Skip to main content

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah [catatan 5] Taman Syurga



Umpatan dan aku seperti daging dan kulit yang sudah bercantum. Melihat sesuatu yang bukan kebiasaan mata, hati cepat membaut onar. Akal berkata perkataan yang pahit disapa pendengaran.
Bisikan-bisikan, kata-kata,  malah pelbagai gaya dan perkataan lagi sudah aku ungkapkan jika ada sesuatu yang mengisi pandangan. Aku payah untuk memuji namun cepat mengeji.
***
Bip, bip.
Aku membuka peti masuk telefon bimbit, melihat pesanan ringkas yang baru diterima.
Salam, adikku yang dikasihi, akak nak ajak adik menyertai kem ibadah minggu ni. Percuma! Banyak aktiviti menarik yang diatur. Harap adik dapat berikan jawapan segera. ;-)
Hati aku mendongkol. Untuk apa semua ini? Aku ke sini untuk belajar. Aku ada asas agama. Jahil sangatkah aku? Sudah berkali-kali Kak Huda mengajak, aku hanya menolak. Katanya, kita perlu mempersiapkan diri dengan tarbiah islamiah yang lengkap, supaya tidak terkapai-kapai apabila tamat pengajian kelak. Supaya kita tidak hanya menjadi pengikut buta.
Aku kurang faham, namun aku diam. Aku simpan persoalan hanya dalam diri. Tiada siapa tahu apa yang aku ragukan. Aku malu. Memang malu tidak bertempat. Orang selalu cakap orang malu tersesat jalan.
 Aku segan menolak ajakan kak Huda. Aku membalas mesejnya.
"Insya Allah."
Aku sampai di Masjid Raudhah, di pinggir negeri Sentosa, sebuah perkampungan di selatan Negeri Damai Abadi. Kehadiran aku di sini tanpa ada kenalan. Hanya mengenali Kak Huda.
Pagi Jumaat itu memberi aroma baru bagi indera aku. Di kelilingi teman-teman yang kebanyakannya bertudung labuh, –sedangkan aku bertudung biasa- namun amat mesra. Semuanya muslimah, memberi ruang selesa untuk peserta dan fasilitator berinteraksi. Mata sempat memerhati bilangan peserta yang hadir, yang aku anggarkan seramai 100 orang.
Masjid Raudhah tidak semewah Masjid Mutiara, di negeri penyu bertelur. Hanya binaan batu dua tingkat dengan dekorasi ringkas. Kesederhanaan inilah yang memberi aku ketenangan. Tidak serabut mata memandang ukiran melampau dan menyesakkan mata untuk beribadah. Bahagian bawah untuk muslimin bersolat dan bahagian atas untuk muslimat. Warna hijau mudanya menyedapkan pemandangan.
Aku rasa tenang menerima pelukan kakak-kakak yang sedia menanti di situ. Lenyap segala prasangka. Aku terharu dan tersentuh, namun menghadiahkan senyuman lebar. Terasa Tuhan lorongkan aku pada jalan yang betul. Aku harapkan akan dapat sesuatu untuk dibawa pulang. Aku rasa doa aku selama ini untuk berubah dimakbulkan.
Aku banyak buat salah sebelum ini. Tetapi aku yakin Allah Maha Mengetahui yang aku mahu bertaubat. Kematian seorang sahabat seusia, teman baik aku, menyuntik rasa ingin berubah. Mati tidak mengenal usia tua atau masih hijau. Aku takut tidak dapat menjawab soalan kubur. Aku mahu mati dalam iman. Kematian sahabat aku ini menjadi titik mula aku mengenal solat taubat.
Doa untuk berubah! Kejahilan semalam menghantui diri aku. Tetapi aku membiarkan diri tenggelam dalam dosa. Tidak sedar maut itu tiada isyarat. Sudah baligh pun aku suka melewatkan solat, kadang-kadang terlepas. Lebih-lebih lagi, solat Subuh. Erat benar syaitan menyelimutkan aku, hingga sukar meleraikan selimut daripada tubuh. Astagfirullah..
Terimalah keinsafan yang mengalir dalam diri ini, Allah.
Aku menutup aurat sekadar syarat dan peraturan sekolah. Di luar, jika terasa panas, aku membiarkan rambut terdedah.
Allah lorongkan aku jalan membuat perubahan. Aku perlu kuat, sekuat Asiah yang hidup bersama Firaun, namun tetap kebal akidahnya. Seteguh Masyitah –tukang sisir anak Firaun- mempertahankan agama. Setabah Sumayyah dan keluarganya walaupun diseksa sangat pedih. Mereka wanita mulia yang diangkat namanya dalam al-Quran.
***
"Selamat datang adik-adik yang akak akungi. Tahniah dan syabas kerana adik-adik merupakan insan yang Allah pilih untuk berada dalam satu daripada taman-taman syurga." Kak Huda, selaku wakil urusetia memberi amanat.
Aku mencatat isi-isi penting, sebagai rujukan. Aku berusaha ikhlaskan niat. Bulat kerana Allah. Lupakan niat sebelum ini. Seperti peserta lain, aku mahu memberi peluang kepada rohani aku menerima santapan. Santapan paling sedap adalah manisan beribadah pada Allah.
Aku yakin semua yang hadir di sini punya sejarah hidup tersendiri. Semuanya mahu memberi hidangan baru pada hati. Meneguk cinta Allah dan menadah rahmat-Nya.
Aku tidak mahu ilmu ini lesap selepas keluar daripada masjid ini. Aku terfikir, memang kita sebenarnya insan terpilih. Bayangkan dalam banyak-banyak sperma, kita yang terpilih hadir di muka bumi, memegang amanah sebagai khalifah.
Kita, yang lahir di dunia ini, Allah tentukan untuk mentadbir muka bumi. Kita perlu siapkan diri sebaiknya.
Aku tidak boleh dan enggan berpaling. Aku perlu teruskan hidup, mesti ubah diri, justeru bersedia, tekal lupakan kepahitan silam. Bukankah sebelum ini Islam pernah gemilang kerana kekuatan rohani para penganutnya?
Sedangkan masyarakat sekarang? Apakah yang tinggal kini? Aku biarkan persoalan ini berlegar di kepala. Semalam adalah kenangan yang tidak perlu dikenang, aku perlu mencipta esok yang gemilang agar tidak jadi seperti masyarakat Musyrikin. Mereka tersesat dalam dalam terang cahaya nubuwwah. Celakalah orang yang semalam lebih baik daripada hari ini.
Aku teringat kisah pengikut nabi Musa yang terlalu banyak meminta. Diberi makanan manna dan salwa yang didatangkan dari syurga, dipinta pula makanan lain. Padahnya mereka menyesal. Menyesal dahulu untung, menyesal kemudian malang.
Kak Hidayah menghulurkan sehiris epal yang merupakan barang amanah. Nampak mudah namun sehiris epal itu perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan baik. Setiap peserta punya kreativiti tersendiri untuk menjaganya.
"Bagaimana ya? Nampak remeh, tapi tidak mustahil akan diambil orang. Terdedah, tentu cepat warnanya bertukar." Aku bersuara pada diri sendiri.
Akhirnya, dengan cermat aku balutkan dengan kertas yang dibekalkan, -kertas untuk mencatat nota- sebelumnya dilapik tisu beberapa helai. Janji aku, tidak akan aku buka pembalut itu selagi tidak diminta. Aku tidak mahu epal ini rosak. Aku masukkan sehiris epal itu dalam fail.
Sesi ceramah di dewan kuliah petang itu mencabar diri dan peserta lain. Perlu bersila untuk tempoh dua jam, tanpa penghawa dingin menguji kami. Syaitan mula mengambil peranan, disapu celak pada mata, mengantuklah anak adam. Disapu bibir dengan gincu, pot, pet, pot, pet, kedengaran ada yang bersembang. Aku cuba usir, tidak mahu terlepas masa berharga di taman ilmu ini berlalu sia-sia.
"Fiza, bangun, ustazah panggil."
Terkejut sahabat di sebelah aku yang sambil bersimpuh, tersengguk-sengguk. Kasihan aku melihat. Bulat mata hitamnya. Dia memuncungkan bibir, marah dengan tindakan aku. Aku tersenyum padanya. Dia masam, aku telah mengganggu tidurnya.
"Kamu tidur. Aku cuma nak kejutkan."
Teringat pesanan Ustazah Maimunah, penceramah yang diundang hari ini. Kita perlu menjadi 'seseorang' bukan jadi sesiapa sahaja. Kita perlu ingat, seandainya Allah menuntut bayaran terhadap kurniannya selama ini, mampukah kita membayarnya?
Misalan, Allah tuntut setiap deruan nafas dibayar 5 sen, hanya lima sen seminit, sejam, berapa, sehari, berapa usia kita? Kita tidak akan mampu membayar. Hanya satu tamsilan.
Nikmat Allah terlalu banyak, hanya kita yang ingkar, tidak menilai pemberian Allah pada kita. Mujurlah semuanya percuma, namun Allah tetap hisab di Akhirat kelak, setiap yang dipinjamkan pada kita hari ini. Kita jangan mudah terpedaya pada ajakan jeneral musuh dalam diri, yang menghasut pada mungkar dan kejahatan. Mujahadah kita melawannya dibalas dengan pahala berganda.
***
Mendengar kuliah subuh membuatkan aku termenung panjang. Tertanam satu semangat baru dalam diri aku dan mungkin kawan-kawan. Rasa semangat untuk menghadiri kuliah ilmu dan mahu menambah ilmu di dada. Aku banyak berdiam diri di sini, berfikir apa yang aku lakukan selama ini.
Aku selalu ingkar pada arahan mak ayah. Kadang-kadang ustazah, guru-guru dan kakitangan sekolah menjadi habuan umpatan aku. Aku komen perkhidmatan dan cara mereka belajar. Kerana itulah ilmu yang aku terima payah lekat dalam kepala.
Aku cuba hitung dalam diam. Aku rasa takut, tetapi aku sematkan azam jitu untuk berubah, pasti Allah tolong. Aku ingat pesanan Kak Huda semalam. Isikan masa lapang dengan zikrullah. Habiskan masa dengan ingat mati. Basahkan lidah dengan kata-kata baik.
