07 June 2011

Cerpen: Sepatu Baru

 SEPATU BARU
Jamilah Mohd Norddin




~Sekadar hiasan~

Tup,tap, tup, tap, tup,tap. Bunyi tapak kasut yang baru dibeli dari Nilai Square siang tadi kuat berdetak hingga dapat didengar dari tingkat tiga Mahalah Ummu Salamah, Pusat Asasi Nilai. Ada rasa tak selesa bila memakainya. Tumit sepatu ini walaupun hanya dua inci, menyebabkan aku tak senang hati. Kaki jadi lenguh, langkahku terbatas. Jalanku jadi ala model atas pentas. Aku tak suka begini. Namun ini sepatu bertumit suku inci yang aku sendiri pilih, pandai pula mulut mengutuk. Tadi aku malas berlama-lama memilih, sementelah aku bukannya cerewet, suka menerima walaupun itu bukan yang terbaik. Sepatu baru ini benar-benar membuatkan aku rimas ketika berjalan. Tak boleh melangah laju macam Jepun, bimbang terjelepok. Jalan terlalu perlahan pula, kaki aku cepat lenguh.

"Susah benar mencari sepatu sekarang. Kebanyakannya tak memuaskan hati aku. Masalah betul."

"Kenapa, apa silapnya?"

Aku mencelah walaupun sebenarnya teman aku ini mahu menyambung bicara.

"Cuba kau perhatikan sendiri kasut-kasut di sini, Lihat cara pembuatannya, talinya yang kecil, tapaknya yang terlalu tinggi, Tengok warnanya, putih, senang kotor, merah, menarik rasa marah. Tapi mungkin mungkin juga menarik perhatian lembu yang melihat. Secara peribadi, aku pasti kau tentu tak berpuas hati.”

"Aku? Sekarang bukankah wanita terutamanya suka bergaya? Dari tudung sampai kasut mahu sepadan. Warna perlu diperhatikan, nanti tak sesuai, ada yang mengomen. Aku pernah memakai jubah ungu, bertudung merah, lantas aku dimarah. Malu seminggu. Lumrah wanita hari ini, suka amat kecantikan lahiriah. Biar nampak menawan, walaupun hiasan tiruan."

"Siapa larang kamu bergaya, mahu bercantik-cantik? Cuba beritahu. Tak ada, betul tak? Tapi jangan sampai melampaui batasan."

"Ya, aku pasti tu. Tapi sepatu baru banyak kurangnya. Jika dahulu, walaupun hanya selipar jepun, tahan untuk beberapa tahun, pembuatannya kemas, ringkas dan selesa. Betul tak, Mak Datin?"




"Betul Mak Menteri. Hari ini jika mahu memilih kasut, perlu betul-betul. Tersilap pilih selepas dua tiga hari, perlu diganti dengan kasut baru."

"Aku ada cerita. Waktu balik kampung tempoh hari, kasut yang baru aku beli beberapa hari, tingginya hampir dua inci, sebelah putus talinya, sebelah lagi lekang tapaknya. Melayang RM20.00. Terpaksa beli kasut baru."

"Hahaha, yang kau cari sepatu bertumit tinggi buat apa? Beli saja kasut selipar. Macam aku. Tak senang putus, selesa, tapi orang pandang lekeh. Sedangkan aku pakai stoking, tak mendedahkan aurat. Tapi..."

Dia terdiam di situ. Aku sering perhatikan gelagat kawanku seorang ini. Selamba dalam malunya. Asal sahaja dia tak mengganggu orang lain. Terdetik kagum di hatiku. Panjang pula isu sepatu aku kali ini. Sambil tangan memilih sepatu baru, mulut mengomel pelbagai bicara. Supaya masa yang dihabiskan di sini tak sia-sia, sekurangnya ada ilmu dan pengalaman baru yang aku peroleh daripada dia hari ini. Sepatu tinggi yang menyusahkan.

Isu kasut sekarang bukan perkara baru. Dah lapuk pun. Tapi semakin hari, perkara tak penting inilah yang mengganggu hidupku. Susah benar mahu cari sepatu sekarang. Walaupun hanya sebagai lapik kaki, silap pulih, membazir pula duit. Bukankah membazir itu saudara syaitan? Tambahan pula keadaan aku sekarang yang semakin sengkek.
Semalam, aku temankan kawan yang mahu membeli sepatu baru. Sepatu lamanya yang setebal 3 inci itu putus setelah tiga hari dimiliki. Tak kan mahu dibeli yang mahal. Status sebagai seorang pelajar agak mengekang. Duit makan sehari-hari mencecah RM10. Almaklum, harga beras melambung. Jika sebelum ini nasi berlaukkan tempe hanya RM1.50. sekarang RM3.00. Kenaikan yang benar -benar tak dapat diterima akal. Duit mengalir macam air sungai belakang rumah nenek aku. Akhirnya dia pilih sepatu tumit tinggi lagi, dua inci setengah. Melepas RM39.90. Aku menggeleng melihatnya.

Bukan aku nak sangat kasut baru, tapi malam ini ada majlis makan malam. Malulah aku dan sahabatku ini jika hanya berselipar jepun. Aku seperti dia, gemar benar berselipar jepun, sampai ke pasaraya pun sanggup berselipar jepun. Peduli apa, asal sahaja kaki ini menyarung stoking, menutup auratku. Tak kisah sepatunya. Tapi kali ini kami perlu bersedia. Ini majlis perpisahan usai dua tahun pengajian kami di Bumi Nilai. Tak mahu menjatuhkan maruah sendiri. Tidak memandang sangat semua itu tapi tidak mahu ada kawan memandang serong penampilan kami. Air muka juga perlu dijaga.

Kasut menggambarkan juga peribadi si pemakainya. Aku pernah terbaca yang jika mahu melihat lelaki, lihat pada sepatunya. Jika sepatunya berkilat, maknanya dia seorang yang rajin mengurus diri, jika berdebu, jawablah sendiri, kalian juga maklum. Jika perempuan? Perempuan sekarang gemar mengenakan kasut pelbagai gaya. Ada sepatu ala Aladdin, sepatu dihiasi bunga, reben dan entah apa lagi, yang merimaskan. Sepatu yang nampak kaki bila memakainya, cuma belum ada wanita berkasut bot sebagai fesyen baru. Aku ketawa sendiri mengingatkan isu sepatu yang tak habis-habis. Tapi tak mustahil juga suatu hari nanti kasut yang digunakan Mak ketika monoreh suatu ketika dahulu dijadikan fesyen terbaru. Dunia ini sentiasa berputar, di bawah, kemudian, naik ke atas.

Sahabatku ini membelek sepasang kasut bertutup untuk lelaki. Menyambung kata.

"Cuba kau lihat, seorang pelajar perempuan sekurang-kurangnya punya tiga sepatu. Ke tandas, ke kelas, dan kasut untuk kegunaan harian. Lelaki? Dua sudah mencukupi. Kasut ke kelas dan kasut seharian. Jadi kasut pelbagai guna. Mereka sanggup menggunakan kasut seharian untuk ke tandas. Ringkas dan ekonomik."

"Betul-betul-betul."

Aku meniru gaya Ipin, watak dalam Upin dan Ipin, rancangan kartun kegemaran anak sepupuku.

"Moyang kita dahulu tak perlu berkasut. Kaki mereka tak pula dihinggapi kuman, penyakit... Malah, dengan izin ALLAH, sihat. Namun tak dapat pula kita bandingkan dengan hari ini yang mana persekitaran kita juga sudah dicemari dengan berbagai kotoran."

" Ya, aku setuju benar. Sekarang, mana ada benda bersih. Hatta dalam rumah sekalipun perlu bersepatu lantaran simen yang menjadi lantai kediaman kita boleh menyebabkan tumit pecah-pecah kerana sejuk. Kita wajib menjaga kaki kita agar tak terpijak kotoran, tak dihinggapi kuman. Sekarang jauh bezanya dengan zaman moyang kita dulu, betul, mak datin? Zaman dah lama berubah."

Kasut yang letaknya di kaki lebih mahal berbanding tudung, kopiah, songkok yang letaknya di kepala. Jika kopiah, lima ringgit sudah boleh didapati di Masjid Jamek, kasut jika tidak menjangkau RM10, jangan mimpi, kecualilah selipar jepun. Inilah harga yang perlu dibayar oleh kita. Tapi kita lebih mengutamakan kasut yang mahal berbanding kepala yang dibiarkan terdedah. Jika difikirkan, mengapa kaki ditutup, tapi kepala, terdedah, memang menyusahkan, perlu betulkan rambut yang diterbang angin, rambut kusut, macam-macam. Memenat dan menyusahkan.

Aku pulang petang itu dengan tangan kosong. Belum ada kasut yang dapat memuaskan hati aku dan sahabatku ini. Kami inginkan kasut yang murah, mudah dipakai, dan selesa. Nampak cerewet, tapi supaya tidak menghabiskan duit semata-mata untuk membeli kasut. Mungkin dapat digunakan untuk membeli novel Faisal Tehrani yang menjadi himpunan aku.

Kami akan ke Masjid Jamek pula untuk meneruskan pencarian sepatu. Kerana sepatu yang dibeli tadi terputus dua tali. Sepatu yang dicari bukan letaknya di Nilai Square. Biarlah kami berjalan jauh, asal dapat yang terbaik. Kebanyakan sepatu di sini tak menepati kriteria. Aku mahu cari sepatu yang ringkas dan tak menyusahkan kaki aku. Keputusan inilah yang kami ambil setelah memikirkan baik buruk kami memakai sepatu bertumit yang menyusahkan itu.

Tak kisah sepatu tidak bertumit sekalipun, juga bukan yang berdetak bunyinya, menarik perhatian orang lain. Kami sedar amat bahawa wanita itu suatu fitnah dan terlalu amat perlu untuk kami menjaganya. Biarlah apa orang kata, kami mahu kasut yang menyebabkan rasa selesa bila memakainya dan tahan lama, tapi bukan selipar jepun. Kasut bertutup pun boleh. Asal sahaja bukan sepatu berinci-inci yang melemaskan, melenguhkan dan menyebabkan aku tak tidur malam. Semoga malam ini aku bermimpi sepatu baru yang boleh dipilih esok.


***
Cerpen ini ditulis ketika masih di sekolah menengah. Untuk perkongsian bersama...


No comments: