28 January 2012

Batu-Salju-Bidadari.

Sebongkah Batu Di Kuala Berang –Faisal Tehrani.
Saya tidak ‘bernafsu besar’ untuk membeli naskah ini pada mulanya. Melihatnya banyak kali namun menangguhkan pembelian hinggalah saya mendapat tahu buku ini diharamkan. Saya jadi tertarik untuk membacanya. Malang sekali saya tidak ketemu perkataan yang mana dapat dikaitkan hingga ia diharamkan oleh badan itu. Saya membaca hingga tidak dapat melangkau walaupun banyak –seperti biasa- cerita FT padat dengan wacana dan pemikirannya. Seakan-akan ditarik untuk membacanya hingga muka akhir. Ia hebat jika terealisasi seperti cerita ini. Bukan hanya cerita batu. Cerita beliau tidak lepas daripada unsur satira. Tidak dapat hentikan bayangan yang hadir. Titik.

Batu-Bata Kehidupan. –Hilal Asyraf.
Buku ini menghimpunkan koleksi entri yang pernah termuat dalam blog hilal asyraf –langitilahi.com- . Saya ‘tidak mampu’ menghabiskan semua topik melainkan membaca bab-bab di hadapan dan belakang. Tentang kehidupan dan remaja. Bab-bab tengahnya berkisar tentang ‘CINTA’. Walaupun definisi cinta yang Hilal Asyraf cuba sampaikan luas, mata saya tidak mampu hinggap pada semua perkataan yang tertulis. :) Menarik perkongsiannya dan sesuai dibaca anak-anak muda.

Dingin Salju Indiana-Nurulsham Saidin
Drama di tivi yang diambil sedikit jalan ceritanya daripada novel sering menjadi tarikan saya untuk mendapatkan novel itu. Galeri Ilmu sering menggunakan formula ini. Dan, Dingin Salju Indiana saya miliki setelah beberapa episode menonton “Dingin Lavenda” di kaca tivi. Ceritanya cerita berat. Tiga pelajar yang tinggal di Indiana, AS. Bukan negara majority penduduknya Islam. Subhanallah. Ia kisah kehidupan yang pastinya hasil pemerhatian pengarang. Kuatkah Jannah, Murni dan Nana di rantau orang? Ia bukan sekadar kisah persahabatan.

Sutera Bidadari-Ramlee Awang Murshid.
Buku ini istimewa kerana mendapatkannya secara percuma. Rokiah hadiahkan, katanya sempena ‘friends forever’ diterbitkan. Baru hari ini selesai membacanya setelah menangguhkan beberapa ketika. Cerita Laksamana Sunan menggunakan plot yang hampir serupa dalam setiap rentetan kisahnya namun saya tidak dapat berhenti untuk tidak membacanya. Tarikannya kuat, perlukan konsentrasi membacanya kerana masanya sering bertukar-tukar. Sekejap kisah di tahun 1511, sekejap kembali ke abad 21. Harus bersama fikiran ketika membacanya. Mungkin situ letaknya keistimewaan buku saudara RAM.

...apabila tiada apa yang mahu ditulis, maka inilah yang terhasil.. Contengan sedikit perihal buku. Bukan resensi, saya catatan kaki usai membacanya. Hm, bilakah genre bacaanku akan bertukar? Novel fiksyen juga menjadi pilihan...

25 January 2012

Bah

Pinjamkan sebuah tangisan,
Sampai bah dalam diri,
Hanyut semua rasa,
Tenggelam bicara,
 Lemas kata

~kembali senyum~

Travelog, HSKU, dan Diari.

Allah sentiasa mendengar dan menjawab doa, permintaan, harapan, rayuan dan rintihan orang yang meminta. Membaca "Travelog Impian Abadi" yang ditulis Roza Roslan -sambungan travelog cinta abadi, membuatkan saya terhenti sedetik.

"Percayalah yang berlaku hari ini, ada ada kaitannya yang pernah kamu lantunkan hari semalam."

Ya. Dalam kehidupan saya sendiri, dalam kehidupan orang lain juga saya pasti ia berlaku. Dahulu, saya pernah ingin menjadi pelajar UIAM, Allah berikan saya tempat di sini. Saya pernah berhasrat mempunyai buku tulisan sendiri, Alhamdulillah, Allah berikan jalan. Maka, nikmat mana satukah yang mahu saya dustakan?

Allah.


Saya membaca satu demi satu kisah puan Roza. (isteri Prof Kamil) Kisah anak muda di universiti dan kehidupan beliau sehingga berkahwin dengan Prof Kamil. Betapa Allah sentiasa sangkaan hamba-Nya dan memperkenan permintaan sesuai pada tempatnya. Sebab itulah ada perkara yang Allah tangguhkan, ada yang Allah segerakan, ada yang kita mahu tidak kita dapat. Manusia, dia sendiri tidak mengetahui yang paling baik untuk dirinya.

Sebuah buku bertajuk SMS, penulisnya Muhammad Teja yang memenangi tempat ketiga HSKU 2010 saya hadam. Ina Nailofar, banyak kata-kata Syed Naquib berselerakan dalam novel ini, kamu harus baca. :) Saya membeli kerana tertarik dengan tajuknya. Ya, ia sebuah novel menggunakan teori persuratan Melayu. (walaupun saya bukannya faham tentang teori mori ini...) Boleh dihadam bagi yang mencari makna di balik baris bukan hanya cerita semata.

Sesungguhnya yang kebenaran pasti menang. (ada sesuatu yang saya kurang berkenan .. tentang kisah orang Badan Dakwah sekolah yang dipaparkan. Entah. Boleh baca sendiri. Mungkin pengarang berhajat untuk menunjuk teladan, namun saya rasa ... entah. Mungkin kalian lebih bijak menilai. Saya rasa lebih baik tonjolkan yang baik, sembunyikan yang kurang enak.)

Noorah tulisan Ummu Hani tidak kurang hebat. Kisah benar seorang yang memeluk Islam di Bumi UK. Kisah kehidupan beliau sejak kecil hingga sekarang. Wanita ini pernah memandu hingga Palestin, sedangkan dirinya tidak lama usai pembedahan kerana breast cancer. Kisah ibu tunggal yang membesarkan anak-anaknya di bumi UK. Allah, sinar Islam di sana lebih bersinar. Sungguh kita menghargai apa yang ada setelah kita dapatkan ia dengan susah payah. Di sini, sekali lagi diri diajar betapa Allah sentiasa bersama hamba-Nya. Dia meletakkan sesuatu sangat molek pada kedudukannya, walaupun kita terasa ia tidak sesuai. Jadi, nikmat manakah lagi yang mahu saya pertikai?

Diari Mat Despatch yang ditulis Bahruddin Bekri tidak ketinggalan saya baca. Kali ini edisi Hati Emak. Kisah yang ditulis Bahruddin Bekri sesuai untuk yang mencari hikmah dalam cerita. Tulisannya biasa, wataknya orang biasa, namun kesannya dalam. Diari Mat Despatch: Hati Emak tentang Idlan (watak utama) yang mahu membuat pilihan antara menjaga hati emak dan menghadiri temuduga menjadi editor. Ikuti kisahnya yang santai tetapi penuh makna.

Sekian, beberapa buah buku yang terhadam bulan ini. Buku ringan yang membawa makna luas. Carilah hikmah di mana-mana, pasti akan ketemu.

__________________
.... Akhirnya, tertulis satu entri. Makin payah pula jemari mahu mengatur kata.. Hati, makin terhijabkah? Jemari, makin keraskah? Tulisan, makin kurangkah? Ah, seribu alasan boleh direka, hanya satu sebab untuk terus mencoret. MAHU.

17 January 2012

Permulaan

Penyelesaiannya ... kahwin!
Sang jejaka tersenyum ceria,
Si gadis tersimpul malu,
Masing-masing,
Menahan gelodak rasa,
Perasaan ingin bercinta.

Haruskah kita lalaikan,
Segala ini terbentang di depan mata,
Syaitan bersorak menyaksikan reaksi mereka,
Ubah pemikiran kita,
Tukar persepsi kita.

Kau mahu apa?
Kau nak apa?
Apa kau mau?
Kita lontarkan persoalan ini pada mereka,
Kita jelaskan azab Allah yang Maha Dahsyat,
Kita bimbing mereka,
Kembali ke pangkal jalan.

12/8/05 12:01:34 AM

15 January 2012

Cerita Gadis Itu...

Cerita dua hari lalu.
Seorang gadis berpakaian serba hitam ter'pitam' dalam train laluan Kelana Jaya.
Semuanya terjadi dalam beberapa minit dalam keadaan tidak terduga.
Dalam perjalanan pulang ke kampus setelah ke kedai buku.
Dalam train, seperti biasa, suka berdiri.
Rasa lain. Minta tempat duduk.
Tidak sempat duduk.
Rasa gelap.
Tersedar. Macam mimpi.
Kepala sakit.
Dengar suara, nampak mata-mata orang.
Duduk di kerusi.
okey, tidak bermimpi. Tidak angkat muka hingga ke tiba destinasi. Malu. 
Buat-buat tanya kakak: "saya tidak jatuh, kan?"
"Dah terbaring."
Alhamdulillah.
Pengalaman kedua.
Pertama kali lebih sepuluh tahun lalu di sebuah hentian bas.

Pengalaman tu.. mahal. :)

peace..


pesanan penaja:
-banyakkan minum air kosong dan jaga kesihatan. Ia anugerah paling mahal.

Madah


Mudahnya menyusun madah,
Tersusun di bibir indah,
Bermain sandiwara mewah,
Terselit seribu helah.

Tersusun di bibir indah,
Bicara berpatah-patah,
Konon mengubat susah,
Hanya menambah gundah.

Bermain sandiwara mewah,
Material banyak dicurah,
Mereka seakan penjarah,
Mengangguk mengundang padah.

Terselit seribu helah,
Aku mengerti metah,
Kata bersulam fitnah,
Kelak mencanang resah.


Bicaranya berpatah-patah,
Hilang cabang pada lidah,
Pondok istana semua diredah,
Asal mereka disambut megah.

Material banyak dicurah,
Siapa sebenarnya perlu diserah,
Jangan pula mengundang parah,
Memberi pada si bedebah.

Aku mengerti metah,
Adat menumpang tanah bertuah,
Berdiri, tak boleh membantah,
Arahan itu perintah.

Konon mengubat susah,
Aku diberi rumah,
Konon memberi mudah,
Aku rasa gelisah.


29/06/2009 20:03:00

14 January 2012

Suatu Hari Nanti...

maka,

berbicaralah
tangan
kaki
semua anggota
apa yang dikota
segala dusta
tergadah
tak terjawab amalan
hari ini
tiada sembunyi
terzahir segala

13 January 2012

Mahukah Aku Mungkiri?

"Kamu menjadi seharus kasturi. Menebarkan haruman buat manusia lain. Alangkah. Manisnya hidup memberi. Bertatih dan terus bertatih walau langkah sering letih namun tidak boleh berkalih. Allah sudah sediakan yang terbaik. Maka, mengharaplah yang terbaik. Usah hanya mengharap. Berhenti mengharap. Teruskan langkah menuju sebuah destiansi kerana kamu sedar akan hakikat kehidupan yang bakal tamat. Kehidupan yang bakal menuju ke hujung. Bukanlah masa untuk disesal masa lalu dan hari semalam. Jadikan ia pengajaran kerana Allah jadikan setiap peristiwa untuk diteladani. Kamu masih terjatuh dna terus tersungkur, positiflah bahawa Allah sediakan semuanya kerana mahu melihat kamu bnagun. Untuk terlalu melihat kepada yang jauh, pandanglah yang paling dekat kerana kamu harus yakin yang tersedia depan mata itu buat kamu. Berhenti menangis, berhenti merenung. Sekarang, masanya untuk kamu melangkah bersama dirimu sendiri. Allah sudah sediakan ruang untuk kamu bergerak, haruslah kamu melangkah dengan penuh keazaman dan kekuatan yang dipinjamkan. Siapakah yang memberikan kekuatan melainkan dia?

Dua hari lalu. Lupakanlah ia. Lupakanlah apa yang berlaku. teruskan langkah walaupun apa yang bakal berlaku selepas ini. Kamu harus yakin yang Allah ada bersama-sama kamu. ketakutan memang ada dalam diri, bagaimana kamu menghadapi ketakutan itu. Alhamdulillah. Atas sedala-galanya. Atas semua yang terjadi semester ini. Saya tahu. Allah Maha Tahu segala yang terbaik buat hambanya.

Lupakanlah. Lupakanlah semuanya. Melupakan bukan beerti membuang daripada ingatan. Hanya ingatan  buat diri untuk terus bertatih dalam dunia yang entah bagaimana rentaknya esok hari. Saya tahu dan mengerti bahawa yang menangis air mata darah sekalipun yang terjadi adalah 'telah berlaku'. Allah Tahu Yang Terbaik. Allah Tahu Yang Terbaik. Allah Tahu Yang Terbaik.

Berhentilah. Usah berhenti mengayam mimpi. Dapatkah penulisan kembali 2012 ini? Allah.

Allah, bahagiakanlah mereka yang tidak jemu memberi dan insan-insan yang sangat baik. Mereka yang sentiasa menebar senyum, memberi bahagia.

Wassalam."

Singgah menulis.
13.01.2012

12 January 2012

Resah

Hati enggan bicara,
lidah Kelu tanpa suara,
akal tanpa idea,
Di mana yang dekat?
Dekatkan kami keranamu..

11 January 2012

BUKALAH JENDELAMU



Jendela terpateri,
Khali,
Tanpa bunyi,
Desiran bayu,
Terhenti.

Jendela berkunci,
Dibelenggu ilusi,
Bukalah,
Telusuri,
Terokalah,
Perhati jagat,
Lihat gelagat.

Jendela disingkap,
Nampak mayapada,
Infiniti.

Selakkan jendela hati,
Senang ilmu meresapi,
Boleh deen menyerapi,
Jatuh ke lubuk suci.

3 Julai 2008
28 Jamadil Akhir 1429H
9:26a.m

10 January 2012

Sibuk?


Sibuk assignment,
Sibuk belajar,
Sibuk melakukan benda yang aku suka,
Sibuk TIDUR...
Sibuk mengelamun.

Aku tanyakan pada diri sendiri,
Perlukah kita kata:
"Aku sibuk"

 ulama dulu banyak kerja,
komitmen dalam banyak perkara,
menuntut banyak ilmu,

Belajar sedikit,
Mengeluh banyak,
Usaha sdikit,
Mahukan markah banyak.

Benarkah niat aku?
Betulkan usaha aku?
Barakahkah hidup aku?

Sibuk juga malas,
Dua alasan beza,
Dua virus perosak,
Orang kuat.

Lenggang Bagai Sirih Jatuh, Tak Tahu Di Tampak Layu


Apakah rasanya ditarik nikmat beribadah dalam diri? Apabila solat dilakukan hanya ritual harian yang tidak bersama hadirnya hati? Zikir yang bermain di bibir hanya sebutan yang tidak bersama hati? Al-Quran yang dibaca sekadar bacaan yang tidak difaham walau sepatah makna. Apabila diarasakan semuanya dilakukan kerana kita perlu lakukan itu.

Kita perlukan usrah bukan usrah perlukan kita. Bersyukurlah kerana punya usrah yang boleh menjadi tempat untuk berkongsi. Tempat untuk menambah ilmu. Tempat untuk saling menguatkan. Tempat untuk mengecas semangat. Setelah sekali daerah ini ditinggalkan, tidak pernah lagi mencari yang baru. Ya, sakit lagi bersendiri daripada bersama orang ramai. Namun, bukankah gemar mengelakkan diri bukan menghadirkan diri? Terimalah keputusan yang telah kamu lakukan ini. ...

Allah berikan hidayah kepada sesiapa yang Allah hendak, Allah juga tarik hidayah itu daripada sesiapa yang Allah kehendaki.

Sakit. Sakit apabila hati kosong sekosong-kosongnya. Jasad bergerak bersama kepuraan. Senyuman plastik dilemparkan sedangkan hati bergelodak mahu melontar semua bicara biar hilang daripada kepala. Namun, tidak mengapa manusia tidak tahu kerana Allah yang memiliki hati kita tahu apa yang sedang kita tahukan. Tenang akan hadir apabila semua kita luahkan kepada Allah. Benar sekali kita perlu bercerita dan berkongsi dengan sahabat untuk melakukan perubahan, minta nasihat, namun siapakah yang lebih tahu keadaan hatimu, sayang?

Sekian, manuskrip berhenti di sini. Maafkan tulisan bersifat peribadi yang saya tampalkan di sini. Ambil yang baik, tinggalkan yang tidak berkenaan. Terima kasih luangkan masa menatap contengan picisan ini...

* Lenggang bagai sirih jatuh, tak tahu di tampak layu = Orang yang tidak sedarkan kelemahan diri.

kredit gambar: deviantart.com

09 January 2012

Purnama Sembunyi, Alam Sepi.




Malam itu cuaca terasa lain. Angin berhembus kuat. Bertitis- titis air turun membasahi bumi. Gadis itu masih di tangga merenung langit gelap. Bulan yang tersenyum semalam, bersembunyi di balik awan mendung. Malam Sabtu minggu pertama tahun baru, hujan kembali membasahi bumi. Hujan yang tidak lebat, namun cukup membasahkan seketika bumi, memberi senyum pada pohon, rumput, haiwan di hutan. Gadis yang duduk seorang diri itu tersenyum bersama deraian air yang jatuh di pipi. Senyum lagi apabila air hujan mengena pipi. Gadis itu bukan pencinta hujan. Hujan memberi rasa aneh kepada diri.

Segersang langit yang sudah seminggu tidak menumpahkan hujan, sekering itu taman hatinya. Daun-daun kering tanpa siraman air, bunga-bunga layu dibiar berhari-hari. Allah, dengan kasih dan sayang-Nya diturunkan malam itu hujan yang menerbitkan senyum di hati gadis itu. Hujan seiring mata yang basah dek air mata yang tidak mengira masanya luruh mengena pipi. Biarlah, sesekali mata perlu dibiarkan basah biar dicuci kotoran yang ada.

Gadis itu, seorang pendiam yang tidak mudah berkawan. Payah tersenyum, tidak selalu menegur orang walaupun lama berkenalan. Dia bukan gadis mesra alam. Dia tidak gadis yang ramah. Dia manusia yang gemar bersendiri.

Bersendirian dia petang itu ke sana, ke sini, mengikut kaki saban hari. Apatah lagi musim peperiksaan. Musim pelajar bersembunyi dalam bilik belajar penuh tekun dan rajin sekali. Tentu sekali hari-hari biasa juga mereka rajin. Gadis itu tidak betah dan sering sahaja melepaskan diri bebas mengikut kaki, melangkah sana dan sini tidak biasa berkurung dalam bilik. Hanya ditahan kaki daripada melangkah keluar melepasi pintu utama melakukan aktiviti kegemaran. Menuju ke kedai buku, membelek dan menghidu aroma buku walaupun akhirnya keluar tanpa sebuah buku di tangan. Terasa lapang sekali semester ini walaupun sudah maklum peperiksaan yang bakal ditempuh bukanlah semudah menjawab soalan objektif yang boleh ‘ditembak’ a,b, c, d.

Malam itu. Angin yang berhembus memberi segar pada sebatang tubuh milik gadis itu. Baju kurung hitam yang dilapisi sepasang kot di luarnya seakan menjadi pakaian rasmi gadis itu ke mana dia pergi. Tengahari panas juga baju itu yang tersarung di badan, menyembunyikan tudung yang sudah berkedut bersandar di kerusi.

“Hati ini milik Allah, kan? Allah suruh kita jaga hati sendiri. Jaga hati orang lain. Itu pun kamu tidak mampu buat?” Dia bersuara kepada diri sendiri.

Diam. Hati tidak menjawab. Akal tidak membantah. Anggota lain bisu. Malam itu semuanya enggan bekerjasama dengan jasad yang inginkan sebuah jawapan. Jawapan sebuah kekosongan yang selalu menghuni diri.

Gadis itu tahu. Tahu belum tentu boleh lakukan dalam kehidupan harian. Betul, kan? Kita tahu banyak perkara. Berapa banyakkah pula yang mampu diimplementasikan dalam kehidupan. Selama sudah berbelas tahun, berpuluh tahun belajar, sudah berapa banyak ilmu yang sudah terserap masuk dalam akal. Namun ilmu sahaja tidak akan menjadi pengetahuan yang berubah menjadi amalan seharian. Istiqamah bukan sesuatu yang mudah. Disiplin kuat!

Gadis, kesempurnaan itu sesuatu yang mustahil untuk semua manusia. Belajarlah menerima! Belajarlah untuk berusaha mengikut kemampuan diri kamu. Berusaha sebanyak kesenangan yang sudah diterima selam ini. Berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Benar, apabila hari ini kamu menulis, bukan esok kamu boleh mengubah sesuatu menjadi lebih baik. Masa itu ada selagi kamu belum mati. Masa ada selagi kamu sediakan masa untuk melakukan sesuatu! Ingatlah gadis, kamu tidak tahu bilakah tarikh akhir kamu berada di bumi. Jam terakhir kamu bernafas dan bersama penduduk di bumi. Detik akhir kamu menyayangi yang tersayang.

Gadis, kamu harus tahu hati juga mainkan peranan atas apa-apa yang kamu lakukan setiap hari. Bersih hati, licinlah perjalanan hari. Berdebu hati, banyak rintangan meniti hari. Ingatlah Allah menguji menguji setiap kita tidak sama. Jangan sampai menjadi manusia yang paginya beriman dan petangnya ... (Allah tarik nikmat hidayah) Hidayah itu diberi kepada sesiapa yang dikehendaki dan boleh ditarik sekelip mata! Untungnya bersama-sama lingkungan sahabat yang saling mengingati ke arah kebenaran dan kebaikan.

Gadis, hidayah itu milik Allah. Berdoalah dikekalkan hidayah itu walaupun di mana kamu berdiri kelak.

Catatan berhenti di sini. Ada coretan baru, pasti gadis itu kembali mencoret di sini. Gadis, setiap manusia ada potensi. Optimis dan yakin ketentuan Allah terbaik!

07012012
Bawah katil, atas meja. Gombak.

[kredit gambar: deviantart.com]

Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak.

 Setelah sejam empat puluh lima minit, gadis itu meninggalkan dewan peperiksaan. Jika berbaki lima belas minit, seperti ayam berak kapur pula menanti jarum jam mengunjuk angka sebelas. Cepat-cepat diangkat tangan, memberitahu yang dia sudah tamat menjawab. Adat gadis itu -kecuali terpaksa- akan meninggalkan dewan peperiksaan sementelah dapat dijawab atau tidak kertas peperiksaan itu.

Benarlah dia spesis manusia yang menanti datang 'seru' barulah dibuka buku, ditatap aksara dalam buku yang selama ini terbiar di rak kemas terletak tanpa mahu dilihat sedikit pun isinya. Apabila dibaca beberapa jam sebelum peperiksaan, maknya dibaca buku itu untuk menjawab kertas yang bakal diberi pengawas peperiksaan. Sebelum ini hanya tahu makan, tidur, berjalan di dunia maya, berkelintar keliling asrama, beberapa jam akan mulanya peperiksaan barulah terbuka 'hati'nya untuk sedikit melihat pelajaran yang dibelajar sebelum ini.

Sungguh sifat pelajar bukan begitu. Pelajar rajin membaca dan menelaah pelajaran setiap masa. Belajar semua perkara, bukan seperti gadis itu.

Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak... Bagaimana periuk mahu berkerak jika tidak digunakan?

Lihat. Tiada kaitan tajuk dan inti contengan. Ini namanya manusia yang tidak tahu mahu menulis apa namun tangan gatal  untuk menulis juga.

Wassalam.

Selamat bercuti pada yang sudah tamat peperiksaannya.

Selamat berimtihan buat yang masih bermain dengan kertas peperiksaan..

07 January 2012

Lagi dan Lagi...

Kosong.

Kanvas kembali kosong apabila saya padamkan kembali aksara yang pernah tertulis.
Belum dapat bertahan dengan apa yang pernah tertulis membuatkan keputusan ini diambil.
Terisi lagi kanvas ini dengan perkataan bakal mengganti.
Tetap contengan...
Begitulah kitarannya penulisan saya yang mengikut cuaca.
Musim panas,
Musim sejuk,
Musim banjir,
Musim ...

[gambar dikreditkan kepada: carian google]

06 January 2012

Nota Buatmu

Buatmu yang bernama teman, sahabat, kawan,
Terima kasih tidak berhenti mendoakan yang terbaik buat diriku.
Terima kasih mendoakan agar aku berubah.
Terima kasih mendoakan kekuatan aku.

Terima kasih setia melayan setiap kerenah tidak boleh diterima aku.
Terima kasih menjadi sahabatku.

Aku tiada kata untuk diungkap atas pertemuan yang Allah aturkan ini.
Allah sudah susun yang terbaik.
Dahulu aku tidak mengenal apa itu erti memberi,
Aku cuba memberi apa aku mampu...
Dahulu aku tidak pandai senyum,
Aku cuba ukir senyum walau kadang tidak jadi.

Allah temukan kita bukan sengaja, kan?
Hanya aku yang tidak belajar dan berubah.
Masih diri yang pentingkan hal sendiri.

Malu aku dengan kalian,
Yang banyak menolong dan membantu...


Allah,
Terima kasih temukan aku dengan sahabat yang baik.

.....Jika mahu lihat dirimu, lihatlah dengan siapa kamu bersahabat...

Allah.
Ajari aku untuk sayangi diri sendiri,
Agar dapat aku menyayangi orang lain.

beri


..bagi mereka-mereka yang terus berbagi apa sahaja pada orang lain,
bukankah itu satu kebaikan.
Disebarkan bahagia buat semua,
Diberikan gembira seantero dunia,
Walau diri apa adanya.
Bukan itu yang dikira...

Melihat daripada jendela terbuka,
Dunia luas tanpa hujungnya,
Sedang terperuk dijeruk rasa.

Usah!
Bangkitlah!
Sedarlah!

Yang mimpi sudah realiti jadinya.
Igau itulah yang sedang kau laluinya,
Bayangan bukan ilusi cuma.

*Imtiyaz Huda*

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan]: Pelindung

Berpaut pada dahan nan satu,
Pinta segala yang kau mahu.

Dikabulkan pada masa dan tikanya.
Ditangguhkan hingga masa terbaik,
Dicepatkan yang perlu,
Disekat yang bawa keburukan.

Allah,
Sungguh tidak terjadi melainkan sudah tercatat di Atas Sana,
Bukan semua yang kamu mahu,
Yang terbaik buat kamu.

Lantas,
Kesat matamu nan basah,
Berdirilah atas nama Allah.
Allah.
Allah.
Allah.

Seru,
"Cukuplah Allah sebagai pelindung."

Apa daya bernama manusia,
perlu bahu melepas lelah,
Satu,
Hanya Dia disandar harap,
Diluah beban,
Tahu Yang Terbaik,
Tiadalah lebih mendalam tahunya tentang kita selain Allah.

Allahu Allah.

Qamar Durrah.
4.11.2011

05 January 2012

aku, kita.

manusia boleh berubah dengan suasana kehidupannya. apatah lagi seseorang yang rapuh dan mudah untuk berpaling. Tiadalah yang dapat menguatkan selain pertolongan Allah dan doa yang tertumpah buat diri. Siapakah yang tahu bilakah dan bagaimana dia diuji.

senang aku menulis, tidak senang membumikan.
betapa aku cemburu, namun harus dihapus semua cemburu.



 Allah, jagalah hati kami.


Mahu dijaga, sudahkah berusaha menjaga?

terdiam..

:(

Exam?

"kata-kata itu sedang menghentammu daripada semua sudut. Kata-kata itu akan menuntut haknya suatu ketika kelak. Kamu harus tahu apa kamu tulis itu saham yang akan dipersoalkan. Jadi, tulislah dengan hati jernih, wahai diri!"


....................................................................................................


04 January 2012

Friends Forever: Kenali Watak-watak Ini.

Lukisan Zakiah yang oleh pelukis Galeri Ilmu
“Sesungguhnya, kekuatan rohani yang dibina mampu
menjadi penebat segala cabaran, akan mengecas mentol
semangat supaya sentiasa menyala tanpa terpadam walau
sesaat. Hati yang bersih daripada dosa memudahkan minda
menerima ilmu dan pengajaran. Jika obor semangat itu
ada, ketika susah atau senang, dapat kamu harungi dengan
iman dan sabar.” -zakiah, Friends Forever.
Mary Santiago/ Maryam Abdullah.

“Kekayaan harta tidak dapat membeli bahagia.”




Balqis
Zakiah, kesabaran kamu membuatkan aku malu. Malu
dengan kebaikan kamu selama ini. Kamu seperti matahari
yang sentiasa tersenyum walaupun aku selalu membuat
jahat. Kamu tidak berdendam seperti aku. Kini, aku mahu
menjadi sahabatmu
Syazana.
“Kamu sahabat saya, Zakiah. Mata kamu tidak dapat
berbohong. Masih ada kesedihan, cuma kamu kuatkan
diri. Kamu lawan sekuat hati rasa sedih itu. Saya mahu
temankan kamu sampai cuti berakhir. Mak dan ayah saya
sudah izinkan.


Marziah

Mereka lima sahabat yang bertemu di UIAM.
Dapatkah lima akal yang berlainan bersatu?
Bagaimanakah Zakiah berusaha menautkan hati-hati mereka sekamar?
Ia sebuah cerita harian..
Ia sebuah catatan persahabatan..
Silakan membaca.
Dapatkan di Kedai buku berhampiran..

FRIENDS FOREVER, ILA HUSNA.

Anak Buah.


Panggilan lewat petang semalam menguntum senyum panjang di bibir.

"Fiqah sudah ke sekolah." Aku di sini mengukir senyum lebar. Terbayang wajah anak kecil berusia empat tahun yang setahun lalu belum mahu berenggang dengan ayahnya. Wah, tahun ini sudah mahu ke PASTI dengan rianya..

Alhamdulillah. Kata kakak, hanya ada empat orang murid enam tahun dan anak saudaraku, Syauqi itu satu-satunya murid lelaki yang tinggal di PASTI tempat dia belajar. Tiga orang lainnya perempuan. Tidak mengapalah, teruskan belajar di situ, dapat dua dalam satu. Saya membalas.

Sungguh saya teruja dengan perkhabaran ini. Ya, anak-anak zaman sekarang cepat belajar, dan perlu diajar dengan betul.

Esok, genaplah anak itu -Nor Aina Syafiqah- empat tahun. Semoga jadi anak solehah, anak buahku...
Rindunya anak kecil molek itu.. Tinggallah si kecil di rumah.. Abang kakak sudah semuanya ke sekolah..

Anak--anak saudaraku, kalian permata!

Tunggu hujan



Tunggu berhari,
Langit biru, terik sehari,
Bumi kering, di dunia sini,
Hujan tidak temani hari,
Aku menanti.

lu'luah nur jamilah

03 January 2012

Senyum Selamanya

Nikmat apakah yang mahu kamu dustakan?
"nti muktamad dgn pilihan nti ni?.."


"Ya setelah beberapa bulan memikir.. Ini keputusan yang diambil... Muktamad!"


Maafkan Aku...

Menyelak ceritera lama dua tahun dahulu, ada rindu menggamit hati. Aku perlu meneruskan semua yang telah aku mulai tanpa memandang belakang. Hari depan menanti untuk aku lalui walau apa sekalipun cerita pernah terjadi kepada diri. Allah sudah memberikan aku yang terbaik, perjalanan yang baik. Hanya diri belum mampu menilai semua kebaikan yang terbentang depan mata.

Mengapa harus sesal?
Mengapa terus berendam air mata?


Yakin dan percaya suratan kehidupan dan cerita yang terjadi bersamanya ribuan hikmah yang menanti untuk dipetik. Diri, carilah hikmah itu walau saat menghadapinya penuh air mata. Lupakanlah! Melupakan tidak semesti hilang semua cerita daripada ingatan. 


[kesat mata]


Friends Forever yang akhirnya menjadi nyata bermula dengan sebuah mimpi pada 2006. Aku nukilkan dalam diari tempat meluah rasa yang aku ingin miliki novel sendiri. Melihat orang lain punya buku, masakan aku tidak boleh! Walaupun ia hanya sebuah novel awal remaja, semoga ada dana buat diriku... Saat memegang buku pertama ini yang terbayang di mata insan-insan yang banyak berjasa pada diri.


Terima kasih Allah menemukan aku ramai manusia yang baik hatinya...


Allah sudah atur dan berikan yang terbaik!
Semoga 2012 membawa cerita yang lebih gemilang walaupun debarannya melebihi tahun lepas. Sesuatu sedang menanti untuk jadi nyata. Aku bersedia!


Kepada teman-teman


Bunga kembali mekar,
Bulan tersenyum senantiasa,
Mentari terang memancar,
Apa lagi yang kamu mahukan?
Bahagia di depan mata,
kecap sebelum ia lepas.

Wajah Kerinduan.

Lukis wajah rindu,
Tampal di dinding hati.
 Maafkan diri,
Terima semua terjadi,
Hikmah di hujung hari.

02 January 2012

Pencinta Tulip

Mata terpaku pada kuntum tulip,
Kiriman jauh bumi keukenhof,
 Cinta bersambut pada kelopak tulip,
Indah warnanya.
Ringkas ciptaannya.

Gelas Kosong.




***
 Begitu senang saya menulis itu ini walaupun dunia realiti saya banyak kali tersasar... Mungkin tulisan yang ditulis itu menjadi batu yang menghentak kepala ketika saya memerlukan. Kata-kata itu senjata. Kata-kata seperti pisau...

Ya, jika digunakan untuk kebaikan, ia jadi baik.
Jika digunakan untuk memfitnah, maka jawapannya...

Diam lebih baik daripada menulis sesuatu yang tidak beri manfaat, Namun entah mengapa diam membuatkan saya tidak senang duduk dengan tidak menulis.. Biar ia hanya tulisan tentang aktiviti harian, selesai menulis, barulah perasaan itu kembali tenang.

Mengenali saya di dunia nyata berbeza mengenali saya dalam tulisan. Saya sering kematian kata, kala dalam ramai dan lebih gemar melihat di sisi..

2012... Sudah 23 tahun saya.. Ya, mengikut tahu Islam sudah lebih sebulan saya berusia 23 tahun.. Sudah tua... 23 tahun dengan perangai kebudak-budakan saya tdidak terasa yang diri makin matang..

Bezanya.. sekarang buku saya sudah diterbitkan.. Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat setelah lama menanti saat ini, Saya tidak menyimpan cita-cita tinggi dengan terbitnya buku ini, hanya berharap ia jadi saham buat diri saya dan mak..

 ...entri kosong!!!

01 January 2012

Rindu.



Rindu itu adalah,
anugerah dari Allah,
insan yang berhati nurani,
punyai rasa rindu

Nasyid nyanyian Hijjaz ini evergreen dan tidak jemu-jemu didengar dahulu hingga kini.

Rindunya pada sebuah nama. Ayah. Insan terbaik yang membesarkan aku dengan melakukan pelbagai kerja hingga anaknya besar kini. Ayah yang baik dan berkorban demi anaknya. Ayah yang tidak pernah marahkan anaknya. Ayah yang sentiasa merelakan anaknya melakukan perkara yang disukai anaknya. Ayah yang bersabar dengan kerenah anak bongsunya yang tidak mesra alam. Kenangan mendapat basikal ketika darjah dua paling lekat dalam ingatan. Terima kasih, ayah. :)

Rindunya pada seorang ibu yang melahirkan aku. Lapan tahun hidup bersama beliau mungkin tidak meninggalkan banyak kenangan namun masih lekat sedikit memori itu kemas dalam ingatan. Anak bongsu yang suka mengikut ke mana ibunya pergi. Anak bongsu manja (..mungkin?) anak bongsu yang setiap Isnin berselang dua minggu dijemput ibunya untuk bertemu doktor gigi. Anak bongsu yang suka mengikut ibu itu sudah besar kini. Ibu, bahagialah di dunia baru...

Rindunya pada guru yang mencurah bakti sejak aku tadika hingga diterima di taman ilmu dan budi. Memang aku manusia pendiam yang buat masalah dalam diam. Ya Allah, malu mengingat perangai kebudak-budakan yang pernah dilakukan suatu masa dahulu... Cikgu yang mengajar aku tulis baca, kira tambah tolak, melahirkan minat dalam sastera, dalam bahasa Arab? Terima kasih, cikgu!

Rindu untuk menulis... Bukan! Rindu kembali menghantar ke media massa. Sekarang karya hanya tertampal dalam blog dan kekal di situ, Setelah munculnya buku pertama, aku mahukan yang kedua dan seterusnya.. Doakan dia diberi kekuatan (Ila Husna atau apa jua namanya..)



Rindukan usrah?
Rindukan ...
Rindu serindu-rindunya..
Rindu tangisan yang merawat luka.
Rindu ...
Rindu bersendiri bersama Allah Yang Mendengar.
Rindukan Kekasih Allah.. Allahumma solli 'ala saidina Muhammad.

psst: Masih tidak sedar peperiksaan akhir berbaki empat kertas...

Pemain Kata

Seorang aku pemain kata,
Gadis luar kota,
Tulis pengubat jiwa,
Bicara suka duka,
Gadis pemuisi bukan dia.

lu'luah nur jamilah

Selamat Tahun Baru..

Katakan kepada diri, walau gagal berkali-kali, walau jatuh payah berdiri, walau sedih memagar diri, teguh berdiri di sini, menahan diri, menerus legasi ini.

Tahu takut, kenapa tidak berubah? Tahu akan gagal, mengapa tidak belajar? Belajar gantungkan diri kepada Allah. Pasti Allah berikan yang terbaik.

Setiap batu halangan, kegagalan untuk terus bertahan, kesedihan tidak tersimpan, mengajarmu menjadi intan.

Biar ketika kegembiraan, kejayaan, senyuman... kamu tidak lupa masa lepas yang mengajar.

Pencarian tidak akan tamat, selagi usia bukan di garis penamat. Di manakah tekad?

Ya Allah, jiwa yang dahagakan hidayah, perlukan petunjuk menerus langkah... Ingatlah dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang.

Sometimes I want to quit, but I hate loneliness. Sometimes I want to cry, but I learn to smile. Sometimes I want to go far away, but... Without my leg. Without my hand. Without my sight. Allah. The only one give the strength! Face it!

Bukan aku merelakan, perpisahan tanpa aku impikan. Pertemuan mestikah seketika? Masa penentu... Wajarkah dikorban impian? Apabila terlihat hanya kekalutan. Malap cahaya yang dahulu benderang. Seruku pada alam... Pertemuan ini tidak akhirnya perpisahan . Bagaimana?

Allah tidak menguji sesuatu yang tidak mampu ditempuh oleh insan itu. Hidup yang indah, adakah hanya mahu dipersia?

Kesabaran cepat menipis apabila tidak disemai.

The simplest word I forgot to say. Alhamdulillah. Thank You. Smile and salam.

Secarik wajah rindu, kusimpan dalam hati. Benarlah ada duka bertamu, Bukan senda selalu. Mewarna luka dengan pelangi. Secarik bahagia dicari. Hilang setelah diri lari.

Karat dosa mengikat langkah. Janjimu, setinggi mana dosa, terampun bagi yang memohon. Sesungguhnya keampunan itu milikmu.

Bicara selalu mati. Jarang terpateri janji. Sejauh mana langkah, Setinggu mana harapan. Ya Allah, hanya kepadamu aku berserah.

Bila kita kehilangan, sering teringat kenangan.

Allah turunkan hujan, kemudian hadirlah pelangi. Allah patahkan hati, lantas diberinya semangat dan kekuatan.
Tahan air mata usah dibiar menitis. Balaslah air mata dengan hati yang jernih, mata yang tersenyum dan bibir nan merekah.

Bersyukurlah dengan kesihatan yang baik. Ketika kamu diuji dengan mainan perasaan, kawal dan elaklah ia. Ketika kamu diuji masalah duit, pasti punya jalan keluar, Ketika kamu diuji dengan kegagalan, belajarlah lebih tekun! Allah meminjamkan ruang, peluang dan kemampuan untuk terus melangkah. Usaha dan doa!
Hutan duit dapat dibayar, hutan budi ingat sampai mati.

Perikan cerita pada awan, dia setia mendengar walau tidak pernah bisa membalas. Khabarkan pada rumput hijau biar tenang rasa hati. Beritakan dengan kalam biar hilang segala resah sekeping hati. Paling baik, adukan semuanya kepada Allah. Pemilik diri.

Bicara buat hati... Tenanglah wahai diri walau apa yang terjadi. Sesungguhnya mana mungkin kita melarikan diri daripada sebuah realiti. Apa yang terjadi, Allah tetapkan yang terbaik. Walau kamu cuba menolak, Allah tahu yang terbaik untukmu. Hidup ini singkat. Berani melangkah. Mungkin esok kamu mati, apa bekal yang tersedia? Perpisahan terjadi walau apa cara... Belajarlah menerima KENYATAAN. Redhalah dengan aturan Allah. Bersyukrlah atas pemberiannya. Mintalah yang terbaik.

Beranilah bermimpi dan curahkan seluruh tenaga untuk menjadikan ia sebuah kenyataan. Tidak salah mengayam cinta setinggi langit.

Perjalanan hanya ada tiga tempoh: semalam, sekarang, esok.

Kisah hari ini sudah banyak perubahan. Semalam hanya kenangan. Esok adakah hanya angan-angan?
Persahabatan tanpa pengorbanan, bukan satu persahabatan sejati. Ranjau duri dalam persahabatan itulah penguat sebuah ikatan.=D

Ujian kecil yang menimpa, menguji iman di dada. Apa jua gelora, menjadikan diri makin mendekatinya.
Diri kaku, tidak membantu, berhati batu.

Hati yag kotor tidak dapat menyucikan hati yang kotor. :[

Hidup perlukan matlamat. Matlamat perlu direalisasi. Bukan sekadar contengan atas kertas. Merealisasi perlu berani. Keberanian tidak hadir tanpa disuntik. Suntikan usaha dan doa berterusan!