31 August 2011

Balas.

Menanti itu seksa kok..
Tahun ini nampaknya aku hanya membalas ucapan raya dan tidak menghantar mesej mengucapkan salam aidilfitri atau ucapan-ucapan seumpama dengannya. Mungkin disebabkan zuuq raya kurang ada dalam diri, lalu kepada yang menghantar mesej dan rajin mengforward mesej salam aidilfitri kepada aku sama, syukran jazilan aku ucapkan dengan ingatan kalian kepada insan ini. Terima kasih, kalian.

Membalas mesej juga lambat-lambat kerana ketika bertandang ke rumah orang, aku tinggalkan telefon genggam itu di rumah dan rasa untuk balas mesej lambat datang. Bukannya ada orang mahu mesej sangat, jadi biarkan saya ia senyap-senyap dalam bilik-berkecah-macam-tongkang-pecah ini.

Perihal membalas mesej kadang aku sendiri tidak tahu kenapa ada ketika semacam malas bermesej jika mesej yang dihantar tidak bersambut. Ada ketika banyak songeh (ragam) juga aku andai mesej yang dihantar tidak bersambut dan akhirnya aku biarkan lama tidak berutus khabar atau bertanya apa-apa. Dia sunyi, aku mendiamkan diri. Dia layan, panjang pula aku berbual itu ini. =) Terima kasih yang sudi melayan mesej-mesej aku. Aku sangat menghargainya. :)

Tidak kisah. Aku langsung tidak kisah sebab aku juga jenis manusia yang mesej apabila ada keperluan, ditambah dengan mood aku ketika itu teringatkan teman-teman lalu mahu tahu khabar mereka selama bercuti dan top-up mengizinkan aku bermain mesej, maka senarai-senarai talian sahabat yang tersimpan dalam memori telefon akan aku tekan satu demi satu. Bukan selalu.

Pilihan kita,  untuk membalas atau tidak mesej yang diterima. Mungkin bagi kita mesej itu penting, lalu kita balas, dan mungkin kita rasa ianya tidak-ada-apa-apa hanya mesej biasa, lalu kita boleh sahaja abaikan dan buangkan dalam tong-sampah-telefon-genggam-kita.

Selesai.

Husnodzhon. Jika mesej tidak berbalas, bersangka baiklah.
Mungkin tiada kredit.
Mungkin dia sibuk.
Mungkin dia tidak mahu diganggu.
Mungkin dia tiada kata untuk membalas mesej.
Mungkin... Mungkin.. Mungkin...

Cuma jangan kata mungkin dia tidak ingat aku lagi.
Ini sudah bersangka buruk.
Walaupun payah, pujuklah hati untuk bersangka baik kepada sesiapa sahaja kerana natijahnya sangatlah baik berbanding jika kita bersangka buruk, ia merosakkan perasan diri dan menghilangkan rasa tenang dan damai.

Rasa di hati mungkin tidak dapat dipadam, namun biarkanlah ia hanya tertanam dalam diri, selagi bertahan, tunjukkan yang baik-baik sahaja agar damai hati.

Baik, sudah saya merapu-meraban pagi-pagi lagi dengan hal yang saya terfikir pagi ini. Mungkin bagi sesetengah orang membalas mesej itu tidakpenting, namun ia sama seperti kita tidak membalas percakapan orang yang sedang bercakap dengan kita. hihi.

Sudah.

Qamar Jamilah.
0624/2 Syawal 1432.

28 August 2011

Cerpen: Misi Baju Baru

Usai sahur pagi itu, adik merengek seperti anak saudaranya berusia tiga tahun mahukan milo apabila sudah mengantuk.

"Akak, jom pergi Kulim."

Dalam kepala adik bersusun satu demi satu agenda yang mahu dibuat. Beli baju raya, mahu beli tepung kek, penyapu, bateri untuk kamera, dan satu dua senarai yang ditulis dalam kepala. Lagi dua hari umat Islam bakal menyambut Aidilfitri yang nampaknya meriah di Malaysia walaupun di negara lain disambut seadanya dan Aidiladha lebih meriah.

Usai Subuh, akak sambung tidur. Baru dua hari akak pulang daripada perantauan kerana tuntutan kerja. Adik yang sudah sebulan di rumah, walaupun beberapa kali mengikut kakak yang kedua membeli belah, namun tidak tergerak lagi hatinya untuk membeli baju raya.

Baju raya bukanlah satu kewajipan, selagi ada baju cantik dan bersih yang bersih dipakai. Alang-alang akak sudah membelikan tudung berwarna ungu, adik mahu padankan dengan bau juga.

Jam 10.

Adik merengek-rengek lagi. Mengganggu akak yang masih pulas tidur.

Radio dipasang kuat.

Menguatkan suara untuk mengajak akak ke Kulim. Saterika tudung dan baju.

"Okey, adik beritahu ayah." Akhirnya akak mengalah.

Jam sebelas akhirnya adik dan akak menaiki bas ke kulim. Perjalanan 45 minit tidak terasa lama lagi setelah bertahun-tahun menaiki bas. Jika dahulu, aduhai lamanya mahu ke Kulim. Sekarang semuanya terasa pantas. Seiring masa yang bergerak sangat pantas hingga tidak sedar hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun berlalu pergi. Tersalah melangkah, tersilap hitung memang makan asap tanpa sebarang kerja dilakukan.

Sampai di pekan Kulim, adik dan akak turun di kedai kain Kemboja. Kedai-kedai yang dimiliki wanita negara jiran dan menjual bermacam-macam baju dan kain ela serta tudung.

Perlu ambil duit dulu. Malangnya barisan yang panjang merencatkan rancangan. Satu demi satu mesin ATM dijejak, namun tidak satu yang berjaya untuk dikeluarkan wangnya. Akhirnya mengalah. Wang dalam tangan hanya RM50 yang diberi kakak kedua beberapa hari yang lalu.

Ke pasaraya big ten. Alhamdulillah, tidaklah terlalu ramai manusia di sini. Mencari baju berwarna ungu untuk dipadankan dengan tudung yang dibeli akak.

Nampak sepasang. RM19.99. Versi tahun lepas. Baju kurung. Berkenan sepasang lagi. Kebaya labuh. Warna sama. Harga sama. Nampak janggal.

Akhirnya baju ungu kosong berharga RM20 itu dicapai. Senang kira.

Berjalan-jalan namun akhirnya tidak satu barang dapat dibeli. Benar benar hanya beli baju raya.

Adik muncung. Tidak puas hati, selagi hajat dihati belum tercapai.

Ke ATM BSN pula untuk mengeluarkan wang. Malangnya wang di ATM sudah HABIS. Gagal.

Ke Borong Man, namun tidak masuk.

"Itu Teh Dah."

"Bla. bla. bla." Akhirnya Teh Dah mengamanakah akak dan adik menemankan tiga orang anaknya menaiki bas.

Adik belum mahu pulang sebenarnya. Langit sedikit hitam. Nampak tanda akan hujan. Penat juga badan sebenarnya. Akhirnya adik akur. Balik.

Di hentian bas, lama untuk menunggu bas. Kebetulan kakak adik dan akak yang kedua akan ke tempat kerja dihantar encik suami, lalu encik suami kakak kedua langsung mengambil adik, akak, dna tiga orang anak Teh Dah di Kulim. Alhamdulillah. Jimat masa menunggu bas.

Akhirnya, sampai di rumah. Tidak sampai sejam, hujan turun dengan lebatnya membasahi bumi.

Lalu, akak berkata kepada adik.

"Tengok, itu tidak mahu pulang lagi tadi."

*tamat cerita*
____________________________________________
Alhamdulillah. Sesungguhnya yang diatur 'di atas' lebih baik. Perjalanan ini disusun supaya aku tidak bazirkan wang dengan membeli yang tidak perlu. Perlu gunakan untuk perkara lain. 

Layakkah diri menyambut Syawal? Sayukah hati meninggalkan Ramadhan? Bersediakah aku melangkah di sebelas bulan lain? Bagaimanakah aku di semester baru?

Jangan asyik menyoal dan menyoal tanpa lakukan apa-apa. Banyak cakap (banyak tulis) tiada guna andai hanya terabadi atas kertas.


24 August 2011

pertanyaan

Perlu berdiam seketika,
Biarkan akal dan hati yang terus bicara, 
Sedang kalam terasa makin sonsang,
Bicara makin tidak terang,
Sedang yang perlu tidak langsai sampai sekarang.

Ogos 2011 kini,
Ada janjiku untuk melihat buku di pasaran kala ini.
.Tipu.
Ada kata dalam diri mahu terus dan terus menulis.
.Tidak benar.
Ada suara yang berkata usia makin pendek.
.SANGAT BENAR.
Ada yang pergi, ada yang hadir...
.Lumrah.

Ingin sekali bertanya,
Manakah kamu dapat kekuatan untuk menulis dan terus menulis tanpa rasa jemu,
Manakah kamu dapat semangat dan sentiasa rasa mahu memberi tanpa minta dibalas,
Manakah kamu dapat rasa untuk sentiasa menjaga ukhuwah yang terjalin.
Manakah kamu campakkan rasa malas.
Manakah?
Bagaimanakah?
Siapakah?

Allah.
Aku tahu itu jawapannya.
Lantas,
Apakah lagi???


Cerpen: Ubat.

"Ini diari saya. Balik nanti kamu baca. Baca setiap hari. Lihatlah pada helaian yang bertanda.Baca bukan sekadar cepat mahu menghabiskan bacaan, tekunilah dengan hadirnya hati dan lihat maknanya. "

Aku pandang kamu semula. Tidak faham. Di tangnnya senaskah tafsir al-Quran penuh bertanda dengan kertas berwarna warni. Wajahku kelam, lalu sekadar pandang wajah kamu tanpa kata.

Kamu senyum. Senyum yang sangat manis pada bibir tanpa gincu itu seakan mahu membuang rasa ragu di hatiku.

"Kamu hanya balik dan baca."

"Husna, yang saya minta ubat kekosongan hati, kekosongan jiwa. Bukannya..."

"Degil, ya?Insyirah, bukankah yang kamu mahu ubat. Tidak mungkin saya berikan kepada orang yang saya sayang racun."

Aku terdiam. Perlahan tangan mencapai tafsir al-Quran yang dihulur Ibtisam Husna, seorang teman yang menjadi tempat aku mencurah apabila 'rasa' itu hadir. Dalam ramai aku rasa sunyi. Kesunyian yang mengcengkam dan membunuh senyum yang mahu terukir di bibir.

Cemburu. Pemilik senyum yang manis itu tidak pernah gagal menebarkan senyumnya kepada orang di sekeliling. Biar seduka mana hati, dua ulas bibir setia dengan senyuman. Selalu kamu usik aku, katamu cepat kedut urat muka enggan murah dengan senyuman.



Lalu bagaimana untuk aku tersenyum andai yang ada dalam hati hanyalah lipatan masalah yang tidak bisa aku lontarkan.
Lalu bagaimana aku mahu memaniskan roman setelah hati tidak aman daripada perang perasaan?

***
Tiga bulan berlalu. Aku mengerti kini makna hadiah yang dihulur Ibtisam Husna. Al-Quran terkandung ayat-ayat cinta daripada Pencipta kepada yang diciptanya. Suatu mukjizat tidak terbantah oleh genius mana sekalipun. Ayat yang tidak dapat diciplak oleh sasterawan tersohor dan ahli syair sehebat mana sekalipun bahasanya. Sesungguhnya itulah ubat kepada semua penyakit.

Bukankah lebih baik lewat daripada tidak pernah hadir rasa itu. 

Aku tidak perlu lagi lari andai masalah mendatangi diri. Di depanku terbentang jawapan yang disediakn Allah dalam surat cintanya. Hanya perlu menatap dan melihat maknanya setiap hari. Berfikir tentang setiap kalimah yang dibaca, setiap ayat yang ditadabbur.

Allah, berikan aku cinta. Berikan aku cinta kepada agama dan perkara yang baik-baik.


_____________________________________
24 Ramadhan 1432,
Qamar Jamilah, Mahang.

22 August 2011

Dua Dua

1.        Malu. Sering saya jadi malu sendiri membaca semula tulisan yang pernah tercatat. Kadang perihal sekecil biji lada hitam aku nukilkan menjadi berkajang-kajang namun perkara besar banyak yang saya terlepas pandang. Adakah kerasa terlalu sibuk fikirkan hal diri sendiri, -betulkah? atau sibuk berangan- saya sering terlupa pada yang berlaku di luar sana. Dunia luar yang banyak saya ketinggalan akan hal besar dan kecilnya... Terperosok saya mendengar itu ini berita yang mengejutkan meski ada yang membuatkan bibir mengukir senyum sendiri. Pemergian penulis Ustaz Azizi Abdullah [al-fatihah untuk beliau], kisah 21 Ogos yang hampir tiada dalam ingatan, itu ini yang berlaku di dunia... Semuanya petanda bahawa tiada yang kekal melainkan Yang Satu.

2.              Dua hari lalu mengikut kiraan tahun Masihi genaplah usiaku 22 tahun.
Kiraan kian ke hujung,
Masih asyik termenung,
Tinggal harapa menggunung,
Duhai,
Masihkah belum teringat maut kian dekat berkunjung.

Tali usia kian memendek,
Sedang bekal sedikit,
Lalu, 
Hanya perhatikah?
Bangun. bangun. bangun duhai sang pemimpi di siang hari.

Aduhai. Terima kasih dan syukran jazilan kepada sahabat-sahabat yang ingat tarikh itu. Semoga berkat doa kalian sempena Ramadhan yang meniti hari-hari akhir dimakbulkan Allah.. Amin.. Doa untuk sahabat bukankah dekat? Doakan kita berada di jalan yang benar sentiasa. Amin.

Ada ketika sebenarnya saya takut. Saya takut melihat yang bernama Nisa, Wanita dan perempuan sekarang -Ya Allah peliharalah aku daripada ujian ini. Peliharalah sahabat-sahabatku daripada ujian ini- Sinonim untuk seorang perempuan itu adalah cantik. Wanitalah yang lebih pentingkan soal penampilan [nampak cantik] terutamanya ketika berada di luar rumah.

3.        Baru-baru ini saya membaca sebuah buku nipis yang bertajuk tabarruj. [berhiasan bagi seorang wanita] Ia sebuah buku yang sangat nipis namun bisa menyentap perasaan...

Yang bernama wanita,
Cantikmu untuk ditonton suami dan mahram,
Bukan tayangan umum,
Kasihan lelaki yang memandang,
Turut berdosa dan punya rasa.

Wanita,
Cantikmu bukan pada hiasan penuh di badan jua muka,
Tudung berbagai gaya,
Make-up menutup usia.

Cantikmu,
Kerasa santunnya diri.
Baiknya akhlak,
Menjaga maruah,
Nama ayah dan suami,
Maruah diri.

Wanita,
tahulah bahawa yang tertutup itu lebih indah.

Antara kata pengarang yang masih lekat:
  • Orang zaman dahulu suka berhias secara melampau... Lihatlah apa sudah jadi kepada perempuan sekarang.. Kerana itu ada ayat al-Quran yang Allah beri amaran akan perihal ini.

  • Cantiknya jika cantik di rumah untuk keluarga dan natural di luar, semua orang selamat.
Hm, sekarang orang tidak pelik jika tidak bertudung atau salah menutup aurat namun yang bertudung labuh (menutup dada dan aurat yang perlu) itulag yang dipandang ganjil.



Akhirnya, cukuplah dahulu saya menulis untuk diri sendiri kali ini. Biar sedikit namun melekat dalam diri. Bukankah itu yang lebih baik..

Ya Allah, kami hidup di Akhir Zaman. Biarlah kami dipandang pelik jangan kami menjadi pelik dan senang dengan dosa bertimbun. Peliharalah diri kami, keluarga kami, sahabat kami dan semua orang Islam daripada azab api neraka.

Amin.

p/s: Lama sudah mahu menulis tentang tubuh labuh namun belum jemari bergerak ke arah itu...

Allah, kembalikan HATI...
Qamar Jamilah
22 Ramadhan 1432


15 August 2011

Gilaplah Dirimu


Kemahiran memujuk, kelebihan dalam bidang penulisan, dan kemampuan berucap di depan khalayak merupakan bakat yang tidak dimiliki oleh individu secara semulajadi. Namun ini tidak bermakna kemahiran ini tidak dapat dipertingkatkan. Jika kita perhatikan situasi hari ini, ramai penulis yang bermula daripada sifar pengetahuan dalam bidang penulisan, namun kerana minat dan kesungguhan meningkatkan kemahiran dalam diri, menjadikan mereka antara yang terbilang dalam bidang ini.

Salah satu daripada langkah yang dapat diambil ialah dengan mengenali diri sendiri. Ramai yang menganggap mereka mengenali diri sendiri sedangkan realitinya tidak. Mereka mungkin tidak sedar akan bakat yang terpendam dalam diri masing-masing dan memandang diri serba kekurangan dan tidak memiliki apa-apa kelebihan. Sebagai misalan, kita perhatikan situasi ini. A tidak pernah berucap di depan umum dan amat gugup jika disuruh berucap. A akan mengelakkan diri jika disuruh berucap. Pada suatu hari, atas satu keperluan, A terpaksa berucap dan dia berjaya menyampaikan ucapan dengan baik. Situasi ini menunjukkan A sebenarnya tidak tahu bakat yang ada pada dirinya. Kepercayaan pada diri dan mencari kelebihan yang ada serta serta kekurangan pada diri dapat meningkatkan kemahiran interpersonal yang ada.

Langkah kedua yang boleh diambil ialah menjadi diri sendiri dan tidak dipengaruhi oleh persekitaran. Jangan terpengaruh oleh kata-kata daripada orang lain, kerana kita lebih tahu siapa kita. Untuk membentuk keyakinan pada kemampuan diri, keyakinan diri perlulah mantap dan tidak dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Sebagai contoh, individu itu boleh menghadiri kem-kem pembinaan jatidiri, atau kursus peningkatan interpersonal utuk meningkatkan kemahiran beerucap dan kemahiran berkomunikasi contohnya. Aktiviti dalam kumpulan terutamanya dapat membina keyakina untuk memberikan pendapat dan mencetuskan keberanian untuk berkongsi pendapat. Secara tidak langsung, aktiviti ini membentuk identiti diri tanpa terpengaruh oleh orang lain. Jadilah diri anda, nescaya anda akan bahagia.

Akhirnya, membaca adalah langkah yang tidak dapat tidak, mesti kita lakukan. Membaca bukan untuk menjadi ulat buku tetapi sebagai persediaan untuk menghadapi situasi yang tidak dijangka. Orang yang banyak membaca mampu memberikan pendapat secara spontan dan sentiasa segar dengan idea-idea baru. Seorang sasterawan, Dato A.Samad Said pernah berkata, maksudnya, pilihlah antara dua, berhabis duit untuk membeli ilmu, menghasilkan pengetahuan lebih baik daripada ada duit bertimbun tetapi dada kosong. Orang yang banyak membaca akan berani untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja sedangkan orang yang tidak membaca selalunya kematian idea dan takut sekiranya dia dikerahkan untuk memberikan pendapat.

Sebagai kesimpulan, sebenarnya terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kenahiran diri, asalkan diri sendiri berusaha untuk memperbaiki kekurangan pada diri. “Rom tidak dapat dibina dalam masa satu hari.” Kemahiran diri tidak dapat dibentuk dalam masa yang singkat tetapi memerlukan usaha yang berterusan dan kesungguhan yang jitu. Kemahiran yang digilap lebih baik daripada membiarkan bakat yang ada terpendam.

Isnin, 25 Februari 2008

14 August 2011

MUDAHNYA MENYUSUN MADAH


Mudahnya menyusun madah,
Tersusun di bibir indah,
Bermain sandiwara mewah,
Terselit seribu helah.

Tersusun di bibir indah,
Bicara berpatah-patah,
Konon mengubat susah,
Hanya menambah gundah.

Bermain sandiwara mewah,
Material banyak dicurah,
Mereka seakan penjarah,
Mengangguk mengundang padah.

Terselit seribu helah,
Aku mengerti metah,
Kata bersulam fitnah,
Kelak mencanang resah.


Bicaranya berpatah-patah,
Hilang cabang pada lidah,
Pondok istana semua diredah,
Asal mereka disambut megah.

Material banyak dicurah,
Siapa sebenarnya perlu diserah,
Jangan pula mengundang parah,
Memberi pada si bedebah.

Aku mengerti metah,
Adat menumpang tanah bertuah,
Berdiri, tak boleh membantah,
Arahan itu perintah.

Konon mengubat susah,
Aku diberi rumah,
Konon memberi mudah,
Aku rasa gelisah.

29/06/2009 20:03:00

Pelita Hidayah

PELITA HIDAYAH
Lu'luah Nur Jamilah

Umpatan dan saya seperti daging dan kulit yang sudah bercantum. Melihat sesuatu yang bukan kebiasaan mata, hati cepat membaut onar. Akal berkata sesuatu yang tak baik.

“Eh, cikgu pakai tudung tak padan dengan baju. Cikgu ni memang tak pandai bergaya.”

“Tak seronoklah cikgu ajar. Macam bersyarah, mana pelajar tak mengantuk Cikgu tak pandai mengajar.”

“Tengoklah dia tu, kerjanya berkepit, buat maksiatlah tu.”

“Ayah bukannya baik sangat. Saya seorang pun tak terbela.”

Bisikan-bisikan begini, malah pelbagai gaya dan perkataan lagi sudah saya ungkapkan jika ada sesuatu yang mengisi pandangan. Saya payah untuk memuji namun cepat untuk mengeji.

***

JEMPUTAN

Bip, bip.
Saya membuka peti masuk telefon bimbit, melihat pesanan ringkas yang baru diterima.

Salam, adikku yang dikasihi, akak nak ajak adik menyertai kem ibadah minggu ni. Percuma! Banyak aktiviti menarik yang diatur. Harap adik dapat berikan jawapan segera. ;-)

Hati saya mendongkol. Untuk apa semua ini? Saya ke sini untuk belajar. Saya dah ada asas agama. Jahil sangatkah saya? Sudah berkali-kali Kak Huda mengajak tapi saya hanya menolak. Katanya, kita perlu mempersiapkan diri dengan tarbiah islamiah yang lengkap, supaya tak terkapai-kapai apabila tamat pengajian kelak. Supaya kita tak hanya menjadi pengikut buta.

Saya kurang faham, tapi saya diam. Saya simpan persoalan hanya dalam diri. Tak siapa tahu apa yang saya ragukan. Saya malu. Memang malu tak bertempat. Orang selalu cakap kalau malu ni, susah jika tersesat, tak jumpa jalan pulang. Saya segan untuk tak pergi. Saya balas pesanan ringkas itu.

"Insya Allah."

Saya sampai juga di Masjid Raudhah, di pinggir negeri Sentosa, sebuah perkampungan di selatan Negeri Damai Abadi. Kehadiran saya di sini tanpa ada kenalan untuk dihubungi, hanya mengenali Kak Huda. Pagi Jumaat itu memberi aroma baru bagi indera saya. Di kelilingi teman-teman yang kebanyakannya bertudung labuh, –sedangkan saya bertudung biasa- namun amat mesra. Semuanya muslimah, memberi ruang selesa untuk peserta dan fasilitator berinteraksi. Mata sempat memerhati bilangan peserta yang hadir, yang saya anggarkan seramai 100 orang.

Masjid Raudhah tidak semewah Masjid Mutiara, di negeri penyu bertelur. Hanya binaan batu dua tingkat dengan dekorasi ringkas. Kesederhanaan inilah yang memberi saya ketenangan. Tak serabut mata memandang ukiran melampau dan menyesakkan mata untuk beribadah. Bahagian bawah untuk muslimin bersolat dan bahagian atas untuk muslimat. Warna hijau mudanya menyedapkan pemandangan.

Saya rasa tenang menerima pelukan kakak-kakak yang sedia menanti di situ. Lenyap segala prasangka. Saya terharu dan tersentuh, namun menghadiahkan senyuman lebar. Terasa Tuhan lorongkan saya pada jalan yang betul. Saya harapkan akan dapat sesuatu untuk dibawa pulang. Saya rasa doa saya selama ini untuk berubah dimakbulkan.

Saya banyak buat salah sebelum ini. Tapi saya yakin Dia tahu saya mahu bertaubat. Kematian seorang sahabat seusia, teman baik saya, menyuntik rasa ingin berubah. Mati tidak mengenal usia tua atau masih hijau. Saya takut tak dapat jawab soalan kubur. Saya mahu mati dalam iman. Kematian sahabat saya ini menjadi titik mula saya mengenal solat taubat.

Doa untuk berubah! Kejahilan semalam menghantui diri saya. Tapi saya membiarkan diri tenggelam dalam dosa. Tak sedar maut itu tiada isyarat. Sudah baligh pun saya suka melewatkan solat, kadang-kadang terlepas. Lebih-lebih lagi, solat Subuh, erat benar syaitan menyelimutkan aku, hingga sukar aku leraikan selimut daripada tubuh. Astagfirullah..

Terimalah keinsafan yang mengalir dalam diri ini, Tuhan. Saya menutup aurat sekadar syarat dan peraturan sekolah. Di luar, jika terasa panas, saya membiarkan rambut terdedah.

Tuhan sudah lorongkan saya untuk berubah. Saya yang perlu kuat, sekuat Asiah yang hidup bersama Firaun, namun tetap kebal akidahnya. Seteguh Masyitah –tukang sisir anak Firaun- mempertahankan agama. Setabah Sumayyah dan keluarganya walaupun diseksa sangat pedih. Mereka wanita mulia yang diangkat namanya dalam Al-Quran.

***

MALAM PERASMIAN
"Selamat datang adik-adik yang akak sayangi. Tahniah dan syabas kerana adik-adik merupakan insan yang ALLAH tentukan untuk berada dalam satu daripada taman-taman syurga." Kak Huda, selaku wakil urusetia memberi amanat.

Saya mencatat isi-isi penting, sebagai rujukan. Saya berusaha ikhlaskan niat. Lillahitaala. Lupakan niat sebelum ini. Seperti peserta lain, saya mahu memberi peluang kepada rohani saya untuk menerima santapan. Santapan paling sedap adalah manisan beribadah pada ALLAH.

Saya yakin semua yang hadir di sini punya sejarah hidup tersendiri. Semuanya mahu memberi hidangan baru pada hati. Meneguk cinta ALLAH dan menadah rahmat-NYA.

Saya tak mahu ilmu ini lesap selepas keluar daripada masjid ini. Saya terfikir, memang kita sebenarnya insan terpilih. Bayangkan dalam banyak-banyak sperma, kita yang terpilih hadir di muka bumi, memegang amanah sebagai khalifah. Kita, yang lahir di dunia ini, ALLAH tentukan untuk mentadbir muka bumi. Kita perlu siapkan diri sebaiknya.

Saya tak boleh dan enggan berpaling. Saya perlu teruskan hidup, mesti ubah diri, justeru bersedia, tekal lupakan kepahitan silam. Bukankah sebelum ini Islam pernah gemilang kerana kekuatan rohani para penganutnya?

Sedangkan masyarakat sekarang? Apa yang tinggal kini? Saya biarkan persoalan ini berlegar di kepala. Semalam adalah kenangan yang tak perlu dikenang, saya perlu mencipta esok yang gemilang agar tak jadi seperti masyarakat Musyrikin. Mereka tersesat dalam dalam terang cahaya nubuwwah. Celakalah orang yang semalam lebih baik daripada hari ini.

Saya teringat kisah pengikut nabi Musa yang terlalu banyak meminta. Diberi makanan manna dan salwa yang didatangkan dari syurga, dipinta pula makanan lain. Padahnya mereka menyesal tak sudah. Menyesal dahulu untung, menyesal kemudian malang.

Kak Hidayah menghulurkan sehiris epal yang merupakan barang amanah. Nampak mudah namun sehiris epal itu perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan baik. Setiap peserta punya kreativiti tersendiri untuk menjaganya.

"Bagaimana ya? Nampak remeh, tapi tak mustahil akan diambil orang. Terdedah, tentu cepat warnanya bertukar." Saya bersuara pada diri sendiri. Akhirnya, dengan cermat saya balutkan dengan kertas yang dibekalkan, -kertas untuk mencatat nota- sebelumnya dilapik tisu beberapa helai. Janji saya, tak akan saya buka pembalut itu selagi tak diminta. Saya tak mahu epal ini rosak. Saya masukkan sehiris epal itu dalam fail.

Sesi ceramah di dewan kuliah petang itu mencabar diri dan peserta lain. Perlu bersila untuk tempoh dua jam, tanpa penghawa dingin menguji kami. Syaitan mula mengambil peranan, disapu celak pada mata, mengantuklah anak adam. Disapu bibir dengan gincu, pot, pet, pot, pet, kedengaran ada yang bersembang. Saya cuba usir, tak mahu terlepas masa berharga di taman ilmu ini berlalu sia-sia.

"Fiza, bangun, Ustazah tu panggil."

Terkejutlah sahabat di sebelah saya yang sambil bersimpuh, tersengguk-sengguk. Kasihan saya melihat. Bulat matan hitamnya. Dia memuncungkan bibir, marah dengan tindakan saya. Saya tersenyum padanya. Dia masam, saya telah mengganggu tidurnya.

"Kamu tidur. Saya cuma nak kejutkan."

Teringat pesanan Ustazah Maimunah, penceramah yang diundang hari ini. Kita perlu menjadi 'seseorang' bukan jadi sesiapa sahaja. Kita perlu ingat, seandainya ALLAH menuntut bayaran terhadap kurniannya selama ini, mampukah kita membayarnya? Misalan, ALLAH tuntut setiap deruan nafas dibayar 5 sen, hanya lima sen seminit, sejam, berapa, sehari, berapa usia kita? Kita tak akan mampu membayar. Hanya satu tamsilan.

Nikmat ALLAH terlalu banyak, hanya kita yang ingkar, tak menilai pemberian ALLAH pada kita. Mujurlah semuanya percuma, namun ALLAH tetap hisab di Akhirat kelak, setiap yang dipinjamkan pada kita hari ini. Kita jangan mudah terpedaya pada ajakan jeneral musuh dalam diri, yang menghasut pada mungkar dan kejahatan. Mujahadah kita melawannya dibalas dengan pahala berganda.

***

BANYAK ILMU
Mendengar kuliah subuh membuatkan saya termenung panjang. Tapi tertanam satu semangat baru dalam diri saya dan mungkin kawan-kawan. Rasa semangat untuk menghadiri kuliah ilmu dan mahu menambah ilmu di dada. Saya banyak berdiam diri di sini, berfikir apa yang saya lakukan selama ini.

Saya selalu ingkar pada arahan Mak Ayah. Kadang-kadang ustazah, guru-guru dan kakitangan sekolah menjadi habuan umpatan saya. Saya komen perkhidmatan dan cara mereka belajar. Kerana itulah ilmu yang saya terima payah lekat dalam kepala.

Saya cuba hitung dalam diam. Saya rasa takut, tapi saya sematkan azam jitu untuk berubah, pasti ALLAH tolong. Saya ingat pesanan Kak Huda semalam. Isikan masa lapang dengan zikrullah. Habiskan masa dengan ingat mati. Basahkan lidah dengan kata-kata baik.
Semalam saya menangis dalam sujud solat malam. Lama saya tinggalkan solat malam, qiamullail, menangis ketika berdoa usai solat wajib dan sunat, semuanya jarang saya lakukan setelah tamat persekolahan. Umur sudah 20 tahun, namun leka pada kehidupan dunia, lupa kewajipan sebagai hamba. Hari ini saya dapat ketenangan yang tak terucap.

Saya nak berikan makanan sebanyaknya pada rohani saya. Saya tak rela menghadap Tuhan, sedangkan kantung amalan kosong. saya takut, maut menjengah saya saban masa tanpa saya sedar. Sesi ceramah kedua, mata saya basah lagi. Saya tak mampu tahan sebak. Saya ingat apa yang saya buat sebelum ini. Ya, saya buat sekadar ikutan. Saya tak faham sepenuhnya apa yang saya lakukan. Alhamdulillah, saya rasakan ada nur menyerap dalam diri. Saya rasa lapang. Setiap kata-kata ustazah, masuk dalam fikiran. Saya tak rasa mengantuk.

Malam itu saya jumpa Kak Huda lagi. Saya kongsi kekosongan saya dengannya. Saya ucapkan terima kasih tak jemu ajak saya ke sini. Saya jumpa apa yang saya cari. Saya lihat dia seka mata. Saya peluk dia, erat. Ada tautan ukhuwah di situ. Saya tidur lena. Kumpul tenaga untuk tahajud. Saya nak jadi kuat. Saya tak akan lemah seperti sebelum ini. Setiap orang yang nak berubah, dan ada azam, Tuhan akan tunjukkan jalan, itu kata Ustazah Maznah semalam.
Saya rasa tak mahu pulang ke kampus, nak berlama-lama, tapi saya ingat, ada banyak tugas yang perlu saya bereskan. Asal saya istiqamah, biarlah saya berubah sikit-sikit.

Saya dapat kenal kawan-kawan dari pelbagai universiti, kolej, dan ada sedang menunggu pekerjaan selama tiga hari dua malam di Raudatul Ilm. Kami berkongsi kisah dan saya dapat banyak kisah menarik. Cara mereka dapat hidayah, cara mereka berubah, saya bersyukur datang ke sini.

Malam terakhir. Sesi muhasabah. Layar di pentas menunjukkan video kebejatan akhlak kini. Statistik anak luar nikah, bilangan anak muda terkorban kerana rempit, remaja lari dari rumah, sempit dada melihatnya. Tak sanggup saya hadapkan muka. Terlihat beban yang saya remehkan selama ini, tanggungjawab menyedarkan anak-anak muda sebagai seorang yang kata faham agama. Saya tersedu. Teman di sebelah sudah teresak melihat. Saya sudah penat menangis. Saya mahu lihat dengan mata hati. Buat penilaian dan fikirkan apa yang boleh saya buat selaku seorang remaja. Mereka kawan-kawan saya juga. Saya tak mahu dipersalahkan nanti kerana mengabaikan mereka. Mungkin ketika dalam buaian mereka dihidangkan dengan lagu, bukan alunan selawat. Mereka mengenal biduanita popular melebihi mereka ingat kelebihan diri sendiri.

"Penyakit sosial semakin parah. Kita nak pejamkan mata? Kita hanya fikirkan diri kita? Adik-adik yang akak sayangi, cuba bayangkan mereka ini bangkit menjadi pemimpin masa depan. Bagaimana keadaan negara? Apa jadi pada rakyat? Kita pelajar terpelajar, kena fikirkan orang luar sama. Mereka yang tak punya pelajaran, tersesat dalam mencari cahaya, kita bantu mereka."

Saya tunduk. Kata-kata biasa, namun tertusuk pedih di hati saya. Kena batang hidung saya. Saya tak endah masyarakat sekeliling saya, sibuk dengan diri sendiri. Saya tak terfikir kawan-kawan di luar. Asal saya dapat belajar, asal saya semuanya cukup. Saya bersalah. Tuhan, berikan saya jalan pulang kepada-MU.

***

PERPISAHAN SEMENTARA
Masa, berhentilah berdetik untuk seketika. Sayu dengan perpisahan yang bakal menjadi penutup pertemuan ini. Kami saling berpelukan, bermaafan, mendoakan agar ada kesempatan untuk bertemu lagi.

Tak puas saya meneguk cangkir ilmu daripada mereka. Saya perlukan lebih masa. Mintalah tempoh walau sesaat, masa tetap berjalan, menjalankan sunnatullah. Hari ini, kami berpisah untuk sementara. Saya rasa tenang yang tak pernah saya kecap sebelum ini. Saya mampu senyum riang, saya mampu ketawa, saya mampu menangis. Tuhan, temukan kami lagi di raudatul ilm, dapat kami bertukar fikiran, wacana, pandangan hatta masalah. Saya pulang bukan dengan tangan kosong. Saya rasa puas, syukur dan insaf.

Semoga perpisahan ini mengajar saya erti rindu saudara seislam, belajar menghormati saudara seagama, tahu menghargai rakan sekeliling, tak bersikap keakuan. Saya mahu dapatkan keredaan dan pergi lagi ke raudatul ilm.

Rasa.

Pena mahu membebaskan seketika ketulan-ketulan rasa yang masih bergumpal dalam diri. Biar setelah ia diterjemah menjadi tulisan di sini, jasad bebas walau hanya untuk seketika daripada sebuah kesakitan yang merantai perjalanan meniti hari. Bukan sekdar mahu aku kisahkan segala lompong yang wujud dalam diri, hanya mahu membiarkan diri bebas-bebas daripada hambatan perasaan sendiri-




Pasti ada jalan bagi yang mencari.


BERHENTI. red light
Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. Positif. 

Berhenti menjadi seorang pesimis yang hanya fikir "AKU TAK TAHU."   Belum satu langkah dimula, sudah mulut bicara, komen itu ini. kadang muncung di bibir lebih dahulu daripada senyuman. jalan hanya tunduk bawah tanpa ada satu keyakinan dalam diri. Bukan mahu aku mendongak dan mendada, namun perlu melihat ke hadapan dan pandang sekeliling agar nampak bahawa dunia ini warnanya bukan hanya hitam-putih. Tidak sekadar kasarnya tar yang kau pandang, bukan selicin tile yang kau pijak, malah sangat indah andai dapat dipandang semuanya dengan mata hati. Pandang dengan mata seorang manusia yang punya hati yang tunduknya hanya pada Allah yang menciptakan jasad ini. Allah. 


BERSEDIA. yellow light
"Bila kau memandang segalanya dari Tuhanmu yang menciptakan segalanya,yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, menyusahkan hidupmu pasti akan damailah hatimu kerana masakan sengaja Allah mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia.bukan Allah tidak tahu deritanya hidupmu,retaknya hatimu tapi mungkin itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk didekati dan akrab denganNya..." -Raudhatul Sakinah
Bersedialah untuk melalui hari baru, jam baru, minit baru, malah saat baru dalam meniti kehidupan ini. Sungguh walau sepayah mana yakinlah bahawa itulah yang terbaik. Selagi pengharapan kamu gantungkan pada Allah yang Maha Satu, pasti tidak goyah keyakinan, tidak goncang prinsip yang tertanama dalam diri.


Paling penting. setiap yang dilakukan niatkanlah ia kerana Allah.. Allah.. Allah. 


Buangkanlah rasa takut itu. Semua sakit akan hilang apabila kamu mencari ubatnya.


BERGERAK. green light.
Hidupkanlah hati. Jaga ibadat. Perhati kehidupan harian... Semuanya punya kesan pada setiap yang kamu lakukan. Tidak akan terjadi sesuatu tanpa izin Allah.

Tidak akan berubah diri jika hanya duduk diam di kerusi.

Allah. Engkaulah yang lebih mengetahui akan segala perihal setiap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan ini. Kun fa ya kun.... 

Kisah ashabul kahfi telah kau tunjuk sebagai bukti.
Cerita Asiah isteri Firaun tidakkan mahu diri perhatikan?
Apa jadi pada isteri Nabi Lut yang engkar pada Allah dan suami sendiri?
Ceritera budak kecil dalam ashabul-Ukhdud...

Perhatikanlah.. pasti ada sinaran.


Qamar Jamilah
14 Ramadhan 1432

11 August 2011

Entri Bertarikh 13 Mei 2009

Assalamualaikum buat sesiapa yang sudi menatap blog kecil ini,

Aku mulakan entri ini dengan satu pertanyaan yang sering akak di sekolah ungkapkan dulu. Apa khabar iman anda hari ini? Ya, iman letaknya nun jauh di lubuk hati. Namun hati yang bersih akan terlihat pada mata yang jernih dan wajah yang berseri-seri serta senyuman yang manis. Benarkah? Bukankah manusia senang berdusta. Berduka, namun dilemparkan senyuman yang amat lebar.

Kali ini aku mahu bercerita tentang kampung. Aku anak kampung yang dibesarkan di kampung dan disekolahkan di kampung. Hanya apabila aku dewasa mula mengenal kota yang malamnya seakan bayangan maut yang akan menyambar aku bila-bila masa.

Jauh benarlah jurang antara kampung dan bandar. Dan aku bolehlah dikatakan anak kampung tak sedar diri. Bila orang tanyakan asalku, mereka tak dapat menelah kerana gaya percakapan yang agak mengada tak menggambarkan asalku. Entahlah, aku sudah terbiasa cakap begitu. Sejak masih di sekolah menengah. Terpengaruh dengan novel barangkali, aku kurang fasih bercakap loghat sendiri, namun faham orang cakap sudah tentu. Hanya ada masa aku mengawal bahasa aku sendiri.

DI kampung aku apa yang menjadi kebanggaan aku kerana kawasannya belum tercemar. Mandi menggunakan air yang turun dari perbukitan, rumah yang mana jirannya banyak pokok-pokok menghijau, udara yang segar, sawah@bendang yang menghijau.. Rindunya aku pada rumah.. burung ciak yang mengganggu padi, burung wak-wak yang kadang mengganggu, burung bangau.. Indahnya hidup din kampung.

Tapi, kampung sekarang bukan lagi seperti dulu. Anak muda sudah teramat moden, jika aku pulang sekalipun, aku pula yang pelik.. Anak-anak muda melepak, anak gadis yang seakan sudah tiada kain menutup kepala.. Astagfirullah.. ampunkan aku Tuhan yang melihat...

Inikah yang dikatakan pemodenan. Inikah yang kami anak kampung harus telan. Tak siapa yang tak mahu kemajuan, namun kemajuan ini merosakkan.. Aku malu... DI manakah nanti generasi masa depan mahu melihat kampung, jika beginilah keadaannya. Jika dulu aku bebas berkawan dengan anak-anak kampung, sekarang, di manakah mereka?

Aku ini anak kampung yang suka terperap di rumah. Namun kadang tertangkap juga di telinga kisah tidak enak. Bukan tiada yang manis, namun yang pahit itulah yang selalu diingat..

Setakat inilah aku mahu merapu seketika tentang kampung aku yang sudah moden walaupun masih berjiran dengan hutan... Surau hanya dihadiri dua tiga manusia.. Tiada apa-apa yang menarik benar di kampung itu...

10 August 2011

Sebuah Pertemuan

Sebuah Pertemuan
Album : See You D IPT
Munsyid : Unic


Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

C/O 1:
Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

(*) Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

C/O 2:
Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Ulang (*)

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

***
Sebuah Pertemuan. Lagu malar segar daripada munsyid UNIC [sekarang Unique] yang walau berulang kali aku dengar tidak pernah jemu. Pasti terbayang wajah-wajah yang banyak mewarnakan hati dan tidak pernah berkira dengan diri ini. Sesungguhnya pada setiap pertemuan sudah tercatat di Atas Sana bahawa akan terjadinya pertemuan kau dan aku agar kita saling belajar.

Berusaha memperoleh pengalaman dalam pergaulan harian...

Sebuah Pertemuan. Muziknya yang tidak terlalu rancak dan liriknya mudah untuk diingat. Malah lagu ini sering menjadi pilihan ketika aku membuat video. Bahasanya mudah dan sangat bermakna dalam diri sendiri.

Aku mahu bercerita pula rangkap demi rangkap perihal lagu yang ada masanya bisa bertitik-titik air mata tumpah kala mendengarnya. [baik dengar bacaan al-Quran dan tadabbur.]

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Ya Allah, sesungguhnya perjalanan harian bukanlah hanya satu garis lurus. Ada kala terjatuh, tersungkurm tersepak batu, luka.. Semuanya sebati dengan langkah kita sehari-hari dalam melalui kehidupan sehari-hari. Sedihnya berada dalam kegelapan, tanpa cahaya yang menerangi, namun saat hadirnya seorang teman yang menghulur tangan, seakan hilang semua gelap. Hadirnya cahaya yang jadikan diri makin bersemangat teruskan kehidupan.. itulah sahabat. a true friend.

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

 Bahagian chorus ini paling aku suka. Sesungguhnya hadirnya seorang sahabat memberi harapan baru untuk aku teruskan langkah. Banyak kali tersilap membuat pilihan, namun Allah hadirkan seorang sahabat yang ingatkan aku bahawa hidup ini satu perjalanan yang perlu ditempuh untuk menuju sebuah negeri abadi. lantas , apa lagi yang perlu aku ragukan dalam persahabatan ini.

Terima kasih, sahabat. =]

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Apa lagi yang aku perlu selain punya cinta seorang teman yang tidak tega melihat sahabatnya sendiri tersasar haluan. Kehadirannya buatkan aku terasa kehidupan ini punya warnanya. Peranan seorang sahabat itu berada di sisi sahabatnya kala senang apatah lagi susah. Biar jauh, doa tidak lepa..

Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allah.

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman 

Alhamdulillah, ya Allah mengurniakan aku sahabat yang buatkan aku rindu kala jauh, cinta kala bersama... Benar tiada apa yang kita harapkan melainkan sebuah persahabatan yang ikhlas..
Terima kasih ya Allah dengan pertemuan ini.... Yang bisa buatkan aku ketawa walau hati menangis, tersenyum walau perit..... Alhamdulillah.
_______________________________
sumber: liriknasyid.com

Bicara Aku untuk aku

Mendengar katanya tadi,
Mengingatkan hati aku sendiri,
Perkara yang aku tidak hati-hati,
Membuahkan resah pada sebentuk hati.

Pesan aku kepada aku,
Tutup cerita yang tidak perlu,
Kadang perlu disentuh untaian qalbu,
Supaya perjalanan bukannya tidak tentu,
Mungkin pahit bercerita yang perlu,
Lakukan supaya tenang tanpa ragu,
Mungkin terlepas tanpa tahu,
Itu sebenarnya sembilu buat kamu.

Dalam renyai mulut aku bercerita,
Mungkin ada hati terluka hanya kerana kata-kata
Tanpa sampai akalku bicara,
Anggapanku ianya biasa sahaja,
Kerana kita lama bersama.

Aku mungkin tidak tahu,
Yang aku cerita yang tidak perlu,
Aku buat perkara yang mengundang sendu,


Sedangkan aku tidak bisa membantu diriku,
Mengubah sesuatu...

BAGAIMANA???

Aku hanya terkedu,
Membatu,
Tanpa jawapan walau satu.


8-6-2010
Qamar Jamilah
02:02p.m
~Aku hanya mengikut rentak jari.. Merapu sahaja...~

Katamu Suatu Ketika

Kata-katamu dulu,
adalah dusta yang tak kau bicara.

Kata-kataku,
Jangan engkau percaya.

Aku dan kamu,
Bukan lagi seperti dulu,
Kita nyata tak sebulu,
Tinggalkan aku...

09 August 2011

Katanya kamu belajar bahasa Arab.

Petang tadi menerima panggilan daripada Aqilah bertanya akan maksud beberapa perkataan dalam bahasa Arab.

"acu tahu bahasa Arab?" Ah, sudah. Apa yang mahu ditanya oleh anak saudaraku ini. Jujurnya nama sahaja pelajar jurusan bahasa Arab disuruh bercakap memang aku lari sembunyi belakang kawan dahulu. Hanya apabila terpaksa, memang keluar juga satu dua kalimah bahasa Arab yang mudah-mudah.

Satu anggapan dalam diri yang MESTI diubah. Bilakah orang lain akan tahu akan perihal bahasa Arab jika kamu -AKU- sendiri tidak langsung mahu berusaha untuk mengubah tingkat kefahaman dalam bahasa Arab malah makin hari makin berkarat. Ini sebulan cuti pulang nanti tergagau pula mahu mencari makna perkataan dan memahami kuliah yang disampaikan pensyarah. Aku kagum melihat seorang gadis bernama Syafiqah Rahmat yang sedang belajar di Beijing membuat satu blog menggunakan bahasa mandarin. Subhanallah.

Aku yang sudah bertahun-tahun belajar bahasa Arab ini masih di tingkat sama kefahaman.

Malah jika dikira semester aku belajar di peringkat ijazah ini sudah empat semester panjang tambah dua kali semester pendek aku di sini. Belajarnya sudah tentang syair namun ditanya kembali apa itu mu'allaqat sab'ah pun aku gagal untuk menjawab.

Ketika belajar kononnya faham dan langsung tidak pernah mahu bertanya. Terkesan aku dengan satu ayat dalam blog Aizzul Izzati, seorang teman sepersekolahan dahulu...

Lebih kurang begini: "kalau usaha tidak gah, jangan diharap untuk dapat cemerlang." Oh, makan dalam aku!

APA? Apakah lagi yang aku tunggu sebelum aku mahu betul-betul belajar bahasa Arab. Ramai orang lain yang mahu belajar bahasa Arab namun Allah telah tetapkan JAMILAH sebagai salah seorang pelajar bahasa Arab. Lantas, mahu dipersiakan peluang ini dengan hanya masuk kelas tadah kitab- keluar main-main- masuk kelas lagi - periksa - hilang apa yang aku belajar.

Kitaran apakah begitu?

Bukan perihal kerja yang aku fikirkan ketika aku mengambil keputusan untuk memilih bahasa Arab sebagai pilihan pertama empat tahun lalu. Kataku dahulu... ah, lupakan sahaja. Semuanya seakan sudah terbang bersama-sama angin yang menderu keras dalam diri. Menerbangkan sisa semangat yang ada dan perlu aku cas semula semuanya untuk kembali meneruskan perjuangan.

Ya, alhamdulillah aku sudah selesai menulis novel TEKAD yang melalui fatrah panjang sebelum sampai saat itu. Masih di tangan editor dan belum masa untuk diterbitkan. Aku tidak tahu bila namun doakanlah ia dipermudahkan dan aku dapat juga melihat satu-satunya -buat masa ini- manuskrip yang berjaya aku langsaikan dengan izin Allah menembusi pasaran. Amin.

Ya, tentang pelajar jurusan bahasa Arab. Ia tentang satu impian, perihal satu keinginan yang tidak berjaya aku tunaikan dalam diri sendiri lalu aku jadikan ia watak dalam ceritera itu. Sebuah kisah untuk bacaan remaja.. Nantikan ia, insya Allah.

Baik, berbalik kepada bebelan aku. Adakah niat aku belum betul? Oh, dengan niat pada awal pekerjaan menentukan perjalanannya lancar atau tidak. Memang benar aturan Allah ada pada setiap yang berlaku namun perlu juga diingat bahawa usaha setara mana untuk kamu dapatkan hasil yang terbaik.

Allah!

Aku mahu positif.
Aku mahu terus melangkah.
Aku rela rebah dan gagal berkali.
Aku tega merasa semua kesakitan itu.

Lantaran,
Aku percaya pada aku ubat paling mujarab.
Kegagalan yang buat aku hargai kejayaan.
Kesedihan yang buat aku rindu rasa riang.
Air mata yang jadikan aku hargai senyuman.

Semuanya ada hikmah. Allah beri apa yang terbaik dan termampu buat aku.

Selesai sudah membebel sebelum iftar.

Sebelum iftar,
Qamar Jamilah.
9 Ramadhan 1432/090811
iringan La khauf: satu hati

08 August 2011

Mencari Semula Kekuatan

Tidak ada manusia dalam dunia ini yang tidak diuji. Susah itu ujian, senang juga ujian yang mana setiap detik yang terjadi, setiap kejadian yang menimpa, setiap laku yang dibuat setiap masa ada perkiraannya. Allah Maha adil kepada setiap hamba-Nya.

Ya Allah, betapa sudah banyak salah lakuku sepanjang dua puluh dua tahun menjadi pengembara bermusafir di bumi. Betapa sering diri tidak sedar akan segala tanda-tanda dan amaran yang pernah kau tunjukkan bahawa aku bukannya muda lagi. Satu demi satu peristiwa yang pernah singgah dalam diari kehidupan seakan terus aku biarkan ia dibawa angin hingga aku seakan tidak tahu yang itu adalah satu 'tanda' yang mahu Kau tunjukkan kepadaku.

Allah bersama sangkaan aku kepada-Nya. Selama mana aku bersangka baik dengan Allah, insya Allah aku tahu langkahku masih berada di atas jalan yang Satu. Namun semakin hari, terasa makin samar jalan yang sedang aku lalui. Terasa kosong detik-detik yang dilalui tanpa berbekalkan hati yang suci.

Menonton "dalam mihrab cinta" kemudiannya "nur kasih the movie" bukan sekadar cerita yang aku cari. Betapa sesungguhnya perubahan tidak hadir sendiri tanpa dicari. Semakin kamu mahu berubah, seakan kuat kamu akan teruji dengan segala yang kamu kata. Apa yang pasti, kekuatan dalaman yang terjana daripada amalan yang terjaga dan hati yang baik membuatkan kamu selamat dan kuat untuk melakukan perubahan.

Kisah Adam hanya sebahagian daripada ramai manusia yang kuat hatinya setelah berubah dan tidak mahu berpatah semula ke zaman gelap.
Cerita Syamsul Hadi adalah sebuah sisi manusia yang tidak biarkan diri terus terjebak dengan kejahatan kerana sangkaan-Nya pada Allah itu terbaik.

Lalu, bagaimana dengan dirimu?

Tidak puaskah diberi sebuah keluarga bahagia yang menyayangi dirimu?
Tidak cukupkah diebri sahabat yang tidak lari ketika kamu berada dalam kesusahan apatah lagi ketika senangmu?

Pantas, apakah lagi yang kamu nanti?

Adakah mahu menanti sebuah turning point yang besar terjadi dalam hidup barulah kamu akan berubah? Hati itu dahulu yang perlu kamu ikhlaskan untuk berubah.

Lain-lain akan datang kemudian.

Hubungan dengan Allah kamu kena jaga apatah lagi hubungan sesama umat Nabi Muhammad. Tanggungjawab yang banyak kamu abaikan, bagaimanakah akan kamu jawab nanti?
Mata yang sering kamu pejamkan kepada kebenaran siapakah yang akan bertanggungjawab.

Allah...

Biar segelap mana masa lalu, berikan laluan untuk diri lakukan perubahan.

Tolonglah... bahawa sesungguhnya kamu kena ingat yang kehidupan pasti akan berakhir. Kena redha. Mesti bersedia.

Allah...

sebuah monolog,
Qamar Jamilah.
8 Ramadhan 1432/080811

07 August 2011

Buah Nam Nam

Teruja pula aku mahu menulis akan perihal buah ini. Walaupun dudukku memang asli kampung di sini, namun banyak pula pokok-pokok kayu yang aku tidak kenal. Lebih kepada tidak belajar untuk mengenal sebenarnya.

Petang tadi, kakakku yang baru pulang dari rumah mertuanya di kampung seberang membawa buah yang jujurnya inilah pertama kali aku melihat buah itu.

"Itu ada buah nam nam." Kakakku mengunjuk plastik di atas meja.

"Apa? nam-nam?" Aku seakan mahu kepastian sekali lagi.

"Camna nak makan?" Aku melihat ada kulit sahaja dan dalamnya ada biji.

"Makan kulitnyalah." Kakakku membalas.

"Oh." Memang orang kampung nan seorang ini kuran tahunya perihal buah-buah dan seangkatan dengannya.

"boleh google." Aku menerus bicara. Teringin pula untuk tahu perihal buah ini... Sama halnya ketika pertama kali mendengar kak Husni bercerita tentang buah binjai yang akhirnya aku bisa makan juga diberi kak Husni.

Lalu, tiga biji buah nam-nam diberikan padaku dan apabila menjamahnya malam ini terasa kesedapannya.. Ada rasa masam tetapi tidak seperti asam yang sampai mengerutkan dahi.. Boleh diterima lidahku yang kurang tahan asam.

Melihat-lihat di internet sebentar tadi, barulah aku tahu buah ini berbuah di batang bukan seperti pohon lain..

Uniknya ciptaan allah.

Tidak dapat lagi memasukkan gambar asal buah ini.. Jika ditekan buah nam-nam di google pasti ada gambarnya... Boleh juga membaca di wikipedia versi Indonesi perihal buah namnam.

Cerpen: Vila Igauan [Edisi Asal]

 AKHIRNYA
Dewan Siswa Mac 2005: vila igauan [disunting lebih 50 %]

Ini sebuah ceritera yang ditulis gadis berusia 15 tahun,
Pengetahuannnya belum ranum akan perihal penulisan,
Bergantung kepada bacaan yang sedikit,
dia cuba menulis kerana sebuah minat dan cita yang membara ketika itu.
Demikianlah terhasilnya sebuah cerpen cliche bertajuk akhirnya...
Tersiar pada Mac 2005 di Dewan Siswa dan merupakan cubaan pertama menembusi pasaran..
Ini edisi asalnya. Cerpen yang tersiar sudah disunting editor..
Malu membaca cerpen ini semula, sangat tidak matang ketika itu...
Inilah... cerpen pertamaku.. Vila Igauan..

Sebuah kereta betul-betul berhenti di hadapan anak muda itu. Di dalamnya bersandar tenang seorang gadis manis yang masih lengkap berpakaian sekolah.

“Mari Zaman, balik bersama Halwa. Rumah kita bukannya jauh pun.”

“Tak payahlah, kejap lagi bas sampai. Saya balik naik bas saja.” Aku cuba menolak pelawaannya.

“Hai, tak kan tak sudi kot. Ye la kita yang ajak.”

Dengan terpaksa aku terpaksa juga menerobos masuk ke dalam BMW Metalic milik Dato’ Mukhtaruddin itu. Malu juga mengenangkan aku sekadar anak kepada orang gaji milik keluarga Halwalwasimah. Anak Dato’ Mukhtaruddin. Tersentak aku mendengar gemersik suaranya meminta aku ke rumahnya malam itu.

“Malam ni Zaman datang le rumah. Boleh le ajar Halwa Math Tam yang cikgu ajar tadi. Halwa kurang faham le.”

Sebenarnya aku agak keberatan untuk menjejakkan kaki ke villa itu walaupun Ibu bekerja di sana.Aku mula terkenangkan lirikan mata Datin Juliana setiapkali aku bertandang ke villa itu. Namun mampukah aku menolak pelawaan seorang gadis yang dalam diam sebenarnya aku meminatinya.

“Boleh tak?” Halwalwasimah mengulangi soalannya buat kedua kalinya.

“Em.. Insya Allah. Nanti saya tanyakan Ibu dulu.” Hanya itu yang mampu kujawab.

***

Malam itu aku tebalkan muka memijak permaidani merah villa itu. Naik meremang bulu roma mengenangkan apakah yang bakal aku terima daripada Datin Juliana. Jawapan Halwa meredakan perasaanku.

“Mama keluar. Zaman jangan risau. Halwa dah beritahu Mama dan Mama tak menghalang.”

“Mari, kita ke bilik bacaan.”

Mataku menerawang memerhatikan susun atur bilik itu. Sesuai dengan keluarga mereka. Namun pandanganku tidak lama mengenangkan tidak elok memanjangkan pandangan di rumah orang lain.
Kami mengulangkaji hingga tidak sedar kepulangan Datin Juliana. Sehinggalah beliau datang menjenguk anaknya yang khusyuk belajar.

‘Baik juga Datin ni, bawakan minuman untuk aku’. Hatiku berbicara ketika Datin Juliana masuk menghidangkan minuman.

“Ha, Zaman minum air tu. Kamu ni Halwa, ajak orang study hingga lupa nak hidangkan air.”

“Terima kasih, Datin.”

Berbeza benar layanannya terhadap aku pada malam itu. Mungkinkah Datin Juliana telah insaf? Dan dia juga menjemputku untuk datang lebih kerap ke villa itu.

“Halwa, dah lewat sangat ni. Zaman kena balik dulu. Nanti risau pula ibu.”


Sesampai di muka pintu, ku lihat Ibu setia menantiku.

“Kenapa lewat sangat, Zaman. Risau Ibu. Apa kamu buat di villa tu hinggakan pukul 12.00 baru sampai di rumah. Ibu risau kalau ada apa-apa terjadi pada kau.”

“Ibu tak perlu risau. Nanti kalau Zaman lambat, Ibu tidur dulu. Zaman sibuk tadi hinggakan tak sedar hari dah lewat. Maafkan Zaman ye buat Ibu risau.”

“Tak apalah. Hah, pergi masuk tidur. Lewat-lewat karang sakit kepala tu.”

“Ibu….”

“Apa lagi kamu ni?”

“Zaman sayang Ibu.”

Ku capai tangannya dan kucium penuh kasih sayang.

“Zaman tak nak berpisah dengan Ibu. Walau apa terjadi Ibu tetap bersama Zaman.”

“Ibu pun sayang Zaman. Zaman janji ngan Ibu, Walaupun Zaman dah jumpa keluarga kandung Zaman, Ibu harap Zaman tak kan lupakan Ibu.”

“Zaman janji, bu. Hanya Ibu yang Zaman sayang.”

Ibu inilah yang menghabiskan usianya menjagaku. Walaupun telah berkahwin suaminya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan yang tragis setelah..seminggu perkahwinan mereka.

Berat mulut ini untuk bertanyakan ibu kandungku. Aku tahu tak mungkin Ibu akan menceritakannya. Akhirnya aku biarkan persoalan ini sekadar berlegar-legar di mindaku.

Serasa bagai mataku disengkang sesuatu. Walaupun aku tahu yang aku tak boleh tidur lewat kerana migrainku, apakan daya sukar untukku pejamkan mata. Pandangan Datin Juliana. Bagai ada suatu rahsia yang terkandung di situ.

Ibu baru bekerja di sini. Jika sebelum ini Ibu bekerja sebagai seorang tukang jahit, namun segalanya berubah sejak sebulan yang lalu. Kata Ibu ada kawan lama mahupun Ibu jadi pembantu rumah. Dan Ibu bersetuju.

‘Ah, jauh sekali lamunanku.’

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk bermunajat memohon petunjuk Allah dengan segala kekusutan ini. Kepada-Nya aku serahkan diri ini. Aku memohon agar dapat ditemukan dengan keluarga kandungku. Bukan tidak sayangkan Ibu, namun aku ingin merasai indahnya hidup bersama keluarga.

***

Pagi nirmala. Seusai solat Subuh bersama Ibu, aku mengemaskan diri untuk ke sekolah.

“Anak Ibu ini semakin hari semakin bergaya.”

“Ibu ni, mana ada. Biasa saja”

“Dah, mari makan. Ibu dah siapkan roti bakar bersalutkan telur kegemaran kau.”

“Tentu sedap ni. Boleh Zaman bawa bekal untuk ke sekolah.”

Setelah mengucup tangan Ibu, kami sama melangkah. Ibu ke villa dan aku ke sekolah. Aku gemar menghayunkan langkah daripada bersesak-sesak untuk menaiki bas.

***

Waktu rehat, aku bersama-sama Halwa berehat di bawah sebatang pohon rendang. Tempat pertemuan kami. Aku lantas membuka bekalanku dan mempelawa Halwa untu sama-sama menikmati makanan itu.

“Sedap. Zaman ke Ibu yang masak ni.”

“Amboi…. Perli nampak. Untuk pengetahuan cik Puteri, makanan ni Ibu Zaman yang masak. Pakar memasak dalam pelbagai jenis hidangan.”

“Zaman…..”

“Kenapa? nak lagi. Nah.”

“Terima kasih malam tadi. Sudi ajarkan saya Math Tam. Sekarang saya semakin berminat untuk belajar. Sejak Zaman datang, saya semaki bersemangat untuk belajar dengan lebih tekun.”

“Tak perlu berterima kasih. Tapi sebagai balasannya…..”

“Apa Zaman nak? Saya akan cuba tunaikan.”

“Sabar le cik Puteri oiii. Dah tak reti nak sabar ke. Saya nak minta Halwa ajar saya English. Saya ni lemah sikit bahasa.”

“Itu aje. Ok. Zaman ajar saya kemahiran dan saya pulak ajar Zaman bahasa. Semoga kita berjaya.”

“Ibu ajak Halwa datang rumah malam ni. Ajak makan malam. Boleh?”

“Insya Allah.”

“Ha, loceng dah nak berdering tu. Nanti lambat pulak ke kelas. Lepas ni Bio, Tentu kena ke makmal.”

‘Ah, sukar untuk dibuang persaan yang mula berputik. Walaupun aku berazam untuk tidak bercinta di alam persekolahan, namun kenapa aku menjadi tidak keruan setiapkali memndang wajah comel milik Halwalwasimah. Adakah kasih mula berputik di sudut hati ini?’ Aku bermonolog.

Petang itu kami menghabiskan masa di perpustakaan. Mengenangkan peperiksaan akhir tahun yang bakal menjelang aku sedikit gentar.

Aku menjelajah segenap wajah putih bersih milik gadis itu. Ibu pernah menceritakan yang aku ada seorang kembar perempuan. Namun sehingga sekarang belum pernah aku ditemukan dengannya.

Gadis itu mempunyai tahi lalat di bahagian dagunya. ‘Ah, mungkin kebetulan. Tak mungkin dia adalah kembarku.’ Kutolak andaian yang hadir di mindaku. Cepat-cepat aku ingatkan diri tentang perbezaan taraf kehidupan antara kami.

“Zaman, kenapa pandang Zaman pandang Halwa macam tu. Zaman ada masalah?”

“Em…. Tak de. Cantik tahi lalat Halwa. Sama macam tahi lalat saya.”

“Agaknya sebab tu orang panggil kita kembar.”

“Tapi tak mungkin, kan. Sebab saya anak pada pembantu villa seorang hartawan terkenal sedangkan Halwa adalah anaknya.”

“Zaman, awak ada masalah yang tak dapat diselesaikan? Jangan pendam. Cuba awak ceritakan mana tahu saya boleh tolong.”

“Tak delah. Dah. Kita stop. Nanti tak siap pulak homework ni. Lagipun lambat-lambat kesian Pak Samad. Lama tunggu awak.”

***

“Mama, Zaman tu baik, kan. Seronok kalau Abang kembar Wawa macam tu.”

“Apa? Apa Wawa cakap?”

“Tu ha, nanti hangit gulai tu. Ibu ni… ayik mengelamun aje. Sampaikan di dapur pun nak mengelamun.”

Sudahnya aku mengubah topik. Mama macam ada masalah. Seringkali aku nampak Mama termenung di balkoni. Keseorangan menikmati malam.

“Mama….”

Malam itu aku bulatkan tekad untuk mengetahui rahsia Mama. Aku nak berkongsi kemurungan Mama.

“Tiap-tiap malam Mama di sini. Mama ingatkan Papa ye. Ala Ma, Papa pergi seminggu je oversea tu. Sabtu depan balik le.”

“Ke situ pulak Wawa ni.”

“Dah tu?”

“Mama berdosa Wawa….. Dan sekarang Mama tak tahu bagaiman untuk menebus kembali dosa itu.”

Ada kesan air mata di birai mata Mama. Aku bersimpati namun apa yang boleh aku lakukan. Kupeluk erat Mama untuk meredakan perasaannya.

“Mama cerita ngan Wawa apa sebenarnya terjadi.”

“Zaman…”

Ibu menceritakan peristiwa lama itu hingga tiada satu pun yang tertinggal. Dan sekarang barulah aku mengerti erti renungan Ibu pada Zaman setiapkali Zaman bertandang ke villa itu. Pandangan seorang ibu yang merindukan anaknya.

Aku mencatatkan semula apa yang diceritakan Ibu ke dalam diariku. Buat pedoman. Dan aku bersujud syukur kerana orang yang aku rindu selama ini rupanya hanya di depan mata.Dan malam itu aku bermimpi bersama Zaman yang bakal kupanggil Abang.

***

Zaman sungguh tidak keruan malam itu. Terasa ingin mendesak Ibu menceritakan apa sebenarnya terjadi namun aku tak sampai hati. Aku tak rela melukakan hati seorang tua yang bersusah payah membesarkanku. Sekali lagi aku bersolat dan bermunajat memohon petunjuk Allah atas apa yang kualami. Dalam pada itu masih sempat aku bermimpi…

“Zaman adalah Abang Halwa. Mama dah ceritakan apa yang berlaku 16 tahun yang lalu.”

“Tidak…… Jika betul kenapa Ibu tak pernah ceritakan apa-apa pun.”

“Permintaan Mama.”

“Zaman tak percaya, Halwa. Mana mungkin. Banyak perbezaan antara kita.”

“Tapi tidak tahi lalat itu… Milik kita adalah sama.”

Tiba-tiba aku tersentak. Suara Ibu mengejutkan aku. Aku masih di tikar sembahyang. ‘Ah, Aku bermimpi lagi.’ Mimpi yang sama sejak seminggu yang lalu. Sejak aku mula bermunajat memohon pertolongan Allah.
Aku menghadapi Ibu seperti biasa. Solahnya tiada apa-apa yang terjadi. Semasa mahu meneruni bukit, sempat juga aku memerhatikan villa mewah itu.’Mungkinkah aku akan berada di situ?’

***

Waktu rehat. Halwa kelihatannya begitu gembira. Diajaknya aku untuk sama-sama makan di kantin.

“Halwa belanja Zaman.”

“Gembiranya puteri kayangan ni. Ada putera kayangan datang ke?”

“Putera kayangan tak de la. Tapi Halwa ada satu berta gembira. Dan petang ni Mama ajak Zaman dating rumah. Makan tengahari di sana. Mama kata dia dah jumpa dengan abang kembar Halwa.”

“Syukur…… nanti boleh le Zaman berkenalan dengannya.”

“Boleh, apa salahnya. Dah cepat prsan makanan. Zaman nak makan apa cakap aje, Halwa bayar.”
Loceng berdering menandakan waktu rehat telah tamat. Kepalaku sedikit berdenyut kerana tidur yang kurang cukup sejak kebelakangan ini. Kutahankan juga sehingga loceng tamat berdering.

“Jom, Zaman. Pak Samad tentu dah tunggu kita tu. Nanti lewat pulak.”

Namun tiba-tiba pandanganku berpinar dan aku tidak dapat mengingati apa yang telah terjadi.
Apabila kubukakan mata kulihat ada Ibu yang setia menanti.

“Sampai hati Zaman rahsiakan daripada pengetahuan Ibu.”

“Ibu tak nak nanti Ibu risau. Lagipun Zaman tak apa-apakan. Cuma tak cukup tidur.”

“Itulah yang kau cakap bila kau sakit kepala. Baru Ibu tahu yang kau sebenarnya migrain.”

***

Setelah tiga hari aku berumahtangga di hospital, aku dibenarkan pulang. Halwa datang bersama Ibu menjemputku di hospital.

“Kita nak ke mana ni?”

Aku bertanya kerana hairan Pak Samad membelokkan kereta ke sebuah hotel terkemuka di Ibu kota. Hotel Equatorial.

“Halwa nak meraikan kedatangan Abang Halwa.”

Ku pandang Ibu mohon pengertian namun Ibu hanya memandang ke luar.

Sesampainya di sana kulihat ramai rakan-rakan sepersekolahan tenang di kerusi masing-masing dan bertepuk tangan seolah-olah menyambut kedatanganku.

“Kata nak sambut Abang Halwa. Kenapa ramai sanga orang.”

“Zaman duduk dulu. Kita dengar apa juruacara nak cakap.”

Juruacara menjemput Dato’ Mukhtaruddin untuk menyampaikan ucapan.

“Saya sungguh bertuah kerana pada hari ini saya telah menemukan anak yang sekian lama saya abaikan. Dan saya ingin memohon maaf kepadanya kerana mengabaikannya selama ini. Anak yang dimaksudkan adalah Muhammad Wahiduzzaman, kembar kepada Nur Halwalwasimah.”

‘Ya Allah…. Benarkah apa yang ku dengar ini?’

Menitis air mata lelakiku. Halwa mendekatiku.

“Inilah kejutan buat Abang. Halwa yang suruh Mama buat kejutan untuk Abang.”

Kutarik tangan Halwa dan kupeluk erat gadis itu, kembarku.

Aku diminta ke hadapan untuk bertemu dengan Abah dan Mama.

“Mama minta maaf Zaman. Mama abaikan kau. Tapi Mama nak kau tahu yang Mama sangat sayangkan kau. Kau anak Mama….”

Titisan air mata Datin Juliana membasahi bajuku. Aku bersyukur kerana 16 tahun aku mencari siapa keluargaku yang sebenar, kini telah di depan mata.

“Papa harap kau akan dapat terima kami sebagai keluarga kau. Papa nak tebus dosa-dosa silam Papa.”
“Mama, Papa, Zaman akan cuba terima Mama dan Papa. Cuma satu…”

“Apa sayang….?”

“Zaman nak tinggal dengan Ibu. Zaman nak tinggal dengan orang yang telah banyak berjasa pada Zaman. Boleh kan Mama.”

“Zaman, Kita sekeluarga akan tinggal di villa tu. Ibu Zaman akan bersama-sama dengan Zaman.”

“Terima kasih, Pa.”

***

Peristiwa itu telah mengubah kehidupanku. Berpindah ke villa yang dahulunya menjadi igauanku. Namun aku bersyukur kerana menjadi seorang yang istimewa. Mempunyai dua orang Ibu.

Keriuhan di dapur menandakan Ibu dan Mama sibuk memasak. Kucapai diari dan kuluahkan rasa hati. Walaupun cintaku tak kesampaian namun aku bersyukur kerana Halwa adalah kembarku. Semakin hari kami bertambah intim dan sering meluahkan perasaan. Tiada rahsia antara kami.

“Zaman…. Mari makan. Aku melangkah ke dapur.

“Lambat le Abang ni. Penat Adik, Mama, ngan Ibu tunggu. Abang ingatkan girlfriend ye.”

“Tengok tu, Ibu, Mama. Tak Sah kalau tak sakat orang.”

“Dah le tu, makan. Depan rezeki tak baik bergaduh.”

***

“Mama, terima kasih.”

Malam itu ku hampiri Mama yang enak bersantai di bibir kolam.

“Kenapa Zaman pula berterima kasih ngan Mama. Sepatutnya Mama yang perlu berterima kasih kerana Zaman sudi terima Ibu.”

“Mama sudi cari Zaman walaupun dah 16 tahun berlalu. Patutlah pertama kali Zaman pandang Mama seorang ada sesuatu di mata Mama.”

“Banyak salah Mama pada Zaman. Zaman boleh ke maafkan Mama.”

“Mama, kita manusia. Tak pernah Zaman rasa Mama bersalah malahan bersyukur kerana dapat semula kasih sayang Mama.”

“Hai, rancak berbual.” Serentak suara Ibu dan Halwa menjengah pendengaran kami.

“Ibu….”

Kudakap erat tubuh kurus tua itu. Betapa banyak pengorbanan yang telah beliau lakukan untuk membesarkanku. Sungguh terhutang budi aku kepadanya. Kemudian kucapai pula tubuh Mama. Insan yang telah bertarung nyawa melahirkanku.

“Papa…… Betapa gembiranya hati Zaman pada hari ini. Kita berkumpul sebagai sebuah keluarga. Papa, Ibu, Mama, dan Adik. Papa sangat bahagia.”

Esoknya aku tak berdaya untuk bangkit daripada pembaringan. Kepalaku menjadi sangat berat.

Halwa yang kebetulan mahu mengejutkanku terperanjat melihat keadaanku.

“Mama, Abang Zaman……”

Aku hanya mampu mendengar suaranya sedangkan kepalaku berdenyut kuat. Dan akhirnya sekali lagi pandanganku menjadi kabur kemudian terus hilang.

Menurut dokor migrainku sudah parah dan memerlukan rawatan segera. Aku pasrah walau apa terjadi kerana segala impianku telah tercapai. Bagai terdengar suara memanggilku untuk pergi. Abah, Mama, Ibu dan adikku Halwa, maafkan Abang. Abang terpaksa pergi sekarang. Abang telah menemukan kebahagian yang dicari. Akhirnya aku menutup mata buat selama-lamanya…..

06 August 2011

Cerpen: Demi Pena.




Hujung pena yang berbicara
SATU

Atap rumah yang sudah berkarat dan berlubang-lubang di sana sini tidak pernah diganti sejak mula rumah ini dibina. Malahan pasti ruang tamu akan digenangi air ketika hujan walaupun tidak lebat.  Adakala hujan hadir bersama kotoran yang menyukarkan pula kami membersihkannya. Aku tidak punya kudrat mahu menampal atap yang bocor kerana keterbatasan tenaga seorang anak yang mentah. Sementelah pula adik-adikku yang empat orang itu, hanya tahu meminta makan apabila lapar dan bermain dengan rianya tanpa mengetahui simpulan masalah yang kian berselirat dalam akal fikir ibu dan aku.

Ayah meninggalkan aku dan adik-adik ketika Acu-adik bongsuku- baru dua bulan menghuni rahim Ibu. Kematian yang teramat tragis bagi aku, seorang anak kecil. Pekerjaan ayah sebagai pemandu peribadi Dato’ Zaim akhirnya merenggut nyawanya sendiri. Kami seakan hilang tempat berteduh. Mana mungkin kami mendiami lagi rumah kecil belakang rumah agam Dato' Zaim setelah ayah bukan lagi menjadi pekerjanya. Ibu membawa kami berlima pulang ke kampung. Tinggal di rumah peninggalan arwan nenek yang tiada lagi sesiapa menghuni. 

***


DUA
“Maafkan Ibu, Along. Along jagalah diri dan adik-adik. Ibu tidak mampu berikan kebahagiaan yang kalian mahu. Along kena jadi contoh pada adik-adik. Ingat pesan Ibu, sesusah mana sekalipun, jangan minta sedekah atau berhenti sekolah.”

Pagi itu seperti pagi-pagi yang lalu. Awal pagi Ibu sudah bangun dan menyiapkan kuih-muih yang akan dihantar aku ke Kedai Kopi Pak Mat di simpang tiga kampung, dan menjaja baki kuihnya dari rumah ke rumah menaiki basikal.
"kuih!"

"kuih!"

Saban pagi aku menjerit, daripada satu lorong ke satu lorong. Ada rezeki, habislah kuih yang terjual. Selalu juga aku membawa pulang kuih yang tidak separuh terjual. Membawa bakul yang masih berisi.

Ibu hanya sambut dengan senyuman.

"Bukan rezeki kita, sayang!" Ibu berkata seakan-akan memujuk diri sendiri.

Ibu tidak pernah menyerah kepada takdir yang tersurat dalam kehidupan kami. Pagi menyediakan kuih, petang menjahit pakaian, malamnya pula menyiapkan bantal kekabu, sarung bantal, dan rantai serta gelang manik yang akan dihantar di kedai yang letaknya di pekan. Sejak enam bulan lalu, ibu memulakan kerja ini dan mendapat wang lebih bagi menampung kami sekeluarga.
Tidak diam. Tangan ibu ada sahaja kerja yang mahu dilakukan. Pasti siap satu atau dua gelang walaupun matanya menatap televisyen bersama-sama kami di ruang tamu. 

Lalu, mana mungkin aku hanya duduk diam.

Aku tersenyum. Senyum kelat dan penuh paksaan. Sengsara ibu mencari rezeki buat aku dan adik-adik, aku simpan dalam hati satu azam yang tidak aku khabarkan kepada sesiapa.

***

TIGA

“Maafkan Along Ibu. Along tidak bersekolah lagi sekarang. Tetapi Along tidak akan henti belajar. Along belajar daripada pergaulan dan alam. Along nak yang terbaik untuk adik-adik Along. Maafkan Along ye, Ibu.”

Acu memandang dengan redup mata tidak mengerti.Acu yang baru berusia tiga tahun perlu menerima ketentuan Allah yang mengambil ibu ketika dia masih perlu bermanja. Lalu, akulah yang menjadi pengganti Ibu. Ibu mengajar kami untuk tidak bergantung kepada orang lain meski saudara sendiri.

"Kita mengharap bantuan orang, nanti satu masa diungkitnya apa yang telah diberi. Selagi ada kudrat, kita harus usaha sendiri. Allah sediakan cukup nikmat untuk hambanya. Anak ibu tidak pernah berlapar walaupun kita tidak mewah."

Ibu meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya ketika mahu ke pekan. Hati mana tidak sedih, jiwa mana tidak luluh, demi memandang Angah, Alang, Acik dan Adik yang perlukan aku kuat, aku tahan semua perasaan dalam diri.

Ah, aku hanya gadis berusia 13 tahun. Di pundak ini tergalas satu amanah. Ada empat mulut yang perlu aku suap, punya empat jiwa yang dahagakan kasih. 

Berhenti sekolah.

Keputusan drastik aku buat demi semua. Tidak bermakna aku berhenti belajar. Menjadi murid kepada sekolah yang lebih luas. Sekolah kehidupan.

***
EMPAT

Adikku yang berempat sudah hanyut bersama mimpi masing-masing. Masanya untuk aku bekerja. Buku nota sains aku keluarkan daripada bawah bantal. Perkataan demi perkataan aku catat menjadi perenggan hingga berakhir satu bab. Projek besar seorang yang berusia 13 tahun.

Bergelar penulis. Minat yang sebenarnya ada sejak aku kenal baca dan tulis. Dahulu, saban hari, aku akan ke perpustakaan sekolah walaupun ketika masih merangkak membaca di tahun satu. Cukuplah aku melihat gambar pada buku dan meghabiskan masa rehat di situ. 

Sampai sekarang, hubunganku masih ada dengan guru yang menguruskan perpustakaan sekolah rendahku. Dialah sebenarnya yang memberi saranan setelah melihat aku begitu asyik dengan buku, malah tidak lekang bersama buku catatan setiap kali membaca.

"Kamu minat menulis?" Ketika itu aku di tahun tiga. Ayah masih bersama kami. Ibu hanya suri rumah. 

"Suka. Saya sangat suka membaca buku cerita. Suatu hari nanti saya mahu menulis buku sendiri." Impian anak berusia sembilan tahun.

Mahu gapai bintang tinggi.

Mahu terbang bersama burung di langit nan biru.

***
 ENAM

Perjalanan itu panjang. Sebelum aku sampai di peringkat ini, dan melihat buku sendiri di kedai-kedai buku terpilih, aku melalui kehidupan yang mendewasakan aku daripada usia sebenar. Terpaksan berhenti sekolah ketika masih berusia tiga belas tahun bukan suatu yang mudah.

Demi adik-adikku tersayang aku rela.

Biar aku tidak berpelajaran tinggi, namun aku tidak buta ilmu. Buku teks mereka bahan bacaanku. Buku-buku mereka pinjamkan untuk aku baca di rumah. Siapa kata kemiskinan buatkan aku buta ilmu.

"Tidaklah sama mereka yang mengetahui dan mereka yang tidak mengetahui."

Kini, dalam usia 17 tahun dan tidak bersekolah menengah, namaku sebaris nama penulis yang meniti di bibir masyarakat. Fatimah Luthfiah.

Nama pena yang aku pilih. Menulis buku-buku motivasi walaupun tidak bersekolah tinggi. Menulis novel walaupun terpaksa berhenti sekolah.

Sekolah kehidupan mengajarku, dan aku menggerakkan pena yang sentiasa basah. Menurunkan pengalaman diri menjadi aksara untuk dikongsi. Perkongsian daripada hati yang mudah-mudahan masuk ke dalam hati.

Alhamdulillah, dengan pena yang terus lancar aku menyekolahkan adikku yang berempat. 

Angah yang sudah 14 tahun
Alang 12 tahun
Acik 10 tahun
Si Comel bongsu, Acu yang berusia tujuh tahun.

Biarlah aku korbankan diri demi persekolahan mereka. Membersarkan mereka biar kelak menjadi hamba yang berguna kepada agama dan bermanfaat untuk orang lain.

Maka, pena itu akan terus aku gerakkan. 

***selesai***

_________________________________________________
Qamar Jamilah,
sambungan cerpen.
6 Ramadhan 1432 
060811 @ 1003pm

Tapai

Tapai yang sedap.

1998.
Siapakah dapat menjangka,
Inilah makanan terakhir dibuat bonda,
Buat zuriat tercinta,


Tapai disedia,
Belum sempat dijamah,
Allah memanggilnya menghadap,
Kerana sampai masa ditetap.

2010.
Aidilfitri ini,
Tapai pelengkap perayaan kali ini,
Air tangan ayah sendiri,
Buat kami.

Benar kenangan masih terpahat,
Namun sudah aku balut,
Simpan kemas di satu sudut.

Ini tapai cinta punya bicara,
Seorang hamba di bumi melata.



Nota Sebelum Titik:kisah tapai dalam diri.

tapai's story,
4.36a.m/4.12.2010,
Qamar Jamilah, Mahang, Kedah. 

05 August 2011

Semusim Bersama Seabad Terasa

Ditulis oleh: Jamilah Mohd Norddin
pengalaman semester pendek 2008 di CFS Nilai.




Kenangan Terindah

Belum puas bercuti, aku perlu pulang ke kampus, menyambung pengajian di sem tiga. Perasaan bercampur baur, antara suka dan duka. Rindukan teman sepengajian dan sayangkan cuti dua bulan berbaki. Langkah tetap aku teruskan. Tentu ada sesuatu berharga akan aku peroleh dalam sem ini.Aku semat azam. Biar apa yang jadi, diri tak boleh mengalah pada keadaan. Dalam kekurangan ada sesuatu yang tersimpan, yang mungkin kita tak perasan.

Hari pertama kelas sudah dimulakan, almaklumlah semester pendek, semuanya perlu dibereskan cepat. Kelas pertama kelas kalam(speaking), kena bertutur dalam bahasa Arab, memang aku dalam jurusan Arab. Semuanya malu-malu kucing untuk bertutur dalam bahasa Arab, tak ramai yang hadir. Hari pertama dah dapat assigment. Ustaz beritahu misi sepanjang sem ini yang perlu beliau capai, kami mendengar penuh tekun. Ustaz ini juga jurusan Arab daripada universiti yang sama dengan aku.

Esoknya, perbentangan pertama. Bersama tangan yang terketar-ketar dan persediaan yang kurang, aku dan kawan aku teruskan juga. Masih awal untuk Ustaz buat penilaian, biarlah dulu, mengambil masa untuk berubah. Hari seterusnya saban hari kami dihidangkan pelbagai ilmu baru dan motivasi. Tugasan dan perbentangan mengguankan power point, movie maker.kalimahnya membangkitkan semangat kami untuk bercakap, terutamanya aku, pelajar paling diam, aku berusaha bercakap, walaupun hanya sepatah dua. rakan-rakan mula menunjukkan bakat terpendam. Perbentangan yang menarik dan selalu dapat pujian Ustaz. Mumtaz. itu selalu Ustaz sebut bagi perbentangan yang bagus. Dalam diam aku menyimpan tekad.Suatu hari aku juga seperti mereka.

Dikerah hari-hari, kelas bertambah meriah. Gelagat pelajar lelaki yang ceria. Rakan-rakan yang bersemangat dan ustaz yang berdedikasi menjadikan sesi pembelajaran tidak membosankan. Aku membuat penilaian dalam diam. Semua orang mampu, asalkan beri peluang pada diri untuk buktikan. hari-hari Ustaz tanamkan semangat baru. Budak Arab lebih baik daripada jurusan lain!

Suatu hari, Ustaz kerahkan kami membuat drama yang melibatkan seisi kelas.Masa hanya tiga hari untuk membuat persiapan. Akhirnya berlalu sudah lakonan yang dilaksanakan tanpa latihan dan persiapan rapi. Alhamdulillah, kawan-kawan memang berbakat. Ustaz sendiri mengakui dan tak menjangka sebaik itu.

Macam-macam ustaz berikan pada kami. Pelajaran, semangat, ubah persepsi yang tak terbayar. ALLAH hantar Ustaz sebagai perantara untuk kami buktikan kemampuan. Semuanya dari ALLAH melalui Ustaz. Kami hargai jasanya.



Namanya ustaz Azlan

Satu pengalaman yang aku tak lupa sampai bila-bila.Aku dapat tugasan bentangkan tokoh yang kita suka. Tajuk yang menarik. Aku pilih Faisal Tehrani, penulis yang aku gilai tulisannya. Aku siapkan power point, movie maker, aku tanamkan pada diri aku boleh buat, aku cuba buat latihan, aku minta semangat dari teman-teman rapat, aku usaha buat yang terbaik. Alhamdulillah, aku dapat laksanakan. Aku berjaya kali ini. Ustaz cakap, kali pertama aku cakap dengan yakin.Ya, kita mampu. Asal kita usaha, doa kemudian kita tawakal pada ALLAH. Malam jamuan terakhir, aku terharu dengar ustaz cakap. Ya, ustaz kata dulu aku nampak seperti orang yang tiada idea kerana terlalu pendiam, dan akhirnya sedikit terhakis pada akhir kelas. Bukan aku seorang, kawan-kawan lebih lagi ketara perubahan mereka.Terima kasih, ustaz. Alhamdulillah.

Kepada teman-teman seperjuangan, teruskan perjuangan kalian memartabatkan Bahasa Al-Quran. Walaupun minoriti, kita juga boleh. Tak rugi belajar bahasa, belajar bahasa kita belajar mengenal bangsa. "bahasa jiwa bangsa." Terima kasih teman atas segalanya. Terima kasih Ustaz atas pertemuan ini. Doakan kami berjaya Dunia Akhirat. Memori bersama kalian di sem tiga akan aku kenang selamanya. kalian inspirasiku.

Catatan ditulis pada tahun 2009.