15 August 2011

Gilaplah Dirimu


Kemahiran memujuk, kelebihan dalam bidang penulisan, dan kemampuan berucap di depan khalayak merupakan bakat yang tidak dimiliki oleh individu secara semulajadi. Namun ini tidak bermakna kemahiran ini tidak dapat dipertingkatkan. Jika kita perhatikan situasi hari ini, ramai penulis yang bermula daripada sifar pengetahuan dalam bidang penulisan, namun kerana minat dan kesungguhan meningkatkan kemahiran dalam diri, menjadikan mereka antara yang terbilang dalam bidang ini.

Salah satu daripada langkah yang dapat diambil ialah dengan mengenali diri sendiri. Ramai yang menganggap mereka mengenali diri sendiri sedangkan realitinya tidak. Mereka mungkin tidak sedar akan bakat yang terpendam dalam diri masing-masing dan memandang diri serba kekurangan dan tidak memiliki apa-apa kelebihan. Sebagai misalan, kita perhatikan situasi ini. A tidak pernah berucap di depan umum dan amat gugup jika disuruh berucap. A akan mengelakkan diri jika disuruh berucap. Pada suatu hari, atas satu keperluan, A terpaksa berucap dan dia berjaya menyampaikan ucapan dengan baik. Situasi ini menunjukkan A sebenarnya tidak tahu bakat yang ada pada dirinya. Kepercayaan pada diri dan mencari kelebihan yang ada serta serta kekurangan pada diri dapat meningkatkan kemahiran interpersonal yang ada.

Langkah kedua yang boleh diambil ialah menjadi diri sendiri dan tidak dipengaruhi oleh persekitaran. Jangan terpengaruh oleh kata-kata daripada orang lain, kerana kita lebih tahu siapa kita. Untuk membentuk keyakinan pada kemampuan diri, keyakinan diri perlulah mantap dan tidak dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Sebagai contoh, individu itu boleh menghadiri kem-kem pembinaan jatidiri, atau kursus peningkatan interpersonal utuk meningkatkan kemahiran beerucap dan kemahiran berkomunikasi contohnya. Aktiviti dalam kumpulan terutamanya dapat membina keyakina untuk memberikan pendapat dan mencetuskan keberanian untuk berkongsi pendapat. Secara tidak langsung, aktiviti ini membentuk identiti diri tanpa terpengaruh oleh orang lain. Jadilah diri anda, nescaya anda akan bahagia.

Akhirnya, membaca adalah langkah yang tidak dapat tidak, mesti kita lakukan. Membaca bukan untuk menjadi ulat buku tetapi sebagai persediaan untuk menghadapi situasi yang tidak dijangka. Orang yang banyak membaca mampu memberikan pendapat secara spontan dan sentiasa segar dengan idea-idea baru. Seorang sasterawan, Dato A.Samad Said pernah berkata, maksudnya, pilihlah antara dua, berhabis duit untuk membeli ilmu, menghasilkan pengetahuan lebih baik daripada ada duit bertimbun tetapi dada kosong. Orang yang banyak membaca akan berani untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja sedangkan orang yang tidak membaca selalunya kematian idea dan takut sekiranya dia dikerahkan untuk memberikan pendapat.

Sebagai kesimpulan, sebenarnya terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kenahiran diri, asalkan diri sendiri berusaha untuk memperbaiki kekurangan pada diri. “Rom tidak dapat dibina dalam masa satu hari.” Kemahiran diri tidak dapat dibentuk dalam masa yang singkat tetapi memerlukan usaha yang berterusan dan kesungguhan yang jitu. Kemahiran yang digilap lebih baik daripada membiarkan bakat yang ada terpendam.

Isnin, 25 Februari 2008

No comments: