14 August 2011

Pelita Hidayah

PELITA HIDAYAH
Lu'luah Nur Jamilah

Umpatan dan saya seperti daging dan kulit yang sudah bercantum. Melihat sesuatu yang bukan kebiasaan mata, hati cepat membaut onar. Akal berkata sesuatu yang tak baik.

“Eh, cikgu pakai tudung tak padan dengan baju. Cikgu ni memang tak pandai bergaya.”

“Tak seronoklah cikgu ajar. Macam bersyarah, mana pelajar tak mengantuk Cikgu tak pandai mengajar.”

“Tengoklah dia tu, kerjanya berkepit, buat maksiatlah tu.”

“Ayah bukannya baik sangat. Saya seorang pun tak terbela.”

Bisikan-bisikan begini, malah pelbagai gaya dan perkataan lagi sudah saya ungkapkan jika ada sesuatu yang mengisi pandangan. Saya payah untuk memuji namun cepat untuk mengeji.

***

JEMPUTAN

Bip, bip.
Saya membuka peti masuk telefon bimbit, melihat pesanan ringkas yang baru diterima.

Salam, adikku yang dikasihi, akak nak ajak adik menyertai kem ibadah minggu ni. Percuma! Banyak aktiviti menarik yang diatur. Harap adik dapat berikan jawapan segera. ;-)

Hati saya mendongkol. Untuk apa semua ini? Saya ke sini untuk belajar. Saya dah ada asas agama. Jahil sangatkah saya? Sudah berkali-kali Kak Huda mengajak tapi saya hanya menolak. Katanya, kita perlu mempersiapkan diri dengan tarbiah islamiah yang lengkap, supaya tak terkapai-kapai apabila tamat pengajian kelak. Supaya kita tak hanya menjadi pengikut buta.

Saya kurang faham, tapi saya diam. Saya simpan persoalan hanya dalam diri. Tak siapa tahu apa yang saya ragukan. Saya malu. Memang malu tak bertempat. Orang selalu cakap kalau malu ni, susah jika tersesat, tak jumpa jalan pulang. Saya segan untuk tak pergi. Saya balas pesanan ringkas itu.

"Insya Allah."

Saya sampai juga di Masjid Raudhah, di pinggir negeri Sentosa, sebuah perkampungan di selatan Negeri Damai Abadi. Kehadiran saya di sini tanpa ada kenalan untuk dihubungi, hanya mengenali Kak Huda. Pagi Jumaat itu memberi aroma baru bagi indera saya. Di kelilingi teman-teman yang kebanyakannya bertudung labuh, –sedangkan saya bertudung biasa- namun amat mesra. Semuanya muslimah, memberi ruang selesa untuk peserta dan fasilitator berinteraksi. Mata sempat memerhati bilangan peserta yang hadir, yang saya anggarkan seramai 100 orang.

Masjid Raudhah tidak semewah Masjid Mutiara, di negeri penyu bertelur. Hanya binaan batu dua tingkat dengan dekorasi ringkas. Kesederhanaan inilah yang memberi saya ketenangan. Tak serabut mata memandang ukiran melampau dan menyesakkan mata untuk beribadah. Bahagian bawah untuk muslimin bersolat dan bahagian atas untuk muslimat. Warna hijau mudanya menyedapkan pemandangan.

Saya rasa tenang menerima pelukan kakak-kakak yang sedia menanti di situ. Lenyap segala prasangka. Saya terharu dan tersentuh, namun menghadiahkan senyuman lebar. Terasa Tuhan lorongkan saya pada jalan yang betul. Saya harapkan akan dapat sesuatu untuk dibawa pulang. Saya rasa doa saya selama ini untuk berubah dimakbulkan.

Saya banyak buat salah sebelum ini. Tapi saya yakin Dia tahu saya mahu bertaubat. Kematian seorang sahabat seusia, teman baik saya, menyuntik rasa ingin berubah. Mati tidak mengenal usia tua atau masih hijau. Saya takut tak dapat jawab soalan kubur. Saya mahu mati dalam iman. Kematian sahabat saya ini menjadi titik mula saya mengenal solat taubat.

Doa untuk berubah! Kejahilan semalam menghantui diri saya. Tapi saya membiarkan diri tenggelam dalam dosa. Tak sedar maut itu tiada isyarat. Sudah baligh pun saya suka melewatkan solat, kadang-kadang terlepas. Lebih-lebih lagi, solat Subuh, erat benar syaitan menyelimutkan aku, hingga sukar aku leraikan selimut daripada tubuh. Astagfirullah..

Terimalah keinsafan yang mengalir dalam diri ini, Tuhan. Saya menutup aurat sekadar syarat dan peraturan sekolah. Di luar, jika terasa panas, saya membiarkan rambut terdedah.

Tuhan sudah lorongkan saya untuk berubah. Saya yang perlu kuat, sekuat Asiah yang hidup bersama Firaun, namun tetap kebal akidahnya. Seteguh Masyitah –tukang sisir anak Firaun- mempertahankan agama. Setabah Sumayyah dan keluarganya walaupun diseksa sangat pedih. Mereka wanita mulia yang diangkat namanya dalam Al-Quran.

***

MALAM PERASMIAN
"Selamat datang adik-adik yang akak sayangi. Tahniah dan syabas kerana adik-adik merupakan insan yang ALLAH tentukan untuk berada dalam satu daripada taman-taman syurga." Kak Huda, selaku wakil urusetia memberi amanat.

Saya mencatat isi-isi penting, sebagai rujukan. Saya berusaha ikhlaskan niat. Lillahitaala. Lupakan niat sebelum ini. Seperti peserta lain, saya mahu memberi peluang kepada rohani saya untuk menerima santapan. Santapan paling sedap adalah manisan beribadah pada ALLAH.

Saya yakin semua yang hadir di sini punya sejarah hidup tersendiri. Semuanya mahu memberi hidangan baru pada hati. Meneguk cinta ALLAH dan menadah rahmat-NYA.

Saya tak mahu ilmu ini lesap selepas keluar daripada masjid ini. Saya terfikir, memang kita sebenarnya insan terpilih. Bayangkan dalam banyak-banyak sperma, kita yang terpilih hadir di muka bumi, memegang amanah sebagai khalifah. Kita, yang lahir di dunia ini, ALLAH tentukan untuk mentadbir muka bumi. Kita perlu siapkan diri sebaiknya.

Saya tak boleh dan enggan berpaling. Saya perlu teruskan hidup, mesti ubah diri, justeru bersedia, tekal lupakan kepahitan silam. Bukankah sebelum ini Islam pernah gemilang kerana kekuatan rohani para penganutnya?

Sedangkan masyarakat sekarang? Apa yang tinggal kini? Saya biarkan persoalan ini berlegar di kepala. Semalam adalah kenangan yang tak perlu dikenang, saya perlu mencipta esok yang gemilang agar tak jadi seperti masyarakat Musyrikin. Mereka tersesat dalam dalam terang cahaya nubuwwah. Celakalah orang yang semalam lebih baik daripada hari ini.

Saya teringat kisah pengikut nabi Musa yang terlalu banyak meminta. Diberi makanan manna dan salwa yang didatangkan dari syurga, dipinta pula makanan lain. Padahnya mereka menyesal tak sudah. Menyesal dahulu untung, menyesal kemudian malang.

Kak Hidayah menghulurkan sehiris epal yang merupakan barang amanah. Nampak mudah namun sehiris epal itu perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan baik. Setiap peserta punya kreativiti tersendiri untuk menjaganya.

"Bagaimana ya? Nampak remeh, tapi tak mustahil akan diambil orang. Terdedah, tentu cepat warnanya bertukar." Saya bersuara pada diri sendiri. Akhirnya, dengan cermat saya balutkan dengan kertas yang dibekalkan, -kertas untuk mencatat nota- sebelumnya dilapik tisu beberapa helai. Janji saya, tak akan saya buka pembalut itu selagi tak diminta. Saya tak mahu epal ini rosak. Saya masukkan sehiris epal itu dalam fail.

Sesi ceramah di dewan kuliah petang itu mencabar diri dan peserta lain. Perlu bersila untuk tempoh dua jam, tanpa penghawa dingin menguji kami. Syaitan mula mengambil peranan, disapu celak pada mata, mengantuklah anak adam. Disapu bibir dengan gincu, pot, pet, pot, pet, kedengaran ada yang bersembang. Saya cuba usir, tak mahu terlepas masa berharga di taman ilmu ini berlalu sia-sia.

"Fiza, bangun, Ustazah tu panggil."

Terkejutlah sahabat di sebelah saya yang sambil bersimpuh, tersengguk-sengguk. Kasihan saya melihat. Bulat matan hitamnya. Dia memuncungkan bibir, marah dengan tindakan saya. Saya tersenyum padanya. Dia masam, saya telah mengganggu tidurnya.

"Kamu tidur. Saya cuma nak kejutkan."

Teringat pesanan Ustazah Maimunah, penceramah yang diundang hari ini. Kita perlu menjadi 'seseorang' bukan jadi sesiapa sahaja. Kita perlu ingat, seandainya ALLAH menuntut bayaran terhadap kurniannya selama ini, mampukah kita membayarnya? Misalan, ALLAH tuntut setiap deruan nafas dibayar 5 sen, hanya lima sen seminit, sejam, berapa, sehari, berapa usia kita? Kita tak akan mampu membayar. Hanya satu tamsilan.

Nikmat ALLAH terlalu banyak, hanya kita yang ingkar, tak menilai pemberian ALLAH pada kita. Mujurlah semuanya percuma, namun ALLAH tetap hisab di Akhirat kelak, setiap yang dipinjamkan pada kita hari ini. Kita jangan mudah terpedaya pada ajakan jeneral musuh dalam diri, yang menghasut pada mungkar dan kejahatan. Mujahadah kita melawannya dibalas dengan pahala berganda.

***

BANYAK ILMU
Mendengar kuliah subuh membuatkan saya termenung panjang. Tapi tertanam satu semangat baru dalam diri saya dan mungkin kawan-kawan. Rasa semangat untuk menghadiri kuliah ilmu dan mahu menambah ilmu di dada. Saya banyak berdiam diri di sini, berfikir apa yang saya lakukan selama ini.

Saya selalu ingkar pada arahan Mak Ayah. Kadang-kadang ustazah, guru-guru dan kakitangan sekolah menjadi habuan umpatan saya. Saya komen perkhidmatan dan cara mereka belajar. Kerana itulah ilmu yang saya terima payah lekat dalam kepala.

Saya cuba hitung dalam diam. Saya rasa takut, tapi saya sematkan azam jitu untuk berubah, pasti ALLAH tolong. Saya ingat pesanan Kak Huda semalam. Isikan masa lapang dengan zikrullah. Habiskan masa dengan ingat mati. Basahkan lidah dengan kata-kata baik.
Semalam saya menangis dalam sujud solat malam. Lama saya tinggalkan solat malam, qiamullail, menangis ketika berdoa usai solat wajib dan sunat, semuanya jarang saya lakukan setelah tamat persekolahan. Umur sudah 20 tahun, namun leka pada kehidupan dunia, lupa kewajipan sebagai hamba. Hari ini saya dapat ketenangan yang tak terucap.

Saya nak berikan makanan sebanyaknya pada rohani saya. Saya tak rela menghadap Tuhan, sedangkan kantung amalan kosong. saya takut, maut menjengah saya saban masa tanpa saya sedar. Sesi ceramah kedua, mata saya basah lagi. Saya tak mampu tahan sebak. Saya ingat apa yang saya buat sebelum ini. Ya, saya buat sekadar ikutan. Saya tak faham sepenuhnya apa yang saya lakukan. Alhamdulillah, saya rasakan ada nur menyerap dalam diri. Saya rasa lapang. Setiap kata-kata ustazah, masuk dalam fikiran. Saya tak rasa mengantuk.

Malam itu saya jumpa Kak Huda lagi. Saya kongsi kekosongan saya dengannya. Saya ucapkan terima kasih tak jemu ajak saya ke sini. Saya jumpa apa yang saya cari. Saya lihat dia seka mata. Saya peluk dia, erat. Ada tautan ukhuwah di situ. Saya tidur lena. Kumpul tenaga untuk tahajud. Saya nak jadi kuat. Saya tak akan lemah seperti sebelum ini. Setiap orang yang nak berubah, dan ada azam, Tuhan akan tunjukkan jalan, itu kata Ustazah Maznah semalam.
Saya rasa tak mahu pulang ke kampus, nak berlama-lama, tapi saya ingat, ada banyak tugas yang perlu saya bereskan. Asal saya istiqamah, biarlah saya berubah sikit-sikit.

Saya dapat kenal kawan-kawan dari pelbagai universiti, kolej, dan ada sedang menunggu pekerjaan selama tiga hari dua malam di Raudatul Ilm. Kami berkongsi kisah dan saya dapat banyak kisah menarik. Cara mereka dapat hidayah, cara mereka berubah, saya bersyukur datang ke sini.

Malam terakhir. Sesi muhasabah. Layar di pentas menunjukkan video kebejatan akhlak kini. Statistik anak luar nikah, bilangan anak muda terkorban kerana rempit, remaja lari dari rumah, sempit dada melihatnya. Tak sanggup saya hadapkan muka. Terlihat beban yang saya remehkan selama ini, tanggungjawab menyedarkan anak-anak muda sebagai seorang yang kata faham agama. Saya tersedu. Teman di sebelah sudah teresak melihat. Saya sudah penat menangis. Saya mahu lihat dengan mata hati. Buat penilaian dan fikirkan apa yang boleh saya buat selaku seorang remaja. Mereka kawan-kawan saya juga. Saya tak mahu dipersalahkan nanti kerana mengabaikan mereka. Mungkin ketika dalam buaian mereka dihidangkan dengan lagu, bukan alunan selawat. Mereka mengenal biduanita popular melebihi mereka ingat kelebihan diri sendiri.

"Penyakit sosial semakin parah. Kita nak pejamkan mata? Kita hanya fikirkan diri kita? Adik-adik yang akak sayangi, cuba bayangkan mereka ini bangkit menjadi pemimpin masa depan. Bagaimana keadaan negara? Apa jadi pada rakyat? Kita pelajar terpelajar, kena fikirkan orang luar sama. Mereka yang tak punya pelajaran, tersesat dalam mencari cahaya, kita bantu mereka."

Saya tunduk. Kata-kata biasa, namun tertusuk pedih di hati saya. Kena batang hidung saya. Saya tak endah masyarakat sekeliling saya, sibuk dengan diri sendiri. Saya tak terfikir kawan-kawan di luar. Asal saya dapat belajar, asal saya semuanya cukup. Saya bersalah. Tuhan, berikan saya jalan pulang kepada-MU.

***

PERPISAHAN SEMENTARA
Masa, berhentilah berdetik untuk seketika. Sayu dengan perpisahan yang bakal menjadi penutup pertemuan ini. Kami saling berpelukan, bermaafan, mendoakan agar ada kesempatan untuk bertemu lagi.

Tak puas saya meneguk cangkir ilmu daripada mereka. Saya perlukan lebih masa. Mintalah tempoh walau sesaat, masa tetap berjalan, menjalankan sunnatullah. Hari ini, kami berpisah untuk sementara. Saya rasa tenang yang tak pernah saya kecap sebelum ini. Saya mampu senyum riang, saya mampu ketawa, saya mampu menangis. Tuhan, temukan kami lagi di raudatul ilm, dapat kami bertukar fikiran, wacana, pandangan hatta masalah. Saya pulang bukan dengan tangan kosong. Saya rasa puas, syukur dan insaf.

Semoga perpisahan ini mengajar saya erti rindu saudara seislam, belajar menghormati saudara seagama, tahu menghargai rakan sekeliling, tak bersikap keakuan. Saya mahu dapatkan keredaan dan pergi lagi ke raudatul ilm.

No comments: