24 December 2012

Drama Melayu

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


... aku merasakan sebenarnya industri drama dan perfileman negara kita belum terlalu kontang. Masih ada cerita yang baik.

baik jalan ceritanya.
sesuai dengan orang kita.

mungkin sebab aku suka tengok cerita melayu banding cerita lain.

antara penulis skrip yang saya suka ceritanya:

-Siti Jasmina Ibrahim
-Zabidi Mohamad
-Maizura Ideris.

Dan mungkin ada lagi yang saya tidak ingat nama mereka. Menyampaikan cerita dengan skrip sangat berkesan untuk generasi muda.

23 December 2012

Once Upon A Time ...

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.



Saya masih ingat indah dunia kanak-kanak itu. Setiap kali ibu ayah belikan benda dalam kotak atau botol, akan disimpan kotak dna botol itu. Buat dimain jual-jual. Tiket yang kami dapat jika menaiki bas, akan disimpan. Tiket apa-apa pun akan disimpan. Banyak benda yang disimpan sebagai modal bermain jual-jual. Ada kawasan permainan kami. Dalam bilik tidur, bawah meja sering kami jadikan tempat permainan. Kami tidak perlukan padang permainan. Anak-anak perempuan cukup bermain dalam rumah. Berjual-beli. Itu permainan yang sering kami mainkan ketika zaman itu. 90-an.

Cuaca terang, kami beralih ke luar rumah. Bina rumah sendiri di bawah pohon. Kutip daun-daun pohon dibuat masak-masak. Main tanah, buat kuih. Masih juga menjual. Besar sedikit, sudah pandai main basikal , polis ligan pencuri. Ah, zaman anak-anak.

Dalam bilik, masih kekal contengan zaman anak-anak. Kononnya main cikgu-cikgu. Habis dinding bilik menjadi mangsa contengan. Tiada siapa yang akan marah. Dinding itu kekal sampai hari ini.

Main jengket, guli, congkak biji getah, tuju getah, zirofoin, main selipar. Teringat pula saya permainan zaman itu. Sekarang tidak banyak yang anak-anak tahu. Permainan komputer dan tivi yang lebih mereka kenal. Beruntung rasanya menjadi anak –anak zaman 90-an yang walaupun penghujung 1900-an, masih terasa zaman anak kampung itu. Pengalaman indah yang tidak dirasa semua orang.

Adakah nanti, kita hanya dapat lihat permainan tradisional dalam cerita upin-ipin?

21 December 2012

catatan dinihari

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


Gadis itu melepasi satu demi satu rak buku yang ada di MPH Alpha Angle. Hujung minggu itu dia 'melepak' sambil menghidu haruman buku yang dirindu. Cuti Sekolah. Ramainya pelanggan yang ada bersama ibu ayah.

"Ibu, nak beli buku ini." Anak itu mengunjuk sebuah buku.

"Ala, cerita repunzel boleh tengok di tivi."

Ah, kasihan anak yang mahu membeli buku itu.

****

Cerita BBW sudah berakhir kepada gadis itu. Pejamkan mata, habiskan buku yang sudah dibeli. Apa guna buku dibeli hanya jadi penghias almari. Kata Tuan Bahruddin Bekri, ilmu hanya bermanfaat saat saat ilmu itu mendekatkan pemiliknya dengan Allah.

# pejam mata lihat buku. Selak dan rasakan harumnya sahaja. Ada bajet baru kira lain. Alamak, terbeli majalah tanpa sengaja.

****

Kedai Buku 1 Malaysia di Puduraya (senang lagi aku menyebut Puduraya, walaupun namanya sudah menjadi Pudu Sentral.), bilakan dapat aku ke sana lagi? Haruskah aku ke sana lagi? 15 peratus diskaun setiap buku. Hm...

****

FOKUS! -Ina Nailofar pesan.



***
Wah, anak saudara akan bertukar status. Daripada pelajar pra-sekolah, melangkah ke darjah satu. Comel pula membayangkan jejaka tampan tujuh tahun itu berpakaian sekolah. Dia suka meneroka. Dia kreatif. Abang, jangan mudah merajuk dan menangis. Lelaki jiwanya kuat!

Aqilah, sudah berapa bukukah yang kamu baca? Ibu saudaramu ini tidak dapat hadiahkan benda lain yang boleh dibeli ibu ayah. Cukuplah Acu berikan buku untuk bacaanmu. (walaupun hanya beri pinjam. Acukedekut)

Syafiqah yang comel. Lima tahun pada 5 Januari. Semangatnya kuat mahu ke sekolah. Sering mahu bernakal-nakal dengan ibu saudaranya, tetapi diam di sekolah. Teringat catatan Puan Nisah Haron lewat buku Kembara UK beliau.
***
Hujung tahun?
tidak rasa apa-apa.

***
sudah tahu  sakit, carilah ubat. Hilangkan ketakutan bertemu doktor. Mereka tidak makan orang. :) Terbayangkan wajah manis perempuan berkot putih.

"orang nak kakak jadi ahli farmasi, senang ambil ubat." itu impian kakakku pada anak sulungnya. Kata kakak, bagus juga ahli farmasi daripada doktor. Ah, sudah lebih sedekad dia bergelar jururawat.

sekian, terima kasih.
4.10 pagi
211212



16 December 2012

Borak Buku Bersama Tuan Behruddin Bekri

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Hari Ahad bersamaan hari minggu. Aku di bilik menghadap eat, pray, love yang disambar di Big Bad Wolf yang lepas. Jam 3.30 petang, aku bergerak meninggalkan bilik ke program kedua anjuran Ma'ruf Pena. Aku masukkan Diari Mat Despatch Naluri Ayah ke dalam beg.

Aku menjadi VIP yang datang lewat. Tersangat lewat, mungkin.

Sempat aku tangkap kata-kata beliau. Jadi penulis mesti bersabar. Selain sabar, mesti syukur. Sabar menulis. Bersyukur sebab masih diberi kesempatan menulis.

Itu yang sempat masuk dalam kepala. Masih tanpa soalan terlontar.

Setiap kali berkesempatan bertemu Tuan Bahruddin Bekri, aku menghulur buku untuk ditandatangan.

"Nama?"

"Jamilah."

"Jamilah Norddin?" Tuan Bahruddin Bekri menyoal. Ternyata dia punya ingatan yang kuat. Soalan yang sama ketika aku menghulur buku di PBAKL 2012 yang lalu.

Mengapa ya mesti tandatangan? Kepuasan seorang pembaca seperti aku. Sebab aku percaya tandatangan itu mahal harganya bagi seorang pembaca. Penggila buku? Aku terperasan bulan ini bajet berlebihan untuk membeli buku. Masa membaca!

Benarlah saat buntu menulis, membaca ubatnya. Saat menulis akan kembal. Lalu, aku menukil di sini.

Terima kasih Ma'ruf Pena menggerakkan aktiviti begini di UIA. :)

14 December 2012

Big Bad Wolf

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Dalam bas ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, aku menghantar mesej kepada Ainul. Mengajaknya ke Bid Bad Wolf di MIECC. Belum pernah aku terjah ke sana.

Akhirnya Selasa, 11 Disember 2012; aku diperkenan ke sana bersama Ainul. Seawal jam lapan suku sudah meninggalkan bumi UIA demi menjejak buku bahasa Inggeris. Seingat aku tidak sampai lima buah buku bahasa Inggeris yang pernah aku hadam. Tentunya bacaan wajib Literature semasa di Sekolah Menengah. The Phantom of The Opera dan The Pearl yang masih aku ingat. Itu bacaan wajib.

Ternyata sangat mengujakan saat jejakkan kaki ke sana. Akhirnya kami berpisah mencari buku yang mana berkenan. Hampir tiga jam melilau dan pusing sekitar dewan mencari buku yang berkenan. Ikutkan nafsu, setiap satu buku mahu 'disambar' biar puas hati. Poket membataskan belian. Akhirnya, dapatlah 20 buah buku berbahasa Inggeris dalam genggaman dengan dua kali bayaran.

Semoga berkesempatan lagi ke sana tahun hadapan. Harus berusaha membaca dalam bahasa Inggeris.Teringat kisah ustaz dalam kelas Modern Prose Text berkenaan kawannya yang belajar membaca dengan menghadam buku. Jujur, tidak puas membaca buku yang dialih bahasa, lebih enak dibaca dalam bahasa asal walaupun bukan semua katanya yan dapat difahami.

Sekian, cerita BBW yang mengujakan hati dan perasaan! Sesiapa yang belum ke sana, harus merasakan debarannya dan mengambil peluang keemasan ini!

12 December 2012

Bengkel Penulisan Ma'ruf Pena 1 : 4 Disember 2012

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

lokasi: ECONS BUILDING tingkat 4
Masa: 9-11 malam
Pembimbing: Ustaz Zahiruddin Zabidi
Penganjur Ma'ruf Pena UIAM

(entri ini bertarikh 4 disember 2012)

Sinar baharu sebuah perjalanan.

Dia pandang skrin laptop seakan dapat ditembus pandangan sampai ke bahagian dalaman laptop. Satu perkataan enggan bersahabat dengannya malam itu. Lalu, dia terkenang baharu tidak sampai sejam dia menghadiri bengkel asas penulisan oleh Ustaz Zahiruddin Zabidi. Bengkel ini aktiviti pertama Ma’ruf Pena yang dia sertai. Ma'ruf Pena? Ini sebuah grup yang digerakkan oleh beberapa orang pelajar UIAM berbakat dan mahu meihat penulisan berbahasa Melayu bergerak di bumi UIAM.

Berada dalam bengkel itu, terasa dirinya sudah tua. Kebanyakan peserta adik-adik muda belia. Ada apa pada angka? Berada dalam kalangan adik-adik yang suka menyoal, semoga suatu sesi nanti akan ada soalan yang terbit daripada ulas bibir dia juga. Insya-Allah, suatu ketika.

Saat ustaz bicara RAM (Ramlee Awang Murshid) setiap kali dapat royalti akan sujud syukur dan sudah terperuntuk zakat daripada hasil royaltinya, dia tertegun lama. Ketika ustaz menyambung kisah Fatimah Syarha memulakan penulisannya, dia terdiam. Ketika ustaz berkongsi pengalaman perkenalan beliau dengan isteri, dia ketawa. Ada usul yang boleh diturut. Minta jodoh sediakan proposal sebelum bernikah. (dalam banyak hal ustaz ceritakan, ini pula yang dia ingat.)

Tentang penulisan. Memugar kembali ingatan perihal penulisan. Harapkan setiap tahun berbengkel, bilakah akan kembali tembusi media?

Mahu tahu satu perkara? Ini cerita ustaz Zahiruddin perihal mula beliau menulis. Beliau bermula dengan surat pembaca. Dalam banyak-banyak halaman akhbar, ruangan surat pembaca paling berkesan untuk melontar fikiran. Orang berkenaan akan segera ambil tindakan apabila ada yang menulis dalam surat pembaca. Beliau terus dan terus menulis. Petuanya, konsisten!

Kata ustaz lagi, penulis harus tambah sensitiviti. Setiap yang dilihat boleh diolah menjadi kisah dan cerita. Bukan dijadikan tabiat pula melihat sekeliling dan tulis apa berlaku. Tidak sepertinya 100% sama apa yang berlaku, semuanya boleh diolah. Paling utama tulis. Setiap orang perspektifnya tidak sama. Dalam bengkel tadi pun, seramai mana peserta, sebanyak itulah perspektif berbeza yang terhasil.

Ada seseorang bertanya berkenaan idea. Ya, soalan yang sentiasa ditanya, bagaimana olah idea, bagaimana dapat idea. Jawapannya, idea ada di mana-mana. Ya, idea sentiasa ada di sekeliling kita.

Jujur, ketika diminta perkenalkan diri, dan buku semasa yang dibaca, dia tidak punya jawapan. Minggu ini seingat dia hanya baca beberapa helai lamunan puitis oleh Shahnon Ahmad yang kemudiannya dia sudah hantarkan ke perpustakaan. Lalu dijawab, Diari Mat Despatch Naluri Ayah, sedang buku ini dibaca usai kembali dari kampung hampir 3 minggu lalu. Kontang dia tidak membaca. Ustaz banyak bercerita perihal Tuan Baha dan dia angguk setuju.Walaupun dia pembaca setia Diari Mat Despatch dan belum membaca semua buku Tuan Baha, dia setuju pendapat ustaz. Tuan Baha bijak mengolah cerita! Kisah kecil boleh menjadi sesuatu yang bukan hanya buatkan dia ketawa tetapi rasa kepala kena ketuk.

Kata-kata ustaz sebelum bersurai, tidak ketinggalan dia catatkan, “kita tidak tahu kebaikan manakah yang bawa kita ke syurga.” –ustaz Zahiruddin Zabidi, 2012, ECONS Building, UIAM.

Mahu menulis kena ada dorongan. Inspirasi. Jika tidak tahu mahu mulakan bagaimana, baca dan membaca. Suatu saat, akan ada desakan dalam diri mahu menulis sesuatu. Ia menghentam dinding hati lalu pena dengan lancarnya menulis.

Ini siri pertama bengkel bersama ustaz Zahiruddin anjuran Ma’ruf Pena. Insya-Allah, semoga lanjutannya berjalan lancar dan diberi peluang mencedok ilmu daripada beliau. Banyak perkongsian, ditambah soalan yang dikata ustaz mencabar.
-bagaimana kalau orang itu ada idea tetapi tidak tahu melontarkan dalam bentuk tulisan
-bagaimana jika ada orang yang ideanya datang ketika mandi?

Wah, tidak sabar menanti aktiviti Ma’ruf Pena seterusnya. Dia peserta baris dua daripada belakang. Dua jam terasa singkat. Alhamdulillah, atas kesempatan ini.

JAMILAH MOHD NORDDIN
IIUM.
____________________________
# ini entri tertangguh pertama.
# Ahad ini (16.12.2012) ada borak buku bersama Bahruddin Bekri. Penulis yang saya suka ceritanya. Cerita kehidupan yang sering buat aku tersentap sendiri membacanya!

30 November 2012

Tarikh Itu

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


18 Muharam,
benarkan aku catatkan sesuatu pada tarikh istimewa ini
bergandanya setahun usia
berkurangnya setahun perjalanan di dunia.

18 Muharam
kadang aku ingat
banyaknya aku lupa
lebih mengenang 20 Ogos

Kata yang pernah aku dengar
tidak perlu menyambut hari lahir
kata aku
benarkan aku mengingat seseorang yang melahirkan aku.

Al-fatihah buat ibu yang melahirkan aku.
 hampir sembilan tahun bersama
tidak banyak yang kukenal tentangmu
namun
aku pasti dia ibu terbaik!
ke mana ibu pergi, aku ekori.
majlis mana ibu hadiri, aku bersama
tidak semua, tidak sampai sedekad kami bersama
Allah sayangkan dia.

Ayah,
tanpa dia bagaimana aku membesar
ayah yang baik
ayah yang sangat baik!
ayah terbaik buat aku.

Kakak-kakak
yang setia melayan adik bongsunya
Semoga Allah jaga kalian.

Insan istimewa yang adir dalam diri aku
terima kasih.

angka 24,
akankah punya 'anak' ketiga?
Insya -Allah.

:)


# buat diri bernama Jamilah Mohd Norddin, hidup teramat singkat. Terlalu pendek.
# banyak berjanji, bilakan ditunai?
# angka!
#minta maaf
#cinta dan kecintaan
#impian dan harapan
 #ah, merapu!

22 November 2012

...

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Allah Maha Mendengar dan memberikan yang terbaik.
Tentang semalam.

SATU
Maghrib. Saya teringatkan teman bernama Nur Suhada. Gadis manis yang sedang belajar di ASWARA. Hati tergerak mahu menghantar mesej, tetapi saya tangguhkan. Dalam hati berkata, mungkin dia sibuk dengan tugasan dan saya enggan mengganggu.

Pagi, setelah terjaga daripada lena panjang. Buka fb, ada mesej. Subhanallah. Nur Suhada titipkan pantun.

DUA
Pagi awal benar. Saya melihat senarai 'friend' di fb yang 'online' awal pagi. Ada nama teman sekolah yang sudah lama 'friend' di fb tetapi belum pernah saya tegur. Hati tergerak mahu hantarkan mesej, tetapi tidak jadi.

Beberapa minit kemudian,

"Assalamualaikum. Jamilah sihat. Lama tak dengar khabar."

Seorang teman sekolah hantarkan mesej.

Subhanallah. Siapa yang gerakkan hari mereka jika tidak Allah.

Allah.
Nikmat apakah lagi yang mahu aku dustakan?

Cerita ustaz perihal anaknya yang mengambil keputusan UPSR.

"Anak saya dapat 4A 1B. Itu doa dia 5A atau 4A. Bila ibunya tanya, dia jawab: Dapat 5A pun boleh boleh tolong Wan di Akhirat." Allah.

STATUS FB [SATU]

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


"Adik, dapat duit buku jangan lupa berikan pada ayah. Biar ayah juga rasa duit buku tu."

"Orang nak beli almari buku barulah dapat duit nanti."

"Hm, tak apalah. Tapi jangan lupa beri pada ayah juga."

*Ayah, yang ada seorang itulah. Ayah yang jaga aku sejak aku kecil sampai sekarang. Ayah yang tetap menghulur wang setiap kali aku pulang. Ayah yang  menghantar aku ke stesen bas Kulim setiap kali aku akan pulang ke Kuala Lumpur hingga aku tidak perlu lagi menaiki bas 56 yang makin uzur. Ayah yang dulu setia menghantar aku menaiki motosikal dari Mahang ke Baling walaupun ada ketika aku tersengguk di belakang sebab lamanya perjalanan. Ayah yang aku ada seorang itulah. Sudah banyak kali dapat 'honoranium' belum sekali ayah merasa.
*Allah, jagalah ayah saya dalam kesihatan yang baik dan rahmat-Mu.

19 November 2012

Cerita Pagi Isnin Pertama Setelah Pulang Dari Kampung

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


[cerita pagi Isnin: "prakk." Bunyi itu terdengar setelah beberapa saat dia duduk di atas katil. "Bunyi apakah?" Melihat apa yang menjadi mangsa, rupa-rupanya cermin mata bingkai hijau miliknya. Cermin mata lama miliknya selamat dihantar pulang ke kampung. Semoga sakitnya cermin mata itu dapat dibaiki. Hanya perlu sambungkan tali yang putus. Terasa sedikit aneh setelah lama kaca mata tidak dia tinggalkan, apabila yang dilihat hanya nampak objek kabur.

Dan kejadian ini berlaku beberapa minit selesai baca ayat ini dalam Diari Mat Despatch Naluri Ayah : "...Begitu juga sekiranya kita bergaji RM100, tetapi kita bekerja seperti orang yang bergaji RM30. Walaupun kita dapat RM100 itu, tetapi mungkin ia akan ditolak melalui duit hilang, motosikal rosak, anak sakit ...  (m/s23)"

*** Alhamdulillah. Nikmat apakah mahu kamu dustakan? KAta ayah, "duit yang ada dalam tangan kita pun bukan semuanya milik kita."

18 November 2012

Aku Pulang

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Pertama.
“esok nak balik rumah, ambil barang dalam laptop kak Ina.”

“okey.”

Petang Khamis, bersamaan 1 Muharam aku langkahkah kaki ke Stesen Puduraya, mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung. Lama juga menanti. Tiba di Pudu Sentral jam 12 tengahari, naik bas jam 4.30 petang. Aku tidak berani menaiki bas selain Plusliner yang terus membawa aku ke stesen bas Kulim.

Tepat jam 9 malam aku tiba di Stesen Kulim dijemput ayah.

Kedua.
Pulang ke rumah tanpa membawa walau sebuah buku pelajaran. Semuanya aku tinggalkan di UIA.

“Studylah.” Kata kakak.

“Orang tak bawa balik buku la.” Aku memberi alasan.

Jika bawa pulang buku pun aku tidak sentuh, kali ini aku hanya bawa pulang buku-buku yang tidak mahu aku gunakan lagi. Semakkan bilik di mahalah sahaja tinggalkan buku di UIA. Wah, almari sudah hampir penuh, siapa mahu hadiahkan almari buku baharu? Almari yang ada dibeli kakak aku, yang dipenuhi sebahagiannya buku yang aku kumpul. Jika dilihat majoritinya tentu sahaja buu cerita.

Ketiga.
“Jom, ikut ayah makan kenduri.”

Aku jarang mengikut ayah ke mana-mana. Tidak seperti kakakku yang keempat ini. Dia gemar mengikut walaupun ayah ke pasar. Sudah berkahwin sekalipun, bukan alasan dia tidak mengikut ayah. Dia sedang bercuti di rumah.

“Ini kawan ke?” Seorang mak cik mengunjuk aku. Ah, memang aku terlalu jarang ada di rumah, apatah lagi mengikut ayah ke mana –mana. Saudara mara memang banyak yang aku tidak kenal melainkan yang dekat-dekat.

"adik." kakakku membalas.

“Hm, anak sekarang bukan kenal. Nak harapkan kita, kita dah tua.” Mak cik itu menambah.

“Salah siapa? Salah mak bapak la tak bawak anak.” Gulp! Telan air liur aku di situ. Bukan salah ibu bapa kalau anak-anak yang tidak mengikut mak ayah.

Aku dengan kakak-kakak sering ditanya. Ini siapa? Wajah aku mungkin kurang iras mak, lebih mengikut ayah.

Empat.
Pulang rumah kali ini, dihabiskan untuk makan. Di rumah, tidak perlu makanan lazat untuk menambah nasi dua kali. Cukup satu hidangan yang ada petai, gulai dan ikan goreng. Boleh menambat selera. Berkat makan beramai-ramai. Sedang bila di UIA, makan terasa tidak kenyang, tambah dengan makanan tidak berkhasiat pula.

Lima.
Selamat datang minggu-minggu akhir di UIA. Selamat graduasi buat teman yang akan tamatkan pengajian.

“Bila grad nanti mahu kerja apa? Mengajar?” Tunduk. Insya-Allah, sekiranya dapat mengelak daripada mengajar itulah yang aku mahu. Kerja mengajar tidak mudah. Aku sangat takut dapat anak murid seperti aku. \(^_^)/

Sekian, catatan budak balik kampung.
17.11.2012.
0752pm/mahang



15 November 2012

Resensi Friends Forever : Rinzuas

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.


Terima kasih rinzuas, menulis resensi di Goodreads. 
Rinzuas, pemilik blog bernama sidratul muntaha sudah menerbitkan buku sulungnya dengan JS Adiwarna bertajuk Simpan untuk Yang Halal. 



12 November 2012

TiVi

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Kredit

 adik suka tonton tivi
macam -macam cerita
daripada kisah cinta sampai berita.

minggu itu, adik ada kerja perlu dihabisi,
seminggu berkejar sana-sini
adik tidak sempat menonton tivi,
adik rasa ada tenang masuk dalam diri.

adik tidak sibuk mengikut siri drama,
adik tidak asyik kutuk sini-sana,
adik hanya dengar berita dengan telinga dan baca.
adik rasa lain.

ada bezanya malam-malam adik.
adik boleh habiskan kerja sekolah,
adik boleh tidur lebih awal,
adik boleh ke majlis ilmu.
adik senang bangun pagi.

malam itu,
adik menonton tivi,
dan esoknya,
adik susah bangun pagi!
tidak seperti semalam tanpa tivi.

TiVi,
impaknya besar sekali,
semoga adik dapat larikan diri,
daripada tivi.

kurang tivi, mata banyak melihat buku.
kurang tivi, telinga lebih mendengar
kurang tivi, terjaga hati.


adik sedang cuba ubah cara diri,
kurangkan tivi, untuk kebaikan diri.


11 November 2012

Cinta i dan cinta ii

"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

Mahu pasangan yang baik, bukan hanya mendoakan yang terbaik, tetapi berusaha mengubah diri menjadi lebih baik. Jodoh adalah rahsia yang sangat rahsia. Mendengar kisah sahabatku semalam, perihal temannya tentang pertemuan dengan bakal suami, saya terdiam walau bibir menguntum senyum. Allah janji, perempuan baik, untuk lelaki baik. Kata Prof Muhaya dalam episod Islam itu Indah, kita yang kena jadi magnet. Magnet yang kuat akan menarik benda yang berat. Kata beliau, sejak usia 15 tahun, beliau berdoa diberikan jodoh terbaik. Itu pesan ayahnya.

Cinta yang satu ini, Allah izinkan jadi nyata. Usik teman, yang buatkan saya terdiam. Tak ada anak *buku* tak boleh kahwin. Tulis untuk saham mati. Tulis sebab cinta. Aku tidak petah di pentas bicara, biarkanlah jemariku bersuara. Setiap orang lahir dengan kelebihan masing-masing.


***

cinta teragung
cinta Allah.
cintalah pemilik cinta
kamu akan miliki cinta.

****


10 November 2012

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 13] : Disapa Rindu


Baitullah. Semakin hari semakin kerap bayangannya mendatangi diri. Terasa rindunya pada satu tempat yang menjadi tempat pertemuan seluruh umat Islam kala musim haji. Baitullah yang Allah jaga sejak dibina Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Tempat ibadah. Sebelum Islam datang, masyarakat Quraisy menjadikan Kaabah tempat berhala mereka dan melakukan haji cara mereka saban tahun. Islam datang membersihkan kerosakan.

“Hantarkan aku ke rumah-Mu, ya Allah.” Sejak perasaan itu datang dalam diri, doa tidak lepas dalam diriku. Hadirkan aku ke sana ya Allah. Izinkan aku menatap Kaabah yang menjadi kiblat setiap solat dengan mataku sendiri. Tidak mampu menunaikan haji, cukuplah aku dapat ke sana untuk menunaikan umrah. Sebelum 30 tahun, insya Allah, sekiranya matinya selepas usia itu, sampaikanlah aku ke rumah-Mu ya Allah. Angin rindu melambai.

Setiap hari teringatkan Baitullah. Aku mahu menziarahi rumah-Mu yang mulia itu.

Persiapkanlah diri dengan bekalan andai benar mahu ke sana. Kumpulkan wang, giatkan usaha untuk ke sana. Bersihkan dirimu, cucilah hatimu biar kembali putih. Bersihkan jasad dan rohanimu. Allah hanya menerima orang yang dijemput ke sana.

Allah, jadikan aku sebahagian mereka yang dijemput menjadi tetamu agung-Mu. Cukuplah mulanya aku dapat menunaikan umrah ke sana. Rindu itu mengasak diri.

Kaabah! Alangkah manisnya menatap dengan wajah sendiri bangunan yang sangat Allah jaga itu. Saat tentera Abrahah mahu merosakkannya , Allah datangkan kumpulan Ababil yang melontar mereka dengan batu berapi. Allah, Yang Maha Menjaga!

Setiap tempat di sana yang mustajab doa. Allah, sampaikan aku ke sana. Justeru, mulalah menyimpan andai benar hati kuat ke sana!

Teman, doakan aku! Doakan aku sampai ke Makkah sebelum maut menjemput! Allah, semoga diri ini dalam kalangan hamba yang dijemput ke rumah-Mu.

Petang 8 November 2012, usai hujan perasaan itu makin merasuk diri. Sampaikan aku ke sana, Allah. Terasa mahu mengalir air mata teringatkan impian itu. Allah, teguhkan tekad di hati ini dan murahkan rezekiku untuk menjejak Makkah dan Madinah. Harus bekerja kuat dan banyak menulis untuk mengumpul wang. Allah, perasaan itu benar-benar berbekas dalam diri ini. Aku mahu ke Makkah sebelum aku mati! Mati rahsia terbesar yang mungkin terjadi bila-bila.

[koleksi Monolog Durrah boleh dibaca di sini]

08 November 2012

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 12] : 10 Nota

-->
SEPULUH CATATAN DURRAH NUR AQILAH
SATU
Dalam keramaian aku mengenal erti persahabatan. Mengisi relung hati nan kosong.

DUA
Mewarna luka dengan pelangi
Secarik bahagia yang aku cari,
Hilang setelah aku lari!!! 

TIGA
Ya Allah, bantulah aku dalam mencari cinta-Mu. Benarkanlah aku menghirup cangkir kasih-Mu sebelum cinta lain aku kejar. Aku mahu menjadi soerang yang hidup dan mati untuk-Mu.

EMPAT
Bila kita hilang, baharu kita ingat

LIMA
“Sahabat yang baik itu, apabila kita lihat wajahnya, ingat Allah”

ENAM
“Saya akan terbang bebas. Bebas seperti burung di angkasa capai apa yang saya mahu.”  -22 November 2011

TUJUH
“Ya Allah Engkau tahu apa dalam hatiku. Engkau lebih tahu apa yang ada dalam hatinya. Engkau menjaga hatinya. Engkau memelihara dia. Berikan dia yang terbaik.”

LAPAN.
“Dari jauh ku bisik kata ... Terima kasih atas segalanya. Allah selamatkan kamu, Insya Allah”

SEMBILAN
Simpang siur perjalanan mengajar diri berpijak pada satu jalan. Jalan yang telah dipilih. Tetapkan hati, teruskan berdoa.

SEPULUH
Setiap peristiwa ada cerita dan sesuatu yang mengajar. Jangan berhenti belajar.

Yang menulis,
Durrah Nur Aqilah.

07 November 2012

Serumpun 2 : entri dua


SERUMPUN 2 MENGGUGAH SEMANGAT.

Serumpun 2011 melabuhkan tirai tahun lepas. Alhamdulillah, Allah izinkan saya hadir SERUMPUN 2 , 2012 bersama Friends Forever, novel sulung saya dan anak angkat, Tiket Haji Menuju Tuhan yang diterjemah daripada bahasa Indonesia ke dalam bahasa Melayu terbitan PTS Islamika Sdn Bhd.

Masih saya ingat kata-kata Asma Nadia yang melekat dalam ingatan. SATU BUKU SEBELUM MATI!

Serumpun 2 saya hadir bersama teman-teman. Wafa Awla yang menemani sejak Khamis dan Amalina dan Ina Nailofar yang hadir Sabtu dan Ahad ke UIAM. Alhamdulillah, kami berkampung di Safiyyah G4.1. Malam 3 November saya dan Ina lalui bersama dengan berbaring di ruang tamu dengan mata yang sukar terlelap. Entah apa cerita yang kami sembangkan. Ina, semoga Allah permudahkan urusan kita.

Pagi 4 November kami nanti dengan perasaan teruja. Menunggu jam sembilan dengan perasaan tidak sabar. Akhirnnya mendapat tahu acara bermula jam 11.30 pagi. Berjanggut menunggu namun berbaloi melihat Ketua Pengarah DBP turun padang. Penantian satu pagi berakhir dengan penyampaian daripada para pembicara pada sebelah petangnya.

“Eh, macam kenal. Betulkah KP DBP?” Saya yang tidak tahu tentatif program menyoal diri. Setelah dimaklumlan pengacara majlis, baharulah kepastian ada.

SERUMPUN 2011 yang penyertaannya sangat memuaskan disebabkan penulis yang dipanggil sebagai pembicara tersohor seantero Nusantara. Tahun ini tidak kurang hebat pembicaranya, hanya kehadiran tahun ini tidak terlalu ramai. Bagi saya, SERUMPUN 2 tetap manis dan sangat beruntung terpilih bersama-sama komuniti Nusantara di UIAM. Jarang sekali berprogram sastera secara serius di UIAM. Boleh dikatakan SERUMPUN satu-satunya acara sastera Melayu di UIAM.

Acara sesi pagi adalah perasmian SERUMPUN 2 dan pelancaran buku ustaz Syed Alwi al-Attas dan sebuah antologi cerpen yang saya lupa pengarangnya. Kedua-dua mereka orang Indonesia, dan sebenarnya kebanyakan yang menyertai SERUMPUN adalah warga Indonesia. Ternyata mereka punya semangat luar biasa dalam penulisan berbanding orang Malaysia di UIAM. 

Usai Zohor, baharulah acara kemuncak dimulakan.

SERUMPUN 2 2012 menampilkan Pak Suratman Markasan, Puan Ummu Hani Abu Hassan, Dr Zabrina Abu Bakar, dan A. Salim Fillah.
Pak Suratman Markasan tinggal di Singapura tetapi susur galurnya masih orang Indonesia. Akh Salim A. Fillah, pemuda kelahiran 1984 ini punya banyak buku yang diterbitkan PRO-U Media, Indonesia dan ada bukunya yang diterjemah dalam bahasa Melayu oleh PTS. Beliau kelihatan sempoi dan santai, tetapi kata-katanya menusuk! Kak Ummu Hani Abu Hassan, penulis Malaysia yang banyak menghasilkan cerpen dan novel. Beliau sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Akhirnya, Dr Zabrina Abu Bakar seorang yang punya pendidikan dalam perniagaan dan perakaunan tetapi menulis cerita-cerita motivasi. Story teller, kata pengacara semasa sesi perbincangan.

Saya tangguhkan pengisian para pembentang dalam entri seterusnya. Terasa panjang pula jika menulis semuanya sekali dan masa saya dicemburui sekarang. Entri ini sekadar berbicara suasana 4 November 2012.

Acara berehat untuk solat Asar dan bersambung dengan sesi soal jawab. Acara menjadi panas dengan pengacara majlis yang sangat aktif. Semua terhibur dengan aksinya. Alright! Itu kata-kata yang selalu dia sebutkan. Saya masih ingat dia jugalah yang menjadi pengacara SERUMPUN 2011.

Selesai sesi soal jawab, semua peserta diminta menulis cerpen pendek (satu perenggan) menggunakan empat perkataan yang diberi. Bulan – Minyak – Ikan- Lidah. Wafa, teman saya cepat mengangkat tangan untuk membaca cerpennya dan mendapat sebuah novel sebagai cenderahati. Tahniah, Wafa!

Sebelum acara berakhir adalah penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan menulis cerpen SERUMPUN 2012. Dua orang pelajar Indonesia dan seorang Junior kuliah bahasa Arab memenangi acara ini. Zahra, seorang yang punya bakat besar dalam penulisan mendapat tempat pertama. Tahniah buat kamu. Semoga projekmu dipermudah!

Terlalu cepat sehari SERUMPUN melabuhkan tirai. Semoga ada acara lain rentetan SERUMPUN sebagaimana tahun lepas ada kelas menulis yang saya hadir sekali sahaja. Masanya untuk berpisah dengan tiga teman yang sudi singgah di bilik saya. Terima kasih, kalian. Jangan serik datang ke UIAM. Semoga SERUMPUN diteruskan untuk tahun-tahun mendatang dengan acara yang lebih menarik!




Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan 11] Catatan Buat Teman


Pasangan pertemuan adalah perpisahan. Atas sebab kematian, kesibukan, perpindahan tempat, tamat belajar atau apa sahaja sebab akhirnya perpisahan akan terjadi. Hanya diri harus menerima kata perpisahan itu daripada sudut positif. Belajar positif dalam semua keadaan adalah mengajar diri redha atas apa yang Allah takdirkan buat diri kita. Buang negatif, masukkan positif! Kita tidak menyerah, tetapi melihat ibrah. Teruskan menyalur doa supaya hati-hati masih bersatu walaupun jarak memisahkan kita.

Demikian kita, Sabrina. Aku di sini, dan kamu di sana. Jarak menyekat pertemuan kita yang sebelum ini senang berlangsung. Saat kita merancang pertemuan itu, ada sahaja halangan yang mungkin Dia belum izinkan pertemuan antara kita terjadi. Bukan kalimah sabar yang cuba aku ajarkan dalam diri, tetapi perkataan DOA yang kadang tertinggal daripada diri.

Peranan doa yang sangat besar dapat menghubung ikatan dua hati. Teringatkan aku, titipkanlah doa sebagaimana yang terkandung dalam doa rabitah:
(doa rabitah)

Satu doa yang dilantun setiap hari menjadi zikir penyatu hati kita. Hati aku dan kamu. Biarlah jarak jauh mana sekalipun, semoga doa-doa dalam hati kita mendekatkan, menjadikan kita lebih kuat melalui hari-hari depan yang sentiasa dirahsia warnanya.

Kehidupan yang ada pasang surut, sebenarnya dibancuh warnanya oleh diri kita sendiri. Masih ingatkah kamu, Sabrina, saat pertemuan kita suatu masa dahulu, di kedai maka tepi jalan sambil melihat orang lalu lalang kamu bicara padaku:

“Durrah, kamu lihat orang di sekeling kita.Serabut saya melihat warna kota yang sibuk dengan kerjaya seharian. Berjalan ke sana sini, mencari rezeki. Melalui kesibukan jalan raya setiap hari. Mengulang perbuatan sama, adakah mereka tidak bosan melakukannya?”

Demikian katamu suatu hari. Aku hanya tersenyum tanpa jawapan. Kamu yang suka bertanya walau dalam diri kamu ada jawapannya. Aku diam tanna jawapan sambil terus menyuap mee goreng ke dalam mulut sendiri. Lalu aku biarkan kamu yang menjawabnya.

“Selagi kita lakukan atas nama Allah, tiada kalimah BOSAN.” Jawapan ringkas kamu pada soalan sendiri.

Terpatung aku. Ternyata jawapanmu bukan apa yang ada dalam hati aku. Lalu terus merenung dalam diri aku sendiri. Perasaan bosan sering bersarang dalam diri menjadikan aku meninggalkan rutin dan beralih kepada yang aku suka. Akhirnya hari itu kamu telah menampar wajahku dengan katamu yang sebaris.

Sabrina, ajarkan aku untuk ikhlas. Teringat aku kata seorang ustaz. Lakukanlah walau kamu tidak ikhlas. Buatlah walau terpaksa, kerana ia adalah jalan-jalan yang membawa kepada ikhlas itu sendiri. Bagaimana kamu boleh merasa jika semuanya kamu tidak mahu mencuba? Setelah langkah pertama dimulakan, langkah-langkah lain mengikut jejak. Bukan hanya perhati daripada sudut tanpa berani melangkah ke dalam suasana itu. BERANI!

Maka, aku harus terus mencuba. Mendaki puncak cita-cita yang banyak sudah Allah lorongkan jalan. Sabrina, terus pimpin tanganku menuju puncak cita teragungku –redha Allah- Tiada lain yang aku mahukan dalam kehidupan ini selain itu. Ketenangan abadi apabila diri berjaya menunaikan semua yang Allah perintah, meninggalkan apa yang Allah larang, dan menjadi manusia berguna.

Ajarkanlah aku ikhlas atas semua keadaan.

Rencam warkah aku buatmu. Sekadar meluah yang terlintas dalam akal fikirku. Setelah lama jemari tidak dibiarkan menari bebas atas papan kekunci, aku senang mengutus surat ini buatmu, Sabrina. Semoga ia tidak mengganggu kehidupan harianmu.

Maaf atas segala salah silapku selama kita bersama. Percayalah, perpisahan hanya peristiwa sedang hati yang bertaut tidak mungkin terpisah. Saya sayang kamu kerana Allah.

Durrah Nur Aqilah.

05 November 2012

SERUMPUN 2012 {entri satu)


SERUMPUN 2 , 2012 berakhir pada 4 November 2012. Perkongsian gandingan Pak Suratman Markasan, Akh Salim A. Fillah, Dr Zabrina Abu Bakar dan Kak Ummu Hani Abu Hassan.

Bermula dengan pelancaran dua buah buku, perasmian oleh atase pendidikan...
kedutaan Indonesia dan ucapan Ketua Pengarah DBP. diteruskan dengan forum dan penyampaian hadiah pertandingan menulis cerpen SERUMPUN 2. Tahniah Zahra' Fajar Nina , ini pemula yang sangat baik.

Petua Pak Suratman Markasan: 3M 1B : membaca, menelaah, berfikir dan mencipta.

Pesan Akh Salim A. Fillah ketika disoal tentang media sosial: " menulis itu 3% bakat dan 97 % jangan sibuk dengan media sosial!"

Kata Dr Zabrina Abu Bakar, "saya tidak selesa menulis apa yang saya tidak buat. Menulis daripada hati!"

Bicara kak Ummu Hani Abu Hassan, "Tulisan kita boleh menjadi 'pendakwah senyap'.( Mungkin apa yang kita tulis menyentuh hati dan menjadi asbab perubahan orang lain. )

*** SERUMPUN 2012, terima kasih dihadirkan peluang bersamamu. Kata Asma Nadia dalam SERUMPUN 2011, "satu buku sebelum mati!" ---- kata akh Salim A.Fillah: Menulis itu boleh menjadi jalan dakwah.Apa yang dimulai, kesannya bertahun, dan mungkin berpuluh tahun daripada sekarang.

** MENULIS!

### Insya Allah akan dikongsi dengan entri yang lebih panjang. Laporan penuh versi Ila Husna
### kredit gambar : fb Serumpun 2012

31 October 2012

pesan buat jamilah i

peluang-peluang yang berterbangan tidak ditangkap tangan akan terlepas.
Jarang sekali peluang berulang dua kali.

 **************
berjalan jangan pernah berhenti. Kura-kura yang lambat juga sampai ke destinasi. 

***************

Pesan sir Aznan: Jadikan membaca budaya hidup. Kamu tidak membaca sekarang, alam pekerjaan juga perlu membaca.

30 October 2012

sudut di Dar Al-Hikmah

Ternyata bertemu sudut 'literature' di Perpustakaan UIAM nan agam membuahkan perasaan yang amat manis. Benarlah perpustakaan tempat paling mengasyikkan untuk melepak. Boleh bertemu sastera arab, melayu, inggeris, amerika latin, Jepun dan sastera seluruh dunia di sudut itu.

Alhamdulillah, belum terlambat mengulit sudut itu sebelum UIA saya tinggalkan nanti. Amin.

Perpustakaan empat tingkat ini terlalu mahal harganya walaupun buku bahasa melayunya sangat terhad.

* mood peperiksaan sering dikacau minat nan satu. Esok dan Khamis peperiksaan pertengahan semester.

* masih sempat mengemaskini walau masa makin cemburu untuk selalu di medan maya.

* Khamis akan ke KL Sentral jam 11-2 petang. :)



"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

29 October 2012

Sepuluh Catatan Buat November



1) 29 Oktober 2012, selamat sampai naskah Dandelion dan Trem ke Syurga. Menunggu lama sebelum membeli naskah ini. Apabila mendapat khabar naskah ini akan kehabisan stok, terus mahu membeli. Terima kasih  Dr Fahd Razy atas kirimannya. Wang akan dimasukkan kemudian, ya. Sejak 2009 saya mengumpul antologi GKLN dan hanya 3 naskah yang tiada dalam tangan. Melihat nama-nama dalam itu, sebahagiannya saya tahu tulisan mereka dalam dunia maya dan punya bakat luar biasa. Semoga Allah mengilhamkan mereka idea yang baik-baik.

2) Masih menanti kehadiran naskah Salina. Tahun lepas, setelah beberapa lama, barulah saya menghadam naskah Salina. Alhamdulillah, 2012, Salina bakal saya miliki.

3) Wafa Awla, Khamis ini ingat janji kita di KL Sentral. Ila Husna, penulis Friends Forever akan berada di KL Sentral sempena Pesta Buku Islamik 4 KL Sentral pada 1 November 2012 jam 11 pagi hingga 2 petang. (Wah, melihat jadual pada waktu itu akan ada Hilal Asyraf dan Iwan Reaz. :) )

4) 4 November 2012. Serumpun 2012 yang amat saya nantikan. Mahu bertentang mata dengan kak Ummu Hani Abu Hassan, ustaz A. Salim Fillah, dan Suratman Markasan. Hadiah buat diri sempena menjengah 24 tahun 1434 Hijri.

5) 13 November 2012, Heroes Conferences. Menjejak Sirah para Sahabat. Konferens yang menampilkan penceramah antarabangsa.

6) Mulai sekarang, tiada lagi laptop dan hanya menekan kekunci di makmal komputer. Satu peluang mengurangkan masa berada di alam maya. :) Baik untukl yang bernama Jamilah Mohd Norddin.

7) Kepada teman - teman UIA, selamat menemput separuh masa kedua semester 1 2012-2013. Ramai teman saya akan grad sem ini dan sem depan. Tahniah, kalian! Selepas ini masa berbakti di ruang sebenar.

8) Raya Aidiladha yang lalu, bertemu ustazah semasa sekolah rendah. kata ustazah, "dia memang suka menulis. Sejak sekolah rendah lagi. Dia bercakap dengan buku, bukannya bercakap dengan orang.) -sangat betul!

9) Semoga Allah mempermudahkan urusan menulis manuskrip. Deadline hujung bulan ini dan hujung Disember menanti. Buat Ina Nailofar, mari melangkah!

10) Menjadi anak bongsu, melepaskan seorang demi seorang kakak yang menjadi milik orang lain, akhrinya tinggal saya. Kata seseorang, nanti dia kena jalan seoranglah. Kepada kakak-kakakku, kalian yang banyak berkorban untuk adikmu nan seorang ini. :) Terima kasih menjadi kakak terbaik ! Perpisahan akan terjadi cepat atau lambat. Tidak mengapa jalan sendiri, sampai juga insya Allah.

****
yang menulis,
Jamilah Mohd Norddin/Ila Husna.
29 November 2012
4:11 p.m


Tajuk Paling Mendebarkan

Ayuh mulakan separuh masa kedua semester dengan niat baru!
Kelas "introduction to Mass Communication" hari ini belajar perihal buku.
Berdebar pula saya berada dalam kelas itu.
Disebut judul buku, saya tidak tahu.
Paling utama mata bulat melihat pensyarah yang mengajar sebab teruja.
Saya sangat suka apabila pensyarah melencong daripada apa yang ada dalam buku.

Semalam.
Pengalaman kedua tersekat dalam kesesakan lalulintas
8 jam lebih dalam perjalanan,
memerhati gelagat  manusia,
ada motosikal kemalangan, disebabkan kereta yang tidak beradab masuk ke laluan motosikal.
Semoga tidak apa-apa.

Berada atas jalanraya belajar perihal sikap manusia.

Kembali kehidupan normal apabila nerbook kecil sudah dikembalikan kepada pemiliknya
kembali menggunakan IBM saya yang sudah lima tahu berkhidmat.

:)

lalu ITD saya datangi selalu dan dapat kurangkan masa atas talian.

gembira.

minggu ini ada banyak acara, kuiz, assignment dan hal ehwal diri yang perlu dilangsaikan.

senyum.

paling penting mahu gembirakan diri di KL sentral pada Khamis 1 November 2012 di Pesta buku KL Sentral.

"membaca gerbang ilmu" Bukan hanya buku teks ya!


"tulisan inilah mengganti bicara. ceduk yang jernih, tinggal yang keruh" -jamilah|ila husna.

26 October 2012

catatan pagi aidiladha

Allah menerima korban terbaik daripada hamba 
Kisah Qabil dan Habil
Kisah Ibrahim dan Ismail
Kisah Hajar dan si anak kecil Ismail.

"Mereka yang suka melihat sejarah dan mencari pengajaran serta mengamalkan dalam kehidupan akan berubah"

"Zulhijjah, kemudiannya Muharam. Tentang Hijrah. "

"Jangan pernah berhenti mencari diri. "

Setiap kita melakukan pengorbanan walau dalam arena apa sekalipun. Pernahkah kau berkorban ? (letak tangan di dada dan tanya diri sendiri)

^^ Apa yang kamu nyatakan dalam perkataan, penulisan dan perlakuan, begitulah kamu mahu orang melihat kamu, dan Allah menilai semuanya termasuk yang tersimpan rapat dalam hatimu.

Bisik-bisik mengganggu akal kadang harus diketepi, doakan yang terbaik.

Belajarlah tepati janji! Berjanji semudah menjilat ais krim, cepat cairnya macam ais krim juga. Janji dilupakan, tidak ditunaikan.

^^ Buka mata luas - luas dan lihat sekelilingmu. Interaksi dan komunikasi. :)

# TAHUN KEEMPAT. Sila sedar diri!




*  raya -------> kembali ke UIA -------> peperiksaan pertengahan semester ------------> kerja rumah perlu dihantar ---------> KL sentral ------------> SERUMPUN 2 -------> kelas kembali bermula .---> deadline! 

25 October 2012

Hani, Nurolsham Saidin

Bahagia sekali mengenalimu, wahai gadis manis bernama Hani. Gadis lincah yang diuji sakit barah otak yang hanya disedari ketika barahnya parah dan kemungkinan setelah dibedah sekalipun berjaya adalah buta. Tidak mudah mendidik diri menerima ujian besar dalam kehidupan meski sekeliling mudah memberi nasihat supaya bersabar. Namun diri yang mengalami, andai tidak diteguh iman dan sokongan yang tersayang, mudah sekali ia rebah.

Membaca Hani mengingatkan aku kepada drama bersiri ini yang ditonton di TV 3.  Cuma aku suka kerana pengakhirannya berbeza dan subhanallah... kasih sayang Allah bersama setiap hamba dengan cara berbeza.

Menariknya buku ini ia turut mengulas buku Bercinta Sampai Syurga yang ditulis ustaz Hasrizal. memetik bab-bab tertentu dengan pemahaman berbeza oleh orang yang berbeza. sungguh, bagaimana tulisan itu diterima oleh individu tidak sama penerimaannya.

Saya suka buku ini, walaupun terasa sedikit kaku kala membacanya. Kisah seorang yang buta ketika berusia 17 tahun, bangkit melawan kekurangan sehingga berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. sedang kita yang celik satu juzuk belum ingat.

Kisah cinta? Bukan cerita utamanya berkisar cinta tetapi kisah Hani dan keluarga. Sokongan sahabat ketika dalam kesusahan. Peranan guru yang tidak hanya pentingkan hubungan dalam kelas.

Saya suka buku yang menyampingkan kisah cinta dan mengangkat tema lain. Cinta memang ada tetapi bukan cinta lelaki perempuan.

:) Ia rasa perasa tambahan bukan bahan utama.


24 October 2012

berfikir sebelum tekan butang "publish"

Berfikir banyak kali sebelum aku tekan butang "publish".  Tulis satu perenggan akhirnya aku padam. Tulis satu entri yang hanya tersimpan dalam "dtaft". Menulis itu perlukan hadirnya hati. Jika tidak apa yang ditulis kekal basi. (ah, berapa banyak tulisan yang ditulis hanya contengan dan luahan perasaan) Memilih aksara dan cerita untuk dikongsi boleh dikatakan kelemahan diri ini. Penulis blog ini suka benar menekan-nekan papan kekunci dan "publish" mana-mana entri yang dia rasakan mahu diterbitkan.

Wahai pemilik blog ini, pilihlah aksara untuk diterbitkan. Fikir sebelum tekan "publish".

:D

# mahu tulis ulasan Ke Pulau Sebatik I dan Hani yang usai dibaca. Sedang mengulit Lentera CInta Albaicin sebelum Aidiladha ini.

# 18 Muharam usia menginjak setahun lagi. .. Perlu ingatkan diri beberapa tarikh yang saya lupa bila ...

# Insya Allah 1 November akan ke KL Sentral memeriahkan Pesta Buku di sana. Jam 11 pagi hingga 2 petang. Menyelit selang masa kelas.

# mahu berhenti tetapi mustahil untuk aku berhenti berkawan dengan papan kekunci

# salam aidiladha.

23 October 2012

Catatan Penglipur Lara Sang Majistret

Sudah lebih sebulan saya memiliki buku ini. Saya beli disebabkan penulisnya bernama zabidi Mohamed. seorang bekas majistret yang saya suka tonton drama yang ditulis oleh beliau. Antaranya drama Hani yang paling membekas selain Makbul yang ditayang di TV 2.

Sebelum ini, beberapa kali saya menyelak halaman buku ini. Daripada beberapa komen yang saya dengar dan cakap teman saya sendiri, buku ini ada unsur humornya. Saya selak semuka, saya tinggal. Saya baca cerita belakang, saya tinggal.

22 Oktober 2012, dengan sekali pegang yang membawa saya membaca daripada muka satu sehingga muka akhir. Memang ada lucunya, tetapi di setiap cerita ada pengajarannya.

dalam catatan penglipur lara ini ada empat kisah:

  • kisah penjara pudu -sangat lucu dan ... Hm.. apa rahsia yang dibisik penguasa penjara pada pengarang ya?
  • kisah seludup beras siam - sedikit sebanyak belajar bahasa kelate yang saya tidak faham sepenuhnya dan tidak dapat membalas dengan bahasa ini.
  • kisah lucu seorang pensyarah di mahkamah - kisah seorang tabligh yang kemalangan
  • kisah di rumah SU Politik MB - kisah penulis dan tiga orang penagih di rumah SU polotik MB.
Ketawa sendirian saya sambil membelek muka ke muka buku ini. Mahu ditinggal sayang, akhirnya sampai ke muka akhir saya membeleknya.

Saya syorkan buku ini dibaca sebagai pendedahan sedikit pengalaman seorang majistret yang berkhidmat di negeri serambi Mekah. :)


21 October 2012

selepas tujuh minggu


tempat belajar lagikan dikenang
inikan pula rumah sendiri.

****

Kampung Bukit Kabu
anak rantau ini kembali
merasa dingin air sungai
lembut angin menyapa
kicau burung saban masa, 
cengkerik dan haiwan rimba
hijau melata suasana.
warnamu cintaku.

tujuh minggu di taman ilmu dan budi
kembali diri mencari diri
perjalanan tidak pernah berhenti
tertusuk diri, rebah berkali.

mata yang melihat
manakan sama diri mencari hakikat
Allah tidak melihat keputusan apa kau buat
asal usaha tidak tersekat-sekat.


teruskan mendaki tangga besar
teriring doa dan restu
kau
jangan pernah menyerah dan mengalah!

yang dipercaya 
itulah yang terlihat mata dan dipercaya
peduli kata hati
lihat manual hidup!

.2012.


20 October 2012

Betulkan Niatmu ...

Demi Dhuha!
Banyak melihat luar sehingga terlupa melihat dalam diri sama seperti kamu melukakan diri sendiri. Kamu menyakitkan diri sendiri hingga tersekat perjalanan di situ. Memandang luar hingga tidak hitung nikmat tidak terkira yang Allah berikan pada dirimu.

Pada mimpi-mimpi yang Allah hadirkan dalam dunia nyata.
Pada ceritera-ceritera angan yang kau pohon dalam doa dan Dia jadikan ia suatu realiti.
Pada pencapaian yang melebihi usaha.

Nikmat apakah yang kamu dustakan, wahai yang hanya tahu menggerakkan jemari pada papan kekunci ini?

Ada sesuatu yang sering kamu lupa setiap hari. Memulakan hari dengan niat mencari redha Allah. Niat memberi sesuatu kepada lain. Niat mahu mengubah satu keburukan dalam diri.
Niat mahu senyum dan senyum kepada orang lain.

Pekerjaan yang dimulakan dengan niat baik, insya - Allah kebaikan akan mengiringi. 

Berhenti asyik memandang orang lain. Betulkan dalam , kesannya nampak di luar.  

kata Prof Muhaya : "kalau asyik berdebar, banyak dosa!"

awal perbuatan , betulkan niat dan terus bergerak.

Ayuh , kita bekerja sebelum mati!

Meneruskan perjalanan perlukan kesabaran dan kekuatan hati. Tentunya bersama bantuan Allah. Memulakannya tidak payah. Jadi, niat di awal perjalanan itu utama.

19 October 2012

mendaki tangga , terjatuh itu biasa

Luka badan, nampak di mata, luka di hati? (kredit.)

Saat terjatuh , dan luka merah nampak di mata , spontan mata mengalir air mata. Spontan mulutnya menyebut  "alhamdulillah," agaknya ada dosa yang tidak dia sedar. Ada dosa yang mahu Allah basuh. Dia tidak sedar tangga yang sedang didakinya licin baharu sudah dimop mak cik cleaner yang rajin. Dalam air mata yang berjurai , bibir tersenyum.

"Allah, terima kasih. Jika aku tidak jatuh , aku tidak tahu apakah rasanya sakit jatuh tangga."

Perihal impian. Cita-cita. Mimpi.

Semua orang punya cita-cita. Hanya orang yang punya matlamat akan berjaya dalam hidupnya. Orang yang matlamatnya Allah, akan bekerja selaras yang Allah pinta.

Tadi usai membaca secara sambil lalu, dia mengiakan. Namun satu kenyataan hadir dalam kepala. Lebih baik meraikan semua perbezaan . Setiap orang tidak akan sama.

Si A lebihnya dalam menulis. si B lebihnya berkata-kata. Si C pintar dalam kedua-duanya. Mungkin dia banyak menulis dalam fb , blog dan di mana sahaja sebab itu kelebihan yang ada pada dia. Mungkin asbab tulisan dia ada yang mendapat manfaatnya.

Siapakah yang tahu sisi mana tulisan kita, percakapan kita, yang boleh menyentuh. Mungkin menyakitkan ...

Percayalah, sakit ketika mendaki itu perlu, asal carilah ubat pada kesakitan jatuh itu supaya akan sampai ke tingkat yang mahu dituju.

Allah, pimpin tangan kami menuju jalan kebenaran. Hidup mesti diteruskan dan cita-cita yang sedang Kau tunjukkan jalan, semoga makin terang... :)

17 October 2012

aku, mereka dan hujan


Meredah hujan mengingatkan aku pada entri Suhada tentang Hujan,
ceritera Umairah dalam blognya perihal hujan. Di blognya ada banyak kisah hujan dan saya hujan akan mengingatkan saya pada gadis pencinta hujan ini.
kak Ainunl Muaiyanah yang mencintai hujan..

Meredah hujan sendirian,
diteduh payung biru berkarat dalamnya tetapi berjasa pada tuannya,
tidak sabar aku menanti hujan reda

hujan dan air mata .. itu nyanyi Allahyarham Sudirman
Nyanyian hujan ... itu blog kak Ainunl Muaiyanah
Pencinta hujan .. itu Umairah yang aku kenal
Suka main hujan .. adakah itu aku?

menyebut perihal hujan, akal mengimbas kata-kata ustaz dalam kelas. Hujan dalam bahasa Arab ada dua perkataan (sekurangnya ada dua.. yang lain saya tidak tahu) al-mator (المطر) dan al-Ghais (الغيث)

al-mator Allah gunakan jika hujan yang Allah turunkan maknanya azab kepada kaum tertentu atau amaran. Sedang al-Ghais Allah sebut jika hujan itu bermakna hujan yang membawa kebaikan atau rezeki. Jadi , perkataan yang sesuai menterjemah kata hujan dalam bahasa arab adalah al-Ghais. Jika dahulu memang tidak tahu, dan apabila disebut hujan, yang ada dalam kepala perkataan al-Ghais.

Semoga hujan yang mencurah bulan ini menghadirkan rezeki buat kita. Menghidupkan tumbuhan, membasuh kotoran yang tidak tercuci tangan, dan menyuburkan bumi.

Sekian, cakap-cakap perihal hujan.

** seperti biasa, apabila ada peperiksaan , tangan terasa sangat gatal mahu menulis dan buat macam-macam.

16 October 2012

The Social Role of Muslim Women : Realising Your Potencial


"Perempuan itu seperti bunga pada musim luruh"

Dia mengangguk. Hari itu Allah izinkan dia menyertai satu seminar yang semua pesertanya perempuan dan pembentangnya perempuan. Kata-kata, perkongsian para panel yang sangat positif, dia mahu kongsikan di sini. Menulis kembali mengingatkan diri sendiri.

"Cari NILAI dalam diri"

Dr Fadila menyambung. Kata-katanya membuatkan mata yang walau ada ketika seakan mahu terpejam, terus menyalin kata-kata beliau. Ini kali pertama dia mendengar ucapan Dr Fadila.

"Kamu mesti melawan diri kamu sendiri"

"Orang yang bijak sentiasa nampak cantik"

"fear monster in our closet"

"Solat menjadikan dirimu lebih bersemangat"

"Kita tidak boleh mengubah apa yang berlaku, tetapi kita boleh mengubah diri sendiri"

"Hidup ada dalam kepala kamu sendiri"

"obstacles just obstacles: jump and move forward"

kata ibnu Qayyim: "Kalau seorang ada di tepi gunung, dan dia mahu mengalihkan gunung itu, dia boleh mengalihkan gunung itu"

"kamu hakim terbaik untuk diri kamu"

"periksa hati, ukur bagaimana hatimu saat ini!"

"kamu akan berjaya selagi kamu terus sujud!"

"ingat , kamu ibu! Seorang ibu akan lakukan apa sahaja demi yang tersayang"

"kita perlu ada sifat "haya' " dan bukannya "malu".

"tidak ada orang yang lemah dalam semua perkara. Akan ada bidang yang dia kuasai"

"Perlu jadi orang yang ada kemahiran dan ilmu untuk jadi agen perubahan"

Dia menyalin kata-kata Dr Fadila. Ceramah yang walaupun dalam bahasa Inggeris didengarnya sampai habis. Ada resepi yang Dr Fadila kongsikan:

RESEPI UNTUK BERUBAH.

Bahan.
-Iman
-Ilmu
-Kemahiran

Proses
-campurkan semua bahan di atas
-LIhat 'suhu' hati
-Minta pertolongan dan sokongan Allah
-Terus bergerak!

Perhatian: Ia mengambil masa dan konsentrasi tetapi teruskan!

Dia menulis sehingga tamat. Petang yang diisi sesi perkongsian dan ada tangisan para peserta ketika perkongsian. Setiap orang yang hebat ada kisah mereka. Allah melihat usaha bukan hasil.

Allah, terima kasih kenalkan dia dengan seseorang yang sangat positif!

13 October 2012

Penulisan Cerpen : Zaen Kasturi

Mari kita sambung bicara tentang pengisian panel dalam Bengkel ITBM-PENA -DBP lepas.



You write your first draft with your heart.
You rewrite it with your head.
The first key to writing is to write, not to think.
But expressing whatever you feel!
(Petikan daripada filem Finding Forrester)


Zaen Kasturi (Zainal Palit) mengajak kami berfikir sejenak, untuk apakah memasuki dunia sastera yang tidak akan menjanjikan kepopularan. Kata beliau, jika mahu terkenal, pilihlah dunia pop!

Penulis adalah satu-satunya kerjaya yang menjadikan seseorang itu makin muda. Kiranya kita bergelar artis, sudah tua, suara kita tidak lagi jadi sebutan. Orang tidak lagi mengundang kita, kerja makin berkurangan. Sedang penulisan adalah dunia yang tidak mengenal usia.

"MENULIS ITU NIKMAT YANG TIDAK TERUCAP'

Panduan Edgar Allan Poe tentang cerpen:

  • cerpen harus pendek
  • cerpen mengalir dalam arus untuk mendapatkan kesan tunggal dan unik
  • cerpen harus padat
  • cerpen harus meyakinkan pembaca bahawa ia benar-benar terjadi dan bukan rekaan
  • cerpen ada penamat.


Ketika disoal berapakah panjang sebuah cerpen, jawapan beliau menarik :

"sekali menghadap secawan kopi" atau "beratur membeli tiket wayang"

Jawapan beliau subjektif. Minum kopi boleh sahaja sekejap, mungkin lama. Beratur membeli tiket wayang, jika barisnya pendek, cepat, jika barisnya panjang, lama. Panjang pendek bolehlah dikata sekitar 10-15 muka.

Dalam sesebuah cerpen yang ditulis, perkara yang mesti ada adalah inti/tema/plot. Harus diingat plot itu bukan jalan cerita. Ya, sejak sekolah menengah sudah mempelajari tentang ini, masih kadang keliru plot dan jalan cerita.

Jika kita ibaratkan cerpen itu sebagai sebuah rumah, tema adalah tapak untuk membina rumah.

perihal plot pula, Zaen Kasturi memberi contoh begini :

Raja mangkat (ini alur cerita)
Raja mangkat kerana gering (ini PLOT) -dalam plot mesti ada sebab dan akibat.

Tentang watak pula, kata Zaen Kasturi, watak yang menggerakkan cerita. Semakin kurang campur tangan penulis dalam sesebuah cerpen, makin baik karya itu. Kita tidak perlu menulis, watak ini sedang buat ini, berkata itu, tetapi biarkan dialog dan watak yang bercerita dan bergerak sendiri. Dalam watak harus ada dua elemen, perawakan dan pemikiran.  Perawakan itu fizikal yang kita nampak, dan pemikiran digambarkan melalui bahasa yang digunakan dan perlambangan yang sesuai dengan watak.

Dalam cerpen ada pembohongan yang BOLEH DIGUNAKAN! Apa itu pembohongan dalam cerpen?


  • Realiti : Gadis itu cantik
  • Assumsi: Gadis itu cantik sebab bersolek
  • Fallasi :Gadis itu cantik sebab dia suka membasuh pinggan.
Dua elemen ini MESTI ada dalam sesebuah cerpen:
  • Humanisme - kemanusiaan
  • Teosentrik - Berbalik kepada Tuhan Yang Satu
Kita terlalu kagum kepada dunia luar. Sebagai contoh kita terlalu kagum kepada kapal selam yang dicipta barat tetapi tidak kagum pada kisah Raja Suran.

Beliau seorang yang menekankan RASA dalam cerita. 

Idea sebagai stesen bas. Ke mana pun bas dipandu akhirnya akan kembali kepada stesen yang sama. 

Dalam penulisan tiada istilah lambat atau tidak. Paling penting memulakan.

Nasihat berharga beliau, bacalah karya lama. 

Bagaimana mahu mulakan cerita? Mulakan dengan dialog atau kejutan. Kata beliau permulaan yang baik akan membawa pembaca ke titik akhir cerita.



## Nanti saya sambungkan dengan perkongsian SN Dr Anwar Ridhwan.