23 October 2010

KENALKAH AKU DENGAN DIRI SENDIRI? Episod 2!

Coretanku....

Siapa kata mudah menjadi seorang pendiam? Namun saya tidak mahu mengatakan pula yang mudahnya menjadi seorang yang peramah. Atas tiket seorang pendiam dan berat mulut, saya mahu luahkan tentang perasaan selama saya menjadi seorang pendiam. 


Sejak kecil (seingat saya) saya tidak banyak bercakap. Sejak tadika hingga bangku universiti saya adalah seorang pendiam dan payah untuk memulakan sebuah perkenalan. Saya mudah berbicara dengan hujung mata pena, namun saya kaku apabila berhadapan. Saya boleh menjadi ramah apabila hanya berdua, namun saya gemar menjadi pemerhati apabila saya berada dalam kumpulan yang melebihi dua orang. Saya kekok dan janggal.


Saya senang menjadi pendiam. Namun ada masanya pula keadaan  ini sangat melemaskan. Merimaskan diri sendiri juga sahabat di sekeliling saya. Saya akan fikirkan dahulu bicara sebelum saya lontarkan walaupun acapkali juga saya terlepas cakap. Apabila saya ada mood,maka akan terluahlah segala cerita. Sebenarnya orang yang pendiam lebih berterus terang kerana dia tidak banyak modal untuk bicara. Pernah beberapa kali saya dengan mudah ceritakan tentang impian, tentang kegagalan tentang sesuatu kepada seorang yang saya tidak rapat. Kemudian saya menyesal mendedahkan rahsia sendiri.. Namun kata-kata tidak dapat dipatah semula.


Saya suka mendengar jika ada sahabat yang sudi bercerita dengan saya. Saya suka mendengar coloteh sahabat saya sebab saya pasti belajar sesuatu daripada kehidupan mereka. Saya miskin pengalaman, jadi apabila ada yang berkongsi, saya rasa dihargai.Saya rasakan saya ada sahabat. =) Saya rindukan suasana itu.. Saya rindukan teman bercerita kisah mereka dengan saya.. Saya benar-benar rindukan itu... Bib, Kak Husni, Rokiah, Ainul.... Saya rindukan suasana itu.. Saya rindukan cerita kalian.. Saya rindu sama kalian...


Saya tidak pasti orang lain, namun saya sering punya masalah apabila saya mahu menceritakan sesuatu yang penting kepada orang lain. Tidak kiralah kepada keluarga atau sahabat atau sesiapa yang perlukan saya bercerita dengan mereka. Saya sangat takut jika saya menyusahkan sahabat saya... Bukan saya tidak mahu berkongsi... Saya cuba dan berkali-kali mencuba, namun segalanya tidak terucap. Saya kelemasan dalam lautan kata dan perasaan itu akhirnya hanyut dan saya kembali menjadi tasik yang tenang.


Saya tahu tentu ada sahaja yang berpendapat menjadi seorang pendiam ini mudah. Namun selama melaluinya saya tidak kata ia satu proses yang mudah. Bermain dengan perasaan kadang menyakitkan diri sendiri. Melukakan hati sendiri. Menyesakkan akal sendiri. 


Aku suka berjalan seorang diri. Aku suka ke kelas seorang diri. Aku suka bersendiri kadang atas alasan peribadi. Aku akan terasa mahu melarikan diri sebenarnya jika ada yang mula bercerita tentang sesuatu yang aku tidak suka.  Aku sesak apabila ada yang mahu bercerita tentang lecturer itu dan ini.. Kamu tahu, perasaan aku ketika itu sedih... 


sangat sedih....


Siapa kata menjadi seorang pendiam itu mudah? Namun peramah itu juga payah!





No comments: