31 December 2011

Sorotan 2011

Biru langit awal pagi.

SEMESTER 2 2010/2011
  • Pengakhiran semester yang kalut dengan masalah-masalah yang dicipta.
  • Kepontengan yang melampau,
  • dibarred daripada peperiksaan,
  • mahu menukar kursus lain, akhirnya mendapat kaunseling percuma yang memadamkan hasrat. 
  • Semester yang menguji dan memperlihatkan teman sejati. 

SEMESTER PENDEK –semester 3 2010/2011.
  • Semester pendek termanis.
  • Berpetang-petang di Sungai Pisang
  • Pengalaman manis di Hutan Lipur Khancing.
  • Bersantai di Taman Tasik Titiwangsa.
  • Ke rumah Ainul di Butterworth buat kali ketiga...
  • Temanku –Rokiah- menjadi isteri orang.
  • Kakakku keempat menamatkan zaman bujang. Alhamdulillah.
SEMESTER 1 2011/2012.
  • Allah, Segala pujian dikembalikan kepada-Mu atas segala kemudahan.
  • Tahun ketiga di Taman Ilmu dan Budi, masih level 2. Perlahan-lahan kayuh perahu untuk sampai seberang.
  • Paling kurang pulang ke kampung. Pulang hanya ketika cuti panjang.. Sehingga kawan berkata: “Bukankah Jamilah selalu balik kampung. Semester ni kurang...” Senyum tidak perlu kata apa-apa.
  • Semester tanpa pinjaman PTPTN. Alhamdulillah, sokongan keluarga, pertolongan kawan yang banyak membantu. Terima kasih kalian. Allah pasti membalasnya dengan lebih baik.
  • Lawatan balas ke rumah Marziah Mohamad Saad di Cheras setelah beliau mengunjungi saya di Taman Ilmu dan Budi.
  • Anak saudara kelima dilahirkan.
  • Menyertai SERUMPUN anjuran Forum Tarbiyah IIUM yang menghimpunkan sisw siswi nusantara (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand) yang meminati dunia sastera. (bertemu Asma Nadia, Helvy Tiana Rossa, dan Habiburrahman El-Shirazy)
  • Friends Forever siap diterbitkan. Seakan-akan sebuah mimpi apabila hasrat menjadi penulis pada 2011 Allah berikan. Terima kasih atas doa semua.
  • Satu-satunya karya di media massa ialah Kendi Ilmu yang tersiar di Varsiti –Sisipan berita harian Khamis pada 24 November – 30 November 2011.
  • Berpeluang menyertai Perhimpunan Penulis Muda Nasional kali ke-3 2011. {Ina, kembalilah berpuisi di media massa. Hihi, kata pada orang, diri sendiri belum berani)
  • Usiaku menurut tahun Islam (Muharam 1433) mencecah 23 tahun. Makin muda saya.... 23 tahun.... 23 tahun... 23 tahun.. Masih keanak-anakan.
  • Ya Allah, aku bersyukur atas segala kurnia. Berikan yang paling baik kepada mereka yang banyak berjasa kepadaku. Berikan kebahagiaan kepada yang memberi senyuman termanis kepadaku. Berikan kemudahan atas segala urusan mereka. Aku sayangkan mereka kerana-Mu ya Allah. Sesungguhnya hanya Allah Tahu yang terbaik buatku dan semua hamba-Mu.

Impian

Dapatkah dikejar pelangi?
Mengejar pelangi,
Bertemu ilusi.

Henti.
Paling seketika,
Mula langkah baru.

Contengan 40 Jamilah: Contengan 12

Hujan bawa rezeki


Allah turunkan hujan untuk memberi rezeki
Hujan renyai atau lebat,
pasti akan berhenti.



Doa ketika hujan turun. terima kasih hanis zikri.


30 December 2011

Gelas Peribadi

Gelas perlu baik, tidak sumbing ketika diminum.
Retak gelas budi,
 Rosak peribadi,
Tercalar maruah diri,
Agama disisih tepi,
Apakah akhirnya nanti?
lu'luah nur jamilah.
30 Disember 2011. 






Bohonglah!

Tulis yang baik sahaja, wahai diri!
Tulisan  berbicara,
 terpejam mata,
Hilang suara,
pekak telinga.

 riuh
sunyi,
Padanya ada bicara.
Membangkit rasa di jiwa


Tulisan terlahir di hati,
Menusuk qalbi. 

**************
Satu pembohongan yang dibuat akan membawa kepada pembohongan yang seterusnya. (angguk kepala) Betul! Setuju 180 peratus. Saya terbaca status ini dalam fb Aisyah Yazid. 

Sekali berbohong, walaupun kepada diri sendiri, mudah sekali untuk membuat pembohongan kedua dan seterusnya. Boleh berkata begini sebab pernah lakukan! Sekali saya bohong dengan diri, saya tidak teragak-agak untuk bohong dan bohong lagi. Tidak kiralah dalam apa jua hal.
Mungkin perlu berbohong untuk beri semangat pada diri, untuk mengelakkan rasa hati. 

Rasulullah yang tidak pernah sekali berbohong! Seorang sahabat yang berjanji untuk bercakap benar akhirnya berubah menjadi baik!
Bohong! Sekali buat pasti buat lagi.

Begitu juga dalam tulisan. Apabila membaca kembali, inikah yang saya tulis? Saya sedang berbohong dengan tulisan???
Allah, janganlah tulisan saya menjerumuskan saya kepada kefasadan.

Ingat! Pada tulisan ada saham!
amin.
D-4-4-A

Contengan 40 Jamilah: Contengan 11




Terbang bebaslah...
Capai awan cita-citamu...

29 December 2011

Contengan 40 Jamilah: Contengan 10

Terangi hati kami, ya Allah.


"Ya Allah, terangi hati kami dengan cahayamu. 
Jangan dipalingkan hati ini setelah diluruskan ia ke jalan yang benar. 
Temukanlah hati-hati ini dalam keadaan yang lebih baik. 
Satukanlah hati-hati kami dengan nama-Mu...
Berikan yang terbaik buat insan yang saya sayangi.. 
Lindungi mereka, jagalah mereka...
Amin."

28 December 2011

Penulis Wanita .. Nisah Haron.

Pena boleh setajam mata pedang, membunuh kebatilan!
Dalam negara kita, penulis wanita yang serius menulis tidak seramai kelibat penulis lelaki. Nassury Ibrahim, seorang penulis yang ditemui ketika Perhimpunan Penulis Muda yang lalu berkata kepada saya, penulis wanita jarang yang terus menulis secara konsisten.

Tidak dapat ditidakkan ramai lagi penulis wanita yang tekal menulis walaupun  sudah berumahtangga dan terikat dengan tanggungjawab.. Wanita sekarang serba boleh!

Biar saya kenalkan penulis yang saya kenal secara peribadi (walaupun mungkin tidak pernah bertemu, tetapi yang saya tahu mereka tekal menulis.)



Nisah Haron.
Beliau penulis pertama yang saya jumpa di alam realiti ketika mengikuti perkampungan penulis muda 2005 anjuran Kementerian Pelajaran. Blog beliau, Nisah Haron Online memaparkan bukan hanya karya beliau, namun motivasi buat para penulis, kembara beliau di tanah UK dan banyak lagi yang boleh dikutip.

Antara buku, kumpulan cerpen dan buku bukan fiksyen yang ditulis oleh Nisah Haron. (sumber: blog bisah haron)
  • Lading Masih Di Tangan (Galeri Melora; 1998)
  • Impian Tsu-Ryi (Pustaka Nusa; 2002)
  • Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (Ujana Ilmu; 2006)
  • Rindu Seorang Rafik (Al-Ameen Serve, 2011)
  • Mencari Locus Standi (Utusan Publications; 2004)
  • Farris Putera Yang Hilang (MEP Education Consult, 2005)
  • Puisi Untuk Esdyzuar (Al-Ameen Serve, 2007)
  • Tawarikh Cinta (Utusan Publications; 2008)
  • Lentera Mustika (PTS Litera Utama, 2009)
  • Kawan Baru Hanani (Siri Hanani & Semberani #1)
  • Karya Kita Hak Kita - Panduan Hak Cipta (Al-Ameen Serve, 2007)
  • Bagaimana Saya Menulis : Proses Penciptaan Cerpen (DBP, 2011)- Penyelenggara : Dr. Mawar Shafei dan Nisah Haron
...bersambung dengan penulis lain pula.

Singgah Menukil Kata...

Bilik yang berselerak. :p

Kamar ini saksi,
kebangkitan,
Kejatuhan seorang diri,
Tempang capiknya meniti hari.

Usang sudah kini,
Anai-anai menjamah saban hari,
 Dlihat pada dinding dan kekisi,
Petanda pemilik kamar menghampiri mati,

kamar  tempat bersendiri,
 ilham bermain dengan diri,
Lalu terlontar kata demi kata,
Lalu berubah menjadi bicara,
Dikongsi bersama.

  kamar pencatat seribu cerita,
Seorang anak desa. 
***
Saya salin daripada Suara Hati, tulisan pendek koleksi buat diri sendiri. Rindunya untuk kembali ke kamar itu... Walau makin dimakan anai-anai, itulah tempatnya 22 tahun saya hidup. Di situlah menyaksikan jatuh bangun, rajin malas, tangis ketawa seorang Jamilah.. Tempat kami adik-beradik melepaskan lelah...

Bilik yang makin sunyi dan hanya digunakan ketika saya pulang ke kampung. Suram... 

Rindunya untuk pulang.. Ada sembilan hari cuti setelah peperiksaan kertas pertama Jumaat ini.. Sembilan hari yang boleh jadi lama dan boleh jadi sekejap. =D

Allah, jagalah kawan-kawan saya.
Allah, kuatkan hati mereka dengan segala yang melanda.
Allah, hanya ENgkau yang menjaga mereka...


Contengan 40 Jamilah: Contengan 9

stop crying!


"Allah Lebih Tahu yang paling baik. Allah Maha Tahu yang terbaik! Kuat dan tidak boleh menangis!"

27 December 2011

Kini Saya Tahu.

He always give the best!
Diri, harus percaya bahawa setiap yang terjadi pada kamu adalah yang terbaik. Allah akan memberi yang terbaik kepada hamba-Nya. Hanya hamba itu yang sering tidak ingat untuk bersyukur dengan segala kurniaan yang Allah berikan.

Daripada jauh memerhati, belum ada kekuatan untuk saya mendekat. Saya membiarkan semuanya. Saya diam, dan kami saling diam. Terima kasih atas semua perkhabaran yang sampai kepada saya. Saya terasa makin kerdil lagi kecil.

Saya tidak pernah merasa kesakitan dan kesusahan melebihi yang dirasa orang lain. Mungkin kerana sering senang, saya terlupa yang ada titik hitam dalam kehidupan seorang hamba. Ketika perasaan itu datang, saya jadi kaku.

Kaku.

Diam.

Saya biarkan semuanya berlalu.

Allah, saya tahu dan sedar semua yang terjadi itulah yang terbaik.
Terima kasih ya Allah.... Saya malu dengan kebaikan semua orang... :(

Contengan 40 Jamilah: Contengan 8


Hati kotor itu sucikanlah.


" Allah. Kata hati diuji, hanya Engkau memberi suka di hati. Tenangkan hati ini ya Allah. Berikan kekuatan kepada aku ya Allah. Hati ini rapuh benar. Cepat pecah. Berikan aku ketenangan hati, ya Allah, agar mudah menerima semuanya."

Rojak

main hujan
Kosong.
Pandang,
Tulis,
Padam.

Kosong.
Lihat,
Diam.
Diam.

Kosong.
Selerakan kertas merata.

Kosong.
Carilah Allah.
Tataplah al-Quran.

26 December 2011

Saat Akhir.



Minggu ini bermulanya peperiksaan bagi pelajar taman ilmu dan budi. Fenomena menjelang peperiksaan: ke mana-mana dengan buku, maktabah dibanjiri pelajar, keadaan kampus makin terasa sunyi...

Kali pertama peperiksaan akan berakhir pada hari akhir peperiksaan. Sebahagian markah yang akan dibawa ke peperiksaan akhir sudah diketahui namun saya hanya melihat tanpa sebarang rasa.

Kata orang ketika hatimu sudah terlalu gelap, payah sangat ilmu mahu meresap dalam diri. Mahu baca buku terasa malas. Beruntung mereka yang punya hati yang jernih dan sentiasa membersihkan hatinya... Senang faham belajar.

Saya tidak berhajat melakukan apa-apa setelah tamat peperiksaan kelak. Hanya mahu pulang ke kampung memandangkan semester ini saya menghadkan kepulangan saya. Hanya beberapa kali saya pulang sedangkan sebelum ini, saya agak kerap pulang walaupun hanya untuk dua hari. Saya tidak sabar mahu pulang! Almari di ruang tamu menanti saya !

Saat akhir begini sebenarnya selalu mengundang resah dan debar. Saya tidak tahu apa yang terjadi esok, namun saya percaya Allah hanya memberi yang terbaik!

Kepada teman dan sahabat, selamat menduduki peperiksaan akhir dengan tenang. Pasti Allah akan memberikan yang terbaik kerana kalian mutiara terpilih yang berada di sini... Taman Ilmu dan Budi.

Allah hu Allah...

Contengan 40 Jamilah: Contengan 7

luv Allah


" Allah. Dia mengetahui segala isi hati. Dia memakbulkan semua doa. Dia pemilik setiap hati. Allah pemilik hatiku, tetapkanlah ia di atas jalan lurus dan benar." -lu'luah nur jamilah

25 December 2011

Di Sebalik Ila Husna.

Gambar Hiasan. :("_____________________")
"Mengapa letakkan nama Ila Husna?"

"Oh, ambil sempena nama kakak ya."

Beberapa malam lepas, seseorang bertanya apakah di sebalik nama Ila Husna yang tertera di kulit Friends Forever. 

Kata saya: "Saya minat dengan watak Ayatul Husna dalam Ketika Cinta Bertasbih." Tidak jujur. Ia bukan jawapan sebenar, hanya sebab sampingan daripada sebab sebenar saya memilih nama tersebut.

Saya mahu tuliskan sebab sebenar saya memilih Ila Husna. 

"Kawan, sebenarnya nama Ila Husna itu gabungan nama Jamilah dan Zulhusni. Seorang sahabat yang saya temukan satu dan beratus orang yang saya kenal. Seorang yang banyak bersabar dengan sikap saya. Saya hargai dan rindu persahabatan yang pernah mekar. Saya mendoakan semuanya akan kembali tenang suatu hari nanti. Menyebut Ila Husna mengingatkan saya kepadanya. Saya abadikan namanya di sini. :)"

Kak Husni, maafkan saya tidak memaklumkan yang saya meminjam namamu. Husni itu daripada nama Zulhusni. 

Wassalam... Saya tuliskan di sini, kelak apa-apa terjadi, orang tahu sebab sebenar saya memilih nama tersebut. 

:)

Terima kasih menjadi sahabat terbaik untuk saya. =]

Contengan 40 Jamilah: Contengan 6

Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran semuanya.


" Apakah yang dikejar sebenarnya? Kesenangan nan sementara? Permudahkanlah urusanku mendekati-Mu, ya Allah... Selalu diri melupakan kalam-Mu yang setia berbicara kala resah dan menjawab persoalan. Peneman ketika sunyi. Allah. Tunjukkan aku jalan pulang!" -Lu'luah Nur Jamilah

24 December 2011

Perbualan 23 Disember.

A, malam itu kita berkongsi kisah.

Malam ini bertempat di Edu Square diadakan jamuan makan malam bersama-sama ustaz Adli dan keluarga dan pelajar yang mengambil subjek Rhetoric dan History of Arabic. Mulanya saya sudah sampai ke tempat kejadian namun melencong ke arah lain. Akhirnya saya kembali ke tempat kejadian dan mendengar beberapa buah syair dibacakan oleh pelajar dan taujihat daripada ustaz. Ustaz turut membacakan dua buah syair. Acara tamat dengan sesi menangkap gambar.

Perjalanan pulang, seseorang menegur saya di hadapan bilik tivi 2 Safiyyah. Seorang teman sekelas Jahili.


“bla. bla. bla.”

Dia yang saya namakan sebagai A bertanya soalan kepada saya. Lalu berlanjutan perbualan pertama kami hingga melewati jam satu pagi setelah berbulan-bulan bersama dalam kelas yang sama.

Menyorot kembali ingatan ke semester lepas ketika saya mengambil keputusan untuk menukar jurusan lain hingga akhirnya saya menarik semula keputusan itu. Ya Allah, sesungguhnya bukan hanya saya yang punya perasaan itu. Masih ramai di luar sana yang punya dan mengambil keputusan itu. Malah ada yang sudah berada dalam jabatan baru. Allah tidak mengizinkan saya mengambil langkah itu dan saya pasrahn kini. Rezeki dan tempat saya dalam bahasa Arab walaupun saya hampu mampu merangkak dan mungkin berbaring untuk meneruskan perjalanan dalam jabatan bahasa Arab dan Kesusasteraan. Perjalanan panjang... sangat panjang dan saya tidak tahu titik tamatnya. 2013? Ia satu impian...

A berkata yang dia sudah menghantar permohonan untuk menukar ke jabatan lain. Saya tidak tahu berkata apa-apa kerana saya pernah bertindak demikian. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuknya. Semoga apa sahaja keputusan yang dia dapat memberi kepuasan buat dirinya. Amin.

Lalu, terbuka juga cerita itu ini yang terlekat dalam ingatan. Membawa kepada sebuah renungan panjang akan perjalanan empat tahun lebih sebagai pelajar bahasa Arab.

Apakah sebenarnya yang saya dapat selama menjadi pelajar bahasa Arab? Mendengar kisahnya tahulah saya yang masalah saya selama ini yang saya reka dan lakukan yang secebis daripada apa yang dirasakan oleh orang lain. Banyaknya pertolongan Allah selama saya belajar bahasa Arab memang saya tidak dapat nafikan. Saya tidak dapat tidakkan. Dalam peperiksaan, kertas kerja atau apa sahaja yang berkaitan. Terasa payah mana sekalipun ada jalan yang melorongkan. Diri yang malas mencari jalan keluar.

Bagi orang lain duapuluh markah sangat banyak namun saya sudah tiada rasa tentang itu semua. Saya sudah tidak ambil kisah berapa banyak markah yang ada sekarang dan akan dibawa ke peperiksaan akhir. Saya tidak peduli akan sedikit atau banyak markah kerja kursus yang dibuat. Biarlah.

Kata A, dan mungkin mereka yang melihat tidak percaya manusia ini buat masalah itu dan ini.

Kata A lagi, “Macam tidak percaya kamu buat masalah. Bagaimana kamu boleh nampak tabah?”

Pesan saya, elakkan membuat masalah kerana diri kamu tidak rasa apa-apa lagi untuk melakukan kesalahan kedua jika kesalahan pertama sudah dilakukan.

Lari daripada masalah. Ia bukan satu penyelesaian yang terbaik. Awal semester saya berjaya –mungkin- cuba berdepan dengan apa yang terjadi depan mata namun akhirnya saya hanyut di saat akhir. Ternyata arusnya deras hingga saya lemas sendiri. Lemas dalam lautan rasa. Ombak perasaan menghempas pantai hati.

Beberapa hari sebelum peperiksaan akhir. Saya perlu tahan telinga, tahan mata, tahan hati dengan apa sahaja yang akan dihadapi. Memang saya cuba untuk tidak bertemu dengan mana-mana rakan sekelas yang boleh dielakkan. Saya tahu apa yang A rasakan kerana berkongsi perasaan yang sama. Cuma saya terkejut apabila bukan saya seorang yang mencipta masalah itu... Saya masih terkejut dengan beberapa berita yang dia bawa!

Ya Allah, betapa banyaknya pertolonganmu selama aku menjadi pelajar bahasa Arab. Semester depan, bagaimana? Adakah sinar untuk saya terus berada di sini? Sayalah yang perlu menyalakan obornya jika tidak mahu jamung bahasa yang saya bawa menerangi hari terpadam. Ya Allah, kau permudahkanlah segala urusan sahabat-sahabat, teman-teman dan kawan-kawanku. Berikan kepada mereka yang TERBAIK.

Amin.

Contengan 40 Jamilah: Contengan 5

Kata ustaz Adli: hanya orang ada semangat boleh berjaya!

"Pugarkan semangat yang pudar. Segarkan jasad nan layu. Suburkan rohani yang mati. Perlu kamu tahu, harus kamu sedar, Tiada istilah terlambat, tiada kata terlewat. Hanya terus melangkah, satu demi satu, jihatmu... ALLAH. Jatuh, tersungkur, luka, derita... Biar semuanya jadi cerita. Asal matinya kamu kala tiba masa. ALLAH, lorongkanlah diri ke jalan yang benar." Lu'luah Nur Jamilah

23 December 2011

Catatan Redup Jumaat Akhir Disember

...


Berdiri di daerah ini.
Biar tertoreh jasad berulang kali,
Biar kering air mata bertangki-tangki
Biar darah kering pucat lesi.

Daerah ini mengajarkan aku erti persahabatan
Makna pemberian


Jangan kau percaya pada bisikan syaitan
Yang membisikkan pada kamu,
Jatuhlah!
Putus asalah!
Kerana
Aku ada Allah....

Sesungguhnya perancangan Allah terbaik.
Hanya tinggal aku usahakan!

15-10-2010
Qamar Cinta 1-1
IIUM.

***
Tulisan ini saya tuliskan tahun lalu. Apabila dibaca kembali hari ini, ia seakan mentertawakan kembali penulisnya. Saya tahu menulis, sedangkan hakikatnya pengecut yang tidak berani bertindak di alam nyata. Tulisan kekuatan bagi saya yang gagal saya jelmakan dengan perbuatan. Apabila membaca kembali tulisan lepas, saya sering ketawa sendiri. Kadang menangis dan air mata berjurai tanpa sedar dengan apa yang sebenarnya pernah saya katakan dan berulang saya tuliskan namun akhirnya ia sebuah kata-kata dan tulisan kosong.

Mungkin kerana itu saya sering terfikir untuk berhenti. Namun adakah dengan berhenti dapat menyelesaikan masalah atau hanya bakal menambah gundah? Semakin saya berkata saya mahu berhenti menulis, godaan untuk menulis makin kuat. Ada sahaja bisikan yang membuatkan akhirnya saya terhenti di depan komputer riba dan menulis satu demi satu ayat yang menjadi sebuah catatan.

***
Wahai diri,
Mengapa gusar di hati juga masih kau bimbangkan,
Sedang manakah pengharapanmu pada Allah yang sentiasa memerhatikan,
Getar di dada mana bisa dihilangkan,
Andai percaya takdir Allah itu kau padamkan.

Benar tidak semua kau mahu dapat dalam tangan,
Lantaran bukan semua kau mampu diri tanggungkan.

Mu'minah itu sentiasa dambakan redha Allah,
Biar pahit benar mahu ditelan,
Bersyukur pada kurnia,
Bersabar pada dugaan.

Sedang diri percayanya belum sepenuh jiwa,
Ragu bertandang saat jiwa dibelai syaitan durjana,
Membuatkan diri rebah tidak berdaya,
Bagaimana dilalui hari tanpa rasa.

Diri,
Ingatkan selalu jiwa untuk tidak mati sebelum mati,
Sediakan diri supaya terus sabar meniti hari,
Percaya kemampuan Allah beri,
Sedang Allah duga mengikut kadar peribadi.

Siapakah yang hanya dibiarkan berkata,
"Aku sudah beriman,"
Sedang belum diuji takah manakah iman,

Bukan soal jatuh perlu kamu bimbangkan,
Tetapi,
Kebangkitan setelah kegagalan perlu kau pertahankan.

Bagaimana mahu dijawab depan Allah kelak,
Andai terus kau tenggelam pada sebuah kesedihan sementara,
Tidak bersyukurkah pada sebuah kurnia?

Allah berikan padamu,
Sekadar kamu mampu.

Percayalah!
***
Mengambil mudah semua benda ternyata mematikan diri.
Wassalam.
Sekadar contengan yang tidak ada arah...

Contengan 40 Jamilah: Contengan 4

Hidup tidak hanya hitam putih.

"Ya Allah, berikan aku ketetapan hati melalui seluruh kehidupan tenang dan damai. Percayalah setiap sela kehidupan ada rantaian ujian, ribuan halangan. Laluilah ia dengan satu kepercayaan: “Allah memberi kamu kekuatan.” Lantas, terus melangkah ke hadapan, tidak berpaling belakang. Sesungguhnya dirimu milik Allah." -lu'luah nur jamilah

kredit gambar: deviantart

22 December 2011

Siap,

Dapatkan di pasaran.
Menrima e-mel petang tadi. Akhirnya penantian berakhir. Kawan-kawan, jangan lupa dapatkan 'anak sulung' saya, Friends Forever. (saya jadi ralat dengan tajuknya dalam bahasa Inggeris.)

"ff siap cetak=) mahu datang ofis ambil atau bagaimana ya? wassalam" -Amir Hamzah.

Alhamdulillah.
Terima kasih atas doa semua...

Contengan 40 Jamilah: Contengan 3

Berdirilah tegak di situ.



"Berdirinya di sini, ada semangat yang Kau beri, Teguh aku berdiri, Biar rebah berkali, Sesungguhnya ia satu anugerah." -lu'luah nur jamilah

21 December 2011

Aksara berbicara...

Hati yang tertinggal jauh.
Prosedur. Saya tidak tahu tepat atau tidak perkataan yang terfikir kala ini. Ketika mahu menggosok baju untuk ke kelas pagi tadi, saya terfikir bahawa untuk mencapai apa sahaja kita perlu membuat langkah demi langkah. Bergerak daripada satu takah ke takah lain. Pencapaian tidak hadir sendiri tanpa ada usaha yang digerakkan bersama.Contohnya untuk lulus peperiksaan perlu baca buku. Ada perasaan berat membaca buku (baca: buku pelajaran dan bukannya buku fiksyen yang tiada kaitan langsug dengan pelajaran) yang banyak dalam diri. Apabila tidak faham apa yang dibaca, saya hanya membaca aksara arab yang tercatat dalam buku dan tidak mencapai zuuq yang sepatutnya ada pada seseorang yang sedang menelaah. Bagaimanakah agaknya ulama zaman silam belajar dan membaca hingga akhirnya mereka menghasilkan banyak pengetahuan yang dikongsi pula lewat penulisan mereka. Sedangkan saya, masih berlegar tulisan pada perkara yang sama.

Setiap subjek punya kaedah (cara) yang tersendiri oleh pensyarahnya. Ada yang berorientasi peperiksaan semata, ada yang mahu kita menghafal supaya syair yang dipelajari ada di luar kepala dan bermain di bibir, ada yang mengamanahkan untuk menghafal zikir-zikir dan hizib sebagai pendinding diri, ada yang meminta supaya dibuat kertas kerja... Setiap pensyarah punya uslub dan cara mereka yang tersendiri.

Membantah. Dalam diam dan senyapnya saya dalam kelas mengikut setiap pembelajaran dan kadang ‘tuang’ kelas kelas, ada pemberontakan berlaku dalam diri. Pemberontakan dalam diam yang saya tidak leraikan dengan bertemu muka dengan pensyarah berkenaan. Akhirnya perkara yang pada awalnya kecil menjadi besar dan makin besar. Basi. Terpendam dan buatkan jiwa jadi suram. Semuanya makin hari makin besar menjadi pemberontakan yang makin bermaharajalela dalam diri sendiri. Pertarungan jasad dan jiwa yang enggan bekerjasama. Penakut!

Saya suka membuat mengikut hati. Apa yang saya mahu lakukan saya ikut, jika tidak saya buat apa yang saya mahu sahaja. Kasihan pensyarah, kasihan lagi diri yang membuat masalah. Keikhlasan pensyarah menabur ilmu dibalas dengan perbuatan tidak wajar seorang pelajar.

Ustaz Asfandyar. Beliau seorang pensyarah yang sangat baik selama saya kenal. Saya malu kini dengan dirinya setelah beribu masalah yang saya buat selama satu semester saya bersamanya. Boleh dihitung jari berapa kelas yang saya hadir. Akhirnya, beliau tetap membenarkan saya mengambil peperiksaan dengan markah yang tidak sepatutnya saya terima. Ya Allah, berkatilah kehidupan pensyarah yang sangat baik ini.

Ustazah Nadwah. Dalam kelas beliau sangat tegas. Saya selalu tidak berani angkat muka kala kelas beliau. Namun perlu melihat wajah beliau juga supaya tidak dikata menerawang fikiran ke tempat lain. Sering berdebar setiap kali kelas bayan. Khuatir ditanya soalan demi soalan yang saya sering gagal untuk menjawabnya. Kelas ini juga sering saya ponteng kerana ketakutan untuk masuk kelas –bimbang disoal-. Akhirnya ketika saya sudah mendapat persetujuan untuk menukar ke fakulti lain, saya dipanggil beliau kerana terlalu banyak ponteng. Pertemuan bersama tangisan yang akhirnya membuatkan saya menukar kembali keputusan yang diambil. Ternyata beliau seperti kakak jika bersemuka sendiri dengan beliau.. Sangat baik!!!!

Doktor Rahmah. Pensyarah Jahili yang sangat bertenaga ketika beliau mengajar. Saya sangat menggemari cara beliau mengajar dan cuba memahamkan pelajar terhadap pelajaran yang belaiu ajar. Memang syair jahili asing bagi kami pelajar melayu dan perlukan pemahaman yang lebih. Doktor dengan bermurah hati menerangkan dalam bahasa Melayu. Akhirnya saya terperangkap dengan semua penerangan dan ceritanya tanpa dapat diolah kembali ke dalam bahasa Arab. Kelas yang membuat dada berdebar setiap kali melangkah ke kelas beliau kerana sering disoal tentang apa yang sudah dipelajari.

Selama tiga tahun saya di taman ilmu dan budi, bermacam masalah dicipta hanya kerana masalah diri yang tidak selesai. Saya seakan lupa diri ayah menunggu saya pulang dengan segulung ijazah. Kakak-kakak tentu mengharapkan adiknya pulang dengan sebuah kejayaan.. Saya hampir masuk gaung banyak kali. Saya hampir terbakar kerana perbuatan diri sendiri. Saya hampir tenggelam kerana saya sedar namun tidak peduli air sungai yang dalam. Ya Allah, terima kasih menghadirkan pensyarah-pensyarah yang baik, sahabat, teman, rafik, kawan dan insan-insan di sisi yang tidak penat membangunkan saya daripada lena. Mereka yang sentiasa cuba menyedarkan yang saya ada tugas bukan hanya duduk di meja dan menulis apa sahaja. Ya Allah, berikan kebahagiaan, kemudahan pada segala urusan mereka, keredhaan, ketenangan hati, sebagaimana yang mereka lakukan kepada saya... Sesungguhnya benarlah Allah memberi kembali apa yang diberi. Kita dapat sesuai dengan keadaan kita.

Ditahan PTPTN hanya juzuk kecil daripada masalah orang lain yang lebih besar. Dibarred peperiksaan kerana kesalahan sendiri. Gagal demi kegagalan kerana tidak belajar. Apa sahaja yang berlaku bersamanya pelajaran... Apa yang terjadi kepada diri saya dan saya kongsikan lewat penulisan ini hanya sebagai ingatan untuk diri bahawa peluang senantiasa terbuka.

Beranikan diri! Dua kalimah yang akhirnya hanya bergaung dalam diri. Takut dengan diri sendiri dan kecut menghadapi kenyataan. Teman, kalian yang membaca, usah menjadi seperti diri ini yang berani bermain aksara namun tidak pantas bersemuka di alam nyata. Penulisan saya yang dikenal seakan-akan seorang yang banyak bicara mungkin tidak kalian temukan di dunia luar. Manusia kecil yang berada di bumi nan luas ini. Seorang manusia yang masih bertatih melawan perasaan dan mencuci karat yang tebal dalam diri sendiri. Seorang insan yang sering lupa apa yang pernah terjadi dalam hidup adalah untuk dipelajari dan diambil pengajaran. Seorang perempuan pemalu yang berani bermain dengan kata-kata dan bersemuka di alam maya namun tunduk rapat dan meminggir di luar. Dia hanya gadis kecil... (apakah kaitan penutup ini dengan tulisan saya di atas, ya?) 

*kredit gambar: deviantart.

Contengan 40 Jamilah: Contengan 2

Mencari kunci yang dapat membuka hati. :)


" Sampai bilakah ingin hidup begini? Ingatlah wahai diri, kunci syurgamu pada ketaatan kepada ibu dan ayah. Menyanjung guru, membuat yang wajib, meninggal yang mungkar. Tahulah kamu bahawa kehidupan akan fana, mausuk tanah meninggalkan semua. Diri, berusahalah untuk KUAT dan tidak menyerah atau mengalah. Lihat saat diri berada di atas, berusahalah untuk berada di situ." -lu'luah Nur jamilah

*gambar ehsan encik google. 

Tinta Terpilih

Makin hari makin rindu!
Catatan  tertumpah dan  terpateri.
Kisah aku,
Cerita  cinta dan rindu
Ceritera suka bercampur sendu.

Apa ternukil
  biarkan ia berada di sini.


Mereka yang membaca tahu inilah kisahku,
Sebahagian kisah kecilku,
Yang aku mahu mereka tahu
Walau bukan pengalaman beribu

Aku  memilih kata yang tertulis di sini,
Agar aku tahu,
Dalam hidup aku melakukan sesuatu
Walau banyak lagi masanya aku membatu.

Maka,
Aku mencatat apa aku mahu.

Lu'luah Nur Jamilah
1-10-2010
Qamar Cinta 1-1
*******************

Peperiksaan akhir makin hampir. Buku yang tersedia di rak belum disentuh. Jari makin rancak pula mengetik pada papan kekunci dan godaan aroma buku entah mengapa terasa makin kuat di hidung. Terhidu-hidu bau buku daripada jauh meski saya bukannya seorang yang senang bertapa dalam maktabah empat tingkat itu.

Syair yang perlu ditanam dalam kepala hanya berada di luar kepala, dalam tulisan. Belum masuk dengan nyamannya. Minat membaca syair belum tentu mahu meletakkannya dalam kepala. Bagus juga ustazah minta pelajarnya menghafal, jika tidak memang tidak dihafal walau satu baris.

Istimewa dalam sebuah kelas, perlu menghafal hizib dan doa yang diberi ustaz. Pendinding. =]

Minggu depan sudah bermula minggu ulangkaji. 

Alhamdulillah, terlangsai yuran semester ini. =} Semoga dapat melihat keputusan peperiksaan nanti dengan tenang. (peperiksaan sahaja belum, bermula.)

Teringat semester lepas yang kalut. Dibarred daripada peperiksaan, tidak hadir ke kelas sesuka hati, ponteng, ponteng dan ponteng, kononnya mahu menukar ke kuliah lain akhirnya diberi kuliah khusus oleh pensyarah... Allah, semuanya untuk mengajar. Sesungguhnya sinilah tempatku. Takdirku bersama bahasa Arab. 

Alhamdulillah. Ketika itu saya mengenal mereka yang bernama sahabat yang BAIK. :}

Wassalam.

20 December 2011

Awak II

Awak, terima kasih ajarkan saya menajamkan mata pena dalam diam.
Sebelum kenal awak,
Saya gagal senyum,
Sebelum kenal awak,
Saya jahil perihal ceria.

Awak datang dalam hidup,
Mentari, bulan dan bintang bagi saya,
Saya belajar ketawa,
Saya kesat duka.

Zaap...

Sesuatu tidak terduga,
Awak menghilang tanpa berita.

Awak.
Bilakah kita akan bersama kembali?

~lu'luah nur jamilah
2011

Contengan 40 Jamilah: Contengan 1

Segala yang dipinjam pasti dituntut.



"Sesungguhnya jasad ini pinjaman, perlu dibayar saat menghadap Tuhan, Bersediakah diri melalui sebuah kematian? Rebutlah peluang tersedia di depan, Ingatlah Lima sebelum hadirnya Lima." -Lu'luah Nur Jamilah.

19 December 2011

MEREKA BERKATA...


  • Ummu Hani, “penulis perlu selalu muhasabah.” Apakah yang mahu ditulis?

  • kak Nisah Haron, “kita menulis kerana kesedaran bukan kerana institusi.” Berapa ramai yang belajar penulisan kreatif namun tidak menulis. (insaf saya...) & “Jika kamu tiada apa untuk dicakap, jangan bercakap.”

  • SM. Zakir “hidup bukan hanya berada di tepian tetapi berada di gelombang, kerana itulah hidup.”

  • Kesimpulan Dr. Awang Azman Awang Pawi, “balik kepada ilmu.”

  • Kata pembentang yang mewakili Dr Kamariah Kamarudin, “apabila berdakwah, gunakan bahasa yang sesuai dengan khalayaknya.”

  • Kesimpulan saya kepada kata-kata Zarif Hassan, “Tulislah perkara yang kamu faham akan hal itu.”

  • Kesimpulan Lutfi Ishak, “Apa sahaja yang kamu lakukan mesti ikhlas-al-Ghazali.”

  • Kesimpulan Rebecca Ilham dalam pembentangan kertas kerja III: “Konklusinya, penulis itu perlu memajukan diri. Terus belajar dan membetulkan kebobrokan dan menegakkan panji dakwah.”

  • Kata Shahnon Ahmad: “proses kreatif dakwah adalah proses penciptaan karya yang dicipta kerana Allah dan dihasilkannya untuk memanfaatkan masyarakat.” –kertas kerja Ummu Hani, PPMN kali ke-3, 2011.

  • Kata Mohd Ali B. Salim, “Menulis seperti buat roti. ”=D

  • Kata Arif Atan: “Setiap orang bertindak daripada posisi.” & “Penulis itu cerminan masyarakat.” & “kita nampak sengsara di Palestin namun tidak nampak sengsara rakyat dalam diam...”

  • Ariff Mohamad dari UPSI menjawab soalan tentang budaya Korea yang makin meresap dalam penulisan anak muda. Kata beliau, budaya ini satu trend yang tidak kekal seperti sebelum ini telah datang Hollywood, Bollywood dan sekarang Koreawood... Mereka sudah mencipta budaya ini dengan rapi: mesti cantik dan sensasi. Dalam erti kata lain, orang yang menulis itu perlu cantik dan tampan serta karya kena sensasi. (saya hanya tersenyum..hm..)

  • Kata-kata Ja’afar Haji Hamdan: “Karya itu abadi sifatnya seperti pohon yang memberi pahala jika ia kebaikan. Jika menulis tentang kejahatan, ia menjadi pohon yang memberi dosa.” & “Dalam perjalanan berhati-hati jangan tersesat. Jika tidak menyesatkan diri dan orang lain.”

  • Dr Salleh Yaapar berkata tentang makna diri pengarang muda.:
-ada bakat mengarang
-punya tenaga kreatif
-ghairah mengarang
-tajam ilmu kepengarangan dan subjek yang ditulis
-punya idealisme.

PPMN III 2011: Perjalanan yang Dibantu.

Perhimpunan selama tiga hari yang menemukan kami kembali setelah empat  tahun.
16 Disember 2011.
Berjanji untuk ke Perhimpunan Penulis Muda Nasional kali ke-3 2011, yang dianjurkan PENA. Sebelum ini ada mendengar tentang perhimpunan penulis muda kali ke-2 yang diadakan di Melaka. Cemburu membaca cerita mereka yang berkesempatan untuk hadir ke sana, kali ini saya mengatur rancangan bersama Ina Nailofar. Setelah beberapa tahun (setelah MPR 2011) inilah kali kedua bertemu walaupun sebenarnya kami berada dalam negeri yang sama. Saat akhir sebenarnya saya mahu menarik diri, alhamdulillah, saya dapat ke sana dengan ribuan kenangan yang saya rakam dalam ingatan...

Ini sekadar sebuah catatan seseorang yang hadir sebagai peserta dan bukannya seorang penulis yang sedang mencipta nama. :) Memang malu apabila melihat wajah-wajah yang selama ini dikenal di fb, karya mereka saya baca. Akhirnya saya melihat daripada jauh tanpa menegur. Hanya berbalas senyum dan mengunci bibir tanpa bicara.

Ketika jam menghampiri angka 12, saya mengatur langkah dengan menggalas beg di belakang dan di tepi. Perjalanan pertama saya dan terakhir saya untuk tahun ini bagi menghadiri program selama beberapa hari.

Menaiki bas RAPID 231 ke Stesen Putra --- memasuki badan LRT ke Stesen Masjid Jamek ---- menggunakan perkhidmatan STAR ke Stesen Hang Tuah. Saya berjanji dengan Ina Nailofar untuk bertemu di sini. Setelah hampir sepuluh STAR LRT yang lalu dan saya selesai membaca kembali diari yang ditulis untuk semester ini, Ina Nailofar dan kawannya, Amalina tiba, melambai di seberang stesen.

Ketika menunggu.

Selamat. Masalah datang ketika kami mahu ke Akademi Kenegaraan, tempat program. Ina Nailofar sudah mencetak pelan ke sana, namun apabila bertanya sebuah teksi, pemandunya yang masih muda itu menggeleng. Sebuah kereta berhenti tidak jauh tempat kami berdiri di luar Stesen Hang Tuah.

Semacam kak Hani Salwah dan kak Rebecca..” Saya berkata kepada diri.

Diam. Tidak menuju ke kereta tersebut dan menanti teksi. Sebuah teksi berhenti namun tidak tahu tempat yang kami tuju.

Kak Rebecca keluar daripada kereta.

Ke PPMN?” Beliau menyoal. Cepat menangkap apabila teksi yang ditahan tidak mahu menghantar kami. Dapat naik kereta percuma. :) Terima kasih buat kak Rebecca Ilham dan Kak Hani Salwah yang mahu menunjuk jalan kepada orang lain, akhirnya menyelamatkan kami (saya, Ina, Amalina) dan poket kami.
Masliya, Amalina, Ina Nailofar. (Kak Eja tiada dalam gambar)

Sampai di Akademi, mendaftar penyertaan untuk PPMN kali ke-3 2011. Dapat diskaun 50% sebagai pelajar. Selamat poket RM20. Ambil kunci, dan terus ke bilik. Bilik yang selesa dan saya tidur seorang dalam bilik yang sepatutnya dikongsi berdua. Bersama-sama kami kak Eja (penghuluwati MPR 2007) dan Masliya Yahaya (MPR 2009) yang sebelum ini dikenal pada blognya sahaja. Alhamdulillah, tenyata perhimpunan ini mempertemukan saya dengan beberapa wajah kenalan penulisan yang saya hanya baca dan mengenal tulisan mereka.

Petangnya hanya mendengar kata-kata Pengarah Akademi Kenegaraan dan dapatlah buku 1 Malaysia.. Orang memberi kita mengambil. :) Bacanya belum pasti. Seakan mahu dicuci otak para peserta .. tit.....


Dan malamnya bertempat di hotel yang saya tidak ingat namanya di Jalan Ampang, berlangsung acara sempena 50 tahun PENA. Sudah jubli emas rupanya... Dapat Bedar Suma Bisu yang diterjemah dalam bahasa Inggeris dan buku Transformasi Najib. :).

Meja sudah diatur, dan saya memang terpisah daripada dua sahabat yang lain. Jauh. Saya di dekat pintu, mereka di hujung sana. Sudahlah saya ini spesis yang berat mulut tidak menegur jika tidak ditegur. Akhirnya saya diam di kerusi. Kaku. Di meja sana, nampak Siti Jasmina Ibrahim, MF Kencana, penulis itu, penulis ini... Saya hanya melihat. Bertentangan saya ada seorang peserta perempuan dari Sabah. Kami hanya berbalas senyuman. Berselang dua kerusi ada seorang peserta dari UITM. (tahu setelah membaca fb Fahd Radzy) Beberapa lama, duduklah seseorang di meja saya duduk, G7.

Fahd Radzy.” Saya berkata sendiri. Diam. Mana mungkin saya menegur.

Dua kerusi sebelah saya sudah ada dua orang lelaki. Salah seorangnya asyik dengan kamera besarnya. Entah siapa. Mungkin pelajar daripada mana-mana IPTA. Saya tidak berkenalan. Akhirnya duduk lagi di sebelah kanan. Lelaki juga. Wa... Semuanya lelaki, hanya saya dan peserta dari Sabah itu perempuan. Saya duduk diam.

Ketika makan, cuba makan dengan tenang. Akhirnya Fahd Radzy bertanya setelah beliau berkenalan dengan lelaki di sebelah kanan saya itu.

Oh, Khalil Zaini, MPR 2010.” Saya berkata dengan diri setelah mendengar mereka berkenalan. Jika tidak, saya hanya diam. Kaku. Buat-buat tengok telefon yang tiada mesej. Lihat persembahan di depan, dengar Fedtri Yahya berkata di depan.. mendengar persembahan...

Jamilah..” Saya menjawab ketika ditanya Fahd Radzy.

Jamilah Norddin...” Pandai beliau menerka. Soalan seterusnya yang tentunya soalan skema apabila penulis bertemu penulis (saya bukan lagi penulis ya.. ) ..

Ada buku baru ya?”

Bakal terbit..” Jawapan skema saya. (saya jadi teringat pula yang novel remaja itu tajuknya dalam bahasa Inggeris sedangkan ceritanya bahasa Melayu. Haru.) Ditakdirkan malam itu saudara Amir Hamzah, editor yang mengurus buku saya membalas mesej. Memberitahu sepatutnya buku sudah siap dicetak namun ternyata belum...

Ketika beliau mahu menangkap gambar bersama saya dan Khalil Zaini, saya kembali menyoal soalan standard tersebut.

Abang Fahd ada buku baru?” Kebetulan saya melihat peserta dari Sabah itu membelek buku yang diserah Fahd Radzy.

“Buku dicetak semula.” Menggeledah Nurani itu sudah berkali-kali diulang baca. Fahd Radzy, seorang yang aktif dalam Grup Karyawan Luar Negara (GKLN).

Diam kembali. Ternyata, saya kekok dan sangat kekok sebenarnya. Buat selamba dan seperti tidak ada apa-apa. Mendengar bla. bla. bla. yang dikata perdana menteri malaysia dan akhirnya pulang. Dapatlah tiga buah buku puisi. :)

Dalam bas, sebelah saya tidak berorang. Datang seorang pak cik yang sangat ramah. Banyak yang dikongsi beliau dan bertanya. Setelah agak lama bersembang barulah saya bertanya nama beliau.

“Nassury Ibrahim.” Baik, rupa-rupanya ini penulis yang saya pernah baca tulisan beliau.

Banyak sekali nasihat yang akhirnya ketika turun daripada bas, beliau katakan sebagai kuliah percuma.

Kata beliau, antaranya... “Kamu tulis apa sahaja yang dekat dengan kamu. Tidak ramai yang tulis apa yang dibuat seorang wanita daripada pagi sampai tengahari.. sekarang mudah, tulis dalam blog, ia kekal. Ada sesetengah orang tua dahulu, menulis dalam kertas, dan ia hilang tanpa diterbitkan. Akhirnya karya yang baik tersebut tidak dapat dibaca orang lain. Tulislah apa sahaja tanpa kamu fikirkan sangat kualitinya. Jika dapat pujian ia bonus, jika dikritik, cara untuk kamu tingkatkan diri. Kita ada banyak benda kecil yang kita lupa, asyik fikirkan perkara besar-besar.Baiklah mereka yang punya fikiran besar, kita tulis ikut kemampuan kita. Penulis wanita ramai yang tidak kekal. Susah nak dapatkan penulis wanita yang tekal menulis. .. Ada seorang penulis ini dapat sarjana setelah menulis buku tentang rumah di Malaysia. (orang bagi bukannya beliau belajar di universiti.., saya lupa nama yang disebut pak cik Nassury.) ” ini antara yang beliau bicarakan...

Sampai bilik, solat Isyak dan lena mengumpul energi untuk perbentangan kertas kerja yang bermula pagi esoknya..




17 Disember 2011.
Hari kedua. Pagi hingga petang yang sarat dengan sumbatan ilmu-ilmu yang agak tinggi diterima akal. Pembentang tentunya mahu mempertahankan pegangan masing-masing. Agak berat rupanya makalah-makalah yang dibentang hingga akhirnya malam 17 Disember itu sangat lena hingga susah untuk bangun esoknya. Kita dengar, kita hadam, dan pertimbangkan mana yang mahu diikut.:)

Teori demi teori yang dibentang membuatkan saya terasa berada dalam dewan kuliah. Teringat bengkel bersama FT ketika MPR 07 yang diberikan ilmu yang agak berat untuk saya terima. Saya dengar,angguk, catat yang penting.

Hampir enam lebih, baru kembali ke bilik untuk solat Asar. Malamnya ada malam Genta Puisi anjuran ASWARA.

Beberapa kali melihat Pena Alam, namun tidak berani untuk menegur. Di dewan makan berbalas senyum. Di audotorium, hanya senyum, hari akhir juga hanya senyum. Akhirnya hingga sudah, hanya berbalas senyum. Manis wajahnya, semanis bicara lewat puisinya dalam blog.

Malam Genta puisi yang membariskan ramai pembaca puisi.. Rasheela dengan lagu puisinya, kelab Dekalamtor, Salman Sulaiman, SM Zakir, Rebecca Ilham, Pena Alam, Hani Salwah, Hafiz Latiff, Ridzuan Harun, dan ramai lagi yang tidak saya sebutkan di sini. Istimewanya, ada peserta daripada Jepun yang sedang belajar di UM turut membacakan puisinya. Manis sekali mendengar orang luar berbahasa Melayu. Menjelang jam 12 barulah acara selesai dan akhirnya memang awal lenanya malam itu. Letak kepala dan terlelap.



18 Disember 2011.
Hari terakhir sudah. Cepat benar masa yang berlalu. Pagi bersarapan dengan bihun di dewan makan sebelum mendengar pembentangan makalah seterusnya. Masih berat pembentangan mereka, namun ada satu dua pembentang yang saya terasa santai di pendengaran saya. Terasa mahu mendengar lebih, namun masing-masing mengejar masa yang diberi supaya tamat pada masanya. Jam 12 lebih selesai pembentangan makalah dan ditutup dengan resolusi dan ucapan penutup oleh Presiden Pena, Dr Saleeh.

Setelah sesi bergambar, kami kembali ke bilik dan bersiap untuk pulang. Rezeki kami apabila perjalanan pulang dihantar pula oleh Zarif Hassan yang pernah menang Akademi Sastera kali Pertama tiga tahun yang lalu dan diteman kak Rebecca Ilham sekali lagi. Beliau pelajar UPM yang saya usik sebagai kawan Ina Nailofar. =) Ternyata kami dihantar beliau ke Stesen KL Sentral.

Rezeki...

Saya mengambil LRT ke Gombak. Ina Nailofar dan Amalina meneruskan perjalanan ke Serdang, kembali ke UPM.

Tamatlah cerita.=D

Pertemuan dengan keluarga MPR 2007 walaupun saya hanya melihat daripada jauh. Aidil dan Azriq yang makin meningkat naik. Nai Boon Mee Sararaks dan kisah Serengenge yang kami tidak lupa. Kak Safura Sabri yang kini sudah di ITNM. Ina yang bakal menulis novelnya nanti. (akak doakan ini, semoga jadi kenyataan.) Kak Eja yang sudah bekerja. Syafiq yang aktif dan datang dari jauh.. Masih teringat juga mereka ini.. yang tiada selama tiga hari di sini.. Ghazali yang kami panggil adik FT, (sekarang di UKM) Nik yang akan menjadi polis?, kak Hidayah Ilias, kak Fiza, Kak Rasyidah Othman yang menjadi guru, Hafizul Osman yang sudah punya buku dengan Jemari Seni, kak Iffah Hidayati yang sudah tamat pengajian perundangan di IIUM, kak Effa yang saya tidak tahu khabarnya, kak Syarifah yang saya tidak tahu khabarnya juga dan Wani yang kini di ASWARA. MPR 2007 ternyata menemukan wajah-wajah yang sebelum ini tidak pernah mengenali...

Penulis itu ternyata tidak boleh lagi duduk dalam bilik dan menulis. Penulis zaman kini berada dalam masyarakat. Mereka menjadi lidah masyarakat dan menyuarakan ketidakpuasan dan kegelisahan rakyat lewat penulisan mereka. Saya kagum sebenarnya dengan Allahyarham Azizi Abdullah dengan penulisan yang telah beliau hasilkan..

Ada satu kerisauan dalam diri dan turut diutarakan oleh panel yang saya tidak ingat siapa... “Macam ada satu jarak antara mereka yang hadir pada pada hari ini dan mereka yang menulis di luar.” Ada juga saya terdengar yang bacaan berat hanya untuk orang sastera. Kadang dan sampai sekarang saya tidak faham apa yang orang fikir sebagai orang sastera itu. Bagi saya penulis itu menulis. Tulisan mereka untuk dibaca oleh semua orang. Bukan lagi fikiran yang buku DBP hanya untuk mereka yang minat sastera... Sebenarnya buku sasterawan banyak mengajar dan memberi pengajaran jika dibaca. Jika hanya membaca buku cinta, kahwin, gaduh, pisah dan bertemu lagi, nanti tidak mustahil itulah yang akan ditulis (pesanan untuk diri sendiri.)

Terima kasih kepada penganjur PPMN kali ke-3 dan semua urusteria yang bekerja keras hingga berjayanya PPMN kali ke-3. Terima kasih kepada kak Rebecca yang ‘terambil’ dan menghantar kami. Terima kasih semua pembentang yang memberi ilmu yang banyak. Terima kasih Ina, pertemuan kita jadi realiti. Dapat bertemu dengan Syafiq yang comel itu juga... Terima kasih Amalina Ismail yang sangat ceria. =D Kamu juga harus menulis. Ini kenangan terindah 2011 di sebalik semua yang terjadi. Ternyata Allah memberi kesudahan ini... PPMN yang indah. Apa yang penting, terus menulis.. Penulis itu kerjanya menulis.


Wassalam...

Jamilah Mohd Norddin
12.52p.m/ D-4-4-a/Saff/iium.

16 December 2011

Alkisahnya Lalang...

Lalang.
Kita selalu dengar orang cakap, elakkan dirimu menjadi seperti lalang yang mudah diterbang angin. Datang angin, bergeraklah ia ke kiri dan kanan. Lalang yang lembut... Lalang yang mudah dipatahkan...

Tahukah wahai diri yang sedang membaca?

"memang pokok lalang dikatakan tiada pendirian ....namun hakikatnya pokok lalang terlalu kuat bertahan mengharungi ribut taufan ..takan musnah dan mengalah sesenang semudah pokok kelapa yang rebah patah tumbang dilanda taufan ....namun LALANG tetap tak terusik kelembutan luaran yang ada inilah yang mendorong pokok lalang rebah patah ....kerana sikap lalang pastinya tidak melawan arus ...ikut kemana sahaja dengan sejuta strategi ....nah lalang tetap gah berdiri selepas taupan bahkan dengan taufan itulah juga kemampuan utuk lalang meluaskan empayarnya untuk terus merata diatas muka bumi ...bukan senang untuk musnahkan lalang ...kerana akar lalng begitu kuat ..dalaman lalang begitu kuat berpegang pada janji untuk terus bersama tanah ....tidak mungkir pada janjinya dengan tanah..utuk dipertahankan hakisan ..nak kalau nak dibicarakan tentang rahsia lalang terlalu banyak !
lalang dilihat tidak memberi apa apa manfaat pada kita ...sebab ..kita yang tak kreatif dan berfikir !!!
nah tgk bagi orang yang kreatif" -sumber: sadaufm.blogspot.com

Perhatikan. Setiap yang Allah jadikan ada kegunaan. Ada kebaikan, hatta nyamuk yang kecil kita kata hanya menyakitkan dan melemaskan jika nyamuk menggigit kita. Allah sudah datangkan pengajaran bagaimana Namrud mati hanya kerana seekor nyamuk.

Wassalam.

15 December 2011

Awak

Awak,
berkajang cerita dikarang,
beratus gambar ditenung,
berkali kenangan diulang.
kenangan kita,
memori kita,
tetap berulang.

Awak,
semoga awak bahagia dan makin ceria,
Rindunya senyuman manis,
tawa manja,
rajuk ceria,
kata berbisa,
nasihat berguna...

Awak,
semoga awak bahagia.
kuat dan makin kuat,
tenang dan makin tenang.

Rindu saya pada awak,.
biarkan dalam hati.
saya mahu awak bahagia.

~lu'luah nur jamilah
15.12.2011.
untuk awak.

Secebis Kisah... Di sebalik Friends Forever.

Apa di sebalik nama Ila Husna?
Ina pernah meminta saya menulis tentang perkara ini. Bagaimana saya menulis “Friends Forever.” Labih tepat pengalaman saya menulis sehingga terhasilnya novel tersebut. Perjalanan yang mengambil masa empat tahun sehingga saya dapat melihat kulit bukunya kini. Saya catatkan secara ringkas...

Kisah bermula apabila saya diperkenalkan dengan sifu Azmah Nordin yang merupakan seorang penulis Malaysia yang tinggal di Sabah oleh Siti Azimah Rupilen. Katanya sifu Azmah Nordin punya bengkel penulisan secara maya. Lalu, saya menyertainya.

“Jamilah :) Sila baca Dari Sifu, lepas tu buat ringkasan cerita apa yang anda nak tulis k” –Sifu Az.
Inilah mesej pertama diterima di thread yang dibina oleh Sifu Az di blog beliau. Kemudian saya memulakan kembara selama lebih setahun untuk menyiapkan manuskrip asal yang diberi nama “TEKAD.” Ia bermula dengan ganti diri saya (dalam bentuk diari) namun berakhir dengan sebuah novel remaja yang menggunakan kata ganti diri ketiga. :) Sebenarnya saya hasilkan manuskrip ini dengan hasrat untuk menyertai pertandingan namun alhamdulillah ini yang terbaik. :) Ia diterbitkan juga.

-bermula dengan ringkasan cerita --> merangka watak (buat perwatakan bagi setiap watak -> menulis satu demi satu bab dan dikomen serta diedit oleh sifu Az --> manuskrip asal yang dibengkelkan bersama sifu Az secara maya siap pada November 2009 (jika tidak silap)..

Kemudian saya menghantar proposal kepada Galeri Ilmu untuk mengajukan permohonan penerbitan manuskrip “TEKAD” dan alhamdulillah ia diterima (sebenarnya saya ada menghantar ke penerbitan lain juga dan membatalkannya kerana sudah mendapat persetujuan Galeri Ilmu untuk menerbitkannya. )


Ogos 2010 saya mendapat respon daripada ustaz Zakaria Sungib tentang tiga bab contoh yang dihantar. Kata beliau “Novel ini ada potensi, jika dapat dibaiki perkara-perkara yang saya sebutkan.”

Editor bertukar dan saya berada di bawah pengawasan editor baru bernama Amir Abdul Hamid. Kami hanya berhubung melalui emel sepanjang menyiapkan friends forever. Begitu juga saya berhubungan melalui mesej dan emel ketika puan Malini menyunting friends forever dan pelukis yang melukis ilustrasi untuk buku ini, saya haya berinteraksi dengannya secara maya.

Kesimpulannya perjalanan novel ini berlangsung secara maya dan saya selaku penulis tidak pernah bersua muka dengan mereka yang telah berjasa membantu penghasilan novel ini.
Kemudian ia melalui proses mengedit, menyunting, membaca pruf, melukis ilustrasi, dan akhirnya ada muka depan dan masuk kilang.

Alhamdulillah November 2011 semuanya jadi nyata dan wujudlah Ila Husna dengan novel sulungnya berjudul Friends Forever.
Selamat membaca apabila ia benar-benar di pasaran kelak.

*Ila Husna/Taman Ilmu & Budi.