28 August 2010

Ujian itu Memang Milik Kita




Ujian + Sabar = Redha
Ini sebuah catatan untuk merefleksi diri. Sebuah coretan yang mengikut aliran jemari. Aku mahu berbicara dengan diri sendiri lewat dinihari ini. Bersediakah aku menghadapi ujian Ilahi yang diperuntukkan dengan diri.

Ujian. Tribulasi. Mehnah. Semuanya membawa satu erti. Allah tidak memberikan ujian yang tidak terdaya ditanggung diri. Maka, kamu akan tahu jauh atau dekatnya dirimu dengan Allah apabila sedang diuji. Memang! Ketika diujilah kita akan sedar yang Allah sebenarnya sangat dekat dengan diri dan membantu kita menghadapi ujian itu. Bagaimana kita tidak sabar menghadapi ujian?

Mungkin ada yang beranggapan jika mereka tidak diuji, maka Allah tidak ingat akan dia. Astagfirullah... Sedarlah yang tidak diuji dengan kesusahan, kesakitan, rasa sibuk hingga tiada masa, itu juga satu ujian. Allah mengujimu tentang masa. Diberinya kelapangan supaya dilihat bagaimana kita memanfaatkan masa. Diberikannya sihat supaya kita kuat untuk beribadat. Dikurniakan kita kesenangan supaya kita membantu orang.

Kita selalu dengar orang berkata: "Allah tidak sesuatu melainkan yang mampu ditanggung."  Benar! Biarlah sesakit mana, sesusah mana, sesedih mana ujian yang melanda adalah perkara yang kena dengan diri kita. Kerana itulah Allah menganjurkan kita untuk meminta kepada-Nya supaya diberikan kekuatan.

"Allah, jauhkan kami daripada rasa lemah, malas, bakhil, resah gelisah, hutang.."

Setiap hari kita berdoa dengan doa-doa yang memohon diberi kekuatan menghadapi ujian. Maka, bersabarlah walau apa yang terjadi kerana dalam setiap kesusahan diiringi kesenangan..

Kita hilang duit RM50, Allah ganti dengan RM100.

Kita sakit, Allah berikan kita rasa berharganya sebuah kesihatan.

Allah, sesungguhnya ujian apa pun yang Engkau turunkan sememangnya milik aku. Adakah aku bersyukur dengan isyarat kasih sayangmu.. Jangan sesekali mengeluh wahai diri... Kerana ia hanya mengurangkan kekuatan untuk melawan ujian. Benar syaitan akan mengejar daripada segenap jihat, namun berusahalah kita, bermujahadahlah wahai diri untuk melaluinya...

Subhanallah.... Setelah ujian itu dilalui, kerana dekatnya Allah dengan hamba. Sayangnya Allah pada kita..

Alhamdulillah.

Monolog: Jamilah Mohd Norddin
28-8-2010 @ Qamar Cantik 1-1
~Allah, cantiknya aturan-Mu~

No comments: