22 September 2011

Usah Ditanya Mengapa...

Banyak mengeluh hanya akan melemahkan jiwa,
Selagi mana kamu boleh melangkah teruskan melangkah biarpun hanya mampu merangkak...
Lama-lama akan sampai juga ke destinasinya..
Rasa lemah, letih, penat semuanya tidak perlu kau endah.
Lihat hujung yang mahu kau jejak,
Fikir penamat yang mahu kau lalui,
Pedulikan semua yang ada di sekeliling
Malang apabila kamu tidak pedulikan yang dii sekeling,
Hanya nampak dunia kamu dan kamu...
Langsung tidak kamu lihat apakah sebenarnya yang sudah berlaku...

Keras benarkah hatimu?

Malu aku dengan apa yang sudah berlaku,
Terlihat aku akan kejahilan setiap kali melangkah keluar kelas,

Mahu belajarkah atau tidak?

TIDAK FAHAM...
Namun langsung tidak bertanya seakan faham semua benda.

Yang Allah lihat bukan natijah namun usaha.
Allah beri ikut kadar usaha kamu...

ITD...

21 September 2011

Semalam...

Selesai kelas untuk sesi 3.30 petang hingga jam 5. Aku menuju ke masjid biru untuk menunaikan solat Asar sebelum ke kelas seterusnya.Telefon genggam bergegar dalam kocek jaket. Melihat.

Ada missed call daripada 019.... Nombor ayah...

Aku mendail semula...

"Assalamualaikum.."

bla.. bla.. bla..

"Ayah sihat?"

"Macamana sekarang? Belanja?"

"ada lagi"

bla. bla bla...

"itulah yang ayah nak tanya."

Sebak. Mata sudah bergenang air. Tidak sekali aku telefon ayah sejak datang 3 minggu lalu.beberapa hari lalu, aku tertekan nombor ayah, beberapa kali. Namun dimatikan semula. Ayah menelefon, aku tidak terangkat. Sampai semalam.

Allah, berkatilah kehidupan ayahku.. Ayah yang membesarkan aku dengan kesabaran. Melihat anak bongsunya ini membesar namun belum matang sepenuhnya...

maafkan anakmu, ayah...

21.9.2011
ITD IIUM.

20 September 2011

Akhirnya Aku akan belajar Nahu. :)

Recovered.

Memang rasa mahu dan tidak ingin ambil Nahu lagi sebab sebenarnya minggu lepas aku langsung tidak ke kelas. Sengaja? Memang aku sengaja untuk tidak ke kelas dengan alasan sepele. Alasan remeh yang aku reka untuk diri aku sendiri dan akhirnya aku takut untuk ke kelas.

Semalam. Ada kisahnya.

Pagi ini aku kuatkan kaki untuk ke kelas. Semalam sudah mesej kak Ema, ustazah Nik Hanan mudah atau tidak lepaskan pelajar untuk drop subjek. Rasa takut untuk masuk ke kelas sebenarnya.

Pagi tadi jerit-jerit buat bising sewaktu melangkah ke kelas. Ganggu orang mahu tidur pula. Memang kaki melangkah dengan debaran.

"Apa ustazah akan kata?"

"Nak cakap apa Khamis tidak kelas?"

Aku jalan juga. Kak Husni kata, walaupun kita kena kata kita boleh. Yakinkan diri baru boleh. Semua ustaz ustazah cakap begitu. Believe! You get it! Dengan izin Allah tentunya.

Namun Allah Maha Tahu. Aku gerakkan juga langkah kaki ke kelas yang pelik itu. IRK ADM LR3, L1 CPD.

Kelas berkunci.

Semua menanti di luar. Aku membatu di sudut luar kelas, semuanya junior. Oh, ada hikmahnya aku masih di level 2. :) Kurang rasa malunya banding sudah level 3 baru ambil nahu 1. haha.

Ustazah datang. Berbicara dengan pelajar lelaki. Aku mendengar...

"Minggu lepas 40 minit saya cari kelas di IRK. Tak jumpa. Saya jumpa sister ni dah pukul 9"

Wah, rupa-rupnya Khamis juga tiada kelas. Saya koyakkan senyum. Hati riang.. Terus terbang semua rasa. Terus batalkan hasrat untuk mengdrop Nahu 1 ini. Ada tiga level. Baru bermula yang 1.

Tidak mengapa, kan?

Kamu Itulah Kamu.


Lurus sangatkah aku ini? Naif benarkah diri ini? Dengan apa yang aku lakukan, kadang terasa aku seakan budak lurus yang tidak tahu lakukan apa-apa. Sedangkan dari satu sudut aku ada kedegilan yang tidak tertonjol secara nyata dalam kehidupan aku seharian. Ketika ustaz Akmal Khuzairy mengatakan bahawa adanya pelajar universiti yang kerjanya datang kelas dan balik bilik tanpa kenal orang lain di sepanjang perjalanan, aku seakan mahu tersendu. Akulah manusia itu yang susah untuk berkawan. Bukannya mesra alam dan menyambungkan silaturahim dengan orang baru.

*rasa mahu sorokkan muka di bawah meja*

Seharian ustaz Akmal Khuzairy ‘berleter’ tentang peluang dan untungnya manusia yang berada di universiti. Saat orang lain ada yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran, aku di sini. Allah letakkan aku di taman ilmu dan budi. Allah berikan aku peluang yang sangatlah rugi apabila aku hanya melihat peluang itu berlalu pergi. Tahu tetapi tidak amal itu sangat bahaya.

Aku manusia yang sibuk dengan dunia sendiri hingga tidak sekali pernah aku libatkan diri dengan persatuan yang berlambak-lambak di sini. Aku hidup dalam duniaku yang hanya ada aku. Aku tidak pandai bermasyarakat.. tahu tahu berleter, berceloteh panjang dengan pc dan bercerita dengan tulisan. Aku mahu keluar daripada dunia sepi itu. Aku rindukan aku suatu ketika yang sangat riang lakukan kerja namun aku sudah setkan dalam kepala aku aku tidak mahu menyertai apa-apa persatuan. Datanglah apa-apa aku diam dan bisu.

Aku manusia tidak peduli.

Ya, akulah itu akan apa yang aku fikirkan akan perihal diri sendiri..

Dalam kelas, akulah manusia paling sunyi. Aku rasa terasing dalam ramai. Aku pandang wajah lecturer dengan pandangan kelam. Aku boleh bergelak ketawa dan merasa apa yang disampaikan pensyarah namun jujurnya zuuq itu tidak masuk dalam jiwa. Lama aku tidak rasakan zuuq dalam belajar.

Aku tahu jika dalam kategori di universiti antarabangsa ini, aku bukanlah kalangan atasan. Aku manusia yang banyak kali mengulang subjek, pernah buat seribu macam masalah dengan lecturer, kawan, universiti.. beruntungnya aku Allah masih letakkan aku di sini...

*sudah melencong dan merapu*

Aku mahu luahkan segala rasa dengan aksara. Aku tidak pandai mencurah dengan bicara kerana selalu berakhir dengan air mata yang menganak sungai. Biarlah yang aku tulis semuanya adalah luahan hati yang boleh dibaca seluruh dunia. Ini pilihan aku. Ini aku yang pilih untuk menulis dan terus menulis kerana pena ini terasa lancar meluah dan tiada yang melihat jika aku menulis dengan air mata sekalipun.

19 September 2011

Kelas Jahili 1

Kelas Jahili belum bermula secara rasminya. Hanya memanaskan enjin dan ustazah membawa kami pelajarnya kembali ke zaman Jahili. Zaman perantaraan sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah. Zaman di mana mereka yang bukannya dipanggil Jahiliah kerana tidak pandai yang kita faham hari ini namun disebabkan mereka menolak kebenaran. Mereka ada yang beragama Nasrani, Yahudi dan lain-lain kepercayaan. Namun ditolak risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW hanya disebabkan sikap.

Lalu berbuatlah mereka akan perihal yang mereka lakukan ketika itu. Menanam anak perempuan, minum arak, merenung nasib dan bermacam perangai yang boleh kita baca melalui buku kisah-kisah teladan dan syair yang dibaca.

Mengapa syair?

Ustazah telah membuatkan hatiku berbunga-bunga untuk mendalami syair. Kata ustazah, penyair itu seorang PEMERHATI. An observer. Dia lihat. Dia renung. Dia renung. Dia tulis. Dalam bentuk puisi atau kisah itu pilihan. Menggunakan nama orang itu sendiri atau dimasukkan dalam personaliti lain.

*Angguk kepala*

Benar sekali. Kata ustazah lagi, di situlah bahayanya juga seorang penyair, yang mana dia diam sahaja namun apa sahaja tentang kita, tentang apa yang dilihat mungkin tertulis dalam karyanya.

*angguk sekali lagi.*

Lalu, bagaimana untuk belajar syair? Kita tidak dapat belajar syair itu semata-mata melainkan kita turut melihat zaman mana syair itu ditulis, biah (suasana)nya, kehidupan pada zaman itu, siapa yang tulis, siapa yang baca, siapa yang mendengar dan bermacam elemen yang perlu diperhatikan jika benar-benar kita mahu belajar tentang syair... Memahami secara samberono membuatkan kita tidak faham apa-apa tentang apa yang dibaca..Membacanya juga ada cara... Lihat bagaimana syair itu dibaca, dan praktikkan.. Barulah syuur atau penghayatan itu akan hadir dalam diri.

*subhanallah*

Lalu perbicaraan ustazah disambung lagi...

“Mengapa di Zaman Jahiliah mereka menanam anak perempuan?” Ustazah berbicara/

“sebab mereka tak suka..” ada yang menyambut bicara ustazah.

“Saya bukan tanya.. Sabar. Saya belum lagi tanya. Sebenarnya ia disebabkan oleh hubbun syiddah. (suka sangat-sangat.) orang zaman itu tersangatlah suka kepada perempuan. Lihatlah di mana tinggal. Di sahara (padang pasir) nan kering kontang dan tiada air yang cukup.Kena selalu berpindah randah untuk meneruskan kehidupan. Lantas, dalam keadaan begini, mereka cepat marah dan nafsu meningkat. Bagi mereka, punya anak perempuan susah untuk diuruskan. Dalam masyarakat arab sebenar, hatta apabila suami dan isteri berjalan, lalu datnag kawan kepada si suami, isterinya akan berlalu ke tepi.”

“Mengapa? Jika tidak, si isteri apabila pulang ke rumah akan dibelasah kerana seolah-olah melayan lelaki lain. Bagi mereka isteri itu milik/hak suami. Milik iaitu hanya dia yang punya.”

“Penyelesaiannya, dibunuhlah anak perempuan itu kerana kelak apabila besar mungkin ada orang yang akan tidur dengan anak itu, ganggu anak itu... senang cerita bunuh dari awal.”

*astagfirullah*

Tidak habis di situ bicaranya...

“Orang Arab ini mereka suka kepada mubalaghah.. extremisme.. hiperbola. Lihat sahaja syair mereka, jika sesuatu itu cantik, dikatanya bulan... jika menarik.. matahari.. jika punya ilmu luas... laut, tidak dikatanya sungai atau kolam. Merekalah orang yang sanggup letupkan diri dengan mengikat bom di pinggang. Mereka orang nekad dan sangat berani.”

“Kita bukannya hidup dalam zaman itu. Lalu, syairlah yang memberitahu kita segalanya.. Tentang kehidupan zaman itu. Kita akan belajar tentang culture. Tentang budaya. Dengan apa kita belajar? Melalui syair yang ditulis ketika zaman itu.”

“Penyair itu dikatakan lidah qabilah, wartawan dan jurucakap bagi sesuatu qabilah. Bayangkan dalam kehidupan yang payah dan perlu selalu mereka berpindah randah, hadirlah seseorang yang boleh bercakap sesuatu yang hebat, yang tidak mereka dengar. Mereka ini sangat menghormati dan memuliakan penyair. Kata-kata penyair itu disampaikan daripada mulut ke mulut, cakap-cakap dan mereka percaya. Kata mereka, di balik seorang penyair itu ada jin yang mereka panggil syaitan. Bagi mereka hanya ada dua, samada mereka yang hebat itu syaair (penyair) atau sahir (tukang sihir.) Kerana itulah apabila Nabi Muhammad SAW hadir membaca al-Quran yang penuh mukjizat, mereka menuduh Nabi Muhammad SAW ahli sihir dan penyair.”

“Kita akan lihat bagaimana syair zaman Jahili sampai sekarang masih ada penyair yang terpengaruh dengan syair Jahili dan dijadikan sumber rujukan. Syair yang dikarang 1400 lebih tahun yang lalu... Hanya ada dalam bahasa Arab. Bahasa Melayu? Bahasa Inggeris?”

*Subhanallah*

15 September 2011

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan]: Catatan Dalam Diam versi 4

Petang semalam tidak menjadikan aku serik.
Usai kelas introduction to translation yang mengundang bermacam rasa dalam diri, aku bergegas menuju ke Hentian Bas Safiyyah. Sudah berjanji dengan kak Sarah MPR 2007 untuk menghantar kembali buku yang aku pinjam tempoh hari. Dalam renyai hujan, setelah solat Asar di Masjid Biru, aku terus menuju ke hentian tersebut. Ya Allah, semakin banyak kereta dalam Taman Ilmu dan Budi ini. Semakin takut pula aku untuk melintas jalan, dengan mata yang makin terhad pandangannya. Kereta beratur panjang, dan harus berani menyusp untuk melintas. Bas sasaran aku T231 untuk ke Terminal Putra. Setengah jam menunggu, hanya sebuah yang hadir. Manusia padat. Aku mengundur. Teringat yang aku mahu ke KL Sentral, lalu U12 aku naiki sampai ke Masjid Jamek. Inilah kali pertama.
Dan ini aku mahu cerita...

Bukan tentang bas yang sangat sejuk hingga aku menggigil.
Bukan tentang hujan yang terus mencurah.
Bukan tentang jalan nan macet.

Turun daripada bas, aku jalan laju-laju. Tujuannya Stesen LRT Masjid Jamek untuk teruskan perjalanan ke KL Sentral. Aku terdengar orang panggil..

“Kakak...”

Spontan aku berpaling. Mana tahu ada yang tidak kena dengan aku.

Dada berdebar. Makin lama makin kuat debarannya. Aku jadi takut. Aku seorang perempuan. Waktu menjelang senja. Orang itu lelaki. Aku terus jalan laju-laju.. Hanya dengar beberapa patah perkataan...

"Saya nak minta tolong.... "

"Baru balik kerja... " 

"dua ringgit... "

"no telefon.. nanti saya ganti.."

Hanya sedikit telinga menangkap dek ketakutan yang makin beraja dalam diri... Seberani mana aku sekalipun, aku cuak juga dengan situasi ini.. Jalan sampai kedai buku Mu’min... Terus aku masuk ke dalam kedai buku tersebut. Lelaki itu tidak lagi mengikut. Aku menuju ke pintu, melihatnya belum jauh, aku masuk semula ke kedai tersebut dan keluar apabila merasa selamat...

Kotaraya yang penuh warna hitam dan putih harus berhati-hati sementelah ketika itu aku seorang perempuan dan sendirian. Jika benar dia mahu meminta tolong ramai lagi yang boleh diminta.... Entahlah... Ampunkan aku, ya Allah.... Bersangka dengannya namun aku harus menjaga diriku yang bersendirian ketika itu. Jika benar mengapa dia berhenti ketika aku memasuki kedai itu... Lindungilah aku, ya Allah...

Alhamdulillah....

Dengan dada berdebar aku terus melangkah tanpa pandang kiri kanan. Jalan selaju mungkin untuk sampai ke stesen LRT Masjid Jamek. Setelah memasuki bangunan barulah aku lega. Dada tidak lagi berombak... Beli tiket dan menuju ke KL Sentral..

Beberapa bulan juga aku tidak menjejak KL Sentral kerana tiada sebarang keperluan. Aku cuba menghadkan aktiviti luar dengan keadaan yang tidak terjamin sekarang ini... Aku harus lebih berhati-hati.. Yakin Allah memerhati dan menjaga diri, Insya Allah...

Jam lapan lebih aku tiba di UIAM ketika bilal mengalunkan iqamat untuk solat berjemaah Isyak. Terus aku menghantar kad Rabbit milik Habibah dan membeli makanan..

Alhamdulillah, tamat sehari yang akan aku ingat... Peringatan supaya aku berhati-hati terutamanya seorang diri...

Terima kasih ya Allah, selamatlah aku hari ini...

Qamar Durrah,
9.39p.m/14.9.2011

Catatan Dalam Diam versi 3

Bahagia andai terus tersenyum
Alhamdulillah, aku masih Allah berikan kesempatan untuk berada di Taman Ilmu dan Budi ini. Semalam siswa-siswi lama yang bercuti lima bulan dan dua bulan kembali menyambung perjuangan di taman ini. Aku? Sudah lima hari aku berteduh di bumi ini. Sengaja datang awal, usah ditanya mengapa kerana aku sering tiada jawapan pada perkara yang aku lakukan. Sengaja tidak mencari jawapan dan lakukan untuk kepuasan diri sendiri.

Semester ini aku akan melaluinya tanpa PTPTN. Pinjaman aku telah disekat kerana pencapaian dalam pelajaran yang mengecewakan dan tidak memenuhi syarat untuk dilanjutkan pinjaman.  Senyum tidak perlu kata apa-apa. Insya Allah, ini pengajaran untuk diri aku sendiri yang sangat bena tak bena dengan pelajaran sendiri. Ayah, kakak-kakak, maafkan puteri bongsu ini yang telah dihanyutkan perasaan. Bergenang juga mata saat melihat baki akaun tempoh hari, namun sendiri buat sendiri tanggunglah kan. Jadi, aku harus terus dan terus tersenyum.. Yeah!

Alhamdulillah, sudah bertemu mata dengan teman seangkatan yang banyak membantu aku. Sudah bermula kelas pastinya payah untuk bertemu, jadi alhamdulillah, permulaan semester aku bertemu sudah dengan Ainul, Rokiah, dan Habibah. Istimewanya, empat hari Kak Husni menghuni bilik aku. Suka sangat. Bukan selalu aku menerima tetamu di bilik kecil milikku ini,  Maaflah dengan keadaan yang tidak sempurna dan perlu tidur atas lantai mozek nan sejuk itu. Tiada makanan... Ish.. apalah aku layan tetamu... Tiitt.... Kak Husni sudah tahu sisi lain seorang Jamilah. Suka membuatkan orang tertunggu dengan kerjanya nan lemah gemalai (baca: lambat. Hihi)

Semester baru.
Cerita baru.
Suasana baru.
Tidak sama.

Memang tidak akan sama seperti yang lalu. Satu demi satu perubahan. Cerita lama berganti cerita baru... Bersedialah wahai diri untuk menerima perubahan itu. Keep smiling, wokeh!

Rasa mahu tampar-tampar muka sendiri yang cepat membiaskan riak akan rasa dalam diri. Agaknya orang lain membaca reaksi dan lebih percaya akan bahasa badan berbanding percakapan aku. Huwaaaa... Aku boleh menipu dengan bicara manis namun mengapa badan sering tidak bekerjasama? Tulisan juga akhirnya mengkhabarkan semua rasa yang disembunyi dalam bicara. Aku cepat melontarkan riak apabila ada yang tidak kena. Ada yang aku tidak selesa. TIDAKKKK.. Ini sama sekali tidak wajar kerana tanpa sedar aku akan menyebabkan orang lain serba salah, serba tidak kena.. Maafkan aku kalian. Aku langsung tidak berniat begitu... Percayalah.

Ya Allah, lorongkanlah diri ini ke jalan yang Engkau redhai. Jalan yang membuatkan aku teguh berdiri. Meski aku hanya berdiri dalam sunyi, benarkanlah kesunyian itu merubat hati. Permudahkanlah aku dalam menuntut ilmu dan semoga terus kekal dalam diri. 

Usah dibiar segala perasaan yang bercampur dalam diri menjadi sesuatu yang merencatkan perjalanan hari. Ah, kamu tidak berdoa bagaimana untuk Allah kabulkan permintaanmu? Tidak boleh kamu ubah semua, sedikit pun jadilah!

Teringat aku pesanan kak Husni ketika kami sama-sama berjalan ke JJ. Biar aku mahu lekatkan ia di sini, biar setelah berulang kali aku baca, ia akan kembali dalam ingatan aku... Terima kasih selalu ingatkan aku.. “Kalau kita tidak kiralah di mana-mana, terjumpa dengan orang yang mungkin pecah tayar kereta atau dalam sekecil mana sekalipun masalah, doakanlah semoga Allah permudahkan urusannya. Dan ketika kita melihat orang yang mungkin auratnya tidak sempurna, ada yang tidak kena dengannya, doakanlah agar Allah berikan padanya hidayah. Kita akan rasa bahagia” [ayat aku sendiri, lebih kuranglah maksudnya]

Alhamdulillah atas segala-galanya. Kisah hidup setiap manusia berbeza agar menjadi pengajaran untuk diri orang lain. Maka, bersyukurlah atas segala yang aku terima walau bagaimana ceritanya. Maka, aku mahu terus menulis sedikit ceritera perjalanan diri sepanjang kehidupan ini... Allah, Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan memberi yang terbaik untuk aku. Alhamdulillah.
senyum tidak perlu kata apa-apa.

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan]: Catatan Dalam Diam versi 2

Sahabat mewarnai hariku.
Kenapa semua orang baik?

Orang sekeliling sering membuatkan aku rasa terharu dengan kebaikan mereka. Sahabat yang aku punyai dan gauli tidak ramai namun yang sedikit ini terlalu bermakna buat diri ini. Sahabat manakah lagi yang kita impikan melainkan mereka bukan hanya bersama-sama kita saat senang, namun berusaha memudahkan urusan saat kita tersepit dalam keadaan yang disebabkan diri sendiri. Inilah hikmahnya pinjaman aku disekat, aku tahu bahawa di sekeliling aku masih ramai yang baik. Baik. Baik.

Segan aku. Sudahlah aku bukannya orang yang suka menolong atau pedulikan orang lain. Allah berikan pula aku sahabat yang ingat aku. Terharu. Rasa mahu menitik air mata walaupun hanya sebaris kata atau sebaris mesej yang mereka ucap dan tulis.

“jamilah ada duit tak?”

Kalian. Terima kasih. Insya Allah setakat ini aku masih boleh bertahan.  Usah risaukan aku. Aku okey. Insya Allah kewangan aku masih okey. Aku terharu. Aku rasa mahu menangis ketika kalian tanyakan soalan nan satu ini. Terasa bahawa aku yang menyusahkan kalian. Aku membuatkan kalian risaukan diri aku nan seorang ini. Maafkan aku sahabat.... Kak Husni, Habibah, Kak Ema, Ainul.. Marziah yang jauh di mata namun dekat di hati. Maafkan aku jika aku sudah menyusahkan kalian dengan kerenah diri ini. Jangan risaukan diri aku ya.

Tak apa kan makin kurus? Hihi. Biarlah nampak sekeping papan atau tidak cantik, kan?

Allah, terima kasih memberikan aku sahabat yang baik. Mereka membuatkan aku mahu lari jauh-jauh sembunyi dalam gua jauh di dalam gunung. Malunya aku dengan diri sendiri dan mereka. Kerana masalah ini mereka tidak lupakan aku. Namun mana mungkin aku bertindak demikian kerana Jamilah sekarang bukanlah Jamilah yang dahulu lagi. Aku tidak mampu lagi hidup bersendirian seperti dulu-dulu. Aku tidak boleh diam seorang diri... Aku senang apabila nampak senyuman orang lain. Melihat kesungguhan orang...

*kesat mata yang basah*

Ya, aku perlu bertabah. Seperti lagu yang sedang aku dengar mengiringi penulisan entri ini. Doa oleh kumpulan Nice. Baris demi baris nasyid itu membuatkan aku tersedu. Betapa doa itulah sebenarnya senjata orang Muslim. Allah dengar doa sahabat buat sahabatnya dalam diam. Kata-kata kita doa...

*carilah lirik lagu ini di google*

Terima kasih, Allah....

13 September 2011.
Bawah Meja Qamar Durrah.

11 September 2011

Durrah Nur Aqilah: Berani Bermimpi.


Aku tidak kuat dalam pencarian ini. Sering dan terus tersasar langkah kaki daripada arah sebenar perjalanan dalam mencari makna diri. Hati yang aku miliki terlalu kecil mungkin untuk kembali mengukir impi setinggi langit, merenung dalam-dalam hakikat kejadian diri dan berusaha mencari ‘bakat’ yang Allah telah bekalkan dalam diri ini. Benar. Hati yang kecil tidak membenarkan diri melangkah jauh ke dunia cita-cita yang aku impikan suatu dahulu.

Aku makin takut untuk bermimpi atau memandang jauh ke hadapan. Apa yang aku nampak adalah hari ini yang aku lalui. Hari ini penuh warna, esok kelabu, lusa putih, tulat hitam dan hari-hari seterusnya yang kadang aku sendiri tidak mampu menjangka itulah hari yang pernah aku lalui. Tidak seperti harihari mudaku yang penuh dengan semangat untuk memburu sebuah impian. *impian menjadi seorang penulis*

Pernah saat usiaku ranum 17 tahun yang dipanggil sweet 17 aku catatkan satu demi satu impian yang mahu aku capai untuk masa depan aku, dan kini sudah lima tahun berlalu, menjadikan aku seolah lupa pada impian nan satu itu. *penulis*

Pada orang lain, tentu mereka punya citra dan cita yang mahu dicapai dalam hidup. Makin besar hatinya, makin tinggi impinya, makin besar usahanya. Tentunya semuanya dilorong oleh pengharapan dan doa-doa yang tidak putus dalam meneruskan hari. Aku bahagia. Aku tumpang gembira melihat seorang demi seorang teman-temanku mencapai kejayaan dalam hidup dan kehidupan mereka. Aku tumpang senyum melihat kejayaan orang lain. Sampai bila? Sampai bilakah aku hanya menjadi pemerhati yang melihat daripada jauh dan belakang orang lain dan duduk jauh-jauh tanpa turut menyertai kejayaan itu? Sampai bilakah wahai diri?
Tidak salah gagal. Gagal berkali-kali dengan sebab yang sama tanpa mahu membetulkan keadaan itulah yang celaka. Mengapakah kamu hanya melihat kegagalan yang pernah kamu lalui seolah-olah hanya sebahagian kisah hidup yang perlu kamu harungi? Sedarkah kamu yang Allah tidak berikan kamu kegagalan melainkan untuk bangkit dan kembali berjuang melawan kegagalan itu. Tebuskan kegagalan dengan menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Melihat orang lain tidak salah, namun cucilah karat dalam hati. Hati nan kotor menyukarkan diri untuk menerima ilmu yang mana kata Imam Syafei: Ilmu itu cahaya, dan cahaya tidak menembusi hati yang kotor. Lantas bagaimana ilmu akan melekat jika yang dimiliki oleh kamu ialah hati yang berkarat bertahun-tahun terbiar tanpa penjagaan yang sewajarnya. Di manakah kamu tinggalkan bahan pencuci yang dapat menyental hatimu biar kembali berkilat dan bisa cahaya ilmu masuk ke dalamnya?

Terasa jauh. Jauh benar aku tersasar.
Allah, lorongkan aku jalan.
Kembali ke jalan kebenaran.
Biar matiku kelak bukan hanya jasad tertanam namun amalan berjalan.
Usah terlalu asyik melihat diri orang lain.
Hingga lupa diri yang perlukan perhatian.
Hati yang perlukan belaian.
Sinar iman yang makin malap.
Allah, kembalikan hati itu..
Aku dambakan kasih-Mu Ya Allah,
Ingin aku teruskan kehidupan dengan suatu erti,
Memberi erti bukan hanya menyusahkan.
Memberi bukan hanya menerima.
Memberi bukan hanya melihat.

Kekok.KAKU. Kelam.
Ya Allah, jangan biarkan harimu suram oleh gelap dosa yang menutup cahaya daripada menembusi jiwaku. Dosa yang membuatkan aku terus dan terus menambah dosa. Ya Allah, berikan orang yang aku sayangi hidayah berterusan agar mereka terus beroleh keberkatan dalam hidup, mendapat kebahagiaan yang dicari dan mencapai segala kebaikan buat diri mereka.

*terdiam*

Lalai, alpa, lupa.





Ya Allah, lorongkan aku jalan menuju kebaikan.
Jagalah orang yang aku sayangi.
Ayah.
Mak.
Nenek.
Kakak-kakak.
Abang-abang.
Anak-anak saudara permata hati.
Sepupu-sepapat.
Ibu ayah saudara dan semua saudara jauh dan dekat.
Sahabat.
Teman.
Kawan.
Kenalan di dunia nyata dan mata.
Semua oang Islam.

Jauhkan kami daripada dua penyakit...
CINTA DUNIA.
TAKUT MATI.
Sesungguhnya orang beriman itu rindukan kematian kerana itulah permulaan kehidupan menuju Rabb...
Allah.



06 September 2011

Random Rant.

Harus berani bermimpi.
Berada dalam dunia mimpi adalah momen terindah apabila yang terlihat adalah yang cantik-cantik, yang muluk-muluk, yang menarik semuanya. Namun apabila diri berdiri dalam dunia realiti haruslah bersedia berdepan hakikat yang bernama kehidupan. Manis, masin, masam, pahit, semuanya teradun menjadi ramuan dalam kehidupan.

Lalu, mengapa harus kamu menjauhkan diri, menjarakkan dirimu dengan dunia realiti. Tidakkah kamu sedar yang hidupmu bersama-sama manusia di dunia sebenar bukannya dalam alam mimpimu itu. Keluarlah! Buangkan selimutmu dan lihat dunia sebenar yang apabila hitam kau pilih itulah jadinya dan andai warna pelangi yang corakkan kehidupanmu bahagia hadir mekar dalam jiwa. Ya, kehidupan kita bagaimana diri itulah yang memilih.

Banyak kali aku dimarah kerana tindakan nan satu itu. Melarikan diri dan menjarakkan diri supaya perihal sebenar tidak terlihat namun akhirnya hal menjadi makin payah dan susah. Allah. Terasa aman apabila tidak ada yang tahu apakah yang sedang dilakukan sekarang, bagaimanakah perasaan sekarang, namun akhirnya aku terperangkap dalam kesunyian kerana perbuatan sendiri.

Bukankah muslim itu bersaudara dan kekuatan terbina kerana kita bersaudara?

Titik.

Rapuan yang entah mana melelncongnya..

Terperasan aku sejak dua menjak ini gempa berlaku di mana-mana.. Setiap hari sana -sini dilaporkan ada berita tentang gempa bumi, banjir dan bermacam-macam bencana yang menimpa..

Kelahiran bayi makin meningkat namun selalu juga kita dengar semakin banyak kematian-kematian yang tidak terduga.. allah..

