30 April 2012

1 Mei 2012





9 pagi - Ujian lisan RCP
10.45 pagi - Pesta Buku memanggil ...
10.00 malam - IKIM.fm??? Semoga Allah permudahkan semuanya..

28 April 2012

Nostalgia Pesta Buku

2009

Kali pertama aku ke pesta buku.
Seingat aku dua kali aku ke sana.
Bersama kak Husni dan Masthura.
Adegan hilang.
Buku-buku yang dibeli.
Kenangan manis. 

kegemaran aku, bercerita tentang penulis yang ditemui.
Aduhai, manisnya...

  ****

 2010

Kali pertama ke sana, saya bersama teman-teman.. Ada adegan hilang-menghilang, 
Hanya dapat Tunas Cipta Mac 2010.
Tiada wang dalam poket ketika ini.


Kali kedua, saya seorang diri ke sana
Terserempak Ustaz Azlan,
Mendengar bicara Sofa Putih bersama Faisal Tehrani,
Pusing-pusing..
Tengahari aku sudah pulang.
Tangkapan hari ketiga. 
Aku hanya bersendirian dan berjalan dari satu kedai ke satu kedai yang lain.
Lebih ramai penulis.
Ditanya kak Salina: "Apa dah jadi dengan penulisan?"
Autograf yang bermakna.. :) 
Berjalan dari pagi sampai pukul empat petang.
PUAS!!!
****

KEMBARA KE PBAKL '10 PUSINGAN 2

Buku-buku yang disambar tahun lepas.

Alhamdulillah, pemilik diri ini mengizinkan saya menjejakkan kaki ke PWTC lagi. Bersama energi penuh dan senyuman yang sentiasa meniti bibir, saya melangkah sendirian ketika pagi masih muda, sedang matahari masih malu-malu menunjukkan diri. Saya dalam sut kurung berwarna hijau menapak tangkas ke perhentian bas ke-9 UIAM, perhentian SAFIYYAH...

Sebuah bas berlalu.. U12..

"Ah, itu bukan bas sepatutnya yang saya naik." Lalu saya biarkan asap bas meninggalkan saya.

"Ini bas 91, boleh naik..Cuma lambat nak sampai Masjid Jamek." Saya megomel seorang diri.

Bas keempat barulah U231.. Bas ke Perhentian Putra.. Saya melangkah masuk..

Setelah memasukkan fulus ke dalam kotaknya, saya menunggu tiket. Memerhati pemandu bas seperti anak-anak menagih ais krim daripada ibu.

"Tiket tak ada, dik!"

Saya menuju ke kerusi.. Ada seorang yang saya seperti kenal, namun saya buat-buat tak kenal... Saya pasti tujuannya sama seperti saya. Sepanjang perjalanan dia membelek buku terbaru ustaz Hasrizal Jamil (Secangkit Teh Pengubat Letih). Ada juga beberapa orang foreigner lain yang bersama-sama kami pagi ini.

Destinasi tiba. Perhentian LRT Putra saya jejaki untuk entah kali ke berapa. Ketika membeli tiket, saya hulurkan wang syiling (opps.. menunjukkan tuannya ini sedang sengkek..) Apa saya peduli apa dia akankata, selamba saya hulurkan wang dan mengambil tiket. Kaki pantas memanjat eskalator satu demi satu..

Tak lama menunggu, train tiba. Perjalanan diteruskan. Kononnya membaca buku langit Ilahi 2, tapi sebentar cuma. Saya lebih suka mengusya penumpang dan melihat riak wajah anak bandar yang pelbagai.

Di Hentian Masjid Jamek, eskalator untuk ke tingkat atas tak berfungsi..

"Ketung, ketang, ketung, ketang".. Kedengaran bunyi tapak kasut lelaki dan perempaun bersatu meniti eskalator yang tidak berfungsi.. Fuh.. Hilang sedikit tenaga.

Tiket untuk kembali ke Putra terus saya dapatkan untuk mengelakkan kesesakan.

Saya guna jalan lain. Alhamdulillah, tepat ke destinasi tanpa perlu melintas jalan... Beli tiket STAR LRT ke PWTC, kemudian, tak lama, sampai ke sana.. Beli pula tiket balik..

"Wah, betula akak tadi ke sini.." Saya terserempak lagi dengan kakak yang bersama-sama dalam bas di UIAM.

***
Sesi kembara saya bermula di sini...


Saya tidak pedulikan promoter yang menunggu di luar pintu masuk PWTC, terus sahaja kaki melangkah ke dalam.

DESTINASI 1: BOOTH GALERI ILMU
Ada dua buah buku yang menjadi hajat untuk saya dapatkan hari ini. Sinergi oleh Encik Hilal Asyraf dan Secangkir Teh Pengubat Letih oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Malangnya, hanya sebuah yang saya boleh dapatkan.

"Maaflah, dik. Tak dak lagi. Ada tiga judul yang sampai pagi tadi. Mungkin petang ni atau esok sampai."

Tak mengapalah! Bukan rezeki saya barangkali. Saya terus membayar dan merayap di tingkat bawah. Laluan banyak kali terhalang oleh kakak-kakak dan abang-abang Linguaphone... dan bermacam-macam lagi promoter.

Pusing-pusing, saya menuju ke tingkat dua bangunan.

DESTINASI 2: PTS PUBLICATIONS SDN BHD
Ya! Saya sudah bertemu dengan sasaran. Jalan keluar untuk ke kedai di seberang sungai sudah saya temui... Alhamdulillah... Jalan hanya mengikut kata hati. Di tengah perjalanan, terserempak dengan Ustaz Azlan, ustaz yang mengajar saya maharat ketika di CFS.. Dia yang menegur saya..

"Dah masuk Gombak, kan?"

"Ya."

"Apa khabar?"

"Sihat, ustaz.." (sebenarnya saya kehilangan kata-kata... Tak tahu apa yang patut saya ucapkan kepada beliau. Seorang guru jarang melupakan anak muridnya. Anak murid yang sombong kepada gurunya.. Bagaimanakah ilmu akan berkat?

"Sampaikan salam saya kepada kawan-kawan." Itu sahaja.. Saya terus melangkah ke destinasi. Masuk sahaja, nampak beberapa buah kedai. Kemudian tertancap pada satu nama. PTS PUBLICATIONS! Ya, inilah yang saya cari! Alhamdulillah.

Ingatkan saya datang hari persekolahan dan hari bekerja, suasana lebih lengang. Di sini, tidak! Penuh dengan anak-anak sekolah yang datang. Ramai juga orang dewasa.. Wa, rambang mata, namun saya ingat bajet dalam poket. Kakak sudah beri lampu merah, jimat sikit!

Akhirnya, saya menyambar dua buah buku.
-KALA CINTA & WAHYU BERSATU-A.Ubaidillah Alias
-AGENDA YAHUDI MENAKLUK DUNIA-Sabaruddin Hussein

Berjalan-jalan lagi, mata singgah ke satu demi satu kedai yang ada.. Ada dari Singapura dan Brunei juga. Kedai Pak-pak Arab juga ada.. Balai Seni Lukis, KDN.. Macam-macam lagi.. Sayang kedainya tersorok di sini...

DESTINASI 3: AL-AMEEN RESOURCES
Mata menangkap nama kedai. Al Ameen Resources! Ini ada buku Faisal Tehrani terbaru.. Saya terus mendapat BAHLUT yang saya nanti-nantikan. Hajat mahu sama membeli Ingin Jadi Nasrallah, namun terfikirkan poket yang sudah menyusut.. Batalkan! Namun saya tetap akan dapatkan jua satu hari nanti!

Kaki masih melangkah. Meninjau satu demi satu kedai sampai ketemu jalan keluar. Saya ke destinasi seterusnya.. Sedikit tersorok, namun saya dapat kenal.

DESTINASI 4: JEMARI SENI
Wah, inilah yang tak tahan. Sampai di situ, mata menyapu wajah seseorang yang aku ingat dan eknal. Kak Suraya dan Imaen.. Opps.. sorokkan muka! Saya mahu capai buku..

"Cari buku apa, dik."

"Dah baca Versus?"

Saya tak peduli. Hajat hati mahu ambil autograf Kak Su lagi. (Setiap kali bertemunya, saya akan dapatkan sebuah buku Kak Su.. Nakkan autograf)

"UIA kan?" Imaen menegur saya. ALAMAK!

"Ya.."

"Tahun berapa?"

"Tahun pertaman.."

"Saya ingat, jumpa tahun lepas.. Kamu tertinggal apa handphone.."

"Dompet.."

Ya, di KAED buat pertama kali saya menegur Imaen dan bertanya akan beberapa soalan. Tentang... the rest is history. (tiru ayat hlovate)

Saya ke kaunter pembayaran.. Kemudian, dapatkan tandatangan Kak Su...

"Macam kenal..."

"Jamilah.."

"Maaflah, kak Su tak ingat tadi." Saya terus menyalaminya.. Salam sahaja, entah bilahlah semangat menulis itu akan melekat dalam diri...

DESTINASI 5: ITNM
Lama benar tidak mendengar Faisal Tehrani bercakap.. Ada temu bual sofa putih dengan Faisal Tehrani. Saya melangkah ke depan. Ramai lelaki, lalu saya hanya bersandar di dinding.. Mendengar dan cuba mencerna walaupun pendengaran terhad dengan gangguan iklan.

Saya terjumpa kak Ghafirah Idris, Zaid Akhtar, Syafiq Zulakifli, Rahimidin Zahari... Huh.. Kus semangat saya nak menegur, walaupun saya sedar sepatutnya saya menegur Supaya mereka juga mengenali saya. Nak menulis tapi malu?

Tentang isi temu bual ini, saya akan nukilkan dalam satu entri khas pula.. Insya Allah, jika ingatan itu masih ada.

Turun ke tingkat bawah, meninjau sejenak ke booth yang ada.. Nampak Hazamin di kedai In Team.. Muka-muka familiar pak Cik Sarjana Media yang selalu ke UIAM..

PENAT!!!

Jam di telefon genggam menunjukkan angka 1.

"Nak balik!" Ikutkan hati, saya menunggu sampai petang. Memang tak habis saya melilau..

Setelah kaki melangkah keluar PWTC, tamatlah kembara saya seorang diri ke PWTC untuk memeriahkan PBAKL'10...

ALHAMDULILLAH...

Hampir jam 2.30, saya tiba di UIAM dengan tenaga sudah berada di tahap minimum. Mata sudah tidak dapat tertahan-tahan untuk ditiutup, lantas usai solat Zohor, aku masuk ke alam lain hinggalah terjaga pada jam 4:10 minit petang..

PUAS!!!
***
2011?
Di rumah
***
Anak sulung.

2012?
Semoga selamat sampai di sana
esok
1 Mei
5 Mei.
Wah, mahu pergi jenguk hari-hari walau tahu tidak dapat beli buku tahun ini.



mereka

pemberani
kerana benar

terus berjalan.

penakut 
seperti aku.
diamnya beku.

27 April 2012

cinta vs tanggungjawab

Masih jauh perjalanan cinta.
Cinta,
tidak terlupa memesrainya saban hari.
Tanggungjawab,
lalai,
tidak dipeduli.

Aduhai cinta,
sedang hakmu terpenuh,
tanggungjawab aku tinggal.

***

Cintaku pada tulisan, tanggungjawabku menyiapkan kerja kuliah dan hadir ke kelas. 

Awak tahu, ketika aku boleh setia mengemaskini status di fb, menulis di blog, menconteng dalam buku, cuba-cuba membaca buku dengan tema berat (walaupun ketika dibaca berbaring, akhirnya lena dengan buku terbuka), aku sering melupakan tanggungjawab hakiki seorang pelajar.  Aku sentiasa ada masa untuk melunaskan kecintaan, namun aku abaikan tanggungjawab. Manakan buku terbuka jika tidak malam peperiksaan. Tidaklah kerja tersiap melainkan dr mengarahkan kerja dihantar esok hari.

Aku harus bersyukur apabila laptop yang menjadi kesayangan rosak dan langsung tidak dapat dibuka. Sekurangnya aku mengurangkan masa untuk berada dalam dunia maya dan daerah kecintaan. Ia satu nikmat. Lihatlah sesekali saya berada depan laptop atau komputer di makmal, yang terkemaskini adalah blog, status fb dan seangkatan dengannya dan secebis kerja yang wajib ditunaikan.

 Bukan tidak tersedar, bukan tidak ditegur. Kadang tersedar, kemudian buat semula dan  berulang lagi. Disiplin jauh daripada diri. Benarlah, terlalu mengutamakan kecanduan menyebabkan diri rebah.

Oh, teringat aku kelas RCP yang membicarakan tentang ilmu.

"sesungguhnya ilmu tidak dapat dengan panahan anak panah, tanpa usaha, dalam mimpi, diwarisi, dipinjam daripada guru ... Ilmu itu sesuatu yang payah untuk dijaga.

Ilmu hanya didapatkan dengan kepayahan, melepasi tembok kebosanan, menghadapi bahaya, selalu berjaga malam, selalu bermusafir, banyak berfikir dan memaksimumkan penggunaan otak."

"Ilmu itu binatang buruan yang jarang diperoleh."

"Ilmu itu tempatnya dalam hati. Ia tidak dapat dikuasai melainkan kamu menguasai bahasa. Ilmu tidak kekal melainkan ingat. (kata ustaz kita bosan sebab dimomokkan dengan kalimah HAFAZ sedangkan pelajar kejuruteraan, perubatan sentiasa INGAT!), kita letakkan ilmu itu di sudut jiwa paling dalam, kita sentiasa memantaunya dan menjadikan ia pedoman kehidupan."

"Ketahuilah bahawa ilmu itu tersimpan dalam hati bukannya buku dan tulisan. Kita memperdalamkan ia dengan perbincangan, setelah belajar kita kukuhkan ia, lebarkan jaringan ilmu. Kita dapat ilmu sebenarnya dengan bantuan Allah."

"Ilmu yang masuk dalam hati menggetarkan jiwa." 

Nasihat teacher Musliani, guru bahasa Inggeris kesayangan lewat zaman persekolahan semalam, setelah bertemu di fb : 
"Haiya...darling pendiam tu bukan something yg u born with it...it just ur personaliti...personaliti kan boleh ubah...yg penting apa shj kerja u u boleh balas jasa ibu bapa keluarga and beramal sambil menikmati hidup...bukan meneruskan hidup..." -teacher musliani | 2012.

Tanggungjawab, bagaimana aku mahu menjadikan kamu juga cintaku? 

Jamilah Mohd Norddin
2012.

saksi kau dan aku


kuburan
saksi
pertemuan
dipanggil pulang
abadi.

lu'luah nur jamilah
2012

26 April 2012

senyum


..bagi mereka-mereka yang terus berbagi apa sahaja pada orang lain,
bukankah itu satu kebaikan.
Disebarkan bahagia buat semua,
Diberikan gembira seantero dunia,
Walau diri apa adanya.
Bukan itu yang dikira...
...

Melihat daripada jendela terbuka,
Dunia luas tanpa hujungnya,
Sedang terperuk dijeruk rasa.

~Jamilah Mohd Norddin
2011


*seronok juga berbalas puisi.  kata


Gelas Maksiat

Gelas Maksiat,
 Dewan Siswa Januari 2010
 
Seteguk kuhidup saban malam
Sampai habis segelas
Maksiat diharung tanpa rasa dosa
Kerana aku tak nampak syurga neraka.

Segelas
Diganda jadi bergelas- gelas
Bergelandangan aku bagai
Binatang buas
Asal nafsu aku puas.

Aku corakkan gelas maksiat
Dengan lukisan jijik lagi kotor
Apa aku peduli?
Usia tua masa bertaubat.

Satu senja
Tertayang gelas maksiat
Aku hirup malam dan petang
Tak sanggup indera  memandang.

Ada insaf
Namun
Si Pencabut Nyawa menanti
Di ubun kepala
Tak mampu aku lempar
Gelas dosa itu.

Hanya melihat
Meronta
Meminta
Rohku dicabut tanpa dilihat siapa.

JAMILAH MOHD NORDDIN

25 April 2012

Kendi Ilmu

Varsiti (sisipan berita harian)

24 November 2011-30 November 2011

Bertahun menadah kendi,
Takah manakah air terisi?

Kendi manakan terisi,
Andai laku tidak diikhlasi,
Hanya pujian didapati,
Reda tidak menyertai.

Awal perkara itu kasad,
Busuk niat,
Rosak apa dibuat,
Hilang Berkat.

Kendi Ilmu biar terisi,
Selagi jasad belum dikebumi.

Jamilah Mohd Norddin
UIAM

masa

Larian masa,
sepantas cheetah,
selaju cahaya,
hadirnya sekali.
tidak kembali.

Lu'luah Nur Jamilah
SAFF D 4-4
25 April 2012

24 April 2012

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan ]: Pergantungan


***
bergantung,
tergantung,
menggantungkan diri,
tidak beruntung.

Saya tidak pandai berdikari terutama dalam hal kewangan. Berharap dan terus mengharapkan orang menghulurkan bantuan. Sesuatu yang diperoleh mudah, payah menghargai.

Saya terdengar ini tadi.
"teringin saya merasa bagaimana rasanya apabila tiada duit dalam tangan. Saya mahu tahu bagaimana saya menghadapi situasi begitu. Bagaimana saya cari duit untuk makan."

Saya tersenyum mendengar kata-kata itu. Mengimbau kenangan ... ketika wang yang ada sudah saya gunakan untuk hal lain, dan yang tinggal dalam poket ... kepingan kertas yang tidak tertulis not-not bernilai. Saya sudah selalu dan selalu meminta wang daripada kakak dan kadang meminjam dengan kawan-kawan. Kadang saya malu. Malu dengan diri sendiri yang selalu menyusahkan orang lain. Air mata menangis tanpa sedar ketika meminta wang daripada mereka. Betapa saya banyak menyusahkan.

Memang dengan baiknya orang akan menghulur, namun saya yang menerima .. aduhai, terasa segan menyusahkan. Mungkin ketika itu dia juga mahu menggunakan wang.

Justeru, ada ketika, saya lebih senang mendiamkan diri. Saya selesa dan alhamdulillah, belum pernah merasa kekurangan wang hingga menyebabkan diri kelaparan. Selagi ada yang boleh dimakan, bukankah itu rezeki? Biasalah jika wang dalam poket berkurang hingga tidak dapat lagi membeli kecintaanku -buku- atau keinginan diri yang tidak pernah surut.

Asalkan, saya masih punya wang untuk makan.
Allah sediakan jalan keluar pada setiap masalah... Tangisan tidak mengurangkan masalah... Bilakah akan mula mencari wang sendiri? Diminta dan diminta tolong, saya masih enggan. Dengan muka tidak malu meminta wang.

 Sebab itulah saya segan untuk meminta dengan ayah lagi. Sejak saya bersekolah rendah, saya sering minta ayah belikan buku ini. Ada orang menjual buku di sekolah, saya selalu mahu beli. Sekolah menengah, sebahagian wang yang ayah berikan untuk belanja, saya beli buku. Kemudian, beberapa kali mendapat wang, saya gunakan untuk beli majalah dan buku yang saya inginkan. Akhirnya, saya lupa menyimpan.

Wang dalam simpanan hilang, menjadi buku-buku...

Jika benar mahu membeli buku, carilah pendapatan sendiri. Usah diharap ayah yang sudah terlalu banyak menyalur belanja untukmu, kakak-kakak yang menjadi sasaran kamu minta duit, kawan yang kamu berhutang dan belum berbayar.

Aduhai, hentilah pergantungan.. Gantungkan dirimu kepada Allah...

SOlat Dhuha pun malas amalkan, jangan mimpi. Surah al-Waqiah sahaja berapa bulan sekali.

Benarlah hati sakit jauh daripada Allah.

Gantungkan diri kepada Allah. Kata kakak, tak usaha tak dapat!

~Durrah Nur Aqilah.

22 April 2012

:)

kesakitan
nikmat
penambah rasa syukur
indah sihat.

12.34p.m

*********************************************

 Ajaibnya sebuah kesakitan. Satu keajaiban daripada berjuta, berbilion keajabaian yang Allah hadirkan dalam kehidupan kita, seorang manusia. Orang sakit tahu apa maknanya kata SIHAT dan SYUKUR. Memang ramai yang mengucap syukur kala sihat, namun ramai yang menadah tangan setelah terlepas daripada kesakitan, meratib zikir kala sakit berperang dalam diri.

Indahnya sebuah kesakitan yang Allah hadirkan sebagai teman yang akan menambah syukur dan peluntur daripada banyak peluntur yang bakal membersihkan dosa daripada menghuni hati.

Kesakitan yang tidak semua orang rasa dan  hanya insan yang mengalami tahu 'nikmat' kesakitan itu.

Lihat, ketika kaki melangkah ke hospital hatta klinik atau pusat kesihatan, yang dilihat bukan hanya wajah mengerang kesakitan, ramai yang mengucap syukur kerana walau sakit, Allah masih kekalkan nafas dalam diri kita. Nafas yang menyebabkan kita masih hidup.

Betapa nilai satu nafas tidak dapat dibayar dengan seluruh kehidupan. Semua. Nikmat manakah yang mahu aku dustakan.

Wahai diri,
bersyukurlah nikmat sihat yang Allah hulurkan saban hari.
Mengada-ngada yang datang, lontarkan ia sejauh nun saujana memandang.
Buang
Disimpan dalam hati tidak.
Kerana itu racun.
Pengurang syukur.

Diri,
Syukur Allah berikan kesihatan.

ALHAMDULILLAH.

kemaskini: 2.29 petang

19 April 2012

perang kata

perang kata
akal
jiwa
cari erti
balik puisi

lu'luah nur jamilah

Abi.

Lokasi: rumah.
tarikh kejadian: 13 April 2012 - 14 April 2012.

Abi seorang pekerja yang bertanggungjawab dalam hal ehwal air masyarakat. Di kampung kami masih menggunakan perkhidmatan air daripada perbukitan nun dalam rimba tanpa bantuan klorin. Sangat sejuk, nyaman, dan kadang diminum begitu sahaja tanpa was-was.

Hujan lebat semalam. Bekalan air terputus. Tugas abi ke hutan melihat kerosakan dan membetulkannya. Dalam usia abi sekarang, masih abi tekal bekerja demi anak yang belum menamatkan pengajian dan keluarga. Abi, beliau seorang yang positif. Kadang lucu, dan bicaranya menyuntik hati. Bicara biasa, maknanya luar biasa.

Sejak pagi, setelah pulang daripada membeli keperluan harian, abi terus ke rimba memulakan tugas. Aku bertandang ke rumah kakak, bermain-main bersama tiga anak saudara cilikku. Seronok melihat mereka melukis. :)

Petang. Aku pulang ke rumah. Abi belum kembali. Kata bonda tiriku, abi tidak pulang sejak ke rimba pagi tadi. Tentu sahaja kerosakan serius membuatkan abi bekerja keras membetulkannya. Hampir jam tujuh, baru deruman motor menghampiri. Abi pulang setelah seharian di rimba.

Sela masa itu, ada sahaja penduduk kampung datang memberitahu, bertanya perihal air yang terputus. Abi, setia melakukan tugas di rimba.

Tamat sehari. Bekalan air masih terputus, dan abi harus meneruskan tugas keesokan harinya.

Sabtu. Aku ke rumah kakakku lagi hari ini. Tengahari, abi menelefon kakakku, memintanya datang ke rumah.

Risau. Apa yang terjadi? Abi tidak bercakap banyak.

"Mata abi masuk pasir. Tidak boleh buka. Sakit."

Lalu abi menceritakan apa yang terjadi. Ketika membetulkan paip sebesar tiga inci, (tidak ingat apa abi sedang lakukan) paip itu pecah dan terkena muka abi. Mata kiri tidak boleh dibuka kerana pasir-pasir yang ada telah masuk dalam mata. Ketika itu, hanya abi yang ada, sedang lebih sepuluh orang lain membetulkan kawasan lain. Abi sudah celikkan mata dalam air, namun masih sakit. (sakit yang hanya abi tahu) Tidak boleh meneruskan kerja. Akhirnya abi pulang, dengan mata kiri dibalut dengan sapu tangan. Menunggang motosikal dengan sebelah mata terbuka. Alhamdulillah, abi tiba di rumah. Lalu, abi menelefon kakakku. DI rumah tiada ada sesiapa. Kata abi, beliau risau jika terkena seorang anak muda yang turut sama bekerja. Boleh rosak mata kalau terkena. Abi ..

Kemudian, abi hanya mahu ke klinik swasta. Bersihkan mata dan di beri ubat. Lalu, esoknya ketika abi menghantar aku pulang, matanya masih kemerahan dan belum terbuka sepenuhnya.

Abi, cepat sihat.

coretan: Abi, melihatmu hari itu, aku seakan baru tersedar yang abi makin menjengah usia emas. Melihat wajah abi ... Tabahnya abi melalui semuanya. Allah, jagalah abiku. Kata abi hari itu yang buat aku tersentuh dan telah aku tulis dalam entri sebelum ini: "Benda nak jadi. Dah memang tertulis atas sana. Kalau tidak jadi begini, jadi juga macam lain." Abi, terima kasih menjadi abi tebraik!

19.4.2012
coretan kenangan.
SAFF D4.4

18 April 2012

sebelum terlupa ...

kata ustaz embun yang hadir di hujung malam, menyejukkan hati.
kata-kata dr BNZ dalam kelas RCP hari ini. Wah, semacam memasuki kelas motivasi pun ada. Terima kasih banyak, ustaz.

"Berapa ramai yang belajar sekolah rendah. Tidak semua sampai ke sekolah menengah. Berapa ramai yang belajar sekolah menengah namun tidak masuk ke universiti. Hakikatnya, kamu TERPILIH. Bagaimana seorang yang berminda A keputusannya hanya B dan C"
"Belakang parang yang diasah pasti tajam. Pisau tajam yang tidak digunakan akan tumpul."
"kamu ada peranan untuk membina tamadun Islam kembali. Kita tidak dapat mengubah, namun menjadi agen perubahan. Lihat Barat sebelum ini, yang punya ada sikap, ilmu Islam bukan ilmu kita. Mereka di belakang ketika itu. Kemudian mereka sedar dan mendatangi Islam. Islam mengalukan semua yang mahu belajar. Kemudian mereka di atas. Kita pula ada mentaliti itu. Ilmu barat bukan milik kita. Lalu bagaimana?"
"Belajar itu membosankan. Kadang kita perlu lakukan perkara yang membosankan itu. Jangan dilihat orang lain yang sekali belajar terus dapat. Mungkin kita kena 10 kali baru dapat. Buat dan buat. Mungkin kali pertama kena 30 kali. Kali kedua, akan berkurang jadi 20 kali, kemudian, kita tahu. Otak kita macam pusingan di kedai sushi itu. Kena ada benda yang diletakkan, jika tidak sushinya kosong. Usaha dahulu. (dalam otak kita ada department yang perlu dipenuhkan) Jika betul kamu konsisten belajar enam jam sehari namun tidak boleh juga, jumpa ustaz. Itu bukan sebab tidak boleh, salah cara."
"Nak boikot, tidak boleh boikot semua benda. Boikot benda yang boleh boikot. Macam coca cola. Apa keperluan kita kepadanya?"
"Tidak boleh tidak kena ingat. Kemudian baru cekap."
"Saya tidak mahu nanti kamu keluar, ambil jQaf, ambil Quran, fardu Ain. Bahasa Arab tolak tepi. Itu bahana tidak kuasai bahasa Arab ketika belajar."
 Wah, terima kasih teman dengan bacaan yang baik. Itu baru pelajar bahasa Arab. Cinta nahu dan sorf perlu ditagih kembali. Buat cara kita, bukan cara orang lain.

Ini petikan dalam kelas tadi. Rugi rasanya dibiarkan tidak dicatat dan kongsi. Sebelum terlupa, saya catatkan dahulu. Walaupun bukan 100 peratus yang ustaz cakap, maksudnya lebih kurang begitulah.

"no pain no gain." -entah kata siapa.

jamilah mohd norddin.
12.09pm/18 April 2012.
SAFF D4.4a.

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan]: Tangisan Kebahagiaan

cari cara untuk senyum.


Kata ayah lewat kepulangan saya, pada satu kejadian : “semuanya tertulis di atas sana. Jika tidak jadi begini, cara lain juga akan berlaku.”

Haruman desa masih melekat di badan, segar di ingatan yang menumbuhkan senyuman di bibir. Pagi itu, dengan bersemangat saya melangkah ke kelas Reading Classical Prose yang bermula jam lapan pagi. Aura yang dibawa pulang mengubah cuaca dalam diri yang sebelum ini terasa mendung. Kepulangan ini, kepulangan bererti buat diri sendiri.

Taufiq, Umairah, Haini, Khadijah, Izzati, Yasmin, Salwa dan saya adalah lapan daripada sebelas pelajar Reading Classical Prose (baca: RCP, belajar beberapa prosa klasik dalam bahasa Arab seperti kisah 1001 malam) yang berlangsung dalam bilik mesyuarat disebabkan kelas belum dibuka. Kebiasaan saya dalam kelas, kedudukan belakang menjadi pilihan hati. Kali ini, kerusi paling depan saya tarik. Aura kampung! Sebelum ini, Umairah berpesan, ustaz meminta kami membaca sebelum kelas dimulakan. Saya, langsung tidak membuka buku sebelum kelas bermula.

“Enti, baca.” Suara ustaz BNZ tertuju kepada saya.

“Enti belum baca kelas lepas?” Lantas, saya diminta untuk membaca naskah malam kedua daripada kisah ‘peniaga dan ifrit’ yang disambung daripada kelas lepas. Kelas pada hari pertabalan agung itu, saya dalam perjalanan pulang ke kampung.

Baca? Sudah mula berdegup jantung saya. Sedar yang saya bukannya benar baris bacaan. Sering tersasar dan mengikut hati sendiri. Lalu, saya baca, ustaz betulkan. Saya baca, kawan sebelah dan rakan sekelas betulkan. Memang hampir setiap baris ada kesalahan dan saya membaca tanpa keyakinan walau 50 peratus.

Baca, baca, dan baca, akhirnya ustaz BNZ bertanya soalan paling asas dan ilmu nahu. Kata ustaz, saya banyak membaca baris fathah (mansub) dalam bacaan. Saya sendiri tidak sedar dan tidak tahu. Mengikut alur bibir sahaja (ya, sekarang saya tahu. Terima kasih, ustaz)

“Marfu’ itu apa?”

Saya diam. Melihat teman sebelah. Kepala kosong. Apa saya mahu jawab. Apa saya mahu hentam. Sungguh jiwa, perasaan, akal, semuanya terbang ...

Lama juga.

(Saya sudah terlupa sebahagian yang ustaz cakap. Yang pasti, walaupun banyak yang diajar, buku catatan saya kosong tanpa coretan sebagaimana selalu)

“Marfu’ itu adalah keadaan ...” (Maaf, saya tidak ingat hujungnya. Edisi istimewa kelas hari ini, ustaz mengajar dalam bahasa Melayu.) –saya hanya ingat perkataan mubtadak, naib fail, fail, ism ka na, khabar inna...

Ustaz memberi tamsilan. Kamu berasal negeri mana? Kedah. Saya menjawab. Begitulah marfu’. Ia keadaan abstrak, yang kita sendiri memberinya nama. Tiada di dahi kita tercatat, atau tanda menunjukkan kita berasal dari Kedah, Melaka atau mana-mana negeri. Dan alamat marfu’ pula seperti kad pengenalan yang menjadi tanda. Itu konkrit. Alamat marfu’: Dommah, waw, nun niswah ...

Kata ustaz BNZ lagi, sekiranya perkara terlalu asas ini tidak tahu, apa guna B atau C yang tercatat dalam transkrip. Saya perlu bermula daripada awal. Kata orang, bermula huruf A semula. Baris yang betul membawa kepada bacaan yang betul. Pelajar bahasa Arab. Saya takhassus dalam bahasa Arab, bacaan masih tunggang langgang dan terbalik ikut suka hati. Banyak bahan bacaan yang kita tidak baca, namun seharusnya apa yang sudah dipelajari harus ingat dalam kepala.

Biduni tafkir. Maknanya, semuanya lahir secara spontan. Itu barulah ilmu. Macam apabila ditanya apa itu al Fatihah, lantas dijawab, alhamdulilla .... ia sudah ada dalam ingatan jangka panjang. Bagaimana mahu dapatkannya? Banyakkan membaca ... Mengulang ...

Hijab menghalang ilmu lekat dalam minda. Dosa! Ilmu itu cahaya yang tidak dapat bercampur dengan dosa!

Saya menyambung baca dan ditegur lagi. Ustaz menjelaskan kesalahan.

Mata saya jadi panas. Tangan menggeletar. Jantung berdegup laju. Saya benar-benar menahan air yang mahu jatuh. Ia di luar jangkaan. Bukan sebab malu. Bukan kerana sedih. Ia refleks kepada soalan demi soalan yang dilontarkan ustaz, namun saya tidak mampu menjawab. Mata saya tetap memandang ke dalam mata ustaz. Saya tidak dapat mentafsir perasaan beliau, namun saya tahu ustaz mahukan yang terbaik buat anak muridnya. Bak kata umairah lewat mesejnya kemudian.

Saya jatuh kasihan kepada ustaz. Saya kasihan teman yang hanya mendengar, dan mungkin sedikit mengganggu pembelajaran. Pelajaran disambung.

Sedang ustaz menerangkan, sambil mata melihat mata ustaz, setitik, dua titik air membasahi pipi. Ia di luar kawalan. Saya mengalihkan muka, mahu menguatkan hati, namun beberapa detik, ia bersatu menjadi juraian yang mesti diseka. Lantas, saya hanya menyapu menggunakan jemari. Saya tidak peduli mata memandang.

“Saya tidak tahu kamu rasa sedih atau apa. Saya perlu cakapkan juga. Berkata benar walau pahit. Mungkin selama ini kamu rasa kamu OK sedangkan kamu tidak OK. Jika tidak ada yang menegur, kamu tidak tahu.”

Terima kasih, ustaz. Kelas disambung. Ustaz minta penerangan cerita. Bahasa Melayu digunakan hari ini. Apabila ustaz minta saya terangkan kembali, tersekat kembali. Minda saya sudah kosong hari ini, sekosong ruang catatan dalam buku nota saya hari ini.

“Hari ini kena berlakon.”

Lalu ustaz bercerita bersama lakonannya sekali. Memang terbaik! Terima kasih ustaz, perkongsian hari ini. Hakikat hati hitam sukar menerima ilmu benar... Hijab tidak terlihat bernama dosa.

Selesai kelas jam 9.40 pagi, saya meluru keluar. Dalam perjalanan pulang ke bilik, saya disapa mesej yang terus membuatkan hati renyai kembali. Sambil berjalan, di tepi sungai UIAM nan keruh, air mata kembali. Turunnya tanpa amaran atau malu lagi. Saya berjalan laju, terus menuju tempat tujuan: bawah meja.

Cuba melenyapkan mata. Lumrah, apabila terbangun daripada lena, air mata terhenti. Kali ini, mata saya degil. Apakah yang merasuk perasaan ketika itu saya tidak tahu. Tidak dapat lena, dan sedu makin meninggi.

Mesej dihantar kepada seseorang. Menceritakan perihal yang berlaku. Terima kasih, sahabat membaca mesej-mesejku ... Jujur, setelah terluah, ia seakan terbang semuanya dan setelah hampir sejam setengah air mata benar-benar berhenti. Hanya mata enggan terpejam.

Mata berubah. Terasa enggan ke kelas petang itu, namun kaki dilangkahkan jua. Sedang badan di kelas, akal di mana-mana, saya duduk di barisan kedua daripada belakang. Langsung tanpa tumpuan. Terasa sangat enak dapat melelapkan mata, tetapi saya tahu sekiranya saya di bilik, tidak mustahil air mata akan kembali. Lalu, saya terus berada di kelas sehinggalah tamatnya kelas pada 6.40 petang.

Hari yang bersamanya tangisan ini, saya banyak belajar. Pelajaran yang tiada dalam buku itu. Hanya saya percaya, terjadi sesuatu saat saya bersedia melaluinya dan ia terbaik buat saya. TERBAIK! Hanya Allah Maha Tahu saatnya!

12.11am/ 18.4.2012/SAFF
Iringan Redha~In Team.

17 April 2012

nanti...

Tiba ketikanya aku akan riwayatkan kisha persembunyianku 16 hari daripada menegmaskini sebarang entri dalam manuskrip bawah meja. Kesakitan yang manis. Kepahitan yang akan jadi ubat. Kegembiraan yang mengekalkan senyum. Kepulangan manis. Semuanya...


Bukan sekarang.

:)

Tiba masanya.
Masa untuk aku kembali berblogging.
Bila diselak-selak entri lama yang tercetak, aku terasa yang lebih manis dan sesuai aku menulis pengalaman aku lewat blog ini. Lebih dekat dengan jiwa sendiri.

Sekian, singgah seketika.. 
Aku akan kembali.




Aksara memanggilku pulang.
Walau sunyi itu indah.
Tulis juga mengubat resah.
:)