Semalam aku menangis dalam sujud solat malam. Lama aku tinggalkan solat malam, qiamullail, menangis ketika berdoa usai solat wajib dan sunat, semuanya jarang aku lakukan setelah tamat persekolahan. Umur menjangkau 20 tahun, namun leka pada kehidupan dunia, lupa kewajipan sebagai hamba. Hari ini aku dapat ketenangan yang tidak terucap.
Aku mahu berikan makanan sebanyaknya pada rohani aku. Aku tidak rela menghadap Tuhan, sedangkan kantung amalan kosong. aku takut, maut menjengah aku saban masa tanpa aku sedar.
Sesi ceramah kedua, mata aku basah lagi. Aku tidak mampu tahan sebak. Aku ingat apa yang aku buat sebelum ini. Ya, aku buat sekadar ikutan. Aku tidak faham sepenuhnya apa yang aku lakukan. Alhamdulillah, aku rasakan ada nur menyerap dalam diri. Aku rasa lapang. Setiap kata-kata ustazah, masuk dalam fikiran. Aku tidak mengantuk.
Malam itu aku bertemu Kak Huda. Aku kongsi kekosongan aku dengannya. Aku ucapkan terima kasih tidak jemu mengajak aku ke sini. Aku jumpa apa yang aku cari. Aku lihat dia seka mata. Aku peluk dia, erat. Ada tautan ukhuwah di situ.
Aku tidur lena. Kumpul tenaga untuk tahajud. Aku mahu kuat. Aku tidak akan lemah seperti sebelum ini. Setiap orang yang mahu berubah, dan ada azam, Allah akan tunjukkan jalan, itu kata Ustazah Maznah semalam.
Aku tidak mahu pulang ke kampus. Mahu berlama-lama di sini, tetapi aku ingat, ada banyak tugas yang perlu aku bereskan. Asal aku istiqamah, biarlah aku berubah sedikit demi sedikit.
Aku mengenal kawan-kawan dari pelbagai universiti, kolej, dan ada sedang menunggu pekerjaan selama tiga hari dua malam di Raudatul Ilm. Kami berkongsi kisah dan aku dapat banyak kisah menarik. Cara mereka memperoleh hidayah, cara mereka berubah. Aku bersyukur datang ke sini. Allah, terima kasih.
Malam terakhir. Sesi muhasabah. Layar di pentas menunjukkan video kebejatan akhlak kini. Statistik anak luar nikah, bilangan anak muda terkorban kerana rempit, remaja lari dari rumah, sempit dada melihatnya. Tidak sanggup aku hadapkan muka.
Terlihat beban yang aku remehkan selama ini, tanggungjawab menyedarkan anak-anak muda sebagai seorang yang kata faham agama. Aku tersedu.
Teman di sebelah sudah teresak melihat. Aku sudah penat menangis. Aku mahu lihat dengan mata hati. Buat penilaian dan fikirkan apa yang boleh aku buat selaku seorang remaja. Mereka kawan-kawan aku juga. Aku tak mahu dipersalahkan nanti kerana mengabaikan mereka.
 Mungkin ketika dalam buaian mereka dihidangkan dengan lagu, bukan alunan selawat. Mereka mengenal biduanita popular melebihi mereka ingat kelebihan diri sendiri.
"Penyakit sosial semakin parah. Kita hanya pejamkan mata? Kita hanya fikirkan diri kita? Adik-adik yang akak akungi, cuba bayangkan mereka ini bangkit menjadi pemimpin masa depan. Bagaimana keadaan negara? Apa jadi pada rakyat? Kita pelajar terpelajar, fikirkan orang luar. Mereka yang tidak punya pelajaran agama, tersesat dalam mencari cahaya, kita bantu mereka."
Aku tunduk. Kata-kata biasa, namun tertusuk pedih di hati aku. Kena batang hidung aku. Aku tidak endah masyarakat sekeliling aku, sibuk dengan diri sendiri. Aku tidak terfikir kawan-kawan di luar. Asal aku dapat belajar, asal aku semuanya cukup. Aku bersalah. Tuhan, berikan aku jalan pulang kepada-Mu.
***
Masa, berhentilah berdetik untuk seketika. Sayu dengan perpisahan yang bakal menjadi penutup pertemuan ini. Kami saling berpelukan, bermaafan, mendoakan agar ada kesempatan untuk bertemu lagi.
Tidak puas aku meneguk cangkir ilmu daripada mereka. Aku perlukan lebih masa. Mintalah tempoh walau sesaat, masa tetap berjalan, menjalankan sunnatullah. Hari ini, kami berpisah untuk sementara. Aku rasa tenang yang tidak pernah aku kecap sebelum ini. Aku mampu senyum riang, aku mampu ketawa, aku mampu menangis.
Allah, temukan kami lagi di raudatul ilm, dapat kami bertukar fikiran, wacana, pandangan hatta masalah. Aku pulang bukan dengan tangan kosong. Aku rasa puas, syukur dan insaf.
Semoga perpisahan ini mengajar aku erti rindu saudara seislam, belajar menghormati saudara seagama, tahu menghargai rakan sekeliling, tidak bersikap keakuan. Aku mahu dapatkan keredhaan dan pergi lagi ke raudatul ilm.

Comments

Popular posts from this blog

Aku, Dia, Beliau dan Soalan-soalan

Suatu petang. Dia menembak beliau dengan soalan-soalan. Aku sebagai pendengar yang setia. Mencedok jawapan, mencelah dengan senyum, dan kembali diam. Sebenarnya semua ini tentang sebuah keberuntungan. Namun kesempatan yang tidak diendahkan. Sering begitu. Akulah yang belum cukup bersyukur dengan kesempatan yang diberi. 
Tentang syukur. Bagaimana untuk suka dengan kerja yang sdang kita lakukan. Oh, betapa ramai yang ingin berada di tempat engkau berada sekarang. Jadi, belajarlah bersyukurlah. Dengan bersyukur, kita akan usaha untuk lakukan yang lebih baik. Akan sentiasa perbaiki diri. 
Kemudian, letakkan cinta dengan apa yang sedang engkau lakukan Jangan hanya rutin. Cari sesuatu, selalu tambah kualiti diri. Sebab itu perlu ada perbincangan. Bukan hanya duduk. Dengan pergaulan, meluaskan pengalaman. Menambah pengetahuan. 
Kalau rasa ada yang tak kena, semangat makin merudum, ingat kembali niat semasa bermula. Tentu ada sebab engkau berada di sini. Mungkin sebenarnya niatmu sendiri yang …

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS
Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus.

NUSUS
Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini?
Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini:
قول طرفة بن العبد:
نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر
طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil al-muall…

Cerpen: Kembali Bertaut

Kembali Bertaut Jamilah Mohd Norddin
Nazim menelentang di katilnya. Dia mengenang akan pemergian isterinya yang membawa diri. Kedegilannya yang tidak mahu berganjak daripada keputusan yang diambil menjadikan dia seorang perindu. Benarlah kata orang perpisahan mengajar makna kesetiaan. Dia sedar isterinya telah banyak bersabar dengan kerenahnya saban hari. Isterinya telah banyak berkorban untuk kesenangan mereka berdua. Namun saat itu ingatannya hanya tertumpu pada setiausaha genit di pejabatnya, Syahdah.

“Abang, esok kita balik rumah mak Jasmin. Tadi Abah telefon, katanya Mak sakit kuat.”

Selesai makan malam Jasmin meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Dipandang wajah Nazim yang seolah-olah khusyuk membaca majalah. Nazim langsung tidak mengendah akan apa yang diucapnya. Biarlah hatinya menahan jengkel, ditahan juga rasa hati memandangkan statusnya sebagai seorang isteri.

“Abang dengar ke idak apa yang Min cakap?”

Jasmin kembali menyoal apabila Nazim hanya membantu. Sakit hati Jasmin melih…