu hanya cuaca panas menemani siang dan malam di sini. Selalu hujan menjadi teman saat kaki akan aku langkah meninggalkan tanah kelahiran ke Kampung Gombak di pinggir Kuala Lumpur. Ayah dan mak cik menghantarkan aku sehingga bas bergerak meninggalkan Stesen Bas Kulim.

Plusliner tetap menjadi pilihan sejak dahulu hingga hari ini. Bas yang langsung membawaku ke Puduraya (Pudu Sentral) tanpa banyak berhenti. Hujan menemani saat aku langkahkan kai ke dalam bas ini. Dalam perjalanan yang mana kerusi buat orang hanya sendirian aku duduk, jemari ‘gatal’ mencatat menghilang rasa mengantuk yang bertandang sejak tadi.

Berakhirlah percutian melebihi tiga minggu setelah berakhirnya semester pendek 2011/2012, Tahun pengajian baru menjengah. Sesi 2012/2013. Ada sudah teman yang menamatkan pengajian, sedag aku masih terkial-kial menyambung satu demi satu subjek. Diri, usah dibuat masalah. Cukup-cukuplah dengan pengalaman tidak manis yang sengaja kamu cipta sepanjang tiga tahun pengajian di Bumi Gombak.

Semester-semester akhir kamu di Taman Ilmu dan Budi ini, tanamkan semangat dan betulkan niat. Jaga solat. Jaga solat. Jaga solat. Sebab masalah dan segala kemurungan adalah kerana melalaikan solat. Ingatkan kamu seruan azan, marilah menuju kejayaan.

Orang yang bersolat akan berjaya. Bukan kata aku. Allah sendiri menukil dalam al-Quran  dalam surah al- Mukminun ayat satu hingga tujuh yang menerangkan ciri-ciri orang berjaya. Salah satunya orang yang menjaga solat dan khusyuk dalam solatnya.

Senang kan berkata KHUSYUK. Mendapatkan khusyuk tidak semudah menuturkannya. Hanya mereka yang menjaga hubungannya dengan Allah dan merasakan Allah melihat segala gerakannya boleh khusyuk. Indahnya tenggelam dalam kenikmatan bersolat kepada Allah.

Solat dari segi bahasa maknanya doa. Sejujur manakah doa yang telah aku lantunkan kepada Allah? Atau ia gerakan pada bibir yang tidak difahami makna dan tidak tahu apa yang diminta... Allah, Maha Kayanya Engkau yang mengetahui walau dalam bahasa apa sekalipun kamu menutur doa dalam solat.

Aduhai diri, semester baru ini, usah dikata yang lain. Hanya satu, pesanku di awal semester. Jagalah solat, kamu berjaya. Jagalah Allah, Allah menjagamu.

Sekian, catatan dalam bas ...
5.9.12/10.24 pagi.
Kulim-Kuala Lumpur, bas Plusliner.

***





"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.