26 April 2010

peristiwa 24 April

Pagi.
Hari ini aku bertolak ke UIAM semula untuk meneruskan perjuangan dalam semester pendek di sini. Walaupun hanya berjaya mendapatkan satu subjek, aku nekad untuk mengambilnya juga. Maka, seawal pagi aku sudah mula bersiap-siap untuk ke sana.

“Ah, perut terasa tidak selesa.” Namun bagi aku itu adalah lumrah kerana aku memang begitu tabiat aku. Seperti biasa aku tidak mengambil sebarang sarapan kerana berhajat untuk makan di stesen bas kelak.

Aku bertolak ke Kulim pada pukul 8.00 menaiki bas bernombor 56 seperti biasa. Di stesen bas, kakakku yang sulung sudah menanti seperti biasa dan aku bergerak kepadanya setelah turun daripada bas. Aku dibekalkan dengan kuih-muih untuk dimakan di dalam bas.

Tidak sempat bas bertolak, aku yang kelaparan sudah berjaya menghabiskan semua kuih itu.

Perjalanan.
DI sinilah kisah bermula apabila tekakku tiba-tiba terasa loya dan aku tidak tahu apa yang patut dibuat dan hanya meneguk 100 plus yang dibeli tadi. Aku sudah tidak sabar menunggu bas ini berhenti rehat dan cuba untuk tidur. Mujurlah aku dapat tidur dengan agak nyenyak.
Apabila bas berhenti di simpang Pulai, aku hanya membeli sebotol air mineral dan sebungkus asam manis yang kononnya untuk menghilangkan rasa loya. Mulutku sudah tidak mahu menerima makanan rasanya apabila seleraku sudah mati di situ. Tidak berkesan. Asam yang aku makan hanya membuatkan rasa loya aku makin bertambah, dan aku sudah sediakan plastik khuatir sesuatu yang tidak diingini berlaku. Hahaha.Aku teringin peristiwa 4 tahun yang lalu apabila aku tiba-tiba pitam ketika mahu menaiki bas kerana tidak makan.. teruk sangat rasa ketika itu.. malu.

Dalam bas aku cuba untuk tidur lagi namun mata seakan disekat sesuatu yang menghalang aku daripada lena. Maka aku hanya terkebil-kebil sambil cuba untuk melenakan diri. Pejamkan mata, pejamkan mata, pejamkan mata...

Petang
Apabila sampai di Stesen KTM Kuala Lumpur, satu masalah timbul kerana aku tidak pernah sampai di sini. Sementara Puduraya ditutup bas Plusliner menjadikan KTM ini sebagai platformnya. Aku terus mesej kakakku dalam keadaan yang kepenatan, mulut yang makin loya, pening dan lenguh.. Sedikit marah pun ada. Mujurlah aku bertemu jalan keluar.

Apabila sampai di Pasar Seni, nasibku baik apabila bas 91 sudah sedia menanti. Sambil berada dalam bas, aku menggelisah kerana tidak dapat melelapkan mata dan terasa sangat lambat bas ini bergerak kerana jalan yang agak sesak. Aku tidak sabar untuk sampai ke UIAM dan melelapkan mata. Penat! Huh!

Bas sudah melepasi Ong Tai Kim. Aku terasa loyaku makin teruk dan mengambil asam kononnya untuk melegakan rasa itu, namun sebaliknya terjadi. Makin kuat rasa itu menjolo-jolok tengkuk dan aku minum air mineral pula. Kemudian sesuatu yang tidak diingini terjadi.

“Uwekkkkk....”

Maka tersemburlah isi perut yang dimakan. Mujurlah di sebelah tiada orang, jika tidak aku tidak tahulah apa yang terjadi. Habis pakaian, beg dan tempat aku duduk menjadi sasaran. Dan aku tidak tahu sama ada konduktor bas itu perasa atau tidak kejadian yang berlaku. Aku buat-buat tidak kisah dan turun seakan-akan tiada apa yang terjadi. Ada kesan pada beg dan baju aku. Aku gadahkan kaki melangkah untuk sampai ke bilik temanku di Blok C.

Apabila sampai, aku cuba untuk lena namun tidak sepicing pun mata mahu terpejam aku sudah hilang idea. Kemudian aku hanya mandi, daftar mahalah dan ke kafeteria kononnya untuk makan. Disebabkan seleraku yang mati, aku hanya memilih bubur nasi, namun aku mampu mengutip cebisan ayam yang ada kerana perutku tidak dapat menerima walaupun dipaksa. Nasib baik ada sabahat aku tolong menghabiskannya. Terimakasih.

Malam
Pukul 7.00 aku mengajak temanku pulang ke biliknya kerana kepala yang mula terasa berat dan mata yang makin panas. Entahlah, terasa seperti mahu demam. Aku cuba berbaring sementara menunggu Maghrib walaupun memang tidak dapat lena. Selepas Maghrib, aku makan juga buah limau dan ubat yang diberikan kerana dipaksa. Huhu..

Hampir separuh botol air mineral dihabiskan, tiba-tiba tengkukku seprti dijolok sesuatu dan isi perut terasa mahu terkeluar. Cepat-cepat aku ke tandas dan terkeluar semua makanan yang telah aku makan sebelum ini. Bukan setakat makanan, ada ‘sesuatu’ yang turut terkeluar. Bagusnya, setelah aku memuntahkan semua yang ada dalam perutku, rasa panas di wajah yang aku rasakan tadi sudah berkurang. Aku rasa sihat.. SIHAT!!!

Sempat lagi aku berjalan-jalan di bilik sahabatku di blok empat. Keluarlah juga peluh dan aku ceritakan kepadanya apa yang terjadi. Tuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuut... Kita tengoklah apa terjadi hari ini.

Dan malamnya aku hanya terlena sekejap-kejap dan terjaga hampir setiap setengah jam. Seluruh badanterasalenguhdanmatamasihpanas. Huhuhu...

Pagi ini. (25-4-2010)
Sampai saat entri ini ditulis,badanku sekejap panas dan sekejap sejuk. Cuma mataku yanng sudah seperti terkena bara api. Hahaha.Doakan tiada apa-apa...

25-4-2010
06:54a.
C2-2

22 April 2010

APA MAHU DITULIS?

Soalan yang aku nyatakan sebagai tajuk entri kali ini tentu ada pada sesiapa yang berangan-angan untuk menulis tidak kisahlah dalam genre apa sekalipun. Aku sendiri selalu menyoal diri soalan yang sama.

Aku bukanlah penulis prolifik yang selalu menulis, sekadar berkongsi sedikit pengetahuan yang aku ada.

*Tulislah apa yang kamu tahu: 
Setiap orang ada pengalaman berbeza-beza dan menarik untuk dikongsi dengan orang lain. Pengalaman kita yang berbeza itulah dapat menjadi satu acuan menarik untuk perkongsian kita. Malah boleh terhasil sebuah novel yang sangat menarik jika kita dapat mengolahnya. Kadang-kadang pengisian kita yang sedikit boleh menjadi panduan kepada orang lain. JAdilah tulislah apa sahaja yang kamu tahu! Bahan-bahan yang dipelajari di bangku kuliah juga boleh dikongsi dengan orang lain.

*Menulis sesuatu yang dekat dengan diri.
Kisah keluarga yang boleh dikongsi, kehidupan harian, diari, tentang diri, kejatuhan dan semangat untuk bangkit daripada kegagalan. Semuanya menarik untuk dikongsi asalkan tidka terlalu peribadi. AKu suka membaca tulisan seperti ini kerana terasa dekat dengan diri. Bukankah jika kita tiada pengalaman, pengalaman orang lain dapat menjadi bahan tulisan?

***

Banyak perkara sebenarnya yang dapat ditulis asal sahaaj ada KEMAHUAN. Sedangkan orang sibuk boleh menulis dengan konsisten, apatah lagi seorang yang punya masa lapang yang banyak. Ayuh, luahkan apa yang ada dalam jiwa untuk dikongsi dengan orang lain.

Jika mereka menyerang kita dengan tulisan yang buruk-buruk, adakah kita hanya diam dan mengutuk dalam diam? Allah sediakan pena untuk kita sama-sama bangkit... 

Tapi lebih bagus mereka yang bekerja di medan amal tanpa jerih. Mereka mendapat pahala kerana beramal, namun tidak mengapa jika kamu menulis untuk kebaikan. Teruskan wahai diri-diri, menulislah sesuatu supaya ia dapat ditinggalkan saat maut menjemput kamu kelak. Ia akan menajid rantai amal jika kamu menulis untuk KEBAIKAN

Wassalam... 

Sekadar berkongsi,
Jamilah Mohd Norddin
22-4-2010
09:41a.m
Qamar Jamilah al-Mahangi.
~Mencari spirit menulis~

JOM JADI ANAK KAMPUNG!!!

Assalamualaikum...

Nampaknya hanya berbaki beberapa hari berbaki sebelum aku kembali ke taman ilmu dan budi. Teringat pula kisah-kisah zaman budak hingusan aku dahulu yang penuh warna-warni sebagai anak kampung yang bersahabat dengan alam... Aku sekadar mahu mengimbau beberapa memori supaya ia akan menjadi kenangan terindah apabila aku menatapnya kembali..

Antara aktiviti aku ketika di bangku sekolah rendah. Status aku sebagai pelajar berasrama menjadikan aku tidak lagi menjadi anak kampung sepenuh masa...

# Sungai adalah sahabat yang akan menjadi sasaran kami mandi dan berkelah untuk makan tengahari. Sungai yang letaknya hanya bertentangan dengan rumah sering menjadi sasaran. Kami akan berkumpul beramai-ramai dan mandi bersama-sama. Berenang, besenda-gurau... Manisnya saat itu, sampai saat ini terdengar jeritan kawan-kawan yang bersama-sama aku ketika itu. Ada kalanya, kami akan singgah di rumah Tok yang letaknya berhampiran sungai untuk menyalin baju. Ada juga kawan-kawan yang sempat aku kenalkan dengan Tok.

Sekarang sungai jangkat (cetek). Tidak seronok lagi untuk berenang di dalamnya.. Aku sendiri sudah lama tidak bertandang ke sana. Hanya riang melihat gambar anak-anak saudara yang juga suka mandi sungai di hadapan rumah mereka.

#Hutan adalah tempat untuk yang mesti dituju. Aku sudah lupa apa yang kami cari di sana, tapi selalu juga aku dan kawan-kawan masuk ke dalam hutan yang letaknya di sebelah rumah aku. Lagi satu, hutan tersebut merupakan short cut ke rumah sahabat aku. Kadang-kadang, ada pokok yang menjadi sasaran kami melepak. Aku masih ingat pokok di tepi sawah yang letaknya tidak jauh dengan rumah aku sering menjadi sasaran kami. Main jual-jual, masak-masak, borak-borak... Ah, zamaan anak-anak yang sangat manis untuk aku nukilkan di sini.

#Permainan aku dulu macam anak-anak kampung lain juga. Polis-polis, masak-masak, jual-jual, main getah, guli, congkak, batu seremban, dan apabila menjengah darjah lima sudah pandai bermain badminton... Ketika itu semuanya jadi kawan. Gelak ketawa, gaduh, semuanya sama-sama. Selagi tidak petang ada sahaja yang mahu dimainkan.

Tapi semua cerita-cerita ini hanyalah sedikit kisah aku sebagai anak jati kampung. Seronok sangat menjadi anak kampung yang bersahabat dengan alam, yang berpeluang masuk hutan, meredah sungai, panjat bukit, masuk kebun, panjat pokok...

Kini semuanya hanya kenangan yang tidak berulang. Sungai hanya aku pandang sepi. Hutan di sebelah rumah dipandang tanpa perasaan. Kawan-kawan sudah ada kehidupan sendiri. Semua memori hanya boleh disimpan dalam hati. Kehidupan aku kini dan dahulu sudah banyak berubah. Hati aku yang dahulu sudah tiada... Namun jiwaku masih ada pada kampung. Aku bangga menjadi anak kampung.

p/s: Anak-anak sekarang tidak seperti aku dahulu. Mereka lebih mengenal games, televisyen, kartun... Tidak ramai lagi yang merasa nikmat kehidupan kampung. Kampung juga sudah tidak seperti dulu... SUnyi...

Wassalam...

-Jamilah Mohd Norddin-
Kenangan terindah di KAmpung Bukit KAbu
22-4-2010:
0913am

20 April 2010

Alhamdulillah

Allah mahu aku terus berada di UIAM dan menjadi seorang pelajar jurusan bahasa Arab seperti impian aku suatu masa dahulu. Berhenti berfikir untuk bertukar ke jurusan lain kerana kau tidak layak untuk memohon. Setelah melihat keputusan yang tertera pada sistem, aku terkedu seketika..

Maka, situasi gelisah aku ketika peperiksaan menjelang kembali melayang di ingatan...

Buat pertama kali aku buat hal keluar awal dalam kebanyakan subjek...

Alhamdulillah, keputusan yang aku dapat melayakkan aku terus berjuang di sini.. Memang Allah mahukan aku terus menjadi budak BARB..

Memang keputusan aku tidaklah sebagus buda-budak lain, namun cukup membuatkan aku malu dengan diri sendiri. Bandingkan semula dengan apa yang aku buat dengan apa yang Allah beri setiap sem, aku terdiam.

aku sedikit fobia apabila membuka sistem tadi, keraan fobia dengan sem lepas.. namun allahlah penentu segala keputusan..

Terima kasih ustaz-ustaz yang sangat-sangat-sangat membantu walaupun mendapat kertas peperiksaan aku yang lebih berdasarkan otak bukannya apa yang belajar...

Alhamdulillah... Teruskan melangkah, diri.

Catatan Hati Durrah Nur Aqilah: Bingkisan Buat Jamilah

Jamilah,
Kamu manusia yang ada potensi. Bukankah sudah berjuta-juta kali aku ulangkan kepada kamu. Mengapakah kamu tidak menggunakan kehidupan singkat yang Allah pinjamkan untuk memberi? Kamu begitu enak menerima sampai lupa memberi. 

Kamu perlu sedar yang kamu adalah pelarian yang memang sentiasa melarikan diri. jadi kamu kena buktikan yang kamu adalah palarian yang bukannya seperti pelarian haram. 

Jamilah,
Mungkin kamulah si kambing hitam yang senang dimakan serigala kerana tidak bersama-sama kambing-kambing putih lain. Seorang yang agak ketinggalan dalam banyak hal. Namun satu yang aku nak kamu ingat, setiap sesuatu tak terjadi tanpa hikmah. mengapa kamu nak menyesal, sedangkan bukankah dunia itu ada banayk warna, hanya kamu yang kena memilih catnya..

Jamilah,
Dalam melalui kehidupan mungkin kamu kata kamu melalui banyak pengalaman. TIDAK! Pengalaman kamu hanya sedikit dan tidak dapat kamu bandingkan dengan orang lain. Kamu melalui kehidupan seperti kamu tiada destinasi yang perlu kamu tuju..

Ingat, kamu hanyalah pengembara...

Jamilah,
kalaupun kamu jauh di mataku, janganlah kau lupa aku dalam doaku. Titipkan doa agar aku teguh dengan diri, dengan ISLAM... 

Nanti aku bicara lagi, memberimu secebis semangat..
Life goes on! Ganbate nee!

~Durrah Nur Aqilah~

19 April 2010

Setelah Hujan Reda

ENTRI LEPAS HUJAN

Alhamdulillah, langit sudah kembali cerah, menampakkan putih warnanya bercampur biru yang sedikit... Tadabbur... Allah galakkan kita melihat alam supaya kita sedar akan kekuasaan DIA. Dia berikan aku segala-galanya namun adakah aku menunaikan hak-Nya? Hak sebagai seorang hamba kepada Pencipta langit itu.

Dari birai jendela bilik, aku mula mengetik. Mengikut alur jemari yang nampaknya makin liar suaranya. Perlulah aku jinakkan ia kembali supaya lebih terarah hidupku..

‘Muhasabah cintaku’ berulang-ulang di laptop. Lirik ‘Muhasabah cintaku’ punya makna yang mendalam bagi yang memikirkan. Aku? Banyak.. Banyak kali aku dengar lagu ni... tapi zuuqnya tiada... Aku teringin dapat perasaan itu....

Adakah aku hanya akan ‘Muhasabah cintaku’ kepada-Nya ketika aku sakit? Pada saat aku tidak terdaya untuk berbuat apa-apa dan mungkin terbaring di hospital aku hanya dapat memandang senyuman orang lain tanpa kuasa membalas... Ah... Jangan SS... Jangan biarkan ia berlaku kepada diriku...

Ambil ‘ibrah pada setiap yang berlaku... Ambil pengajaran daripada apa yang kau baca, dengar dan catat...

Ketika masih segar bugar inilah patut aku ‘Muhasabah cintaku’ pada DIA.. Tapi SS bukan hanya cakap, bertindak. Jangan jadi manusia yang hanya tahu bercakap, amal kosong... Di manakah tindakan yang akan menajdi bekal ke SANA?

Muhasabahlah cintamu duhai SS.. Dirimu hanya pinjaman yang akan dikira satu demi satu di hari pengadilan kelak.. Adakah kau menyediakan bekal? SS, ingat, sudah tercatat ajalmu yang tidak mungkin ditangguh walau sedetik..

Kau tak tahu bila kan, jadi? Faham-faham sendirilah ye...

0515petang
Jendela Bilik...

18 April 2010

Dr & Ustazah

Hm.. ada lagi entri malam ni...

sengaja aku tulis sementara jari-jari aku terasa gatal tiba-tiba..

Petang tadi masa aku mengemas aku sembang sorang-sorang... Tiba-tiba terlintas dalam fikiran dan aku zahirkan kat mulut..

"La ni ramai budak sains pandai sastera, tapi budak sastera nak pandai sains susah nak dapat.." Memanglah ada tapi jumlahnya....

kernapa ya?

Bukankah aku juga ada otak macam budak sains punya otak.. Agaknya otak aku banyak masuk angin dan asap.. Huhuhu.. Merapulah SS ni..

aku suka kalau dapat blog budak-budak sains yang ayatnya kalah budak yang belajar kesusasteraan melayu.. hmmm... Terangkat baca ayat mereka tuh...

Haaa...

apalah aku nak merepek sebenarnya ni...

Maaf..

K.

Salam....

Random Rant 2

Assalamualaikum,

Hari ini aku kembali bersendirian di rumah... Kakak-kakak semuanya sudah punya haluan masing-masing, sudah punya kerjaya.. Maka tinggallah aku seorang diri menghitung hari.....

Hurmmm...

Seronok juga rupanya duduk seorang ni.. Aku mulalah berfikir untuk membuat sesuatu yang apabila ada orang lain aku akan menjadi pononton ja..

BERSENAM...

Apa? bersenam?

Maksud bersenam dalam kamus seorang aku adalah menyelerakkan rumah, kemudiannya mengemaskan kembali mengikut selera aku. mana tidaknya, jika ada orang lain, aku tak dapat ikut kepala sendiri..

Haha...

Projek aku bermula pukul dalam pukul 10.30 apabila kakakku kembali ke rumahnya...

bosan menghadap internet + tengok bilik selerak, aku mulakan projek..

Hmmmm...

Sangat seronok apabila boleh lakukan perkara yang kita suka. ye tak?

Tapi dalam kehidupan kita tak semua benda kita rasa seronok baik untuk kita. Ada perkara yang kita enjoy, hakikatnya bawa kepada keburukan... 

PUAS 

ALHAMDULILLAH...

17 April 2010

Random Rant 1

Assalamualaikum kepada yang terbuka blog mengarut ini... Rupa-rupanya sembilan hari sudah berlalu sejak aku kembali dari Gombak... Aktiviti? Cuti kali ini kawan aku adalah internet. Memang aku terperap dalam bilik layan internet dan tidak keluar melainkan ada hal-hal berkaitan...

Kalau tidak pun aku akan mengacau anak-anak saudara jika mereka bertandang dan tidooooo.... Sungguh tidak berfaedah dan jangan dijadikan ikutan ye kawan-kawan......

Hm, tadi aku jalan-jalan dalam blog budak JUST (Jordan University Sciences & Technology) dan barulah aku tahu yang rupanya Nik NuR Madihah sekarang melanjutkan pelajaran di sini. Malah, beliau menjadi pelajar perempuan Melayu sulung yang mengambil jurusan Fizik di sana.. Kita doakan beliau kuat dan menjadi anak yang berjaya di dunia dan Akhirat... Jalan-jalan lagi aku terjumpa blog beliau, kembara mencari diri.

Sekianlah contengan untuk kali ini.. Hujan di luar sudah menderu-deru dan berbahaya jika aku meneruskan blogging..

Salam...:)

13 April 2010

Panduan: Mahu Tembusi Majalah Tempatan?

Bismillah..

Insya Allah, hari ini saya akan berkongsi beberapa tips bagaimana mahu menembuskan karya kita ke majalah tempatan. Tentunya petua ini bukanlah daripada saya sendiri namun saya kutip daripada artikel yang ada dalam laptop saya yang saya peroleh daripada Kak Sarah.

Jom tengok.



Beberapa perkara yang perlu dielakkan:
1. Menggunakan tulisan tangan.
2.Menggunakan bahasa yang kurang sopan terutamanya ketika menghantar karya menggunakan mel elektronik.
3. Menghantar karya yang sama kepada penerbitan lain. -satu karya satu majalah-

Beberapa panduan:
1.Tahu kesepadanan karya yang dihantar dengan tema majalah. Contohnya cerpen dalam Dewan Bahasa mementingkan tema memartabatkan bahasa Melayu. Bagaimana mendapatkan maklumat? Dapatkan majalah sasaran anda di pasaran.

2.Cara paling mudah menghantar karya adalah menggunakan mel eletronik. Untuk mengetahui e-mel para editor,anda boleh mendapatkan di majalah sasaran anda atau paling mudah tanyalah kepada Pak Cik Google.

3. Dianjurkan mengepilkan bersama karya anda sekeping gambar berukuran pasport. 

4. Tiga perkara penting:
-Surat iringan
-Biodata
-Karya
-Gambar (tambahan)

5. Tahu frekuensi majalah yang disasarkan. Contohnya Dewan Siswa terbit sebulan sekali. Kemungkinan paling awal karya anda tersiar setelah tiga bulan dihantar. Tidak mustahil hingga setahun tempohnya (pengalaman sendiri)

6. Buku catatan. Rekodkan karya anda yang tersiar di majalah untuk mengelakakn karya bertindan.

7.Gunakan format yang diperlukan oleh majalah.

sign

11 April 2010

Mencari Pelangi Dalam Diri

Saya-kamu-kita punya potensi yang Allah bekalkan bersama kelahiran kita ke dunia. Cuma sama ada kita sedar atau tidak. Juga kita manfaatkan kelebihan itu atau tidak.

"Aku tak ada bakatlah.''

"Dia bolehlah, dia ada bakat. Aku tak ada apa-apa."

TIDAK!

Sesungguhnya, kita perlu tahu dalam diri kita ada pelangi. Pelangi yang berwarna tujuh itu akan kita nampak jika kita lihat dalam-dalam pada diri kita sendiri. Bukan hanya melihat putih dan hitam yang nampak pada zahir, namun meneropong dalam diri.

Malah, pelangi itu bukan setakat ada tujuh warna. Jika kita telusuri lebih jauh, warnya akan makin bertambah. Makin kita gilap makin terang warnyanya. Makin kita diam tanpa apa-apa tindakan, malaplah warnya. Justeru kitalah yang perlu bergerak untuk menyerakkan warna-warna itu.

Jom cari pelangi dalam diri.

11-4-2010
03;18a.m
~Qamar Jamilah al-Mahangi~

08 April 2010

Macam-macam dalam Dunia Blog

Sejarah aku mula bergiat dalam dunia blog adalah tiga tahun lalu ketika aku di CFS IIUM, PJ. Almaklumlah aku antara peminat setia akak CC ZC yang letaknya bertentangan cuma dengan bilik. Selalu aku menghabiskan masa di sana, membelek-belek blog-blog yang menarik. Sampailah bulan Ogos 2007, aku 'terjebak' dalam dunia blogging.

Blog aku yang pertama adalah lukluahnurjamilah.blogspot.com. Jika tidak silaplah. Aku suka menulis tentang diri sendiri, kadang-kadang menulis sajak dan meletakkan gadget-gadget tertentu dan link-link blog hebat lain. Apabila menulis, aku selalu tidak dapat lari daripada bercerita tentang diri...

Setelah tiga tahun aku menceburi dunia blogging, sudah banyak blog yang aku reka, namun lukluahnurjamilah.blogspot.com tetap aku kekalkan tanpa dipadam. Mungkin disebabkan hobi yang kononnya mahu menulis.... Aku tulis-tak puas hati=padam blog.

Dunia blog mengenalkan aku dengan macam-macam kerenah manusia. Tidak kiralah apa yang mereka tulis adalah benar atau salah. Apa yang penting aku belajar tentang perangai manusia.

Jika diperhatikan pembawakan seseorang dalam blog berbeza. Ada yang suka mendedahkan tentang diri sendiri, memuatkan tazkirah-tazkirah untuk diri dan orang lain, catatan pengalaman, resepi, macam-macam... Kita mencari blog yang baik-baiklah kita dapat. Namun sekiranya kita mencari blog yang tidak baik-boleh rosak juga...

Satu yang aku suka tentang blog. Aku dapat belajar benda yang aku tak dapat dalam bilik darjah. Aku dapat mengembara seluruh dunia walaupun di alam maya. Aku dapat menambah kenalan, yang daripada pengalaman mereka, catatan diri, kisah suka duka aku ambil untuk diri sendiri...

~Hanya satu yang aku harus ingatkan untuk diri sendiri. Semua yang aku tulis ada sahamnya. Saham untuk aku-saham untuk yang membaca-saham untuk mereka yang link blog ini, dan saham untuk kita semua. Maka, dalam keghairahan aku menulis blog, harus juga aku meperhatikan apa yang jemari ini ketikkan di papan kekunci. Jika ianya adalah fitnah-gosip-dan seumpanya-aku ada saham. Samalah dengan aku berkongsi rasa- menulis sesuatu-juga ada sahamnya.~



8-4-2010
11:31p.m
Qamar Lu'luah E1-3

07 April 2010

Detektif Indigo Kembali

Tajuk: Detektif Indigo Kembali
Pengarang: Dr Faisal Tehrani

Ketika di Sekolah Kebangsaan Mahang, buku-buku penyiasatan seperti Siri Salma, Siri Tiga Penyiasat dan lain-lain cerita berkisar dunia penyiasatan sering juga menjadi jamuan saya. Seronok membaca bagaimana mereka membongkar kejadian yang terjadi.

Hari ini, saya mahu berkongsi bersama sahabat-sahabat sekalian tentang sebuah buku yang juga berkisar tentang dunia penyiasatan. Istimewanya, novel ini dihasilkan oleh seorang Penulis Muslim dan ceritanya mengangkat kisa masyarakat Muslim.

DETEKTIF INDIGO.


Mereka adalah anak-anak yang dikurniakan kelebihan mempunyai IQ yang tinggi malah ada dalam kalangan mereka mampu menggunakan telepati. Semuanya masih belajar di Akademi Indigo, namun sudah sudah menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi.

Sebelum ini sudah ada novel Faisal Tehrani yang bercerita tentang DETEKTIF INDIGO. Detektif Indigo dan Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson (jika tidak silap tajuknya).

Kali ini mereka terlibat untuk membantu polis mencari Setiausaha Agung OIC yang diculik dan pengasas Akademi Indigo yang hilang. Adakah mereka berjaya? Apakah peranan Dr Mama? Siapakah sebenarnya dalang?

Jika mahu tahu kesudahannya, perlulah kalian baca DETEKTIF INDIGO KEMBALI.

7-4-2010
12:29p.m
Qamar Lu'luah
-Buku seterusnya: Apa Ertinya Saya Menganut Islam-

06 April 2010

Selesainya Imtihan Duniawi

Mungkin ada yang berkata, hari ini menjadi saat paling indah kerana sudah berjaya menamatkan semester ini apabila kertas akhir peperiksaan sudah diduduki.

Jujur, aku tidak merasakan demikian. Hampir 10:30, aku melangkah keluar daripada dewan peperiksaan. Aku hanya memenuhkan kertas-kertas jawapan tanpa berfikir dua kali atau menyemaknya kembali. Fikiranku sudah kosong! Pandaganku bukan lagi milik seorang manusia bernama Jamilah.


Entah siapakah yang mengajar diri ini untuk keluar awal daripada peperiksaan.

Semester ini adalah semester kedua aku di sini. Namun aku sudah merasakan keepritan apabila aku asyik melayan perasaan aku yang masih belum berpuas hati dengan apa yang Allah berikan untuk aku. Aku bergerak dalam keadaan rohaniku mati. Fizikalku keras, mulut tersenyum, sedangkan hati... Di situlah letaknya kelemahan aku yang seboleh mungkin aku sembunyikan. Tapi aku dedahkan di sini.

Sedang orang lain sibuk mengulang kaji, aku masih melayan internet. Kadang-kadang tidur, kemudian layan lagu, baca novel seolah-olah aku bukan salah seorang calon peperiksaan.


Maka, aku pasrah walau bagaimana sekalipun keputusannya kerana itulah risiko yang telah aku ambil.

Kalaulah ayah tahu apakah yang dilakukan anaknya, apakah perasaan beliau?
-Blog terupdate setiap hari, namun khabarnya tidak ditanya.
-Baca novel kononnya insaf, namun kebaikan kepada beliau pun tak dilaksana.
-Sekarang dah nak ketagih facebook vberhubung dengan kawan-kawan, namun telefon sekali satu sem pun payah.

6-4-2010
2:34p.m
ITD

05 April 2010

Aku, Dia & Gosip

Tajuk: Aku, Dia & Gosip
Pengarang: Lily Haslina Nasir
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Harga:RM11.90 (Harga asal RM17.00)
Komen Jamilah: Entah mengapa, usai membaca novel ini teringat cerita Princess Hour.. hehe.. ;)

Jalan-jalan di PBAKL yang lalu, di gerai PTS sedang dilangsungkan santai bersama Kak Lily Haslina Nasir.

"Wah, ini peluang baik. Kena dapatkan tandatangan beliau."

Maka, saya bergerak ke bahagian novel. Mencari sebuah novel sebagai bekalan untuk mendapatkan tandatangan Kak Lily yang juga merupakan mantan MPR. Takut bercampur debar, saya melangkah juga ke pentas acara..

___________________________

Itu kisah bagaimana saya membeli buku ini. Maka, sejak hari itu, saya mulalah membelek buku ini, namun belum dibaca melainkan melihat blurb di belakang novel ini.

Pagi ini, saya tercatuk di kerusi belajar selama dua jam menjamah buku ini. Sedap! Sesedap coklat yang dikunyah Zaza. Cerita Kak Lily selalu ada perencah tiga dalam satu. (saya baru membaca buah buah novel beliau: Sebelum ini Menunggu Cinta Tuhan)

Mudah sahaja untuk menghabiskan novel ini kerana ianya untuk bacaan pelajar sekolah menengah saya kira. Namun saya bukan alasan saya yang berusia dua dekad ini untuk turut sama berasa diri muda.

Ceritanya ringkas, namun dalam santainya, Kak Lily sebenarnya sedang menarik kita supaya berfikir tentang sesuatu. Gosip dan kita.

Siapakah yang perasan dia tidak pernah bergosip?

Bagi saya sendiri, kadang-kadang tanpa sedar kita sudah 'tergosip' tentang orang lain. Apatah lain ketika sedar. Bukankah mulut kita bukan seperti mulut tempayan. Kerana mulut satu badan binasa... Jika terasa sudah terpesong, maka cepat-cepatlah kita sedar diri.


Lihat sahaja Zaza, yang bagaimana teruk dia dihentam oleh lawan, masih mampu meneruskan hidup. Bukan menyerang kembali. Hukum alam, bagaimana sekalipun pahitnya ujian, akan ada kemanisan yang dikecap di hujungnya.

Maka, sebagai remaja, muslim, kita perlu sedar akibat fitnah dan gosip ini. Ianya boleh meruntuhkan persahabatan yang utuh, memusnahkan keluarga yang bahagia.. YA Allah, mohon dijauhkan.

Ringkas sahaja komen saya tentang novel ini. Sangat menarik dan menanti cerita Zaza seterusnya.Malah, mahu membaca Aku, Dia & Coklat: edisi pertama cerita Zaza...

Bukan hanya cerita yang mahu dihadam, namun apakah di sebalik cerita yang mahu disampaikan pengarang.Walaupun apa yang kita baca, kutip mutiaranya. :) dan berkongsi. ;)

Semoga kita sama-sama berkongsi saham di Sana...

5-4-2010
11:10pagi
Qamar Lu'luah.

Bahlut

 Tajuk: Bahlut
Pengarang: Dr Faisal Tehrani

Siapakah yang tidak kenal dengan pengarang prolifik ini. Terasa seakan mahu dihantukkan kepala jika ditanyakan tentang penulis ini, namun dia menjawab: "tak tahu, tak kenal."

Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa lahir dengan novelnya yang ke-19. Bahlut atau Eng Bahlut(ketika bersiaran di Tunas Cipta) Ceritanya cerita anak orang asli yang bangkit untuk membela kaumnya.

Bagi saya kisahnya agak ringkas dan tidak terlalu komleks seperti Tuhan Manusia atau Bedar Sukma Bisu. Namun bukan kisah percintaan seperti Tunggu Teduh Dulu. Jarang kita mendapat novel yang bercerita  tentang orang asli, dan FT telah melakukannya.Malah, saya merasakan Bahlut adalah naskah yang paling mudah saya hadam dan ceritanya lancar..

Bahlut, seorang anak desa yang kehilangan Ibu ketika masih bersekolah setelah ayahnya didapati hilang. Pemergian beliau ke Kuala Lumpur telah mencungkil bakatnya dalam dunia olahraga. Beliau bekerja kuat hingga dinobatkan sebagai juara, namun dalam satu pertandingan, beliau mahu mengembalikan pingat kemenangannya jika nasib kaum Semai masih belum terbela. Inilah perjuangan seorang Bahlut.

Kerja kuat-Tidak Putus Asa-Bersemangat-Yakin Dengan Pertolongan Allah- Ini anatara nilai tersirat dalam Bahlut. Banyak! Banyak lagi intipati yang dapat dikutip dalam novel ini sebenarnya. Jika mahu tahu, kalian perlulah mendapatkannya dan menghadam satu demi satu aksara dalam Bahlut.

5-4-2010
12:57.m
Qamar Lu'luah
_Mahu menghabiskan Detektif Indigo Kembali... :)_

04 April 2010

Buku: Coret-coret Tentang Baca dan Hadam

 Buku hanya menjadi teman baik jika diulit bukan terbiar di rak

Memaknakan bahan bacaan lebih payah daripada sekadar membaca dan tamat di situ. Sejauh manakah kita mengadaptasi isi-isi yang kita dapat dalam kehidupan seharian. Tidak kiralah buku yang dibaca itu komik, novel, atau bahan-bahan ilmiah yang tentunya memberikan sesuatu yang sangat bermanfaat.

Namun aku teringat kata-kata seseorang. Bahan yang kita baca akan diingat semula dan sangat bermanfaat untuk 10 tahun akan datang. Maka, kita perlu banyak membaca untuk supaya idea itu akan segar pada masa hadapan. Jadi, tidak kisahlah kita tidak ingat apa yang dibaca. Betulkah begitu?


Mungkin kamu akan berkata pula, terpulanglah kepada individu untuk membaca dan menghadam bahan bacaannya.. Betul, namun lihat pula kata-kata ini:

"Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah"

Bagaimana? Sudah dapat? Kadang-kadang dan selalunya saya termasuk dalam kategori orang yang membaca, bukan menghadam. Saya membaca dan akan membaca -biasanya novel-, kemudian berkata kepada diri:

"Wah, novel ini mendidik diri. Aku nak jadi macam A, seperti B, nak ikut D"

"Rasa macam pengarang cuba bersuara dengan aku pula"

Dan berkajang-kajang aksara akan terbit dalam minda usai membaca sesebuah novel. Namun bisanya dalam akal hanya timbul beberapa saat rasa itu, kemudia saya kembali kepada yang lama.. Namun, saya katakan pula kepada diri:

"Kamu tak dapat buat semua tidak mengapa. Yang penting setiap kali baca buku, kutip dan amal satu benda baik. Kamu dapat saham,penulis dapat pahala. :)"

Jika dilihat kepada gaya seseorang membaca berbagai-bagai. Ada yang suka membaca dalam kenderaan, seorang diri dalam bilik tanpa gangguan, membaca di mana-mana sahaja dan 1003 cara bergantung kepada diri seseorang. Jika kamu, kamu suka atau tidak  menconteng buku? Ada faedah yang besar jika kita highlightkan bahagian penting dalam buku, supaya senang sebagai rujukan. Walaupun nampak seperti buku teks, ia praktikal.. :)

Setakat ini dahulu saya mengomel tentang buku. Ada perkara baru yang mahu ditambah atau dikongsikan bersama-sama, saya masukkan dalam siri seterusnya..

Terima kasih buat kalian yang membaca.

4-4-2010
09:37a.m
Qamar Lu'luah
Nak baca buku-buku ilmiah, namun selalu gagal menghabiskan. Pernahkan kamu mencabar diri untuk membaca sebuah buku sehari?

03 April 2010

Desa Melambai [catatan 2]

 Aktiviti hujung semester: Angkat barang ke stor

Ini catatan pertama tentang kesukaan aku untuk pulang ke kampung. 

Jika manusia lain sibuk berbicara tentang peperiksaan dan ujian kehidupan, aku mahu mencoret tentang keterujaan seorang aku untuk pulang ke kampung. Walaupun sebenarnya bukanlah terlalu mahu pulang ke kampung, aku dengan penuh energi telah menjadi orang pertama yang menyimpan barang di stor blok. Qamar Lu'luah sudah kosong. Hanya yang tinggal barang untuk dibawa pulang dan untuk dipakai dalam tempoh waktu berbaki.

Sehari dua ini banyak perkara terjadi: kejutan demi kejutan yang sangat perlu kau perhatikan -kematian demi kematian orang di sekeliling kamu supaya kamu beringat- Satu persoalan yang sangat perlu aku ingat dan ingat: jika tiba waktu itu atas kamu, apakah persediaanmu?

Alhamdulillah, semangat untuk berkarya tercas semula. Selain blog aku jadikan tempat mencurah rasa dan rapuan, tenaga aku kembali untuk berani menghantar karya ke majalah. Tidak penting tersiar atau tidak, yang pasti berusaha untuk MENGHANTAR... Aku dapat semangat itu setelah melihat teman-teman MPR 2009 yang gigih berkarya. Saban bulan ada karya mantan 2009 menembusi pasaran, sedangkan aku yang lebih senior? Allah, berilah aku kekuatan dan keberanian...


Menanti 6.4.2010
3-4-2010
12:57p.m
Qamar Lu'luah

02 April 2010

{DESA MELAMBAI}

Dengan berbaki stau kertas, aku menggunakan masa lapang dengan mengemas semua  barang yang perlu dipindahkan daripada Qamar Lu'luah.. Maka berpisahlah aku dengan Qamar Lu'luah yang aku diami selama dua sem. Satu sem berteman dan sem seterusnya aku menguasai Qamar ini seorang diri. Memang seronok! Ada duit katil untuk seorang individu...

Semenjak pagi, aku mula mengemas. Memasukkan barang yang perlu ke dalam kotak.Semuanya berjumlah enam kotak dan berisi dengan buku-buku yang tidak berkaitan dengan pelajaran. Hanya satu kotak untuk tujuan akademik, yang lain-lain.. :)

Terasa seperti mahu dibuang semua buku itu ke dalam Sungai Gombak dan membakar semua kertas yang ada dalam simpanan aku. Tidak perlu susah-susah mengemas.. -mengeluh pula aku.-

Akhirnya, menjelang Maghrib aku berjaya menyudahkan sesi mengemas dan meminimumkan jumlah kontena -kotak- yang akan dihantar ke stor. 6 kotak + 2 beg. Maka, aku terpaksa berpisah dengan si Merah kesayanganku yang terpaksa ditinggalkan di sini untuk diisi dengan barang-barang..

Tapi, cuti hanya dua minggu.. Kertas terakhir belum selesai. Cuma aku terasa bersemangat untuk mengemas supaya tiada yang akan aku tinggalkan di Qamar Lu'luah yang meninggalkan kenangan pahit manis dua sem aku di bumi Gombak..

Alhamdulillah, akhirnya aku akan terbang ke Kedah,... :)

Ada rancangan besar menanti di rumah..

2-4-2010
08:39pm
Qamar Lu'luah
¬menghitung hari...¬

sign

Kala Cinta & Wahyu Bersatu

Tajuk: Kala Cinta & Wahyu Bersatu (KC & WB)
Pengarang: A.Ubaidillah Alias
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Harga:RM12.60 (Harga asal RM18.00)
Komen Jamilah: Pengakhiran yang membahagiakan dan memberi kepuasan kepada semua. Adakah watak seperti Amir Mukhlis dalam kehidupan sebenar?

 muka depan dan belakang Kala Cinta & Wahyu Bersatu (Gambar dari blog ustaz a.ubaidillah)

Setelah membaca Warkah cinta Berbau Syurga dan Mengintai Cinta Khalifah, maka KC&WB adalah novel ketiga yang ditulis Ustaz Ubaidillah yang berjaya saya hadami.
Fenomena kini, remaja makin menggemari novel cinta Islami dek pasarannya juga yang makin luas. Bagus juga. Apakan tidak, dahulu kita bantak didedahkan dengan novel yang memaparkan cinta-cinta muluk hinggakan remaja mahu mencubanya. Dalam bertambahnya kesedaran masyarakat untuk membaca, wajar sekali kita dijamu dengan bahan-bahan yang dapat mendidik hati walaupun disampaikan secara santai.

Setelah usai menghabiskan bacaan yang berlangsung selama tiga hari dalam keripuhan peperiksaan akhir semester, saya terfikirkan sesuatu. "Wujudkah seseorang yang mempunyai perwatakan seperti Amir Mukhlis dan Balqis?" Kebetulan, saya pernah terbaca tentang kisah seseorang yang mahukan isterinya tinggal di rumah dan mendidik anak di rumah. Semoga dia mendapat isteri yang punya perwatakan seperti Balqis.

Secara jujurnya, saya terpikat dengan pesona bahasa dan lenggok bahasa yang digunakan oleh ustaz a.Ubaidillah. Ceritanya, ya memang cerita cinta yang sangat Islami dan banyak watak yang bermain dengan cinta yang tentunya berbeza pembawakannya mengikut peribadi seseorang. Wardah, Tasnim, dan Amelia mewakili anak muda yang sentiasa inginkan seseorang yang dapat mendampingi mereka dan membimbing ke jalan yang lebih baik. Ternyata peribadoi Amir yang ternyata menepati nilai-nilai Islami berjaya menuntun hati mereka ke daerah cinta. Namun jodoh sudah ditentukan Allah.

Latar Kelantan, tanah kelahiran pengarang masih menjadi latar ceritanya. Maka, saya yang belum pernah ke sana hanya dapat membayangkan tempat-tempat yang diceritakan, namun suka melihat keharmonian masyarakatnya.

Pergantungan kepada Allah dan menagih cinta yang diredhai menjadi intipati cerita ini. Bagaimana Balqis yang walaupun cintakan Amir, tidak menagih cintanya secara melulu, namun bangun di sepertiga malam, lantas berdoa mohon Allah berikan jodoh yang terbaik.


Jadi, kepada yang tertanya-tanya akan nasib Amir dalam Warkah Cinta Berbau Syurga, terjawablah sudah...

Ustaz Ubaidillah (gambar dari facebook ustaz ubaidillah)

p/s: ustaz, teruskan menulis sesuatu yang dekat dengan remaja.Karya perlu dilawan dengan karya, jika mereka menghasilkan karya melankolia dan tidak membataskan syariat, maka ustaz tampil dengan karya yang mendidik remaja dengan ikon dan cara bercinta yang Allah redha...

                                                            ___________________________________________________

2-4-2010
04:21a.m
Qamar Lu'luah
-Di manakah kita letakkan cinta yang sebenarnya

01 April 2010

Imtihan Nihaie

Alhamdulillah, hanya berbaki dua kertas yang tinggal untuk aku lalui. Dan yang telah berlalu hanya aku ketawa seorang diri. Bayangkan, aku sudah keluar dari dewan pada jam 10:15 pagi, sedangkan peperiksaan akan berlangsung selama dua jam...


Tidak mahu aku tulis atau ungkit apa yang aku jawab kerana aku percaya apa-apa yang aku usaha, begitulah natijah. Maka, aku seorang yang tidak peduli keputusan bagaimanakah yang mengisi slip keputusan aku kelak. Namun tadi benar-benar menjawab soalan bukan dengan hati, hanya mengikut alur mata pena yang mahu cepat ditamatkan. Mataku sudah terasa panas... Gara-gara aku main hujan. Sudahnya, aku tidak mandi pula setelah ditimpa hujan...Lama sebenarnya, aku tidak bermandi hujan begitu.. Seronok..

Aku pasrah dengan apa yang akan berlaku semester depan. Maka aku tidak kisah dengan bagaimana jua keputusannya yang aku peroleh... BIARLAH...

Justeru, mengapa aku menconteng rasa itu dalam blog ini? Aku sekadar mahu menulis dan menulis mengikut jemari yang mahu mengetik di papan kekunci.  Petang ini masih ada satu kertas yang perlu aku hadapi, namun terasa tenaga sudah dibawa pergi... PERGI...

Memang aku suka mengikut perasaan itu.. Jamilah, sudah-sudahlah...