09 October 2010

Durrah Nur Aqilah: Damailah Sahabatku

Malam Sabtu.

Aku gelisah melalui malam yang dirasakan amat panjang. Satu saat yang berlalu terasa lama. Hendak menyelongkar alam maya, sehari dua ini, rasa itu sudah tidak sehebat dahulu. Terasa tidak terjumpa apa yang dicari dengan hanya membuka satu demi satu new tab untuk membelek laman kegemaranku. Assignment yang ada di sebelah hanya terbiar tanpa disentuh. Hatiku sebak dan jadi tidak keruan. Angin rindu mengelus lembut jiwa pada malam itu.

Sepatutnya aku pulang ke kampung minggu ini. Namun keinginan terbatal di saat akhir.Aku belum bersedia untuk pulang malah jika boleh belum mahu pulang. Aku malu untuk menatap wajah suci yang menanti di rumah. Ayah yang mengharapkan aku belajar dengan bersungguh-sungguh. Kakak yang menjadi mangsa untuk memasukkan duit jika aku memerlukan. Aku segan bercampur malu untuk memandang semua orang dengan apa yang sudah aku lakukan sekarang.

Aku hanya sering terfikir, adakah semester depan aku masih di IIUM atau sudah ditendang? Aku perlu menyediakan diri untuk apa jua kemungkinan. Aku mahu menghabiskan sisa semester ini dengan sahabatku tersayang.

Sungguh!

Aku perlukan semangat untuk terus melangkah. Aku sentiasa cuba mengapikan semangat sendiri yang cepat mahu terpadam. Aku yang cepat mengalah dengan perasaan sendiri.

Kenangan terimbau kepada memori yang kemas tersimpan dalam ingatan. Allah, tempatkanlah roh sahabatku ini bersama orang yang beriman dan Kau redhai. Terkenangkan seseorang yang sudah bertemu Allah.

***
Sahabat,
Sungguh aku rindukan kamu. Kamu yang sering memelukku hangat dan mengungkapkan kata semangat kala aku sering kalah dengan perasaan sendiri. Kamu yang sering menyalurkan kekuatan kala aku rebah, jatuh terduduk kerana sebuah kegagalan. Kamu yang sentiasa membuatkan aku tersenyum.

Sekarang kamu jauh. Kamu hanya ada dalam kenangan aku. Kamu hanya ada dalam lipatan sejarah aku. Sungguh aku rindu untuk menatap wajah kamu. Mendengar kalimah yang meniti dua ulas bibirmu. Bagaimanakah kamu sekarang?

Kamu sering kata yang aku ini seorang yang kuat. Namun tahukah kamu yang kamu juga adalah sumber kekuatan yang menjadikan aku semakin tabah melalui ujian perasaan yangbertandang. Allah hadirkan kamu sebagai seorang sahabat yang menenangkan aku. Terima kasih, sahabat..

Sahabatku sayang,
Tiada kata yang mahu aku ungkapkan sebenarnya. Hanya ucapan luhur: selamat jalan sahabatku...

Kamu ingat tak suatu hari kamu ingatkan aku yang bagaimana kalau kita terpisah? Kalau Allah pisahkan kita jauh-jauh? Aku menangis lama. Aku katakan yang aku tidak sanggup bermain dengan perasaan jika terjadi perpisahan antara kita... 

Namun kini, benar perpisahan itu terjadi dengan jalan yang aku tidak sangka. Perpisahan abadi kita pada tanggal 1 Januari 2010 merupakan tamparan hebat buat aku yang masih terkapai-kapai mencari sebuah kehidupan yang Allah redha. Sungguh, pemergian kamu membuatkan aku terduduk buat seberapa ketika.

Sungguh aku rindukan kamu.

Namun dunia hanya satu perhentian. Kamu sudah melepasi perhentian dunia ke perhentian yang lain..

Allah, tempatkan sahabatku bersama golongan yang beriman...

Al-fatihah.

Aku sayang kamu,
Durrah nur Aqilah.

***

Aku puas. Walau ada air mata membasahi lembaran diari yang tercatat nota itu, aku terasa mendapat sedikit kekuatan untuk meneruskan hidup.

No comments: