Skip to main content

Saat Kecewa Merantai Rasa.




Sesungguhnya Allah dekat. {kredit gambar:iluvislam}
Aksara demi aksara terus cuba aku lontarkan di sini walaupun hakikatnya selalu yang aku ulang hanyalah sebuah kenangan dan contengan demi contengan tentang sesuatu yang dekat dengan aku. Biarlah aksara terus berlari atas papan kekunci ini walaupun ianya hanya sekadar sebuah manuskrip yang layak disimpan bawah meja. Sekurang-kurangnya dengan mencurahkannya di sini, aku rasa lega dan bisa lelap mata dengan rapat. 

^apa cerita pagi-pagi sudah membebel.^

Tersenyum apabila aku baca kembali coretan yang pernah aku nukil sebelum ini terutamanya tentang momen yang kami sama-sama lalui bergelar pelajar UIAM. Sungguhlah benar kata Kak Su, dunia belajar itulah yang paling manis. Maka, manfaatkanlah peluang belajar yang Allah berikan untuk dapat sebuah kepuasan setelah graduasi nanti. Bukan hanya belajar sepuluh peratus dan main-main sembilan puluh peratus. Sekali Allah tarik nikmat belajar, nah! Menganga aku dan ketika itulah aku akan sedar yang Allah berikan aku kesempatan namun aku alpa.

Dalam keterbatasan kata yang mahu terluah atas skrin ini, aku mahu menukil juga sebuah rasa yang pernah aku rasa. Perasaan yang semua orang pernah rasa, aku kira. Kiranya ini nukilan untuk diri sendiri juga. ^ish.. jamilah memang suka cakap pasal diri sahaja. Ya, ini manuskrip untuk bebaskan aksara yang terperangkap dalam diri^

Lampu padam.
Sang penglipur lara mahu mula bermadah, maka aku menjadi saya...

**************************************************************************
Bicara ini untuk siapa-siapa yang membaca. Hanya sebuah kisah daripada manusia biasa yang cuba untuk berpesan pada diri tentang hakikat sebuah kehidupan yang teramat singkat. Maka, saya mula berbicara tentang sebuah rasa

Siapakah kita untuk menahan perasaan yang bergolak dalam diri. Memang tidak setiap hari kit akan berasa tenang dengan laluan perjalanan yang sedang kita jalani. Sedang Allah katakan dalam Kalam Suci-Nya:

"Apakah manusia mengira mereka hanya akan dibiarkan dengan mengatakan "kami telah beriman" dan mereka telah diuji?" -al Ankabut: 2
Lantaran, ada kalanya terasa diri sudah jatuh terperosok dalam lubang kecewa paling dalam. 
"Aku tidak punya siapa-siapa lagi. Allah! Manakah cinta-Mu?"
"Lebih baik aku pergi daripada menanggung beban ini. Aku sungguh tak berdaya."

Hati milik kita ini segumpal darah yang sifatnya berbolak-balik. Mudah benar ia berubah-ubah, sedang perjalanan yang kita tempuh dalam musafir nan panjang ini perlukan sebuah ketahanan diri yang utuh. Apa kata Allah lagi? Lihatlah kalimah dalam surah al-Baqarah ini:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."  [al-Baqarah:286]
Bukankah Allah sudah berjanji dengan kita yang sebenarnya kita mampu menanggung ujian yang Allah turunkan buat kita. Hanya sang nafsu lawwamah yang dipimpin syaitan itu suka benar melihat anak Adam jatuh tersungkur kerana sebuah kecewa.
Justeru, wahai diri yang sedang merasakan dirinya serba kurang dan tidak kuat untuk bertahan, ingatlah janji Allah ini. Siapakah yang lebih tahu tentang kita melainkan Allah? Saya tidak bercakap jika saya tidak pernah merasakan perkara ini.

Sekadar berkongsi secebis kisah diri yang pernah terjadi kala saya terasa dirundung kesedihan yang amat. Ketika suatu ketika saya memang terasa mahu berhenti belajar kerana sebuah masalah yang melanda diri. Saya rasakan yang sebenarnya saya tidak layak bersama-sama dengan mereka yang berada di Taman Ilmu dan Budi. Perasaan yang selalu melanda setiap semester sejak saya di matrikulasi. Saya mahu berpatah semula mencari impian yang saya pernah ukir suatu ketika dahulu. Bahasa arab susah untuk saya. Saya mahu belajar bahasa Melayu. 

Allah tidak benarkan saya berada dalam sebuah kekecewaan. Ada sahabat menyoal tentang kesedihan saya malam itu. Mereka mahu saya berkongsi cerita dengan mereka. Kemudian dalam kelas, ustaz menyentuh pula tentang betapa bertuahnya saya Allah takdirkan berada dalam bumi UIAM. "Habiskan juga!" Ketika itu rasa kalimah yang ustaz lafazkan menusuk terus ke jantung hingga saya terasa bagaimana saya derita menghabiskan perjalanan yang saya mulakan ini, saya terus melangkah.

Ya, Allah berikan kita ujian supaya kita makin kuat. Tidak Allah berikan kita ujian tanpa disediakan penyelesaiannya. 

Sungguh indah aturan Allah buat kita.Subhanallah. Justeru, jangan terus dibiar diri terperosok dalam sebuah kesedihan. Bangkit dan teruskan kehidupan kerana sesungguhnya yang singkat itu kehidupan dunia. Sama-samalah kita membahu, berusaha melawan kala kesedihan mahu juga mendiami diri. Ingatlah yang kita ada cinta Allah. Allah yang tidak pernah jemu pada permintaan hamba. Kita ada kesayangan yang mahukan kita bahagia. Abah, Ibu, Ummi, mak, Ayah... mereka mahukan yang terbaik daripada anak mereka. Sekeliling kita tentu sahaja ada sahabat yang mahukan kita tersenyum dan peduli tentang kita.

Justeru, kenapa mahu bersedih? Ayuh, bersihkan hati, maka sucilah jasad. 

*******************************************************************************
Lampu dipasang semula.

Aku sekadar mahu berkongsi kalimah ini demi mengingatkan diri yang sering juga tenggelam dalam lautan rasa. Nah, bukankah Allah hang jadikan kita. Justeru, Allahlah yang Paling Tahu segala yang kita mampu tanggung.

Ingatlah yang aku tidak bersendiri dalam dunia dan mana mungkin aku mahu hidup sendiri. Lihat sekeliling, kamu akan nampak ramai kecintaan yang ada di sekelilingmu...

Sudah. Aku mahu berhenti membebel pagi ini.

Wassalam.



Nota Sebelum Titik: Bila kau sedih, kuberduka. Bila kau senyum kuketawa.

Mentari tersenyum.
Dalam bilik.
09.11am
{diiringi muzik kitaro:caravansary}

Comments

Tyra Hanim said…
akak, terasa.

Benar.


Kita mampu namun kita tak tahu. Tapi DIA, DIA tahu (=

Popular posts from this blog

Jom Belajar Nusus

JOM BELAJAR NUSUS Assalamualaikum, Insya Allah, pada coretan ini, suka untuk aku kongsikan apa ynag telah aku pelajari semalam. Subjek Adab wan Nusus. NUSUS Hari ini Ustaz terangkan makna perkataan Adab. (الأدب) Adakah ia daripada perkataan Bahasa Melayu, sebagaimana yang kita maklumi, belajar tentang adab-adab makan, adab-adab tidur dan sewaktu dengaannya. Adakah perkataan ini digunakan sebelum merdeka atau sesudah merdeka? Bagaimana asalnya perkataan adab ini? Sebenarnya perkataan Adab telah digunakan semenjak zaman Jahiliyah, kerana dalam adab dan Nusus, zaman yang akan kita gunakan adalah zaman Jahiliah, Zaman Kemunculan Islam dan Umawi, Zaman Abasi, Zaman Turki, dan Zaman sekarang. Kembali kepada tajuk asal, sebenarnya perkataan Adab ini mula digunakan dalam syair Arab, biar aku tutunkan di sini: قول طرفة بن العبد: نحن في المستشاة ندعوالجفلى * لا ترى الآدِب فينا ينتقر طرفة merupakan salah seorang penyair pada zaman Arab, dan merupakan salah seorang penyair yang dipanggil a

SYAIR AHMAD SYAUQI: MUHAMMAD ABDUH

Dalam bab ketiga As-Syauqiyat banyak memuatkan syair berbentuk kesedihan atau ucapan takziah Ahmad Syauqi atas kehilangan para ulamak dan orang mulia yang hidup dalam lingkungan hidupnya. Beliau tidak hanya menulis syair yang menceritakan kesedihannya terhadap kehilangan orang penting dalam masyarakat namun turut memuatkan syair bertajuk “Yursi Jaddatuhu” (Menangisi Pemergian Datuknya), dan “Yarsi Abahu” (Menangisi Pemergian Bapanya). Latar belakang beliau yang belajar di Perancis turut mencorakkan syairnya. Sebagaimana masyarakat barat menulis tentang kematian orang mereka sayangi, Ahmad Syauqi turut berbuat demikian. Namun beliau tidak hanya menangisi kematian saudaranya atau ahli keluarga, namun menyelitkan persoalan kehidupan dan kematian. Syair “ Muhammad Abduh ” ini merupakan contoh syair Ahmad Syauqi yang bertemakan Ar-Risa’ atau kesedihan. محمد عبده مفسر آي الله بالأمس بيننا                      قم اليوم فسر للوري آية الموت رحمت، مصير العالمين كما                      ترى وك

PENYAIR ZAMAN JAHILIAH.

Tangan rasa menggatal mahu menulis. Mood imthan. Jadi aku mahu kongsikan tentang penyair zaman Jahili yang aku belajar dalam subjek Sejarah Adab Arab. Untuk hanya baca, maka aku akan terus lupakan apabila sekali baca. Jadi, aku mahu abadikan nama-nama itu di sini. *** Dr. George Zaidan dalam bukunya "Tabaqat As-Syuaraa' Li Iskandar Ikarius" tidak menceritakan tentang kaedah yang beliau gunakan untuk membuat pembahagian bagi penyair pada zaman Jahili, namun hanya menyatakan nama-nama mereka dalam jadual yang memuatkan nama penyair, nama qabilah dan negara, serta tahun kewafatan.  Jom tengok! (berwarna merah itu yang biasa aku dengar. Bakinya aku tidak pernah kenal) Tabaqah Pertama  Amru al-Qais al-Kindi -Kindi- Ahli Najd Umaiyah bin Abi Baslat-As-Saqafi-Ahli Taif Basyir bin Abi Hazim-Al-Asadi-Ahli Najd Al-Haris bin Halzah-Al-Busykari-Ahli Iraq Zuhair bin Abi Salma-Al-Muzni-Ahli Hijaz An-Nabighah bin Az-Zibyan -Az-Zibyani-Ahli Najd Tarafah bin Abd- Al-Bakari-Ahli Bahrain Ub