03 December 2010

Cerpen: Hidayah itu Milik-Nya.




Allah berikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Cerpen ini merupakan cerpen keempat saya yang tersiar di Majalah dan yang pertama di Tunas Cipta. Tersiar pada Oktober 2009. Boleh baca di bawah komen puan Siti Hajar Che Man tentang cerpen ini.

Selamat membaca...


_________________________________________________________________________
Puan Suraya meneruskan pengajarannya lewat 12 Zulhijjah 1428. Qhi Zhing, pelajar 4 AL-FARABI merenung luar jendela. Menembusi bangunan blok B Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang. Pantulan hijau bangunan blok itu dipandang penuh asyik. Lama Qhi Zhing memerhati, merenung hingga akhirnya menembusi blok itu. Wajah Puan Suraya lenyap.

Mimpi yang mengganggu lenanya semalam melumpuhkan konsentrasi Qhi Zhing pagi itu. Fokusnya hilang. Hari ini belum satu kata yang keluar daripada mulutnya. Mimpi itu benar-benar menyerabutkan neuron otaknya.


“Kepunyaan ALLAH kerajaan langit dan bumi. Dia mengampuni sesiapa yang dikehendaki-Nya dan ALLAH Maha Pengampun lagi Penyayang.” Kepunyaan ALLAH kerajaan langit dan bumi? Bumi ini ada penciptakah? Bukankah selama ini alam dan kandungannya terjadi kerana proses evolusi, seperti kata si Charles Darwin, tokoh evolusi kurun ke-18. Manusia itu sendiri malahan melaui banyak peringkat sebelum menjadi manusia seperti hari ini. Bermula sebagai ulat bulu, siput, ayam, monyet, seterusnya menjadi orang utan sebelum menjadi manusia. Alam terjadi kerana proses perkembangan secara beransur-ansur daripada bentuk yang ringkas kepada yang lebih kompleks. Itulah pegangannya. Bumi ini terjadi lantaran adanya evolusi. Tiada yang mencipta."

Ayat al-Quran yang dibaca Ustazah Aisyah mengganggu kelancaran aktiviti harian Qhi Zhing. Mindanya terlantun-lantun bacaan ayat al-Quran tadi. Sehinggakan panggilan Mama untuk makan malam tidak disahut. Hatinya berkocak. Ingin dia menjerit melepaskan segala yang terbuku di dada.

Tanpa sedar dia berada di dunia asing. Gelap, kelam, zulmat. Hanya ada dia. Tanpa ada siapa-siapa. Kakinya terpaku di lantai bumi. Tegak dia berdiri. Satu suara yang muncul benar-benar mengejutkannya.

“Hai sekalian manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu. Sesungguhnya gempa bumi pada Hari Kiamat suatu yang amat besar.”

Gema suara itu menyebabkan badan Qhi Zing menggigil. Tidak pernah dia rasa begini sebelum ini. Getaran di lututnya amat dirasai seperti akan tergadah. Namun tidak. Kakinya kejap di bumi. Tegak seperti patung.

“Qawarizmi, cucuku... Qawarizmi cucuku.... Qawarizmi cucuku.....”

‘Suara siapa itu dan siapa yang diserunya?’

Suasana suram sirna. Kegelapan bertukar kepada tanah lapang nan benderang. Macam ada nur yang menerangi tanah itu yang menyebabkan Qhi Zhing terpaksa menahan matanya daripada panahan silau. Mengapa begini pula? Otaknya terbejat tanpa sebarang jawapan.

“Inilah jalanmu, Qhi Zhing.”

“Qhi Zhing, marilah...Teruskan langkahmu. Atuk menantimu.”

Baru sahaja mahu meneruskan perjalanan, dia jatuh terjelepok. Ingin melangkah lagi, begitu juga yang terjadi. Seperti ada sesuatu yang menghalang perjalanannya. Namun apa?


“Qhi Zhing!!! Qhi Zing!!!!”

Lantang suara Puan Suraya mengembalikan Qhi Zing ke alam realiti. Terbangun dia dari tempat duduknya mendengar suara Puan Salsabila.

“Qhi Zing, kenapa kamu hari ini? Selalunya kamu yang paling bersemangat. Tak pernah kamu tidur dalam kelas. Hari ini, kamu mengotorkan rekod bersih tak tidur ketika saya mengajar”

“Tak ada apa-apa, cikgu. Cuma agak kepenatan.”

“Rehat nanti saya nak jumpa kamu di bilik kaunseling.”

Qhi Zhing mengangguk lemah. Dia belum bersedia berkongsi dilema ini kaunselor itu. Ada insan lain yang akan diluahkan segala persoalan ini.


“Fuad, aku mimpi lagi. Aku takut, Fuad. Aku tak tahu nak buat apa kalau mimpi tu datang lagi. Aku terganggu, Fuad.”

“Qhi Zhing, aku dah ceritakan apa yang terjadi pada kau sebelum ini pada ayah aku. Katanya mungkin Tuhan nak berikan kau hidayah.”

Hidayah? Apa tu? Maaflah aku tak tahu.”

“Hidayah merupakan petunjuk daripada Tuhan. Tak semua dapat. Maaf aku cakap, sebenarnya orang Islam adalah orang-orang yang mendapat petunjuk ni. Siapa tahu, kau terpilih. Kau pernah cakap kan, kau minat dengan Islam.”

“Ya, tapi bila aku tengok orang Islam sekarang, aku takut. Amerika cakap Islam pengganas, Orang Islam Malaysia pun macam-macam yang aku nampak.”

Fuad memaut bahu Qhi Zhing.

“Qhi Zhing, kalau kau lihat semua tu, kau memang takut. Tapi kau kena tengok pada ajarannya. Kau juga tak boleh menilai Islam dengan orang-orang sekarang. Lihat pada Islam itu, Qhi Zhing.”

“Boleh aku jumpa ayah kau?”

“Bila-bila masa. Lupa aku, ini ada hadiah perkenalan daripada ayah aku. Balik nanti baru buka.” Fuad menghulurkan sebuah bungkusan berbalut kemas.


Hadiah pemberian ayah Fuad dicapai. Apa isinya? Dibuka pembalut hadiah itu. Masih ada lapisan di dalamnya. Sebuah terjemahan al-Quran berada di tapak tangan. Petanda apakah ini? Dibuka helaian pertama.

“Anakku Qhi Zhing, semoga kau menghayati kitab suci ini. Pak Cik dapat rasakan semangat pada diri kau. Tuhan akan buka pintu hati mereka yang dikehendaki-NYA.”

Tanpa sedar ada air tumpah membasahi kulit kuning langsatnya. Betapa terharunya dengan penerimaan Ayah Fuad. Dia memang berhajat mencari kitab suci yang dibacakan Ustazah setiap kali kelas Pendidikan Islam. Namun dia tak tahu di mana mahu dicari.

Dibuka lagi halaman tafsir itu.

“Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (Muhammad), Dialah ALLAH yang Maha Esa. ALLAH tempat meminta segala sesuatu. (ALLAH) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia.” (al-Ikhlas: 1-3)

Bagaimana dengan agama yang aku anuti sekarang? Bukankah Tuhan itu adalah tiga dalam satu. God as son, God as father, God as the holy spirit.


Qhi Zhing melapangkan hujung minggunya mengunjungi Ayah Fuad. “Pak cik faham apa yang Qhi Zhing hadapi sekarang. Jangan bimbang, anggaplah pak cik seperti ayah Qhi zhing sendiri.”

“Saya takut Mama dan Papa marahkan saya. Tapi dalam masa yang sama saya jadi lemas bila ke gereja pada hari Ahad. Nak buat sesi pengampunan dosa, bertemu paderi. Saya naik rimas.”

“Itu tandanya ALLAH mahu kurniakan hidayah pada Qhi Zhing. Perlahan-lahan cuba fahami ajaran Islam. Tanyalah apa-apa yang tak faham. Pak cik sedia membantu.”

Pertemuan Qhi Zhing dan bapa Fuad memberikan ketenangan buat jejaka itu. Dia mampu lena daripada memikirkannya. Diteruskan membaca tafsir al-Quran yang dihadiahkan padanya. Barulah dia tahu mengapa mereka yang memeluk Islam dan memahaminya tidak akan berpaling daripada jalan yang dipilih. Indahnya Islam. Itu yang dapat dia simpulkan.

“Kau tahu Fuad, semakin banyak aku baca tafsir tu, makin banyak rahsia yang aku nak tahu. Rupa-rupanya banyak kajian yang dilakukan dunia barat berpaksi pada al-Quran.”

“Memang betul, bahkan bukan sesuatu yang pelik para orientalis mampu menghafal al-Quran. Tujuan mereka adalah untuk menyelewengkannya, namun ALLAH menjaga kitab-NYA. Tak siapa mampu mengubahnya. Mereka buat surah al-Muslimun sedangkan dalam al-Quran surah al-Mukminun.

“Malangnya orang Islam sendiri yang menjadikan al-Quran hilang keindahannya. Ya, mereka letakkan di dinding-dinding rumah namun tak pernah membacanya.”

“Kau pun tahu?”

“Bila aku tonton filem Melayu, aku terperasan perkara ini.”

Fuad terdiam. Betapa seorang bukan Muslim tak ambil enteng perkara sekecil itu. Sedangkan Muslim sendiri melakukannya tanpa perasaan bersalah. Tahap kesedaran itu masih di tahap tidak memuaskan.


“Kalau itu keputusan kau, kami tak menghalang. Mama tak akan menghalang kamu melakukan apa yang kamu suka. Asal sahaja kamu tak lupa kami.”

“Agama ini tak pernah memutuskan perhubungan seorang anak dan keluarganya. Malahan saya perlu ikut Mama cakap selagi betul.”

Qhi Zhing mencium tangan Mamanya. Terasa lembut tangan Mama membelai rambutnya. Keputusan sudah dia tetapkan setelah beberapa bulan mendalami asas-asas Fardu Ain daripada ayah Fuad. Dia sudah bersedia mengubah kepercayaannya. Tambahan pula Mama sudah memberi lampu hijau.

Hening Jumaat Muharam 1429 merupakan saat terindah buat Qhi Zhing. Qawarizmi namanya hari ini. Betapa kuasa ALLAH dan Maha Pengasihnya memberi Qhi Zhing hidayah menerima Islam sebagai ad-deen. Mama pula sekadar merelakan asal mereka tidak melupakan. Papa walaupun agak berkerut wajahnya sekadar mengangguk. Islam tidak pernah menghalang anak berbuat baik kepada Ibu bapanya yang bukan Islam. Qhi Zhing membiarkan deraian manik-manik kegembiraan menitis tanpa henti. Qhi Zhing sesuci bayi yang dilahirkan, belum tercatat sebarang dosa, apabila terlafaz syahadah, terbukalah halaman hidup baru insan bernama Qawarizmi. Sesungguhnya sesiapa yang ALLAH mahukan dia mendapat hidayah, itu adalah hak ALLAH. ALLAHlah pemilik mutlak hidayah.
___________________________________________________________________________________

Ulasan puan Siti Hajar Che Man.
***
WARNA WARNI KEHIDUPAN

Cerpen "Hidayah itu Milik-Nya" adalah tentang kehidupan seorang mualaf yang telah menerima hidayah Allah SWT.

Dengan menghalusi cerpen "Hidayah Itu Milik-Nya" karya Jamilah Mohd Norddin terimbaulah ingatan saya kepada beberapa cerpen yang telah pun tersiar dalam siaran lepas turut mengolah isu mengenai saudara baru yang telah dianugerahkan hidatah. Jamilah mengemukakan unsur dakwah melalui sudut pandangan atau sudut pemerhatian watak Qhi Zhing. Pada hemat saya, paparan ini cukup penting kerana gaya hidup seseorang Muslim itu dinilai, diperhatikan, dan diikuti oleh orang bukan Islam. Seruan dakwah bukan hanya datang dari kaedah seruan, ceramah di corong radio, televisyen atau hanya tertumpu di masjid dan surau, tazkirah, forum perdana, tetapi gaya hidup seharian atau warna-warni kehidupan Muslim mampu memberikan saluran dakwah secara tidak langsung. Konsep ini datangnya daripada cara berpakaian, cara bertutur, kejujuran, keikhlasan, tingkah laku dan adab sopan (akhlak) yang diperhatikan oleh orang bukan Islam. Inilah yang terjadi kepada watak Qhi Zhing. Qhi Zhing, belum mampu meluahkan pengalaman kerohanian yang dialaminya dengan sembarangan orang walaupun kepada guru kaunselornya sendiri Puan Suraya bahkan kepada Ustazah Aisyah sekalipun! Sesungguhnya hidayah itu milik-Nya, dan Allah SWT akan memberikan kepada hamba-hamba-Nya yang telah ditentukan. Untuk itu, Qhi Zhing telah ditemukan dengan Fuad dan ayah Fuad. Pandangan Fuad terhadap ajaran Islam telah berjaya mengubah perasaan ragy-ragu, membina satu paradigma baharu tentang Islam dan memupuk keyakinan yang tinggi terhadap kesucian agama Islam. Apatah lagi cerminan atau bayangan akhlak baginda Rasulullah terpancar dengan baik dalam diri ayah Fuad dengan sikap lemah lembut, sopan, kasih sayang, simpati dan empati, sabar, bantu membantu dan prihatin menjadi daya tarikan utama kepada Qhi Zhing. Sifat-sifat ini bersatu dengan pengalaman kerohanian yang dialaminya telah berjaya mengubah sempadan Iman Qhi Zhing dengan nama barunya Qawarizmi. Dalam hemat saya, inilah satu travelog yang bermula pada 12 Zulhijah 1428 dan berakhir pada Jumaat, Muharam 1429! Inilah juga satu catatan menarik tentang warna warni kehidupan.

***

No comments: