28 February 2012

"Kita nampak apa yang kita mahu nampak, dan kita dapat apa yang kita mahu dapat. Walaupun ia lintasan dalam hati, Allah Maha Tahu segala yang hamba sembunyikan."

nota 1

"Jangan bersedih. Allah bersama-sama kita" -kata-kata Nabi Muhammad kepada Abu Bakar yang menemani banginda di Gua Thur ketika berhijrah ke Madinah.

Kesetiaan seorang sahabat yang akhirnya baginda sendiri mahukan beliau menjadi imam ketika baginda gering. Baginda tersenyum apabila Abu Bakar yang mengimamkan solat.

Kata rasul: kita bersama dengan apa yang kita cintai... Bagaimana mencintai tanpa mengenali? Aku belum mengenalimu, wahai Rasul, bagaimana cinta akan hadir dalam hati ini..

dalam sebuah buku aku terbaca, kita boleh mengenal rasul dengan membaca sirah baginda... Ah, Fiqh Sirah sahaja belum pernah aku sentuh.

...aku tidak tahu selagi aku tidak diuji. Apakah aku mengira beriman sedangkan aku belum diuji? Ujian boleh datang dalam bentuk kesenangan, malah perasaan dalam diri.

Akhirnya, tahniah buat yang bakal-bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi.. Semoga gemilang dunia Akhirat.

Wassalam...

23 February 2012

Buku Kedua sebelum Mati?


"Satu buku sebelum mati." Itu yang akan aku jawab apabila ada kawan yang bertanya buku seterusnya. Aku tidak merancang, tidak pernah merancang untuk menulis buku seterusnya. "Friends forever" yang terhasil daripada bimbingan Puan Azmah Nordin hadiah berharga buat diri sendiri...

Ia sebuah cerita. Kisah yang ditulis seorang gadis yang ketika itu berusia 18-20 tahun. Manuskrip asal dengan nama "TEKAD" terhasil kerana ada keinginan.. Allah permudahkan jalan hingga akhirnya, aku melihat buku itu di rak kedai buku...

Sehari dua ini, dalam kekalutan yang dibuat oleh diri sendiri, keinginan itu hadir semula. Hanya keinginan yang tidak belum ada usaha bergerak ke arahnya. Ada yang menyekat diri sebenarnya. Imaginasi tidak bergerak bebas, apabila ada sesuatu yang menyekat minda. perkataan HIPOKRIT selalu hadir dalam relung fikirku sekarang... Allah kata, pohonlah kepada Allah, pasti Allah tunaikan.

Aku belum usai membaca friends forever kerana sampai ke muka tertentu, aku malu dengan diri sendiri. Apa yang ditulis, diri melakukan sebaliknya. Perasaan itu juga yang menjadi batu penghalang yang besar dalam diri... Ya, saya menulis sesuatu yang saya mahu jadi, tetapi ayat dalam buku itu seakan mahu menghentam penulisnya sendiri.. Berubah. Payah sangatkah untuk berubah?

Teringat kata ustaz Adli, ada dua perkara yang menjadikan seorang itu rajin belajar, "Semangat dan keinginan."

Tulisan aku di sini semakin tidak terurus. Lebih suka menekan butang DELETE daripada PUBLISH. Cemburu memang ada melihat orang lain menulis dengan rancaknya, namun aku seakan bergerak ke belakang. Makin hari langkah ke belakang, bukan ke hadapan. Ah, alasan. Beribu alasan memang aku  boleh cipta..

.....la.la.la, semester ini dilalui dengan biaya keluarga lagi.. rasanya. :)

Seperti tiada kaitan tajuk dan entri.. Tahniah buat yang terus dan terus menulis tanpa henti.. Semoga aliran pahala sentiasa mengalir buat kalian.

22 February 2012

Semoga

perasaan,
segera sembuh.
hati,
segera sihat.
tulisan,
segera datang...
 
Rindu.
Saat tulis baca itu rutin.
 
Siapakah menggerakkan selain dirimu?
 
~lu'luah nur jamilah

_____________________________
*sudah tiga minggu di UIAM, diri masih lintang pukang. Kelas jam 8, 7.45 baru siapkan diri. Sedangkan, masa lapang sangat luas... Masa berehat, makan, apatah tidur sentiasa cukup... Ke kelas, mulut masih menguap... Hm, rindu menulis sebenarnya... Jadi, berhenti cakap yang negatif!

11 February 2012

Hatiku

Kanvas hati,
Putih atau kelabu?
Bukat kelam diselaput dosa?

Ruang diberi beratus kali,
Peluang diunjuk ribuan kiraan,
Petanda dilihat saban hari.

LIhatlah,
Ruang paling dalam relung jiwamu,
Lompong kebaikan pohon diisi.

Allah,
Bangunkanlah.
Ngeri benar mimpi ini.

11.02.2012

Sihat Sebelum Sakit

         Kesihatan anugerah paling mahal. Berjuta wang yang dilaburkan tidak dapat membeli nikmat ini yang asal. Allah pinjamkan kita tubuh badan yang sihat. Acapkali diri terlupa akan nikmat ini hingga datang siren kecemasan menandakan tubuh perlukan energi yang cukup.

Sering hinggap di telinga kata-kata: “ketika sakit barulah kita ingat nikmat sihat.” Sebatang gigi yang sakit, seluruh badan terbaring tidak bermaya. Kepala yang berdenyut, sekujur badan tidak selesa. Allah, mahalnya sebuah anugerah bernama kesihatan. Ya, semua yang Allah berikan mahal.

Diberinya percuma tanpa bayaran...

Makanan sering dikaitkan kesihatan badan yang merosot. Salah makan, sakit perut. Silap makan, cirit-birit. Suka makan makanan segera, ada kesan sampingannya.. Sebab itulah badan perlu diberikan makanan yang baik-baik sahaja. Badan kita kilang yang ada bermacam fungsi. Tersalah makan, berubah fungsi. Tersalah guna, binasa badan.

Jadi,  marilah kita menghargai nikmat kesihatan yang Allah berikan ini...

Sekian, contengan kali ini...

10 February 2012

Kunci Diri

Mencari kunci yang dapat membuka hati. :)


" Sampai bilakah ingin hidup begini? Ingatlah wahai diri, kunci syurgamu pada ketaatan kepada ibu dan ayah. Menyanjung guru, membuat yang wajib, meninggal yang mungkar. Tahulah kamu bahawa kehidupan akan fana, mausuk tanah meninggalkan semua. Diri, berusahalah untuk KUAT dan tidak menyerah atau mengalah. Lihat saat diri berada di atas, berusahalah untuk berada di situ." -lu'luah Nur jamilah

Catatan Tertinggal





 Assalamualaikum..

Alhamdulillah, pagi penghulu hari ini saya dapat menconteng sesuatu...

Kehilangan dan kedatangan manusia yang kita sayang akan terus berlaku selagi nyawa masih Allah pinjamkan buat kita. Biar perasaan bagai dihempas batu besar daripada bukit tinggi masih banyak perjuangan yang perlu diteruskan. Ya, senang saya berkata-kata sedangkan saya tidak melalui kehilangan itu.

Tahun lepas dan tahun ini banyak menerima berita kehilangan. Bermacam-macam kehilangan. yang akan kembali dan kehilangan abadi. Berita-berita itu tiba di pendengaran saya.. Perpisahan tanpa bertemu kembali, hanya doa terus meniti. Alfatihah.

6 februari 2012.
empat belas tahun sudah ibu menemui penciptanya. 14 tahun sudah saya tidak memanggil gelar ibu. Ibu yang 'berehat panjang' ketika belum sempat saya ingat masakannya yang paling sedap. kenangan antara kami hanya tercipta lapan tahun. Tidak banyak yang saya tahu tentang ibu. Allah sayangkan ibu. Mendengar berita-berita kehilangan baru-baru ini menerbitkan saya syukur di hati sebenarnya. Allah ambil ibu ketika saya belum 'besar'. Ketika diri belum pantas mengingat dan menanam kenangan yang banyak... Saya bersyukur. Kehilangan ketika kita sudah besar panjang itu bagi saya lebih pahit.

....


Selamatlah buat yang tinggal satu semester untuk grad. Buat yang bakal grad tidak lama lagi. Tentu ada semangat kalian sedikit terpalit pada diri.. Walaupun kita tidak dapat berkonvo bersama-sama kelak... 

Ah, sekadar catatan kosong.

Sekian, singgah menconteng sebentar... Sekarang, tidak dapat selalu menconteng, tidak dapat selalu menghadap blog seperti selalu.. Terima kasih buat yang singgah walau tiada catatan baru...

catatan lama yang telah saya padam boleh dibaca di sini. (Ruang Rindu).
Mungkin saya lebih kerap menconteng dalam personal blog memandangkan selalu kematian kata untuk ditulis...

04 February 2012

Diriku, dengarkan bicara ini.

Perjalanan itu pendek dibanding sebuah perjalanan yang bakal ditempuh setelah kembara singkat ini. Belumkah diri mencari bekal menuju perjalanan yang panjang itu, sedang petanda bahawa perjalanan makin ke titik hujung terkumpul demikian banyak. Merasakan masih banyak masa berbaki sedangkan ia rahsia tersimpul rapi. Tiba hari dijanjikan, bukankah kata Pemilik Diri, tidak akan diinjak sesaat, tidak akan dilewat barang sesaat hari perjanjian itu.

Masihkah hanya bermenung di bangku usia, melihat mereka pergi meninggalkan kita, ada pula insan-insan baru mewarnai hidup kita. Jika semalam kamu kuat melalui semuanya, hari ini, kamu harus lebih kuat melaluinya... Tidaklah Allah berikan sesuatu melainkan telah diketahui pemilik diri mampu melaluinya...

Katanya berulang kali kepada diri ayat itu. Usah jemu. Ulang dan ulang katakan yang Allah sentiasa menghulur yang terbaik. Bentuknya sedih atau duka, tangis mahu ketawa, tersimpan rahsia besar yang hanya diketahui setelah ia terjadi. Masihkah kamu, wahai diri, hanya sibuk menyulam hari semalam hingga melupakan bahawa hari ini menanti kamu menyediakan bekal. Apakah yang kamu mahu daripada sebuah kenangan?

Tidak boleh berhenti melihat belakang hari, tidak bermakna butakan mata hati tidak melihat apa yang menanti di hadapan. Betapa masih ada harapan tersandar. Mahukah dilerai semuanya, wahai diriku? Hanya kerana kesalahan diri sendiri, kamu mahu terus dan terus mengalah?

Bukankah kekurangan untuk ditangisi ...

Belajarlah. Allah tidak melihat kejayaan demi kejayaan yang kamu kecap,tetapi usaha kamu mendaki tangga demi tangga, merendah diri memohon yang terbaik daripada-Nya. Betapa Allah mencintai orang yang menghampirinya ... Maka, Allah hadirkan ujian. Ujian yang berbeza antara kamu dan orang lain.

Melihat diri orang lain, belajar bagaimana tabah dan sabarnya orang itu. Allah hadirkan semuanya bukan hanya untuk kamu lihat, tetapi belajar ... Makin kamu merenung ciptaan, makin kamu mengenal Allah. Percayalah!

Justeru, wahai diri, bangkitlah daripada kerusi kenangan dan pandang ke hadapan. Ingat selalu dalam hati, Allah sentiasa ada. Allah sentiasa memandag dan mendengar. Hanya diri yang tidak boleh sombong dan terlalu mempertahan ego diri...

Dalam kekurangan ada kelebihan. 

Allah sediakan kita dengan pakej yang lengkap. Usah hanya tahu melihat sisi lemah, pandanglah kekuatan yang Allah beri. Tumpu. Positif.

Allah,
ajarkan diri bersabar...

4 Februari 2012, 11.23a.m
Mahang.
~Betapa beribu kali kamu gagal, akan ada satu KEBANGKITAN. Yakin kepada Allah. Usaha.  

03 February 2012

Teratak Iman

Teratak imanku,
Tiangnya rosak,
Dinding banyak terkopak,
Jendela hilang selak,
Siling napak tembus,
Cat bertukar kusam,
Layu.

Bertemu Tuhan begini?
jangan sekali.

Betulkan tiang,
Baiki jendela,
Tampali siling,
Baharui teratak iman,
temui Tuhan,
Teratak iman sempurna

3 julai 2008

Masih Kakiku Berpijak di Taman Ilmu dan Budi

Usai peperiksaan semester lepas, ada bisikan-bisikan buruk datang dalam diri. Malah, diri sudah 'bersedia' andai ada berita yang membuatkan saya terpelanting jauh daripada bumi itu. Saya menyedari yang semuanya di atas pagar, sudah seperti telur di hujung tanduk nasib saya. Saya berserah ketika tamatnya peperiksaan semester lepas.

Ya Allah, ternyata dengan kasih-Mu yang melimpah bagi setiap hamba, saya masih berada di sini. Lalu, saya katakan kepada diri. Allah sudah letakkan saya di sini, dan saya mesti melangsaikan semuanya hingga titik akhir. Allah aturkan sudah paling baik buat saya. Justeru, tolonglah berhenti bersangka buruk.

Allah bersama sangkaan hamba-Nya.

Terdiam saya seketika melihat keputusan sendiri. Ya, walaupun tidak baik, cukuplah bagi manusia yang usahanya secubit. Jujur, saya sudah membayangkan semester ini saya ditendang atau terpaksa mendaftar semula kerana keputusan yang sangat teruk. Namun maha Besarnya Kasih Allah, saya diaturkan untuk terus berada dan mengambil semester depan, Insya Allah.

lalu, layakkah kamu hanya berserah dan terus berserah???

sahabat, terima kasih... atas semuanya, atas segalanya. Saya tahu, kalian tentu mendoakan yang terbaik buat saya yang bernama Jamilah ini. walaupun dia tidak pernah mengambil berat, bukan sahabat yang baik, selalu tidak kisah, hanya menjadi pendengar bukan penasihat atau membalas bualan, saya tahu kalian mendoakan yang terbaik buat saya. terima kasih.. allah, sesungguhnya doa sahabat tiada hijab, Terima kasih! Allah berkati hidup semua yang saya kenal di alam realiti atau maya..

alhamdulillah.

betapa lambat kaki melangkah, masih diterus perjalanan, ada harapan tunggu terealisasi, ada mimpi menanti hari. kala hampir tersadung lagi, tidak dibenar jatuh mencium bumi, lalu, bangkitlah kembali. Pandang langit tinggi, setinggi itu awan cita dan impi, lihat rumput nan hijau, tundukkan hati syukuri apa Allah beri.. Berjalanlah tanpa henti.

01 February 2012

Rojak

Doaku,
Doamu,
Allah, satukanlah ia.

Telah Kau aturkan segala terbaik,
Telah Kau berikan segala yang perlu,
Segala tersimpan dalam hati,
Paling Tahu itu hanya Allah,
Mentafsir terzahir,
Menelah yang nampak di mata.

Allah,
terima kasih.



Diamku seperti batang kayu,
Kala bertemu,
Membisu mendengar,
Bibirku kelu,
Tanpa kata.
Memandang kosong,
Melihat sahaja.
Tidak membantu.
Ya, hadirku kerana aku mahu hadir.
Allah izinkan pertemuan itu.
Maafkan aku.






Allah,
Syukurku hanya untuk-Mu.
Pada segalanya.

Mahang.
1.2.2012

__________
*hm, ini contengan sendiri. Terima kasih ya Allah. Berdebar kala mula saya melihat matanya. Lama-lama ia hilang namun saya tidak mampu berkata apa-apa. Saya hanya berdiri di situ, tanpa sebarang bicara... Apa-apa pun,alhamdulillah,Alla izinkan pertemuan itu... Besar maknanya buat diriku.

Menjejak Jajahan Kota Bharu

Kali ini Kota Bharu saya jejaki setelah bertandang ke Jajahan Kuala Krai tahun lalu. Jika perjalanan tahun lalu ke Kelantan pada siang dan hari dan pulang ke Kuala Lumpur pada malam hari, kali ini saya dan sahabat bertolak malam hari di Kuala Lumpur dan bergerak pulang pada siang hari sampai ke Kulim. Alhamdulillah, sampai juga saya di sana atas suatu urusan penting. Perjalanan malam hari yang dipenuhi dengan lena hingga tersengguk-sengguk berakhir pada jam 6.30 pagi. Lama juga kami menunggu sebelum bas yang dijanjikan tiba. Sejam. Khuatir juga jika terlepas bas, manakan kami tuju.

Allah izinkan kami sampai di Kota Bharu. Apakah yang paling saya suka apabila tiba di sana? Papan-papan iklan, papan tanda kedai semuanya ada tertulis dalam tulisan Jawi. Ini satu cara memartabatkan tulisan jawi yang tiada atau kurang di tempat lain. Ini istimewanya. Melihat Parkson, Giant, The Store ditulis dalam tulisan lain, hati terasa damai. Selesai urusan pagi, kami menumpang seorang sahabat yag turut bertandang di sini. Jika tidak, patah kaki kami tidak tahu mahu melangkah ke mana. Seakan tiada arah tuju. Allah sudah aturkan yang terbaik. Akhirnya tengahari itu kami sampai di tempat tujuan. Sebelum ke sana, sempat temankan sahabat membeli buku di Syarikat Osman Muda menggunakan boucer buku IPT. Saya, sudah dinilaikan semuanya dengan buku hanya dengan sekali beli. Akhirnya, sebagai kenangan saya capai Diari Mat Despatch Edisi Patah Hati. Sempat juga ‘suruh’ sahabat yang menemani membeli ‘friends forever’ oleh Ila Husna yang hanya ada sebuah di situ. –promosi buku sendiri.- Kami ke tempat tujuan dan berada di sana hingga pagi esoknya sebelum saya pulang ke Kulim dan sahabat saya meneruskan perjalanannya.

Alhamdulillah. Hanya Allah Maha Tahu Segala Rahsia yang Terzahir dan Tersembunyi. Hanya Allah memberikan yang terbaik kepada segala hal.

Pagi 31 Januari 2012, saya menaiki kereta sewa bernilai RM12 ke Terminal Bas. Bas Shamisha menjadi pilihan kerana saya mahu ke Kulim. Hujan lebat menemani sejak kami keluar daripada tempat tujuan. Alhamdulillah, 9.30 pagi saya bertolak pulang ke Kulim dan tiba di Stesen Bas Kulim pada jam 4.30 petang disambut langit hitam. Naik sahaja bas bernombor 56 hujan mencurah dengan lebatnya ketika sampai di hadapan Hospital Kulim. Bas KBRT yang sudah uzur dan bocor bukan sahaja di atas tetapi dari bawah air boleh masuk. Bas yang saya naiki sejak saya sekolah rendah ini sudah tua. Kasihan saya melihat, kasihan para penumpang.

Pulang sahaja, lihat keputusan. Alhamdulillah, atas segala-galanya. Saya tidak berlari, tidak berjalan, saya merangkak, merangkak menuju akhir sarjana muda bahasa Arab dan Kesusasteraan yang ketika ditanya saya menjawab akan tamat setahun lagi, orang lain bertanya saya jawab dua tahun. Lambat atau cepat insya Allah ada akhirnya... Akhirnya saya percaya yang kertas jawapan yang ditulis tidak semua tercatat dalam buku Teks. Ada pensyarah suka melihat jawapan seperti dalam buku teks, ada yang suka pelajarnya menjawab menggunakan akal fikir. Sekali lagi, saya perlu katakan untuk diri sendiri, kamu mahu ambil bahasa Arab, dan Allah sudah letakkan kamu sebagai pelajar bahasa Arab. Kamu tidak dapat lari dan Allah sudah susun yang terbaik. Tinggal kamu mahu ambil atau tidak peluang itu. Sudah terlalu banyak kemudahan yang Allah berikan, masihkah belum sedar? Memang tidak dapat dibanding dengan orang lain, namun sebenarnya berbaloikan usaha dengan keputusan yang Allah berikan? Tanyalah diri kamu, wahai yang bernama Jamilah.

Wassalam.