30 May 2012

Hobi Saya

Nama sebenar saya Jamilah Mohd Norddin. Apabila menulis puisi, saya selesa menggunakan nama Lu'luah Nur Jamilah, Novel pertama saya ditulis dengan nama Ila Husna. :)

Teringatkan sahabat-sahabat pena. Halimatul Asrah, Aini, Maizatul, Atiyah ... Sekarang tiada lagi surat menyurat, semuanya mesej, fb, emel ...

Harapan saya: 2012. Buku baru? Perlu kekuatan dan disiplin. Cakap selalu, insya Allah.
memetik kata-kata dalam friends forever. Zakiah, Marziah, Balqis, Syazana dan Mary. Cerita pelajar UIA.

Seingat saya, saya contengkan ini ketika menghadap meja, melihat kertas kosong .. lalu teringat yang saya dan puisi sebenarnya bersahabat baik. Walaupun saya tidaklah pakar dan handal menulis puisi, membaca puisi orang lain suatu terapi. Puisi Fahd Razy saya suka. Doktor yang menulis puisi. Menyengat!


**
kesukaanku menconteng,
dalam buku nota,
buku catatan,
kertas-kertas kumal,
novel,
kertas peperiksaan,
nota belajar.

Menconteng,
mengingatkan!

***

Jamilah Mohd Norddin

pergilah memori


membebas kenangan
mengosong kerangka memori.
bebaslah!

Dia memberi yang terbaik.

lu'luah nur jamilah 
(boleh dibaca di sini juga)

29 May 2012

Di Mana Mahu Beli Friends Forever, Ila Husna?

Keterangan lanjut, rujuk laman web ini: Iqramall
RM14.00


RM14.00

RM14.00
RM12.60


RM14.00


****
Assalamualaikum,
ini untuk kemudahan sesiapa yang mahu membaca novel sulung Ila Husna, Friends forever.
Mungkin sukar mendapatkannya di kedai buku, tempahlah secara maya dan ia akan dihantar terus ke rumah kalian.

Selamat membaca.
Senoga ada manfaatnya buat kita semua.

:)

Sesuai dibaca oleh pelajar sekolah menengah.


Di sini


Berdiri aku di sini
Sampai mati.

lu'luah nur jamilah

28 May 2012

Dunia Sophie


"Sophie, anak gadis berusia 14 tahun, menerima sepucuk surat misteri tatkala pulang dari sekolah pada satu hari. Surat tersebut melontarkan soalan aneh: Siapakah kamu? Dari manakah asalnya dunia ini – lantas bermulalah ‘Pengembaraan Sophie.’ Melalui surat daripada seorang ahli falsafah yang tidak dikenali, Sophie diajar mengenai falsafah, dan melaluinya juga Sophie mengenali ramai tokoh falsafah, daripada Socrates hinggalah kepada Sartre. Malah, melalui lelaki itu jugalah Sophie mula bertanyakan pelbagai soalan yang sebelum itu tidak pernah terlintas di fikirannya. Selain itu Sophie turut menerima beberapa surat misteri yang bukan ditujukan kepadanya. Siapakah Hilde, dan mengapakah suratnya boleh sampai ke dunia Sophie? Untuk merungkai teka-teki ini, Sophie perlu memanfaatkan ilmu falsafah yang dipelajarinya itu. Namun begitu, kebenaran yang dicari tidak semudah yang disangka." -laman itbn

###
Melangsaikan bacaan tertangguh,
Bersama ribua persoalan.
Dunia Sophie,
plot yang terpecah-pecah,
harus difahami ceritanya.
Hilde, anak si pengarang,
dihadiahi tulisan ayahnya.

Novel yang menceritakan sejarah falsafah,
bertemu watak-watak cerita animasi yang kita biasa dengar,
Gadis bertudung merah,
winnie the pooh,
aladdin.

Ah,
Jalan ceritanya membuatkan diriku pening sendiri.
Memahami aksara yang payah dihadam.
Sejarah falsafah,
kutelusur jua hingga akhir.

memahami sebuah cerita.
sebuah dunia rekaan.

untungnya bersama Islam,
Lengkap! 

######

Jamilah Mohd Norddin
ITD

26 May 2012

Dipanah Arjuna.


Saya pernah menanam impian,
Dan Allah lorongkan jalan.

                                           Saya masih cuba menyemai cita yang makin jauh.
                                           Ada masa mekar, ada ketika kuncup. Seperti bunga kuning yang sering
dilihat sepanjang jalan yang sering saya jejak. Paginya mekar, datang suria, kuncuplah ia.
Saya tetap akan berdiri di sini.

Saya pernah bermimpi,
Mimpi yang hilang kala saya terjaga.
Mimpi yang hadir dalam realiti.
Mimpi membuatkan air mata menganak sungai.
Mimpi gerun.

Saya percaya mimpi hadirnya bersama cerita,
Rindu mengasak jiwa,
Ingat pada yang jauh di mata,
Memberitahu  tidak sendirinya saya, 
Sentiasa ada yang kasih dan cinta.
Masih,
Saya yakin mimpi memberi cinta,
Membuah rindu.
Mengubat derita.

Saya selalu lupa,
leka,
endah tidak endah,
mencarik luka,
membenam belati pada jiwa orang lain,
melukis tangis pada pada wajah bahagia.
Saya,
seorang ananiah.

Kala saya terjaga daripada kelupaan yang panjang,
Masa itu telah hilang,
Tidak berganti, walau saya menanti.
Saya masih percaya ia sebahagian kisah perjalanan saya,
yang lurus.
Tidak sesusah orang lain.
Tidak punya banyak denai kecil,
tusukan demi tusukan duri,
 Saya masih dalam daerah selesa.



Lalu, saya percaya Allah hadirkan cinta demi cinta,
Kerana saya perlukan cinta.
Cinta yang membuatkan saya tidak terleka,
cinta yang menghadirkan cinta.

Aduhai,
ya, saya dipanah cinta,
Cinta atas cinta,
Cinta dalam cinta.
Terima kasih cinta... 

Jamilah Mohd Norddin.
26052012
Taman Ilmu dan Budi

23 May 2012

lubuk paling dalam

berbisik,
pada lubuk paling dalam *hatiku*
apa sahaja selepas ini
terbaik untukku
lantaran aku mahu begitu.

lu'luah nur jamilah

RCP perlukan CPR

Kembali Menulis. :)


Membaca catatan di blog umairahshafei memang menaikkan darjah kerinduan untuk kembali menulis di sini. Selepas seminggu berhibernasi, akhirnya beruang kutub kembali keluar daripada daerah hibernasinya. Meronta-ronta hati ini, kemudian kembalilah jemari menaip satu demi satu perkataan.

Aduhai.

Ditutup, buka, ditutup dan akhirnya terus saya membuka kembali blog, fb dan dunia maya. Takut. Saya takut tatkala saya tinggalkan lama jemari tanpa taipan apa-apa di atas kertas apatah lagi di laman maya ini, jemari saya akan makin lembap dan kaku menulis.

Resam orang menulis, lari sejauh mana sekalipun dia akan kembali menulis juga.

Baik. alkisahnya Readings Classical Prose  (belajar cerita zaman arab dahulukala seperti risalah hazliyah, buku fusul wal ghayat, maqamat, dan beberapa cerita arab zaman dahulu) sudah menutup tirainya apabila semalam jam lima petang, dalam hujan yang menyejukkan itu, peperiksaan akhirnya selamat dijalankan.

Walhasilnya, dimintalah oleh ustaz menulis ringkasan cerita peniaga dan jin ifrit, bariskan risalah hazliah, uslub dalam maqamat ilmiah dan ta'likkan fusul wal ghayatnya...

Bukan senang saya tidak keluar awal semenjak dua tahun lalu. Semalam, memang hingga pegawai peperiksaan memberitahu masa sudah tamat, aduhai ... gementar jemari mahu menyerahkan kertas.


Kesudahannya, tersimpanlah kertas-kertas RCP yang serasanya memerlukan bantuan pernafasan yang mana hayatnya ...

Apa-apa pun, dalam dua hari cuba untuk membelek kertas-kertas RCP, terasa aduhai kayanya bahasa Arab. Satu keuntungan belajar adab -sastera- ini, kita belajar sesuatu yang baru dan bebas berekspresi dalam peperiksaan tanpa hafalan.

Ya, kata satu frasa dalam maqamat ilmiah tentang bagaimana nak dapat ilmu: Ilmu tidak lekat melainkan dengan hafalan. Oh, kata ustaz usah momokkan kotak fikirku dengan hafal tetapi INGAT!

Wassalam.

p/s: umy, saya sudah kembali menulis. Godaan yang sangat kuat, ditambah gatal semua jemari untuk saya kembali menulis. :)

jamilah mohd norddin.

13 May 2012

Catatan Mereka ... Tentang Sesuatu.

Biru...

Bila sakit, taknak pergi klinik. Batuk berkongkong-kongkong, hidung berpuluh kali menyembur hingus, degil taknak cari ubat. Masih minum air batu, air sejuk. Kepala dah pening-pening masih taknak tidur, taknak berehat.-Budak U. (cerita penuh di blog beliau)
# Membaca kisah ini seakan aku sedang membaca kisah aku. Ya Allah, sesungguhnya tidaklah kamu menguji melainkan ada lebih daripada satu penyelesaian pada setiap masalah. Itu kata ustaz yang aku dengar di IKIM.fm semalam, semasa menanti mata terpejam. Kata ustaz, sebagaimana Allah rakam dalam surah al-Baqarah, tidaklah Allah bebankan seseorangkmelainkan dia mampu hadapi. SMILE.  :)

# Teringat coretan umairah shafei. Ah, bicaranya sering tidak jemu dibaca. Lalu aku tekan satu perkataan di blognya, membaca catatan ini ... 

"Jangan disangka bila Allah tak menguji dengan kesakitan, kekecewaan, kesedihan, kepedihan dan semaksud dengannya, bermakna Dia tidak peduli dengan dosa dan maksiat yang kita buat. " -umairah shafei, 23.11.10

Sebab tu, baru tersedar, pentingnya tubuh badan yang sihat. Cergas sepanjang masa. Tenaga yang ada biar diinfakkan pada kerja-kerja berfaedah tentunya. Sebab tujuan hidup ini, tak lain tak bukan hanya dua saja tujuan utama. Pertama, sebagai hamba Allah, dan beribadah kepadaNya. (Adz-Zariyat: 56) Kedua, memakmurkan bumi Allah, sebagai khalifah atas muka bumi. (Al-Baqarah:30) -umairahshafei, 18.12.10

***
Tadah tangan
Rendahkan hatimu
Pohon pada Yang Satu
Pasti diberinya segala yang perlu.

Diberi peluang kedua
Selagi nafas masih di dada...

Teguhkan diri pada jalan yang satu
Wahai kamu....

Kembali merajut cinta
Dalam untaian tasbih yang sentiasa bermain di jemari... 
 
lu'luah nur jamilah
 
****

#  Selamat berkawan dengan buku teks, nota, slide-slide yang diberi ustaz, tulis dan tulis.
#   Sekarang, keikhlasan akan teruji. Belajar kerana imtihan?
#   Fatrah peperiksaan. Sungguh aku mencintaimu.
#   Kawan-kawan, teman-sahabat- jaga kesihatan. Kata kawanku semalam: badan akan diguna lama, jaga ia baik -baik.
#   Terima kasih semua teman yang sangat baik.
# Maaf semua salah silap.



# Mahu berhubernasi! Doakan saya.


# Buat kalian, semoga segala-galanya baik -baik sahaja. 


Wassalam.

Jamilah Mohd Norddin
Ila Husna
Lu'luah Nur Jamilah.



 


12 May 2012

Ada Apa Dengan Friends Forever?






1 September 2009: Bermulanya sebuah impian seorang gadis bernama Jamilah Mohd Norddin yang mahu bergelar penulis 2011



24 November 2011: Saudara Amir memaklumkan Friends Forever akan dihantar ke kilang pencetakan.
Apakah yang lebih menggembirakan selain itu.






***
Setahun bersama Sifu Az berbengkel
Proposal awal dihantar kepada Ustaz Zakaria Sungib,
Akhirnya editor berpindah tangan kepada saudara Amir Hamzah.
Dua tahun tempoh sebelum masuk kilang
Suka, duka, sedih, gembira menulis kembali Friends Forever.
Allah tahu masa terbaik ia diterbitkan.


Yang pertama bukan terbaik.
Yang pertama pencetus semangat.

Ila Husna
2012
Manuskrip kedua?

Gadis bertudung hijau


Gadis bertudung hijau,
Meluah pada alam,
Menghilang resah bercambah.

Jika patahnya sayap malam,
Haruskah dia tersungkur?

lu'luah nur jamilah
12052012

Pesan sifu #Azmah Nordin I

10 pesanan buat diri yang mahu menulis:

  • Tetapkan masa anda bertemujanji dengan penulisan. Jika ia seorang kekasih, tentu kita tumpukan sepenuh perhatian kepadanya.
  • Matikan telefon, sign out fb, tiadakan talian internet, matikan televisyen. Jika mahu dengar, dengarlah mp3 dan pasang earphone.
  • Pastikan hala tuju plot/jalan cerita. Biarpun plot, watak2 dan ceritanya mungkin akan berkembang mesejnya tetap sama.
  • Tulis apa sahaja tanpa hiraukan kesalahan ejaan, tatabahasa dan sebagainya.  Gunakan formula 4/5 daripada keseluruhan cerita, untuk memulakannya.
  • Edit, edit, dan edit cerita itu sehingga anda berpuas hati.
  • Masuk ke dalam diri watak dan kenali watak seperti anda mengenali diri sendiri
  • Menulis sesuatu yang anda suka
  • Edit berkali-kali untuk cantikkan bahasa dan karya anda
  • Letak diri anda dalam senarai penulis lain. "Orang lain boleh, aku juga boleh!"
  • Tentukan karya anda sudah siap atau belum.
  •  Setiap cerita perlu ada PERJUANGAN yang diangkat.
#Rindu tempoh berbengkel bersama sifu Az. Aku turunkan di sini buat perkongsian untuk semua. :)
#Ingat kata-kata Editor Ami: menulis itu tanggungjawab yang akan dipersoal
#Jika orang lain boleh, kenapa aku tidak boleh? (bukankah aku ada semangat itu satu masa dahulu.)
#Biar seburuk mana karya, tulis dan tulis.
#Baca edisi asal di sini.
 

11 May 2012

Perkongsian Manis.



Saya buatkan satu lagi blog berkongsi tips-tips dan artikel tentang penulisan.


kata editor novel di Galeri Ilmu, Universiti PTS antara bacaan wajib.
Saya percaya ada lagi laman-laman berguna, yang insya Allah saya kongsikan isinya di notailahusna.
:)

Berkongsi itu manis.

nota khusus buat yang mahu menulis:
umairah, hazen, tepian muara, dan sesiapa sahaja yang punya bakat luar biasa dalam penulisan,
MARI TERBITKAN BUKU!

ila husna.
2012

Cerpen: 1 Hati

Kerana kita punya 1Hati.
Atiyah, seorang pelajar di Akademi Pengajian Islam (AKI) dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama. Minat Atiyah dalam bidang penulisan menyebabkan Atiyah memilih AKI sebagai tempat pengajian. Atiyah suka menyendiri dan tidak peramah. Kehadiran Aini mengubah sikapnya. Aini, seorang pelajar di AKI, peramah dan cuba membawa Atiyah mendekati masyarakat. Aini cuba menyedarkan Atiyah kepentingan bermasyarakat dan tidak menyendiri. Betapa masyarakat memerlukan remaja yang petah bersuara, dan bersama-sama masyarakat. Masyarakat yang pincang kini tidak memungkinkan seorang remaja itu hanya mendiamkan diri. Aini berusaha mengajak Atiyah menyertai usrah di bawah seliaan naqibah bernama kak Asrar. Di situlah Atiyah belajar bergaul dengan kumpulan yang kecil, sebelum dia bersama-sama masyarakat yang lebih besar.

Pada permulaannya semuanya berjalan lancar. Atiyah dapat mengikut aktiviti usrah yang dijalankan. Namun, selepas beberapa bulan, rasa bosan datang dalam diri Atiyah. Atiyah berasa bosan dengan rutinnya menyertai usrah. Atiyah berasa dia berpura-pura sedangkan hakikatnya, dia masih banyak ruang dalam diri yang perlu dibaiki.

Satu pagi Jumaat yang sepatutnya Atiyah menghadiri usrah bersama kak Maizatul, Atiyah mengetuk pintu bilik Aini.

Aini pandang muka Atiyah. Nampak wajah gusar pada sebentuk wajah yang selama ini tenang. Pandangan matanya kosong tidak seperti hari-hari semalam. Sinar pada matanya sudah hilang. Kekuatan dalaman yang selama ini terzahir pada jernih raut wajah hilang. Atiyah resah. Aini menangkap kegelisahan pada pandangan Atiyah.

Atiyah mulakan bicara setelah dijemput masuk. Dia duduk di lantai bilik sempit Aini. Secawan milo suam dan chipsmore dihidang peneman sembang mereka. 

"Aini, saya penat. Saya penat bersama orang baik. Saya seperti sedang berpura-pura sedang hakikatnya ... "

Aini terkedu. Bicara apakah yang sedang Atiyah lontarkan. Bicara apakah yang kak Maizatul ucapkan hingga mengusik sekeping hati milik Atiyah. 

Aini pandang wajah Atiyah. Lama. Mencari kejujuran.

"Aini tidak sempurna. Atiyah tidak sempurna. Bukankah dalam usrah kita belajar membaiki diri. Bukankah Atiyah makin ceria setelah menyertai usrah? Bukankah Atiyah makin berani dan lantang bersuara setelah menyertai usrah?"  Aini memaut bahu Atiyah. Mengecas kekuatan yang seakan menjauh daripada diri sahabatnya.

"Itu orang lain, bukan Atiyah... Atiyah rasa tidak bebas. Atiyah rasa ... Ah, perkaataan apa sekalipun tidak dapat memberitahu perasaan Atiyah sekarang."

"Inikah Atiyah yang Aini kenal? Atiyah yang mahu nuansa Islam pada karyanya? Atiyah yang mahu mengangkat Islam dalam karya nukilannya?"

Tertunduk Atiyah. Seakan sebuah tamparan kuat mengena wajahnya. Teringat kembali sebuah mimpi, angan dan citanya. Kehadirannya ke AKI bukan sekadar kerasa segulung ijazah. Atiyah punya misi sendiri.

"Atiyah, kita hanya punya satu hati yang mesti kita jaga. Jangan biarkan syaitan merasuk hati  milik kita... "

"Aini ... " Atiyah tersedu. Air mata berjuraian.

"Luahkan semua tangisan hari ini. Esok, kamu bertemu kak Maizatul. Katanya padanya, Atiyah tetap akan sertai usrah. Atiyah mahu jadi seorang yang lebih baik. Atiyah adalah Atiyah yang mahu menulis kerana Allah. Atiyah hanya ada satu hati yang  mahu bekerja untuk agama Allah."

***
Satu hati milikmu, sihatkah? Sakit? Menangis ia kerana tidak dibelai dengan nur Islam? Mengapakah dibiar noda-noda dan titik dosa menghitamkan putih hatimu? Memang selamanya kita tidak sempurna, namun harus bekerja tuju kesempurnaan. Atiyah, satu watak dalam jutaan watak dalam kehidupan kita. Adanya sahabat sebaik Aini, menyedarkan dia yang usrah itu penting, mengecas kekuatan.

Usrah perlukan kesabaran.
Usrah perlukan kekuatan.
Usrah perlukan keinginan.
Usrah itu keluarga.
 


10 May 2012

Sembang Malam Jumaat: Cerita Cinta Satu Kewajipan?






#tekan pada gambar untuk paparan lebih jelas.
#Sengaja, malam Jumaat yang sejuk-panas-suam ini aku lontarkan kata di fb tentang sesuatu yang sebenarnya sudah lama bermain di minda.
#kesimpulannya, penulis harus bijak menggunakan kata 'CINTA'. Satu kata magis.

#Terima kasih teman-teman di fb..

Edisi Percuma.


Ini perkongsian saudara Amir Hamzah, editor yang bertanggungjawab dalam hal ehwal novel di Galeri Ilmu Sdn Bhd. Hari itu, beliau kongsikan banyak perkara. Saya mendengar dan mengangguk, ada yang terbang, ada yang lekat di ingatan.

  • Ada novel yang isinya bagus, tetapi muka depannya ... 
  • menulis itu tanggungjawab. Boleh dikata khianat jika kita yang Allah beri kelebihan menulis, tidak menulis.
  • Penulis harus tahu mempromosi tulisannya. Lihat bagaimana Ain Maisarah mempromosi karyanya.
  • Pandai-pandai menyelit dalam acara di UIAM. :)
  • Tidak kisah menulis apa yang orang lain sudah tulis, atau filem yang ditonton. Kita tulis versi kita.
  • Ikut cakap editor
  • Rugilah jika hanya menulis sebuah buku.
  • Buku kedua yang ditulis boleh membantu jualan buku pertama. :)
  • Kita mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan isinya.
  • Zaman ini zaman yang tidak perlukan wartawan. Kuasa blog dan fb.
  • Fokus sasaran pembaca.
  • Buat SWOT bagi setiap karya.
Sedikit dalam banyak perkongsian saudara Amir pada 5 Mei lepas. Sangat berharga bagi penulis pucuk seperti saya.

Benarlah, sekali melangkah, tidak boleh berpatah semula. Buang semua rasa, tulis dan tulis. 

2012 MESTI ada proposal baru. Ila Husna harus melangkah ke hadapan.

07 May 2012

khianat.

menulis..
tanggungjawab yang akan dipersoal.
khianat apabila Allah beri kebolehan,
tidak menulis.

Bahasa Arab bagaimana?
Satu pengkhianatan,
meninggalkannya,
sedang belajarnya sehari-hari.

Buku yang disusun di rak,
khianat dibiar begitu,
tidak dibaca.


...
tulis pendek.
jimat masa.
ingatan buat diri sendiri.

 


06 May 2012

Pesta Buku, Saya Datang

Cenderahati menjadi tetamu dalam rancangan Remaja IKIM.fm 1 Mei 2012.
5 pusingan tahun ini... Persoalannya, bilakah manuskrip seterusnya akan terhasil? Terima kasih encik Amir sembang-sembang petang 5 Mei 2012.
Pusingan pertama: 28 April 2012: membeli diari Mat Despatch dan buku-buku puisi. :) 


Pusingan 4: Cemburu melihat buku-buku yang ditulis teman-teman penulisan dan penulis mapan.

Pusingan 5: 5 Mei 2012. Kenangan Terindah!

Tangkapan PBAKL 2012. Nanti saya tuliskan edisi panjangnya. Biarlah gambar dahulu berbicara. Terhutang budi dengan editor dan penerbit. Ada hutang dalam penulisan. Kata-kata kak Salina: "Harus resah jika setahun tidak terhasil satu buku."

Wassalam.

03 May 2012

Apabila si Pendiam berkata-kata di IKIM. fm

Jumaat lepas, saya menerima panggilan daripada puan Shamsiah, staf di Galeri Ilmu bertanya kesudian saya menjadi tetamu di IKIM.fm. Spontan mulut dengan lancarnya menjawab ya, tanpa bertanya lebih lanjut butiran program. Hari Selasa. Saya sudah membayangkan slot Remaja yang dikendalikan DJ Faiz Othman. -DJ kegemaran saya ini-

Kemudian, apabila Encik Nasri menelefon bertanya lebih lanjut, saya bersetuju dengan pelawaan beliau. Kami bertemu di PWTC malam 1 Mei, terus ke IKIM.fm.

Pagi 1 Mei, sepatutnya saya menyertai pelancaran buku baru Galeri Ilmu. Malangnya disebabkan imtihan syafawi pagi itu terlewat ditambah dengan kelewatan bas, saya tiba di sana pada waktu kemuncak. 12 tengahari. Alhamdulillah, kak Husni dan Habibah temankan saya. Kemudian, apabila mereka pulang, dan usai menunaikan solat Zohor, saya melilau sekeliling gerai-gerai buku hingga kepenatan. Poket kering tidak memungkinkan saya membeli hatta sebuah buku. :) Marziah menawarkan saya  ke rumahnya, lantas saya bersetuju. Ah, jika tidak saya menunggu di PWTC hingga malam. Menangis saya jadinya.

Hujan seakan tahu. Setelah beberapa lama tidak hujan, hari ini hujan terlalu lebat. Melewari hujan walaupun diri sudah diserang selesema dan batuk sejak beberapa hari ini. Lebih segar apabila usai mandi dan bertukar pakaian di rumah Marziah.

Jam 8.30 malam, kami menaiki STAR kembali ke PWTC, bertemu encik Nasir...

Setelah beberapa kali melihat sebelum ini, saya diperkenalkan dengan editor berjasa, Amir Hamzah. Sejak bermesej dan semalam bertemu dia tidak lepas berkata saya sangat sabar menunggu friends forever diterbitkan. Saya tidak terasa penantian saya lama, kerana saya tahu editor punya banyak tugasan, sedangkan tugasan saya satu sahaja, menulis.

terima kasih encik Amir.

"Jom, kita pergi sekarang." Beberapa minit bersembang dengan encik Amir, saya yang diteman Marziah mengikut encik Nasri untuk ke IKIM. Lebih kurang setengah jam perjalanan kami memasuki pintu gerbang IKIM dan ternampak bangunan IKIM tersergam.

Perjalanan ke IKIM.fm, dan bicara pendek. Selebihnya diam. Saya kekok lantaran kami hanya bertiga. Hanya soal jawab biasa dan standard. Tahu asal usul, sekolah, dan sedikit sebanyak tentang novel.

"Ini bangunan IKIM. Radio IKIM.fm, sudut kecil sahaja." Kawasannya luas dan cantik. Gelap malam, sunyi datarannya.

Melihat kegelapan kawasan, saya tidak dapat membayangkan Deejay-deejay IKIM.fm yang bertugas malam dalam konti seorang diri. :)

Kami ke surau terlebih dahulu menunaikan solat Isyak sebelum naik ke konti. Mujur saya tidak tinggalkan pas lawatan yang diberi guard. Rupanya pas itu membolehkan kami memasuki kawasan radio IKIM. Seperti rusa masuk kampung di situ. Saya hanya mengikut Encik Nasri.

Hampir jam sepuluh, seorang lelaki tinggi lampai menemui kami di meja. DJ Faiz. Beliaulah yang bertugas malam ini. Bersembang seketika dan Encik Nasri menghulur friends forever kepada beliau. Beliau mengendalikan rancangan Remaja dengan tajuk minggu ini, Membaca gaya wawasan. Kata beliau sempena pesta buku.

Mereka mencari remaja yang menulis. Bertanya Galeri Ilmu, dan sampai kepada saya. Memang banyak yang menulis novel remaja, namun berapa kerat remaja yang menulis novel?

Jujur, saya tidak tahu apakah sebenarnya rancangan IKIM malam itu, hinggalah tiba di konti... Soalan diberikan kepada saya. Sama-sama berbincang dan Encik Nasri memberi komentar.

DJ Faiz. Jujur, saya antara pendengar yang menyukai celoteh beliau saban malam ketika beliau bertugas. Terasa disuntik semangat mendengar suaranya dan malam itu saya tahu rahsianya. SENYUM.

Suaranya penuh senyuman.
Ekspresi penuh dalam penyampaian.
Bergaya ketika berbicara walaupun seorang diri.

Begitu tugas seorang penyampai radio.
...

Dengan konti yang sedikit panas, kami bersoal jawab malam itu. Saya tidak pernah bercakap depan khalayak. Hakikatnya semalam satu Malaya dan jika ada yang mendengar dalam talian mendengar suara saya. Entah bagaimana gayanya, saya takut mendengarkan kembali. Saya ketawa kepada teman yang menemani setiap kali usai bercakap. Hanya berbalas senyum dan berbahasa isyarat dengan DJ Faiz pada selang masa iklan. Saya banyak memerhati. DJ Faiz yang banyak bercakap menggantikan saya yang menjawab soalan dengan perkara lain.

soalan lain.

saya tulis lain.

saya cakapkan lain.

Apa yang terlintas dalam akal, itulah yang saya cakapkan. Tidak menjawab soalan, soalan tidak sama dengan jawapan dan saya terlupa menyebut tentang Galeri Ilmu, sedangkan encik Nasri daripada Galeri Ilmu dengan setia menanti di luar.. Ada masa nanti saya tuliskan isi sebenar perkongsian malam itu, sebagai pengalaman dengan diri sendiri.

Gementarnya ada pada beberapa soalan yang saya seperti tidak mahu jawab. Mungkin disebabkan DJ yang ceria, ia cepat hilang. Saya terasa ada saat yang suara saya bergetar.

Soalan paling berat bagi saya, bagaimana bahagikan masa antara membaca novel dan buku pelajaran. Allah, saya tidak mahu menjawab soalan itu... Bilakah saya membuka buku pelajaran? Malam peperiksaan... Novel bila-bila masa sahaja saya membukanya. Aduhai! Soalan itu mencabar diri saya. Sebelum ini, saya persoalkan dalam blog ini antara cinta dan tanggungjawab. Malam itu saya ditanya bagaimana saya bahagikan masa antara cinta dan tanggungjawab...

Sesungguhnya terasa sangat cepat malam itu berlalu. 10.55 malam, program selesai, dan saya mendapat dua buah buku percuma. :) alhamdulillah, saya suka hadiah buku.

Encik Nasri menghantar saya pulang. terima kasih jasa tuan. Akan saya kenang selamanya...

Encik Nasri, maafkan saya terlupa benar menyebutkan tentang Galeri Ilmu. Sesungguhnya Galeri Ilmu membuka jalan untuk saya menulis.

Encik Amir, saya ingat kata-kata anda, kalau boleh ada kesinambungan cerita. Sambunglah cerita friends forever.

DJ Faiz, akhirnya saya bertemu di IKIM.fm dan melihat beliau bertugas.

Marziah Mohamad Saad, terima kasih temankan saya daripada petang hingga malam. Belanja makan dan tambang, hanya Allah membalasnya.

Sedikit, perkongsian pengalaman pertama di konti. Ya, perjalanan masih jauh.. sanga jauh. Doa kalian menguatkan saya.

Jamilah Mohd Norddin
IIUM.