10 September 2010

Kembali Kepada Fitrah?

 Masa: 23:06-23:28
Tarikh: 1 Syawal 1431
Lokasi:Bilik Beradu, Kedah

 Saya mulakan penulisan malam ini dengan kalimah Alhamdulillah. Seharusnya saya merafak setinggi kesyukuran kerana Allah berikan saya kesempatan melalui sebulan Ramadhan dan pada hari ini -1 Syawal 1431/10 September 2010- Allah kurniakan saya peluang untuk sama-sama meraikan Aidilfitri.

Langit biru sejak pagi. Alam sama-sama meraikan Aidilfitri walaupun pada senjanya hujan turut sama meraikan. Alhamdulillah. Semuanya adalah rahmat dan kurnia yang Allah berikan percuma kepada kita. Sesungguhnya kita tidak akan mampu membayar setiap kurniaan yang Allah berikan ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Saya buka jendela pagi tadi. Ayam sejak awal berkokok. Takbir kedengaran dari surau kampung sebelah dan laptop yang terpasang. Suasana tenang. Saya hirup nafas dalam-dalam. Menghidu aroma hutan yang menghirau daripada tingkap bilik. Nyaman sekali baunya.. Segar terasa pendengaran tanpa bunyi kenderaan walaupun diganggu dengan dentuman meriam dan mercum. Ya Allah, Allah masih berikan saya nafas untuk saya hirup bagi meneruskan kehidupan. Kalimah apakah lagi yang dapat saya lafazkan melainkan ALHAMDULILLAH!!!

Perjalanan hari raya pertama saya hanyalah sebuah kisah biasa. Melawat jiran sebelah, nenek di kampung seberang, kemudiannya ke perkampungan abadi menziarahi Allahyarham Mak, kakak, tok, che' (tok wan), dan kaum keluarga yang sudah mendahului saya. Alhamdulillah, ini tahun kedua saya berpeluang melawat perkampungan abadi itu setelah sebelum ini tidak sekali saya menjengah. Selesai.. Hanya menanti di rumah menyambut kedatangan ibu-ibu saudara yang berkunjung. (baca: Aku hanya melihat bukannya tolong satu sen pun. Jangan tiru)

 Saya punya satu soalan yang tidak terjawab oleh diri sendiri:

"Adakah saya sudah kembali fitrah?"

Ya Allah, madrasah Ramadhan yang saya lalui terasa hambar. Hanya secubit amal yang saya lakukan. Menyesal?

"Perkara yang paling jauh itu adalah masa yang sudah berlalu"

Mana mungkin saya injakkan masa untuk berada dalam Ramadhan lagi. Hanya yang boleh saya lakukan islah diri dan terus lakukan perubahan. Saya tidak perlu berubah untuk orang lain, namun saya perlu berubah kerana Allah. Benar, saya sangat takut saya berubah bukan kerana Allah.

Allah, Syawal yang datang, Zulhijjah yang akan menjelma, Muharam yang akan datang, janganlah Kau biarkan saya hanya menghitung hari-hari tanpa saya melakukan perubahan. Rugilah saya jika saya begitu. Saya mahu merajut cintamu dalam sisa usia yang Kau tinggalkan untuk saya.

Terima kasih Ya Allah memberikan saya kehidupan untuk saya terus melangkah.

Alhamdulillah.

Coretan hati,
Jamilah Mohd Norddin~



Nota Kecil Hujung Entri: Semoga sepanjang tahun kita berada dalam kebaikan. Amin.

No comments: