05 December 2010

aku anak penoreh getah.

pokok getah = pokok duit.


Alkisahnya semalam aku melihat 'azimat-azimat' yang dihantar oleh sahabat-sahabat dan aku simpan dalam laptop ini. Setelah itu, aku hanya melihat ada kata-kata yang pernah dimesej oleh Marziah, sahabatku di SMKA Baling.

"kita ibarat penoreh getah. Jika getah tidak ditoreh, maka tiadalah susunya. Kemudian tiada juga duitnya. Tapi kadang-kadang getah kena curi, getah tumpah.. itu tanda ujian DIA.. Kita kena terima. Tapi ada juga kita tak menoreh pun ada juga duitnya.. MARZIAH"

Lalu aku edit dan 'tag' kepada beliau di fb. Kemudiannya Marziah telah menulis satu entri tentang pengalamannya sebagai anak penoreh getah di blognya, pengembaraan bermula... [baca di sini]


Pengalaman yang Marziah cerita mengingatkan aku kembali yang aku juga anak penoreh getah. Lalu, izinkan aku nukilkan pengalaman aku bersama arwah mak yang merupakan juga penoreh getah.

 ***
Aku tidak ingat sejak bila aku mula mengikut mak ke kebun getah. Yang pasti aku si anak bongsu yang akan mengekor ke mana emak pergi. Selalunya ketika bercuti aku akan mengikut mak ke kebun getah. Ada kebun getah yang kami panggil kangar. Satu tempat lagi aku tidak ingat, tapi kawasannya sedikit di dalam hutan. Beberapa kali juga aku mengikut mak ke sana.

Anak kampung memang biasa bermain dengan pacat, sekenit dan haiwan dalam hutan. Seronok sebenarnya dapat mengikut mak, dari situlah aku tengok bagaimana mak mencari duit untuk kami. Pokok getah bukan sebarang pokok, itu pokok duit.


Tidak pernah lagi aku mencuba memegang pisau toreh sebagaimana kakak aku yang lain. ada yang pernah terluka kerana bermain dengan pisau motong. 

Seingat aku kalau ada aku tolong pun, hanya mengutip getah. Selebihnya aku hanya mengikut mak menoreh. Kakak aku yang sulung selalu membantu mak menoreh.


aku masih ingat suatu petang, ketika mak sedang mengasah pisau torehnya, mak pesan kepada aku untuk belajar rajin-rajin. Setelah aku besar dan terimbau kenangan itu, maka satu puisi terhasil. Ah, sekadar puisi ingatan seorang anak kepada ibunya...


PESANAN IBU KEPADAKU

Masih terngiang-ngiang di pendengaran ini,
Suara seorang ibu,
Tatkala tekun mengash pisau di suatu sore,
Persiapan buat menorah esok,
Mencari sesuap nasi buat keluarga.

Adik,
Belajarlah rajin-rajin,
Ubah kehidupan kita.

Kata-kata itu ku jadikan tangkal azimat,
Meneruskan sebuah kehidupan meski seringkali rebah,
Kata-kata-kata itu adalah peniup semangat,
Bekal tika aku jatuh tersungkur.

Ibu,
Walau apa yang terjadi,
Ibu tetap segar di ingatan,
Pesananmu memagari kehidupanku,
Aku pasti teguh bersama amanatmu.

Akan ku kalungkan al-Fatihah,
Jua bingkisan doa,
Dan akhlak yang baik,
Agar tenang,
Kehidupan ibu,
Di alam baru,

Al- Fatihah…


1.33pm@23 Disember 2004
[tersiar dalam dara jun 2005]

Hanya itu kenangan yang sempat aku rakam bersama mak. Beruntung juga kerana singkat kami bersama, panjang ingatan aku untuk mak. Sedang ada orang lain yang tidak berkesempatan lama bersama ibu mereka. Hm..

Ketika pulang menoreh jugalah  pengakhiran hayat mak. Petang 6 Febuari 1998 yang menjadi sejarah dalam keluarga kami apabila emak menghembuskan nafasnya yang terakhir di ribaan kakak ketika pulang daripada mengutip sekerap.. Al fatihah untuk arwah mak.

Dan sekarang aku masih seorang anak penoreh getah. Ayahku walaupun bekerja kampung masih juga menoreh. Dengan duit itulah aku disekolahkan hingga sampai hari ini ke bumi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Maka, aku mengapa perlu malu sebagai anak kampung. Anak kampung inilah yang ke kota menimba ilmu. Duit getah itulah yang membesarkan dan menyekolahkan aku.

Ayah, terima kasih!

titik.


jamilahcontengconteng:meski berada di awan biru, jangan lupa rumput nan hijau.


imbau memori,
8.02p.m/5.12.2010
Qamar Jamilah, Mahang.

No comments: