30 March 2012

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan]: Racunkah yang Sedang Kau Minum?

Membuang takut dalam diri bukan seperti membuang sesuatu yang lekat di kain ketika melalui padang yang penuh pohon kecil bernama kemuncup. Berulang kali mencuba dan berkali-kali masih jatuh di jurang yang sama dan ditertawakan diri sendiri. Sungguhpun tidak dipeduli bicara-kata yang timbul di sekeliling, akhirnya air mata Durrah tumpah tanpa dipinta.

"Bukankah kamu yang lari? Mahu disalahkan siapa? ? Tudingkan semua lima jari tidak runcingmu itu ke muka sendiri?"

Hati bersuara kepada diri sendiri. Ya, keputusan yang dilakukan kerana mahu lari daripada kenyataan yang bermana REALITI KEHIDUPAN. Akhirnya dia terus betah berada dalam dunia ilusinya. Dunia yang ada khayalan dan tidak berpijak di dunia yang nyata. Tiga tahun melalui hari yang kadang terisi, kadang kosong hanya diiringi suara dalam diri.

Dia ketawa mendengar bicara temannya. Ketawakan diri sendiri.

"Kamu mahu dengar satu cerita? Saya tonton cerita ini. Kepentingan bersama-sama dengan orang lain bukannya hidup sendiri. Seseorang yang kononnya mahu lari daripada masalah akhirnya mencipta masalah yang lebih besar. Penghujung hidupnya sendiri."

Gerun.

Siapakah yang mahu melalui hidup tanpa sesiapa di sisi? Tetapi, wajarkan dia katakan ia langkah waspada supaya segala kisah silamnya tidak terbuka kepada sesiapa. Kisah silam yang mahu ditutup rapat.

Dia tahu keputusannya salah, tetapi, hati menginginkan begitu. Lari daripada kenyataan, akhirnya sesat dalam dunia ilusi.

Siapakah yang menyedarkan?







....
(*harus aku berkata pada diri dan percaya yang bakat penulisanku belum mati. Positif. Suatu hari aku akan kembali, Amin)

No comments: