30 March 2010

Sinergi

Penulis Sinergi -Hilal Asyraf- dan novelnya. (Gambar dari facebook beliau)

Tajuk: Sinergi
Pengarang: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga:RM19.55 (Harga asal RM23.00)
Komen Jamilah: Masuk senarai kena baca, banyak yang dipelajari daripada novel ini.-keimanan itu paksi-

Alhamdulillah, saya mengambil masa tiga hari untuk menghadam novel setebal 500 muka surat ini. Walaupun terasa mahu menghabiskan segera, tugas lain juga perlu dilaksanakan. Maka dua hari pertama, saya membaca 100 muka sehari dan menghabiskannya pada hari ketiga.

Sebagai salah seorang pembaca testimonial sinergi, saya dapat 'menangkap' banyak perbezaan daripada edisi asal dan edisi bercetak yang ada di tangan saya sekarang. Ternyata, edisi bercetak sinergi yang terhasil setelah ditulis semula jauh lebih baik.

Kata Hilal, sinergi lebih berharga daripada VT. Beliau mahu menjadikan  sinergi sesuatu yang antara yang terbaik!

Ya, beliau berjaya menyentuh hati-hati pembaca dengan sinergi. 

Dengan tema sinergi, "keimanan adalah paksi", saudara Hilal cuba mengupas tentang pesoalan keimanan dan bagaimanakah keimanan yang ampuh tidak dapat dikalahkan oleh kebatilan. Datanglah ujian sebesar bumi sekalipun, jika sudah iman bentengnya, ujian akan ditapis dengan keimanan sebelum mempercayai sesuatu khabar yang disampaikan. KEBAIKAN AKAN MENGATASI KEJAHATAN.

Kehidupan pelajar Melayu di Jordan diangkat sebagai latar kali ini. Mereka digambarkan sebagai sebuah masyarakat yang saling membahu dan melengkapi. Mereka hidup sebagai manusia yang ditarbiah yang menjadikan mereka sebagai manusia rasional dan hidup berteraskan keimanan. Bukan tidak ada yang 'nakal', namun kuantitinya hanya dalam skala kecil. 

Watak Irfan Hakimi dan Rasyid Zakwan diangkat daripada novel beliau yang terbit sebelumnya; remaja mulia. Mereka merupakan sahabat yang berkasih sayang kerana Allah dan sangat erat hinggakan ramai yang menggelar mereka kembar. Banyak perubahan yang telah dilakukan setelah mereka menjadi pemimpin di sana. Mahu mengangkat masyarakat Melayu Jordan yang mengadaptasi keimanan dalam kehidupan. Bukannya suatu kerja senang, namun mereka tidak berhenti berusaha.

Disaster Five. Lima orang pelajar genius yang pernah menjadi pelajar Henry Gurney kerana kesalahan yang tidak mereka lakukan menjadi watak antagonis dalam sinergi. kecelaruan yang mereka lakukan adalah kerana bosan. Namun kegiatan mereka semakin menjadi-jadi apabila mengikut arahan seseorang bernama secret. 

Berjayakah Irfan Hakimi, Rasyid Zakwan dan masyarakat Melayu Jordan yang berusaha mengubah mereka menjadi seorang yang mendasarkan keimanan dalam kehidupan? Siapakah yang tertewas? Siapakah secret sebenarnya? Bagaimanakah Irfan Hakimi dan Rasyid Zakwan menangani masalah yang mendatangi mereka? Semuanya terjawab ketika saya menatap helaian demi helaian sinergi.. :)

Plotnya yang bergerak kadang-kadang tidak terjangka. Ada kalanya jika terbayangkan hujungnya begini, namun sebenarnya begitu.

Beberapa petikan daripada sinergi:
"Kita, sebagai orang yang beriman, Allah sudah pesan supaya periksa dulu berita yang sampai kepada kita. Kena ada bukti. Kemudian, kalau mahu menuduh, kenalah panggil si pesalahnya dahulu dan dengar penerangan mereka" -Irfan Hakimi, m/s 92

"Manusia ini, ada turun dan naiknya. Iman itu bukan statik atau terus meningkat tanpa ada kejatuhan. Tetapi untuk orang yang beriman, dia tidak akan sesekali redha dengan dosa yang dilakukan. Maka dia akan segera menyedarkan diri dan bertaubat. Namun, sebagai manusia, dia akan jatuh semula. Sebab itu kalau kau perhatikan, Allah ada berfirman fasal Dia mencintai orang yang bertaubat" -Naqeb m/s 350

"Sinergi, konsep ukhuwah yang dibina atas dasar iman. 1+1=3.
1 adalah individu,
+ adalah keimanan.
Di dalam tiga terdapat dua 1 dan satu lagi adalah yang luar biasa.
(terhasil daripada hubungan dua individu yang berteraskan keimanan)"
                                                                                  _________________________________________
30-3-2010
04:48a.m
Qamar Lu'luah:Safiyyah E1-3
Membaca sahaja tidak memberi makna tanpa diamalkan dalam kehidupan. Wahai diri, baca dan amal! Berubah walaupun payah, bergerak walaupun tempang!

1 comment:

Jamilah said...

Hilal Asyraf,

Sama-sama.

Orang lain lebih banyak membantu...

Amin... Ya, ianya hanya akan menjadi manis apabila diterjemahkan dalam kehidupan.

-Jamilah