16 February 2011

sombong.

Berteduh.
Sepatutnya aku datang ke makmal ini malam ini untuk membuat assignment bahasa Melayu seperti sepatutnya. Namun setelah aku sampai sini, lain pula yang aku lakukan. Aku tidak langsung menyentuh kerja namun jemari aku galak melakukan perkara lain. Sesekali tidak akan aku salahkan laptop yang rosak tidak dapat dibaiki itu, hanya diri yang tidak bisa mendisiplinkan diri. Malu juga untuk aku selalu meminjam laptop daripada orang lain, sedangkan sebenarnya banyak masa boleh aku habiskan di sini.

Wajah ustazah Nadwah yang sangat mesra tadi berbekas dalam diri. Lain benar karakternya dalam kelas dan ketika bertemu dengannya tadi. Adakah aku perlu mengikut saranan beliau tadi?

Hilang sudah, runtuh semua tembok yang aku bina. Membiarkan jasad berada dalam kelas. Hijab dalam diri itu terasa makin tebal... TEBAL....

Tidak patut kan sebenarnya aku melontarkan semuanya dengan baris kata. Aku sedar, kita ada Allah yang sentiasa Mendengar akan segala pengaduan hamba, namun aku seorang manusia biasa yang kadang tidak dapat menyimpan semua rasa itu seorang diri. Untuk aku bercerita kepada sahabat, terasa berat mulut ini, walaupun berkali aku cuba, namun akhirnya aku gagal menyampaikan perkara yang sepatutnya.

Lalu, terus sahaja aku biarkan jemari ini meluahkan apa sahaja perasaan yang mahu terkeluar, biar ketika itu aku menulis dengan air mata atau ketawa, aku ceritakan semuanya yang dapat aku cerita, kerana mulut ini tidak bisa untuk bicara semua perkara.

Aku di sini tidak kuat sebenarnya untuk menjadi seorang pelajar yang belajar bahasa Arab. Aku tidak pasti sampai bila mampu bertahan atau nanti ia hanya akan jadi sekerat jalan. Bukan aku tidak mahu mendengar kata orang bahawa menjadi pelajar bahasa Arab itu satu keuntungan kerana dekat dengan al-Quran namun hijab dalam hati belum berjaya aku hilangkan.

Hijab itulah yang menghalang ilmu meresap dalam diri.

Teruk kan aku hanya mengisi laman ini dengan bermacam contengan namun aku akan puas dan lega apabila aku luahkan semuanya dengan perkataan. Setelah ia tertulis di sini, seakan terangkat saty belenggu yang ada dalam diri aku sekarang dan aku bebas.

Aku bukan orang yang baik.

Aku bukan sahabat yang baik.

Aku bukan adik yang baik.

Aku bukan hamba yang baik.

Dalam meniti hidup, entah takat mana sahaja yang aku lakukan. Entah bagaimana aku sebenarnya.... manusia kotor yang berpura-pura depan manusia lain. Aku nampak lain, namun tentu semua orang akan menjauhi andai tahu siapakah aku yang sebenarnya.

Tiada apa yang pernah aku berikan kepada orang lain melainkan aku hanya manusia sombong yang peduli akan perasaan sendiri dan langsung tidak ambil tahu akan perihal manusia sekeliling. Banyak perkara aku buat-buat tidak tahu dan aku biar ia berlalu.

Sudah. mahu balik sekarang setelah aku tidak dapat membuat perkara yang sepatutnya di sini. Lebih lama aku berada di sini, lebih panjang pula aku mencoret....

No comments: