30 June 2012

Bengkel bersama Umairah Shafei di sekolah al-Amin

Menjadi Penulis: Langkah BermulaUmmu Itqan


“Jangan biarkan medan karya dipenuhi karya picisan”

#Mengapa perlu mula menulis?
-wadah dakwah terbaik
-pahala berganda
-terapi
-berkongsi pengalaman
-sumber kewangan sampingan.

#Bagaimana bermula?
-Tetapkan matlamat“menerbitkan novel pada Ogos 2011” –SMART (Specific [novel? Cerpen?], Measurable [melibatkan bilangan, tempoh masa], Attainable [boleh dilaksana], Realistic [berpijak di bumi nyata], Time Bound [ada jangkamasa]
-Pilih tema/subjek
-subjek cerita
-sejarah – agama – politik
-perjuangan
-Karya yang baik menjawab formula 5W 1H.
-kajian –membaca (mendapatkan kesegaran bahasa), menulis maklumat sahih
-Pelan tindakan

# Mengelakkan ketirisan idea.
-Baca karya penulis lain
-Mentor
-pelan tindakan
-buku kecil + pen
-MP3
-

29 June 2012

Nabi Musa


Nabi Musa adalah daripada keturunan Nabi Ibrahim dan beliau merupakan salah seorang daripada lima orang Rasul Ulul Azmi yang disebutkan di dalam al-Quran. Terdapat banyak kisah beliau yang dirakam Allah dalam al-Quran dalam surat dan ayat yang pelbagai. Antaranya, kisah Nabi Musa membelah lautan, kisah Nabi Musa dan firaun, kisah Nabi Musa di istana Firaun, Kisah Nabi Musa dan tongkatnya yang merupakan mukjizat daripada Allah.

Sangat banyak.

ya Allah, baru saya tahu banyaknya kisah yang dirakam Allah berkenaan nabi Musa. Syukurlah, menulis membuatkan saya juga membaca. Berkongsi untuk menyediakan pencen kubur.

Kisah Nabi Musa di Dalam al-Quran.

 1. Al-Qasas: 3-43
 2. Taha: 9-101
3. Al-Syua’ara: 10-68
 4. Al-A’raf: 100-106, 157
 5. Yunus: 75-92
 6. An-Naml: 7-14
 7. An-Naazi’aat: 15-26
8. Hud: 96-101
 9. Ibrahim: 5-8
 10. Al-Mu’minun: 45-48, 49
11. Al-Isra’: 101-104
 12. Az-Zukhruf: 46-56
 13. Az-Zariat: 38-40
14. Ad-Dukhan: 17-33
 15. Ghafir: 23-46, 53, 54,
 16. Al-Baqarah: 55-93, 87, 246-248
 17. An-Nisa’: 153-164
18. Al-Maidah: 20-26
 19. Al-Kahf: 60-82
20. Al-An’am: 91,154
21. Maryam: 51-53
22. Al-Anbiya’: 48
23. As-Sajdah: 23
 24. Fusilat: 45 25. Al-Hajj: 44
 26. As-Saffat: 114-122
27. Al-Ankabut: 39, 40

***

9 mukjizat nabi musa.(al isra’: 101)

 1. Tongkat
 2. Tangan
 3. Belalang
4. Katak
 5. Darah
 6. Banjir besar
7. Kutu
8. Laut
9. gunung


# Kelak, saya kongsikan rasul yang lain pula. Insya Allah.

28 June 2012

Fatimah Syarha: Bengkel Penulisan 2009 Bersama Umairah Shafei.


FATIMAH SYARHA
BENGKEL PENULISAN 2009

-Lesenkan karya bukan jual
-Jelaskan matlamat penulisan
-Ingat tiga persoalan utama: dari mana kita datang, untuk apa kita di sini, ke mana kita akan pergi.
-Apakah yang Allah perintahkan? –Belajar bersungguh-sungguh (al-mulk:2) –Berakhkal mulia
-Apakah yang Allah larang? – Jangan hampiri zina. – Elakkan hiburan tidak syarak – mengumpat
(sumpah kita –surah al-An’am:62)
“buat baik itu sebenarnya diri kita”
“bayangkan jika kita menulis sesuatu yang tidak syarak”
“Jangan malu buat baik.”
“Jelaskan matlamat.”

Noktah Bidayah.
-Jadilah penulis daie ilallah –“NAK ALLAH” (penulisan adalah wasilah mencapai matlamat-ALLAH)
-Jika kita tiada idea, Allah ada.
-Jika kita tiada semangat, Allah ada
-Jika kita berputus asa, Allah ada.
-Jika kita sedih dikritik, Allah ada.
“kamu tidak pernah bersendirian, Allah sentiasa ada.”

Latihan.
Kerana Dia. (tertanya-tanya)
Hafiz pandang wajah Bonda, Mak Cik, Usu dan saudara mara di keliling katil Hospital Besar Kuala Lumpur itu. Bungkam.Tak terkeluar satu kata pun.Bayangan lori balak yang merempuh keretanya –kereta kuda- terlayar di mata. Di katil Hospital, dia bermonolog: “kerana Dia sayangkan aku, aku masih di sini. Bayangkan berapa ramai mereka yang maut hanya kerana kemalangan kecil cuma.  Kerana Dia mahu aku tebus dosa, aku diberi kesempatan usia.” Terima kasih Tuhan. Ada air mata mengalir, bersama keinsafan yang hadir kerana kemalangan itu.  (belum keluar kotak)
-Elakka tajuk yang boleh diagak
-keluar daripada kotak minda
- logik. (logikkah kereta kuda?)

KUNCI MENULIS.
-Visi –Mardhatillah. (pengharapan, tujuan, memandang jauh ke depan, kreativiti, kebaharuan?keunikan)
-Perspektif – Stamina. Rendah hati (berguru) –ditolak, tolak kertas, bukannya diri kita.
-Sikap –Itqan (positif dengan kritikan), yakin (dialog semangat)
-Disiplin –“istiqamah baik daripada 1000 keramat” . Teknik dan disiplin . pembaca setia. Hadir pertemuan, seminar penulisan (praktik)
-Jelas dengan Allah. (solat. Allah. Al-Quran)

LAWAN KETAKUTAN.
-Takut tidak best – Setiap benda unik
-Tidak cukup ilmu – carilah ilmu
-Idea? Ada tepi-tepi kita. (Mula –target)

MEDAN PRAKTIKAL.
-Mulakan dengan cerpen –jelaskan tema (apa pembaca akan dapat) ~ atur cerita ~ karakter ~ sepenggal kisah hidup ~ Penggunaan kata ~ kejutan ~ impresi ~ konklusi (pengakhiran cerita yang akan diingat)

LATIHAN 2
Rumah Kosong
Ditinggalkan lama
Hantu
Takut
Kosong!
Rumah yang dibiarkan tanpa ibadah kepada Allah dan bacaan al-Quran adalah rumah yang tidak dimasuki malaikat. Senang syaitan mahu menyelinap. Begitulah yang jadi pada rumah di hujung desa ini. Hantu-hantu menghuni di dalamnya. Bukan hantu pada hakikatnya, namun anak-anak muda, mat-mat rempit yang ulahnya mengalahkan hantu. Apa erti takut kepada mereka? Takut mereka hanya apabila polos datang mahu menyerbu. Hati mereka tanpa didikan agama ibarat rumah kosong.


Sesudah Keputusan Itu Diumumkan : Sebuah Catatan Tertangguh


Petang Rabu yang membawa perkhabaran yang langsung tidak mengubah riak di wajahnya. Terasa sama sahaja seperti keputusan yang lepas-lepas. Apabila diberitakan keputusannya, dia hanya menerima dengan satu kata : Alhamdulillah.

Layakkan seorang yang usahanya 0.1 peratus mahu mendapatkan keputusan yang baik? Lalu, perkataan apakah yang dapat dinyatakan apabila keputusan itu di tangan? Ia dalam jangkaan. Ia melebihi jangkaan. Maha Baiknya Allah.

Benarlah suara hati itulah yang menentukan hasilnya. Sekali pun tidak boleh ada lintasan tidak baik yang menjejaskan semangat yang baru bertunas.

Semester lepas berlalu bagaikan angin yang bertiup tenang, walaupun hujungnya ada taufan melanda kerana perbuatan diri sendiri. Dia masih angin yang sepoi-sepoi bahasa walaupun sekelilingnya hampir musnah kerana angin taufan yang melanda itu. Angin yang membawa isyarat perubahan.

Dengan keputusan yang diperoleh, langkah kaki perlu diteruskan, dan satu kepercayaan kembali berdengung dalam diri. Tempatmu dalam kuliah bahasa Arab. Sejauh mana cuba melarikan diri, Allah sudah letakkan kamu dalam kuliah bahasa Arab. Kuliah bahasa Arab. Kuliah bahasa Arab.

Terima hakikat dan padam sejarah semalam yang telah kamu coretkan dalam lipatan sejarahmu dengan keputusan baru. Tidak mengapa sekadar pinjaman ditarik, rezeki pasti ada di mana-mana. Tidak mengapa semuanya, asalkan masih ada hati untuk menerusnya semua yang terkoma buat seketika dalam semester yang membawa pengajaran itu.

Awalnya tenang, akhirnya saya menangis sendiri dengan apa yang berlaku. Ia dalam kesedaran dan di luar kesedaran dan upaya. Terjadinya ia seperti lintasan kilat yang hadir dan akhirnya dia hanya terpana memandang kesannya.

Kesalahan yang cuba disedarkan memang benar dilakukan. Ponteng kelas yang sengaja dan bersebab. Kerja yang bertangguh dan tidak disiapkan dengan sengaja, letaknya atas jemala sendiri.

Kata seseorang, di hujung semester itu saya makin diam dan tidak banyak bersuara. Saya tidak mahu menambah penipuan demi penipuan dalam bicara itu. Makin banyak saya cakap, makin bertambah pula penipuan dan pendustaan yang saya lontarkan hingga akhirnya ia menyakitkan diri saya sendiri. Biarlah semester pendek ini memulakan satu langkah baru dalam episod kehidupan saya. Episod seorang yang berusia 23 tahun.

Simpankan kerinduan yang makin memberat dalam diri
Menanti ia menjadi air sungai.
Sebuah kerinduan yang diharap ada penghujung
Dengan sebuah kemaafan kerana kedegilan.
Sesak dan seksa yang terasa dahulu berulang
Dan
Menjadi ilusi dalam diri
Ia sebuah kerinduan yang terlupa aku lampirkan doa.

Berdoalah Aku akan kabulkan.

Janji-Nya yang telah aku lihat dalam episod lalu
Semoga berulang episod ini
Sebelum diri dijemput mati.

Adakah kematianku bersama diri tidak dimaafkan?
Beratnya ...
Allah, Kau Maha Tahu Segala Rahsia.

Lontaran kata
Jamilah Mohd Norddin
Mahang.
20 Jun 2012.

27 June 2012

Buku Baru Faisal Tehrani,

SINEMA SPIRITUAL DRAMATURGI DAN KRITIKAN
FAISAL TEHRANI

Di Malaysia, saban hari kita dihidangkan dengan filem melayu yang bersifat “sampah” dan kononnya merentang realiti namun sebenarnya mendedahkan sisi buruk tanpa menumpahkan kebaikan dalam karya mereka. Sukar sekali mencari filem Malaysia yang berjaya mengangkat Islam pada kedudukan yang benar sebaliknya seakan merendahkan maruah kita sendiri. Realiti tidak hanya perlu ditunjukkan dengan lakonan realiti itu tetapi penawar dan jalan keluar daripada permasalahan.

Dalam pengantar penerbit (Unit Buku Harakah) ditulis, “Filem murahan seperti tahyul, sisi-sisi pinggiran masyarakat dan bermacam-macam lagi nampaknya semakin banyak dijadikan subjek filem.

Di satu pihak pula, wujud kecenderungan menjadikan wajah dan imej agama untuk menampakkan karya mereka sebagai “seni islam.”, sedangkan apa yang dikemukakan sangat superfisial dan sebenarnya lebih menampakkan satu penghinaan terhadap agama. ” (pengantar penerbit)

Filem yang dijadikan bahan ulasan adalah: Khoda Miad (Tuhan Akan Datang) –Majid Majidi, The War on Democracy-John Pilger, Budak Kelantan-Wan Azli, Le Grande Voyage- Ismael Ferroukhi, Wall-Simone Bitton, Atash, Ard Al-Taf, Ahlaam, Beaufort, Taht al-Qasf, Extraordinary Rendition, Hofshat Kaits, The Last Thakur, Hunger, Kopitiam Ghadir, Bee Season, The Blind Side, Changeling, Pensil, Taste of Cherry, Doubt, Arranged, Perempuan Berkalung Sorban, Personal Effects, Mawakeb-ul Abaa, The Road dan Avatar.

Artikel yang ditulis dalam buku ini sebenarnya adalah himpunan tulisan Dr Faisal Tehrani dalam Harakah yang mengulas tentang filem. Beliau sering mengaitkan filem yang diulas dan kaitannya dengan agama. Bagaimana filem menjadi agen menyampaikan pesanan agama. Bagaimana kekosongan masyarakat tanpa agama, dan Islam jika dilukiskan dengan baik dalam filem meninggalkan kesan yang baik.

Bacalah buku ini untuk mengetahui antara filem baik untuk ditonton. Memang banyak lagi filem-filem baik lain, namun ini antara cadangannya. Apa yang dilihat kekal dalam minda. Justeru, tontonlah filem-filem yang membuka minda bukan hanya mengundang air mata. Sudah jenuh kita ditipu para pengamal filem dengan ceritera yang apabila kita menonton hingga akhirnya kita kecewa. Kita akan berkata: cerita apa begini?

Terima Kasih, bahasa Arab.





Hampir masuk tahun keempat di UIAM saya kekal di level 2. Namun hari ini saya mahu memanjatkan rasa bersyukur dan terima kasih yang tidak terkira kerana Allah meletakkan saya sebagai pelajar bahasa Arab.


Walaupun belum lulus nahu dan sorof yang menjadi subjek wajib belajar, sekurangnya saya mengenal huruf bahasa Arab. Bukankah ini satu nikmat yang sangat besar?

Walaupun tidak mampu membaca kitab-kitab tebal nan berilmu yang banyak dalam bahasa Arab, sekurangnya saya faham sepatah dua kata dalam bahasa Arab.

Terima kasih Allah meletakkan saya dalam kalangan orang yang belajar bahasa Arab. Mulai hari ini, saya akan mencintai bahasa ini. Bahasa Arab.

Seperti watak Zakiah dalam Friends Forever, Ila Husna harus mencontohi watak itu dan menjadi seorang pencinta bahasa Arab.

Nantikan projek terbaru Ila Husna. Insya Allah, dalam pembikinan. Jadi, saya pohon doa kalian yang membaca menghulur doa agar mempermudah saya membuat pencen kubur ini.

:D

Maktabah UIA,
27 Jun 2012.

Membaca Untuk Mengenali Siri 1

Pengalaman Pembacaan Yang Sangat Megujakan.   
PROSES KREATIF SATU PENGALAMAN ROHANI.
ABDULLAH HUSSAIN.

Saya memerlukan tiga hari untuk menyudahkan bacaan Proses Kreatif Satu Perjalanan Rohani yang ditulis SN Abdullah Hussain. Bacaan yang berselang dengan buku lain –Sinema Spiritual (Dr Faisal Tehrani) dan Setitis Embun Semarak Api (SN Shahnon Ahmad) membuka arena baru dalam akal fikiran saya.

SN Abdullah Hussain menyebut dalam pendahuluan buku ini: “Bahan-bahan yang saya gunakan di sini ialah hasil fikiran dan renungan saya dalam perjalanan hidup. Hasil fikiran dan renungan itu saya jadikan bahan tulisan yang mungkin boleh dijadikan contoh oleh orang lain.” (Abdullah Hussain: vii)

Membaca catatan kepengarangan sepanjang penulisan novel dan cerpen oleh SN Abdullah Hussain memberitahu saya bahawa idea ada di mana-mana. Pengalaman demi pengalaman yang ditempuh sepanjang perjalanan menjadi bahan terbaik dalam penulisan. Sekali lagi, menulis sesuatu yang dekat dengan diri lebih meninggalkan kesan baik kepada diri dan pembaca.

SN Abdullah Hussain, seorang sasterawan yang menulis Interlok, Noni, Konserto Terakhir dan banyak lagi novel membawa saya mengembara lewat karya-karya beliau. Beliau tidak memperoleh pendidikan rasmi dalam dunia sastera namun belajar daripada bacaan, pertanyaan dan pengalaman. Hebat! Subhanallah!

“Saya mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan akhbar melalui berita-berita pendek tentang perlawanan bola sepak di sekolah.” (Abdullah Hussain: m/s 13)

Tentang pengalaman beliau dalam dunia bacaan bukanlah dengan membeli buku namun mencuri bacanya daripada almari buku di sekolah. Sekolah beliau dahulu tidak punya perpustakaan seperti sekarang.

“Masa bermain bersembunyi di luar sekolah itulah saya akan menyelinap masuk ke dalam sekolah melalui salah sebuah tingkap yang tidak berkunci, teus menuju ke pejabat guru besar dn mencuba membuka kunci almari buku dengan dawai. Saya akan mengambil sebuah buku saja lalu menguncinya kembali.” (Abdulullah Hussain: m/s 7)

NOVEL TULISAN SN ABDULLAH HUSSAIN:
-Binti Penghulu
-Harta dan Jodoh Menanti di England
-Dia Kekasihku
-Kasih Isteri
-Riwayat Rustam Jurnalis
-Darah Pembalasan
-Sakura Berbunga Lagi
-Gugur Bagai Melati
-Bulat Pemuda Desa
-Berlainan Tempat Tegak
-Tidaklah Saya Datang ke Mari
-Berenang di Lautan Madu
-Terjebak
-Rantau Selamat
-Janganlah Jangan!
-Aku Tidak Minta
-Kuala Lumpur Kita Punya
-Interlok
-Intan
-Noni
-Konserto Terakhir
-Masuk ke Dalam Cahaya
-Buih di Atas Air
-Imam

CERPEN.
-Manusia Baru
-Kario Buruh Kebun
-Satu Dilema
-Ingin Melihat Rambut Menantu
-Pertemuan di Tjiandjur
-Pertemuan di Kota Kinabalu
-Nonsen
-Baboon
-Pertemuan di Kota Bharu
-Nenek, Berikan Aku Ilham
-Dirinya yang Hilang
-Haji Badrul
-Lipas
-Pahlawan Tak Bernama
-Pertemuan di Miri
-Sebuah Pekan Bernama Semporna
-Pertemuan di Brunei
-Pertemuan di Kuala Terengganu
-Tuhan, Bagaimana Kau Akan Mencari-Nya
-Cahaya Langit
Bayang-bayang Kelabu
-Natasya
-Bumi Tercemar
-Nagasaki.
Kebanyakan novel dan cerpen karangan beliau adalah hasil renungan, pemerhatian, pengalaman dalam kehidupan beliau. Kehidupan beliau bukan hanya di tanah kelahiran beliau namun telah merantau ke Indonesia dan menyertai perjuangan di sana, hidup di Singapura, berada di Kuala Lumpur, Sabah dan beberapa tempat lagi demi kerjaya.

SN Abdullah menyatakan yang beliau tidak mencatat draf semasa menulis namun terus menulis cerpen dan novel yang mahu ditulisnya. Apabila ada cerita, beliau akan terus menghadap mesin taip dan menulis. Ada ketikanya, beliau mengeram idea sebelum ianya matang dan ditulis. Setiap orang punya caranya sendiri.

Pada muka terakhir buku ini SN Abdullah Hussain menulis, “... Demikianlah sebahagian daripada cerpen yang telah saya hasilkan yang proses penulisannya bermula dari perkara-perkara yang benar berlaku ke atas diri saya menjadi bahan utama yang diolah dengan bantuan imaginasi. ... ” (Abdullah Hussain: 266 & 267)

Maka, untuk mengetahui proses kreatif SN Abdullah Hussain, bacalah buku ini. Membaca memoir semakin mendekatkan pembaca mendekati karya pengarang.

20 Jun 2012.
5.56p.m
Mahang.

#k

26 June 2012

Hari Kedua

Dua hari yang dilalui tanpa nyenyak mengingatkan diri betapa banyak hari aku lena dan melenakan diri.
Hari kedua namun belum satu kelas dimulakan.
Bersama adik-adik yang bijak dan pintar.
Terkulat-kulat aku sendiri.

Semoga semester pendek ini penebus.
Allah beri tahap usaha seseorang.

Pagi tadi,
Berbelian bersama Ainul Salasiah.
Aktiviti yang lama tidak dilakukan.

:D

***
Hujung minggu ini pesta buku Selangor.
Keadaan tidak mengizinkan aku ke sana.
:D

25 June 2012

Selamat Datang Semester Pendek


lewat
pertemuan
hujung mingguku bersama h
dihulurnya secawan kopi manis
sehiris limau masam.
kutelan meski tekak mendesak
melontarnya kembali.

kata h
telanlah apa yang ada di hadapanmu
manis itu penyeri hidup
masam itu pengingat diri
masin itu hadirnya sesekali
pahit itu ubat sejati.

h,
suatu masa ketika kamu kembali
menemuiku
mahu kujabat tanganmu
terima kasih mengingatkan.

secangkir kopi sehiris limau pemberianmu
mengukir senyum di bibir.

19 Jun 2012/ Mahang.

***

25 Jun 2012
Perjalanan semester pendek dimulakan. Dua minggu bercuti di rumah tanpa talian internet membuahkan ketenangan. Memberitahu yang sebenarnya diri makin mendekati buku ketika talian internet tiada disebabkan modem yang terbakar kerana terlalu lama digunakana.

Pesan dipesan banyak kali. Jangan hampakan semua yang menanti kejayaanmu!

Kata seseorang: "Hm, sekolah tu tentu keputusan UPSR baik." Tersedak! Andainya yang berkata itu tahu hakikat yang berada di depan mataku sekarang.

Berada dalam bilik bersebelahan lebuh raya Karak nan sibuk. Sentiasa punya kenderaan.

Apabila ditanya tahun keberapa, saya jawab ... Tahun kedua! Hakikatnya sudah masuk tahun keempat saya di sini. :D

Ada beberapa draf yang tersimpan menanti untuk disimpan di sini. Mahu kembali menulis.

14 June 2012

Tulisan Yang Ditulis

Menulis bukan sebarang tulisan
Disoal di Sana
Atas landasan apakah penulisan
Kerana menegakkan titah Allah
atau
Demi kertas-kertas tertulis angka.

Allah.
Tetapkan hati ini dalam menulis
Bakat dipinjam-Mu
Bukan dipersia
Demi berkongsi
Demi memberi
Termampu diri.

Seandai esok diri pergi,
Ada harta kemudian hari
Menghulur jariah buat diri.

***

Saya tidak dapat membuang kekaguman pada mereka yang begitu tekal menulis dan berani menghantar penulisan mereka kepada media. Ia sikap yang harus dipuji kerana selagi tidak dihantar karya akan menjadi satu bahan tepu yang terkurung dalam diri sendiri. 

Saya mengikut penulisan Mohd Helmi Ahmad, seorang guru lepasan UPM yang makin rancak penulisannya dan karya sering muncul di media massa. Subhanallah. Ilhamnya tentu sekali tertumpah selalu pada dada kertas.

Usai perjumpaan dengan penulis kreatif Galeri Ilmu, saya melihat perkembangan positif.

Wah, bilakah buku kedua akan muncul?

Sungguhlah penulisan tidak berjalan melainkan dengan tekad dan kemahuan tinggi.

    11 June 2012

    Membaca Buku Puisi?

    membebaskan aksara.
    Jujurnya, saya tidak pintar menginterprestasi dan memberikan makna di balik puisi yang dibaca. Saya membaca puisi pada lapis pertama yang ditulis, hanya sesekali cuba menerka maknanya dengan kecetekan ilmu puisi yang ada dalam dada ini.

    Saya tidak banyak meneroka dan mengenal pemuisi negara seberang, dan masih berusaha mengenali penyair dalam negara.

    -A.Samad Said
    -Usman Awang
    -Salmi Manja
    -Zurinah Hassan.

    Sekadar empat nama yang saya tuliskan di sini. Hakikatnya, kita punya ramai penulis puisi dengan pelbagai tema dan gaya penulisan. Ada yang sukar diterka makna di balik tulisan mereka yang berlapis-lapis dan ada yang banyak melukis kisah kehidupan. Penulisan yang dekat di hati.

    Saya percaya masih ramai yang meminati puisi dan mahu belajar menulis puisi. Mulakanlah dengan membaca puisi-puisi yang baik. Tiada jalan kedua. Bacalah adalah  semangat penulisan. Tipu jika dikata minatnya seorang itu menulis tanpa suka membaca. Membaca yang punya makna luas.

    Sebelum ditamat tulisan kecil ini, bacalah petikan daripada  kapasitor.net ini. Petua kepada yang mahu memulakan penulisan puisi.

    "Pertama; kalau kita baru hendak belajar menulis puisi - elakkan dari menulis tema-tema yang berat. Buat puisi tentang benda-benda yang hampir dengan hidup kita. Something that we can easily relate.


    Kedua; elakkan kata-kata 'jargon' (bombastik) dan 'bunga-bunga yang melampau'. Make it as simple as possible, without sounding overly simplistic. Hmmm.. cam mana nak cakap yer? But I'm sure anda semua boleh tangkap lebih kurang maksudnya, kan?


    Ketiga; sebagai penulis baru, jangan bawa tabiat suka buat puisi panjang meleweh-leweh. Cuba yang pendek-pendek dahulu. Bila kemahiran makin meningkat, barulah cuba yang panjang-panjang pula."

    Jom, baca buku puisi.

    09 June 2012

    Sinopsis Friends Forever - Ila Husna

    ukhuwah itu tali penyatu
    Impian Zakiah untuk mendalami bahasa Arab menjadikan beliau nekad menolak tawaran Medik di Mesir dan mengisi borang kemasukan ke UIAM yang terletak di Nilai dalam jurusan bahasa Arab. Dia berdoa sesungguh hati supaya diterima ke UIAM kerana impiannya adalah untuk menjadi seorang pejuang bahasa Arab. Penerimaan mak dan ayah Zakiah berbeza. Mak Zakiah menerima keputusannya, namun ayah menolak kerana bagi beliau peluang pekerjaan lebih cerah jika dia belajar Medik. Setelah menghubungi cikgu Zaini, guru kelas ketika Zakiah di tingkatan Lima, Zakiah memberitahu masalahnya. Lalu, cikgu Zaini menyarankan supaya Zakiah memujuk ayah.


    Setelah persetujuan dicapai, melalui proses pujukan dan perjanjian, dia menghantar surat penerimaan tawaran ke UIAM. Ayah dan mak menghantar beliau ke sana. Di biliknya, dia ditemukan dengan tiga gadis lain, iaitu Balqis, pelajar IRK; Syazana, pelajar bahasa Arab dan Marziah, pelajar pengajian senibina.

    Disebabkan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan APT [kelas kelayakan bahasa Arab] dan EPT[kelas kelayakan bahasa Inggeris], dia akan belajar di sini selama satu tahun. Di sinilah bermulanya cabarannya sebagai seorang pelajar.

    Zakiah bertemu Mary, seorang bukan Islam yang berminat dengan Islam. Suka berkawan dengan orang Melayu dan mengambil jurusan bahasa Arab juga. Pertemuan mereka yang pada mulanya secara tidak sengaja mencetuskan bibit-bibit perkenalan.

    Manakala, Syazana, rakan sebiliknya merupakan anak orang kaya yang tidak mengamalkan ajaran Islam. Walaupun belajar, dia tidak mempraktiskan dalam hidup. Zakiah cuba mendekati Syazana secara perlahan-lahan hingga Syazana akhirnya tergerak hati untuk berubah. Akhirnya mereka menjadi sahabat baik.

    Balqis pula sedikit nakal walaupun pelajarannya cemerlang. Selaku sahabat sebilik, Zakiah mahu menegur, namun dibalas dengan cercaan dan muka masam. Keadaan memuncak apabila Balqis menuduh Zakiah mencuri telefon genggam yang sebenarnya terjatuh di bawah katil. Hubungan retaknya dengan Zakiah dijadikan alasan untuk menuduh gadis itu.

    Zakiah punya melalui banyak siri ujian sepanjang pengajiannya selama setahun di UIAM. Selaku Sekreteriat Dakwah dan Tarbiah mahalah, dia sering dijadikan sasaran mereka yang tidak senang dengan kerja-kerja kebaikan. Dia tidak disukai oleh rakan sekelas kerana mereka adalah senior dna dia junior. Dia dipinggirkan dalam kelas. Kemudian dituduh pula oleh teman sendiri mencuri. Hanya kesabaran dijadikan benteng daripada amarah. Belum selesai siasatan kes kecurian yang disabitkan dengan Zakiah, dia diserang demam panas hingga terpaksa pulang ke kampung.

    Ketika itulah Syazana dan Mary berpakat untuk membersihkan nama Zakiah. Mereka mencari bukti yang boleh membersihkan nama Zakiah, dan akhirnya menemui telefon genggam Balqis yang terjatuh di bawah katil sendiri. Setelah Zakiah mendapat tahu, dia menjadi tidak sabar untuk pulang ke UIAM. Tambahan pula, peperiksaan semester pertama akan bermula. Walaupun kurnag sihat, beliau tetap pulang ke UIAM.

    Ketika peperiksaan kitabah, beliau tidak mampu menjawab dengan baik kerana demam yang belum pulih sepenuhnya.Namun, untuk kertas lain sudah dilakukan sepenuh hati. Dia menyerah keputusan kepada Allah.

    Hanya ketika hari terakhir di UIAM semester satu, Balqis menemui Zakiah untuk memohon maaf. Zakiah pula yang mahu melupakan kisah pahit itu segera memaafkan. Dia tidak menyimpan dendam kepada Balqis yang juga teman sebiliknya. Ketulusan hati Zakiah menjadikan temannya ini amat terharu dan malu dengan apa yang dia lakukan.

    Syazana pula sudah berubah menjadi seorang yang menunaikan solat dan mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian. Malah, keluarganya mula berubah kepada lebih baik. Semuanya setelah mak dan ayah Syazana melihat perubahannya ketika pulang ke rumah, lalu mereka juga diberi hidayah untuk berubah. Syazana yang gembira dengan terasa terhutang budi kepada Zakiah. Hidayah itu memang milik Allah, namun Zakiah berjaya mendorong dirinya untuk berubah.

    Mary pula sudah menyatakan kesediaannya untuk memeluk agama Islam. Setelah mengucap syahadah, barulah Mary merasakan ketenangan. Disebabkan telah ada ahli keluarganya yang lain memeluk Islam, mama dan papa Mary mudah untuk menerima keputusan ini. Mereka menyambut baik keputusan Mary. Kini, selain menyertai kursus, Zakiah menjadi gurunya untuk mendalami Islam.

    Kemuncak ujian yang ditimpakan ke atas Zakiah adalah ketika cuti semester pertama yang sepatutnya menjadi detik paling bahagia kerana dia akan ke Makkah bersama keluarga. Namun, terjadi satu kebakaran yang menyebabkan dia kehilangan mak dan ayah dalam sekelip mata. Tapi, Zakiah bukanlah seorang yang berputus asa dengan ujian. Dia tetap kuat kerana dia ada Allah yang menemani. Dia kuatkan hati menempuh ujian. Dia kuatkan diri kerana tekad yang tersemat untuk bergelar ahli dan dalam bahasa Arab. Namun, lumrahlah apabila wajah mak dan ayah sering membayangi langkahnya sekarang.

    Disebabkan kejadian ini jugalah dia diterima kembali oleh rakan sekelasnya ketika di sem dua. Mereka mula melayannya dengan baik. Zakiah pula menemui kaunselor atas nasihat cikgu Zaini. Berbincang tentang masa depannya. Dia melalui beberapa siri kaunseling dengan Dr Masyitah, kaunselor di UIAM atas nasihat cikgu Zaini. Semangat dipugar kembali dan dia makin kuat.

    Pantas hari-hari berlalu, hari ini merupakan hari terakhir Zakiah di UIAM. Dia akan meneruskan pengajian di kampus induk bagi mendapat ijazah dalam bahasa Arab. Penguasaan bahasa arabnya sudah makin baik. Pelajarannya makin meningkat. Walaupun berbagai ujian melanda sepanjang setahun dia di UIAM Nilai, segalanya menjadi obor semangat bagi meneruskan perjuangan sebagai serikandi bahasa Arab.

    Mama dan papa Mary pula sudah nekad untuk memeluk agama Islam setelah melihat anaknya sangat berbeza cara hidupnya setelah memeluk Islam. Dan ini adalah angerah paling berharga buat Mary.

    Syazana pula mula menyibukkan diri dengan kegiatan dakwah. Dia berkongsi pengalamannya selama ini dengan pelajar-pelajar lain. Dia sudah memimpin usrah sendiri.

    Sesungguhnya, apabila tekad sudah disemat dalam diri, jalan yang dilalui terasa lebih mudah. Terasa ada semangat dalam diri yang memacu diri untuk terus berusaha. Zakiah, Syazana dan Mary@Maryam percaya setiap kesusahan ada jalan keluarnya. Di hujung derita ada bahagia. Setelah tekad disemat dalam diri, berusahalah semampu diri dan serahkan keputusannya kepada Allah. Dia mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya.

    ****
    Friends Forever sudah beredar di pasaran awal Januari lalu. Boleh didapatkan di rangkaian kedai buku Popular, MPH atau secara maya. 

    -Ila Husna

    08 June 2012

    Sepetang di Galeri Ilmu

    7 Jun 2012. 

    Pertemuan dengan encik editor Amir dan penulis kreatif Galeri Ilmu dijadualkan jam 2 petang. Saya, warga UIAM Gombak nun jauh di pinggir Kuala Lumpur belum pernah sampai ke Kota Damansara. Sementelah tiada kenderaan persendirian yang memudahkan pergerakan -bukankah saya penyokong perkhidmatan awam?-

    Jam 11 pagi, saya melangkah meninggalkan UIAM Gombak dengan satu tekad. Mencari pejabat Galeri Ilmu, kerana sudah tiba masanya saya memecah tembok yang dibina sendiri. Bertemu teman penulis di Galeri Ilmu -Wah, semuanya senior-, dan hanya saya yang punya sebuah buku -Cabaran buat diri. 2012, apakah buku yang mahu dihasilkan?-

    Perjalanan bermula apabila kaki memijak tangga RAPID 231 yang membawa saya ke Stesen RAPID Gombak (KJ 1 ) Seterusnya, dengan tambang sebanyak RM2.40, saya dibawa ke Stesen KL Sentral (walaupun boleh Ila berhenti di Stesen Pasar Seni sebelum meneruskan perjalanan menaiki Komuter, Ila mengambil keputusan untuk singgah di KL Sentral, lebih selesa)

    Di KL Sentral, saya mengambil KOMUTER KTM ke Kepong Sentral. Hanya RM1.70. Perjalanannya tidaklah panjang, hanya menunggu KTM itu memerlukan kesabaran. Bukankah sabar itu indah. Menunggu Komuter satu latihan menguji kesabaran diri sendiri.

    Di Kepong Sentral yang sangat asing bagi saya, terus saya menuju ke arah pak cik teksi yang menunggu di seberang jalan. Dalam hati debarnya hanya Allah yang tahu. Manakan tidak, kali pertama saya berada di daerah yang asing ini. Walaupun telah tiga tahun di bumi Kuala Lumpur, saya bukanlah seorang yang suka mengembara.

    "RM35.00"

    "Tempatnya jauh. Nak cari tempat lagi."

    Senang-senang saya terima juga pelawaannya memandangkan saya hanya mahu sampai ke tempat tujuan. Tidak fikirkan lagi soal lain.

    "Kalau naik dengan teksi warga India. Hati-hati. Banyak berlaku kes kecurian."

    Terdiam saya. Teringat peristiwa dengan teman tahun baru dua tahun sudah.

    Akhirnya setelah hampir setengah jam perjalanan, saya tiba di tempat tujuan. Masih awal, jam belum di angka dua.

    Alhamdulillah, semuanya dipermudah.

    Dipendekkan cerita, akhirnya berlangsunglah pertemuan yang mana saya hanya mendengar dan mendengar. Tidak sepatah kata aku bercakap.

    Puan Norhayati Sapii
    Kak Wan Asidah -Dissa Azmin
    Kak Ummi Hani
    cikgu Zurinah Ismail
    Cikgu Wan

    encik Editor Amir dan Azlan.
    Tuan Haji Zakaria Sungib
    Tuan Haji Wan Azmin.

    Alhamdulillah, pertemuan yang tentu mengujakan diri sendiri. Ini pertemuan pertama saya dan mereka. Pertemuan saya dengan puan Shamsiah Puad. Pertemuan sulung dengan cikgu Abu Hassan Morad yang saya suka baca bukunya.

    Jam 6 petang, setelah majlis tamat, saya pulang diteman kak Wan Asidah. -Dissa Azmin- menaiki RAPID U88 menuju Kuala Lumpur. Perjalanan yang panjang. Hampir jam 8.30 malam, ketika bas menurunkan penumpang di Stesen LRT Bangsar, saya turun. Bersolat dan meneruskan perjalanan ke Gombak.

    Sampai di stesen Gombak, terasa mahu cepat sampai di UIAM. Badan terasa penat berada dalam kenderaan awam. Tidak betah menunggu bas, saya mengambil teksi.

    Tiba di UIAM, makam malam dan akhirnya menuju alam mimpi awal.

    Tamatlah perjalanan separuh hari ke Galeri Ilmu.

    :)

    Semoga ada pertemuan seterusnya.

    06 June 2012

    Terima Kasih, UPM.

    4 Jun 2012, kaki melangkah meninggalkan Taman Ilmu dan Budi demi satu misi. Enam tidak bersua muka, akhirnya aku mengambil keputusan untuk ke sana. Ia bukan dirancang, hanya terasa kesempatan datang. Dingin pagi Isnin, terus aku menghantar pesanan ringkas kepada Alang bahawa aku mahu ke UPM.

    Petang itu, aku menyertai keramaian manusia di Stesen KL Sentral. Lama tidak aku menjengah KTM yang sudah berwajah baru -yang tidak berubah, keramaian manusia di dalamnya- Bertukar-tukar kenderaan akhirnya aku tiba di kolej kelima UPM, tempat tinggal Alang.

    Dan dia setia menanti.

    Aku masih aku
    Dia masih dia.

    :)

    Pagi esoknya, aku dibawa ke Bukit Ekspo, berjalan-jalan menghirup udara UPM. Kononnya mahu mencari pokok tempat penggambaran Lagenda Budak Setan, alangkan bumi UPM ini luasnya tidak seperti UIA.. :)  Matahari mencacak atas kepala, kami melangkah pulang, kepenatan. Datang ke UPM, dapatlah tanda kedatangan saya di sini. Parut di lutut sebab terjatuh tiba-tiba ketika menuruni bukit daripada kolej k-5 untuk ke bukit Ekspo. Sakit? Itulah tanda kenangan di bumi UPM.

    Tengahari itu, makan tengahari bersama cik Ina Nailofar di bilik Alang. :) Alhamdulillah. Dapat cenderahati yang comel.

    Petangnya melawat perpustakaan yang banyak koleksinya...
    Ada dua bahagian, bangunan A & B.
    Menanti bas,
    pulang :  kepenatan.

    Malamnya, awal lagi aku sudah terlena.

    Pagi ini, jam 9 kami bertolak pulang. Alang menghulur sebuah buku pula.. Allah, sudah banyak yang kamu beri selama dua hari aku singgah di bumi UPM. Tidak terbayar.

    Semoga Allah permudahkan kamu menjawab soalan peperiksaan.

    Sekian.
    Wassalam.

    Selepas ini, USM? UKM? Menarik juga melawat tempat belajar orang lain. 

    03 June 2012

    Catatan Malam Isnin


    pandang
    di hujung padang kehidupan
    rancang
    peta permainanmu
    menang
    kalah
    tidak lelah.

    lihat
    sejauh langit biru
    gapai awan impian

    berpijak 
    di rumput hijau
     
    **********************
     
    Pesan SIfu Az lewat  blognya, penulis harus membaca puisi sebagai satu cara membaiki lenggok penulisan. Saya sendiri dapat melihat setelah membaca beberapa buah novel yang ditulis sifu Azmah Nordin, ternyata penggunaan simbol, frasa dan lenggok penulisan beliau segar. Bagi saya, gaya penulisan tidak terbina sendiri. Baca. Baca. Baca. Bukankah itu resepi untuk tekal menulis *ah, senangnya bercakap, tetap menulis: perlukan semangat*

    Sejak semalam diteman lagu-lagu Allahyarham Sudirman. Lagunya hijau malar. Sejak dahulu dengar hingga hari ini, belum ada kata jemu. Resepi untuk lagu meletup di sini, liriknya mudah diingat, muziknya 'sedap' di telinga dan sederhana.

    Lewat tiga tahun kebelakangan ini, hampir setiap tahun saya menyertai bengkel penulisan. Kata orang, ilmu yang tidak diamal, jadilah ia ilmu yang beku. Macam air dalam takungan, tidak bergerak ke mana-mana. Jadi, menulislah! Tulis. tulis. tulis. Hantar. Ingat semula kata-katamu, kena berani!

    Baik, cukuplah setakat ini saya membebel!
    Sekarang, cuba membaca buku puisi.
    Mengenal sasterawan bernama Prof Emeritus Shahnon Ahmad.
    Projek baru. :D

    ~Jamilah Mohd Norddin