28 April 2011

Turun Tangga

Yakin itu paling penting.
Sebenarnya selama ini aku menipu diri sendiri. Setiap hari pula bukannya  selang setahun. Kata diriku, mahu terus dan terus menulis namun hakikatnya jemari terasa makin berat untuk menghasilkan walau seperenggan ayat yang kemudiannya digabung menjadi cerpen.

Semalam aku cuba untuk menyusun ayat namun akhirnya hanya aku padamkan semula. Tidak langsung menepati kriteria yang aku mahukan untuk menghasilkan sebuah cerpen. Manakan cerpen, sajak juga langsung aku padam semula setelah beberapa baris aku taipkan. Hampir menangis aku dibuatnya. Ya Allah...

Kerana itulah sebenarnya menulis itu memerlukan disiplin yang tinggi dan bukan hanya mengikut mood yang pastinya tidak kekal lama. Pemilik ilham akan berikanya kepada sesiapa yang layak dan bukannya kepada seorang kamu yang hanya tinggi angan namun tiada usaha untuk menjadikannya realiti.

Aku selalu terbaca kata-kata orang, kalau tidak dapat menulis, bacalah.. Baca, baca dan baca. Semakin banyak kamu baca semakin banyak ayat yang terbentuk dan tidak mustahil terciptalah perenggan demi perenggan ayat menjadi sebuah cerpen atau serangkap sajak.

Aku mahu menulis...

ada ketika perasaan itu melonjak-lonjak hingga aku seakan mahu mendiamkan diri sahaja dan melontar semua kata atas kertas atau menaipkannya. Namun apabila aku betul-betul mahu menconteng atau sudah bersedia untuk menaip, jemariku jadi kaku. Aku tidak tahu apa yang mahu aku tulis. Apa yang mahu aku nukilkan.

Baik, banyak benar alasan demi alasan yang aku berikan. Hakikatnya, aku yang tidak menulis. Aku boleh sahaja setiap hari merapu dan menconteng di sini namun yang aku mahu tuliskan lagi adalah sajak, cerpen dan mungkin manuskrip novel untuk tembusi pasaran. Tahun ini langsung aku diamkan diri tanpa menghantar ke mana-mana syarikat penerbitan. Nampaknya saban takut prestasiku makin menurun dan bukannya makin menaik.

sedang turun tangga. Dalam semua aspek.

4.24p.m/Qamar Jamilah/

No comments: