Skip to main content

Cerpen: Demi Pena.




Hujung pena yang berbicara
SATU

Atap rumah yang sudah berkarat dan berlubang-lubang di sana sini tidak pernah diganti sejak mula rumah ini dibina. Malahan pasti ruang tamu akan digenangi air ketika hujan walaupun tidak lebat.  Adakala hujan hadir bersama kotoran yang menyukarkan pula kami membersihkannya. Aku tidak punya kudrat mahu menampal atap yang bocor kerana keterbatasan tenaga seorang anak yang mentah. Sementelah pula adik-adikku yang empat orang itu, hanya tahu meminta makan apabila lapar dan bermain dengan rianya tanpa mengetahui simpulan masalah yang kian berselirat dalam akal fikir ibu dan aku.

Ayah meninggalkan aku dan adik-adik ketika Acu-adik bongsuku- baru dua bulan menghuni rahim Ibu. Kematian yang teramat tragis bagi aku, seorang anak kecil. Pekerjaan ayah sebagai pemandu peribadi Dato’ Zaim akhirnya merenggut nyawanya sendiri. Kami seakan hilang tempat berteduh. Mana mungkin kami mendiami lagi rumah kecil belakang rumah agam Dato' Zaim setelah ayah bukan lagi menjadi pekerjanya. Ibu membawa kami berlima pulang ke kampung. Tinggal di rumah peninggalan arwan nenek yang tiada lagi sesiapa menghuni. 

***


DUA
“Maafkan Ibu, Along. Along jagalah diri dan adik-adik. Ibu tidak mampu berikan kebahagiaan yang kalian mahu. Along kena jadi contoh pada adik-adik. Ingat pesan Ibu, sesusah mana sekalipun, jangan minta sedekah atau berhenti sekolah.”

Pagi itu seperti pagi-pagi yang lalu. Awal pagi Ibu sudah bangun dan menyiapkan kuih-muih yang akan dihantar aku ke Kedai Kopi Pak Mat di simpang tiga kampung, dan menjaja baki kuihnya dari rumah ke rumah menaiki basikal.
"kuih!"

"kuih!"

Saban pagi aku menjerit, daripada satu lorong ke satu lorong. Ada rezeki, habislah kuih yang terjual. Selalu juga aku membawa pulang kuih yang tidak separuh terjual. Membawa bakul yang masih berisi.

Ibu hanya sambut dengan senyuman.

"Bukan rezeki kita, sayang!" Ibu berkata seakan-akan memujuk diri sendiri.

Ibu tidak pernah menyerah kepada takdir yang tersurat dalam kehidupan kami. Pagi menyediakan kuih, petang menjahit pakaian, malamnya pula menyiapkan bantal kekabu, sarung bantal, dan rantai serta gelang manik yang akan dihantar di kedai yang letaknya di pekan. Sejak enam bulan lalu, ibu memulakan kerja ini dan mendapat wang lebih bagi menampung kami sekeluarga.
Tidak diam. Tangan ibu ada sahaja kerja yang mahu dilakukan. Pasti siap satu atau dua gelang walaupun matanya menatap televisyen bersama-sama kami di ruang tamu. 

Lalu, mana mungkin aku hanya duduk diam.

Aku tersenyum. Senyum kelat dan penuh paksaan. Sengsara ibu mencari rezeki buat aku dan adik-adik, aku simpan dalam hati satu azam yang tidak aku khabarkan kepada sesiapa.

***

TIGA

“Maafkan Along Ibu. Along tidak bersekolah lagi sekarang. Tetapi Along tidak akan henti belajar. Along belajar daripada pergaulan dan alam. Along nak yang terbaik untuk adik-adik Along. Maafkan Along ye, Ibu.”

Acu memandang dengan redup mata tidak mengerti.Acu yang baru berusia tiga tahun perlu menerima ketentuan Allah yang mengambil ibu ketika dia masih perlu bermanja. Lalu, akulah yang menjadi pengganti Ibu. Ibu mengajar kami untuk tidak bergantung kepada orang lain meski saudara sendiri.

"Kita mengharap bantuan orang, nanti satu masa diungkitnya apa yang telah diberi. Selagi ada kudrat, kita harus usaha sendiri. Allah sediakan cukup nikmat untuk hambanya. Anak ibu tidak pernah berlapar walaupun kita tidak mewah."

Ibu meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya ketika mahu ke pekan. Hati mana tidak sedih, jiwa mana tidak luluh, demi memandang Angah, Alang, Acik dan Adik yang perlukan aku kuat, aku tahan semua perasaan dalam diri.

Ah, aku hanya gadis berusia 13 tahun. Di pundak ini tergalas satu amanah. Ada empat mulut yang perlu aku suap, punya empat jiwa yang dahagakan kasih. 

Berhenti sekolah.

Keputusan drastik aku buat demi semua. Tidak bermakna aku berhenti belajar. Menjadi murid kepada sekolah yang lebih luas. Sekolah kehidupan.

***
EMPAT

Adikku yang berempat sudah hanyut bersama mimpi masing-masing. Masanya untuk aku bekerja. Buku nota sains aku keluarkan daripada bawah bantal. Perkataan demi perkataan aku catat menjadi perenggan hingga berakhir satu bab. Projek besar seorang yang berusia 13 tahun.

Bergelar penulis. Minat yang sebenarnya ada sejak aku kenal baca dan tulis. Dahulu, saban hari, aku akan ke perpustakaan sekolah walaupun ketika masih merangkak membaca di tahun satu. Cukuplah aku melihat gambar pada buku dan meghabiskan masa rehat di situ. 

Sampai sekarang, hubunganku masih ada dengan guru yang menguruskan perpustakaan sekolah rendahku. Dialah sebenarnya yang memberi saranan setelah melihat aku begitu asyik dengan buku, malah tidak lekang bersama buku catatan setiap kali membaca.

"Kamu minat menulis?" Ketika itu aku di tahun tiga. Ayah masih bersama kami. Ibu hanya suri rumah. 

"Suka. Saya sangat suka membaca buku cerita. Suatu hari nanti saya mahu menulis buku sendiri." Impian anak berusia sembilan tahun.

Mahu gapai bintang tinggi.

Mahu terbang bersama burung di langit nan biru.

***
 ENAM

Perjalanan itu panjang. Sebelum aku sampai di peringkat ini, dan melihat buku sendiri di kedai-kedai buku terpilih, aku melalui kehidupan yang mendewasakan aku daripada usia sebenar. Terpaksan berhenti sekolah ketika masih berusia tiga belas tahun bukan suatu yang mudah.

Demi adik-adikku tersayang aku rela.

Biar aku tidak berpelajaran tinggi, namun aku tidak buta ilmu. Buku teks mereka bahan bacaanku. Buku-buku mereka pinjamkan untuk aku baca di rumah. Siapa kata kemiskinan buatkan aku buta ilmu.

"Tidaklah sama mereka yang mengetahui dan mereka yang tidak mengetahui."

Kini, dalam usia 17 tahun dan tidak bersekolah menengah, namaku sebaris nama penulis yang meniti di bibir masyarakat. Fatimah Luthfiah.

Nama pena yang aku pilih. Menulis buku-buku motivasi walaupun tidak bersekolah tinggi. Menulis novel walaupun terpaksa berhenti sekolah.

Sekolah kehidupan mengajarku, dan aku menggerakkan pena yang sentiasa basah. Menurunkan pengalaman diri menjadi aksara untuk dikongsi. Perkongsian daripada hati yang mudah-mudahan masuk ke dalam hati.

Alhamdulillah, dengan pena yang terus lancar aku menyekolahkan adikku yang berempat. 

Angah yang sudah 14 tahun
Alang 12 tahun
Acik 10 tahun
Si Comel bongsu, Acu yang berusia tujuh tahun.

Biarlah aku korbankan diri demi persekolahan mereka. Membersarkan mereka biar kelak menjadi hamba yang berguna kepada agama dan bermanfaat untuk orang lain.

Maka, pena itu akan terus aku gerakkan. 

***selesai***

_________________________________________________
Qamar Jamilah,
sambungan cerpen.
6 Ramadhan 1432 
060811 @ 1003pm

Comments

Popular posts from this blog

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus. NUSUS Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini? Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini: قول طرفة بن العبد: نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil a

SYAIR AHMAD SYAUQI: MUHAMMAD ABDUH

Dalam bab ketiga As-Syauqiyat banyak memuatkan syair berbentuk kesedihan atau ucapan takziah Ahmad Syauqi atas kehilangan para ulamak dan orang mulia yang hidup dalam lingkungan hidupnya. Beliau tidak hanya menulis syair yang menceritakan kesedihannya terhadap kehilangan orang penting dalam masyarakat namun turut memuatkan syair bertajuk “Yursi Jaddatuhu” (Menangisi Pemergian Datuknya), dan “Yarsi Abahu” (Menangisi Pemergian Bapanya). Latar belakang beliau yang belajar di Perancis turut mencorakkan syairnya. Sebagaimana masyarakat barat menulis tentang kematian orang mereka sayangi, Ahmad Syauqi turut berbuat demikian. Namun beliau tidak hanya menangisi kematian saudaranya atau ahli keluarga, namun menyelitkan persoalan kehidupan dan kematian. Syair “ Muhammad Abduh ” ini merupakan contoh syair Ahmad Syauqi yang bertemakan Ar-Risa’ atau kesedihan. محمد عبده مفسر آي الله بالأمس بيننا                      قم اليوم فسر للوري آية الموت رحمت، مصير العالمين كما                      ترى وك

PENYAIR ZAMAN JAHILIAH.

Tangan rasa menggatal mahu menulis. Mood imthan. Jadi aku mahu kongsikan tentang penyair zaman Jahili yang aku belajar dalam subjek Sejarah Adab Arab. Untuk hanya baca, maka aku akan terus lupakan apabila sekali baca. Jadi, aku mahu abadikan nama-nama itu di sini. *** Dr. George Zaidan dalam bukunya "Tabaqat As-Syuaraa' Li Iskandar Ikarius" tidak menceritakan tentang kaedah yang beliau gunakan untuk membuat pembahagian bagi penyair pada zaman Jahili, namun hanya menyatakan nama-nama mereka dalam jadual yang memuatkan nama penyair, nama qabilah dan negara, serta tahun kewafatan.  Jom tengok! (berwarna merah itu yang biasa aku dengar. Bakinya aku tidak pernah kenal) Tabaqah Pertama  Amru al-Qais al-Kindi -Kindi- Ahli Najd Umaiyah bin Abi Baslat-As-Saqafi-Ahli Taif Basyir bin Abi Hazim-Al-Asadi-Ahli Najd Al-Haris bin Halzah-Al-Busykari-Ahli Iraq Zuhair bin Abi Salma-Al-Muzni-Ahli Hijaz An-Nabighah bin Az-Zibyan -Az-Zibyani-Ahli Najd Tarafah bin Abd- Al-Bakari-Ahli Bahrain Ub