26 April 2008

Orang Sibuk Ada Masa

Teringat pesanan seseorang, hanya orang sibuk tahu dan pandai menghargai masa.

Ya, memang benar. Jika kita sekadar duduk kita akan rasa yang kita bosan, tak tahu nak buat apa dan mahu membazirkan masa.

Tapi bila dah sibuk tu, semuanya dapat dilakukan dan dapat dilangsaikan pula. Kita akan ada semangat dan mahu siapkan juga tambahan pula ada masa yang menghambat.

Pastinya hanya orang sibuk yang ada masa.

24 April 2008

Rumah Baru

Hari Sabtu ini akan bertukar ke rumah baru. Alhamdulillah, dekat sangat dengan perpustakaan. Tak pergi lagi memang tak tahu nak cakap apa.

Semoga tempat baru memberi semangat yang baru untuk diri dan kawan-kawan yang lain. Tak sabar sangat sebenarnya.

Walaupun hanya iuntuk beberapa minggu, cukuplah. Tapi masih tak dapat lupakan rumah lama, dekat dengan kelas dan senang nak cari makanan. Tapi sini dekat dengan library. Satu keistimewaan.

Masuk Sem Baru Dah

Usai juga cuti lebih sebulan. Bermulalah semester baru. Short Sem. Sem ini aku cuma mengmbil Arab level 4, belejar maharat Kalam, Qiraah, Istima' dan Kitabah. Kalau dalam bi tu, Reading, writing, listening, speaking. Memang agak berasap juga sebab seminggu ada 36 jam.Sepatutnya seminggu 18 jam, short sem, jadi semuanya ganda dua.Kelas agak padat. Tak ada le ruang nak main-main.

Hari pertama kelas kalam(speaking) ustaz dah tekankan, kena banyak cakap. Kamu pelajar bahasa rela atau tidak kena bercakap, bahasa boleh menjadi lebih tajam jika diguna selalu. Bukan simpan dalam poket. Jangan asyik senyum, bukan kelas untuk senyum, kelas kalam.

Hm, ustaznya masih muda, graduan UIA juga. Seronoknya Ustaz suka sesuatu yang terkini. Mengajar bawa note book. Ustaz ajar qiraah juga. Setiap topik disediakan slaid. Barakallahufik..

Ustaz memang mujtahid sampai baru tiga hari mengajar suaranya dah serak-serak basah. Apa-apa pun aku doakan suaranya kembali seperti biasa minggu depan. Aku memandang diri pula, mujtahidkah aku?

Tentulah jawapannya tidak. Cukup payah nak bercakap.

Mengapa? Sebab aku tak berikan semangat pada diri sendiri.

Aku bela perasaa takut. Rafik lain semua dah berani, sukarela menjawab soalan ustaz, aku, ustaz dah panggil nama, suara macam ketul emas dalam mulut. Mengapa? Dulu dalam kelas speaking perkara sama berlaku. Sedangkan kawan-kawan semuanya dah aku kenal.

Tak perlu malu. Tiada istilah malu dalam belajar pun, betul, kan? Semuanya sama, belajar, mungkin kau terlalu takutkan salah, jadi aku tak berani cakap. Ustaz dah beritahu, cakap je macam cakap bi, peduli apa nahu, qawaid salah, asal ada keberanian. Namun mampukah aku? Itulah aku. Suka mempersoalkan kemampuan diri sendiri. Jadilah begini. Sejak dari sekolah rendah aku dah dipanggil pasif. :) teruk, kan? Memang aku jarang bercakap, tapi selalu bermonolog.

Kitabah dan istima', ustaz daripada Sudan. Memang kaya dengan senyuman. Ustaz mengajar macam mengajar anak-anaknya, hingga aku kurang malu sikit dengannya. Dia akan menerangkan satu-satu perkataan yang kita tak faham, mendengar ustaz membaca al-Quran, meremang bulu roma. Masya ALLAH. Katanya beliau banya k berlatih.

Kawan-kawan semuanya berani. TAk malu nak bercakap, bukan macam seorang pelajar tu. Takut sangat nak becakap, menggigil cakap pun, nakm baca okey lagi, nak kalam, Masya ALLAH, kuatkan hatiku, kerana aku pelajar Arab memang kalam ni penting untuk aku.Terutamanya Syeika, pelajar exempted Kalam tapi, tetap menghadiri kelas. Dia berani nak bercakap, ustaz pun puji. Inilah pelajar Arab, bukannnya assukut alamatur rida' sahaja.

Inilah sedikit sebanyak perkongsian tentang kelas aku sem ini. Seronoknya belajar dalam bulatan, tak bolehlah merapu, semua Ustaz nampa, tak ada tampat berselindung. Lagi 3 minggu mid-sem exam, bulan depan final, sem depan insya ALLAH belajar co-course...

21 April 2008

Rama-rama Nakal

ini sebenarnya entri yang aku siapkan untuk kali ini. Malangnya kerana ada sedikit masalah, tak dapat ditunaikan hajat tu, usai berbicara bersama seorang teman semalam teringat untuk menulis sesuatu, almaklumlah sebelum ini sebulan terbiar...

Jika entri tu dapat disiapkan semula, aku akan masukkan kembali. :)

Dah seminggu short sem. Hari ni dapat guna internet free, aku lepak di pusat sumber, selamat duit, jika tidak mungkin lenyap 6 ringgit bayar duit komputer. Seronoknya...

Tapi ingat, datang sini untuk belajar bukan untuk buat blog saja, peperiksaan dah dekat pun.

19 April 2008

Buku Hangat Dibaca

TAJUK: TUHAN MANUSIA
PENULIS:FAISAL TEHRANI

Sudah lama sebenarnya saya mendengar tentang ‘Tuhan Manusia’. Nak dibeli ongkosnya sudah susut, jadi bila ada kawan sudi meminjamkan, saya macam orang tak makan tiga hari diberi nasi, memang terus mengangguk. Tambahan pula bila Abang Faisal sendiri yang menggalakkan supaya dibaca buku ini.

Bermula pagi 5 Februari, saya selak muka pertama. Ketika menunggu teksi datang untuk ke stesen komuter Nilai. Sejam perjalanan ke KL Sentral terasa cepat. Sebelum ini, saya sudah semak sekali imbas. Mengasyikkan. Perjalanan ke Kulim dirasakan bermanfaat(Walaupun ada juga masa yang saya tidur).

Bila menelusuri karya ini, saya bayangkan Abang Faisal sedang mengenang zaman persekolahannya. Saya tak pasti benar atau tidak. Memang agar sukar faham bagi saya kerana beliau menggunakan ganti diri kedua, engkau. Tapi bila ditekuni, kelainan itu menjadikan novel ini ‘lain’. Saya dapat rasakan tentu rumit juga proses penghasilannya walaupun beliau berjaya habiskan ketika dalam pengembaraan. Subhanallah, menjadikan setiap orang ada kelebihan.

Isu semasa yang memang menjadi perhatikan dijadikan tajuk persoalan. Isu murtad dan pluralisme. Mungkin kes Lina Joy yang dijadikan topik persoalan. Beliau berjaya mengangkat golongan remaja sebagai watak utama. Tidak menggambarkan remaja bermasalah, sebaliknya Ali Taqi merupakan remaja yang punya idealisme dan berani bertindak. Ya, asbabnya bila abangnya murtad, namun kesungguhannya membentangkan kebenaran wajar dicontohi. Secara peribadi, bila saya baca novel ini, saya rasa terikat. Tak boleh berhenti melainkan saya perlu menghabiskannya terlebih dahulu. Hasilnya sehari dapat juga dihadam.(walaupun orang tanya saya mungkin tak ingat semua.)

Menarik dan lain bagi saya apabila setiap bab dimulakan dengan ayat yang sama, kata-kata pesanan ibu Ali Taqi kepadanya. ‘Andai kota itu peradaban, rumah kami ialah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama’ Cuma perkataan diubah, maksudnya tetap sama. Ini akan mengikat pembaca untuk mengetahui apa rahsia klausa ini.. Jawapannya diterangkan dalam novel ini.

Latar novel ini tidak dinyatakan dengan jelas, namun saya membayangkan lokasinya di kawasan utara.. (telahan saya), Itu tak penting di mana lokasinya. Cerita yang penting, lokasi terpulang pada kita. Dengan ini imaginasi pembaca tidak terhad terhadap apa yang sekadar dibacanya sahaja.

Ketika menghayati hasil tulisan ini, saya merasakan terbawa-bawa dengan cerita yang cuba disampaikan. Masuk ke dalam cerita. Ini pengalaman kedua setelah menghadam Advencer Si Peniup Ney ketika di Lima. Walaupun memang seronok membaca novel popular namun menekuni buku-buku seperti 'Tuhan Manusia' dapat memnuka fikrah dan ilmu. Terasa diri terlalu kurang ilmu bila membaca bukini, kerana banya perkongsian yang diberikan. Berbanding membaca novel popular yang veritanya sudah klise, penghujungnya mati atau bahgia.

Kesimpulannya, aku berpuas hati dan menunggu sambungan cerita ini(Jika ada) dan novel terbaru daripada pengarangnya, ingin mencari cerita baru.

17 April 2008

Memori MPR

BERKONGSI KISAH
TAJUK: MEMORI DI MPR

Kehangatan masih terasa. Gelak tawa rakan-rakan yang turut menyertai masih menjengah kotak fikiran. Tidak betah dan tidak mahu diri melupakan momen-momen indah di MPR 2007. Masing-masing punya rencah dan peribadi yang menghidupkan suasana. Aku mulakan catatan ini dari mula.
Kebetulan aku tergerak melawat sesawang DBP dan di satu ruangan aku terbaca tentang MPR. Boleh memohon seandainya mahu menyertai MPR tahun ini. Aku tentu sahaja teruja. Mahu mengubati lara tidak dapat menyertai MPR 2005. Aku hantar borang tawaran bersama salinan karya yang tersiar di majalah. Tanpa menertakan yuran pendaftaran. Esoknya aku menerima panggilan daripada Kakak mengatakan surat tawaran MPR sampai.
Aku terkejut juga, mustahil semalam hantar hari ini dapat balasan. Rupa-rupanya itu surat tawaran ke MPR. Ayah pada mulanya agak berat membenarkan untuk aku pergi. Aku sepikan sahaja, tak memberitahu yang aku telah menghantar surat permohonan menyertai MPR. Ayah tak tahu akan kehadiran aku ke MPR. Beberapa kali aku menghantar sms kepada urusetia yang baik hati melayan. Mahu tahu konon-kononnya. Memohon belas menangguhkan pembayaran yuran.
Masuk sem baru, aku sudah memohon cuti selama seminggu. Menyertai MPR. Syukurlah tak banyak yang dipersoalkan dan aku senang mendapat pelepasan selama seminggu. Kerja yang aku tak sangka begitu mudah.
Pagi Sabtu, awal-awal lagi aku turun bimbang lambat ke DBP. Aku di tempat baru, Nilai yang permai dan indah masjidnya, jadi aku menumpang pengawal keselamatan yang sudi menghantar aku ke stesen komuter. 'Terima kasih, pak cik pangawal.' Dapat aku naik percuma. Seterusnya kali pertama mahu ke KL sentral yang selam ini aku hanya lihat. Seorang diri pula. Namun aku tabahkan hati. ALLAH ada di samping. Mahu ke Puduraya, aku agak terkejut melihat polis yang ada di mana-mana. Rupa-rupanya hari itu orang hindu memulakan isu Hindraf mereka. Kecut juga mulanya. Nasib baik tidak diperiksa IC, memang aku tak bawa.
Perjalanan diteruskan. Menyemak baki wang dalam bank untuk membayar yuran dan seminggu di sana. Tentu ada sesuatu yang mahu dibeli.Bukan sekadar berbengkel. Bagaimana pula mahu ke DBP. Aku belum pernah ke sana. Aku menghantar sms lagi bertanya tentang cara paling mudah ke sana. Melayang RM10 untuk tambang teksi. Sampai di sana tercangak-cangak tak tahu arah mana mahu kaki ini dilangkahkan. Akhirnya pengawal keselamatan di situ menjadi sasaran. Selamat juga aku sampai ke kaunter pendaftaran. Bertemu mata dengan orang-orang yang belum pernah aku kenali sebelum ini.
Insan pertama yang aku kenal di sini, Kak Sarah, kerana duduk bersebelahan. Kemudian mula mengenali Kak Dayat, Kak Eja, Kak Syidah, Kak Iffa. Aku seperti biasa lampau sombong kepada lelaki. Sampai bila aku tak tahu rasa segan berkomunikasi dengan lawan jantina ini walaupun aku sedar komunikasi kini penting. Aku sekadar memandang dari jauh. Akhirnya berjaya mengenali semua walaupu tidak mesra sangat. Masih ada yang berhubungan walaupun sebahagiannya sibuk dengan hidup.

Selesai makan pagi, bermulalah sesi berkenalan. Penulis-penulis terkenal menjadi fasilitator. Macam mimpi pula rasanya. Empat fasi pertama yang datang ialah Abang Saifullizan Yahaya, Kak Salina, Kak Nisah Haron, dan Abang Azam. Semua orang berbakat dalam dalam bidang penulisan. Dan yang terakhir Abang Faisal Tehrani. Jika selama ini aku kenal buku-bukunya kini mereka di depan mata. Wah, semua peserta berbakat dan banyak pengalaman, terasa kerdil berada dalam kalangan mereka. Namun ini jalan yang aku pilih dan aku perlu teruskan seminggu di sini. Mereka sama macam aku. Ingin mengutip ilmu penulisan sebanyak mungkin. kami menginap di rumah PUSPANITA, di hadapan menara DBP.
Kebanyakan aktiviti yang dijalankan melibatkan bengkel dan pendedahan tentang puisi, cerpen, novel dan sastera kanak-kanak. Aku memandang diri aku seperti orang yang tidak faham, langsung tiada sebarang soalan, sedangkan sepatutnya mengambil masa ini bertanya apa yang aku tak faham. Namun selamat juga aku mengharungi seminggu bengkel. Sempat juga aku menyalin nota sebagai panduan bila aku perlukan. Mungkin tak lengkap dan agak berkecamuk, berbanding nota orang lain yang tersusun.
Banyak yang aku dapat pengajaran ketika sesi bedah karya. Aku terlalu mentah dalam dunia ini. Cerpen aku teruk. Memang, cerita aku bersandarkan pada dialog. Perkara yang tak perlu aku masukkan, hinggakan macam-macam cerita televisyen boleh dipadankan dengan cerita aku. Apa-apa pun aku amat berterima kasih kepada Abang Faisal kerana mengomen secara jujur karya aku. Aku tak terkilan kerana aku tulis karya itu ketika usia 15 tahun, bacaan kebanyakannya novel popular, itu yang mewarnai penulisan aku. Satu pengajaran paling penting yang aku belajar. Kesalahan kecil dalam karya kita boleh merosakkan keseluruhan karya. ku perlu hati-hati tentang batas pergaulan dan ajaran Islam, agar tak melepasi had itu. apa yang kita baca begitulah gaya penulisan kita.
Pengalaman ronda-ronda di KL, antara yang meninggalkan kesan. Sepatutnya kami berlima, malangnya seorang terlepas, masuk ke kumpulan lain. Destinasi kami Stesen bas Klang dan Pasar Seni. Melihat Sungai Klang yang kotor. terfikir akan sifat manusia yang ALLAH kurniakan akal, tidak mampu berikan yang terbaik dalam hidupnya. Ketika mahu ke pasar seni, hujan mula renyai-renyai, melebat ketika kami di sana. Kami pusing-pusing di sekitar pasar seni, walaupun tiada sebarang benda yang dibeli namun ada pengalaman berharga yang dikutip. Hujan lebat, kami menemui galeri pernulis di belakang pasar seni, yang pertama kali aku kunjungi. Berkenalan seorang pelukis dari Kedah, dia memberikan mutiara untuk kami bawa pulang. Menasihati kami agar buat, bukan sekadar fikir. Beliau mengambil masa 7 tahun berkarya sebelum dia mula pasarkan lukisannya, bermakna kejayaan bukan ambil masa sehari dua namun perjalanan yang teramat panjang. Lukisannya cantik, kebanyakan bermotifkan pemandangan dan dia seorang yang cepat mesra. Berlawak dalam masa yang sama ada maksud tersirat. Kami pulang diiringi semangat yang beliau tinggalkan dan harapan yang dibekalkan. Akhirnya kumpulan kami antara yang terlewat sampai di asrama malam itu. Setelah bersesak dalam LRT, berjalan, menuntut kesabaran. Namun perkongsian malam itu menjadi amat bermakna, masing-masing punya kisah sendiri.
Peluang melawat DAWAMA mungkin hanya ini. Kami melawat kilang yang menerbitkan buku-buku DBP, belajar tentang percetakan secara konvensional dan digital. Melawat tempat kerja mereka menerbitkan buku-buku.Kembali dari situ kami melawat bangunan depan DBP yang mengumpulkan majalah-majalah terbitan DBP, bukan editor, tetapi pereka majalah dan bahagian buku teks, pelukis buku teks dan ilustrator. Melihat muka-muka yang menghasilkan buku teks untuk sekolah. Memang seronok melihat cara mereka bekerja, dan akhirnya petang itu sesi bersama editor. Esoknya, bertemu mata dengan editor dan melawat bahagian kamus ke bahagian sastera, dibekalkan buku-buku yang sampai hari ini belum aku hadam. Banyak oleh-oleh berbentuk buku yang kami dapat seminggu di sini. Ditambah pula yang dibeli sendiri.

Malam penutup kami mungkin agak hambar. Malu juga, persembahan kami kurang menjadi. Ada rasa bersalah yang aku sembunyikan. Aku mengambil bahagian dalam dikir barat. Bayangkan dikir barat lima orang. Lain-lain persembahan, pantun, baca cerpen, drama, dan pastinya persembahan multimedia. Apa sekalipun saat itu sudah berlalu dan hanya wujud dalam lipatan sejarah kami. Peserta, fasilitator dan semua yang terlibat dalam MPR 2007.
Mungkin pengalaman ini hanya secebis daripada pengalaman sebenar yang masih terlayar di ingatan ini. Banyak lagi kisah menarik. Seminggu, walaupun tak lama tapi telah mencipta berbagai rentak kisah. Air mata yang menitis, tawa yang terhambur, menung yang beerti. Semuanya berlaku sepanjang aku di sini. Perkenalan dengan kawan-kawan baru daripada pelbagai negeri dan universiti.

Kak Dayah- Kelantan yang masih berhubung hingga kini, UITM.
Kak Fiza-asal Kedah,UITM
Ina- Adik dari Penang, peserta termuda
Kak Muizzah, pelajar Law dari UIA
Wani-Pelajar tingkatan enam dari Kelantan
Kak Dayat-juga law dari UIA
Aidil-LAW
Azriq- pelajar jurusan bi yang minat sastera
Nai-budak Siam pelajar di ASWARA
Kak Syidah- bakal cikgu dari UPM
Kak Sarah-dari UITM, belajar jadi pustakawan
Kak Iffah- dari Jaiputra Kelantan, ambil jurusan Psikologi
Kak Syarifah Aisiah-graduan Jaiputra, menunggu kerja
Kak Nik-dari Perak dan sudah bekerja, katanya ingin melanjutkan pelajaran.
Hafizul-Pelajar kejuruteraan dari UM
Syafiq- lepasan SPM dari Kelantan
Kak Lia-UPM
Ghazali-Pelajar lepasan SPM yang pulang awal kerana peperiksaan belum tamat.

Seminggu bersama seabad terasa. Namun ada yang terputus hubungan dan ada yang masih berhubung. Bekongsi cerita. Harapan aku persahabatn yang terjalin hari selama seminggu berkekalan dan kita saling kenal sekiranya ditakdirkan bertemu lagi. Terima kasih atas pertolongan kalian sepanjang kita bersama. maaf segala silap salah.

Kepada para fasi yang berdedikasi dan urusetia yang baik hati melayan kami selama seminggu, ALLAHlah yang berhak membalas jasa kalian. memastikan perjalanan kursus berjalan lancar, berkorban masa dan tenaga melayan kerenah pelajar MPR 2007. Mungkin MPR 2007, bukanlah yang terbaik berbanding tahun sudah-sudah, namun hasil impak yang terhasil lebih utama.
Terima kasih menerima kami sebagai sebahagian keluarga MPR.

















SELAMAT BERSUA KEMBALI
Alhamdulillah setelah lama blog ini terbiar tidak dikemas kini, hari ini aku berpeluang melaksanakannya. Almaklumlah sekarang sedang bercuti di kampung, tiada internet untuk meng'update' blog ini. Cuti sekejap dan nanti sambung short sem dua bulan, cuti lagi dan jadi senior.. Dah tua rupanya. Rasa macam minggu lepas taaruf week, hari ini tinggal setahun lagi cuma. Sereangkap ucapan terima kasih kepada sahabat yang menjenguk blog ini, sekadar catatan-catatan usang seorang yang bernama Jamilah. Tidak banyak info seperti blog-blog lain yang padat dengan ulmu;.

Selama mana blog ini berfungsi, harapan diri ini agar memberi secebis manfaat buat sahabat yang sudi berkunjung. Ada kesempatab pasti blog ini dikemas kini, cuma masa yang terbatas menyebabkan begini jadinya blog ini. Kering... Bukan sibuk tapi kemudahan internet tiada di rumah di kampung, tunggulah Aku apabila aku berada di kampus, pasti aku akan kongsikan kisah-kisah menarik untuk kalian.

Kali ini aku cuma mahu berkongsi secebis kisah aku di MPR yang lalu. Pengalaman bermakna yang akan 'lekat' dalam ingatan, tak mungkin aku lupa. Kepada sahabat seperjuangan, teruskan konsisten, kalian punya bakat besar, mendalami dunia penulisan sastera yang semakin dipinggirkan kini. Tidak memilih genre popular yang mendatangkan banyak wang... Chayok! Chayok!

Semoga ada kesempatan untuk kita bersua, berkongsi cerita dan perkembangan. Terima kasih yang masih mengingati peserta paling diam semasa di MPR ini... Jangan risau, saya memang nampak pendiam tapi bila dah lama-lama tu, akan tahulah perangai say sebenar.. ;)

Buat sahabat-sahabat di Nilai, kalian punya potensi untuk lebih maju. Terima kasih kerana sudi menerima saya sebagai sebahagian daripada kalian, walaupun tidak banyak menyumbang makna, sekurangnya aku dapat mengenali walaupu tak memahami kalian. Ukhuwah selamanya... jangan memandang seseorang, kemudian berkata yang buruk-buruk di belakang seseorang itu, jika demikian lagi ramai sebenarnya yang sedang memperkatakan keburukan kita tanpa kita menyedari.

Jumpa lagi bila aku berkesempatan mengemas kini blog ini. Sayang kalian sebagai saudara seagama. Kita saudara...