11 August 2012

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 9] usah dibakar kenangan itu.

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: 
[Catatan 9] 
usah dibakar kenangan itu.

penulis: Ila Husna


Biar aku bicara seketika perihal kenangan dan memori.

Aku suka merakam kenangan menggunakan Nikon L21 milikku. Walaupun ia hanya kamera digital murah, jasanya sudah banyak buat merakam indah dan manis pertemuan-pertemuan aku dan teman. Jika kerajinan aku berada tahap tinggi, adalah juga catatanku dalam diari berwarna pink. Entah boleh dikatakan ia diari sebab ia adalah buku kulit keras yang ditulis catatan harian.

Semenjak sekolah, aku punya kesukaan yang satu ini. Aku suka kongsikan suka duka aku bersama diari. Kunukil apa yang mahu terluah dan tidak bicara aku sampaikan kepada orang lain. Aku bebas bercerita apa sahaja.

Sehari dua ini, ada timbul satu ketakutan pula dalam diri. Bayangkan setelah aku tiada lagi, orang lain membaca diari yang aku tuliskan dan membaca semua perasaanku. Atau ditakdirkan aku punya cahaya mata sendiri dan zuriatku membaca catatan ibu mereka, akankah mereka belajar sesuatu.

Pada gambar memang tidak akan aku musnahkan ia sebab gambar mengekalkan senyuman insan yang aku sayang. Aku boleh lihat senyumnya selalu lewat gambar yang aku letak kemas dalam album gambar. Kenangan aku dan dia aku abadikan di situ. 

Kembali bab diari. Dahulu, semasa sekolah rendah, aku pernah membakar diari sendiri kerana malu dengan catatan sendiri. Aku menulis apa-apa sahaja. Aku terlalu khuatir diariku dibaca orang lain. Dan akhirnya aku menyesal kerana aku gagal mengingat kenanganku semasa di sekolah rendah.

Kini, terasa ingin aku bakar semua diari yang aku ada.

Ada suara hati membantah.

"kamu tidak perlu bakar diari itu. Biar kelak, yang terbaca catatanmu belajar. Belajar daripada catatan yang kamu tulis. Tidak perlu malu dibaca orang lain."

Wajarkah jika mahu aku teruskan hajat membakar diari yang pernah aku tulis? Atau jualkan kepada uncle yang membeli kertas lama untuk dikitar semula.

ya.tidak.ya.tidak.ya.

Jika aku bakar atau buang, samalah seperti aku buang kenangan daripad kehidupan aku. Akhirnya aku nekad.

"sekiranya kelak ada yang terbaca diari yang ditulis Durrah, ambillah yang jernih daripada tulisan itu. Ia kisah rindu, kenangan dunia pengajian sejak bersekolah hingga alam universiti, kisah kedegilan, kegagalan, kejayaan... Pendek kata, jika terbaca diari-diari milikku, adalah kalian sedang membaca suara hatiku,"

Dan aku,
akan pastikan kenangan aku abadi.
Terima kasih diari,
denganmu aku melihat hari silamku.
yang tidak semua dapat aku ingat sendiri.

"mengapa harus takut pada kenangan dan memori. Biarkan ia hinggap pula pada orang lain. Tidak akan aku bakar memori kita."



11.8.2012
penulis: Ila Husna/ Safiyyah G4.1 



No comments: