30 November 2011

Ila Husna dah muncul...


Semoga tulisan ini menjadi saham.
Kata Asma Nadia, 'satu buku sebelum mati.'
Cukupkah satu buku sebelum mati???

Friendship Forever atau tajuk asalnya TEKAD,
Sebuah contengan,
Cerita orang baru belajar menulis,
Tentang seseorang.
Tentang mereka.
Diadun menjadi,
Friends Forever.

Dia memberi,
Tanpa minta balasan.

Allah,
Semoga ini saham untukku... 
Untuk ibuku...
Untuk teman-temanku tersayang yang mewarnai hariku.

29 November 2011

Cerpen: 180 darjah

Pen magik, krayon, highlighter, pen warna warni semuanya berselerak atas meja. Minggu depan peperiksaan akhir semester akan bermula. Rutin pelajar bernama Ibtisam Husna belajar pada saat akhir. Bukan tidak sedar akan bahaya dan risikonya, sudah di hari-hari akhir baru mendapat wahyu untuk belajar.

Ketika ini makan hanya sekali sehari.
Keluar bilik hanya untuk mandi atau ke bilik air.
Dunia luar tidak diambil peduli.

Selama ini dunianya tidak termasuk buku-buku pelajaran. Setiap hari ke kelas, pulangnya tidak langsung membuka buku. Ada masa terluang...
“Husna, kamu di mana?”
“Makmal komputer.”
“Perpustakaan.”
“Kedai buku.”
“Kafe.”
“Lepak bilik kawan.”
“Jalan-jalan di taman.”
“MPH...”
Bla. Bla. Bla. Ada sahaja tempatnya melepak, namun tidak sekali pernah dijawabnya sedang belajar. Pelajar yang memang suka cari nahas dalam setiap semester. Dikenal pensyarah bukan kerana markah tinggi namun...

“Ibtisam, mana kerja rumah kamu?” Puan Hasanah, pensyarah hari itu menyoal.

“Ibtisam, berapa kali kamu ponteng minggu ini?” Encik Latif, pensyarah seterusnya bertanya.

“Ibtisam, kamu melayang ke mana? Jawab soalan saya tadi.”

Ibtisam begitu. Ibtisam begini. Ibtisam. Ibtisam Husna hanya senyum. Bukankah namanya bermaksud senyuman yang baik. Ya, dia menjawab semua persoalan dengan sebuah senyuman. Tanpa jawapan. Tanpa sepatah kata.

Apabila peperiksaan makin hampir dia betu-betul bertapa dalam bilik dan tumpukan untuk membaca buku.

***
“Husna, sampai bilakah kamu mahu begini?” Izzati, teman sekamar merangkap penasihat –ketika perangai luar alamnya datang- dan seorang sahabat yang menerima seadanya. Menerima buruk dan baiknya.

Menerima dia sebagai Ibtisam Husna yang cuba mencipta identiti untuk melindungi dirinya yang sebenarnya. Macam sesumpah yang berubah warnanya mengikut tempat.

“Izzati, awak janganlah mula kuliah maghrib sekarang... Saya penat baca buku dari tadi.”

Izzati geleng kepala. Angkat kaki. Jika Ibtisam Husna dalam keadaan tertekan begitu, perlu dibiarkan hingga dia tenang.

“Ambil wuduk, solat dua rakaat. Doa minta tenang.” Izzati berkata perlahan, sambil kaki melangkah ke biliknya, bertentangan bilik Ibtisam Husna.

Ibtisam Husna terduduk. Seakan kata-kata Izzati paku tajam yang menikam belakangnya yang membuatkan dia tidak bisa berbaring.

Kaki menuju ke bilik air.

Mandi.

Berwuduk.

Solat dua rakaat.

Baca semuka al-Quran bersama tafsir.. Surah al-Hadid, ayat 19-24:

﴾19. Dan orang-orang Yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang-orang Yang mempunyai kedudukan Yang tinggi darjatnya) seperti orang-orang "Siddiqiin" dan orang-orang Yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya orang-orang Siddiqiin dan orang-orang Yang mati Syahid itu; dan (sebaliknya) orang Yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, merekalah ahli neraka.
20. Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab Yang berat (di sediakan bagi golongan Yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang Yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.
21. Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal Yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga Yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang Yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia Yang besar.
22. Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) Yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga Yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di Dalam Kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
23. (kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa Yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) Dengan apa Yang diberikan kepada kamu. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
24. Orang-orang Yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat balasan Yang menghina); dan sesiapa Yang berpaling (dari mematuhi hukum Allah maka padahnya tertimpa atas dirinya sendiri), kerana Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.﴿

Ibtisam Husna tersedu. Apakah yang dicarinya dalam kehidupan ini? Belajar untuk peperiksaan sahajakah? Untuk apakah sebenarnya dia berada di sini? Persoalan demi persoalan menerjah ruang fikir. Kepala sakit.
Selesai membaca al-Quran, badan dibaringkan di katil. Tidak berniat menyambung baca buku. Esok tidak ada kertas peperiksaan. Baring membanya ke alam mimpi. Mimpikan ibu yang sudah lama meninggal dunia.

“Anak, jadilah manusia yang biar pendek hayatnya, panjang kehidupannya.”

***
Dua minggu penuh seksa untuk pelajar bernama Ibtisam Husna berlalu sudah. Kertas terakhir berlalu kini.

“Izzati.. MPH, jom?”

“Beres! Bersiap, kita bertolak sekarang.”

Menunggu di hentian bas. Memijak tangga Rapid 231, menaiki LRT Putra hingga Wangsa Maju, berjalan ke Jaya Jusco yang menempatkan MPH Bookstore. Tempat lepak. Seorang diri atau bersama Izzati.

“Kamu mahu cari buku apa?” Izzati sengaja menyoal walaupun tahu yang Ibtisam Husna ‘hantu novel
melayu’. Tidak pula semua novel melayu menjadi bacaanya. Buku-buku Jemari Seni menjadi koleksinya. Buku-buku PTS sering dibeli saban bulan. Kali ini, tidak tahu buku manakah yang akan ‘menjadi santapannya.’ Poket penuh atau kering, ada sahaja koleksi bukunya bertambah.

“Aku mahu cari novel jiwang.” Ibtisam Husna ketawa. Tahu Izzati tidak akan percaya. Itu bukan genre kegemarannya. Buku cinta yang mengulang tema dan jalan cerita yang sama. Dia suka baca Diari Mat Despatch yang ditulis Bahruddin Bekri. Sinergi tulisan Hilal Asyraf. Wah, tidak cukup muka mahu ditulis dan disembang tentang buku yang diminatnya.

Dia suka baca novel. Senyum sendiri.

Satu demi satu rak buku dilewati. Ada sebuah buku yang mahu dicari. Penulis yang menggunakan nama Hlovate. Sudah ada semua buku yang ditulis beliau. Terbaru belum sempat dibeli.

CONTENGAN JALANAN.

Sudah dua minggu dia mencari namun banyak kedai yang sudah tiada stok. Buku laku keras namun menggunakan bahasa santai. Memang Ibtisam kurang senang dengan bahasa pasar yang ditulis namun ini lain. Buku Hlovate mesti dibeli.

“EH, berangan!” Izzati menepuk bahunya kuat.

“Hi. Hi. Aku cari contengan jalanan, Hlovate. Dah jumpa. Di rak sana.” Ibtisam Husna mengunjuk rak bersebelahan tempat mereka berdiri.

***
“Husna, tonton sampai tidak berkelip mata. Cerita korea?” Izzati sudah duduk di katil Ibtisam.

“11th hour. Lelaki yang mahu mati pada jam kedua belas namun meninggal dunia pada jam kesebelas.
Tragis!”

“Izzati, aku tidak mahu jadi begini.” Ibtisam sudah memeluk Izzati. Erat. Ada getaran pada tubuh itu.

Contengan jalanan. Ia sebuah novel. Menggunakan bahasa basahan tetapi punya impak yang BOOM. Kisah insan-insan yang mencari erti hidup. Erti hidup yang tidak mungkin ditemukan di dewan kuliah. Erti hidup yang mungkin ditemukan di tepi jalan, di negara orang lain... Sungguhlah hati itu Allah yang pegang.

Ada orang apabila lihat sesuatu yang mengerikan namun tidak terasa apa-apa. Ada sebahagian lain
pula itulah yang menjadi asbabnya berubah. Hati kita Allah yang pegang. Allah yang memberikan hidayah kepada hamba yang dipilihnya.

180 darjah.

Membaca sebuah novel berjudul 180 darjah menjadi asbab perubahan manusia bernama Ibtisam Husna. Kini al-Quran menjadi makanan tambahannya setiap hari. Seperti multivitamin yang diambil untuk menguatkan tubuh, al-Quran menjadi ubat mengubat penyakit dalaman. Ibtisam Husna yang tidak lagi ponteng kelas kerana sedar belajar itu satu ibadah.

Ibtisam Husna. Dia mahu hayatnya panjang berbanding usia yang Allah pinjamkan itu.
Manusia boleh berubah 180 darjah, apabila hidayah sampai kepadanya.

“Kau belajar tu pun kira amal ibadat apa. Bapak cakap segala benda bergantung dengan niat. Tak ada benda yang kita buat ni sia-sia de kalau semua benda niat kerana Allah. Tak ke?” –Akmal, contengan jalanan, Hlovate, m.s 197.

Ibtisam Husna kaku.

25 November 2011

Telah Kutulis Suatu ketika...

"berjalan tanpa henti....  "
perjalanan
terus ke depan
berpaling tidak.

melangkah
berkali rebah
bangun
mengaku kalah tiada.

kejayaan
bukan sehari usaha
panjang jalannya
tuju jaya

dunia Sana

lu'luah Nur jamilah
4.00 p.m
Mahang 

***

Ada ketika, kala kamu membaca semula apa yang pernah tertulis, sebenarnya ia untuk mengecas tenagamu kembali. Bukan jasmani namun kekuatan. Kuatkan untuk kamu lakukan apa yang kamu kata? Atau kamu hanya berani pada pena, pengecut kala bersua.... Sebenarnya kamulah yang memilih. Memilih untuk diam atau bicara. Memilih untuk berdepan atau hanya diam. Memilih dan memilih.. Dalam hidup sentiasa ada pilihan.

*berfikir*

Membaca contengan jalanan yang belum separuh usai.
Perjalanan seseorang mencari diri.
Mencari makna kehidupan.
Apakah sebenarnya tujuanmu berada di bumi???


Sayanglah penduduk di bumi, kamu disayangi penduduk di langi.


*diam*

24 November 2011

Catriona Ross

Dahulu hanya melihat beliau di kaca televisyen.
Semalam berkesempatan menemui beliau secara nyata ketika beliau berkongsi bicara di UIAM Gombak. Bicaranya halus merendah diri, dan lahir daripada hati dan terasa cepat meresap.

Bicara tentang friendship 2.0 yang dianjutkan unit kaunseling UIAM. Secara terus terang aku tidak dapat sepenuhnya isi yang mahu disampai, namun sedikit perkongsian yang diberi oleh Madame Catriona Ross, Ustaz Hamid dan seorang pegawai PDRM menimbul rasa gusar di hati.

Jika dahulu kita menunggu posmen untuk mendapat surat daripada kenalan, sekarang ia seakan sesuatu yang sangat jarang berlaku.. Semuanya secara vitrual...

Dunia virtual yang sebenarnya banyak menipu ramai orang dan sebenarnya kita -aku- banyak tertipu dengan dunia virtual ini. Kita seakan hidup dalam dunia awangan yang mana kita mengetahui tentang sesuatu yang belum pasti kesahihannya... Mungkin sahaja yang berada di dunia maya itu seorang penyamar yang mahu mengacau kehidupan seseorang individu lain..

Antara nasihat yang sempat aku 'tangkap' semasa talk tersebut:
  • berhati-hati mendedahkan identiti di internet.
  • Berhati-hati dengan sesiapa sahaja dalam internet.
  • Safety comes first.
  • Mungkin baik kita old fashioned dalam beberapa perkaran untuk mencegah.
  • Perhati status yang ditulis, elakkan yang terlalu peribadi supaya tidak dikesan oleh orang lain. 
{setakat ini dahulu, hanya ini yang teringat di fikiran sekarang...}

Masa Itu Kian Hampir..

Sekadar hiasan..

Semoga segalanya lancar,
"Friends Forever" akan masuk kilang minggu ini.
Doakan segalanya lancar.
:)
Perjalanan yang panjang,
juga bertahun,
Semoga semuanya lancar,
Dan aku bisa melihat "friends forever" menjadi nyata.
Amin.

2011.
24 November 2011,
Puisi pertama (jika boleh dipanggil puisi, rasa seperti hanya susun kata) tersiar di Varsiti sisipan Berita Harian,
Novel akan masuk kilang, Insya Allah, termakbul 2011 bergelar penulis novel??? (hm, bekas penulis novel mungkin kerana itu yang pertama dan tidak mustahil yang terakhir)

Terima kasih atas doa kalian..
("______________________")


23 November 2011

Baris Kata.

Tidak mudah menutur sebaris kata,
Buatmu yang jauh di mata,
Hanya kata mengganti bicara,
Sedang rindu bertalun dalam jiwa.

Tulis,
Padam,
Koyak,
Tulis semula,
Renguk kertas berulang kali.
Ingin lontar segala,
Bisu kuasai suasana.
Benteng apakah pisahkan kita?

Gerak langkah,
Butir kata,
Senyum tangis...
Semua punya cerita.

Kata sebaris,
Bisa membunuh.
Kata sebaris,
bisa jadi nila merosak sebelanga susu.
Perhatikanlah katamu,
Wahai jemari nan asyik menutur kalimah... 

Semester Depan...

Tekan di gambar untuk melihat dengan jelas


Selamat menentukan subjek-subjek untuk diambil.
:)
Saya tidak perlu bersusah payah berebut subjek untuk semester depan. 
Alhamdulillah!

22 November 2011

Lorong...

Dia sedang melorong jalan.
Semalam mendengar baca puisi di Experimental Hall bersama teman penulisan, Umairah Shafei . Kali kedua dalam hidup menyaksikan secara berdepan acara baca puisi setelah aku sendirian menonton baca Puisi Riong tahun lalu. Rasa teruja apabila semester ini seakan banyak aktiviti sastera (penulisan) yang dianjurkan di UIAM. Almaklumlah, sebagai sebuah universiti yang mana teras bahasanya bahasa Inggeris dan bahasa Arab, celah mana mahu mendapatkan acara sastera Melayu atau penulisan melainkan ada persatuan yang menganjurkan.

Terima kasih Poetry Club dan Mahalah Safiyyah.

Semalam ada Roslan Madun, Fedtri Yahya, Wani Ardy, Pendekar Bambu, Kak Eja (sayyidah Mu'izzah) Azree Ariffin dan beberapa pembaca puisi yang saya tidak kenal daripada kelab Deklamator Malaysia. Menarik!

Paling mengujakan ada banyak bahasa dan verstail.
Ada baca puisi.
Ada lagu puisi.
Ada baca puisi daripada rakyat Sri Lanka, Bangladesh,
Ada puisi arab yang dilantunkan Rakyat Palestin (ada seorang budak menangis mungkin disebabkan lantunan suara oleh pemuisi.. Tajuk puisinyanya "Marah"
Ada puisi english..
Ada puisi underground. (adakah genre ini??)

Alhamdulillah.
Kesimpulannya ia mengujakan.
Walaupun duduk di bangku dua daripada belakang aku senyum senang.
Rasa masuk dalam dunia lain.... Dunia penulisan yang aku rindu..

......
Khamis ini dapatkan varsiti ye... hihi... Pertama untuk 2011. Alhamdulillah.

Bengkel Penulisan Dr Farhan Hadi & Fatimah Syarha

Jom menulis!
 Bulan lepas saya berpeluang menyertai bengkel yang dikendalikan oleh Ustazah Fatimah Syarha dan Dr Farhan Hadi. Suka untuk saya kongsikan dengan khalayak antara kandungan bengkel sebagai bacaan sendiri yang terbaca manuskrip bawah meja..

Sekadar nota-nota ringkas yang sempat dicatat. Saya gabungkan nota yang dicatat daripada butir bicara Dr Farhan Hadi dan Ustazah Fatimah Syarha.

MUKADIMAH
-pena untuk agama
-siapakah anda lima tahun lagi?
-Saya lebih hebat daripada mereka?
-Target buku.
-Motivasi atau usaha.
-optimis.
-Hayati surah al-Insyirah.
-tangkis bisikan negatif
-Menulis tidak semudah buka komputer dan on.
-mulakan hari ini walaupun dengan hanya sebaris ayat
-when you don’t give up you cannot failed.
-menulis sebagai bekal untuk bertemu Allah.
-doa, yakin, solehahkan diri
-penulis PEKA.
-untuk runtuhkan Jahiliah kena masuk dalam jahiliah.
Syarat untuk menjadi penulis.
-Faham Islam. [al-Quran dan Sunnah]. Apabila orang baca kita dapat pahala kerana menyebarkan kebaikan.
-berfikiran positif
-bersedia untuk bekerja keras [belanja & usaha]
-mengenali sesuatu melalui penulisan
Menjadi best seller di mata Allah [tulisan kita membekas di hati pembaca]

Mengapa Menulis
-minat?
–minat tanpa matlamat akhirnya jemu dan bosan
-minat tanpa motivasi dan kemahiran akhirnya berkarat.
-kerana duit? Ia mengecewakan.
*menulislah kerana ISLAM.

Tujuan Menulis.
-dakwah
-ubah masyarakat
-betulkan kefahaman
-hasil kekal dan luas.

Persiapan untuk menulis.
*fikir masalah dan sediakan penyelesaian.
*letakkan deria keenam pada nombor 1. [niat agar orang tauhidkan Allah]
*wawasan kena jauh.

Jenis-jenis karya.
-serius
-agama, sejarah, sosial
-evergreen
-lambat siap, perlu rujukan

-pop
-meleret
-kisah biasa
-cepat siap, tidak perlu rujukan.


Ciri-ciri karya Islami Kreatif.
-out of box
-promosi Allah wujud dan berkuasa
-selaras dengan al-Quran dan Hadith
-Tidak menimbulkan kesan psikologi untuk derhaka kepada Allah
-Tidak beri kemenangan moral kepada si pendosa.
-Tidak beri status rendah kepada Islam dan mengangkat agama lain.


PROSES PENULISAN.

^cetus idea.^
-bacaan
-keadaan sekeliling
-pengalaman
-gabungan fakta dan realiti
-cerita orang
-mimpi
-imaginasi.
-angkat daripada bahan kuliah

^memetakan idea (maping)^
-watak (pro/anta/pipih)
-perwatakan(luar/dalam) –aksi, tutur kata
-sinopsis (100-150 patah perkataan) @ ¾ A4.
-kronologi (mengikut urutan masa)
-latar (tempat & masa) –relate dengan karakter
-plot (sebab dan akibat)
-ending

^tulis^

^edit (makro [keseluruhan] + mikro [mikro])^

Bertemu lagi dalam catatan yang lain pula.. Selamat mengaplikasi dan semoga bermanfaat untuk saya dan yang membaca.

21 November 2011

SERUMPUN THE SERIES [part 1]


PART PERTAMA.
SERUMPUN THE SERIES... [siri 1.]-20.11.2011. anjuran ForTar
Syed Alwi al-Atas.

“Bergerak dahulu, di dalamnya pasti ada barakah. Dalam kegigihan (mujahadah) ada perubahan.”
*harus diketahui bahawa Forum Lingkaran Pena Indonesia sudah berusia 10 tahun manakala di Malaysia berusia tiga tahun.
*Tulisan haruslah yang memberi teladan kepada orang lain.
*Apakah target peribadi kamu?

Langkah mendapat tulisan yang baik.
  •     Baca banyak untuk dapatkan idea. PAKSA diri untuk baca 
  •  Mengamati dan berfikir selalu untuk dapatkan idea. A. Samad Said selalu berada di tengah ramai untuk dapatkan idea. Mungkin juga melalui temubual, perbincangan dan sebagainya untuk mendapatkan pengetahuan mendalam. 
  •   Tulis, tulis, tulis.
  • Tulis dan tulis untuk mendapatkan kepuasan, bukan berhenti dengan hasil pertama.
  • Hantar kepada khalayak.
Peraturan kepada penulis baru.
  •   Jangan mengharap penulisan yang terbaik pada percubaan pertama
  • Jangan berhenti menulis sebelum buku pertama terbit.
Apabila sudah terbitkan...
  •  Usaha yang terbaik dan buat buku yang terbaik 
  •    Rujuk nota nombor SATU.
Apakah yang diperlukan untuk menulis fiksyen.
1.       Genre
2.       Cerita
3.       Watak
4.       Sudut pandangan
5.       Latar
6.       Masalah dan penyelesaian

GENRE
·         Apakah genre yang mahu ditulis.
·         Love, horroe, mystery etc...

CERITA
·         Cerita apa?
·         Perlu ada cerita utama dan cerita sampingan.
·         Apakah isi utama cerita?
·         Dapatkan idea untuk keseluruhan cerita.

KRONOLOGI
·         Mula-tengah-akhir
·         Tengah-awal-tengah
·         Tengah-awal-akhir (tenggelamnya kapal Van Der Wijck), rujuk surah Yusuf.

PLOT
  • mendatar
  • permulaan, konflik, klimaks, penyelesaia
  • banyak konflik
WATAK
·       -  Antagonis dan protagonis
·        - Adakah watak mendatar atau berubah sepanjang cerita?
·         -Perlukan watak yang KUAT. Disukai pembaca.
·        - Kuat + mencabar + unik+ada konflik = cerita menarik.
·        - Buat biodata watak (ada umur, jantina, perwatakan, sifat, kebaikan, keburukan, latar belakang, fizikal)

SUDUT PANDANGAN
·         Kata ganti diri pertama-saya
·         Kata ganti diri kedua –kamu *jarang*
·         Kata ganti diri ketiga –mereka, dia

LATAR
·         Masa
·         Tempat
·         Masyarakat
(bermulalah dengan sesuatu yang dekat dengan penulis)

MASALAH & PENYELESAIAN
·         Apakah masalah tokoh utama
·         Bagaimanakah dia menghadapi masalah
·         Cabaran sepanjang perjalanan
·         Apakah solusinya
·         Cerita tanpa masalah atau konflik ibarat makanan tanpa rasa
·         Elakkan penyelesaian yang terlalu mudah.

Kesimpulan:
Paling penting dalam pembinaan cerita: cerita, watak &masalah.

Ayuh Mendaki.

Berjalan tanpa henti.
Apakah Allah akan melorongkan jalan bagi seseorang yang duduk sahaja tanpa mahu sekadar untuk mendongak kepala lihat apa yang terjadi sekelilingnya apatah lagi bangun untuk menggerakkan potensi dalam dirinya? Rugilah mereka yang sentiasa cukup dengan keadaan diri tanpa mahu berubah walau satu inci. Dalam satu demi satu peristiwa yang Allah hantarkan dalam hidup ini, tersedar aku bahawa betapa banyak hikmah yang Allah mahu aku perhatikan selama perjalanan singkat ini.

Ya, masih banyak yang harus dan perlu diubah namun bukankah dalam setiap usaha pasti ada natijahnya. Allah tidak melihat natijahnya namun apakah usaha yang dilakukan seseorang hamba itu.

Beberapa hari lalu, seseorang bertanya pada aku:
“Betulkah kamu dibarred daripada peperiksaan ‘arudh?” Aku mengiyakan dan cepat-cepat menyudahkan perbualan. Sebolehnya aku tidak mahu menyebut tentang itu. Tentang masalah demi masalah yang pernah aku reka hinggakan tekad untuk menukar ke jurusan lain. Allah mahu aku kekal sebagai pelajar bahasa Arab. Amin. Semoga Allah permudahkan.

Diri yang tidak memberi ruang kepada diri sendiri untuk terus melangkah. Lantas, apabila Allah sudah bukakan ruang seluas-luasnya, tangkaplah ia. Hapuskanlah air mata, bukakanlah mata seluasnya agar kamu nampak peluang itu.

Insya Allah.

Ia mungkin sebuah perjalanan yang panjang. Jatuh, bangun dan jatuh lagi. Asal sahaja tiada kata putus asa dalam diri, Allah pasti lorongkan jalan. Jadikan apa yang terjadi sebagai asbab untuk kamu kembali mencapai sebuah cita yang kamu impikan sejak dahulu... Benar kita tidak tahu apakah yang akan kita capai pada masa depan namun usaha hari inilah yang menjadikan kamu di masa depan sebagaimana kita hari ini adalah siapakah yang kita mahu jadi di masa lampau.

Jadi, ayuh mendaki wahai diri! Jadikan apa yang terjadi sebagai sumbu untuk kamu kembali mengecap cita-citamu. Usah pandang belakang. Hiduplah dengan apa yang kamu ada pada hari dan berdoalah yang terbaik. Mungkin kamu sayangkan sesuatu, namun ia buruk untuk kamu namun kamu benci sesuatu sedang itulah yang bawa kebaikan. Belajar untuk redha.

Amin...

19 November 2011

Prof Muhaya...

Prof Muhaya.
Aku jadi jatuh cinta dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Prof Muhaya. Blog beliau... [...]Walaupun bukanlah setiap minggu aku mendengar bicaranya lewat IKIM, sesekali telinga disapa oleh suara beliau, rasa tenang.  Rasa aura positif datang dalam diri.

Sesungguhnya Allah menghantarkan penyelesaian terhadap sesuatu hal dengan banyak jalan. Bukan jalan yang kita pinta namun jalan yang terbaik buat kita. Positif.

Positif.
positif
positif.

Perlukan hati yang sangat kuat untuk lawan kata negatif yang ada dalam diri.

Namun kita masih boleh berusaha, kan?

Pesan Prof Muhaya, setiap hari kita cuba cari tiga benda untuk kita bersyukur. Dalam kepala fikir yang baik-baik sahaja. Jangan peduli orang yang apa di belakang, namun apa yang kamu rasa baik itu, teruskan! Lebih baik diam daripada membalas kata-kata yang tidak bermanfaat.

Apa yang terjadi semalam mencorak apa yang kita jadi hari ini. Cubalah untuk melupakan yang pahit-pahit terjadi semalam dan ingat semua yang manis sahaja. Putarkan otak supaya ingat yang baik-baik sahaja. Sebab sebenarnya apa yang sudah berlaku banyak tersimpan dalam minda bawah sedar kita..

Bagaimana ya mahu menukar kata-kata kepada diri sendiri? Kata Prof Muhaya lagi, kita kena kata saya pilih untuk jadi.. bukan kena jadi.. Saya pilih untuk berjaya bukannya saya kena berjaya. Apabila memilih bermakna kita suka untuk lakukan sesuatu namun apabila kita kena seakan ada paksaan dalam diri.

Jom, jadi positif!


Aku petik hadith ini:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيراً أو ليصمت

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda : “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam”.
 

____________
...apakah maknaya jika asyik mimpikan orang yang sama setiap kali lena? Adakah kita merinduinya? Atau mimpi sekadar mainan tidur?



18 November 2011

Berpagi-pagi

Berpagi-pagianlah mendapatkan ketenangan!
Jam tujuh pagi aku meninggalkan kamar. Mengambil angin pagi di sekitar tasik nan  nyaman. Terasa udara segar masuk dalam diri, memberi rasa ceria dalam diri. Sudah lama tidak buat kerja begini..

Jalan-jalan tanpa tujuan sambil ambil udara bersih yang belum disedut orang lain pagi-pagi.
Burung-burung sudah keluar mencari makan.
Ibu dan ayah sudah di jalan menuju ke tempat kerja mencari rezeki buat keluarga.


***

Ditarik sesuatu yang bukan pinta kita,
Dikurnia akhirnya sesuatu yang terbaik buat kita,
Bersyukurlah, aku akan tambahkan nikmat kepadamu,
Kufurlah andai nikmat tidak kita syukuri.

Diberi semua itu terbaik.
Diberi semua itu terbaik.
Diberi semua itu terbaik.

Yakin dan percaya!

Usah difikir sesuatu yang luput daripadamu,
Hiduplah dengan kehidupanmu sekarang.
:)

16 November 2011

Seperti Kematian Juga...

Terbang ke dunia baru.
Dalam keadaan tidak bersedia:

"Hari ini kita akan adakan ujian bulanan."

Diam.

"Kepala masih kosong, apakah yang mahu ditulis dalam kertas kelak."

Maka, dia menulis apa yang sipi-sipi lekat dalam ingatan...

***

Samalah seperti kematian yang Allah sudah ingatkan awal-awal bahawa tempatnya, masanya dan bagaimana itu rahsia Allah...
Kematian yang sebenarnya sangat dengan dengan aku, kenapa aku beraksi seolah-olah aku akan hidup panjang lagi.

Dosa sesama manusia yang belum termaafkan.
Dosa dengan Allah yang belum minta ampun...

Dalam peperiksaan dunia kita boleh berpatah semula, namun dengan kematian.... Sekali mati, kita berada di permulaan sebuah dunia baru..

Allah.

15 November 2011

Saat Mati Menyeru...

 Mata mahu bicara lagi. Semakin mahu menjauhi penulisan, semakin rasa MAHU itu mendera... Lalu, ku kletik papan kekunci meluah yang tersimpan... Terfikir akan sebuah kalimat. MATI.... 


Menanti atau bersedia menuju terminal seterusnya?


***
Rahasia Allah,
KEMATIAN.
Bila, di mana, bagaimana?
Itu rahsia Yang Esa.
tertulis di Atas Sana,
Terjadi tiba ketika.

Bukan menanti kematian,
Bersedia melalui kematian.

***
Kita boleh lihat sekarang kematian mengejut saban hari. Kematian yang banyak berlaku dan kadang kita jadi ngeri melihatnya. Bermacam asbab, berbagai-bagai caranya..

Semoga kita mati dalam keimanan.

Orang dahulu tidak takut dengan kematian sebab mereka sudah membuat persediaan untuk melalui kematian yang mereka rindu. Kematian yang merupakan jalan awal untuk bertemu Allah.

Bukankah kubur itu taman indah bagi orang beriman, namun lubang neraka untuk yang kosong amalnya?

Menyoal diri,
takutkan dengan kematian???

bagaimana lagaknya orang takut dengan mati?
Duduk sahaja?
Dia di tikar solat?

Allah ajarkan kita,
BERSEDERHANA.
Hidup dengan kehidupan yang Allah izinkan.
Berada atas garis lurus yang Allah sediakan.

Allah.
Luruskan hatiku,
Luruskan hati  keluargaku,
Luruskan hatiguru-guruku,
Luruskan hati  sahabat yang aku sayang,
Luruskan hati orang yang aku kenal,
Luruskan hati  umat Islam seluruhnya.

Allah,
matikan kami dalam husnul Khatimah dan bukannya Suul Khatimah.

..pen off.

14 November 2011

Lihat Diri, Perhati Sekeliling

Pandangan hati itu yang hakiki, jika hati itu bersih.
Pemerhatian indera yang lima harus disokong oleh deria keenam iaitu hati. Ustaz Adli selalu bicarakan tentang "basiroh" atau pandangan hati. Apa yang kita lihat dengan mata kasar tidak hanya dilihat dengan pandangan mata yang kosong namun hadirkan hati dalam pandangan tersebut.

Hati.
hati.
hati.

Selalu dengar perihal hati namun setakat manakah hati itu hadir dalam setiap perbuatan seharian.

Ia sebuah persoalan. Nampak yang tiada, rasa tidak cukup dengan apa yang ada. Ya, proses pembaikan diri perlu dilakukan tanpa henti. Apabila kamu berhenti, kamu menyekat diri.

Bebaskan semuanya. Ya. Allah sedang mengajar untuk membebaskan semua itu... Bebaskan segala-galanya.... Allah sedang memberikan yang terbaik buat diri ini!

Menuding jari ke arah orang lain memang senang, namun menunjuk jari telunjuk kepada diri sendiri, siapakah atau berapa keratkah yang mampu melaksanakannya.
"Satu jari dituju tepat ke seseorang...
Satu jari yang menyalahkan orang lain...


Mungkin kau sendiri terlupa...
Yang kau punya empat jari...
Empat jari yang kau lipat...
Kau simpan...
Kau terlupa itu...
Empat jari yang kau simpan itu sebenarnya mengarah menuju tepat ke arah diri sendiri..." [sumber: tukang karut]
Masalah juga rasanya jika asyik nampak pada orang lain apa yang tiada kepada diri kita. Kerana itu dianjurkan untuk kita dalam hal dunia melihat sesuatu yang lebih rendah daripada kita namun dalam hal kebaikan melihat sesuatu yang lebih tinggi daripada kita.

Kita lebih hargai apa yang kita dapat setelah mencari daripada sesuatu yang kita dapat dengan senang lenang.
Ini kenyataan...

Allah.

Senyum

Bunga kembali mekar,
Bulan tersenyum senantiasa,
Mentari terang memancar,
Apa lagi yang kamu mahukan?
Bahagia di depan mata,
kecap sebelum ia lepas.

Ziarah Mahabbah.

Setelah lebih lima tahun, bertemu akhirnya...
11 November 2011.
Seharian berpusing-pusing di sekitar Cheras. Masuk jalan sini, keluar jalan sana, belok kiri, belok kanan akhirnya saya sampai di Taman Ilmu dan Budi. Tidak terungkap rasa terima kasih kepada Marziah, Azreen dan teman-teman sahabat kepada Marziah, rakan sepersekolahanku.....

Kisahnya bermula 9 November 2011 apabila saya menelefon Marziah untuk bertandang ke rumahnya. Asalnya Sabtu saya akan ke Cheras namun akhirnya saya ditakdirkan ke sana pada hari Khamis, 10 November 2011. Cheras... destinasi yang akan saya lewati untuk bertemu Marziah, teman sejak di Sekolah menengah dan hanya bertemu beberapa kali kerana terserempak di Masjid Jamek. Semester ini, beliau telah datang melawat dan saya nekad untuk menziarahinya kembali. Alhamdulillah, Allah berikan ruang dan kesempatan itu.

Ziarah yang menimbulkan rasa rindu. Menumbuhkan rasa cinta dalam kejanggalan sikapku. Ya Allah, betapa apabila kita mendapat sesuatu setelah kita mencarinya lebih bermakna daripada kita menikmati sesuatu yang memang tersedia depan mata. Betapa beruntungnya Allah letakkan saya di sebuah universiti yang bernama Islamic Universiti dan majoritinya ialah Islam... Allah tidak letakkan saya dalam komuniti yang berbilang kaum, rencah hidupnya... Saya benar-benar selesa...

Ketika sampai di Institut Pendidikan Khas(IPIK) Cheras, kedengaran sayup di surau mengalunkan bacaan Yasin. Malam Jumaat, rutin kita membaca surah Yasin. Begitu ketika di rumahnya juga terdengar suara bacaan surah Yasin daripada masjid Zubair bin Awwan yang letaknya hanya beberapa langkah di rumah Marziah. Sayu... saya hanya meminggir di belakang, duduk di saf akhir dalam surau. Menunggu hingga solat Isyak.
11.11.2011. 
Paginya mengikut Marziah ke IPIK lagi untuk bacaan surah al-Ma’thurat. Suasananya benar mengingatkan aku surau al-Muttaqin SMKA Baling. Setelah itu, bersarapan di kedai makan sebelum kemudiannya saya mengikut Azreen ke Tasik Seri Permaisuri. Jalan-jalan dan pusing mengikut Azreen. Malam sebelumnya, sempat membelok ke HUKM... ,sekadar melihat-lihat.

Tasik Seri Permaisuri. Ya, tempat bernama tasik atau tempat berair menenangkan...
Malamnya mendengar perkongsian daripada Marziah di surau IPIK. Beliau memberi perkongsian tentang buku “Men from Mars and Women from Venus.” Ramai juga yang hadir.
Perempuan yang lebih teliti, cakapnya banyak berkias, suka berfikir walaupun ia perkara kecil, mudah terasa dan empati, suka meluah rasa dengan perkataan...

Sementara lelaki suka terus terang, fikirannya objektif, tak fikirkan snagat perasaan.....
Yang paling saya ingat:

“Jangan percaya cakap lelaki tetapi lihat pada apa yang dia lakukan.”

Bezanya wanita dan lelaki untuk saling melengkapi. Itulah kesimpulannya.

Pelukan hangat, sapaan mesra mereka, layanan baik kepada saya masih terasa. Ya Allah, betapa aku berada di tempat yang sangat selesa dan keadaan yang sangat tenang. Sangat-sangat tenang. Allah.
Seharian bersamanya. Melihat rutinnya.

Usai Isyak di surau IPIK buat kali terakhir dan dihantar Azreen pulang ke UIAM.... Terima kasih ya Allah hadirkan aku dengan pertemuan ini...

Pertemuan yang mengungkap memori, membangkit rindu. Cukupkah sekadar rindu?

Inilah kisah 11 November 2011 edisi saya. Pusing-pusing bandar Cheras seharian...

Di Tasik Seri Permaisuri... 







09 November 2011

Tiada duka yang abadi



Tiada duka yang abadi didunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam ‘kan berakhir, hari ‘kan berganti
Takdir hidup ‘kan dijalani

Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Waktu berputar rebulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam ‘kan berakhir, hari ‘kan berganti
Takdir hidup ‘kan dijalani

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Harap ampunkan hamba-Mu ini

_____________________
..yang memiliki hati kita Allah.
Tetapkan hati kami atas nama-Mu, Ya Allah..
Apa yang terjadi termaklum di Loh Mahfuz sebelum ia berlaku...

02 November 2011

I'm so sorry | Irfan Makki



Irfan Makki – I’m So Sorry Lyrics

If my time would end today would I be ready to go?
And leave all the things I’ve worked so hard for
And all my friends and everyone I’ve known?
Never did I ever stop for a moment to think
Of what’s staring at me
I’ve been breaking all the mirrors of reality

(Chorus):
I’m so sorry, if only I had just one last chance
I’m so sorry, but now it’s too late to change the past, oh

I lived my life in the fast lane, I only lived for today
And never, never really thought about anyone else
It was all about me, myself and I
Never did I ever stop for a moment to think
Of what’s staring at me
I’ve been breaking all the mirrors of reality,
oh

(Chorus)

And now, now that it’s over
I wonder if anyone will remember me
If I had the chance to turn back the hands of time
There are so many things that I would change
I’d live my life, every single breath… for You

(Piano Solo)

(Chorus)

(Outro):
I’m so sorry, so sorry
Please forgive me

_________________
Cinta pada pendengaran kali pertama. 
 Dengar sekali terus jatuh hati pada lagu ini..
Layannnn....

Istikharah.

 Terjemahan doa:

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. 

Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. 
(Dari hadis riwayat Imam Bukhari)


Berdepan bermacam-macam pilihan dalam kehidupan seharian, Allah jualah Yang Maha Mengetahui akan segala yang paling baik buat diri. Lalu dianjurkan untuk kita menunaikan solat Istikharah...

Bukan hanya berkaitan jodoh.
Bukan hanya ketika dihadapkan dengan dua pilihan.
Dalam kehidupan sehari-hari...
Semoga Allah dekatkan Yang Terbaik, Jauhkan sejauh-jauhnya yang bawa keburukan..

Dalam kelas Adab Jahili, ustazah membacakan Doa Solat Istikharah...
Kata ustazah: kita selalu mendoakan sesuatu yang spesifik. Contohnya: Nak pandai, nak itu, nak ini... sebenarnya kita perlu mendoakan sesuatu yang lebih umum... Kerana kita tidak tahu sesuatu itu adakah yang paling baik untuk kita atau ia akan datangkan keburukan. Lalu, amalkanlah solat Istikharah setiap hari. Agar diluruskan hati atas setiap keputusan. Mungkin kita perlu gagal supaya kita ada semangat untuk belajar dengan lebih baik. Doakanlah:jika ia baik untuk aku, dekatkanlah ia, jika ia buruk, jauhkanlah.. Allah jualah yang mengetahui akan segala yang tersembunyi dalam lubuk hati kita...

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya” [sumber: darulsyifaonline ]

Semoga pilihan yang kita buat adalah yang terbaik. Yang terbaik. Yang terbaik. Amin.