31 May 2011

Hampir tenggelam.

...terperangkap dengan janji,
lemas tanpa perancangan mengisi masa,
semuanya salah diri sendiri,
tidak pandai mengawal diri,

....bila tersedar yang tiada masa lagi,
baru mahu bergerak.
Bersunyi itu bukan sesuatu yang baik untuk kesihatan seorang yang normal.

....terkial-kial mencari kata,
akhirnya aku mungkir janji itu.

Petang ini,
Esok,
Khamis,
Jumaat...

....Semuanya masih kabur.
Yang pasti aku yang gagal mengatur.

Orang yang merancang akan selamat.
Selamat daripada membazirkan waktu.
Tahu apa mahu dibuat.

okey. saya merapu. Belum siap assignment sepatutnya. belum siap kerja rumah. belum baca buku untuk kuiz petang ini.

sungguh di bawah meja sangat tidak seronok.
Aku bukan manusia yang boleh berkurung dalam bilik walaupun tidak suka berprogram.
Dunia sempit rasa makin sempit tatkala hanya terkurung.

aku suka bebas.


.....mimpi semalam.
macam betul.
sungguhlah aku yang banyak menyusahkan orang.

"kita hanya tak mahu dia tahu."

Gambaran apa yang berlaku aku dah lupa.
Tentang kenduri yang aku rosakkan.
Tentang apa yang berlaku di sebaliknya..
Allah.

Mainan syaitan? Atau aku yang terlalu memikirkan.

entah.

Aku memang tidak pandai jaga hati orang
Aku manusia yang paling tidak peduli.

Oh,
pesimis.

Bila lagi mahu positifkan diri?

Selagi berfikir yang buruk, itulah yang terjadi.......

Nasib tidak berubah jika tidak berusaha.

Perlukan teman?

Hm.....

Tergelak aku dengan gurauannya semalam. Semoga ia bukan kenyataan.

Oh, aku hanya main-main. Jangan endahkan.

Itu bukan yang aku mahu. Cakap-cakap emosi kegatalan hanya...

Jangan percaya.

Semua yang aku cakap.

Berbelit dan bersimpang siur.

Mulut dan tulisan aku bisa menipu.

Jangan percayakan aku. Aku bukan baik.

sudah membebel. sambung buat kerja.

syyytttt.... (baca diam-diam)

Sampai suatu ketika,
kau akan bosan dengan dunia yang kau cipta,
kau rasa apa kau buat tidak kena,
kau tidak selesa dengan semua perkara.
Ketikamana...

hati orang tua kau lukai,
hati sahabat tidak kau endahkan,
hati sendiri tidak kau peduli.
Hidup ini,
bukan untuk kau seorang.
Perkongsian itu indah,
Berkongsi hati?

Tiada lagi rahsia dalam diri,
Apabila semua sudah kau dedah,

Sedang kau sebenarnya yang paling tidak peduli,
Perasaan mak ayah,
derita sahabat,
beban teman...

kejamnya diri....

yang pentingkan perut sendiri...

Allah,
Bila aku mati,
Tiada jawapan dapat aku berikan.

Masa,
Tenaga,
Yang Allah pinjamkan,
Telah dipersia.

rasa

Berenang di lautan rasa
      tak bertepian.
              melemaskan.

Ingin
    cepat sampai ke daratan.

Sedarkan diri,
Pada sebuah hakikat,
Tidak mampu ditidakkan.

30 May 2011

RANDOM RANT 4

gambar hiasan dan langsung tiada kaitan




"kamu terkejut kalau aku kata aku nak kahwin sebelum 25?"


Tersembur air yang diminum aku. Seorang budak pemalu yang tidak suka melontarkan suara mengeluarkan sebaris kata yang bagiku seakan lahar gunung berapi.

"Oh, kamu serius?" Belum percaya. Irdina Safiyyah, gadis pemalu a.k.a gadis yang sangat pendiam ini menyatakan sesuatu yang untuk aku ketawa terasa bersalah, untuk tersenyum seperti memerli. Lalu, aku hanya buat wajah biasa.

"Really?" Mengulang tanya sekali lagi.

Irdina sudah berwajah masam. Mungkin marah dengan respon yang aku lontarkan. Tetapi ia menyambung bicara. Seakan tidak peduli apa yang aku lontarkan kepadanya.

"Kiter mahu lelaki yang pandai menulis. Lelaki yang dapat bimbing kiter."

Terdiam aku. Benar-benar seriuskah teman aku nan seorang ini. Pandang wajah Irdina Safiyyah sekali lagi.

Susah untuk percaya. Namun jodoh sudah Allah tentukan. Ia akan datang.

Titik.

***

Baik, itu selingan sebelum aku menconteng. Sengal atau tidak bila aku mulakan pendahuluan begirtu? Sebenarnya hari ini perlu diisi dengan mengedit  + menampal + menambah dan mengulit manuskrip yang ditulis, namun satu pagi aku sudah bazirkan dengan belayar di alam mimpi ditambah mimpi yang sudah aku lupakan.


Aku dan usrah. Aku dan orang ramai. Aku dan persatuan. Aku dan ceritera cinta.

Empat subjek yang aku suka dengar orang bicara tentangnya namun aku sentiasa tiada idea dan akan melarikan diri. Aku ingat ada seorang ustaz pernah beritahu, biasakan diri dengan program hingga akhirnya program dan memprogramkan kehidupan anda. Aku? Aku cukup mengelak untuk menyertai sebarang program sekarang. Jika dibilang sebelah tangan tidak cukup untuk mengira program yang sudah aku sertai. Jika dilihat sekalipun aku hanya suka menghadiri program yang aku suka, bukan program yang aku perlu cari. titik.

Aku tidak suka jika orang mengenali aku di dunia realiti. Aku suka berjalan dengan bebas dan tiada orang yang tahu. Salahkan prinsip aku? Manusia diciptakan untuk saling mengenali? Kehidupan ini sangat singkat dan perlu dinikmati. Lalu, banyak perkara yang aku terlepas dan banyak ilmu yang aku tidak dapat kerana sikapku yang satu ini. Aku suka orang tidak tahu aku. Orang langsung tidak kenal aku. 

Usrah sangat perlu dalam kehidupan. Sebagaimana kita perlukan keluarga untuk meneruskan hidup. Macam kita perlu ada kawan supaya tidak nanti gila sendiri.  Apabila sendiri, syaitan senang mendekati. Emosi akan tidak stabil dan selalu terjadi kejadian tidak baik kerana hidup bersendiri. Allah ciptakan kita untuk saling mengenali kan? Tetapi, aku manusia yang sombong dan tidak suka mengenali. Aku suka memerhati, namun aku takut untuk 'masuk ke dalam'. Aku takut dengan diri sendiri mungkin?

Beruntunglah buat yang berada dalam kalangan mereka yang berusrah. Mengenali banyak kepala menyediakan banyak kisah. Usah bersendiri macam aku. Jangan sombong untuk mengenali macam aku. Nanti rugi sebba hidup ini tidak lama. Aku terasa teruk hingga aku malu untuk 'masuk dengan orang.' 

Sebab aku tahu dunia penuh dnegan orang yang baik. Sepatutnya aku mendekati orang yang baik, kan?

Nanti aku akan keluar sebagai orang yang rugi...
Bila aku mati, Allah tanya, apa kamu habiskan dengan usia remajamu?
Entah apa dapat aku jawab...

aku hanya suka online..
aku tak suka tolong orang.
aku pentingkan diri.
aku sombong.
aku tidak mesra alam.

sudah cukup aku merapu petang ini. Dapatkan mood untuk mengedit pula.

ITD-FE-06, IIUM

Rojak (3)

Dalam kesedaran,
   masih punya kesamaran,
Tidak tersembunyikan.

29 May 2011

Tulisan Yang Berbicara...





Tulis tepian muara dalam blognya: 

cermatlah dengan ribuan mata
terlahir dari celah jemarimu.
Ratusan setelah jasadmu pulang
ribuan itu tetap kan berkeliaran.

dengannya
kemanusiaan memandang kehidup
a
n.


jangan mengarang sesuatu yang tidak mesra dengan diri!
Jangan mengarang sesuatu yang jauh daripada diri!
Jangan cuba mengarang sesuatu yang besar lagi agung, tetapi tidak terjangkau oleh akal budi dan hati nurani diri.
Karanglah sesuatu yang dekat dengan diri, meskipun ia hanya tentang seekor cicak atau seorang tua yang sedang menunggu kematian atau sebaliknya -kematianlah yang menunggunya.


(shahnon Ahmad: weltanschauung satu perjalanan kreatif: m/s 8) 


...dalam istilah konvensional, penyair dikenal sebagai poet.
Penulis cerpen dikenali sebagai cerpenis.
Penulis drama sebagai playright.
Penulis novel sebagai novelis.
Penulis esei sebagai eseis.
Pengkritik sebagai critic. 


Tetapi...


Dalam kerangka keislaman semuanya dengan satu nama: al-Adib (panggilan hormat bagi cendekiawan Islam yang dunia pemikiran dan pengkaryaannya berada dalam ruang lingkup persuratan tadi. (cerpen, drama, novel, esei, kritikan)...


(dipetik daripada kertas kerja A. Aziz Deraman bertajuk Persuratan Pembangunan Ummah: antara Tasawur Islami dan al-Adib Rabbani. (m/s 55)


***

Lalu, dua bicara yang aku petik daripada dua buah buku yang cuba aku baca (walaupun tentunya tidak semua aku hadam) seakan menyentak semula anggota dalam diri. Cuba untuk meneliti baris-baris kata yang ditulis Prof Emeritus Shahnon Ahmad seputar keterlibatannya dalam dunia sastera yang sudah melalui sebuah perjalanan yang panjang... sepadan usianya sekarang...

Perjalanan yang menemukan beliau dengan makna yang dicari dalam penulisan. Penulisan yang mendekatkan diri dengan Allah...

Ia bukan satu perjalanan singkat. Aku tahu tahu. Banyak sekali ranjau dan duri yang terlekat di kaki dan ombak tsunami yang melanda... akhirnya menemukan penulisan dengan makna yang dicari. 

Dalam catatan kedua itu, antara isi artikel itu lagi yang membuatkan aku malu dengan diri sendiri apabila pengarang -A.Aziz Deramana menyatakan yang perlunya seseorang menguasai bahasa Arab untuk lebih memahami dua pegangan hidup Muslim -al-Quran dan Hadith- . Terutamanya ilmu Balaghah yang banyak merungkai makna berlapis dalam ayat-ayat al-Quran... 

Bukankah Allah meletakkan kamu pada tempat yang baik? Diberinya peluang untuk mempelajari bahasa Al-Quran. Diletakkan kamu di sini. Sesungguhnya peluang ini hanya datang sekali. Manfaatkan wahai diri.

Jika kamu berpeluang belajar bahasa Arab, rebutlah peluang itu. Belajar agar mudah untuk faham kalam Allah. Bahasa yang Allah ungkap tidak bisa kita faham andai hanya baca tanpa  tahu maknanya... Subhanallah.. Engkaulah Yang Maha Mengetahui... 

Marilah wahai diri yang masih bisa belajar, rebutlah peluang. Jika banyak yang sudah kau lepaskan, jangan lepaskan peluang ini..

Sesungguhnya,
siapakah lagi hari ini yang mengenal Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Ahmad Muhammad Said, Tuk Kenali, Tok Ku Pulau Manis, Syeikh Hamzah al-Fansuri...

Malah,
berapakah ramaikah yang masih ingat akan karya abuya Hamka yang tiap baris katanya menyentap hati-hati yang sentiasa mahu lena. Beliau yang bukan hanya ulama' namun bisa menulis novel yang subhanallah... 

Kini,
Siapakah lagi yang peduli?

Atau hanya mengenal Sheakspears, dan seangkatan dengannya..
yang punya akidah berbeza..

Kembalilah...

Dunia al-adabiah yang kontang dan kemarau perlukan siraman hujan jiwa-jiwa muda yang sedar bahawa Islam itu cantik dan kita boleh juga menggambarkan kecantikan itu dengan penulisan... bukan hanya penulisan namun setiap cabang seni yang Allah pinjamkan... fotografi, muzik, lukisan.. banyak..

demikian, kalamku mahu bicara...
D-4-4-A @ SAFF UIAM.
~Semoga tulisan ini mengingatkan diri sendiri. 

28 May 2011

KAMI: edis konspirasi.




Gambar yang menjadi mangsa.


alkisahnya...
Jamilah menyelongkar gambar milik kawannya di mukabuku dan ini terjadi. hihi. :)
simpanan peribadi biar boleh lagi dilihat nanti.

Kepada pemilik gambar ini, sila baca.. =)

Rojak (2)

Kesakitan jangan dibiar terzahir.
kesakitan yang manis,
derita pemberi bahagia,
Biar aku terseksa di sini,
Kelak senyuman itu terukir
Di langit cita,

Sebuah khabar memberi makna,
Terjalin hubungan cinta aku dan dia,
Bersatu pada satu nama,
Biar derita jadi gantinya.

Kelak,
pasti bahagia akan aku rasa.

kredit gambar: deviantart

Memulakan Langkah, Itukah yang Paling Resah?

Step by step to achieve a dream. Sweet dream.

Keresahan yang mendamaikan. Berteman secawan kopi pahit yang dibancuh tadi dan sebuah buku di sisi, jemari meneruskan larian pada papan kekunci. Angin malam sepi. Jendela yang terbuka menghidangkan irama alam yang menjadi peneman malam. Sesungguhnya, kedamaian yang dicari mendatangi diri malam ini.

Alhamdulillah.

Walaupun hanya dia bertemankan buku-buku. Buku-buku yang bisu namun apabila ditatap tidak jemu membalas persoalan di jiwa. Sesungguhnya kerinduan hanya akan terubat apabila kita menemui dan mencari apakah erti rindu itu. Nilai sebuah rindu yang akan layu jika hanya dibiar menjadi daun kering yang luruh apabila sudah kekuningan.

Semuanya bermula apabila dia menyertai sebuah bengkel penulisan anjuran syarikat Penerbitan Islami tanah air. Sendirian meredah perjalanan Gombak-Nilai dalam bulan Ramadhan kerana sebuah cinta yang mahu dimaknakan. Impian untuk melihat buku sendiri terpamer di kedai buku masih ada walaupun lama tidak menghantar cerpen dan tulisan kepada mana-mana majalah semasa.

Diam bukan bermakna bisu.

Bengkel alam maya bersama sifu Az memulakan sebuah perjalanan. Perjalanan sebuah ceritera yang panjang dan bertahun-tahun. Sejak dia di matrikulasi hingga menjejak bumi Gombak. Alhamdulillah. Dua tahun sesudah itu, semuanya berakhir.

Edisi asal siap.

Namun ia bukan pengakhiran, kerana ceritera itu hanya dia yang dapat baca. Lalu, cuba memanjangkan bicara... Langkah demi langkah, pembaikan demi pembaikan, penantian demi penantian, kini mula berbunga, walaupun putiknya belum nampak.

Doakan, ia ranum sebelum Ogos 2011. Janji dia kepada Puan Arash, Ogos 2011, ada sesuatu akan terhasil. Ada buah yang akan masak.

Sesungguhnya, memulakan langkah pertama paling payah. Namun langkah pertama adalah pemula untuk jejak-jejak seterusnya.

Amin. Semoga Allah permudahkan.

Sudah. Fokus. Emel itu perlu dibalas hari ini juga.

Wassalam.

ITD-FE-09, IIUM
10.46 pagi.
28 Mei 2011

27 May 2011

Kitab Baru




Open new book.
Jumaat bersamaan hujung minggu yang perlu diisi. 
Menunggu hari Selasa sebelum kelas kembali bermula.
Mahu merehat diri seketika, mencari makna yang tertinggal...

Bulya Iswandi, Terima kasih atas teguran itu. Penulis ini tidak tahu apa yang ditulisnya sehinggalah ada yang memberitahu bahawa dia yang selalu hanyut dalam lautan rasa. 

Buat kalian yang terbaca semua catatan, contengan, tulisan, rapuan dan seumpama dengannya, 
terima kasih banyak-banyak aku ucapkan.
Kerehatan ini untuk mencari kembali erti sekujur diri yang berdiri di sini.

Sesungguhnya, manusia yang hidup hanya bersandarkan perasaan itu sering hanyut dalam lautan emosi -macam aku.

Maafkan aku, kalian.

Terima kasih kerana membaca.

Nanti aku kembali di sini, menukil sesuatu bersama pelangi dan mentari. Tidak lagi hanya hujan dan mendung mewarnai..

Doakan kembara ini... Mencari makna hidup... Jauh perjalanan yang aku bazirkan...

=)




Don't let me fall again!

Bicara Hening Penghulu Hari

26 May 2011

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: Yang Terbaik Untukku.


Lakaran terindah



Bukan hanya biasan kata.



Madah indah, susunan puitis,



Bertahun aku mencari maknanya.



Pada setiap helaian kata yang bisa aku cerna



Masih juga jauh....



Makin kelam dan suram....





Pada bicara yang tidak bisa aku suarakan,
Biarkan ia mengganti menjadi makna tidak terluah,
pada seribu perkataan yang aku simpan,
Tidak semua dalam bentuk kata,
Pada gambar yang bisa berbicara,
Berjuta makna dan kata,
teman kala aku perlukan kekuatan,
untuk tersenyum...
mengikut kata hati,
kadang aku lemas sendiri,
Berusaha betulkan diri,
Bekal meniti hari...
Sesungguhnya Ya Allah...

Tiadalah dayaku melainkan ia kehendak-Mu...
Ketemukan aku dengan insan yang dapat membimbingku..
kembali ke jalan benar.
Jauhkan aku cinta palsu,
Hindarkan aku hubungan tidak Engkau redhai...
Sesungguhnya,
janganlah kau biarkan aku lemas dalam sebuah perasaan,
Hanyut sebagaimana hariku yang semalam.

Mahu aku padamkan kisah semalam,
Melakar sejarah baru,
Hari baru..
Allahuakbar!

Durrah Nur Aqilah.

Mastura Mohd Ibrahim

"  Salam. Mastura baru lepas operation apendiks. Doakan dia cepat sembuh."
26 Mei 2011, 15:25:30

Dalam kelas General Lingustics. Rasa mengantuk lalu membelek-belek telefon genggam dalam beg. Terlihat ada satu pesanan ringkas -seperti di atas-

Baru teringat yang aku lama tidak hubungi beliau. Aku lama tidak mesej beliau.

Doakan beliau cepat sembuh.. Syafahallah..

Mastura,
Si comel yang banyak membantu,
Si kecil yang manis dan mesra..
Cepat sihat..

=)

Melupus Ingatan

Tidak ingin aku lupuskan semua kenangan


Tersimpul rapi dalam ingatan.

Tulisan tentang persahabatan

Momen terindah kita lakarkan.

Suatu petang yang kita raikan

Kau tinggalkan aku sendirian dalam kegelapan.

Sampai aku membuang sebuah kisah perjalanan.

Sendirian sepi tanpa teman.

Hanya karya ini jadi pengubat sedan.
Memori itu, biar aku padamkan..






Ceritera Cinta?




L.o.v.e

Ingin aku menukil sesuatu yang bersarang dalam fikiran. Tentang ceritera cinta yang ada dalam setiap insan normal. Perasaan cinta anugerah Ilahi buat setiap kita. Ke manakah kita lorongkan rasa cinta itu? Ke jalan yang benar atau membiarkan syaitan menguasai?

(MAAF, INI TULISAN YANG TIADA HALUAN DAN BERCAMPUR-CAMPUR.)

Jujur, aku takut pada cinta sebelum pernikahan. Aku teringat beberapa pesan yang pernah aku terbaca dan menjengah telinga:  untuk menghasilkan zuriat yang terbaik, perlulah cari pasangan yang terbaik. Pembentukan zuriat solehah qurratun a'yun tidak bermula setelah kita mendapat anak, namun bagaimana pasangan kita peroleh?

Perhubungan yang halal?

Atau kita sudah calarkan perhubungan yang belum sah dengan perbuatan yang tidak sewajarnya. Perlu pukul rata tidak kira kepada siapa. Malah diri sendiri juga. kalau mahu dan inginkan hubungan yang suci, maka diri sendirilah dahulu yang perlu sucikan terlebih dahulu.


Bukankah lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan lelaki jahat untuk perempuan yang jahat. Bagaimana definisinya? Fikir-fikirkanlah..

Kisah-kisah cinta melankolia dan drama melayu sinonim. Cerita cinta sebelum nikah dan novel popular melayu sinonim. Cuma sekarang banyak yang sudah di'islamik'kan. Suka, aku suka fenomena ini, namun mengapa hari tetap mahu menafikan. Seakan-akan mahu menggalakkan... Entah. Ini hanya apa yang aku rasa.


Dahulu, ketika di sekolah menengah, aku suka mencuri baca novel cinta yang dibeli oleh kakak dan disimpan dalam kotak atas almari supaya aku tidak mencari. Semakin disorok makin aku mencari. Itu lumrah anak muda.  Lalu,akulah yang sering hanyut pada kisah cinta yang tidak berkesudahan dan melalaikan itu sampai memberi kesan kepada emosi sendiri.

Bukankah pembacaan yang terbaik membentuk diri yang terbaik?

Sudah masuk bab buku pula...

Inilah hakikat.. Kita disuapkan dengan kisah cinta tiga segi setiap hari... Tunang kena rampas, kahwin dengan orang lain.. Halangan-halangan orang bercinta... kalau dahulu cinta antara dua darjat dan sekarang kalau cerita mesti ada syarikat besar-besar.. Belum lagi ditonton sinetron.. Wah... tidak logik... Cerita korea juga, naun boleh pula melayan dan bazirkan air mata... penuh konflik demi konflik dan masa yang panjang sebelum akhirnya barulah nikah... Astagfirullah...

Sebenarnya sudah jauh aku meninggalkan kebenaran jauh di belakang. Usrah? Hanya ada dalam novel aku... Sudah lama aku tidak berusrah, sudah lama aku tinggalkan dunia itu, sebuah dunia yang kini menjadi sebuah memori dalam lipatan sejarah hidup aku... Ia secebis kenangan yang hanya dapat aku belek dalam lipatan kenangan yang sudah tersimpul. Kekosongan yang tidak aku isi... Kemudiannya ia menjadi lompong yang makin besar.... (perlu mencari kembali)



Kita perlukan tulisan yang membentuk pemuda dan pemudi zaman kini. Melorongkan kaki mereka ke arah cinta yang benar. Perhubungan yang Allah redha. Tulisan memberi satu impak dalam pembentukan sesebuah masyarakat. Ini sebuah hakikat yang tiada siapa dapat nafikan.

Apa yang kamu baca itulah kamu.

Mereka yang membuat perbezaan akan memberi satu BOOM dalam masyarakat. Sebagaimana aku menyukai tulisan Dr. faisal Tehrani yang sentiasa 'lain' dan tidak boleh dibaca sekali lalu. Kita lihat, tulisan sasterawan dan penulis mapan tidak layu walaupun sudah lama diterbitkan. Mengapa? Mereka punya tulisan yang lain dan tidak hanya bersandar kepada perkataan CINTA.

Aku tidak melarang penulisan tentang cinta. Namun sampai suatu ketika aku jadi trauma dengan kata cinta -antara lelaki dan perempuan- apabila ia dilambakkan depan mata hingga hilang kemanisannya. (walaupun sering aku melayan drama lentok melayu)


Bagaimana kita melihat sesuatu, begitulah yang kita dapat.

Wassalam.

Tulisan bercampur dan semak..
ITD-FE-09/10.30 a.m/ 26.5.2011

*KREDIT GAMBAR: DEVIANTART.COM

25 May 2011

Short Sem's Story: Minngu Ketiga

Kini di minggu ketiga
Alkisah semester pendek suka untuk aku terus kongsikan di sini. Bermula daripada aku yang enggan mengambil semester pendek ini hinggalah kini akhirnya sudah di minggu ketiga. Alhamdulillah, ya Allah.

***
Satu subjek. Madah General Lingustics yang diajar Dr. Asem aku pelajari hanya pada setiap Selasa dan Khamis jam 2-5 petang. Terdetik rasa sesal mengambil satu subjek, namun ini tentunya terbaik buat diriku. Siapakah yang lebih tahu yang terbaik untuk aku?

Tersengguk-sengguk juga semasa dalam kelas apabila hanya ustaz yang bercakap seorang diri di depan. Bagaimana mahu menyampuk kerana ustaz sedang bercerita tentang fakta. Tentang bahasa. Alhamdulillah. Seronok.

Sudah belajar tentang asal usul bahasa di dunia dan akan menyusul tentang beberapa tokoh barat yang terlibat dalam bahasa secara umumnya seperti Ferdinand de Saussure, Edward Sapir, Zallim Sabbetai Harris dan Noam Abraham Chomsky. :) Terbelit lidah mahu membaca tulisan nama mereka yang ditulis dalam bahasa Arab.

Di sini juga baru aku mengenal Ibn Jinni... Ibn Hajib.. Al-Asnawi dan beberapa tokoh lagi.

Paling mengujakan apabila mendapat assignment tentang penggunaan bahasa pinjaman daripada bahasa Arab dalam bahasa Melayu. Ustaz dari Jordan ini (Dr Asem) memang pandai berbahasa Melayu, jadi ia satu bonus. :)

Minggu lepas berlalu begitu sahaja apabila aku pulang ke kampung sejak Isnin hingga Ahad minggu ini. Alhamdulillah, majlis pernikahan dna sambut menantu baru selesai sudah. Hanya menyambut menantu baru di rumah pengantin lelaki, namun aku tidak lagi pulang.

Semester pendek ini semoga terus ia menjadi satu kenangan terindah dalam hidupku. Mendapat perkhabaran yang manuskrip bakal diterbitkan satu kegembiraan juga. Melihat kakak menikah juga satu keseronokan. Alhamdulillah. Semoga semuanya baik-baik sahaja.

Buat teman-temanku juga. Semoga kalian dilindungi Allah selalu. Kalian memang orang hebat! Syukur Allah temukan aku dengan kalian. Kelak jika bukuku benar-benar ada di pasaran, ia hadiah buat kalian.... =) kalian yang istimewa..

(maaf kerana memaparkan gambar tanpa keizinan... )

titik.

3.28p.m
ITD-FE-10, IIUM


rojak

 Kredit to: Deviantart.
Rumah padi tinggalan opah,
Dimamah usia, dimakan anai,
Siapakah yang peduli.
Menanti hari,
Rebah ke bumi.
Tiada lagi.
Kepedulian hilang,
Tinggal sombong diri,
Hapuskan segera jangan dibiar meraja dalam sanubari,
Hilang barakah meniti hari,
Di manakah kebahagiaan akan bertamu lagi?

Jangan dibiar rosak jasad kerana rosaknya hati,
Lantaran,
Jiwa kotor,
Terzahir pada peribadi.

1457@ITD

RANDOM RANT 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi cerah. Sebiru langit terang, begitulah hati kala dan saat ini. Terasa ingin tersenyum dan terus tersenyum, namun masih ada gusar andai senyuman itu mati di tengah hari. Ingin sekali terus tersenyum hingga mata kembali terpejam bertemu alam mimpi.

Sendirian bukan satu dunia indah. Apatah lagi andai ada perkara-perkara yang perlu dikongsi dan dicerita. Tetapi harusnya aku sendiri sedar yang aku hanya akan dapat apa yang aku mahu dan ianya baik untuk aku. Suka duka, susah senang, diri sendiri yang memilih untuk bereaksi bagaimana.

"kenapa adik menangis malam sebelum kenduri kak Ina?'

Sengaja aku memilih untuk tidak menjawab soalan itu kerana aku tidak punya jawapan. Apa yang aku tahu perasaan aku malam itu di luar kawalan. Lalu, untuk tidak merosakkan lagi perasaan sendiri aku memilih untuk diam dan terus mendiamkan diri.

Tidak semua soalan perlu dijawab namun aku sedar tidak selamanya diam itu baik. Aku jadi lemas sendiri jika aku yang mendiamkan diri namun aku tidak tahu mengapa akhirnya itu yang aku pilih. Oh, kalau mulut ini berkicau riang maknanya itu bukan Jamilah yang sedang berbicara. Ada watak lain dalam diri yang muncul dan personaliti lalu dialah yang bersuara dan bukannya aku.

Aku suka berada dalam ramai namun aku tidak selesa jika berada dalam keramaian insan-insan yang mengenali aku. Aku jadi hilang tingkah dan tidak tahu bagaimana untuk bereaksi. Ke kiri salah, ke kanan tidak kena. Lalu, kaku dan keras sahaja!

Walaupun aku tahu itu tidak kena.

Dalam kehidupan banyak perkara yang tidak diajar dalam universiti tetapi sekolah kehidupan itu lebih banyak memberi erti sebenarnya. Jangan sampai aku gagal di universiti dan gagal juga menjadi seorang 'manusia' Kalaupun kamu tidak dapat ilmu yang banyak, belajarlah untuk mengutip ilmu daripada sekolah kehidupan.

Hm,

Hakikatnya aku tidak banyak bergaul dengan orang berilmu dan orang tua. Orang lama banyak pengalaman. Mereka sering kita katakan sebagai orang yang makan garam terlebih dahulu. Maka, mereka yang lebih tahu masinnya dalam kehidupan ini... Pengalaman itu akan pergi setelah mereka pergi kelak andai kita tidak kutip jadikan ilmu kita pula. Untuk aku. Pesanan ini khusus untuk aku...


Entah.

Apakah yang aku mahu bebelkan sebenarnya? Hanya mengikut aliran jemari. Aku selalu tidak dapat fokuskan arah penulisan, hanya menulis mengikut aliran jemari dan akal yang berbicara. Menulis perkara-perkara yang biasa yang aku mahu kongsi.

Oh, sesungguhnya manuskrip ini tidak tercatat perkara ilmiah... Hanya kadang perkongsian pengalaman dan cerita seputar kehidupan aku...

Kehidupan??

Jauh! Masih jauh menggapai sebuah impian. Namun sesungguhnya Allahlah yang mengetahui arah perjalanan hidup ini. Impian yang satu itu semoga tertunai hendaknya. Menanti sebuah kelahiran yang dinanti adalah saat bahagia bagi semua orang.

Aku juga begitu.

Debaran yang terasa, ingatan yang makin kuat, perasaan yang makin tidak menentu dan sering berkocak semoga ia tetap memberi petanda terbaik untuk aku teruskan langkah dalam daerah kecintaan ini.

Tidak boleh berpatah balik setelah keputusan aku ambil dan semoga semuanya berjalan baik seiring doa kalian.

Semoga. Amin. Allahlah Yang Mengetahui.


ITD-FE-08
11.30a.m/ 25.5.2011
Kredit gambar: deviantart.com