30 July 2011

perjalanan

perjalanan
terus ke depan
berpaling tidak.

melangkah
berkali rebah
bangun
mengaku kalah tiada.

kejayaan
bukan sehari usaha
panjang jalannya
tuju jaya

dunia Sana

lu'luah Nur jamilah
4.00 p.m
Mahang 

Orang Baik Itu Damai Hatinya.

Tagline Ustaz hasrizal: Erti Hidup pada Memberi
Aku harus sedar yang selama ini hati, lidah, akal dan anggota seluruhnya saling bekerjasama untuk menghidupkan sekujur tubuh yang Allah pinjamkan selama nadi masih berdetik dan jantung tetap menjalankan tugasnya tanpa henti. Tidak ia berhenti selagi belum hadir ketetapan yang sudah tertulis sejak Azali bahawa nafasku hanya takat ini.

Bersediakah aku sebenarnya untuk merasai saat itu?

Bukanlah itu persoalannya dan bukan itu yang mahu aku contengkan kali ini. Sekadar menurut aliran jemari sebagaimana selalu aku membiarkan jejari tidak runcing itu bergerak sambil akal dan hati cuba untuk terus mengatur kata. Tulisan yang menggantikan semua bicara yang tidak mampu aku luahkan dengan lisan yang sering bisu. Bagi aku, lebih baik diam daripada aku sering menyakitkan hati orang apabila aku bercakap banyak dan tingkah yang pelik-pelik keluar daripada jasad ini.

Aku sentiasa percaya dan yakin yang Allah berikan apa yang kita berikan kepada orang lain. Usaha kita hanyalah seciput untuk dibandingkan dengan anugerah yang Allah akan berikan kepada kita. Tidak kiralah ianya baik atau buruk. Kebaikan yang kita tabur, harumanlah yang kita dapat. Keburukan yang kita canang, busuknya menjadi teman kita sehari-hari.

Walaupun kebaikan besar tidak mampu kita lakukan, perkara baik yang kecil dan berterusan itukan yang lebih baik? Bukankah amal yang paling baik bukannya banyak tetapi hanya sekali namun kecil tetapi berterusan... Di manakah agaknya letaknya diri?

Tidak padan untuk aku melihat ke dalam diri orang lain, sedangkan apa yang ada dalam diri tidak aku teropong sepenuhnya lagi. Kehidupan aku sehari-hari, alhamdulillah, walau ada ketika hujan mencurah, mentari lebih banyak bersinar dan Allah sentiasa memberikan anugerah terbaik melebihi apa yang aku lakukan. Allah berikan yang terbaik dan semua yang kita mampu tanggung.

Ada sekali terasa mahu berhenti belajar dan putus asa dengan apa yang sedang aku lalui sekarang, namun Allah hadirkan teman yang menguatkan diri dan nasihat-nasihat yang membuatkan aku membatalkan keputusan itu. Ada ketika rasa mahu terduduk dengan sedikit ujian disebabkan kelalaian diri sendiri, namun Allah tetap tidak biarkan aku hanya sendiri. Kadang mungkin aku yang terasa sendiri sedangkan sentiasa ada manusia lain di sekeliling yang perihatin. Tidak wajar melihat apa yang terjadi seakan akan berakhirnya sebuah kehidupan dan terus gelap masa depan. Apabila tidak mampu melihat diri sendiri lagi, pandanglah sekeliling...

Bagaimana manusia lain bisa menahan kesakitan?
Bagaimana manusia lain mengatasi kegagalan?
Bagaimana manusia lain mencari rezeki halal dengan kemampuan terbatas?

Bagaimana?
Bagaimana?
Bagaimana?

Kehidupan di dunia ini bukan hanya ada kamu seorang namun manusia di sekelilingmu Allah hadirkan supaya kamu belajar dan mengambil pengajaran. Usah rasa sunyi walaupun kamu mungkin tidak suka bergaul dalam ramai. Usah terasa sepi walaupun jalanmu hanya sendiri..

Ingatlah bagaimana kecewanya hati... Allah ada.
Ingatlah walau sedalam mana sakitnya hati.. Allah sedia mendengar luahan.
Ingatlah walau kesakitan tidak mampu ditanggung... dosamu diampun sebanyak mana kesakitan itu.

Semuanya bukan sia-sia.

Sungguhlah orang baik tidak memikirkan perihal dirinya, hanya mahu membuat orang di sekelilingnya tersenyum.

~Walaupun tidak dapat aku buatkan mereka tersenyum, semoga aku bukan menjadi orang yang menyesal kerana mengabaikan semua hak orang lain. Walaupun aku tidak membalas percakapan kalian dan hanya membisu, ketahuilah... harapku hanya terbaik untuk kalian~

3.38p.m
Qamar Jamilah.
~Sesungguhnya takdir Allah itu yang terindah. Doakan novelku diterbitkan tahun ini, Insya Allah.~

29 July 2011

Secolek Pengalaman

Ke Penang merentas laut
20 Julai 2011 tarikh terakhir aku menulis manuskrip di sini. Kemudian bermulanya perjalanan aku kembali ke Utara. Persinggahan seketika di dua buah rumah sahabat sebelum akhirnya setelah seminggu barulah halaman rumah sendiri aku pijak. Semuanya sudah diatur di atas Sana dan aku mengikut semua yang tersusun buatku. Sukalah untuk aku kisah kembali di sini biar jadi kenangan buat diri sendiri kala aku menatapnya kembali...

20 Julai 2011.
Perjanjian dibuat dengan Ainul yang mana aku mengambil keputusan untuk ke rumahnya terlebih dahulu sebelum kami sama-sama ke rumah Rokiah, sahabat kami yang akan melangsungkan akad nikahnya pada 23 Julai 2011. Walaupun pada mulanya hati seakan ragu untuk pergi atau tidak, Allah telah lorongkan hati ini untuk sama-sama meraikan pernikahannya... Alhamdulillah.

Seawal 8.30 pagi aku sudah menuruni tangga Nusaibah untuk menanti bas 91 yang akan membawaku ke Puduraya. Selamat tinggal Humaira, selamat bertemu kembali tanah kelahiranku, Kedah.

Hampir jam 10.25 pagi, aku tiba di Puduraya dna bergegas ke tingkat dua puduraya bagi mendapatkan tiket ke Butterworth.

"Sekarang boleh?" Kakak di kaunter tiket membalas setelah aku bertanya akan perihal tiket ke Butterworth dalam masa terdekat. Tidaklah aku tahu yang nanti perlu bertukar bas lantaran bas yang aku naiki menuju ke Penang bukannya Butterworth.

RM31.00 bayaran Kuala Lumpur - Butterworth.

Sampai di Simpang Pulai, kami yang akan ke Butterworth dikehendaki bertukar ke Bas Shamisha dan aku hanya akur. Jam 2.45 petang,sekali lagi aku menjejak bumi Butterworth setelah dahulu sekali aku ke rumah Ainul ketika kami sama-sama pulang menaiki keretapi.

Aku yang kepenatan tidur pulas malam itu sebelum kami meneruskan perjalanan esoknya...

21 Julai 2011
Kami -Aku dan Ainul- akan ke rumah Rokiah. Rancangan awal mahu bertemu dengan Mastura di Stesen Bas sebelum ke rumah Rokiah namun lain jadinya. Pagi itu Kak Husni menelefon... -Ada sesuatu terjadi- Aku dan Ainul akhirnya ke Sungai Petani untuk membeli kain satin bagi membuat tudung baru untuk pengantin... Kisah tudung ini juga satu kisah panjang hingga akhirnya Allah itulah yang terjadi pada hari kenduri. Alhamdulillah...

Hampir dua jam daripada Butterworth ke Sungai Petani menggunakan bas City Liner. Ainul mengheret begku yang berat -almaklumlah, aku daripada Kuala Lumpur bukannya Kedah- dengan tambang sebanyak RM4 seorang -aku catat harga sebagai rekod. Nanti tiada lagi tambang begini- Mulanya dikatakan tempatnya di Kamdar namun akhirnya salah... Kami menuju ke Nagoya.. Sesi menelefon untuk pengesahan, hantar gambar akhirnya kain itu terpilih.. haha.. akhirnya kain satin itu salah warnanya...

Menunggu bas untuk ke Baling. Hampir 1.30 kami menaiki City Liner untuk ke Baling. Tambangnya RM7.70 sekepala dan hampir dua jam perjalanan. Aku mengambil keputusan untuk bertemu Mastura terlebih dahulu. Alang-alang sudah berjanji.. Dapat makan KFC percuma hasil aku membodeknya.. hehe...

Memang ria aku lain benar petang itu. Almaklumlah lama tidak ketemu.. Maafkan aku jika ternampak aku seakan terover acting... Kata mereka yang melihat di sisi aku dan daripada luar KFC aku nampak sangat suka petang itu.. Alhamdulillah. Pertemuan yang walaupun singkat dan aku tidak mendengar hingga selesai ceritanya, dapat juga kami bertemu walau ia hanya seketika... Sekejap bermakna itu sudah cukup bagi aku. Terima kasih Mastura..

Kemudiannya kami dijemput Ibu kepada Rokiah dan sempat berjalan-jalan mencari barang sebelum ke rumahnya di Ketemba Kememeh... Malam itu kami berempat tidur bersama-sama.. alhamdulillah...

Alkisahnya 22 Julai 2011 adalah ulangtahun kelahiran Ainul ke-22 dan beberapa minit sebelum jam 12 berdetik kak Husni sengaja mengganggu Ainul. Aku hanya mampu menahan geli perut dengan  aksi Kak Husni. Menahan diri daripada gelak, sedangkan Ainul sudah mahu lena..

Jam 12...

"Sanah Helwa Ainul.." Aku suka melihatnya. Maaflah Kak Husni, saya sudah menjadi yang pertama.. Kak Husni jadi yang kedua pun cukuplah... Kemudiannya kami melayari mimpi masing-masing.. Walaupun payah mata untuk dipejam, entah jam berapa akhirnya mataku terpujuk untuk lena..

22-23 Julai 2011.
Tidak banyak bantuan yang aku hulur dan tidak banyak kerja yang aku lakukan sepanjang aku di rumah Rokiah. Melihat orang buat kerja adalah.. Macam biasa, mulutku tetap berat ketika berada di rumah orang.. Cemburu aku dengan sahabat-sahabatku yang turut bersama-sama aku ketika itu. Tidak duduk diam, ada sahaja kerja yang mahu mereka lakukan. Aku pangkah awal-awal jika disuruh aku menjejakkan kaki ke dapur. Haha. Mana mungkin aku belajar jika aku takut untuk mencuba. Gagal itu bukanlah gagal setelah mencuba namun tidak berani untuk mencuba..

Akhirnya tiada apa yang aku lakukan. Hanya melihat daripada jauh kerja yang orang lain lakukan. Okey, saya tidak mahu sebut perkataan yang saya sebut.. Kata-kata doa, kan Kak Husni....

Apa yang sahabat saya lakukan? Tolong mengemas itu ini, pengalaman mereka memasak, bermesra dengan keluarga Rokiah... Subhanallah... Sungguhlah baik dengan orang, orang baik dengan kita.. Aku kagum. Sungguh aku kagum dengan mereka.

Opss.. aku tidak lupa hari kita bermain dengan inai yang akhirnya hanya berwarna oren.. haha.. Melihat gadis-gadis pantai Timur memasak di dapur ketika tuan rumah ke pekan... hm... banyak perkara yang aku lihat.. banyak benda yang aku perhati... Subhanallah...

Betapa ikatan itu menjadi kemas kerana sebuah jalinan... jalinan hati ke hati.

Akhirnya tarikh 23 Julai tiba dan dengan sekai lafaz Rokiah sah menjadi isteri kepada Ustaz Abdullah. Alhamdulillah, selesai sudah majlisnya... di masjid Kuala Pegang yang menjadi saksi tautan dua hati. Maaf kerana tiada satu gambar yang aku mahu rakamkan sepanjang majlis... rasa segan... itu sahaja yang boleh aku cakap... dan gambar di jalan itu jadikanlah ia kenangan.. maaf jika buatkan pengantin sedih sebab aku enggan bergambar walau sekeping....

Sebenarnya aku mahu biar jasadku yang ada di sana, tidak terakam oleh mana-mana kamera...

Alhamdulillah. Insya Allah ada kesempatan aku pasti akan ke sana ketika majlis menyambut menantu pula....

Petang itu keputusan dibuat on the spot untuk pulang. Hampir jam enam kami meninggalkan halamaan rumah Rokiah dengan perasaan bercampur. Menumpang kereta Fakhriyyah hingga ke pekan Baling, sebelum beliau dan kak Husni meneruskan perjalanan ke Jitra.

Solat Asar dan Ainul menyaksikan drama sebabak petang itu. Maafkan aku, tidak sengaja. Rupa-rupanya bas untuk ke Kulim sudah tamat perkhidmatannya. Bas terakhir pada hari itu (sabtu) hanya hingga jam petang. allahuakbar. Rancangnya mahu ke rumah Mastura namun beliau ada kerja lain yang perlu diuruskan dan akhirnya aku berpatah semula ke Butterworth....

Kembali ke rumah Ainul untuk kali ketiga...

24-27 Julai 2011
Empat hari aku di rumah Ainul. Lama juga sebab aku perlu menunggu wang dimasukkan ke dalam akaun untuk pulang ke rumah. Alasankah? Ya, itu sebahagian daripada alasan.

Selasa pagi duit dimasukkan dan akhirnya Rabu aku kembali ke rumah... Menaiki bas Kuning melalui Bukit Mertajam. Hanya sejam dengan tambang sebanyak RM3.

Kemudiannya menaiki bas lusuh Mahang -Kulim dalam hujan lebat dan kerusi yang basah.

Ayah tiada di rumah, dan aku tidak menghubungi kakak untuk mengetahui kerjanya pada hari itu. akhirnya aku mengheret bas hingga ke rumah.. Setengah jam berjalan kaki, lama sudah tidak aku lakukan..

Alhamdulillah..

Akhirnya percutianku bermula....

Ramadhan bakal menjadi tamuku....

28 Julai 2011..
Bermulalah aktiviti rutinku di rumah....

20 July 2011

Terus

Puduraya yang sudah cantik.
alhamdulillah, 20 Julai 2011 aku akan bergerak meninggalkan Taman Ilmu dan Budi dengan meninggalkan seribu tiga rasa. semester depan tentunya bermula kisah baru dan diari baru akan dibuka. Tinggalkan kisah lama dalam lipatan diari yang tersimpan dalam kotak dan ingatan.

Bilang-bilang-bilang sudah hampir tiba Ramadhan. Berapa ramai yang tidak sempat menyambut Ramadhan. Aku, jangan jadi manusia yang hanya tahu menyesal.

semester tiga sudah beberapa minggu berakhir dan alhamdulillah, dapat juga bekerja walaupun hanya enam hari dan selama dua minggu aku 'berkampung' di Nusaibah. Setiap hari memanjat 'tangga Batu Caves' (tangga mahallah Nusaibah) dan beberapa hari melihat matahari terbenam dan bulan terang. Kembali ke rumah, tentunya tidak sabar mendegar cerita tiga 'anak' di rumah.. :)

Akhirnya, terima kasih buat tuan bilik tempat aku menginap. Humaira Ismail. Banyak yang Maira beri, segan saya dengan kamu. Syukran jazilan. Semoga Allah balas dengan berlipat ganda dan beri Keredhaan selama hayatmu.. Amin.

Titik..

Minggu ini akan ke majlis akad nikah kawan,  Insya Allah.
Bermalam di rumah Ainul sekali lagi di Butterworth...
Mahu jumpa Mastura?

Insya Allah

19 July 2011

apabila seseorang pergi...

..manusia yang baik meninggalkan haruman,
Yang dihidu oleh manusia sekelilingnya,
Bersama kenangan yang terus mekar..

kerana dia manusia baik....

manusia yang baik,
biar telah beradu dengan aman,
Sudah menghadap Pencipta,
Masih diingat..

kerana dia manusia baik.

hatinya suci....

.....subhanallah.

18 July 2011

Tanpa Perasaan

Selesai menonton Nur Kasih The Movie.
Tanpa perasaan...
Apa yang kamu tulis akan jadi sejarah buat diri srndiri

-Siapakah aku untuk menyoal apa yang Allah beri pada aku?
-Mengapa aku harus mengalah sedang aku belum mulakan usaha?
-Mak sentiasa melakukan dan inginkan yang terbaik dan memberi yang paling TERBAIK buat anak.
-Anak, ingatkah apa yang orang tuamu pernah lakukan?
-Wahai yang belajar agama, tinggi sangatkah untuk melupakan pada yang perlukan bimbingan?
-Diri, peluang yang Allah berikan adakah kuguna atau mengeluh masa terpeluang apakah yang dapat aku lakukan?
-Sedang ramai yang berjuang untuk merebut peluang yang tinggal sedikit sebelum 'pergi'
-Kita hanya perlu BERSEDIA dengan apa yang Allah berikan pada kita. Pastinya itu YANG TERBAIK.
-Walau apa sekalipun itulag TAKDIR dan jangan PASRAH SEBELUM BERMULA!
-Adakah bersedia untuk diri melangkah? Jika hanya berfikir tanpa bertindak tiada makna.
-Apakah sebenarnya yang kau mahukan dalam hidup?


Cerpen: Mujahid Syamsiah

Mujahid Syamsiah
Jamilah Mohd Norddin


Syamsiah membatu dalam bilik. Sepatutnya hari ini merupakan hari yang amat bermakna baginya. Bergelar seorang isteri. Namun inilah hari paling gementar sepanjang hayatnya. Menikahi seseorang yang tak pernah diimpi dalam hidupnya. Dia pasrah jika ini takdir terbaik buatnya. Ada setitik dua air menuruni pipinya, mencacatkan seri wajah yang telah disolek tipis. Dia tak mampu menahan harunya. Kita merancang, dan ALLAH juga merancang, perancangan ALLAH itulah yang terbaik. Syamsiah akur dengan nasihat Abah. Dia reda menerima takdir. Sesungguhnya ALLAH akan menggantikan sesuatu yang hilang daripada kita dengan sesuatu yang lebih baik.

"Perjuangan ini menuntut kita untuk berkorban segala-galanya."

"Tapi aku tak mahu kita korbankan masa depan kita."

"Bukan masa depan tapi aku mencari cinta yang lebih sejati. Cinta ini hanya akan aku peroleh di sana. Sebagai manusia aku sayangkan kau sebagai tunanganku, tapi aku lebih sayangkan tanah airku. Panggilan jihad ini tak dapat aku lengahkan. Seakan arwah Ibu dan Walid melambai aku untuk ke sana."

Syamsiah diam. Hilang kata untuk membalas kembali. Mujahid telah memberikan kata putus. Mahu meneruskan perjalanan ke Daerah Perjuangan Palestin. Dia merenung cincin belah rotan yang sudah tersarung di jari. Mungkinkah ikatan ini akan berakhir dengan perkahwinan sebagaimana insan-insan lain? “Ya ALLAH seandainya dia terbaik untukku, berikanlah aku kesempatan untuk bersamanya, namun jika dia bukanlah jodohku, semoga penggantinya adalah yang lebih baik.” Syamsiah memanjat doa di dalam hati.

***
Hari perkahwinan tak sampai sebulan. Hari itu, Mujahid, pemuda berdarah Palestin, teman pengajian merangkap tunang Syamsiah berkunjung ke teratak Syamsiah, ditemani seorang temannya. Itu pun setelah mendapat persetujuan Ayah Syamsiah terlebih dahulu. Pertemuan yang ditemani Ibu dan Ayah Syamsiah.

"Aku akan ke Palestin minggu depan. Menyertai misi keamanan di sana."

Syamsiah terdiam. Hati kecil mula gerimis. Mengapa mendengar perkhabaran itu hatinya seakan sayu dan ada getaran kecil. Mungkinkah? Dia tidak mahu berperasangka. Apalah kedudukannya dalam hidup Mujahid untuk membantah. Dia bukan isteri Mujahid, sebaliknya hanya tunangan yang belum pasti menjadi milik Mujahid.

"Saya tak boleh melarang, Mujahid. Ini kehendak awak. Saya belum sah dimiliki awak untuk menghalang apa jua tindakan awak."

"Jangan ingat aku pergi kerana tak mahu teruskan pernikahan kita. Aku pergi kerana seruan jihad. Ini sebahagian infak aku. Aku tak punya banyak wang untuk dilaburkan, tapi ada sedikit kepakaran untuk disumbangkan. Kau doakan aku selamat. Walaupun hatiku di sini, tapi tak mungkin aku biarkan tanah airku dijarah sesuka mereka. Aku perlu menolong bukan sahaja bangsa, namun saudaraku di sana. Maafkan aku Syamsiah."

"Saya doakan keselamatan awak di sana. Semoga awak mendapat apa yang awak impikan dan selamat kembali, seterusnya kita disatukan.”

Syamsiah tak banyak bercakap petang itu. Fikirannnya agak terganggu dengan perkhabaran ini. Sejak Mujahid pulang, dia banyak mendiamkan diri, sampaikan Ibu mula risau keadaan ini akan berlanjutan. Namun dalam kekalutan jiwa, Syamsiah tak pernah lupa melafazkan doa agar Mujahid selamat kembali dan mereka sempat disatukan. Kita tak mampu menyelak hari esok untuk mengetahui apa yang bakal terjadi. Hanya doa menjadi senjata ampuh penguat cinta dan rindu Syamsiah.

***
Mujahid mahu jasadnya disemadikan di bumi Palestin. Pengakhiran Mujahid berakhir ditabrak peluru sesat dalam perjalanan menuju khemah pelarian keluarga Palestin di pinggir Gaza. Bersemadilah Mujahid dengan aman bersama mujahid di taman jannah. Hujanan air mata mengiringi berita yang disampaikan. Mungkin bukan jodohnya dengan Mujahid, dan Tuhan menjanjikan yang lebih baik menggantikan yang telah pergi.


Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah, aku berjaya memijak bumi Palestin yang menjadi igauan aku saban hari, aku ingin menyumbang sesuatu untuk mereka, tapi aku tak punya harta yang banyak untuk diinfakkan, tapi aku punya sedikit kepakaran dalam bidang perubatan untuk dimanfaatkan. Aku rasa selesa dan gembira berkhidmat di sini, tanah kelahiran yang lama aku tinggalkan demi ilmu..

Semalam, kami melawat daerah pelarian di sini. YA ALLAH, menitis air mataku melihat penderitaan mereka. Namun aku tahan agar tak mengalir di hadapan mereka. Aku tersenyum dalam duka. Aku gembira dan bersyukur dapat memberi sesuatu pada saudara seagama, juga saudaraku. Ada seorang gadis kecil, kelatahnya amat menyentuh naluri lelakiku. Di katilnya, melihat runtuhan yang dapat diperhatikan dari khemah rawatan. Memandang tajam, tidak sesal dengan kecederaan yang terjadi padanya. Ah, anak Palestin dilahirkan untuk membebaskan Palestin agar satu hari nanti umat Islam bisa bersolat di Masjid al-Aqsa, tanah haram ketiga umat Islam.

Aku benci kelakuan Yahudi yang menjajah Palestin. Malahan negara yang terlalu menyokong sang Yahudi, Amerika.

Setiap hari di Hospital As-Syifa’, berbagai ragam pesakit yang aku temui. Paling mengharukan, mereka menghabiskan masa terluang dengan membaca al-Quran, berzikir. Pesakit paling muda, lima bulan, namanya Samir, dengan kaki yang sudah terputus aku lihat wajahnya amat tenang. Menurut doktor, hanya anak ini yang terselamat sedangkan seluruh ahli keluarganya syahid di medan pertempuran. Di sini, aku belajar menguatkan diri, membina ketahanan diri dengan solat berjamaah. Inilah sumber kekuatan anak-anak dan orangt Palestin sebenarnya, Syamsiah.

Esok, kami akan meneruskan misi. Tapi sebelum tu aku akan berjumpa Samir terlebih dahulu. Mahu ucap selamat tinggal dan kucup keningnya lagi. Aku teramat gembira di sini. Walaupun peluru menjadi teman, aku rasa dilindungi. Aku tak takut mati, Syamsiah, aku rela syahid di bumi berdarah ini. Aku dambakan kematian yang diredai, maafkan aku, Syamsiah jika aku tak sempat membahagiakanmu...


Surat yang belum habis ditulis. Mungkinkah Mujahid terlena sebelum usai menulisnya? Dia lelaki pertama menyunting Syamsiah, cinta pertama Syamsiah, namun cintanya pada perjuangan menyebabkan Syamsiah cemburu. Dia mendapat cinta tertinggi, bergelar syahid. Hanya doa Syamsiah hulurkan buat Muajhid. Tenanglah di taman jannah bersama para syuhada.

***
Seminggu lagi majlis pernikahan aku dan Mujahid dijadualkan berlangsung. Hatiku sebak melihat hantaran, tambahan pula baju nikah yang tergantung dalam almari pakaianku. Aku kuatkan hati, tak mahu air mata ini tumpah untuk perpisahan abadi ini. Aku percaya pada rancangan ALLAH, tentu ada yang lebih baik.

"YA ALLAH, kami merancang, namun rancangan Engkaulah yang terbaik. Berilah aku kekuatan menghadapi ujian ini. Semoga ada jodoh yang lebih baik untuk aku. Engkau Yang Maha Mengetahui. Aku reda walau apa yang berlaku."

***
“Mujahid pergi sebagai seorang pejuang, jangan menangis isteriku. Walaupun abang tak mampu menggantikan tempatnya di hatimu, berilah Abang ruang untuk menyayangimu. Jangan korbankan perasaan pada yang telah pergi. Doakan dia bersama para solehin.”

Pernikahan aku diteruskan. Suamiku seorang Ustaz Bahasa Arab di sekolah berhampiran. Pinangannya Syamsiah terima lantaran Syamsiah memang mengenalinya lewat karyanya di majalah. Syamsiah bersyukur, Tuhan berikan yang lebih baik untuknya. Dia pasti aturan ALLAH itulah yang terbaik untuk dia terima. Jika kita percaya apa yang telah ALLAH aturkan, kita pasti akan mendapat yang terbaik. Apa yang penting adalah keyakinan.

Mujahid yang pergi tidak akan pulang buat selamanya. Namun Mujahid baru ini akan berjuang, membebaskan anak-anak daripada belenggu kebodohan dan bangkit mencintai ilmu. Biarlah jasad Mujahid dikebumikan sebagai syuhada di bumi tempat lahirnya, namun dia tetap mujahid yang pertama bertakhta di hatiku.



16 July 2011

Mencari Diri Dalam Penulisan

Walaupun jemari masih kaku untuk menulis karya baru, syukurlah masih juga diberi kekuatan untuk aku terus mencatat satu dua kata dalam manuskrip ini. Masa yang sangat lapang sesungguhnya memang satu musibah kerana tidak satu perkara berfaedah yang dilakukan melainkan duduk depan laptop milik Maira. Bukan tidak ada buku yang harus dibaca namun seakan buku sudah terletak dalam senarai akhir apabila aku tidak tahu apa yang mahu aku lakukan lagi. Maka, diambil buku tulisan Shahnon Ahmad dan membacanya semuka dua.

Menyusuri seketika perjalanan panjang yang dilalui Sasterawan Negara Shahnon membuatkan aku kembali menyoal diri sendiri, untuk apakah sebenarnya aku menulis.

Banyak alasan yang boleh aku reka. Banyak jawapan yang boleh aku beri namun jawapan hanya ada dalam diri sebenarnya.

Ada sesuatu dalam penulisan yang menarik diri untuk terus berada atas jalan ini. Memang aku tidak pergi jauh, masih teragak-agak untuk melangkah. Tidak seperti orang lain yang jauh mahu ke hadapan. Penulisan mungkin cara untuk aku lepaskan semua perasaan yang tersimpan dalam diri.

Meluahkan dengan cara aku sendiri.






Namun ada ketika aku takut tulisan memakan diri aku.
Tulisan menyebabkan ada orang sakit hati.



Aku masih aku dulu.
Takutkan bayang sendiri.




Penulisan,
Banyak mengajarkan aku.
Sebagaimana sahabat datang menemankan aku,
Menguatkan diri untuk melangkah.

15 July 2011

Saya Suka Makan

Setelah makan kena juga beriadah. Lokasi: tasik titiwangsa
Kenangan yang tersimpul rapi pasti akan juga lenyap apabila tidak aku abadikan ia dengan tulisan. Sedang kisah semalam mudah sekali luput daripada ingatan. Kenangan berlalu dan aku terus menjadi perindu namun sering terlupa pada setiap kata dan bicara yang pernah terlontar dan terluah.

Semakin hari semakin mudah aku tersasar kenangan yang pernah tercipta. Perlunya aku terus dan terus menconteng, biar kelak aku perlukan ia, ada untuk aku imbau kembali. Semakin menginjak hari, semakin luput daripada ingatan. Namun mana bisa aku biarkan ianya benar terjadi.

Adakah aku yang tidak cuba untuk mengingat atau kapasiti memori hanya tinggal sedikit. Pemakanan yang aku hentam kromo makan apa sahaja yang diterima oleh badan antara sebabnya.

Menonton jemaah kolesterol tadi terasa diri juga tersindir. Kurus bukan alasan tiada penyakit. Jika pemakanan tidak terjaga, manakan badan mahu sihat. Bukankah Rasulullah pernah berpesan, "makan ketika lapar berhenti sebelum kenyang."

Ini tidak, selagi makanan ada depan mata semua dihentamnya sampai licin.

Makanan yang baik bukan hanya membentuk jasmani yang sihat, juga akal yang baik.

Kadang ingat, selalu terlupa juga... Jika dulu, masih aku ingat arwah mak akan sediakan susu dan halwa kundur setiap hari. Ketika mengikut arwah mak ke pasar malam, ini antara makanan yang perlu dibeli. Ketika tadika, setiap hari akan diberi makan kismis. Bukankah kismis juga makanan yang baik untuk minda.

Ya, ketika itu ingatan masih baik. semuanya lancar. Tidak seperti sekarang.

Makin bercampur aduk semua yang pernah aku makan menjadi darah daging.. Semuanya bukan hanya untuk badan, memberi kesan pada perkembangan minda juga. Banyak penyakit disebabkan makan banyak.

Bukan tidak ingat, selalu buat walaupun tahu, Maggi yang paling tidak berkhasiat masih dimakan dan terus dimakan. Makanan ringan yang entah apa-apa masih masuk dalam mulut. Semuanya aku makan selagi diterima badan.

Bagaimana tidak ingatan terjejas???

Ya, ada saham dalam makanan yang dimakan...

14 July 2011

Rindu Menggamit Hati

Hati, mengapa masih bersimpang-siur dengan persoalan yang sama. Memikir dan terus berfikir namun tidak pernah sampai ke sebuah konklusi. Ingin segera aku lepaskan semua namun akhirnya hanya terus terkaku di situ. Menanti sebuah pertemuan yang tidak mungkin akan terjadi. Tidak sesekali aku berasa penat untuk menanti saat perubahan itu benar terjadi.

Ya, masih perlu untuk aku tambahkan kesabaran dan kekuatan dalam diri. Biarlah sering aku menyakiti dan terus menyakiti, tidak tahu menghargai pada semua yang ada di sisi, namun dalam semuanya masih ada rasa yang terselindung dan disembunyi. Tidak mungkin aku zahirkan semuanya.

Ya Allah, jauhkanlah diri ini daripada segala godaan yang menggoyahkan selutuh perasaanku dan semoga terus aku berjalan damai atas jalan ini. Jalan yang telah aku pilih untuk meneruskan kehidupan. Aku tahu ianya sukar dan payah pada permulaannya, namun upaya dan terus berusaha untuk melangkah.

Selepas ini, aku hanya perlu diam dan makin mendiamkan diri. Aku mahu membiarkan pena yang mengganti bicara dan aku mahu terus membisu. Agak sukar kerana aku suka bercerita juga tentang sesuatu yang mahu aku kahabarkan. Rasa takut itu ada, takut makin melukakan hati orang yang aku sayangi...

Ya Allah....

Terasa makin cuba untuk aku mendekati, makin jauh semuanya cuba lari... Lari dan hanya menjadi bayangan yang mengganggu hidupku. Menyakitkan hati itu sakit dan membawa hingga ke mimpi. Teringat dan memikirkan dia membuatkan saban malam dia hadir dalam mimpiku.... Mimpi tentang apa yang aku fikirkan. Adakah kerana sebenarnya aku sudah mula sayangkan dia? Ya, aku sayangkan dia lebih aku sayangkan orang lain namun aku paling segan dengannya... Dia terlalu baik dengan aku.... banyak menolong aku untuk bangkit dan bertahan... dalam senyap atau berhadapan,

Ya Allah....
Bahagiakanlah kehidupan insan yang aku rindu dan sayang.....

kredit gambar: deviant art

13 July 2011

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: [Catatan]: Lepas Perasaan.


Apakah yang dapat mengubah diri jika tidak diri sendiri yang bangun dan bergerak untuk melakukan perubahan. Jangan haraplah akan ada magic yang akan mengubahnya. Selalu sangat kau dengar dan baca bahawa sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib seseorang melainkan dia sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. Maka, pandai-pandailah sedar yang selagi kau masih duduk dan duduk macam tunggul kayu, tiada yang akan berubah.

Tidak ada sesuatu yang akan berubah.

Kau tahu tak, jika orang lain boleh penat dengan apa yang kau lakukan, apakah lagi tubuh badan sendiri yang bersama dengan kau. Kau harus sedar yang setiap manusia dilahirkan dengan potensi Jangan kau asyik pandang diri orang lain sampai lupa untuk kembangkan bakat sendiri, tidak ingat yang kau ada amanah. Ada tugas. Kau harus ingat, ya Durrah...

Bahawa sesungguhnya penulisan kau ini menjadi saksi pada semua yang telah kau lakukan. Mungki tidak semua dapat kau zahirkan pada orang, andai kelak ada yang terbaca apa kau tulis dalam diari, dalam blog peribadi, kau harus bertanggungjawan dengan apa yang mereka rasa. Kau harus tahu yang semua manusia ada perasaan.

Semua orang tahu penat dan tahap kesabaran itu ada batasnya.

Kenapa dahulu aku boleh tinggal, duduk menulis seorang diri dan seorang aku lebih selesa berada di tengah ramai?

Semua kita harus berubah dan termasuklah kau... wahai diri...

Berubah! Perkataan yang senang ditulis dan dicakap, namun sangat perlukan kekuatan yang ampuh untuk berubah.

Hakikatnya, aku tidak bergerak bukan ke arah yang baik...

Bukankah kata-kata itu doa?

Berulang dan cakap cuba betulkan niat, masih juga tersasar. Satu saat aku tidak tahu bagaimana, ketika aku tidak mengungkapkan sebarang kata, lalu mereka lontarkan dengan bicara bahawa aku tidak selesa...


Allah...


Betapa akulah yang perlu berubah!!!

Berakhirlah Sudah Enam Hari...

Alhamdulillah, dalam cit cat itu ini akhirnya tamatlah enam hari aku bekerja sambila dengan Camar Kreatif. Dapatlah sedikit sebanyak pengalaman dan berkenalan dengan Nuriyah yang baik dan melayan aku.


Kerja yang sebenarnya tidaklah terlalu banyak dan alhamdulillah, sekurangnya saya tahu kini apakah perasaan mereka yang bekerja di pejabat?

=)

Ada kerja kita gembira.
Tak ada kerja bosan.

Selepas ini sudah boleh pulang ke rumah...

=)

Alhamdulillah, terima kasih ya Allah.

12 July 2011

Sahabatku...

Ya Allah,
Dalam sujud lama petang itu,
Aku bermohon,
Permudahkanlah segala urusan sahabat yang aku sayangi,
Permudahkanlah segala urusan mereka,
Ringankanlah bebanan mereka,
Luputkanlah kesedihan mereka,
Berikan mereka kesihatan yang baik.

Ya Allah,
Sesungguhnya,
Sakit dan derita mereka itu deritaku,
Biar aku hanya diam membisu.

Nusaibah F2.5

Tentang

Tentang kehidupan yang kadang aku terlupakan perihal turun naiknya,
Tentang perasaan yang aku lupa pasang surutnya,
Tentang hati yang perlu aku jaga,
Tentang rasa yang perlu aku semai,
Tentang diri yang mesti dipeduli,
Tentang ingatan yang masih tumpul,
Tentang pandangan yang makin kabur,
Tentang penulisan yang makin luntur,
Tentang langkah yang kian perlahan,
Tentang hati yang sering mati,
Tentang sahabat yang aku lupa khabarnya,
Tentang keluarga di kampung,
Tentang nenek yang entah khabarnya,
Tentang Ramadhan yang bakal menjelang,
Tentang fotografi yang aku gilakan,
Tentang kelas yang selalu aku ponteng,
Tentang pensyarah yang belum pernah aku dekati,
Tentang pelajaran yang makin menjunam,
Tentang pinjaman yang sudah disekat,
Tentang hutang belum berbayar....


Ah,
Aku yang banyak mengeluh!

11 July 2011

Diriku, perhatikanlah!

Link"Penulis diuji dengan apa yang ditulisnya." [baca di sini: Ustaz Zakaria Sungib, Editor Pengurusan Galeri Ilmu]

Selalu aku mendengar ayat ini dan hari ini aku membacanya lagi dalam blog Ustaz Zakaria. Sungguh benar dan ia sama juga ketika Allah tetap menguji dengan apa yang kita ucapkan setiap hari. Lantaran, usah bermain-main dengan penulisan dan segala yang kita ucapkan.

Suatu hari, kita berkata yang kita sangat kuat untuk melalui hari-hari, lalu Allah uji kita dengan rasa susah hati dan kecewa. Apakah yang akan kita lakukan ketika itu? Bagaimanakah reaksi kita, adakah kita salahkan orang sekeliling dan sampai kadang kita kata: "kenapa Allah jadikan begini?"

Astagfirullah...

Kata-kata sebaris itu mengingatkan aku dengan tulisan demi tulisan yang pernah aku nukilkan sebelum ini. Terlalu banyak yang sudah Allah berikan dengan apa yang aku mahu. Malah, Allah sentiasa memberi lebih.. Lebih daripada yang kita pohon. Maka, layakkah aku untuk tidak bersyukur? Allah itu pemilik alam yang Maha Pemurah Maha Penyayang....

Hari demi hari, laluilah ia dengan penuh senyuman di bibir. Berusahalah selagi kudratmu masih ada. Biar terlihat orang kamu lurus atau tidak pandai membuat kerja, lakukan juga sedaya hatimu... Letakkan niatmu yang betul dan cubalah untuk berinteraksi...

Mengapa mahu dilihat lagi hari semalam jika hari ini yang perlu kamu tempuh?

09 July 2011

Maryam Insan Istimewa

Diri,
Lihatlah mulianya seorang Maryam,
Yang ditiup padanya roh seorang rasul mulia
Menahan derita ditohmah dihina
Maryam yakin rencana yang Esa

Bersendiri kerana nazar seorang isteri ‘Imran,
Mahu anak dikandung mengabdi pada yang Mencipta,
Nyata DIA punya rencana,
Anak yang dilahir seorang nisa’

Dijaga Nabi Zakaria di tempat mulia,
Mengasing diri demi mengabdi pada pemilik semesta,
Saban hari makanan tersedia,
Disedia ALLAH pemilik segala,
Zakaria mengerti Maryam seorang mulia.

Saat menjelma Jibril atas perintah Rab,
Memberi seorang anak bernama Isa,
Katanya suami dia belum punya,
ALLAH lebih hebat aturannya.

Sebagaimana Adam dicipta,
Jibril meniup rohul kudus pada dirinya,
Diketahui mayarakat mula mengata,
Maryam mengandung anak tanpa bapa.

Hibanya seorang Maryam,
Tanpa penguat tapi DIA ada ALLAH tempat meminta,

Maryam mengungsi ke desa gersang,
Mahu melahir anak terbilang,
Penyelamat Umat menyimpang.

Di bawah sepohon kurma,
Menahan sakit tidak terkata,
Tiada makanan ditambah derita,
ALLAH turunkan pertolongan tanda sayang-NYA.

Di bawah kakinya sungai mengalir,
Pohon tak berbuah digoncang,
Luruhlah kurma ranum pemberian ALLAH,
Memberi energi melawan lemah,
Saat melahir Isa yang amat dikasih,
Diteman ALLAH Maha Pengasih.

Perintah DIA Maryam diam dari berkata,
Diunjuk pada penduduk kota,
Bayi di dukungan yang akan bicara,
Sesungguhnya aku hamba ALLAH,
DIA memberiku Injil,
Dan menjadikan aku seorang Rasul.

Kisah Maryam seorang rasul bernama Isa,
Akan datang di Akhir zaman penyelamat kita,
Diangkat di sisi Azza Wa Jalla,
Menunggu masa turun ke dunia.

Secebis kisah bukan rekaan mahupun ciptaan,
Tercatat dalam al-Furqan,
Pelbagai surah dan ayat tersusun,
Umat Nabi Muhammad jadikan renungan.

Hayatilah kisah Maryam dalam kehidupan,
Kuatnya seorang Maryam menahan ujian,
Lantaran percaya pada Tuhan,
Dia yakin segala yang dijanjikan.

*Kisah Maryam ada diceritakan antaranya dalam surah ‘Ali ‘Imran, An-Nisa’... Kisah Maryam mungkin ada juga dalam ayat-ayat lain yang tak aku temui.... Marilah kita hayati kehidupan orang-orang hebat yang tercatat namanya dalam Al-Quran, ianya lebih mulia daripada kita hanya mengagung kisah artis cerai dan bercinta... Astagfirullah, YA ALLAH, hidupku di akhir zaman ini, jauhkanlah aku daripada azab dan seksamu...

08 July 2011

Sahabatku, Aku Rindu Kalian

Tempat:ITD
Masa: 4.47p.m
Tarikh: 8 Julai 2011
kata Lu'luah: Tiada yang menarik tentang tugas hari ini. tiada entri mengenainya.

Alhamdulillah.

Sesungguhnya Allah memberikan kemudahan setelah hatiku dijentik dengan berita yang datang ketika baru usai peperiksaan akhir semester 3 2010/2011. Masih ingat ketika itu air mata yang berjuraian jatuh dan hati yang seakan sukar untuk menerima khabar yang didengar. Tiga hari juga aku berkurung dalam bilik dan sering merenung luar jendela dengan mata yang basah dengan air mata. Percayalah, bersama berita duka adanya khabar gembira. Allah tidak akan terus membiarkan kita berada dalam kedukaan yang dalam dan sengsara. Hanya manusia itu sesungguhnya perlu merasa susah supaya ketika senang ia ingat bahawa suatu ketika dia pernah melalui kesusahan.

Ia nikmat yang tidak Allah berikan kepada semua hamba.

Setiap hamba Allah berikan ujian yang berbeza.

Teringat aku akan kata-kata sahabatku...

"Ini ujian untuk Jamilah."

Allah. Kadang seakan diri yang terlupa bahawa ada ketika diri tidak boleh dibiarkan terlalu asyik dengan kesenangan. Biar ketika susah kita tahu di manakah sahabat, di manakah teman, siapakah sahabat...

Terima kasih ya Allah memberikan semua sahabat yang baik dan berusaha menguatkan diriku ketika aku hampir jatuh tenggelam.
Terima kasih ya Allah mengurniakan aku sahabat yang sudi memberikan nasihat supata aku berubah. Aku langsung tidak menganggap ia satu bebelan atau leteran.. Ia suatu yang sangat berguna untuk aku.. Terima kasih sahabat... Sesungguhnya aku amat menyenanginya kerana hati ini makin keras bila tidak disimbah nasihat.

Di mana akan aku cari ganti sahabat yang selalu bersama-samaku ketika susah. Mereka menjadi mangsa ketika perasaan ini diserang garuda atau ditimpa ribut yang datang tidak tentu masa. Mereka melihat aku menangis, ketawa... sedang aku tidak tahu banyak perkara mengenai mereka... Kejamkah aku sebagai sahabat?

Ya Allah.. Lindungilah sahabat-sahabatku walau di mana mereka...

Aku sayangkan kalian kerana Allah...

07 July 2011

Kisah Seorang Part-Timer Page 2

Tempat: ITD-FE-11
Masa: 5.28 p.m
Tarikh: 7 Julai 2011
kata Lu'luah: Selesai sudah dua hari.
-Bukan mahalah Hafsa-

Alhamdulillah. Terasa lancar memulakan kerja hari ini. Tidak banyak yang perlu kami selesaikan dan hanya satu blok yang didaki. Kepenatan semalam hilang sudah dan semakin ceria. Aku mula dekat dengan Riya, seorang yang seusia denganku dan kakak-kakak yang lain. Seronok juga dapat makan percuma ketika tengahari. :) alhamdulillah.

Ini rezeki aku. Nanti dapatlah aku bayar hutang bertampuk kepada pihak yang berkenaan. Okey. Topik lain.

Hari ini jam 8.30 aku menuruni tangga menuju mahalah Hafsa. Tempat pertama yang dituju ialah kafeteria untuk sarapan. Tenaga perlu dijana supaya aku tidak kelihatan langsung tidak bermaya seperti semalam. Kemudian tugas dijalankan seperti biasa dan aku tugasnya hanya mencatat.

Seronok.

Pagi di blok dan petang hanya berada dalam pejabat dna menyelesaikan laporan. Lebih seronok berada di luar sebenarnya kerana mengantuk pula apabila hanya duduk sahaja dalam bilik pejabat. Akhirnya jam 4.30 kami bergerak pulang..


Selesai hari kedua.

Sangat cepat masa berlalu.

Terasa pantas dan tidak terasa sudah Khamis. Tinggal esok satu hari lagi untuk bekerja... Sabtu untuk berehat. :)

Alhamdulillah.

Terima kasih, Allah...

Sesungguhnya Engkau memberi apa yang baik untuk hamba-Nya....

06 July 2011

Kisah Seorang Part-Timer Page 1

Alhamdulillah Allah permudahkan urusan aku hari ini.

Aku tidak kisah tentang berapa yang aku akan dapat daripada lapan hari bekerja ini asalkan aku bisa beroleh pengalaman baru. Bukan senang untuk Jamilah turun ke padang dan mencari kerja. Ini rezeki aku sebenarnya. Berkenalan dengan Riya, kak Pija, Kak Alyah, dan kak Rini serta pekerja-pekerja mahalah Hafsa yang baik hati. Tidak kisahlah perlu berjalan jauh atau apa, asal aku dapat sesuatu.

Sekadar mahu mencoret pengalaman hari ini yang membuatkan aku serik. Serik untuk tidak bersarapan apabila aku perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk naik turun tangga.Aku mahu mulakan kisah ini daripada mula hingga akhir...

Jam 7.30 sudah bersiap-siap untuk mandi dan mengemas mana yang patut. Akhirnya jam 8.15 pagi aku menuruni tangga untuk ke Pejabat Mahalah Hafsa dan di sana aku dipertemukan dengan part-timer yang lain. Pagi ini hanya minum air masak dan dua keping biskut daripada loker teman sebilikku..

Jam 9 lebih setelah diberi penerangan tentang apa yang kami akan lakukan, kerja dimulakan. Bermula daripada level pertama hingga ke level kelima, satu demi satu anak tangga kami daki dan membuat pemeriksaan. Aku, Ria dan kak Alyah ditugaskan untuk memeriksan kawasan luar manakala kak Rini dan kak Pija memeriksa bilik ke bilik. Oh, barulah aku tahu bagaimana proses memeriksa kamar dilakukan. hehe.

Jam sudah melebihi angka sepuluh. Kami di tingkat empat wing B untuk memeriksa keadaan tandas dan kawasan sekitar level tersebut. Mulanya kerjaku hanya mencatat keadaan setiap level namun aku tidak dapat bertahan.

Aku hulurkan kertas tersebut kepada Ria.

"Sori." Hanya itu yang dapat aku katakan. Kepala rasa berpusing dan gelap-terang-gelap-terang.

Allah.

Perut mendesak tiba-tiba. Teirngat yang aku belum menjamah makanan. Namun aku tahu teman-temanku yang lain juga sama. Namun semuanya masih steady. Hanya aku. Hari ini peristiwa dulu terbayang.

Teringatkan yang aku pernah pengsan ketika mahu menaiki bas gara-gara tidak bersarapan.

Hari ini dan kerja ini menuntut aku menggunakan banyak tenaga.

Mujur ada air dalam beg yang digalas di belakang.

Minum banyak teguk. Bangun namun akhirnya aku mengalah walaupun cuba untuk bertahan. Jika pitam siapa yang susah?

"Saya ke tandas sebentar."

Aku memohon izin. Di sana, melihat bibir sendiri yang sudah keputihan dan wajah yang tidak bermaya. Aku basahkan muka dan menanggalkan anak tudung. Memberi udara masuk. Lama aku di sini hingga temanku yang lain memanggilku.

Alhamdulillah...

Saya selesa dan lega. Pemeriksaan untuk blok pertama selesai sudah dan kami kembali ke pejabat mahalah untuk membuat laporan. Wah, dapat dapat punch card macam orang yang pergi kerja. hehe. Pengalaman ini walaupun hanya lapan hari tentu manis dalam lipatan diari aku. Insya Allah.

Jam 11 hingga satu hanya menyiapkan laporan dan duduk dalam pejabat sebelum meneruskan rondaan seterusnya pada sebelah petang. Alhamdulilah.

Jam empat aku bergerak pulang ke mahalah...

Dan lena yang dalam tanpa sebarang mimpi... Penat??? Ayah lagi penat mencari duit untuk menyara anak-anaknya. Kakak-kakakku yang sudah membuar duit tentu lebih penat dan duitnya pasti ada bahagian untuk aku. Alhamdulillah. Allah Maha Kaya...

05 July 2011

Random RAnt 9

Tempat: ITD
Masa: 3:10p.m
Tarikh: 5 Julai 2011
kata Lu'luah: Dua hari tanpa khabar

Aku sedar bukan ada siapa-siapa yang akan membaca segala contengan dan penulisan aku di sini. Sengaja aku mahu terus dan terus melakar tinta segala yang mahu terluah yang tidak semuanya mampu aku bariskan dengan ayat dan bicara. Sungguh kadang lemas dengan diri sendiri namun berusaha dan akan terus berusaha untuk keluar daripada belenggu diri.

Tiga hari aku sunyi tanpa sebaris kata. Tidak berpeluang untuk online..

Simpankan rinduku untuk dia... Semoga kamu bahagia, sahabat...

Tadi berulang kali Mahalah Hafsa cuba untuk menghubungi aku. Telefon genggam milikku memang bermasalah jika ada yang menghubungi. Alhamdulillah, selama lapan hari aku akan bekerja di sana. Cukuplah untuk seketika daripada aku hanya melopong dan menghadap laptop sehari-hari. Alhamdulillah.

UIA makin sunyi namun masih hidup penuh dengan gelagat manusia daripada macam negara. Seronok juga bermain-main di sini sebab setelah pulang nanti memang aku hanya terperap dalam rumah tidak keluar-keluar lagi. Aha. Itu perangai tidak bagus.




Aku menonton cerita 'Kau Laksana Bulan' dan addicted seketika dengan jalan ceritanya. Rasa teruja melihat perjalanan hidup Adrina, disebabkan ia berkisar hidup seorang penulis dan skripnya ditulis oleh seorang penulis. Khayal seketika aku melayanya bersama kak Husni sampai habis 13 episod. Bukan senang mencari drama melayu yang kuat ceritanya. Suka. Siapa cakap dengan menulis tidak boleh buat duit? Sudah banyak bukti yang jelas dan terang sekarang bahawa dengan menulis kamu juga beloh menjana pendapatan.

Ahha.

Menulis. Kerja ini sahaja rasanya yang serasi dengan kehidupan dan diri aku. Tidak perlu berdepan dengan manusia sesak dan hanya bekerja dengan diri sendiri. Hanya menulis itu memerlukan komitmen dan kemahuan yang sangat tinggi. Asal ada MAHU dan MAHU.

Tunggukan kehadiran novel remaja sulung saya. Doakan ia berjalan lancar dan doakan ia terbit tahun ini, Insya Allah... Ia cita-cita. Ia sesuatu yang berharga dalam hidup saya. Melihat buku sendiri di kedai buku itu nsuatu impian....

Amin.

Selesai.

02 July 2011

Seuntai Kata Ternukil Lagi

Tempat:Teratak Gumbira 4.4
 Masa: 9.58 pagi
Tarikh: 2 Julai 2011
kata Lu'luah: Semua orang pulang bercuti

Tamatlah sudah imtihan nihaie semester pendek kali ini. Tanyakan kembali apa yang sudah belajar, menggeleng aku pantas. Ah, cepat aku mengalah. Cepat aku berkata tidak pada sesuatu yang aku tidak yakin. Senang aku menggerakkan kepala kiri dan kanan andai tidak mahu aku suarakan sesuatu.

Terlalu bergantung kepada suara dalam diri dan memilih kata untuk diucapkan mengundang padah sebenarnya. Terlalu selektif kata hingga kadang perkataan yang sebenarnya mahu diuraikan tidak menjadi sebaris kata yang terucap, hanya tersimpan dalam minda dan diri sendiri. Akhirnya ia menjadi nanah dan luka dalam diri sendiri. Bagaimana luka di jari nampak pada zahiri, dalam hati yang berkecamuk dan garis-garis luka tidak ada yang nampak, hanya dirasa secara maknawi.

Hampir sebulan tidak pulang setelah selesai kenduri di rumah. Tempat anak yang belum berkahwin sepatutnya di sisi ibubapa jika tiada perkara lain yang menghalang. Sengaja menyekat diri untuk tidak pulang. Tipu jika langsung tiada rindu melihat ayah, bermain dengan anak saudara. Tidak mengapa. Apa-apa yang berlaku bukankah suatu aturan?

Walaupun yang terlihat mungkin tidak seperti yang digambarkan.

Sudah. Bagaimana sebenarnya gerak jari yang mahu aku tuturkan kali ini.

Alhamdulillah. Selamat bercuti buat semua sahabat UIAM yang kembali ke kampung. Dua bulan itu lama bagi yang tahu menghargai.
Dua bulan boleh membosankan jika tidak merancang sebarang aktiviti.
Dua bulan .....

Sedikit hari akan masuk bulan Syaaban. Kemudiannya Ramadhan. Subhanallah...

Haha,.. Senang. Amat mudah untuk aku menulis dan terus menulis merapu macam benda di sini. Hakikatnya mungkin 1.1 tidak sampai apa yang tulis benar dengan kehidupan sebenar.

Perjalanan itu teramat panjang...
PANJANGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGG.....

Sudah merapu.
Wassalam.

Perkataan

Sesaat jarum berdetik, amalan manusia dikira, apa lakunya, di mana silapnya.
 Bukankah kita perlu memuhasabah diri setiap kali sebelum mata dilelapkan.
 Fikirkan wahai diri yang masih lena diulit mimpi bahagia dunia yang tak pergi ke mana.
 Bingung.
 Apa yang perlu aku lakukan sekarang?
 Ingin aku lupakan segala apa yng berlaku, yang menyebabkan aku diamuk kesedihan ini.

Mampukah Aku?

Aku tidak punya kekuatan itu.

Cuba fikirkan, kau punya kawan-kawan, sahabat yang ambil berat, sedangkan kau tidak melakukan apa-apa untuk menghrgai kasih sayang itu.
Cuba kau bayangkan, detik nyawa kau diangkat menuju Rabb....
 Diri sendiri yang belum bersedia.

Arghhh, aku mahu menangis, kenapa air mata ini belum sudi bertamu relung hati yang dirasuk perasaan tidak enak ini. Aku tidak mampu mengukir kata-kata yang menyebabkan mereka gembira, hanya mempu bersuara agar diberi kesempatan menebus kesalahn yang bertampuk dalam diri.

 Cuba kau bayangkan, benarkan kau mahu semua ini berlaku?
 Atau ia berlaku di luar kawalan kita selaku manusia yang banyak melakukab kesilapan.
 Fikir-fikirkan.

Banyak sudah masa kau habiskan dengan melakukan pekara tidak berfaedah. Berbaloikah apa yang akan kau dapat kelak? atau kau akn mnjadi orang yang paling menyesal nanti.


satu baris

Kepercayaan akan jadi satu kenyataan.