Engkaulah Yang Maha Mengetahui.
Dunia ini tidak mampu menanggung dosa penghuninya.
Aku yang hidup belum kembali ke jalan mula.
Mengenal diri yang makin menginjak usia.

=(

05 September 2011

Nak Kahwen?

 
Seakan baru tersedar yang diri ini sebenarnya makin menginjak tua.
Zaman kanak-kanak sudah lama berlalu,
Zaman remaja makin meninggalkan diri,
Usia dewasa mula nampak dalam diri,
Walau perangai geraknya hanya berinci.

Baru tersedar usia makin menuju mati,
Adakah bekalnya nanti?
Anak yang soleh.
Ilmu yang bermanfaat.
Sedekah jariah yang pernah dilakukan.
Lalu, yang mana ada pada diri?

Anak?
Rasanya dalam fikiran masih jauh untuk fikir tentang sebua rumahtangga atau baitul muslim. Sungguh. Walaupun sudah ada dan makin ramai sahabat, sepupu yang dahulunya membesar bersama-sama dan kenalan yang menginjak dunia baru alam perkahwinan, aku belum terdetik untuk itu. Mungkin 'pernah' namun tidak lagi. Setelah aku terfikir yang bagaimana nanti lahirnya seorang zuriat yang menyalin perangai aku, aku seakan khuatir untuk walaupun hanya berfikir tentang alam perkahwinan. titik.

Beruntunglah mereka yang peroleh zuriat dalam usia muda. Anak adalah aset yang sangat berharga buat yang bernama ibu ayah.

Ilmu yang bermanfaat?
*tundukkan kepala dan fikir berulang kali*
Ilmu apakah yang pernah aku kongsikan dengan orang lain?
Apakah yang aku selalu kongsikan dengan orang lain?

Sedekah jariah?
*geleng kepala*

Lalu, adakah jika matiku Allah takdirkan tika ini, ada bekal yang dibawa bersama?
Atau dosa menghambat saban masa, menjadi beban di pundak pada hari Muka.
Tiadalah orang lain menanggung amalan orang lain...

Allah.

***




Alhamdulillah. Selamat sudah seorang sepupuku melangkah ke alam perkahwinan setelah beberapa bulan lalu kakakku bergelar isteri. Semoga kalian dikurniakan rumah tangga penuh aman harmoni dan penuh mawaddah dan rahmah...

01 September 2011

Kawan Kawen.



3 Syawal 1432 sekali lagi aku menjejak bumi Baling. Alhamdulillah, walau setahun sekali seakan menjadi rutin pula aku turun ke Baling pada musim perayaan. :)

Memenuhi undangan jemputan majlis menyambut menantu teman bernama Rokiah di Ketemba Kememeh.
Sempat juga bertemu Saadiah di Baling sebelum aku mengangkutnya bersama-sama ke Ketemba Kememeh.

Pusing-pusing mencari hadiah akhirnya ketemu selepas beberapa jam.. Haha, jangan marah pengantin dengan hadiah yang diberi. =)

Sampai di Pekan Baling hampir jam satu tengahari.
Pusing-pusing pekan-balut hadiah-Solat Zohor... akhirnya jam menunjukkan jam 3.30 petang.
Tunggu bas hampir setengah jam.
Hampir jam lima barulah sampai di rumah kenduri.
Makan-masuk bilik pengantin-borak-borak-tumpang solat-sesi fotografi sebentar-selesai.
Pulang dihantar pengantin hingga ke simpang.. (walaupun bukan jauh untuk berjalan kaki sendiri. :) )

Tunggu bas hingga 6.30 sebelum nampak bas Baling-Kulim.
Hampir jam 8 tiba di Kulim. Bas hanya turunkan aku -seorang penumpang yang sampai ke Kulim- di tepi jalan, bersebelahan Maybank bukannya di stesen bas.
Tidak banyak cerita, aku turun. Jalan terus tanpa pandang kiri kanan.
Alhamdulillah, selamat tiba di stesen bas.
Solat Maghrib.
Minum teh-o-ais-limau..
Tunggu ayah..

Pulang..

Akhirnya hampir separuh hari berjalan hari ini.
Paling lama hanyalah masa menunggu bas...

Moralnya, belajarlah memandu dan miliki kenderaan sendiri, nescaya anda mudah untuk bergerak ke mana-mana sahaja.

Baik, jemari tidak rajin mengetik panjang-panjang..
Alhamdulillah..
Selamatlah majlis di pihak perempuan.
Semoga kalian bahagia hingga akhir usia dan dikurniakan zuriat penyambung keturunan yang soleh solehah. Amin..