05 May 2011

Seuntai Bicara Buat Diri

Sahabat menebar haruman.
Suatu ketika, aku seakan tidak berdaya meneruskan langkah di taman ilmu dan budi. Terasa sesak nafas, hilang semua kekuatan untuk aku mengharungi hari demi hari sebagai seorang pelajar BAR di sini. Yang pasti, aku mahu melarikan diri sejauh-jauhnya. Lebih tepat, aku mahu lari daripada masalah. Sedang aku amat mengerti yang apa yang aku lalui hanya secebis carik luka berbanding apa yang dilalui oleh sahabatku yang lain. Masalah untuk dilalui bukan untuk ditangisi. Lalu, satu demi satu 'kerja gila' aku ikutkan hati yang sudah tawar.

Namun,

Allah masih kasihkan hamba-Nya. Jalan keluar Allah berikan. Sahabat yang tidak jemu cuba memujukku supaya tidak 'bertindak gila', pensyarah yang cuba menyedarkan aku bahawa Allah sudah mentakdirkan Jamilah adalah pelajar bahasa Arab. Adakah mahu dibazirkan dua tahun berbaki dan kamu meninggalkan taman ini dengan tangan kosong?

Mereka tidak jemu menarik tanganku keluar daripada lubang hitam yang dalam. Sedaya mungkin supaya aku kembali sedar. Lalu, adakah aku hanya membiarkan tangan itu tidak bersambut?

Semuanya kerana Rahmat dan Kasih Sayang Allah. Tidak diberinya aku terus tenggelam dalam dunia itu walaupun sudah sebelah kaki terperosok ke dalam lubang nan kelam itu.

Kini, kakiku berjaya dinaikkan kembali ke atas daratan walaupun hakikatnya bukanlah selesa nafas yang dapat aku sedut hari ini.

Maka, nikmat apakah lagi yang mahu aku nafikan?

Aku sudah biasa melalui kegagalan. Setiap semester dengan ada catatan 'Repeated the subject' membuatkan aku seakan sudah tiada rasa melihatnya lagi dan lagi. Tidak salah gagal namun apa cerita jika berulang dan berulang kali gagal.

Bukanlah kegagalan itu yang perlu diceritakan namun bangkitlah, pugar kembali semangat yang berbaki. Allah sentiasa menghadirkan yang terbaik untuk hamba-Nya.

Bukan sekadar usaha kita, namun sesungguhnya rahmat Allah mengatasi segalanya. Ketika aku merasakan yang sudah tiada harapan untuk melihat mentari esok, Allah masih berikan aku peluang itu. Maka, apakah akan aku persiakan apa yang sudah diberi?

Kegagalan hanya titik mula kepada sebuah kejayaan yang lain-lain. Kesusahan mengenalkan aku kepada erti persahabatan. Membuatkan aku belajar untuk menghargai apa itu erti kekeluargaan dan makna sebuah kasih sayang.

Sesungguhnya bukan semua yang kita mahu akan kita dapat. Namun yang terbaiklah Allah takdirkan menjadi sebahagian perjalanan hidup kita.

Dan kegagalan demi kegagalan yang aku lalui adalah untuk mengajar aku supaya aku mampu tersenyum dalam susah dan senang. Supaya aku tidak menangis apabila kegagalan yang lebih besar aku lalui kelak. Bukankah kegagalan sebenar apabila seseorang itu tidak mampu menjadi seorang hamba yang baik?

benar.

Sahabat-sahabat,
Aku kenang saat kalian bersusah bersama aku,
Berusaha bangunkan aku,
Meyakinkan aku yang cepat gundah dan give up,
Selalu,
Aku terasa kalian sentiasa dekat,
Walau di mana kalian,
Sahabatku.
Allah memberikan yang terbaik.

Bersyukur aku kalian berjaya,
Kalian mengukir senyum ria,
Tidak kisah aku terperosok dengan keputusan sekadar aku usaha,
Segalanya cukup bermakna,
Kalian menolong aku,
Allah menolong kalian...

Qamar Jamilah / 1253/5.5.2011

No comments: