22 March 2011

monolog (bahagian 1)

Kata-kata yang terungkap dalam kehidupan seharian boleh menjadi madu mengubat penyakit dan mungkin juga racun memusnahkan seluruh kehidupan. Aku selalu mendengar orang kata. "be positif!" Oh, aku tidak nafikan yang kata-kata punya kuasa yang menjadikan seseorang makin lemah atau makin bangkit membina semangat dan merubah diri. Jika tidak, mana mungkin kerana kejian seseorang, makin jatuh semangat manusia ini untuk kembali berubah daripada kejahilan kepada mencintai ilmu. Kerana kata-kata juga bisa memujuk seorang untuk kembali. Benar hidayah milik Allah, namun adakah telah aku cari hidayah itu? Atau hanya duduk dan menanti?

Senang untuk bercerita. Mudah untuk berkata apa sahaja, juga tidak payah memujuk diri dengan seribu janji manis dan kata-kata supaya diri kembali bangkit. Namun yang paling utama batang tubuh perlu ada 'KEYAKINAN' untuk mengotakan apa yang dipercaya. Jangan hanya asyik berangan itu ini namun akhirnya apabila semangat mati, jasad tidak bergerak lagi. Hanya duduk bagai mayat hidup menanti untuk dikebumi! Jangan begitu! Bangkitlah! semangat yang datang walau hanya seketika jangan kau campak jauh-jauh. Benamkan ia dalam diri. Mungkin aku masih lambat sampai ke hujung, namun jangan sekali berhenti.


Pada kata-kata yang terucap, berhati-hatilah wahai diri. Kerana sesungguhnya ia bukannya seperti sampan yang boleh diundur semula andai terlajak haluan. Bukan ketika dalam perjalanan yang boleh dicari jalan untuk kembali. Sekali ia terluncur, baik atau buruk, terimalah akibatnya. Hanya perlu ada berani dalam diri dan jangan sekali putus asa. Sesungguhnya Allah suka melihat usaha hamba-Nya bukan natijah.

ITD.
22.3.2011@2.43p.m

No comments: