25 May 2011

RANDOM RANT 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi cerah. Sebiru langit terang, begitulah hati kala dan saat ini. Terasa ingin tersenyum dan terus tersenyum, namun masih ada gusar andai senyuman itu mati di tengah hari. Ingin sekali terus tersenyum hingga mata kembali terpejam bertemu alam mimpi.

Sendirian bukan satu dunia indah. Apatah lagi andai ada perkara-perkara yang perlu dikongsi dan dicerita. Tetapi harusnya aku sendiri sedar yang aku hanya akan dapat apa yang aku mahu dan ianya baik untuk aku. Suka duka, susah senang, diri sendiri yang memilih untuk bereaksi bagaimana.

"kenapa adik menangis malam sebelum kenduri kak Ina?'

Sengaja aku memilih untuk tidak menjawab soalan itu kerana aku tidak punya jawapan. Apa yang aku tahu perasaan aku malam itu di luar kawalan. Lalu, untuk tidak merosakkan lagi perasaan sendiri aku memilih untuk diam dan terus mendiamkan diri.

Tidak semua soalan perlu dijawab namun aku sedar tidak selamanya diam itu baik. Aku jadi lemas sendiri jika aku yang mendiamkan diri namun aku tidak tahu mengapa akhirnya itu yang aku pilih. Oh, kalau mulut ini berkicau riang maknanya itu bukan Jamilah yang sedang berbicara. Ada watak lain dalam diri yang muncul dan personaliti lalu dialah yang bersuara dan bukannya aku.

Aku suka berada dalam ramai namun aku tidak selesa jika berada dalam keramaian insan-insan yang mengenali aku. Aku jadi hilang tingkah dan tidak tahu bagaimana untuk bereaksi. Ke kiri salah, ke kanan tidak kena. Lalu, kaku dan keras sahaja!

Walaupun aku tahu itu tidak kena.

Dalam kehidupan banyak perkara yang tidak diajar dalam universiti tetapi sekolah kehidupan itu lebih banyak memberi erti sebenarnya. Jangan sampai aku gagal di universiti dan gagal juga menjadi seorang 'manusia' Kalaupun kamu tidak dapat ilmu yang banyak, belajarlah untuk mengutip ilmu daripada sekolah kehidupan.

Hm,

Hakikatnya aku tidak banyak bergaul dengan orang berilmu dan orang tua. Orang lama banyak pengalaman. Mereka sering kita katakan sebagai orang yang makan garam terlebih dahulu. Maka, mereka yang lebih tahu masinnya dalam kehidupan ini... Pengalaman itu akan pergi setelah mereka pergi kelak andai kita tidak kutip jadikan ilmu kita pula. Untuk aku. Pesanan ini khusus untuk aku...


Entah.

Apakah yang aku mahu bebelkan sebenarnya? Hanya mengikut aliran jemari. Aku selalu tidak dapat fokuskan arah penulisan, hanya menulis mengikut aliran jemari dan akal yang berbicara. Menulis perkara-perkara yang biasa yang aku mahu kongsi.

Oh, sesungguhnya manuskrip ini tidak tercatat perkara ilmiah... Hanya kadang perkongsian pengalaman dan cerita seputar kehidupan aku...

Kehidupan??

Jauh! Masih jauh menggapai sebuah impian. Namun sesungguhnya Allahlah yang mengetahui arah perjalanan hidup ini. Impian yang satu itu semoga tertunai hendaknya. Menanti sebuah kelahiran yang dinanti adalah saat bahagia bagi semua orang.

Aku juga begitu.

Debaran yang terasa, ingatan yang makin kuat, perasaan yang makin tidak menentu dan sering berkocak semoga ia tetap memberi petanda terbaik untuk aku teruskan langkah dalam daerah kecintaan ini.

Tidak boleh berpatah balik setelah keputusan aku ambil dan semoga semuanya berjalan baik seiring doa kalian.

Semoga. Amin. Allahlah Yang Mengetahui.


ITD-FE-08
11.30a.m/ 25.5.2011
Kredit gambar: deviantart.com

No comments: