11 September 2010

Menatang Kasih Seorang Ibu

 Masa: 20:32-21:24
Tarikh: 3 Syawal 1431
Lokasi: kamar Peraduan, Kedah

Tangan ibu menyapu kepala sang anak yang kelihatannya seperti mahu demam. Saya memerhati ralit. Sang anak dalam keadaan terbaring memandang wajah ibu dengan wajah sayu. Namun tersenyum dalam kepucatan wajah kerana ibu menemaninya. 

Kala ibu terlepas kata memarahi adik yang sibuk menyepahkan barang mainan, api marahnya cepat padam. Cepat dipujuknya sang anak.

"adik budak pandai. lepas main kemaskan semula."

Adik kembali senyum dan menyusun barang mainannya dalam kotak. Ibu peluk adik penuh kasih sayang.

Cinta ibu mana yang tidak tertumpah pada zuriat yang dibawanya selama sembilan bulan, kemudian dengan segala kesukaran melahirkan pula anak itu ke dunia. Subhanallah.. Ibulah yang bersama-sama menyaksikan anak itu membesar depan mata tanpa sedikit rasa jemu. Marahnya kerana sayang, leterannya kerana mahukan anaknya jadi yang terbaik, rajuknya kerana salah sang anak... Ibu.. Sedalam mana kata-katanya adalah untuk kebaikan sang anak.

Bayangkan kalau sekiranya ibu jemu dengan kerenah kita. Kita yang selalu menangis tengah malam kerana laparkan susu. Kita yang hanya tahu menangis ketika belum tahu berkata-kata. Nakalnya kita ketika kecil dengan kerenah yang perlukan ibu untuk sabar. Menanti kita kerana takut ketika mula tadika. Memujuk kita ketika darjah satu. Menghantar kita ke sekolah asrama, sanggup mengorbankan wang kerana kita diterima masuk universiti hingga akhirnya kita bekerja dan bekeluarga...

Di manakah ibu saat itu???

Saya bawa kalian melawat ke rumah orang tua yang menempatkan ibu tua yang ditinggalkan. Di manakah sang anak yang dilahirkan? Mana kamu wahai zuriat yang allah berikan pada aku dan aku besarkan kamu? kamu besar kamu lupakan aku??? ya Allah, bagaimanakah perasaan ibu-ibu itu? Mereka tentunya mahukan anak-anak ada di sisi mereka terutamanya dalam suasana Aidililfitri begini..

Saya seperti dapat merasa hati yang calar itu renyuk seperti kertas yang digumpal sepenuh hati.. Kertas yang dicarik menggunakan pisau hingga hancur. Retak hati ibu... mana mungkin diberitakan kepada sang anak akan sedih dan deritanya...

Masya Allah...

Ketika ibu susah, di manakah sang anak? kala ibu derita, mampukah kita berada di sisi mereka untuk menenangkan? Adakah kita jadi anak yang pentingkan keluarga sendiri?

naudzubillah..

Ya Allah jauhkan kami daripada menderhakai ibu kami...
Bersyukurlah yang masih punya kasih ibu,
Mampu menatap bening wajah cinta ibu,
Mengucup sayang di pipi ibu,
Mencium mesra tangan ibu..

jangan sampai hilang nikmat itu barulah datang sebuah sesalan..

Monolog,
jamilah Mohd Norddin

Nota Kecil Hujung Entri: Kalaupun ibu tiada lagi, jadilah anak soleh/solehah yang mendoakan mereka di perkampungan abadi... Saham itu sampai kepada mereka, insya Allah..

No comments: