10 June 2011

Cerpen: Kembali Bertaut

Kembali Bertaut
Jamilah Mohd Norddin

Nazim menelentang di katilnya. Dia mengenang akan pemergian isterinya yang membawa diri. Kedegilannya yang tidak mahu berganjak daripada keputusan yang diambil menjadikan dia seorang perindu. Benarlah kata orang perpisahan mengajar makna kesetiaan. Dia sedar isterinya telah banyak bersabar dengan kerenahnya saban hari. Isterinya telah banyak berkorban untuk kesenangan mereka berdua. Namun saat itu ingatannya hanya tertumpu pada setiausaha genit di pejabatnya, Syahdah.

“Abang, esok kita balik rumah mak Jasmin. Tadi Abah telefon, katanya Mak sakit kuat.”

Selesai makan malam Jasmin meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Dipandang wajah Nazim yang seolah-olah khusyuk membaca majalah. Nazim langsung tidak mengendah akan apa yang diucapnya. Biarlah hatinya menahan jengkel, ditahan juga rasa hati memandangkan statusnya sebagai seorang isteri.

“Abang dengar ke idak apa yang Min cakap?”

Jasmin kembali menyoal apabila Nazim hanya membantu. Sakit hati Jasmin melihat perlakuan kaku Nazim.

“Abang dengar. Abang belum pekak tau. Awak sorang je la yang pergi. Abang ada mesyuarat penting esok.”

Nazim pantas menolak cadangan isterinya. Suara Nazim kedengaran agak kasar. Perasaannya juga telah terbang ke ribaan Syahdah. Hanya jasad bersama Jasmin namun pemikirannya tertumpu pada perawan hatinya terbaru, Syahdah.

“Abang nak keluar.”

Akhirnya itu yang terbit dari mulut Nazim. Itulah rutin Nazim sejak dua bulan lalu. Jasmin tidak menghalang.

‘Ah, dia bukan tak tahu halal haram. Dosa pahala.’

Detak hati Jasmin mengiringi langah Nazim. Jasmin tidur ditemani tangisan yang panjang.

‘Sampai hati Abang lukakan perasaan Min. Min dah buat apa yang Abang nak. Apa lagi yang Abang mahukan?’

Jasmin merintih dalam tangisan. Malam itu Jasmin beroleh kekuatan. Dia bangun di sepertiga malam mengadu pada Sang Pencipta. Hanya dengan cara itu yang mampu meredakan perasaan kesalnya dengan perubahan Nazim. Jasmin berdoa agar suatu hari Nazim akan tersedar akan perbuatannya.

***
Setelah tiga hari pemergian Jasmin, panggilan telefon di awal pagi itu mengganggu tidur Nazim.

“Hei, sapa pula kacau aku aku pagi-pagi ni. Mesti si Jasmin. Apa lagi yang dia nak.”

Nazim mengomel sambil mencapai telefon bimbitnya.

“Encik Nazim, sekarang Puan Jasmin ada dalam genggaman kami. Jika Encik Nazim mahukan Puan Jasmin selamat, serah kan wang berjumlah RM10,000 kepada kami. Masa dan tempat pertemuan akan kami beritahu kemudian. Dan amaran pada kau, jangan sekali-kali hubungi pihak polis. Orang-orang aku akan sentiasa mengawasi pergerakan kau. Jangan cuba larikan diri!”

Belum sempat Nazim bertanya lebih lanjut, gagang telefon dihempas kuat.

‘Tak kan le dia kena culik.setahu aku dia merajuk aje. Aku ingat mesti le dia balik rumah Mak dia. Apa aku nak buat sekarang? Macam filemlah pula. ’

Nazim mula tidak keruan. Sekejap duduk, kemudian berdiri. Bosan, dia menjengah ke luar.

‘Mana aku nak cekau duit RM10,000. Banyak tu. Apa diorang nak dari aku?’

Pemikirannya diserabuti pelbagai persoalan tak diundang. Nazim terpaksa mengakui hatinya masih mencintai Jasmin. Cuma keegoannya mengatasi perasaan itu. Tambahan pula sekarang wajah Syahdah sering bermain di tubir matanya. Jasmin adalah cinta pertamanya walaupun jodoh mereka ditentukan oleh keluarga yang kebetulan adalah bersahabat.

‘Apa kata aku telefon polis.’

Tiba-tiba akalnya mencadangkan begitu.

‘Tak boleh… nanti Silap-silap nyawa Jasmin melayang. Aku juga kempunan.’

‘Jangan jangan…’

Pelbagai andaian dibuat bagi mencari jalan penyelesaian.

***
“Nazim, why? I tengok You muram je sehari dua ni. Ada masalah ke? Cerita la mana tahu I boleh bantu ringankan beban yang You tanggung.”

“Don’t worry, Syahdah. I’m okey. Cuma penat je. Kerja banyak yang belum beres. Itu yang nak senyum pun susah.”

Nazim cuba mengembalikan senyuman di wajah Syahdah yang mula mendung. Dia tersenyum manis.

“Kalau macam tu lepas kerja kita jalan-jalan. Lagipun dah lama kita tak keluar sama.”

Tatkala bersama Syahdah, lenyaplah segala masalah yang menimpanya kebelakangan ini. Dia amat gembira mendampingi wanita cantik itu. Ditambah pula jiwanya kosong setelah ketiadaan Jasmin. Tuhan telah berfirman dalam Kalamnya, saat insan berdu-duaaan, pasti ada yang ketiga. Itulah syaitan, yang mana tugasnya adalah mengganggugugat hidup anak-anak Adam agar tidak berada di landasan yang benar.

Syaitan bersorak gembira tatkala Nazim membelokkan kereta menuju apartmen sewaanya lewat sore itu. Syahdah di sisi erat mengekori. Malahan tangannya tidak dilepaskan daripada genggaman Nazim. Mereka sama-sama menuju ke balkoni untuk menyaksikan matahari terbenam di ufuk barat.

Malam itu mereka menghabiskan masa dengan menyaksikan sebuah filem Inggeris. Kebetulan cerita yang ditayangkan mengisahkan penderitaan seorang lelaki setelah ditinggalkan oleh isteri kerana mengikut kekasih lamanya. Nazim seolah tersentak dari lena apabila hatinya tedetik, Apa Jasmin sedang buat sekarang?’

‘Makankah atau dia hanya dibiarkan berlapar.’ Keputusan lantas diambil.

“ Kita balik, Syahdah. I penat le. Nak rehat kat rumah.”

“Inikan rumah You. I boleh jagakan You. Atau teringat isteri di rumah. Lagipun malam masih muda.”

“Tak nak balik duduk sini ye, Syahdah. Aku nak balik. Panas rumah ni.”

Syahdah terpaksa mengikut rentak Nazim. Dia dapat merasakan bahawa hubungan mereka akan tiba ke titik akhir.

Saat kewarasan kembali bertapak, Syaitan tersungkur. Rebah. Selesai menghantar Syahdah ke rumah sewaanynya, Nazim memecut keretanya untuk segera sampai ke kediamannya. Cepat-cepat dia menyucikan diri lalu menghamparkan sejadah.

‘Aku berdosa, Ya Allah. Masih terbukakah pintu taubat buat hamba-Mu ini. Aku bersyukur, Ya Allah. Kau sedar aku tika aku belum terlanjur. Kau bebaskanlah aku dari segala bebanan ini. Dari segala dosa yang melingkari kehidupan ini.’

Nazim bermunajat panjang malam itu. Segala kebaikan Jasmin selama ini terlayar di pandangannya hingga air matanya menitis keharuan.

‘Mulianya hatimu, Jasmin. Cuma aku yang buta menilai kaca dan intan.’

Nazim menanti kalau-kalau ada panggilan telefon. Hatinya dipagut bimbang memikirkan keselamatan Jasmin. Akhirnya Nazim terlena di sofa setelah penat menanti.

“Mana Jasmin? Sampai hati kau tinggalkan seorang diri di rumah.” Pertanyaan itu menerpa pendengarannya apa Nazim tiba di halaman rumah keluarganya pagi itu.

“Mak, sabar dulu. Mak bawa bertenang. Mak lupa ke hari ini hari apa. Selasa. Jasmin kan cikgu, dia mengajar le pagi ni. Nanti bila Jasmin cuti kami datang le bersama.” Cepat sahaja mulutnya menabur janji yang entah tertunai atau tidak.

“Betul juga. Aku lupa.”

***
Nazim berusaha menjejaki Jasmin.

‘Di mana nak mula?’

Bersama fikiran yang masih bercelaru, Nazim membelokkan kereta ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Piatu. Namun kehampaan yang bertamu.

“Jasmin memohon cuti seminggu. Lagipun aku tengok di macam kurang sihat. Katanya kamu nak bawa dia pergi bercuti.”

Demikian jawapan yang diperoleh daripada Cikgu Zarina, kawan Jasmin.

Tidak tahu ke mana hendak dituju, Nazim menghalakan kereta ke rumah bapa mertuanya yang terletak berhampiran sekadar untuk melepaskan lelah memandu seharian.

“Ha, Nazim. Naiklah. Kamu balik seorang saja. Mana isteri kamu?”

“Er… Saya singgah aje. Kebetulan ada kerja di kawasan ni.”

“Oh…”

Usai menunaikan solat Zohor, Nazim memohon untuk berundur. Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan. Sempat batinnya berbisik,

‘Ayah, aku tak akan sia-siakan hidup anakmu.’

Sambil memandu, Nazim menjeling telefon bimbitnya jika ada panggilan masuk. Hampa. Hanya pesanan Syahdah memintanya untuk menghubungi.

***

“Abang tak akan sia-siakan Min. Min adalah cinta Abang yang awal dan terakhir. Walaupun kita adalah ketentuan keluarga, Abang gembira. Isteri Abang cantik, bergaya…” Terngiang-ngiang akan janji yang dilafazkannya pada malam pertama perkahwinan mereka. Dia bertuah memiliki Jasmin lantaran apa yang ada pada isterinya memenuhi ciri-ciri wanita idamannya.

Namun segalanya berubah setelah kehadiran Syahdah di pejabatnya. Syahdah menjadi batu penghalang terhadap hubungannya dan Jasmin. Nazim sendiri tidak pasti apa kelebihan Syahdah sehingga dia sendiri mengabaikan Jasmin. Kasih Allah masih ada untuknya. Kehilangan Jasmin menimbulkan keinsafan pada dirinya.

Nazim mula membuat perbandingan antara isterinya dan Syahdah. ‘Masya Allah. Terlalu besar jurangnya. Seorang isteri yang taat dan seorang wanita yang menggoda.’ Kesimpulan tercetus di minda Nazim.
Penantiannya berakhir. Dia sudah bersiap sedia ketika telefonnya berdering.

“Kau datang Hotel Equatorial Melaka, cari bilik bernombor 909. Pukul 12.00 tengah malam. Kalau lambat, isteri kau adalah habuan aku. Ingat, RM10,000.”

Panggilan itu membantutkan hasratnya untuk tidur. Dia mencapai sebuah album di meja sisi di tepi katilnya, Album perkahwinan mereka.

“Min gembira Abang boleh terima Min walaupun Min adalah pilihan keluarga. Min akan jadi isteri terbaik untuk Abang. Percayalah.”

Itulah yang dilakukan Jasmin. Tidak seperti dirinya yang telah mengingkari janji yang lisannya sendiri melafazkan. Betapa dirinya lemah untuk melawan hasutan syaitan yang mengganggu.

Nazim berusaha untuk memperoleh kekuatan jiwa melalui Solat Hajat untuk keselamatan Jasmin. Tidak lupa dia menitipkan doa agar dirinya diberi kekuatan untuk menemui penculik isterinya malam esok. Terasa ingin dia bertolak ke Melaka pada malam itu juga namun hari sudah terlalu lewat. Ditahan gelodak di jiwa.

***

Lewat tengahari 14 Mei, nazim menghidupkan enjin keretanya untuk mrnuju ke Hotel Equqtorial. Sekeping cek turut disertakan bersama seperti yang diminta oleh pemanggil misteri yang menghubungiuya. Rasanya tidak selamat jika dia membawa wang sebanyak itu untuk perjalanan yang agak jauh.

Sementara itu Jasmin tidak senang duduk di bilik penginapannya di Hotel Equatorial Melaka. ‘Apa reaksi Nazim?’ dia bertanya pada dirinya. ‘Tak perlu risau. Kan Abang Lan kata dia sudah bertaubat.’ Jasmin memujuk diri sendiri.

Mahu atau tidak detik 12.00 tengah malam tetap tiba. Debaran menguasai diri kedua –dua mereka. Nazim yang sudah menanti sejak sejam yang lalu menekan loceng sambil hatinya berbicara. ‘Culik orang pun bawa ke hotel. Pelik. Tak pernah dibuat dek orang.’ Walau keraguan sesekali menjentik fikiran, segalanya perlu diteruskan untuk keselamatan Isterinya.

Setelah tiada reaksi apabila loceng dibunyikan, Nazim mengetuk pintu. ‘Tok ! Tok! Tok’ Ketukan di pintu sebanyak tiga kali mengejutkan Jasmin yang sedang berdandan.

Setelah membetulkan apa yang patut, Jasmin segera menghampiri pintu.

“Min?”

Nazim terkejut amat melihat penampilan isterinya malam itu. Sungguh anggun dan elegan.

“Bukankah…”

Belum sempat Nazim menyambung bicara, cepat-cepat Jasmin menarik tangan Nazim ke dalam biliknya.

“Abang duduk dulu.”

“Min tahu apa Abang buat sepanjang ketiadaan Min. Min yang rancang semua ni untuk menyedarkan Abang tanpa melukakan perasaan Abang. Maafkan Min, Abang.”

“Min tak bersalah. Maafkan Abang kerana memungkiri janji Abang. Abang sedar sebenarnya dalam hati ini hanya ada Min seorang. Bukan orang lain.”

“Abang tak nak tengok ke siapa penculik yang menelefon Abang?”

“Kau?”

Nazim terperanjat apabila mendapati Abang Iparnya, Roslan ada di situ.

“Abang lakukan semua ini untuk adik Abang.”

Nazim mencapai tangan Jasmin.

“Terima kasih Min kerana masih menyayangi diri ini walaupun Abang sudah melakukan kesalahan yang besar terhadap Min.” Ucap Nazim setelah Roslan keluar daripada bilik itu.

“Min Cuma tak mahu kasih kita terputus dan Min terlalu menyayangi Abang. Semua ini untuk mengembalikan kasih Abang yang pudar suatu ketika dahulu.”

Malam yang bahagia buat suami isteri itu sejak dua bulan yang kebelakangan ini. Tambahan pula apabila Jasmin memberitahu zuriatnya akan lahir tujuh bulan lagi. Kebahagiaan begitu bersinar hingga tanpa disedari mutiara jernih mengalir di pipi Nazim. Dan malam yang bahagia itu dilayari bersama diiringi setangkai doa. Moga kasih yang bertaut tidak akan gugur buat selamanya.

No comments: