21 December 2011

Aksara berbicara...

Hati yang tertinggal jauh.
Prosedur. Saya tidak tahu tepat atau tidak perkataan yang terfikir kala ini. Ketika mahu menggosok baju untuk ke kelas pagi tadi, saya terfikir bahawa untuk mencapai apa sahaja kita perlu membuat langkah demi langkah. Bergerak daripada satu takah ke takah lain. Pencapaian tidak hadir sendiri tanpa ada usaha yang digerakkan bersama.Contohnya untuk lulus peperiksaan perlu baca buku. Ada perasaan berat membaca buku (baca: buku pelajaran dan bukannya buku fiksyen yang tiada kaitan langsug dengan pelajaran) yang banyak dalam diri. Apabila tidak faham apa yang dibaca, saya hanya membaca aksara arab yang tercatat dalam buku dan tidak mencapai zuuq yang sepatutnya ada pada seseorang yang sedang menelaah. Bagaimanakah agaknya ulama zaman silam belajar dan membaca hingga akhirnya mereka menghasilkan banyak pengetahuan yang dikongsi pula lewat penulisan mereka. Sedangkan saya, masih berlegar tulisan pada perkara yang sama.

Setiap subjek punya kaedah (cara) yang tersendiri oleh pensyarahnya. Ada yang berorientasi peperiksaan semata, ada yang mahu kita menghafal supaya syair yang dipelajari ada di luar kepala dan bermain di bibir, ada yang mengamanahkan untuk menghafal zikir-zikir dan hizib sebagai pendinding diri, ada yang meminta supaya dibuat kertas kerja... Setiap pensyarah punya uslub dan cara mereka yang tersendiri.

Membantah. Dalam diam dan senyapnya saya dalam kelas mengikut setiap pembelajaran dan kadang ‘tuang’ kelas kelas, ada pemberontakan berlaku dalam diri. Pemberontakan dalam diam yang saya tidak leraikan dengan bertemu muka dengan pensyarah berkenaan. Akhirnya perkara yang pada awalnya kecil menjadi besar dan makin besar. Basi. Terpendam dan buatkan jiwa jadi suram. Semuanya makin hari makin besar menjadi pemberontakan yang makin bermaharajalela dalam diri sendiri. Pertarungan jasad dan jiwa yang enggan bekerjasama. Penakut!

Saya suka membuat mengikut hati. Apa yang saya mahu lakukan saya ikut, jika tidak saya buat apa yang saya mahu sahaja. Kasihan pensyarah, kasihan lagi diri yang membuat masalah. Keikhlasan pensyarah menabur ilmu dibalas dengan perbuatan tidak wajar seorang pelajar.

Ustaz Asfandyar. Beliau seorang pensyarah yang sangat baik selama saya kenal. Saya malu kini dengan dirinya setelah beribu masalah yang saya buat selama satu semester saya bersamanya. Boleh dihitung jari berapa kelas yang saya hadir. Akhirnya, beliau tetap membenarkan saya mengambil peperiksaan dengan markah yang tidak sepatutnya saya terima. Ya Allah, berkatilah kehidupan pensyarah yang sangat baik ini.

Ustazah Nadwah. Dalam kelas beliau sangat tegas. Saya selalu tidak berani angkat muka kala kelas beliau. Namun perlu melihat wajah beliau juga supaya tidak dikata menerawang fikiran ke tempat lain. Sering berdebar setiap kali kelas bayan. Khuatir ditanya soalan demi soalan yang saya sering gagal untuk menjawabnya. Kelas ini juga sering saya ponteng kerana ketakutan untuk masuk kelas –bimbang disoal-. Akhirnya ketika saya sudah mendapat persetujuan untuk menukar ke fakulti lain, saya dipanggil beliau kerana terlalu banyak ponteng. Pertemuan bersama tangisan yang akhirnya membuatkan saya menukar kembali keputusan yang diambil. Ternyata beliau seperti kakak jika bersemuka sendiri dengan beliau.. Sangat baik!!!!

Doktor Rahmah. Pensyarah Jahili yang sangat bertenaga ketika beliau mengajar. Saya sangat menggemari cara beliau mengajar dan cuba memahamkan pelajar terhadap pelajaran yang belaiu ajar. Memang syair jahili asing bagi kami pelajar melayu dan perlukan pemahaman yang lebih. Doktor dengan bermurah hati menerangkan dalam bahasa Melayu. Akhirnya saya terperangkap dengan semua penerangan dan ceritanya tanpa dapat diolah kembali ke dalam bahasa Arab. Kelas yang membuat dada berdebar setiap kali melangkah ke kelas beliau kerana sering disoal tentang apa yang sudah dipelajari.

Selama tiga tahun saya di taman ilmu dan budi, bermacam masalah dicipta hanya kerana masalah diri yang tidak selesai. Saya seakan lupa diri ayah menunggu saya pulang dengan segulung ijazah. Kakak-kakak tentu mengharapkan adiknya pulang dengan sebuah kejayaan.. Saya hampir masuk gaung banyak kali. Saya hampir terbakar kerana perbuatan diri sendiri. Saya hampir tenggelam kerana saya sedar namun tidak peduli air sungai yang dalam. Ya Allah, terima kasih menghadirkan pensyarah-pensyarah yang baik, sahabat, teman, rafik, kawan dan insan-insan di sisi yang tidak penat membangunkan saya daripada lena. Mereka yang sentiasa cuba menyedarkan yang saya ada tugas bukan hanya duduk di meja dan menulis apa sahaja. Ya Allah, berikan kebahagiaan, kemudahan pada segala urusan mereka, keredhaan, ketenangan hati, sebagaimana yang mereka lakukan kepada saya... Sesungguhnya benarlah Allah memberi kembali apa yang diberi. Kita dapat sesuai dengan keadaan kita.

Ditahan PTPTN hanya juzuk kecil daripada masalah orang lain yang lebih besar. Dibarred peperiksaan kerana kesalahan sendiri. Gagal demi kegagalan kerana tidak belajar. Apa sahaja yang berlaku bersamanya pelajaran... Apa yang terjadi kepada diri saya dan saya kongsikan lewat penulisan ini hanya sebagai ingatan untuk diri bahawa peluang senantiasa terbuka.

Beranikan diri! Dua kalimah yang akhirnya hanya bergaung dalam diri. Takut dengan diri sendiri dan kecut menghadapi kenyataan. Teman, kalian yang membaca, usah menjadi seperti diri ini yang berani bermain aksara namun tidak pantas bersemuka di alam nyata. Penulisan saya yang dikenal seakan-akan seorang yang banyak bicara mungkin tidak kalian temukan di dunia luar. Manusia kecil yang berada di bumi nan luas ini. Seorang manusia yang masih bertatih melawan perasaan dan mencuci karat yang tebal dalam diri sendiri. Seorang insan yang sering lupa apa yang pernah terjadi dalam hidup adalah untuk dipelajari dan diambil pengajaran. Seorang perempuan pemalu yang berani bermain dengan kata-kata dan bersemuka di alam maya namun tunduk rapat dan meminggir di luar. Dia hanya gadis kecil... (apakah kaitan penutup ini dengan tulisan saya di atas, ya?) 

*kredit gambar: deviantart.

No comments: